Total Pageviews

Saturday, November 30, 2013

Yang Indah Itu Tetap Lenggongku!


Pokok bonsai yang berbaju sepanjang musim dingin

Ini siri akhir dalam tulisan mengenai kunjungan ke Kota Beijing.

Kami sempat juga melihat skrin LED paling panjang di dunia pada sebelah malamnya. Meskipun dasar komunisme negara itu menutup mata rakyatnya daripada membuang masa yang sia-sia melayari FB atau Twitter, tetapi mereka tetap “maju” dengan cara tersendiri.

Anda juga dapat melihat pokok-pokok di tepi jalan ada yang dibalut sepanjang musim dingin. Tujuannya untuk mengelakkan pokok-pokok tersebut mati.

Kota yang macet ini sangat bersih tidak seperti bandar-bandar “sampah” di negara kita. Kenderaan yang banyak menyebabkan hon asyik dibunyikan tetapi tiada ternampak sebarang kemalangan walaupun sesak.

Jika anda ke sana, pastikan mengubah kebiasaan apabila melintas jalan. Jika kita biasa melihat ke kanan, kiri dan kanan semula ketika melintas jalan di negara kita, ubah kebiasaan itu. Pemanduan mereka adalah di sebelah kiri.

Anda akan biasa dengar perkataan seperti “rasa, rasa, cuba rasa...” tatkala pergi ke masjid atau restoran halal. Penjual-penjual bepang yang berada di hadapan masjid atau restoran berwajah kacak, hidung mancung dan berkulit putih akan menawarkan lima bekas bepang dengan harga 50 Yuan. Jika anda pandai menawar, lapan bekas bepang boleh dibeli dengan harga yang sama.

Jika ke pasar pula anda akan terbiasa dengan perkataan “lady, murah-murah. Tak boleh turun harga, loose money...” itu yang akan diulang-ulang oleh para peniaga. Ramai juga dalam kalangan mereka yang berurus niaga dalam bahasa Melayu.

Antara barangan yang menjadi tumpuan pembeli dari Malaysia ialah bagasi plastik yang jika di negara kita harganya mencecah empat ratus lebih bagi saiz sederhana. Kita boleh menawar sehingga 150 Yuan bersamaan RM75 kurang lebih. Begitu juga dengan comforter saiz raja yang dapat dibeli dengan harga 150 Yuan.

Jika anda berkunjung pada musim panas, suhunya melebihi kepanasan di Malaysia iaitu sekitar 46 darjah Celsius. Jika pada musim sejuk, tidak perlu membawa banyak baju sebab badan tidak berpeluh. Banyak koleksi musim sejuk yang dijual di pasar dan di tepi jalan.

Jangan lupa membawa botol kosong guna mengisi air untuk ke tandas. Antara peralatan lain ialah kompas kiblat, tisu basah, mask, winter shoes, krim untuk kulit dan bibir, ubat selesema dan stokin yang banyak.

Apa pun, yang indah itu tetap Lembah Lenggongku!

Memang dasar anak kampungan...hahahaha...

Friday, November 29, 2013

Pulang Ke Asal


Pemandangan dari lantai delapan Hotel Holiday Inn Beijing




Istana Musim Panas.

Masuk sahaja ke pintu Summer Palace, angin kencang bertiup. Sejuknya sampai ke tulang.

Hanya saya yang memakai baju tebal. Atika Laila dan adiknya hanya memakai baju tebal tanpa lengan.

Tasik di hadapan kami berombak menghantar udara sejuk ke kulit.

Jika udara di Tembok Besar itu sejuk, di istana tersebut berkali-kali sejuknya. Memang tidak se”summer” namanya.

Istana ini merupakan hadiah Maharaja Qianlong iaitu maharaja ke-4 Dinasti Qing untuk hari jadi ibunya. Maharaja ini sangat taat kepada ibu beliau.

Jari tangan terasa kebas. Memang betul kata Anita, ramai yang cepat beredar jika masuk ke Summer Palace. Walaupun pemandangan cantik tetapi tidak sanggup rasanya menahan dingin yang berangin.

Kami kemudian dibawa ke Kedai Bamboo. Barangan daripada buluh memang sangat menakjubkan termasuklah pakaian dalam. Saya tidak membeli apa-apa. Tetapi hati tetap kagum dengan kekreatifan masyarakat di negara itu yang mampu memanfaatkan tanaman tersebut sehingga menjadi produk pelancongan yang menarik.

Menjelang malam (sebenarnya lebih kurang jam empat setengah petang) kami ke Stadium Sarang Burung. Tetapi saya memilih untuk membeli cenderahati di sebuah kedai yang agak tersorok di situ. Ada kawan-kawan yang pergi mengambil foto stadium.

Lawatan ke Tea House telah mendorong saya membeli teh jasmin dan teh buah-buahan sebab kedua-dua jenis teh ini disukai oleh anak-anak.

Kami solat di Masjid Ma Dian dalam kedinginan yang teramat.

Beijing adalah syurga membeli-belah. Pasar Xiushui dan Yashow menjanjikan barangan yang murah jika pandai dan tegar menawar. Saya yang tidak ada kemahiran menawar mengekori wakil agensi dari Malaysia. Penjualnya ganas dan bersuara kuat. Harga yang diletakkan sangat tinggi dan kita boleh menawar sehingga tujuh puluh peratus.

Kami akhirnya pulang setelah beberapa hari di negara empat musim itu.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital, kami mengepung ruang solat dengan troli beg.

“Ratakan air sekali sahaja” pesan saya kepada anak-anak. Air hanya ada di sinki dan automatik pula. Mahu mengambil wuduk memang susah. Apatah lagi pekerja yang mencuci tandas asyik marah-marah. Mukanya masam dan penuh riak jengkel.

Setelah selesai, saya menghulurkan not Yuan. Dia keseganan dan menolak. Tetapi akhirnya diambil juga.

“Ya lah, mestilah dia malu. Tadi dia bising-bising marahkan kita. Ibu bagi duit, tahu pula segan” kata anak saya.

Kami solat bergilir-gilir. Beberapa orang tertarik dengan gerakan solat dan berdiri dekat memerhati.

Ya, di mana-mana pun bumi Allah. Tiada halangan untuk kita bersolat. Semuanya bergantung kepada kemahuan hati.

Setelah beberapa hari mendengar orang Beijing bicara dalam gaya Broken American English dan makan makanan yang kurang sesuai dengan tekak kampungan saya, kami akhirnya terbang pulang dengan pesawat MH0361.

Dalam selesema yang menyerang dan kulit yang gatal menggelupas, saya masih terkenangkan pemandangan dari jendela lantai delapan.

Serombong kilang yang mengeluarkan asap putih, tren enam gerabak yang silih berganti dan taman yang berisi pokok-pokok miskin daun...

Thursday, November 28, 2013

Mutiara Di Hati

Hari ini kami dibawa ke Jade Center & Crystal Store.

Saya membeli untuk mak. Juga beberapa gelang lain untuk anak saudara. Atika Laila membeli dua gelang yang berharga setiap satu 300 Yuan.

Saya melihat bagaimana taksubnya masyarakat Cina dengan feng shui. Beberapa orang yang mahu mengambil gambar di hadapan ukiran naga yang besar, tidak dibenarkan. Alasannya itu adalah kawasan feng shui.

Saya kurang berminat, jadi kami keluar ke lapangan menunggu. Udara sejuk. Saya dan Atira Laila membeli ubi rebus dengan harga 20 Yuan. Patahkan dua dan makan sementara menanti yang lain sibuk membeli. Ubi itu besar, sukar sekali mahu menghabiskannya.

“Bukanlah pahlawan namanya jika tidak ke Tembok Besar,” kata Anita.

Destinasi seterusnya ialah yang paling dinanti.

Saya melihat pemandangan yang ajaib di hadapan mata.

Jajaran pergunungan yang menempatkan tembok yang curam panjang berlingkar seperti seekor naga raksasa itu dibina dengan tenaga para banduan, askar dan lelaki-lelaki. Jika tiada lelaki muda, lelaki tua pun akan dikerah untuk membina tembok tersebut demi mengelak serangan musuh.

Daripada apa yang saya baca juga, jika ada yang mati, mayatnya akan ditanam di bahagian bawah dan dinding tembok. Agak mustahil untuk membawa turun mayat-mayat tersebut disebabkan kawasan yang bergunung-ganang.

Salah satu cara untuk berkomunikasi ialah dengan membakar tahi serigala. Pertamanya banyak serigala yang hidup di kawasan pergunungan dan asap daripada bakaran tahinya itu menghasilkan asap tebal.

Pepatah Cina ada menyebut, “naik gunung senang. Turun gunung susah” membawa maksud jika kita mendaki, tenaga kita masih kuat. Saat kita turun, tenaga kita sudah dihabiskan ketika kita mendaki tadi.

Begitulah yang terjadi kepada Atika Laila.

Dia yang mahu menjadi pahlawan telah mendaki sendirian sehingga ke kubu yang tinggi. Atira Laila yang gayat hanya mampu berada di separuh jalan. Dia menanti kakaknya sambil mengambil foto di kawasan sekitar.

Akibat daripada pendakian itu, Atika Laila mengalami kesakitan di seluruh kaki. Payah untuk dia menaiki tangga bas bernombor 10160 pada keesokan harinya.

(Teringat sesuatu yang pelik juga. Waktu kami sedang sarapan di restoran hotel Holiday Inn... kami hanya makan bijirin, telor rebus dan buah-buahan atas sebab kehalalan diragui, saya perasan ada seorang pemuda Cina yang asyik memerhati. Lama kemudian, dia datang menghampiri sambil menunjukkan kameranya.

Photo?” tanya saya dengan menggunakan bahasa isyarat juga.

Dia memberi isyarat mahu berfoto dengan Atika Laila.

Kami ketawa. Memang sahlah matanya yang sepet itu menarik perhatian pemuda tersebut)

Kembali ke Tembok Besar, kedua-dua anak saya menempah sijil yang tertera nama mereka sebagai pahlawan yang berjaya mendaki tembok.

Angin kuat di situ menyebarkan hawa dingin yang menggigit, menerbangkan daun-daun kering daripada pokok yang hanya tinggal ranting.

Di tembok itu,
aku seakan melihat,
ribuan jasad,
di lantai dan dinding,
yang terbaring mendakap dingin.


Destinasi seterusnya ialah ke Burning Cream Center, satu lagi lokasi yang diwajibkan pemerintah untuk agensi pelancongan.

Kami juga ke Silk Show Room. Di sini kami “dikepung” selagi belum ada yang membeli. Kami hanya dilepaskan setelah beberapa orang membeli barangan di situ. Itu strategi perniagaan mereka yang pada saya sangat tidak menyenangkan. Saya dan beberapa orang duduk berkurung dalam tandas sebab tidak tahan kena tarik dengan gadis-gadis penjual di gedung tersebut.

Ada sebuah kedai berdekatan dengan Stadium Sarang Burung yang menjual mutiara dan jade. Anak jutawan tuan punya kedai Fresh Water Pearl Center bernama Nancy Yen. Dia memberi taklimat dalam bahasa Inggeris yang sangat broken. Oleh sebab kumpulan kami memberi perhatian akan taklimatnya, beliau menghadiahkan setiap orang sebentuk cincin mutiara yang berharga 200 Yuan.

Atira Laila membeli rantai tangan mutiara bernilai 400 Yuan (harga asal mencecah ribuan Yuan), sementara saya membelikan buah kalung mutiara bernilai 200 Yuan untuk Atika Laila (sempena hari jadinya Disember ini). Kedua-dua anak itu berkongsi wang membeli gelang jade untuk saya.

Apa pun, mutiara atau jade hanyalah hiasan dunia.

Ia akan menyerikan lagi jari dan tangan si pemakai.

Namun yang lebih utama ialah pekerti mulia.

Ia akan menyerikan hati pemiliknya.

Perbuatan baik itu adalah hiasan yang kekal selama-lamanya.

Wednesday, November 27, 2013

Tidak Sempat Bermimpi

Kami menunggu pesawat yang akan berlepas jam dua belas setengah pagi.

Dalam kantuk dan lelah, menuju ke Kota Peking @ Beijing dengan pesawat MH 0370 dan tiba jam enam setengah pagi di Beijing Capital International Airport.

Bulan November hingga Januari adalah musim dingin di Beijing.

Kami disambut Anita, ibu kepada seorang anak perempuan. Usianya tiga puluh tahun. Beliau fasih berbahasa Melayu Indonesia. Sama sahaja dengan kebanyakan orang yang kami temui di beberapa lokasi. Bahasa Melayu Indonesia lebih mudah dipelajari berbanding bahasa Melayu Malaysia yang terlalu banyak “hukum”, fikir saya.

Dengan penanda patung panda hijau, kami bergerak mengikut Anita.

Kota Beijing memang dingin dan berangin. Tetapi kulit saya masih boleh menerima untuk hari pertama. Di Dataran Tian An Men, foto Pengerusi Mao Tse Tung seperti tajam memerhati. Di sini beberapa tahun lalu menyaksikan kematian berdarah para pelajar yang bangun memberontak. Kumpulan pelajar itu gagal tetapi semangat mereka terus mengalir dalam udara Beijing. Dataran ini merupakan dataran terbesar di dunia.

Sudah resamnya orang Cina sangat rajin berusaha dan itulah kelebihan mereka. Kekurangan mereka juga ada. Saya sangat alergi dengan tabiat meludah mereka. Di mana-mana terjumpa air ludahan menyebabkan saya berjalan dengan berhati-hati. Tandas awam dan di restoran berbau hancing sebab tandas tiada air paip. Dari jauh sudah berbau, lagi teruk atau hampir sama dengan tandas di negara kita. Kami sudah membawa botol kosong di dalam beg. Mudah untuk mengisi air di sinki. Juga membawa banyak tisu basah.

Penjual yang menawarkan pelbagai barangan murah sangat banyak di mana-mana. Tetapi Anita sudah berkali-kali mengingatkan supaya kami berhati-hati. Pertamanya, kemungkinan penjaja akan menukarkan wang palsu. Kedua, mereka juga panjang tangan dan bijak menipu.

Di Kota Larangan, orang semakin banyak. Saya asyik membayangkan bagaimana pembinaan Forbidden City ini dilakukan. Adakah pernah tercetus dalam fikiran maharaja bahawa satu hari nanti kotanya itu mampu membantu membangunkan ekonomi negara China. Daripada apa yang saya baca, terdapat 999 buah kamar dalam kota ini. Dan jika seorang putera tidur dalam sebuah kamar setiap malam, tatkala usianya dua puluh tujuh barulah selesai dia tidur di kamar yang sedemikian banyak.

“Jika maharaja mangkat, nanti akan ada orang yang temankan untuk mati. Kalau maharaja itu baik hati, dia akan beritahu awal-awal supaya jangan ada orang yang ikut dia mati. Tapi kalau maharaja itu zalim, dia akan maklumkan berapa ramai orang yang dia mahu mati bersama-sama. Kadang-kadang tidak ramai, kadang-kadang sampai ratusan orang. Orang-orang itu akan diberi makan besar dahulu sebelum mereka ikut maharaja untuk mati...” terang Anita.

Saya perhatikan kosa kata Anita sangat banyak. Saya fikir Cina yang tanah airnya memang di Malaysia pun tidak mempunyai kosa kata sebanyak yang dimiliki Anita. Dia juga sangat prihatin dengan keperluan solat. Waktu solatnya dia hafal.

Musim dingin menjadikan siangnya pendek. Jam empat setengah sudah mulai gelap.

Di jalan-jalan Kota Beijing, banyak sekali kereta Audi. Menurut Anita, ada orang kaya yang memiliki sepuluh kereta dan semuanya Audi.

Oleh sebab polusi di kota itu berada pada tahap bahaya, bumbung kereta dipenuhi habuk tebal. Saya memang membawa bekalan topeng muka . Kadang-kadang waktu mengambil foto, bukan main lebarnya senyuman sedangkan saya memakai topeng muka. Sia-sia sahaja tersenyum lebar!

Kami makan tengah hari di restoran Muslim di Niu-jie. Lucunya apabila masing-masing bingung bagaimana mahu makan atas piring yang sekecil piring cawan. Ada juga yang telah sompek. Menurut Anita, itu memang hal biasa sebab pemilik restoran beranggapan akan rugi jika membuang piring yang sompek.

Barulah saya tahu mengapa masyarakat Cina sihat-sihat. Mereka makan banyak lauk dan sayur tetapi kurang minum air. Airnya diletakkan dalam teko yang sangat kecil. Kalau kita di Malaysia teko sekecil itu hanya untuk dua orang minum.

Kami menunaikan solat di Masjid Niu-jie dan ada juga yang membeli barang keperluan di sebuah pasar raya yang menjual barangan Muslim.

Oleh sebab negara itu mewajibkan agensi pelancongan untuk pergi ke lapan tempat, kami terpaksa ikut ke pusat urutan kaki. Saya dapat melihat strategi mereka dalam berniaga. Strategi paksa! Seorang doktor dari Tibet memeriksa tangan saya. Ada penterjemah yang boleh bicara dalam bahasa Inggeris. Mereka memaksa saya membeli ubat untuk menghilangkan masalah “buah pinggang” seperti yang didakwa doktor berkenaan. Harganya dalam 300 Yuan. Apabila saya menolak, doktor lelaki itu menghempaskan tangan saya dengan marahnya!

Malamnya kami menonton pertunjukan akrobatik. Hebat sekali. Saya selalu menonton rancangan dari Taiwan dan China. Tetapi melihatnya di depan mata sangat menakjubkan. Apa lagi lagak ngeri itu turut disertai gadis jelita.

Kaki sangat sakit. Udara juga dingin. Minda dan tubuh keletihan sebab dari lapangan terbang kami terus melakukan siri lawatan. Jam delapan setengah, kami mendaftar masuk ke Hotel Holiday Inn Beijing. Saya dan anak-anak sekamar di lantai delapan.

Tidur yang tidak sempat pun bermimpi.

Hanya lena selena-lenanya.

Friday, November 22, 2013

Siaran Tergendala Sebentar

Blog ini akan berhenti bersiaran selama seminggu kurang lebih.

Pagi ini saya sedang menunggu kepulangan si bongsu dari kampus. Si sulung sudah pulang petang semalam walaupun sesat lagi...hahaha...

Petang nanti kami akan bergerak ke KLIA dan jam dua belas akan menaiki pesawat MAS menuju The Middle Kingdom yang bersempadan dengan lima belas negara.

Kita akan bertemu dengan sejumlah orang yang bermata sepet sambil melawan sejuknya musim di Kota Beijing.

Walaupun sudah ada dua orang yang bermata sepet dalam rumah ini, tetapi tentu seronok menjadi aneh dalam kalangan komuniti bermata sepet.

Nanti akan saya catatkan nota kembara di bumi Allah yang luas ini.

Ya Allah, semoga perjalanan ini semakin mendekatkan hati-hati kami kepada-Mu!

Wednesday, November 20, 2013

Sebenarnya Dia Kucing Siapa?

“Kenapa bising-bising tu, mak?” Saya mendengar di corong telefon suara anak saudara yang kecil kedengaran begitu cemas.

Saya dimaklumkan seekor kucing dewasa yang dibuang di halaman emak telah menggigit si Mone. Sekarang Mone entah di mana. Entah lari masuk ke hutan atau bersembunyi di alang. Sibuklah masing-masing mahu mencari Mone.

Hari sudah di awal Isyak. Kalau mahu cari pun hanyalah sekitar rumah. Tidak boleh mengambil risiko masuk ke kawasan semak dalam gelap malam.

Anak kucing itu sebenarnya tidak ketahuan asal usulnya.

Dia muncul pada jam 2 pagi di alang rumah.

Sebelum tidur, mak menyatakan hasrat mahu memelihara kucing. Kakak yang pulang sebentar ke rumah mak kurang bersetuju atas faktor kebersihan. Tetapi kata mak, mak mahu memelihara anak, bukan yang sudah dewasa. Jadi, mudahlah untuk mak melatihnya ke tandas. Kakak akhirnya setuju.

Waktu mak bangun untuk solat malam, ada bunyi kucing menangis di alang. Suaranya halus. Kakak menadah sofa untuk memudahkan kucing itu turun.

“Mungkin ini Si Cicak yang hilang tiga bulan lalu...” kata kakak merujuk kepada anak kucing anaknya yang dibawa pulang Idulfitri lalu. Kemudian kucing itu hilang tanpa kesan.

Tapi yang musykilnya di mana Cicak @ Mone tinggal selama tiga bulan itu?

Mak berkeliling kampung menanyakan jika ada sesiapa yang kehilangan anak kucing. Tidak ada siapa pun yang kehilangan.

Kata orang, mungkin selama ini dia tinggal di kandang kambing tengah sawah terbiar.

“Baiklah,” kata saya, “tapi siapa yang mengajarnya buang air di tandas?”

Ya. Kucing itu sangat tertib. Pagi-pagi dia akan bangun bersama mak untuk Subuh. Terus ke bilik air dan membuang najis betul-betul di tepi lubang. Kemudian pergi ke tempat lain di sisi lubang dan buang air kecil. Kakinya dikesat-kesat di alas depan bilik air.

Dia akan menemani mak solat. Sangat mendengar kata. Tidak boleh pijak sejadah. Hanya duduk di tepi menunggu hingga mak selesai solat dan mengaji. Menemani mak ketika mak di dapur, mencuci baju, menebas atau membuat kerja di halaman.

Tidak pandai mengiau. Jika orang sedang makan, dia tidak seperti resamnya kucing yang sibuk meminta dan meninjau. Dia hanya duduk diam. Tidak bimbang langsung jika tiba-tiba dia naik ke meja dan menggonggong ikan goreng.

Jika dikatakan “alim-alim kucing”, memang kucing ini spesis yang alim.

Mak memandikannya setiap hari. Diam sahaja tatkala dimandikan. Kemudian mak bungkus dengan kain. Pun dia hanya diam.

“Dia bisu atau pekak ke mak?” musykil saya.

Mustahil. Sebab dia jenis yang mendengar arahan dan faham bahasa Melayu loghat Lenggong. Saya pernah dengar suaranya. Halus tidak seperti kucing jantan.

Pondan?

Mana ada kucing pondan! Ganas saja melompat-lompat!

"Mungkin dia dibuang orang" kata saya berteori.

Mustahil, kata mak. Kucing itu bukan jahat sampai kerasnya hati orang untuk membuangnya di halaman emak.

Satu hal lagi ialah waktu saya balik sekejap ke kampung, dia duduk di ribaan saya. Tiba-tiba dia beraksi seakan bayi kucing yang menyusu. Dia menyusu di lengan saya! Berbunyi-bunyi sehingga akhirnya terlena.

Mak tidak percaya. Tetapi waktu mahu tidur, sekali lagi dia menyusu sampai lena. Esoknya bangun tidur, lagi sekali.

Kasihannya budak kucing itu. Dia bukanlah bayi sangat. Kalau manusia, mungkin berusia sekitar tiga empat tahun. Yang peliknya, dia tidak melakukannya kepada orang lain. Hanya menyusu di lengan saya. Jika ada pun, dia gemar menjilat seperti anjing. Habis muka orang kena jilat kalau dibiarkan.

Saya teringat kata-kata kakak.

“Sekarang mak dah ada kawan. Mana-mana mak pergi pun dia ikut. Tapi kalau mak ke pekan, dia naik ke alang. Kucing jahat selalu buli dia...”

Memang gembira tengok kucing yang melompat-lompat main bola seekor diri. Habislah tikar getah mak compang-camping sebab dia suka mencari cicak yang bersembunyi di situ. Cicak pun sudah berkurangan.

Mak pernah mengujinya dengan ikan hidup. Apabila disuakan ikan, Mone lari jauh-jauh. Kucing apa macam itu? Bukankah kucing tidak boleh nampak ikan?

Apabila ditanyakan nama kucing itu kepada anak saudara yang kecil, dia menjawab, “namanya Kucing”.

Akhirnya semua orang memanggil dengan nama yang masing-masing suka. Mula-mula saya memanggilnya Beckham, mengenang anak monyet saya yang khabarnya sudah jadi bapa monyet yang garang sekarang ini.

Mak memanggilnya Mone. Itu nama biasa bagi kucing-kucing yang pernah tinggal bersama kami.

Adik barangkali akan memanggilnya Kerumba sempena nama kucing kesayangan waktu dia masih kecil.

Kakak memanggilnya Cicak, nama asal yang diberikan anaknya.

Apa pun, ada satu teori yang tidak masuk akal akan keberadaan Mone sepanjang tempoh tiga bulan itu dan siapa yang mendidiknya sehingga menjadi begitu berdisiplin.

“Mungkin bunian yang bela dia...” dakwa orang yang datang.

Hahahaha...banyaklah buniannya...

Di hujung kampung, di belakang sawah terbiar itu ada beberapa tingkat lata. Kononnya memang ada perkampungan yang tidak kelihatan di situ.

Jangan jadi kes di Villa Nabila sudahlah!

Percaya sangat dengan benda-benda tidak kelihatan sampai sanggup ke sana tengah-tengah malam. Benda-benda yang “kelihatan” macam surau dan masjid, tidak mahu pula pergi beramai-ramai!

Akhirnya seperti agakan saya, budak itu bukan disorok hantu.

Tapi dia yang jadi hantu!

Memalukan sungguh!

Menelefon mak kemudiannya, abang yang menyambut. Saya tanyakan sama ada Mone sudah dijumpai atau belum.

“Tu tengah makan nasi...” kata abang.

Mujur, kucing itu sudah ditemui.

Tetapi sebenarnya dia milik siapa?

Nihil jawapan. Titik.

Tuesday, November 19, 2013

Perjalanan Kereta Api



Lebat hujan selalu menjadikan kita diam di bawah selimut.

Namun kadang-kadang kita punya acara lain.

Sabtu itu dalam lebat hujan, kami menanti di KLIA.

Bergerak pulang ke Perak dengan membawa Tuan Haji Mahalil dalam kantuk menggila. Tetapi Allah pasti membantu sebab kita membawa pulang tetamu-Nya.

Hanya mampu sampai ke Tapah. Saya berdengkut-dengkut berjalan menuju surau untuk meluruskan badan dan kaki yang kesakitan. Selepas itu kami bertukar pemandu. Pun saya tidak boleh tidur. Pemandu mesti diajak berbual supaya kereta tidak terpesong dari laluan.

Musim hujan dan gelap malam sedikit menggetar rasa. Akhirnya kami tiba di Ipoh, bersalin kereta dan berpisah.

Kakak dan suaminya bergerak pulang ke rumah di Sungai Siput. Saya dan dua anak saudara perempuan bergerak ke kampung. Jam 5.15 pagi kami sudah berada di halaman emak.

Rupa-rupanya kepenatan yang terlalu menyebabkan mata enggan lena. Terhuyung-hayang saya sepanjang hari.

Saya menelefon KTMB Kuala Kangsar.

“Isnin Selasa tiket habis. Rabu ada...” kata yang menjawab panggilan.

Petang itu anak saudara membawa saya ke stesen. Nasib baik saya bertanyakan tiket untuk kelas satu.

“Oh, untuk kelas satu masih ada yang kosong, untuk Selasa. Tapi hanya satu. Saya ingatkan cik mahu ambil tiket biasa,” saya mendengar suara menjawab dari kaunter sementara yang tingginya separas leher saya.

Alhamdulillah. Banyak perkara saya kena buat. Tidak sempat menunggu mak buat bubur asyura hari Rabu. Wang pun belum ditukar.

Elok juga tiket hari Selasa. Isnin saya masih belum kuat. Pagi Selasa, anak saudara menghantar ke stesen. Singgap sekejap membeli empat naskah Dewan Sastera di Balai Pustaka KK.

Biasanya Koc R1 berada di ekor. Saya berjalan sendirian ke hujung landasan. Masuk ke dalam koc, kosong di mana-mana. Hanya ada sekumpulan orang berwajah Eropah. Petugas memberikan sebotol mineral dan sepotong kek dengan senyum. Manis sekali. Tetapi rupa-rupanya Cik Awan Dania itu adalah lelaki.

Saya duduk di Kerusi 5A. Kerusi solo. Seorang lelaki Eropah separuh baya duduk di hadapan saya. Memasang fon telinga sambil sesekali suaranya menyanyikan lirik lagu “ The Girl Next Door”.

Saya memang kelaparan tetapi selera mati apabila lelaki Eropah di belakang, betul-betul di belakang saya asyik menghembus hingusnya sepanjang perjalanan sehinggalah sampai ke Stesen Kuala Lumpur.

Imaginasi yang kuat menyebabkan saya membayangkan hingus-hingus itu bertempekan di atas roti yang saya pegang!

Titik-titik air merembes di jendela gerabak. Saya tidur-tidur ayam dari stesen mula sehinggalah saat hujan menyambut gerabak panjang itu di kota KL.

Melalui Stesen Kuala Lumpur, seperti biasa mata saya basah. Sapu tangan lusuh yang bersih berlipat saya gunakan buat menyapu si air mata.

Tren berhenti lama di KL Sentral untuk tujuan servis.

Seremban yang basah dengan hujan awal petang menadah kaki sang pengembara yang singgah sebentar di daerahnya.

Demikianlah kehidupan kita.

Adalah perjalanan menaiki gerabak kereta api.

Kita boleh memilih mahu berada di gerabak mana.

Meskipun kita berada di koc R1 hinggalah ke R7, kita tetap akan tiba ke stesen pada waktu yang ditetapkan.

Kadangkala, gerabak akan berhenti di sebuah stesen dan penumpang akan turun. Kita masih berada di atas kereta api melihat orang yang turun menyeret bagasi sama ada kecil atau besar.

Namun, yang pasti ialah kita juga bakal turun tatkala ulat gongggok gergasi itu berhenti di stesen yang kita mahu turun. Juga dengan bagasi yang kita bawa sepanjang perjalanan itu.

Kita akan turun di situ.

Destinasi penamat kita.

Sebab hidup adalah sebuah perjalanan menaiki kereta api. Dengan bagasi dosa dan pahala.

Thursday, November 14, 2013

Putihnya hati Bob

Petang semalam ada seseorang menelefon.

Tertera di skrin “Bob Utusan”. Saya menyahut cepat.

“Ya Bob. Datuk Bob!”

Suara Bob masih macam dua puluh tujuh tahun lalu waktu kami sama-sama berkuliah di UM. Katanya, dia cuba menelefon nombor lama tetapi yang menjawabnya ialah perempuan dari Pengkalan Kubur.

Nasib baik bukan dari kubur!

“Aku dapatkan nombor Yang yang ini daripada Azah” katanya.

Azah Aziz, bekas editor kanan Utusan Publications dan sekarang mengusahakan penerbitan sendiri.

Bob sudah dapat Datuk daripada Sultan Pahang bulan lepas. Dia orang Pahang. Editor kanan di Kosmo.

“Ini mahu dipanggil Datuk atau apa?” gurau saya.

“Eh, panggil Bob sajalah. Aku Datuk wartawan, bukan Datuk bisnes...”

Seingat saya, nama “Bob” itu pun saya yang mulakan. Nama di kad pengenalannya Baharom Mahusin. Saya selalu melihat dia di kaca TV dalam program bual bicara. Dia antara sahabat yang prihatin atas kesukaran hidup saya puluhan tahun lalu sewaktu masih tinggal di Kuala Lumpur.

Dia bertanyakan khabar kesihatan saya. Juga bercerita pertemuannya dengan beberapa sahabat kami yang sudah bertebaran di merata tanah air.

“Kau tahu Yang, kawan kita si S tu nak pencen awal. Cita-cita nak jadi bomoh. Dia dah alim sekarang. Aku datang je dia mesti tanya aku dah solat ke belum...”

Saya ketawa terkekeh-kekeh, berguling-guling seorang di atas lantai. Sudah tentu apabila kita bercerita, ingatan-ingatan kita kepada batang tubuh dan sikap sahabat-sahabat kita itu ialah ingatan semasa kita bersama mereka puluhan tahun yang lalu.

Maklumlah, ada yang sudah dua puluh tujuh tahun terpisah dan tidak bertemu lagi selepas itu.

Si S berkahwin dengan H, teman sekuliah kami juga. Bertugas jauh di Pantai Timur. Dia seorang yang unik dan kadang-kadang arus fikirnya sangat di luar kotak. Setahu saya, sebagaimana yang dimaklumkan sahabat kami, si S memang boleh merawat kanser.

“Yang jumpa Pah di Ipoh. Jumpa Azah di IPRM. Lain-lain jumpa di maya...”

Datin Seri Diraja Saripah Zulkifli itu sudah dua kali jumpa bersemuka. Kali pertama, saya menyorok. Dia berjaya mendapatkan nombor telefon saya daripada si Azah.

Memang kami sekuliah sangat rapat. Hanya lebih kurang dua puluh orang yang berada di Jabatan Penulisan itu. Ada beberapa orang yang sekuliah yang berakhir dengan perkahwinan, termasuk saya. Panjang atau pendek jodoh, kita tetap bersahabat.

Hidup ini sangat singkat. Kalau kita berbaik dengan orang, pergi ke mana-mana pun hati senang.

Bob mencadangkan perjumpaan semula dengan rakan-rakan sejabatan. Cuma saya beritahu dia, kalau boleh biarlah di tempat yang tidak serabut macam di KL.

Saya bangga dengan sahabat saya ini meskipun barangkali ada perbezaan pandangan dalam sesuatu isu. Dia telah menjadi wartawan iaitu kerjaya yang asalnya kami dilatih selama tiga tahun itu.

Kami ingin berjumpa dengan mengetepikan sentimen politik, gelaran di pangkal nama, kekayaan peribadi atau kedudukan.

Kami mahu bertemu dalam iklim dua puluh tujuh tahun lalu meskipun sudah tidak sekurus dan semuda dahulu.

Terima kasih Bob sebab masih mengenang sahabat yang terpencil jauh, yang tidak pernah berhenti diuji, yang masih tersenyum dalam marhaennya hidup.

Wednesday, November 13, 2013

Playboy Dan Arrogant...Miskinkah Bahasaku?

Meskipun jarang menonton TV khususnya drama, sesekali saya melihat juga. Kadang-kadang sekali lalu. Kadang-kadang apabila sudah dapat meneka kesudahan cerita, saya menutup TV.

Nampaknya, saya memang sudah tiba ke takah tua.

Di laman maya, beberapa orang mengeluh. Ada yang melontar tanya, apakah yang dilakukan oleh para penulis sehinggakan karya penulis-penulis "palsu" begitu diangkat oleh massa dan mempengaruhi jalur fikir masyarakat khususnya penonton muda! (Saya kurang setuju dengan penggunaan perkataan "palsu" itu).

Maksudnya ialah, telenovela yang diangkat daripada novel pop, dengan plot seakan sama, isu yang mirip, watak dan perwatakan yang persis kembar seiras.

Mereka menyebut beberapa tajuk. Ada antaranya yang mencuri perhatian saya.

Barangkali "Aku Cinta Kamu, Encik Angkuh" tidak komersial berbanding "I Love You, Mr Arrogant".

Saya melihat itu sebagai persoalan yang rumit. Namun ada yang lebih merumitkan. Para penonton Melayu (Islam?) lima (atau empat hari?) seminggu bermaghribkan peti TV. Solatnya berimamkan Mr Arrogant atau Mr Playboy.

Mengapa Maghrib?

Sekarang, Maghrib seawal 6.58 petang dan Isyak jam delapan beberapa minit. Telenovela itu barangkali bermula jam tujuh dan tamat jam delapan.

Mungkin ada yang akan berhujah, pilihan di tangan kita. Kitalah yang pilih mahu masuk disko atau ke masjid. Kita jugalah yang pilih mahu duduk bertonggok depan TV atau pergi ke surau.

Tetapi saya tetap mahu mempersoalkan, mengapa waktu itu yang dipilih?

Soal novel pop yang memenuhi rak toko buku, baguslah sebab anak-anak muda kita sekarang suka membaca, tetapi...

Teringat rayuan saya kepada Pak Baharuddin Buyung Kahar.

“Tolonglah menulis novel lagi Pak Baha. Jangan berhenti. Kami mahu baca novel yang berilmu.”

Saya melihat sekilas di rak.

Novel-novel karya Pak Samad Said, Ustaz Azizi, Hamka, Pak Abdullah Hussein, Faisal Tehrani, Fatimah Busu, Khadijah Hashim, Pramoedya Ananta Toer, Pak Suratman Markasan; antara harta saya yang tidak ternilai.

Khabarnya yang arrogant sudah tamat, diganti pula dengan yang playboy...

Monday, November 11, 2013

Membaca Cerita Madam Chapouthier

Saya menghabiskan buku Madam Chapouthier setebal 177 halaman itu.

Dalam bas waktu kami mengelilingi bandar Ipoh dalam acara Ipoh Heritage Trail, beliau asyik bangun dan bercerita dengan bersemangat.

Dalam dua bahasa yang bercampur, beliau menyarankan, “mesti baca buku saya, Stories From The Heart. Ada e-mel saya di muka hadapan. Please write something to me about that book...”

Madam Wan Hua Chapouthier punya ibu Cina Peranakan. Jadi, tidak hairanlah jika cara beliau menanggapi budaya, malahan cara didikan ibunya juga dekat dengan budaya Melayu.

Dia super-duper-senior saya.

Shout of hail for the Methodist Girls School,
shout it loud and long,
our beloved to alma mater,
come and join our song...”


Wah, saya menyanyilah pula!

You still remember our song, madam?”

Wajahnya cerah. “Of course I remember!

Barangkali sebab saya lima tahun menjadi MGSian, saya ingat lagu itu sampai sekarang. Malahan anak-anak saya pun sudah amat tahu sebab saya selalu menyanyikan lagu itu dengan bangganya waktu mereka masih kecil.

Tetapi saya langsung tidak ingat lagu sekolah Clifford School!

Agaknya sebab hanya dua tahun saya di situ dan pada tahun pertama itu setiap pagi asyik menangis ketakutan!

Manakan tidak! Kelas Lower Six di aras satu. Abang-abang senior sengaja berdiri kiri dan kanan koridor menanti pelajar asrama perempuan. Bukan mahu mengorat pun. Hanya suka mengusik-usik. Saya masih ingat benar gelagat mereka terutama senior yang bertubuh tinggi kurus itu. Sudahlah saya bersekolah di sekolah perempuan, masuk ke tingkatan enam di sekolah lelaki.

Hampir-hampir sahaja saya mahu pindah sekolah dibuatnya!

Satu perkara yang saya masih ingat waktu di MGS. Ramai dalam kalangan guru dan bekas pelajar yang berkahwin dengan orang asing dan berhijrah mengikut suami. Seorang guru saya, Miss Lee, berkahwin dan berhijrah ke Switzerland membawa bersama anak-anaknya, May dan June. Miss Norliah, guru hoki yang garang, bertubuh agam dan berkulit gelap berkahwin dengan lelaki Australia dan berhijrah ke sana.

Begitulah juga dengan Madam Chapouthier yang mengahwini seorang saintis di Strasbourg. Perancis.

Madam Chapouthier ada menyebut nama pekan Lenggong dalam bukunya. Dan sudah pasti nostalgia beliau waktu masih menjadi pelajar di sekolah mubaligh itu. Saya membaca kejujuran beliau dalam setiap episod cerita.

“Kita mesti menguasai bahasa Inggeris untuk survive. Saya pernah jumpa xxx dan xxx dan xxx dan bercakap hal yang sama kepada mereka...”

Dia menyebut beberapa nama menteri sama ada yang masih ada dalam kabinet atau yang sudah ditiadakan dalam kabinet.

“Oh, rupa-rupanya beliaulah yang menghasut xxx untuk bahasa Inggeris tu ya...” gurau seorang kawan.

Orangnya hebat. Tetapi dia sangat bangga dengan bandar di mana dia membesar, juga negerinya yang satu ketika dahulu sangat kaya dengan timah.

Membaca Stories From The Heart, saya menjadi begitu nostalgik!

Sunday, November 10, 2013

Hanya Sebuah Nota

Saya mahu pergi ke satu tempat. Sendirian.

Sejak akhir-akhir ini ilham semacam melarikan diri. Entah apa yang minda saya sibukkan sehingga kadang-kadang saya hanya memandang kertas kosong tanpa catatan apa-apa.

Mak!

Sebenarnya saya sangat rindukan mak.

Rindu itu berlari-lari ke sana ke mari. Hilir mudik. Kadang-kadang ia melimpahi tebing. Kadang-kadang pula seperti ombak.

Saya mesti menulis. Itu janji dan janji itu mesti dilunaskan menjelang Disember. Tetapi dengan ilham yang melarikan diri, di mana harus saya bermula?

Mak!

Saya bermula di rahim mak, membentuk rongga muka, tangan dan kaki. Di sisi mak, ilham menunda-nunda. Banyak sekali. Seperti banjir yang melimpahi tebing, begitulah ia akan terjadi. Atau ombak di pantai yang terbaring. Tidak penat langsung menghempaskan diri.

Sunyi ini mak, memekik-mekik dalam minda. Bising sekali sunyi ini. Aneh, dalam sunyi saya kebisingan. Dalam bising saya kesunyian.

Saya perlu mengemas-ngemas bagasi.

Saya mahu pergi.

Saya mahu melihat wajah mak yang kedutnya menandakan kaya pengalaman.

Saya mahu mendengar suara mak yang penuh ceria.

Mak tak pernah berhenti bercerita sejak saya masih anak-anak.

Dan cerita-cerita mak telah menjadikan siapa diri saya sekarang.

Maka, terima kasih mak.

Terima kasih.

Saturday, November 9, 2013

Rindu Sentuhan-Mu

Telinga kanan kembali bernyanyi. Perut kembung. Saya tidak sendirian di sunyi malam. Allah dan malaikat-Nya bersama saya. Tidak mengapa, sakit pun tidak mengapa sebab saya masih punya Dia.

Anak itu telah pulang ke kampus. Cuti sudah tamat.

Mengemas-ngemas kalbu yang berdebu, saya mendengar ustaz bercerita.

Kata ustaz:

Jika saya meletakkan atas meja RM1 yang berkilat, berbau wangi dan baru keluar dari bank; dengan RM100 yang telah saya keronyokkan: yang mana satu saudara pilih?

Kedua-dua ahli usrah yang ditanya menjawab dengan jujur: sudah tentu kami memilih RM100.

Kata ustaz: kenapa memilih RM100? Sebab nilainya.

Begitulah perbandingan dunia dan akhirat. RM1 itu nilainya sedikit walaupun cantik berkilat. RM100 itu nilainya banyak walaupun jalan untuk ke sana berkeronyok dan berliku.

Tetapi realitinya kita tidak begitu. Kita selalu cenderung memilih dunia yang cantik berkilauan.

Ustaz menyebut juga. Imam Ghazali menyenaraikan empat halangan untuk manusia berhijrah ke arah yang lebih baik.

Pertamanya ialah dunia. Kedua, manusia iaitu kawan-kawan yang mempengaruhi hidup kita. Ketiga, syaitan dan yang keempat ialah nafsu.

Saya teringat doa terhadap anak-anak.

Selalu saya mendoakan mereka bertemu dengan golongan sahabat yang soleh dan solehah, yang memiliki aura positif dan berhati baik. Mudah-mudahan mereka juga akhirnya menjadi solehah biarpun mengambil masa yang lama untuk berubah. Maklumlah mereka dididik oleh ibu yang tidak memiliki ilmu agama seperti para ustazah.

Orang yang bijak ialah orang yang mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Kita ini termasuk saya selalu menyebut akan kematian tetapi sudah bersediakah kita dengan kantung-kantung ibadat? Kadang-kadang saya sedar kantung saya yang ringan itu pun bocor di sana sini!

Saya mendengar ustaz menyanyi dengan sayu.

...pedihnya kurasakan
dunia bagai terhenti
resah kian mengcengkam
rindu sentuhan-Mu
Tuhan, bisakah kumerasa cinta-Mu
yang telah lama kudamba
kerana hati ini tidak mampu
menanggung siksa jauh dari-Mu
Tuhan, hulurkan hidayah-Mu
agar kukembali menjadi hamba
yang hanya sujud menyembah pada-Mu
hingga ke hujung nafas terakhir
Tuhan, kurindu sentuhan kasih-Mu
kurindu sentuhan-Mu...

Thursday, November 7, 2013

Gigi Oh Gigi!

Hari ini jadual ke hospital.

Entah apa kenanya, pergi dan balik macam naik teksi ekspres. Agaknya pemandu teksi bekas pelumba kereta satu ketika dahulu. Laju dan mencelah-celah!

Asalnya, budak yang sulung itu mahu menemani ke hospital. Tapi saya tidak sampai hati sebab ada tugasan yang perlu dia disiapkan. Lagi pun masa menunggu sangat lama. Saya tinggalkan dia dan pergi sendiri.

Allah lapangkan jalan untuk saya. Alhamdulillah.

Doktor menentukan tarikh mamogram tahunan pada Februari tahun hadapan. Sama macam tahun-tahun sebelumnya. Jadi, saya ke Jabatan Radiologi menempah tarikh. Kemudian balik semula ke Klinik Surgeri untuk tarikh temu janji.

Saya selalu suka kalau ada dua temu janji dalam satu hari. Walaupun terpaksa jadi penunggu tetapi saya tidak perlu datang selalu. Penat di perjalanan dan penat menunggu.

Harap semuanya bagus-bagus sahaja.

Semalam saya ke doktor gigi. Sakit gigi sudah tertangguh dua minggu. Gigi saya dicabut. Sudah kurang dua gigi bahagian atas. Satu kanan dan satu kiri.

Saya menelan ubat tahan sakit dan antibiotik yang diberikan Doktor Mazura, doktor gigi yang baru saya kenali. Dia mengingatkan supaya saya datang semula minggu depan sebelum saya ke luar negara. Dia bimbang jika ada jangkitan kuman disebabkan kesan radioterapi. Gusi bernanah juga.

Saya tidak akan pergi lagi ke klinik gigi kerajaan yang berhampiran dengan kediaman saya. Jauh bezanya daripada klinik gigi kerajaan di Kuala Pilah. Tetapi Kuala Pilah sedikit jauh dan suami agak tidak gemar saya ke sana atas sebab-sebab tertentu.

Klinik yang dekat dengan kediaman saya? Layanan doktornya kasar dan suka membebel. Orang sakit gigi kena bebel lagi. Rasa mahu tumbuk je. Adakah patut dikatanya, sakit gigi saya hanyalah khayalan semata-mata!

Untuk masa-masa yang akan datang, kami sekeluarga akan mendapatkan khidmat Doktor Mazura dan pasukannya!

Budak yang sulung itu ketawakan saya, “memang sah ibu adik maklong...” merujuk kepada kakak sulung saya yang sudah pun bergigi palsu. Ya lah, umurnya sudah masuk enam puluh, memang patutlah kalau sudah tidak bergigi.

Tetapi bagus juga Allah berikan saya sakit gigi. Budak itu rajin buat kerja membasuh sebab kasihankan ibu yang sakit gigi. Saya pun mengambil kesempatan. Sakit sikit tetapi auta yang lebih!

Alhamdulillah.

Ini pengalaman pertama sakit gigi. Patutlah orang kata jangan diusik-usik kalau orang tengah sakit gigi. Sakitnya sampai ke kepala.

Mujur juga kena sakit gigi. Kalau tidak, sampai bila-bila pun tidak tahu bagaimana rasanya.

Saya bawa balik gigi saya itu. Beberapa tahun lepas, si bongsu menanam gigi saya yang satu lagi di tepi bunga, siap dengan nisan batu. Kemudian berangan-angan akan tumbuh pokok besar macam cerita Bawang Putih Bawang Merah. Kali ini dia tidak cuti.

Esok sajalah saya tanam. Dan berangan-angan akan tumbuh pokok buah delima. Buah delima di Malaysia sangat mahal.

Wednesday, November 6, 2013

Good-Bye Red & Yellow Omnibus!



Mengikut persiaran atau pekeliling yang dikeluarkan oleh Tetuan Red & Yellow Omnibus Co. Sdn. Bhd., Taiping, syarikat ini akan menamat/ memberhentikan perniagaan perkhidmatan basnya mulai 01.12.2013.

Entahlah. Sedih pun ada membaca status yang ditulis teman.

Bas itu memang sudah begitu tua. Kemudian Kerajaan Negeri Perak menawarkan pula perkhidmatan bas yang saya tidak ingat namanya apa. Rasanya baru beroperasi tahun ini. Saya tahu itu pun sebab anak-anak saudara sibuk bercerita mereka naik bas baharu ke pekan Lenggong.

Bas itu penuh nostalgia. Suka duka sebagai anak kampung zaman-zaman 60-an dan awal 70-an yang melihat kereta sebagai sesuatu yang alien. Musim hari raya, bas itu sesak hingga ke tangga. Sampai di stesen yang ada pokok yang besar, tukang “kolek” pun gagal mengesan siapa yang belum bayar tambang sebab semuanya berebut-rebut mahu turun.

Memang saya tidak bersekolah menengah di Lenggong. Tetapi saya kerap menggunakan perkhidmatan Red & Yellow Omnibus setiap kali cuti penggal persekolahan atau ketika cuti semester universiti. Memang keletihan sebab jalan yang bengkang-bengkok, basnya pula dipandu laju. Kalau saya tiba pada waktu malam, Allahyarham ayah akan menunggu di pondok menunggu bas dalam gelap gelita.

Penduduk kampung sekarang ramai yang berkereta atau paling kurang memiliki motosikal. Syarikat mengalami kerugian teruk.

Mak mesti sedih. Kadang-kadang mak ke pekan naik bas khususnya untuk shopping di pekan Sabtu.

Tetapi kita tidak boleh hidup dengan hanya mengenang masa lalu semata-mata.

Selamat jalan Red & Yellow Omnibus.

Dia akan jadi sejarah.

Dan tiba-tiba kolam mata saya seperti digenangi air!

Monday, November 4, 2013

Tahun Baharu Hijrah 1435

Dua hari ini saya ulang alik ke pantai.

Kelmarin bersama suami, cuba-cuba makan makanan orang Pantai Timur. Sedap juga nasi dagang itu. Malamnya dia tidak boleh diganggu. Ada bola!

Petang menjelang tahun Hijrah 1434 mahu menutup pintunya, saya pergi lagi bersama anak-anak gadis saya yang pulang dari kampus.

Si sulung sedang bercuti seminggu. Si bongsu digesa kakaknya supaya balik juga walaupun cuti hanya sehari. Mahu mencari kasut dan pakaian yang sesuai dipakai dalam musim sejuk.

Kami singgah untuk asar di sebuah surau pasar raya. Suraunya muram dan berbau kusam. Ketika si anak mengambil telekung yang ada di rak, dia hampir termuntah. Kalaulah rumah saya dekat, mahu sahaja saya ambil telekung-telekung yang sangat berbau itu untuk dicuci.

Pengajarannya...

“Lain kali pastikan dalam kereta masing-masing ada telekung atau pakaian yang boleh terus dibawa solat! Atau stokin tebal, boleh pakai dan solat kalau pakaian bersih dan sempurna menutup aurat!”

Budak-budak itu...sudah diingatkan pun masih lupa.

Balik ke rumah, barulah masing-masing sibuk mencari telekung yang berlipat-lipat dalam bakul!

Apa yang mahu saya tekankan ialah penyediaan surau yang macam “melepaskan batok di tangga”. Kelihatannya dinding surau itu berlumut-lumut, lantainya juga melekit.

Nampaknya kami menutup tahun dengan kesedihan akan kedaifan surau di pasar raya! Sepanjang jalan pulang, saya melihat juga papan tanda meraikan ketibaan tahun baharu.

Sambutan Maal Hijrah 1435 kelihatannya tidak segah sambutan Tahun Baharu Masihi. Kalau pun terasa meriahnya ialah apabila kita mendengar usaha IKIM fm yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran tahun baharu itu.

Barangkali di TV ada siaran-siaran berkaitan kemunculan Maal Hijrah. Peti TV di rumah hanya wujud dalam kamar saya. Seminggu sekali pun belum tentu dibuka siarannya. Jadilah peti hitam itu tempat saya menyidai tuala mandi! Budak-budak itu pun sudah sangat biasa tidak menonton TV.

Apa pun, selamat menyambut Maal Hijrah 1435.

Semoga tahun baharu ini membawa kita kembali ke jalan yang lebih sempurna.

Moga segala dosa kita terampun.

Mudah-mudahan kebahagian menjadi milik kita dalam rahmat-Nya.