Total Pageviews

Friday, November 1, 2013

Cina Palsu

Jumaat itu dia pulang agak lewat. Jam sepuluh setengah malam. Membawa bersamanya makanan ringan kegemaran saya. Tauhu bakar dua bungkus.

Esok cuti Diwali. Lusa ulang tahun kelahiran yang ke enam puluh satu. Si adik tidak dapat pulang. “Belikan banyak belon untuk mewakili adik...” pesannya dengan ketawa lucu mengenangkan fobianya si Daddy terhadap belon. Berkeliling satu rumah si adik mengejar Daddy dengan belon.

Cuti Diwali Sabtu. Kemudian Selasa Awal Muharram. Namun saya tidak nampak orang peduli dengan kedatangan Tahun baharu Hijrah itu berbanding kemunculan Tahun Baharu Masihi. Awal-awal saya sudah pesan kepada anak, jangan lupa doa akhir dan awal tahun. Kita orang Islam. Mesti awas dengan hari-hari penting dalam agama.

Nampak sangat dia kelelahan. “Sakit kepala,” katanya.

“Pemandu yang sama buat hal lagi. Langgar belakang. Abang rasa dia ada masalah. Kalau ikutkan memang kena buang kerja tapi kasihanlah. Esok dia nak raya”.

Saya memandangnya simpati.

“Kalau otak kita dua puluh empat jam hanya fikirkan kerja, memang sakitlah. Hidup ini bukan hanya untuk kerja sahaja, bang”.

Mujur sahaja saya mengingatkan. Kalau tidak, minda saya pun sarat dengan cerita-ceritanya tentang kerja. Kadang-kadang bukan faham sangat pun dengan segala istilah yang disebutnya. Buat-buat faham sajalah.

Hari ini ada satu hal yang terjadi. Dia masuk ke sebuah kedai di Kelang yang menjual peralatan bilik mandi seperti mangkuk tandas dan sebagainya.

Datang seorang amoi.

“Dia bercakap cina dengan abang. Lama pulak tu. Tak sempat abang nak cakap apa. Agaknya dia menerangkan tentang kualiti dan harga barangan. Kemudian, abang rasa dia macam tanya sesuatu...dan abang fikir lebih baik abang beritahu hal yang sebenar sebelum dia fikir abang bisu...”

Kemudian?

“Abang beritahulah abang Melayu...” katanya sambil menunjukkan namanya yang tertera di baju korporat yang dipakainya.

Amoi itu terperanjat. “Saya ingat you Cina!”

“Kata amoi itu, mula-mula abang masuk, dia terkejut juga. Cermin mata, ketinggian, iras wajah memang sebiji macam pak cik dia. Itu sebab dia fikir abang Cina. Kemudian dia panggil seorang lagi lelaki. Pun lelaki Cina itu terkejut tengok abang, memang serupa, katanya...”

Ya lah, memang dia macam Cina. Cuma sejak buat aktiviti berkebun di masa lapangnya, kulit sudah terbakar. Tetapi Cina-cina di Malaysia ini memang begitu kulitnya. Tidak lagi putih kuning yang asli.

“Tapi apa pasal you diam saja tak jawab apa pun masa saya cakap-cakap?” tanya amoi tersebut.

“Awak cakap macam bertih goreng, macam mana saya nak mencelah?”

“Bertih goreng? Apa itu?” Tanya amoi itu semula.

“Letih betul abang mahu terangkan. Nasib baik juga abang ini cikgu walaupun bukan cikgu yang betul-betul cikgu!”

Maigrainnya malam itu sedikit berkurang dengan kisah disalah-sangka sebagai Cina.

Kemudian saya menyuruhnya memakai topeng mata, membasahi kepalanya dengan air zam-zam dan tidur. Ubat maigrain memang bilik yang gelap, sunyi dan tidur!

Radio saya sudah berdengkur dengan topeng mata warna kelabu.

Esok entah apa lagi ceritanya kalau dia sudah sihat semula.

Yang paling sukar ialah untuk meneka isi cerita yang lucu-lucu itu sebab dia akan ketawa sebelum memulakan pengkisahan.

Kita yang mendengar pun berasa susah hati. Mahu ikut ketawa atau buat muka selamba...

No comments: