Total Pageviews

Thursday, October 31, 2013

Ayuh Jadi Berani

Kakak saya seorang yang cukup pengingat. Selalu dia bercerita kisah-kisah lucu dan sedih sewaktu kami masih anak-anak.

Saya hanyalah pengikutnya yang setia. Kalau dia ke sungai, saya pun ikut ke sungai. Cuma disebabkan saya agak lembik, mak kurang mengizinkan saya menjadi anak kampung original. Maksudnya, saya masih masuk ke bendang sehingga kerbau pun fikir dia ada anak yang berkaki dua. Tetapi dalam masa yang terhad sahaja saya boleh seperti itu.

Saya bukan budak yang sihat sejak kecil walaupun semangat macam gunung kinabalu.

Kakak yang saya dan adik-adik panggil Nyah mengikut sistem kekeluargaan masyarakat Perak, merupakan kanak-kanak yang montel. Nyah pernah menjadi naib johan pertandingan bayi montel yang diadakan pada tahun-tahun awal 60-an. Sekarang pun susuk tubuhnya tidak kurus. Tidak juga gemuk. Tetapi disebabkan saya dan Nyah mengikut spesis mak, maka ketinggian kami menyebabkan kalau mahu mengambil barang di atas para, kena ada bantuan kerusi.

Pendeklah...senang cerita. Tidak tinggi ikut spesis ayah.

Nyah pernah menangkap labi-labi dan menjualnya kepada apek dengan harga yang saya pun tidak ingat lagi. Selepas mendapat wang hasil jualan labi-labi, dia membeli makanan untuk saya dan adik. Kadang-kadang dia menjual buah dan jeruk yang mak buat di sekolah.

“Manalah Nyah tahu tak elok jual labi-labi...” katanya sedih walaupun sedikit lucu.

Dia penggemar asam. Kadang-kadang saya pun terfikir, perut Nyah diperbuat daripada apa agaknya?

Saya sudah mahu jadi empat puluh delapan apabila tahun ini berakhir. Nyah akan masuk ke pintu lima puluh satu. Kami beza tiga tahun. Meskipun saya sudah begitu tua, Nyah seakan terlupa. Dia melayani saya seperti saya masih adiknya yang kecil, lembik dan berpenyakit. Saat saya seminggu ikut acara di Ipoh, Nyah sentiasa bertanya khabar demi memastikan saya sihat dan ceria. Malahan pada tengah malam itu, Nyah datang membawa bagasi tambahan untuk saya. Sudah pasti ditemani kawan sebab Nyah ada kelemahan yang kronik. Dia tidak tahu jalan meskipun duduk dan bekerja di Ipoh.

Setiap kita ada kelebihan dan kekurangan. Itulah kekurangan Nyah. Budak perempuan paling brutal di kampung satu ketika dahulu, cukup takut kalau diminta memandu di tengah bandar!

Saya sangat beruntung. Mak, kakak-kakak, abang, adik-adik lelaki, ipar-ipar, sepupu-sepupu, jiran-jiran, kawan-kawan jauh dan dekat, semuanya menjadi bunga-bunga matahari di laman hati saya. Sudah tentu suami dan anak-anak saya yang lucu itu turut menjadi bunga-bunga matahari berwarna kuning emas di laman jiwa.

Saya cepat menjadi sihat meskipun ada satu ketika saya berasa sangat tidak berguna dan kurang disayangi. Itu hanyalah mainan emosi orang yang penyakitnya lazim berakhir dengan maut. Apabila mengenangkan mereka yang sangat baik, saya menadah tangan tanda syukur yang tidak terhingga.

Saya tidak lagi melihat dunia dari jendela yang terbuka. Saya keluar menghadapi dunia yang indah dan penuh warna. Saya melihat air terjun dan menikmati biasan airnya. Saya keluar menyedut udara pagi. Saya melihat kerdipan bintang yang jauh di langit Tuhan. Saya menghidu bau rumput yang wangi.

Dunia ini hanya pondok tempat persinggahan sementara.

Hadapi kehidupan dengan berani. Hujan ribut, petir dan kilat, adalah elemen kehidupan di dunia yang dipinjamkan buat kita.

Buka mata dan lihatlah dengan hati yang terbuka.

Mak selalu kata begitu.

Nyah juga kata begitu.

Meskipun dalam ayat dan nada yang tidak sama.

Tuesday, October 29, 2013

Dunia Itu Tidak Suci



Dunia sastera bukan sesuci namanya.

Demikian kesimpulan yang dibuat beberapa teman penulis dalam perbincangan santai tatkala hujan berehat. Sama ada semasa di kota Ipoh atau di tengah pulau.

Mungkin dahulu, gayanya seperti gadis yang terpelihara. Tetapi sekarang sudah sedikit berbeza.

Nampaknya kekotoran itu sudah ada meskipun tidak sekotor pelaku-pelaku politik dalam menghalalkan segala cara.

Saya selamanya berfikiran bahawa dunia itu masih suci meskipun bukan seputih kapas. Namun saya ketinggalan kereta api rupa-rupanya. Berita yang disebut teman benar-benar mengejutkan.

Ada dalam kalangan penulis besar yang punya wang banyak, mengupah orang untuk membicarakan karyanya.

“Ada begitu?” tanya saya terasa begitu jauh tertinggal di stesen.

Melobi-lobi untuk anugerah itu saya pernah dengar daripada penulis senior. Tetapi mengupah-upah itu baru itulah pertama kali saya tahu.

Saya pun tidak pasti kebenarannya.

Kemudian ada juga sekelompok yang asyik memperlekeh kerja orang lain. Nada seperti cemburu dengan keupayaan individu atau sekumpulan individu yang berjaya mengendalikan acara internasional.

Seperti kata Pak Malim Ghozali Pk, penerima SEA Write Awards yang terbaharu dan orang kuat WCP ke-33, “biasalah kalau kenduri, ada pecah piring dan cawan...”. Demikian orang seni apabila berkata-kata. Halus dan penuh makna. Secara peribadi saya kagum dengan penggiat-penggiat seni seperti beliau. Dia baru disahkan menghidap kanser tahap empat tetapi upayanya melebihi kudrat. Seperti saya juga, dia baru usai rawatan dan bakal menjalani pembedahan dalam beberapa waktu ini.

Waktu-waktu begitulah saya terkenangkan penyair dan penulis tulen. Gemulah Usman Awang, gemulah Pak Sako, Pak Samad Said, Pyanhabib Rahman dan seangkatan dengannya. Mereka memang hebat! Mereka bukan palsu. Bukan penipu. Bukan juga pengampu.

Sepanjang WCP itu, ada teman-teman dari negara jiran yang kehilangan bagasi yang dilarikan bas dari terminal lapangan terbang. Ada juga teman dari Malaysia yang kena begitu, tetapi barangkali disilap-ambil. Semua bagasi ada nama dan negara. Kasihan betul. Ada juga yang mengadu-adu dipeluk penyair wanita negara Latin. Tetapi mengadu-ngadu dengan nada yang gembira sebab yang kena peluk itu pun bukannya wanita!

Sunday, October 27, 2013

Perjalanan Panjang 33rd WCP 2013




Bersama Delegasi Negara India


Membaca sajak Lembah Lenggongku


Diskusi puisi dengan SN Muhammad Haji Salleh


Concubine Lane Ipoh Old Town


Antara bot yang membawa bendera negara-negara terlibat



Sudah mahu berangkat, tiba-tiba sakit gigi.

Mahu membatalkan rasa macam tidak kena. Jadi, si bunga-bunga matahari saya menghantar ke KLIA. Bukan mahu menaiki pesawat tetapi akan diangkut bersama delegasi luar negara yang tiba di lapangan terbang itu.

Sudah ada ramai di situ. Kami ditempatkan dalam van bersama peserta dari Columbia yang asyik tidur, barangkali kesan jetlag. Juga delegasi dari negara jiran, Singapura dan Indonesia.

Kami tiba ke Hotel Syuen agak awal. Mendaftar, diberikan tag nama, terus diberikan kamar dan sedikit taklimat oleh Tia, gadis muda yang bertugas sebagai pegawai pengiring.

Malamnya kami ada acara Baca Puisi di Gerbang Malam iaitu sebuah pasar malam di Ipoh. Waktu mahu ke sana, ada peserta dari negara Latin yang teruja tatkala mengetahui saya memahami sepatah dua bahasa Sepanyol.

Hujan lebat sudah menunggu kami di Gerbang Malam. Pengunjung tidak ramai sebab gementarkan hujan. Kami diberikan baju hujan WCP yang berwarna kuning. Pasar malam itu dipenuhi orang-orang berpakaian baju hujan kuning. Acara baca puisi tetap diteruskan dalam hujan. Kopitiam yang biasanya menutup awal kedai mereka, melanjutkan tempoh berniaga.

“Sediakan baju hujan sebelum hujan” dan itulah yang bagusnya penganjur. Musim ini musim langit murah air mata. Mereka sudah siap siaga dengan keperluan baju hujan itu.

Esoknya hari kedua ada acara di PORT (People of Remarkable Talents) yakni sebuah tempat yang disediakan bagi penggiat-penggiat seni. Hujan masih turun. Kami makan tengah hari dalam kuah yang sudah sedikit bercampur dengan air dari langit.

Saat itulah saya gelisah. Bunga matahari yang sulung kemalangan. Mujur dia tidak ada apa-apa, hanya kereta yang ditabraknya yang mengalami sedikit kerosakan. Keretanya juga OK.

Si bunga matahari yang bongsu ditahan di wad kampus sebab demam. Dua botol air dimasukkan. Saya benar-benar gelisah. Saya sudah mahu pulang tetapi mesej-mesej yang mereka kirim menggambarkan bahawa mereka kuat untuk menghadapi masalah tanpa ibu di sisi. “Jangan risau...” ayat itu diulang-ulang. Dan akhirnya saya tahu, saya mesti belajar untuk mempercayai bahawa mereka sudah boleh berdikari.

Malamnya ada acara di SUK dengan MB dan isteri. Anak saudara saya (anak kakak) turut membuat persembahan melalui grup Selendang Perak. Ada juga acara baca puisi dan penyampaian anugerah. Juga peluncuran antologi yang memuatkan sajak-sajak berbahasa Inggeris para penyair sedunia. Sajak saya Homeless Child turut termuat dalam antologi tersebut.

Hari ketiga kami bergerak ke Lenggong. Di Muzium Arkeologi Lenggong saya mendeklamasikan sajak yang saya tulis sepanjang perjalanan ke daerah kelahiran saya itu. My Lenggong Valley atau Lembah Lenggongku saya baca dengan cinta.

Usai membaca, Novelis Baharuddin Kahar (Novel Senjakala) mendekat. Saya antara pengkagum Pak Baha yang kelihatan seperti orang tua yang biasa dan begitu merendah diri, tetapi Allah memberikannya bakat menulis yang sangat luar biasa.

“Boleh menyanyi? Suara Ratna sedap”

Saya ketawa besar. Teringat bagaimana gelagat anak-anak dan anak saudara yang kepengsanan kalau mendengar saya menyanyi.

“Saya tak pandai menyanyi Pak Baha, hanya biasa mengacara majlis. Itu pun bukan pandai sangat...”

“Daripada pengalaman saya, you boleh menyanyi. Saya pernah melatih orang menyanyi. Memang boleh. Mereka ada suara macam you...”

Eh, biar betul Pak Baha! Memang saya suka menyanyi tetapi suara saya memang tidak sedap...hahahaha...

Selesai membaca sajak, saya juga didekati pegawai muzium yang meminta sajak tersebut diberikan kepadanya. Juga video bacaan sajak.

Dari Lenggong, kami dibawa ke Kuala Sepetang. Ramai yang turun untuk membantu menanam pokok bakau. Menarik sekali.

Malamnya ada acara di Lost World of Tambun. Stesen makanan begitu banyak. Tetapi sekali lagi hujan lebat turun. Kami dibekalkan sekali lagi dengan baju hujan WCP berwarna kuning. Saya berdiri di stesen buah-buahan. Makan buah sambil melihat hujan. Juga sempat melihat Marie peserta dari Perancis mempersembahkan monolog tari.

Hari keempat ialah Ipoh Heritage Trail. Malamnya saya kesakitan dan Penyair Rosmiaty Shaary, teman sekamar mencadangkan supaya saya berehat di kamar. Alhamdulillah, pagi esoknya saya sudah kembali sihat. Kami dibawa ke Concubine Lane, sebuah lorong yang berusia lebih 100 tahun. Lorong dosa, lorong yang menyimpan duka perempuan, kata saya. Lorong yang menempatkan 27 rumah perempuan simpanan tokeh lombong berketurunan Cina yang kaya raya. Sekarang hanya tiga buah rumah sahaja yang masih dihuni oleh generasi concubine ini.

Meskipun barangkali tiada makna bagi orang biasa, para penyair menanggapi lorong ini dengan imaginasi luar biasa. Di dalam bas, saya mencatat sajak berjudul Menuju Lorong.

Kami dibawa ke Stesen KTM Ipoh. Juga menikmati Ipoh White Coffee.

Berderet kami ke “kamar kecil”, kata Dr. Free Hearty, penyair dari Jakarta.

No hay aqua...” kata seorang penyair dari negara Sepanyol.

Hay aqua pero un poco...” kata saya membetulkan. Airnya ada tetapi oleh sebab terlalu ramai menggunakan tandas, tangki kehabisan air untuk dipam.

Petang kami dibawa ke Pasar raya Mydin Meru Raya. Ada acara baca puisi juga di situ. Cuma ramai agak terkilan sebab acara baca puisi itu tenggelam dengan acara tarian yang tidak ada kena-mengena dengan seni berpuisi!

Malam ada makan-makan Chinese Cuisine dengan datuk bandar Ipoh. Saya gelisah. Akhirnya saya naik ke bilik lebih awal.

Hari kelima kami bergerak ke Gua Tempurung. Perjalanan selama seminggu itu sentiasa lancar sebab sentiasa ada kereta polis dan dua orang rider yang mengiringi lima buah bas para delegasi. Kami disambut dengan paluan kompang oleh penduduk Kampung Jahang, dijamu dengan buah-buahan tempatan termasuk durian.

Memasuki Gua Tempurung, saya mengucap Subhanallah berkali-kali. Cantik sungguh.

Delegasi kemudiannya menuju ke Jeti Lumut. Kami dibawa dengan feri yang ditempah khas. Dua buah bot yang membawa bendera negara-negara terlibat meluncur di muka air mengiringi feri. Sampai di Pulau Pangkor, sudah hampir Maghrib. Kami belum solat dan masalahnya bagasi masih belum sampai. Akhirnya saya membuat keputusan melabuhkan seluar yang saya pakai sehingga menutupi tapak kaki, melabuhkan tudung dan solat!

Kami makan malam dan baca puisi di Coral Bay.

Hari keenam, delegasi dibawa ke Teluk Kecil untuk acara baca puisi di sana. Hujan pagi menyambut kami. Menjelang petang saya keletihan. Saya hanya sempat mengikuti Bicara Karya di pertengahan acara.

Malamnya ada makan malam bersama DO Manjung dan pegawai-pegawai lain. Jam sembilan kami menuju ke Arena Pangkor menunggu keberangkatan DYMM pemangku Sultan Perak dan isteri. Kami menunggu hampir satu jam. Akhirnya baginda tiba dan melakukan perasmian penutup 33rd World Congress of Poets 2013 dan membuka rasmi PULARA 4 (Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor). Penyerahan watikah untuk 34th WCP 2014 di Peru juga dilakukan baginda.

Acara berakhir lewat. Ada perbincangan-perbincangan kelompok melahirkan rasa hati masing-masing sehingga awal pagi. Saya dirakam bual oleh petugas dokumentasi. Kata saya, “dengan puisi kita mengenal dunia dan dengan puisi dunia mengenal kita”.

Hari ketujuh. Kami dibawa ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Malangnya bas yang membawa delegasi Nusantara mengalami masalah di Hentian Rehat Behrang. Dua jam kami tersadai. Tiga bas yang lain telah bergerak pergi sekali dengan pengiring polis.

Sudah agak lewat kami tiba di DBP dengan lapar yang menggigit. Masih ada acara baca puisi juga. Kemudian saya ikut ke KLIA sebab anak sudah menunggu di sana.

Singgah di UKM untuk melihat si sulung. Sudah lewat malam tiba ke rumah. Esok paginya, baru terasa badan sakit-sakit.

Banyak yang saya belajar daripada pengalaman bersama penyair sedunia. Ada dalam kalangan delegasi yang langsung tidak boleh berbahasa Inggeris menjadikan bahasa isyarat sangat perlu dalam beberapa situasi.

Lain yang ditanya lain pula yang dijawab. Tetapi meskipun begitu, mereka adalah golongan penyair dan ahli akademik yang sangat dihormati di negara mereka. Malahan ramai daripada mereka yang bergelar doktor falsafah.

Saya teringat waktu melihat delegasi dari Beijing yang memborong sampai penuh dua buah troli dari Mydin Mall.

Cheap?” saya menyoal ringkas.

Dia tidak faham. Dan dia mula membuka satu demi satu plastik dan menunjukkan kepada saya barang-barang yang dibeli.

Aduh! Agaknya mereka fikir saya bertanya apakah jenis barangan yang dibeli!

Letih sekali.

Tetapi tatkala bunga-bunga matahari saya kembali ke rumah, saya kembali cergas.

Saturday, October 19, 2013

Sayapnya Tidak Berkembang Lagi

Malam itu meskipun penat, saya membuka laman maya.

Sudah begitu lama tidak menjenguk berita teman-teman dan dunia sekitar.

Sangat mengejutkan. Saya membacanya berkali-kali. Status yang ditulis oleh pensyarah senior, Puan Hajah Amanah menjadikan saya terkedu.

Benarkah?

Saya menulis balas. Dengan rasa tidak percaya yang begitu mengakar. Jawapan Puan Amanah adalah benar. Dia telah pergi pada petang Jumaat semalam.

Kak Ros kita? Tanya saya.

Ya. Kak Ros cantik kita telah pergi.

Saya tidak lama dengannya, sekitar enam bulan. Tetapi dakapan dan pesanan akhirnya masih kekal di ruang ingat. Saya bacakan sajak yang saya tulis buatnya dalam majlis perpisahan di sebuah hotel. Saya masih ingat juga hadiah kecil yang saya berikan. Hadiah yang cukup berbeza dengan rakan lain. Komik-komik Datuk Lat! Dan sebuah buku Islamik untuk menangani kesedihan.

Kenapa begitu? Nasib kami sama meskipun tidak serupa. Saya memahami nyanyi hati Kak Ros. Saya mahu dia gembira membaca komik-komik dan buku itu, sekali gus membaca nostalgia zaman kecil yang kosong masalah.

Setelah bersara, sesekali saya menghubungi Kak Ros. Pesanannya masih sama. Dan pesanan-pesanan itu bersipongan dalam gerabak minda saya. Tahun lepas, dia menunaikan haji. Allah telah menjemput Kak Ros untuk menjadi tetamu-Nya.

Tahun ini, tahun yang dipenuhi perpisahan.

Mula-mula, Ramadan yang lalu, sahabat baik saya Ustaz Mokhlis telah kembali ke sisi Allah disebabkan kanser lidah tahap empat. Kemudian, suami Puan Hajah Rafiah Daud yang dijemput pergi secara tiba-tiba oleh pemiliknya. Meskipun tidak mengenali allahyarham secara peribadi, tetapi melihat mendung di wajah Puan Hajah Rafiah, sangat melukakan hati.

Dan sekarang, di bulan Zulhijjah ini, giliran Kak Ros.

Mudah-mudahan Allah mencantikkan kehidupan Allahyarham Kak Ros di dunia sana disebabkan cantiknya kesabaran beliau mendepani kemelut hidup di dunia ini.

Kak Ros cantik telah pergi.

Dan sayapnya sudah tidak berkembang lagi.

Ya Allah, ampunilah dia. Dia ibu yang sangat mulia.

Friday, October 18, 2013

Biarkan...

Pulang juga ke Lembah Lenggong. Meninggalkan budak itu sendirian berhari raya di kampus, dengan demamnya yang belum kebah dan kaki berbalut akibat terseliuh.

Hati sangat berat mahu pulang. Masalahnya, dia memaklumkan tidak mahu ikut setelah saya dan adiknya sampai di kampus. Saya sudah berjanji dengan mak mahu balik juga. Saya diam lama. Dengan hati yang sedikit berbelah bahagi.

Tapi teringat kata-kata kakak saya lama dahulu.

“Mak sudah tua. Sudah berpuluh tahun hidup bersama kita. Memang kita tidak tahu siapa yang akan pergi dahulu. Tapi mak sudah tujuh puluh lima. Entah berapa banyak baki usia mak. Anak-anak kita sudah dewasa. Sesekali kena ajar mereka sendirian berdepan dengan masalah. Jangan keterlaluan menghulur tangan kalau mereka jatuh”.

Itu kata kakak saya. Dia ibu dan saya juga ibu. Itu cara ibu-ibu memujuk hati meskipun untuk menjadikan ia satu realiti adalah perkara paling sukar.

Memang. Sepanjang berada di kampung, hati saya jauh melayang. Saya tidak tidur malam. Dalam keadaan tidak berdaya, saya bangun melakukan apa yang patut dilakukan seorang ibu demi menghilangkan rasa bimbang akan keberadaan anak itu.

Terima kasih atas kewujudan alatan komunikasi.

Saya sendiri demam. Dengan bahu dan leher yang sakit seperti mahu patah. Dia memberi jaminan bahawa situasinya OK. Jangan bimbang, katanya. “Ibu mesti banyakkan rehat!”

Balik dari kampung, memang dia nampak OK. Dia ikut saya balik ke Seremban. Dia yang memandu dan si adik mengikut dari belakang sebelum memecut laju.

Budak-budak itu sudah ada di depan mata saya. Maka tiba-tiba saya berasa sangat sihat meskipun letih.

Jangan kerap menghulur tangan ketika anak jatuh. Biarkan sesekali mereka merasakan sakitnya jatuh dan berusaha untuk bangun sendiri.

Saya kepenatan.

Tetapi lagi dua hari saya akan mengikuti 33rd World Congress of Poet 2013 selama seminggu.

Dua hari untuk membuat persiapan.

Dan untuk pertama kalinya, sajak berbahasa Inggeris saya akan terbit dalam antologi bersama penyair-penyair sedunia.

Sedunialah sangat...hahaha. Padahal “sekampung” pun belum tentu layak!

Sunday, October 13, 2013

Tuhan, Berikan Kami Cinta!

Esok 14 Oktober 2013. Esok 9 Zulhijah. Esok Hari Arafah.

Jika kita berpuasa esok hari, maka diampunkan segala dosa kita setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Subhanallah.

Jemaah haji, saudara-saudara kita yang seagama, yang datangnya dari seluruh pelusuk dunia, sedang bergerak menuju Mina.

Allah Hu Akbar! Begitulah Allah sedang memperlihatkan suasana di Padang Mahsyar dengan himpunan manusia yang sedemikian ramai. Jika itu pun sudah kelihatan ramai, betapalah pula keadaannya semasa manusia dihimpunkan Allah di Yaumul-Mahsyar kelak.

Tuhan, berikanlah kami cinta.

Berikanlah kami hati yang dipenuhi cinta.

Cinta kepada-Mu. Cinta kepada agama-Mu. Cinta akan kebenaran. Cinta akan kemuliaan ibadah mengatasi segala cinta.

Ya.

Berikan kami cinta!

Saturday, October 12, 2013

Diusik Demam

Agaknya memang betul saya demam.

Badan lenguh-lenguh, tekak perit dan badan terasa kuat bahang panas.

Saya kesejukan. Dan lesu juga.

Mujur saya hanya demam selepas menghantar anak ke kampus.

Meskipun bersyukur sebab demam, saya mendoakan agar tidak berpanjangan. Anak masih belum sihat sepenuhnya. Hari Raya Haji sudah begitu dekat.

Saya tidak ke klinik. Nanti bermasalah pula apabila doktor memberikan ubat. Macam yang pernah berlaku dahulu. Saya kena bercerita A-Z akan sejarah kesihatan dan bukan semua ubat bagus untuk sistem badan saya.

Saya membancuh air asam jawa. Buat jus epal. Merendam air teh daun belalai gajah. Mandi air panas.

Tetapi suhu badan tidak juga turun. Berbahang.

Kemudian dengan izin Allah, abang ipar saya yang sedang berada di kota suci Mekah mengirim dua botol air zam-zam 10 liter setiap sebotol. Memang dia mengirimnya khusus untuk saya berubat dengan air tersebut. Saya minum tiga gelas dengan doa agar Allah membunuh semua kuman kanser yang ada dalam tubuh saya, juga menurunkan suhu badan. Air itu juga saya letakkan di ubun-ubun.

Alhamdulillah. Dengan izin-Nya, menjelang tengah malam, suhu badan saya menurun. Memang ajaib.

Nampaknya saya sudah kuat untuk melakukan perjalanan jauh.

Saya kena sihat dan kelihatan sihat untuk mendamaikan jiwa seorang mak. Bukankah beliau telah mengorbankan seluruh keceriaan hidupnya untuk anak?

Selamat menyambut Hari Raya Korban!

Friday, October 11, 2013

Mereka Yang Buta

Apabila menghantar budak itu balik ke kampus, saya memastikan bekalan makanannya cukup. Keretanya masuk bengkel, kafe student house tutup, siswa-siswi sudah ada yang bergerak pulang untuk merayakan Hari Raya Haji. Baki yang tinggal ialah mereka yang bukan Muslim dan yang kampungnya jauh.

“Banyak sangat. Nanti busuk tak makan...” dia merungut memahami perangai biasa ibunya yang kalau boleh, segala benda mahu dibekalkan.

Dia sudah boleh bangun walaupun badan masih sedikit hangat. Batuk masih meneman. Saya belikan beberapa keping ubat cool fever, mask, ubat-ubatan berangin.

Melihat senarai tugasan, memang banyak dan semuanya kena hantar minggu hadapan. Antaranya ialah esei bahasa Sepanyol tentang benda-benda yang terdapat dalam kamar tidur.

Bergerak pulang ke Seremban, usai solat, saya ke JPJ.

Begitu ramai manusia sebab hari ini Jumaat. Waktu menampal salinan kad pengenalan, saya didatangi dua orang lelaki India. Saya kira usia mereka sekitar pertengahan atau akhir dua puluhan.

“Nak minta tolong kak tulis...” saya melangut melihat dua wajah itu. Rautnya boleh tahan. Cukuplah kalau mahu jadi hero filem Tamil.

Menduga kehairanan saya, mereka menyambung. “Kami tak pandai tulis...”

Buta huruf rupa-rupanya. Tidak boleh jadi herolah kalau begitu. Tidak pandai baca skrip!

Saya minta mereka tunggu. Saya mahu habiskan isi borang dan mengambil nombor giliran. Mereka sudah minta bantuan pegawai bertugas. Perempuan-perempuan cantik tetapi garang itu tidak mahu membantu. Mungkin sibuk atau tidak mahu buat kerja kebajikan.

Selesai mengambil nombor, saya mengisi borang mereka. Duduk di estet Bandar Baru Jempol. Kasihan betul.

Budak lelaki Melayu di sebelah saya menyebut, “kak tolong mereka?”

Ya lah, dik. Saya buta warna kulit. Apa yang menghairankan sangat?

Menunggu giliran, mereka duduk di kerusi hadapan saya. Saya mengambil peluang bertanya. Rupa-rupanya mereka langsung tidak pernah bersekolah.

“Kerja sahaja. Tak pandai baca, tak pandai tulis...”

Oh, Malaysiaku! Kalau di Jerman, sudah kena saman ibu bapa yang tidak menghantar anak ke sekolah. Itu yang diceritakan oleh Ismail Ariffin atau Lepat yang kini menetap di Jerman bersama isteri dan dua anak mereka, Aminah dan Azali.

Tiba-tiba saya teringatkan mendiang Kogulan...

Teringat pesanan-pesanan saya kepadanya.

“Adik,” kata saya, “ jaga-jaga. Takut orang tipu sebab tak pandai baca”.

Dia angguk. Muka boleh tahan, badan tegap, ada telefon bimbit, tetapi buta huruf!

Keletihan sekali. Maklumlah “bayi” saya demam.

Tekak saya perit. Badan sedikit sakit. Malam tidak lena!

Nampaknya encik kuman sudah melompat pula ke badan saya!

Tuesday, October 8, 2013

Anak Perempuan...Ada Masalah?

Dahulu waktu masih muda, kadang-kadang saya ditanya, “tak mahu anak lelaki?”

Soalan itu kelihatan tidak begitu cerdik.

Kata Allah dalam Surah Ar-Ra'd ayat ke-8. “Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu”.

Memang ada kaedah tertentu yang dipercayai boleh menentukan jantina anak. Tetapi cubaan hanya sekadar cubaan, ketentuan Allah mengatasi segala.

Jika kita ada anak perempuan dan lelaki, bersyukurlah dengan pemberian Allah. Jika ada anak seorang atau lima belas orang, bersyukurlah juga.

Sebab ada orang yang puluhan tahun kahwin, masih belum mendapat rezeki itu. Atau anak-anak mereka mengalami sindrom kelainan upaya.

Pun mereka kena bersyukur.

Yang tidak punya anak, barangkali ada sebabnya. Membesarkan anak mudah tetapi mendidik yang payah. Barangkali Allah mahu menyelamatkan mereka daripada memiliki anak-anak yang derhaka.

Yang punya anak kelainan upaya juga kena bersyukur. Itu calon-calon penduduk syurga. Allah telah menjanjikan begitu.

Sudah tentu saya kepingin anak lelaki juga. Tetapi Dia telah memberikan saya dua anak dan kedua-duanya perempuan. Ada masalah?

Tidak!

Saya tidak kisah hanya ada anak perempuan. Sekurang-kurangnya saya ada anak. Allah beri peluang untuk saya menjadi ibu dan merasai sendiri bagaimana perjalanan hati mak saya dahulu daripada proses melahirkan sehinggalah anak-anak menjenguk pintu dewasa.

Ada banyak kebaikan dan kelebihan mempunyai sama ada anak lelaki atau perempuan.

Oleh sebab saya tiada anak lelaki, saya kurang arif tentang dunia mereka. Yang saya tahu hanyalah bagasi mereka lebih ringan daripada bagasi anak perempuan! Belanja pun kurang sebab mereka tidak perlu memakai gincu dan bedak!

Meskipun lelaki dan perempuan datang dari planet yang berbeza, matlamat akhir kita adalah kebahagiaan dunia sini dan sana.

Masyarakat kita memang sedikit busy-body.

Kalau belum kahwin, sibuk bertanya bila mahu kahwin. Dan yang ditanya itu adalah kaum perempuan.

Kalau sudah kahwin, sibuk bertanya bila mahu punya anak. Sudah punya anak, ditanya lagi bila akan punya anak daripada jantina yang lain. Kemudian, bila mahu tambah anak.

Macam tak ada kerja lain.

Dunia sekarang ini, anak perempuan kelihatan lebih bertanggungjawab daripada anak lelaki. Cuba buat kajian rambang. Anda akan dapat melihat dengan jelas akan hakikat itu.

Monday, October 7, 2013

Demam Dengan Gembira

Bercuti semula. Dengan janji yang mahu ditepati yakni menjalani fisoterapi seminggu sekali.

“Senaman. Tapi jangan aktif lebih-lebih. Dua puluh tiga tahun dulu pernah buat epidural kan? Nah, sekarang sudah dapat kesannya. Campur kesan radio memang sengal-sengal tulang begitu. Tapi saya pelik, mak cik cergas saja. Berjalan macam bekas atlet jalan kaki...” doktor itu membebel.

Saya tidak fokus kepada bebelannya sebab...”mak cik” lagi!

Saya tak mahu lagi pakai tudung indon! Kalau pakai saja, mesti kena panggil “mak cik”. Sudahlah muka nampak bulat macam bola jaring. Kih kih kih...saya merajuk dengan gembira.

Berat sudah naik ke paras normal. Doktor yang dahulu itu pesan, datang sahaja ke Onkologi, mesti timbang berat badan.

Saya juga melaporkan ada beberapa “gangguan” akibat mengambil pil Tamoxifen.

Sama ada doktor di Onkologi mahu pun di Surgeri, asyiklah bagi saya bekalan pil Mister T sedangkan stok masih ada. Takut sangat kalau saya kehabisan ubat.

Sebelum saya keluar, doktor muda itu berpesan lagi, “jangan duduk atau berdiri lama-lama buat masa sekarang. Banyakkan rehat. Jangan stres. Saya tahu mak cik mesti jenis yang tidak duduk diam...”

Saya ketawa. Doktor ini, kalau sudah bersara nanti tentu boleh buka klinik ahli nujum Pak Belalang. Pandai pulak dia menujum orang.

Saya ke farmasi satelit untuk mengambil ubat. Ramainya manusia. Kemudian saya turun ke aras bawah tanah. Saya kurang cam budak itu tetapi saya cam suaminya, Si Amran. Saya duduk di sebelah. Dia menoleh. Nampak matanya sahaja daripada celahan topeng mulut yang dipakainya.

Dia terkejut dan memeluk saya. Hari ketujuh radioterapi. Mulutnya pecah-pecah, sebab itulah dia memakai topeng.

Sekejap sahaja saya jumpa sebab selepas itu giliran dia masuk ke bilik radio. Melambai-lambai jururawat yang terkejut melihat saya kembali, saya bergerak balik ke Seremban.

Dalam telefon ada mesej. Budak yang di UKM itu demam.

“Jangan risau. Sikit sahaja. Kakak bungkus dengan selimut dan golek-golek macam kepompong...”

Dia sudah besar. Esok tentu dia boleh pergi ke klinik sendiri. Dia tentu masih ingat pesanan saya. Minum air banyak. Jangan pakai baju tebal-tebal. Jalan-jalan biar badan berpeluh. Mesti melawan dengan bersemangat!

“Kakak mesti demam dengan gembira. Nanti cepat sembuh. Ibu pun sakit kanser dengan gembira wahahaha...” saya mengirim mesej.

Dia dapat memahami mesej itu dengan cepat. Sepanjang malam saya melayan SMS dengan ayat lucu. Esoknya dia “melawan” dengan berjalan-jalan di taman. Mesti gembira walaupun sakit. Lama-lama kuman pun mengaku kalah.

Padan muka wahai kuman-kuman!

Sunday, October 6, 2013

Kakinya Sebelah

Saya perasan teksi itu bergear auto. Dalam hati terfikir “peliknya”. Setahu saya mana ada teksi yang bergear auto.

Pemandunya sekitar usia saya barangkali. Dia memberitahu dahulu matanya langsung tidak nampak. Doktor memberitahu hayatnya tidak lama. Hanya beberapa bulan.

Kemudian baru saya sedar bahawa pemandu teksi itu tidak berkaki sebelah. Kakinya kudung separas paha.

“Memang begitu,” katanya, “orang memang tak perasan pun yang saya kudung...”

Subhanallah. Begitu Allah memberi kekuatan kepadanya. Dia tidak mengalah kepada masalah. Masalah yang akhirnya mengaku kalah terhadap kekuatan hatinya.

Melihat orang-orang yang berhati tabah seperti itu membuatkan saya semakin berani mendepani kehidupan. Mereka boleh, mengapa kita yang berkaki dua ini tidak!

Terima kasih encik teksi. Hari ini Allah mengirim anda untuk saya.

Alhamdulillah.

Saturday, October 5, 2013

Menjadi VVIP

Menyusuri laluan keluar ke Kelana Jaya. Berpusing-pusing. Akhirnya tiba di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Shiro-chan telah berjasa hari ini. Dia membawa kami dan bakal jemaah haji yakni abang ipar saya, Mahalil Ishak.

Orang belum begitu ramai jam lima itu tetapi semakin sesak menjelang senja. Melihat kesesakan itu hati saya membayangkan kesesakan berganda di tanah suci.

Banyaknya pahala Pak Ungku sepanjang lima puluh tahun ini.

The Jogging Professor itu memang kepalanya sarat idea. Dia jenis yang tidak mengampu-ampu. Pada saya dia memang ilmuan sejati. Lima puluh tahun lalu, Pak Ungku yang menghasilkan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji.

“Tahun 1963. Tahun Nyah lahir...” kata kakak bangga.

Suasana sesak itu menyebabkan ada anak yang hilang. Pengumuman dibuat untuk mencari budak yang malang itu. Sudah namanya budak, tidak pandai langsung duduk diam. Nasib baik si Aleya duduk saja di khemah setelah saya belikan dia belon Bananana.

Kalau dia pun hilang, saya sudah tahu mahu buat pengumuman yang bagaimana.

“Budak umur enam tahun, pakai baju coklat dan paling penting giginya rongak!”

Jam sembilan setengah malam, pengumuman dibuat. Jemaah akan masuk ke bilik penginapan dan ahli keluarga tidak boleh lagi mengganggu mereka. Mereka perlu berehat dan mempersiap diri sebelum terbang pada jam satu setengah pagi.

Apabila diperdengar “Labbaikkallah humalabmalabbaik...” dan dengan para jemaah yang sudah siap berihram, masya-Allah...hati saya berkocak. Rindunya saya pada sesuatu yang saya belum jumpa.

Pelik. Belum jumpa tetapi rindunya...Masya-Allah, Subhanallah!

Pak Mahalil melambai-lambai isterinya yang menghantar hingga ke garisan akhir. Dia menangis sedikit.

Menjadi pilihan Allah untuk menjadi tetamunya adalah satu penghormatan paling tinggi buat seorang manusia Islam. Bukan semua orang berpeluang dipanggil untuk datang ke sana.

Tidak ada penghormatan paling bermakna apabila menerima jemputan itu.

Bergembiralah dengan jemputan eksklusif daripada Yang Maha Agung!

Wednesday, October 2, 2013

Mak Cik Waibi

Saya tidak pernah bercita-cita menjadi waibi.

Minat dengan isu politik bukan bermakna kita mahu masuk dalam reban politik. Menjadi ayam yang bercakaran dan bising berkokok-kokok. Ekor penuh bergelumang tahi.

Yang duduk dalam kandang dan reban itu pun bukanlah semuanya cerdik sangat. Apabila melontar kata seperti perempuan di airport yang mengaku-ngaku “aku bukan bodoh, aku bukan bodoh!” sedangkan hakikatnya ialah kebodohan itu tidak dapat disembunyikan lagi.

Walaupun saya langsung tidak minat menjadi waibi, malahan tidak suka menyambut-nyambut waibi dengan topeng senyuman yang mengampu-ampu; ada seorang doktor ini suka memanggil saya dengan nama “mak cik waibi”.

Mak cik!

Aduh, sakit gigi saya mendengarnya!

Dan ada tambahan “waibi” lagi.

Lagi sakit gigi!

Puncanya saya juga. Waktu di wad, setiap kali doktor mahu membuat pemeriksaan, jenuh jururawat melaung-laung. Ke mana saya?

Sedang membuat sesi lawatan dan kerja sukarelawan, kadang-kadang di hujung kiri, membawa ke hujung kanan. Ke sana ke mari terhegeh-hegeh. Baru lepas pembedahan, saya baik sikit. Tidur saja diam-diam sebab masih lalok. Tengok orang pun berbayang-bayang macam kita melihat bayang kita dalam air tasik yang terkena lontaran batu kecil.

Oleh sebab itulah doktor itu cukup ingat nama saya.

Mak cik waibi yang hyper. Padahal saya bukanlah ramah sangat pun. Kalau sudah diamuk diam, sehari suntuk saya boleh jadi orang bisu. Malas bercakap, malas tidur, malas makan, malas mengemas. Sesekali akan ada perayaan “hari malas sedunia”.

Hmm...mak cik waibi!

“Saya tidak suka. Saya tidak suka. Saya bukan bodoh. Saya bukan bodoh!”

Kih kih kih...

Tuesday, October 1, 2013

Hujan Yang Cantik

Apabila kita diberikan sebilah pisau, alatan itu boleh dimanfaatkan untuk menyihatkan tubuh badan kita. Pisau yang tajam digunakan untuk memotong sayur-sayuran. Sayur-sayuran itu dimasak dan akhirnya menyihatkan tubuh badan kita. Dengan tubuh badan yang sihat, kita mampu melangsungkan kehidupan, beribadat, membina kerjaya dan keluarga dengan sesempurna mungkin.

Sebilah pisau juga boleh memudaratkan kita. Alatan yang tajam itu boleh membinasakan bukan sahaja diri kita bahkan juga orang lain. Sebilah pisau boleh disalahgunakan oleh orang yang sedang marah. Syaitan akan merasuk dan pisau itu boleh digunakan untuk membunuh orang. Kita akan ke penjara, keluarga kita menderita, keluarga mangsa juga mengalami trauma yang berpanjangan. Kita menyumbang kepada kebobrokan masyarakat.

Ertinya, yang salah bukan alatan tetapi pelakunya. Kita yang menentukan hitam putih dalam diri kita. Kita yang memilih mahu melebihkan hitam atau mengurangkan putih. Atau mahu menyamakan kedua-duanya.

Pilihan di tangan kita sebab kita adalah pelakunya.

Itulah tujuan akal yang diberikan Allah kepada manusia. Tidak seperti kucing yang ikut suka hati dia sahaja mahu membuang najisnya. Meskipun begitu, binatang seperti kucing pun boleh dilatih mendisiplinkan diri jika diasuh sedari kecil.

Apabila sudah menjadi tua, pemikiran kita seperti alam yang terbentang. Kita sudah melalui segala putaran kehidupan dalam kitaran metamorfosisnya. Kita belajar bahawa definisi musibah bukan total maknanya adalah musibah. Kita belajar memahami institusi pemikiran orang lain dan hubungkaitnya dengan rasionalisasi tindakan.

Allah telah memberikan kita mata. Pilihlah sama ada mahu melihat cantiknya bunga matahari atau mengintai “bunga” yang sedang mandi.

Dia juga memberikan kita sepasang kaki yang tegap dan cantik. Mahu ke mana kita? Ke masjid atau ke pawagam?

Mata dan kaki itu tidak salah. Yang salah adalah empunya diri yang hatinya seperti sungai yang bercabang-cabang.

Sambil memuhasabah diri yang selalu alpa, saya menulis sesuatu di kertas hati.

“Kita adalah apa yang kita pilih”

Langit yang kelam...dan saya memilihnya untuk melihat bahawa itulah antara metafora momen yang pernah singgah dalam perjalanan hidup kita.

Dan saya tahu selepas mendung itu, pasti turun hujan yang sangat cantik dan mendinginkan!

Mudah bukan?

Sebab pilihan di tangan kita, mahu melihat sesuatu itu dari sudut yang bagaimana...