Total Pageviews

Monday, September 16, 2013

Agi Idup Agi Ngelaban

Hari pertama ke pejabat semula. Malam saya tidak boleh lena. Seperti pengantin yang ditemukan cinta. Begitu teruja untuk kembali bertemu rakan sejawat.

Pintu sudah berganti baharu. Masuk ke dalam, arrangement juga sudah bertukar. Populasi yang bertambah menyebabkan posisi meja saya sudah di tengah. Tidak mengapa duduk di mana-mana pun sebab hati saya gembira ada kawan-kawan dan bos yang sangat mengambil berat.

Jumpa ketua jabatan dahulu melapor diri. Nampaknya Allah mempermudah segala-galanya. Saya memberitahu bahawa tangan kanan masih mengalami kesakitan. Lain-lain OK kecuali otak masih kosong. Lima bulan melayani kuman dengan segala bahan kimia yang masuk ke tubuh, saya belajar melupai kerja.

Pensyarah-pensyarah dari jabatan lain berjumpa dan memberi doa. Terima kasih. Terima kasih. Tiada apa yang mampu saya ucap melainkan rasa syukur yang tidak terhingga.

Awal pagi saya menerima mesej ucap selamat bertugas kembali daripada suami. Untuk keberkatan, saya menelefon mak. Mudah-mudahan matahari sentiasa ada di langit hidup saya.

Selamat kembali Ratna Laila. Agi idup agi ngelaban!

No comments: