Total Pageviews

Tuesday, November 12, 2013

Dua Dunia

Awal pagi, hari masih terang-terang tanah, saya melambai-lambai suami yang mahu ke pejabat.

Sekolah di hadapan rumah, masih sunyi. Jika ada pun hanya pekerja-pekerja kantin yang sibuk di dapur. Lagi beberapa hari sekolah akan cuti. Semakin meriahlah kejiranan ini dengan suara anak-anak yang terlepas daripada seksaan “kerja rumah”.

Tetapi apa yang dilalui mereka sudah tentu sangat berbeza dengan apa yang dilakukan anak-anak saya tatkala masih bersekolah dahulu.

Tahun 1997, anak sulung saya masuk ke tahun satu. Diikuti dua tahun kemudian oleh adiknya. Kasihan si sulung. Waktu itu saya sedang berjuang untuk menghabiskan ijazah kedua dengan biaya kementerian. Saya tidak dapat menghantarnya ke sekolah. Kesedihan itu masih ada di jiwa jika saya mengenangkan kegagalan saya untuk meraikan hari pertamanya di sekolah.

Mujur waktu hari pertama di tadika, waktu di sekolah-sekolah menengah, kolej dan universiti; saya dapat hadir.

Saya masih ingat, jika mereka cuti sekolah, saya tidak cuti. Pagi-pagi saya akan memastikan sarapan sudah siap. Kemudian dengan ribuan pesanan, saya bergerak ke pejabat. Tengah hari bergegas pulang untuk memastikan mereka makan tengah hari dengan lauk yang dibeli di kedai atau kadang-kadang dimasak seringkas mungkin. Jika saya bertugas waktu cuti atau pada sebelah malam, saya angkut anak-anak ini sekali.

Akibatnya, mereka enggan mengikut jejak langkah kerjaya saya.

Puncanya?

“Teruknya kerja ibu!”

Saya cuba menerangkan bahawa semua kerja di dunia ini bukan mudah. Ia bergantung kepada bagaimana diri kita menanggapi kerjaya itu. Barangkali jika saya terus kekal menjadi wartawan atau editor, kegembiraan mungkin berganda sebab saya bekerja dalam dunia yang saya suka dan berkait rapat dengan kegiatan penulisan.

Anak-anak itu menghabiskan cuti sekolah mereka dengan buku, permainan-permainan imaginasi, mengekori ibu ke pejabat, ke perpustakaan, ke toko buku, ke masjid dan sesekali ke pantai. Mereka tidak obses dengan TV meskipun waktu itu masing-masing ada peti TV dalam kamar.

Sehingga sekarang pun begitu. Tiada peti TV di ruang tamu. Hanya sebuah berada di dalam kamar utama, pun menjadi hiasan semata-mata.

Cuma sekarang saya dapati, budak-budak itu asyik dengan gajet masing-masing. Itu petanda tidak bagus. Satu hari nanti, kita tidak perlu lagi subjek komunikasi bersemuka sebab semua orang hanya obses dengan komunikasi maya.

Tetapi apa boleh buat. Dunia semakin berlari dan kita yang sakit lutut semakin ketinggalan dalam perlumbaan.

Budak-budak sekarang, sekecil mana pun sudah menjadi penekun gajet. Malahan lebih pandai daripada yang dewasa. Cuti sekolah dihabiskan dengan menonton TV, menghadap skrin komputer dan permainan maya.

Saya teringat waktu si sulung memberikan telefon bimbit lamanya setelah dia membeli yang baharu di Manama, Bahrain. Saya hanya mampu bertahan selama dua hari. Saya tidak pandai menggunakan skrin sesentuh. Terkial-kial. Jadilah telefon bimbit yang dihadiahkan anak itu, hiasan di dalam almari.

Biarlah saya dengan telefon buruk yang hanya boleh menerima dan membuat panggilan dan mesej. Sesekali untuk mendengar lagu, menjadi jam loceng untuk bangun tidur.

Suara budak-budak menyanyi lagu sekolah kedengaran dari jauh.

Kemudian, tiba-tiba suasana menjadi kembali sunyi. Hanya riuh rendah kicauan burung yang bersembang entah apa. Ada seekor itu suka benar bermain gelongsor di cermin kereta. Seekor lagi suka hinggap di gril dan membuang air di situ. Saya pasangkan langsir merah jarang di gril. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu mencuci najis burung setiap pagi.

No comments: