Total Pageviews

Wednesday, September 11, 2013

Bunyi Itu...Pergilah!

Sejak seminggu ini bunyi di telinga kanan dua puluh empat jam, kadang-kadang menjadi sangat kuat.

Saya melawannya dengan zikir sehingga lena.

Ya Allah, janganlah hendaknya Kau uji saya dengan sesuatu yang lain, “sesuatu” yang pernah saya bincang kebarangkaliannya dengan Profesor Rohaizak.

Berikanlah kesempatan untuk saya menebus segala dosa silam yang bertimbun, memperbanyak amalan baik, berbakti kepada mak yang sudah tua dan membereskankan biaya anak-anak yang masih serentak berjuang di varsiti. Juga puluhan masalah yang memerlukan akal bijaksana untuk mengatur tertib duduknya.

Ngeri memikirkan jika semuanya itu tidak dapat saya selesaikan dan Dia memanggil saya pulang.

Meskipun ada kekurangan dalam kudrat, saya masih mahu bertarung. Jika orang lain boleh, mengapa saya tidak. Saya tidak boleh lagi bergantung harap kepada sesiapa pun, sebab benarlah kata Allah, hanya kepada Dia yang saya sembah dan hanya kepada Dia saya meminta pertolongan.

Saya kena balik bekerja dan cuba melaksanakannya perlahan-lahan. Maklumlah segala bahan kimia yang masuk ke dalam sistem menyebabkan saya sedikit lupa dan cepat susah hati. Tidak kira apa pun yang berada di hadapan, saya wajib terus berjalan.

Pokok pegangannya ialah: jika orang lain boleh, mengapa saya tidak!

Bunyi itu...saya sangat pasti bacaan Al-Quran dan zikrullah yang berkait rapat dengan sistem pernafasan, memang sangat membantu. Ramadan yang lalu, bunyi itu adakalanya berkurangan. Sehabis Ramadan, amalan membaca Al-Quran sudah sedikit susut berbanding lima enam kali sehari waktu Ramadan. Kadang-kadang paling teruk, hanya sekali. Hal-hal dunia yang saya titik beratkan. Maka bunyi itu pun kembali dengan lebih hebat lagi.

Cinta saya kepada Allah masih tidak seutuh mana. Saya mengkhianati-Nya meskipun ketika rukuk dan sujud. Mulut menyebut nama-Nya tetapi hati sedang sibuk mencari nikmat dunia.

Saya akan terus bertarung dengan izin-Nya dan doa mak. Meskipun bunyi itu menjadi halilintar, saya akan terus berdiri dengan pedang di tangan!

2 comments:

cahaya iman said...

assalam KY,
Semoga Allah lindungi KY selalu..
bunyi apa yang KY dengar tu?

cahaya iman said...

assalam KY, nak berkongsi sedikit, semoga dapat membantu KY:

Lapan surah ini diamalkan dan dibaca untuk memusnahkan sel-sel barah kanser. Jika pesakit dapat membacanya lagi baik. Jika tak terdaya atau kurang baik bacaannya maka boleh minta suami, ayah, ibu, anak atau orang lain membaca untuknya.

Selok-eloknya sebelum memulakan bacaan surah dibawah :

1. Istighfar 10x.
2. Salawat Nabi 10x.
3. Al-Fatihah 1x.

Sediakan sebotol secukupnya air yang bersih lagi suci dan setiap kali habis surah dibaca, ditiupkan kepada air. Pesakit dinasihat minum air bacaan tiap-tiap hari dan sapu/mandi pada anggota yang kena barah kanser. InsyaAllah kerana sakit dan sembuh semua kekuasaanNya.

1. Surah Al Maidah (Ayat 82-91).
2. Surah Al Araf (Ayat 70-81).
3. Surah Ar Ra'd (Ayat 16-28).
4. Surah Al Anbiyaa' (Ayat 38-50).
5. Surah Asy Syu'ara (Ayat 185-227).
6. Surah Az Zummar (Ayat 42-52).
7. Surah Ghafir (Ayat 67-77).
8. Surah Az Zukhruf (Ayat 52-70).
insya Allah, kesembuhan itu datangnya dari ALLAH. DIAlah maha menyembuhkan kerana penawarNya tidak didatangkan dengan mudarat lain pula.