Total Pageviews

Friday, October 4, 2013

Dia Sang Penglipur Lara...


Saya sangat mengantuk dan penat.

Masalahnya saya masih tidak boleh tidur. Jam sudah melebihi waktu tidur saya yang biasa.

Dia masih bercerita. Bersemangat pula siap dengan gelak ketawa lucu. Hairan sungguh. Dari mana dia dapat tenaga?

Saya bersandar di sofa. Mata sesekali separuh tertutup. Ceritanya kadang-kadang saya faham di awal, menuju ke hujung. Isi yang di tengah, hilang dalam lelap saya yang sebentar-sebentar.

Umurnya November ini bakal menjenguk ke pintu enam puluh satu. Dia bekerja jauh. Dua jam jika jalan tidak banjir dengan kenderaan. Jika tidak, dua jam setengah baru dia tiba di muka pintu. Saya selalu fikir, entah-entah dia ini kala jengking jadi-jadian. Saya jarang dapat melihatnya pada waktu siang jika hari bekerja. Tiba kala Maghrib, ke pejabat usai solat Subuh.

Kenapa kala jengking? Sebab dia berzodiak serangga berbisa itu.

Kerjanya nampak macam sukar. Mental dan fizikal kena aktif. Bukan hanya duduk di pejabat tetapi kadang-kadang kena keluar. Dan dia begitu asyik dengan kerja sehingga kadang-kadang saya berasa seperti mahu mencipta istilah baharu yakni “mengisteri tiri”. Saya berasa seperti “diisteritirikan”. Kena selalu mengalah dengan ketaksubannya terhadap kerja.

Balik ke rumah pun kepalanya masih di pejabat. Aduh!

Maka macam biasa, saya menjadi pendengarnya yang setia. Kadang-kadang ada kisah lucu, kadang-kadang ada kisah yang melukakan hati lelakinya.

Baru-baru ini ada majlis di tempat kerja.

“Abang susah hati betul. Ada ke patut buat pertandingan tiup belon. Abang dah kecut perut. Nasib baik juga dulu adik selalu acah-acah abang dengan belon...”

Hehehe...kalaulah orang-orang di pejabatnya tahu bahawa dia fobia dengan belon! Itulah juga yang jadi modal si adik untuk mengenakan Daddynya!

Tetapi biar pun selalu bergaduh pasal belon, mereka ada minat dan bakat yang serupa dalam seni lukis dan seni reka. Kalau kedua-duanya sedang bercerita tentang seni, saya bukan sahaja berasa “diisteritirikan”, malahan “diibutirikan” juga. Mujur ada seorang lagi budak yang berminat dalam sastera meskipun dalam bahasa yang berbeza.

Dia bawakan saya sejambak bunga hidup berwarna kuning. Saya tidak tahu namanya sebab saya bukan seperti rasminya perempuan yang obses dengan bunga-bungaan. Saya tahu dia sukakan warna kuning dan oren. Warna yang melambangkan hati yang sentiasa cergas dan girang. Dia potongkan tangkai yang panjang, meletakkannya dalam pasu dengan sebiji panadol dan air mineral.

Saya hanya melihat.

Dan berfikir-fikir juga.

Kalau dia menjadi perempuan, tentu hiasan rumah penuh kekreatifan, tidaklah terlalu simple dan dipenuhi buku seperti sekarang ini!

Saya sudah terlalu kantuk. Ceritanya seperti esok siang baru akan habis. Daripada kisah masa kecilnya sehinggalah perihal kerenah kerjanya sekarang.

Dia tidak perasan separuh mata saya sudah tertutup. Sesekali berasa seperti sedang mendengar radio yang siarannya sekejap ada sekejap hilang.

Saya empat belas tahun lebih muda. Memandu ke pejabat tidak sampai lima belas minit. Tetapi upaya saya dengannya sangat jauh berbeza. Dia masih dipenuhi aura girang seperti warna bunga sejambak yang digubahnya.

Mungkin selepas ini saya kena menukar kegemaran terhadap warna.

Lupakan warna-warna sedih seperti coklat dan kelabu.

Selamat datang dunia merah, kuning dan oren!

3 comments:

cahaya iman said...

salam KY.. semoga dalam rahmat ALLAH selalu.
Entah bila saya pun sukakan warna coklat.
mulanya tk perasan, tp bila suami tegur, asik beli tudung coklat, baju coklat..baru terperasan.
sekali lagi, sy pun nk nmpak ceria aje macam KY..tp nak tukar colour ungu.. KY penah cakap ungu tu lmbang kewanitaan..hihi..

IBU BUNGA MATAHARI said...

coklat warna tanah. warna ibu. warna lembut. warna penuh sedih. bukankah tanahlah tempat dilemparkan segala kotoran tetapi masih redho menerima?

cahaya iman said...

betul3..sukanya ayat KY tu.. :)memang ada kebenarannya!