Total Pageviews

Wednesday, August 28, 2013

Mari Melawan

Singgah membeli makanan wajib saya, yakni buah-buahan khususnya epal hijau.

Tetapi memang sangat tidak larat. Jadi, saya hanya bersandar di tepi sementara budak dua orang itu membeli buah dan makanan lain.

Ada suara lelaki menyapa memberi salam. Rupa-rupanya Tuan Haji Zul Abu. Terperanjat juga melihat dia. Katanya dia pun terkena penyakit tidak bernama dan dia mengatasinya dengan giat berkebun. Kebetulan baru beberapa hari lalu saya menghantar e-mel tulisan saya yang tertangguh hampir dua tahun kepada beliau dengan tuntutan maaf atas kekangan yang saya hadapi.

Dalam beberapa hari ini juga beliau memuat naik tiga tulisan saya di laman sosial. Sempat juga melihat gambar-gambar beliau sekeluarga yang menyambut Syawal di Brisbane, kalau tidak silap saya.

Mengenang bagaimana Tuan Haji Zul mengubah rutin dengan berkebun, saya fikir ia tindakan yang sangat bagus. Kita kena melawan. Itu yang selalu dibuat mak kalau beliau demam. Suami juga buat begitu kecuali kalau benar-benar tidak berdaya.

Itu juga yang saya cuba lakukan. Kadang-kadang. Kadang-kadang yang lain saya mengikut rentak sahaja. Baring sampai jemu melayan rasa tidak larat. Perlakuan yang tidak bagus.

Sangat tidak bagus.

Maka hari ini saya mahu melawan lagi. Sementara ada dua pemandu ini, bolehlah saya bersenang lenang dalam kereta. Hari ini ada sedikit urusan di KLIA. Memang rasa tidak larat tapi kena lawan!

Bagaimana orang-orang di negara-negara tertentu mendapat kemerdekaan? Dengan melawan!

Sambutan kemerdekaan yang hanya tinggal beberapa hari ini mengingatkan saya akan sesuatu.

“Mak sudah naikkan bendera?” tanya saya via telefon.

“Belum. Hari ini.”

Tiap-tiap tahun menjelang Hari Merdeka, mak akan naikkan bendera di hadapan rumah. Mak tetap patriotik tidak kira siapa pun yang beliau undi dalam beberapa pilihan raya yang lalu.

2 comments:

Eddy Angah said...

Cara kerajaan menangani isu-isu semasa menjadikan rakyat tidak merasai 'Merdeka' yang sebenar. Wallahu A'alam.

IBU BUNGA MATAHARI said...

Begitulah...