Total Pageviews

Tuesday, September 3, 2013

Bib MGS

Tiga puluh tahun terpisah.

1979-1983 kami sama-sama menghuni asrama di MGS Ipoh. Seingat saya, kami tidak pernah berada dalam satu dorm.

Aliran kami juga berbeza. Begitu juga kecenderungan-kecenderungan. Dia pandai main bola jaring. Tangkas di padang sampai sekarang.

Saya?

Setakat terkedek-kedek atas padang mengulit bola hoki. Kemahiran bersukan lain langsung tidak ada. Kaki bangku original!

Dia menelefon minggu lepas, mengkhabarkan kunjungannya ke PD sebab bermain bola jaring. Mahu jumpa sangat-sangat, katanya.

Walaupun minggu ini paling sibuk buat saya, tetapi saya akan tetap mencari waktu. Jarak tiga puluh tahun yang terpisah itu pasti mengubah banyak perkara. Lagipun anak-anak masih ada untuk membawa saya bertemunya. Saya tidak boleh memandu buat sementara kerana tangan saya sudah sakit sangat.

Saya memanggilnya Bib, singkatan daripada Habibah. Saya ada dua kawan baik bernama Habibah. Seorang Bib MGS dan seorang lagi Bib Clifford. Kedua-duanya bercakap loghat utara. Kedua-duanya juga peramah. Bib yang seorang lagi pun pandai main bola jaring. Agaknya kalau mahu anak pandai main bola jaring, kena namakan Habibah...

Bib menjadi guru di Kulim. Pasti sahaja dia guru yang hebat. Di kelas dan di padang.

Melihat-lihat gambar lama dan tulisannya yang memenuhi belakang gambar, saya seperti melihat tayangan filem tiga puluh tahun yang lalu. Saat kami masih remaja puteri. Tahun-tahun di mana mesin fotostat adalah satu keajaiban. Juga tahun-tahun kami baru dapat melihat warna baju yang dipakai pelakon dalam TV.

Sebut tentang TV ini saya teringat sesuatu. Zaman 70-an, TV dan radio kena ada lesen. Ada ketika-ketikanya tukang periksa lesen akan datang secara tiba-tiba untuk memeriksa lesen. Jadi, orang-orang kampung yang punya TV dan radio tetapi tidak ada lesen akan berusaha menyembunyikan radio khususnya, sama ada di dalam atau di luar rumah (kalau sempat). TV memang payahlah sebab besar, malahan ada TV yang bertingkap. Boleh dibuka dan ditutup tingkapnya.

Sekarang macam-macam sudah ada. Tiga puluh tahun itu apakah telah mengubah Bib menjadi orang lain?

Esok saya akan bertemu Bib.

Dan esok adalah jawapannya.

Saya telah berubah. Saya tahu Bib juga begitu.