Total Pageviews

Thursday, August 29, 2013

Semangat Aisyah

Hari raya itu dia berada bersama-sama kami di kampung.

Rasanya sudah beberapa kali idulfitri dia menyambutnya bersama kami.

Wanita itu muda lagi, berkahwin muda dan punya anak empat. Yang sulung barangkali sekitar usia tujuh belas tahun.

Kulitnya putih, kecil molek orangnya. Tetapi di sebalik kecil dan lembut itu, dia pemilik hati yang sangat kental.

Kalau saya menjadi dia, entahlah.

Dia datang ke Malaysia beberapa lama dahulu sebagai pembantu rumah di Kelantan. Mengumpul wang untuk biaya pengajian anak-anak. Kemudian dia pulang ke Indonesia.

Anak-anaknya yang masih sekolah dan biaya yang diperlukan membuatkan dia kembali ke Malaysia. Bekerja membersihkan sarang burung walit.

Di Ipoh, dia mengenali kakak saya. Langsung jika kakak bercuti, kakak membawanya ke kampung. Kami sudah biasa dengan situasi ini sebab bukan dia seorang sahaja rakyat asing yang pernah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kami.

Saya selalu mengintainya dengan kagum. Wanita lemah tetapi ibu gagah, persis yang disebut oleh Daiseku Ikeda. Aisyah melakukan pekerjaan yang diberi dengan kepercayaan majikan. Kejujuran dan kerajinan amat disenangi majikan berketurunan Tionghua itu.

Waktu menemani pulang ke Ipoh, saya bertanyakan tentang anak-anaknya.

Dia bercerita tanpa henti, membayangkan kerinduan yang amat sangat terhadap putera puteri yang sedang membesar tanpa seorang ibu di sisi.

Saya akur bahawa dalam kesyahduan Ramadan dan Syawal, pasti sahaja hati Aisyah jauh terbang ke rumah yang sudah bertukar menjadi banglo hasil titik peluhnya bekerja tanpa mengira waktu.

Aisyah adalah lambang keberanian seorang ibu yang sanggup menempuh risiko demi memastikan kelangsungan hidup anak-anak yang tega ditinggalkan di desa yang terpencil.

Saya selalu melihatnya makan sayur. Aisyah memberitahu bahawa itulah makanan ruji mereka di desa.

“Anak selalu cakap, nanti wang mak habis kalau beli ayam...”

Banyak hal yang saya tahu tentang semangat Aisyah dan perjuangannya mencari nafkah untuk keluarga. Kepayahan hidup telah jauh ditinggalkan. Aisyah sudah mampu membeli motosikal dan basikal yang bagus buat anak-anak ke sekolah.

Namun, menurut Aisyah, kesenangan material harus seimbang dengan kemewahan rohani. Mujur puteranya yang sulung, mengambil peranan mengawasi adik-adik. Saya terfikir, kalau di Malaysia ini, anak yang seusia putera sulung Aisyah barangkali sedang sibuk bersukaria di kelab-kelab atau pawagam, atau sedang terkinja-kinja menari bersama kekasih hati.

Semangat Aisyah sebenarnya wujud di mana-mana.

Apabila hidup memaksa, semangat itu akan datang dengan sendirinya.

Saya melihat Aisyah dan perjuangannya dalam diri tok, mak, kakak-kakak dan barangkali...dalam diri saya juga.

Seribu Aisyah muncul setiap hari demi mencari sesuap nasi.

Di manakah lelaki?

Tuesday, August 27, 2013

MESIR YANG SEDANG MENANGIS

Mesir Sedang Menangis

Mesir itu sedang menangis
peluru yang menerpa langsung tidak mengenal tubuh siapa
nilai nyawa persis sebakul ikan lelongan di pasar terbuka
mayat-mayat bergelimpangan
teriakan-teriakan memenuhi angkasa
dan sungai darah mengalir laju ke dasar Nil

Kita hanya mampu membelek lembaran akhbar
dan menonton berita semasa
usai solat kita menadah tangan
wahai Rabb yang memegang jiwa
bantulah mereka dan lenyapkan sengketa
kembalikan matahari dan bulan
di langit Mesir yang terluka

Bumi piramid itu sedang merintih
tidak kira atas apa pun namanya
hentikan siri pembunuhan
peluru bukan jawapan kepada lontaran pertanyaan
peluru bukan memberi makna kemenangan
peluru hanya akan menyemarakkan bakaran dendam

Mesir yang menangis
kami yang jauh turut berkongsi esakanmu.


Oleh:

Ratna Laila binti Shahidin
Jabatan Pengajian Melayu
IPRM Seremban

Saturday, August 24, 2013

Beratnya Hati

Jam tiga pagi, Aleya sakit semula.

Kami susah hati. Kalau dibawa ke hospital, sudah pasti dia akan menjalani proses dan pengalaman yang mengerikan itu sekali lagi.

“Tak mahu pergi hospital...” dia menangis-nangis tatkala mendengar kami berbincang.

Kami cuba merawat kesakitan Aleya dengan pelbagai cara. Malam ini Aleya dibawa berubat di Ipoh. Mudah-mudahan Allah meringankan kesakitan budak kecil itu.

Opah menghantarnya dengan pesanan. “Adik kena kuatkan hati. Kuatkan semangat. Adik tabahkan hati...” dan dia berhenti menangis setelah mendengar pesanan opah.

Saya rasa letih. Kasihankan Aleya. Tetapi saya tidak dapat temankan dia ke Ipoh. Tangan kanan rasa berdenyut-denyut. Esok memang mengharapkan dua anak itu yang memandu selama enam jam menuju Seremban.

Emak sudah selesai puasa enam. Kelihatannya emak tidak lagi berkeadaan lemah. Maka, sudah tiba waktu untuk saya pulang menyelesaikan urusan-urusan yang tertangguh. Juga lawatan rutin ke hospital.

Beratnya hati!

Thursday, August 22, 2013

Kelangsungan Hidup

Pagi-pagi Cik Wan Ameran menghubungi. Saya masih di kampung.

Katanya, ada berita sedih. Abang Ustaz Mokhlis meninggal minggu lepas. Kebetulan Cik Wan hari ini ada lawatan sosial ke sekolah berhampiran kampung asal ustaz.

Kematian yang berturutan. Ramadan dan Syawal, adik dan abang menemui Illahi. Sukarnya mendepani realiti sebegitu tetapi semuanya bukan milik kita. Apa pun yang terjadi, yang tinggal perlu menjalani kehidupan seadanya.

Tragedi bas sarat penumpang yang terjun ke gaung di jalan Genting Highland juga antara yang mengejutkan minda kita. Masya-Allah, apabila Dia mahu memanggil pulang, Dia akan melakukannya. Itu sebab kita kena selalu siap siaga. Jangan abaikan solat. Ada orang kata, buat apa solat kalau bacaan pun tak betul, tidak kusyuk. Kalau sudah tahu bacaan kurang betul, kita belajar. Satu perkara yang sampai mati pun kita sentiasa belajar ialah tentang solat. Kita lakukannya sebab itu kewajipan, soal diterima atau tidak, bukan urusan kita.

Saban hari tatkala membuka laman maya, pasti dapat membaca berita kematian demi kematian di Mesir dan Syria. Nyawa sudah jadi seperti ikan yang dilelong di pasar basah. Tiada harga. Mari kita doakan usai solat agar saudara-saudara kita itu dipelihara Allah dan persengketaan atas nama apa pun segera ditamatkan.

Padamkan rasa sombong dan bangga diri yang sentiasa mengacau dalam usaha membersihkan jiwa. Benda-benda negatif sebegini memang selalu ada dalam hati kita. Itu sebabnya kita kena cepat-cepat ingatkan kematian supaya semua yang hitam itu segera meminggir. Jangan berubah kepada sesuatu yang buruk. Muhasabah diri kita sebelum kita menuduh orang lain berubah. Jangan angkuh seolah-olah kita sahaja yang baik. Jangan menghina orang lain sebab bila-bila masa sahaja Allah boleh mengangkat dan menjatuhkan martabat sesiapa pun jika Dia mengkehendaki.

Wahai Allah, berikan kami kekuatan untuk meneruskan perjuangan meladeni kehidupan yang Engkau anugerahkan kepada kami. Jadikanlah kami, anak-anak dan keturunan kami dalam kalangan orang-orang yang mendirikan solat dan amal soleh.

Wednesday, August 21, 2013

Aleya Sudah Pulang

Sebelum pulang dan semasa menunggu surat doktor, dia menelefon ke kampung. Bercakap dengan kakak-kakaknya, dengan saya dan opah. Dia buat lawak, katanya sekejap lagi mahu tukar ke wad lain. Rupa-rupanya dia telah dibenarkan balik.

Glamournya Adik Ya...” kata opah.

Ramai yang datang menziarahi Aleya sama ada semasa di wad atau di rumah. Tetapi lucu, semuanya rakan bukan sebaya.

Mungkin sebab dia peramah, ramai orang tua dan dewasa yang sukakan dia. Dia suka bersembang dengan orang tua. Oleh sebab itu yang datang melawatnya juga tua-tua belaka.

Abahnya melawak, “agaknya doktor silap masukkan adik ke wad tu. Cuba adik lihat, semua penghuni wad adalah orang tua. Adik sahaja yang budak kecil. Agaknya sebab doktor tengok gigi adik tak ada, itu yang doktor ingat adik pun dah tua juga...”

Semua orang menawarkan macam-macam kepada Aleya. Kakak saya yang di Ipoh sampai ke kampung jam sepuluh setengah malam semata-mata untuk penuhi permintaan Aleya yang inginkan nasi ayam malam itu juga. Ada jiran yang menghantar KFC kepada Aleya (makanan segera itu hanya boleh dibeli di Bandar Diraja Kuala Kangsar).

Ada juga jururawat memberikan Aleya duit raya. Sebelum dia dibenarkan balik, para doktor dan jururawat mengerumuni Aleya sebab suka melihat bulu matanya yang panjang dan lentik. Semua anak abangcho memiliki bulu mata begitu. Tidak perlu bantuan maskara.

Kalau namanya budak, walaupun masih tidak boleh lincah bergerak, tetapi Aleya cepat kelihatan sihat. Tiga minggu lagi dia perlu ke Hospital Gerik untuk mengambil darah.

Saya mengusiknya, mengajak lumba basikal. Melihat dia minum ubat dengan syringe, saya bercanda, “apa barang minah rempit minum ubat macam itu...”

Dia buat lawak yang dia langsung tidak menjerit tatkala dimasukkan wayar ke hidung, tangan dan saluran kencing. Hehehe...macamlah saya tidak tahu yang suaranya meminta tolong lebih kuat daripada suara tarzan.

Alhamdulillah, akhirnya dapat melihat senyuman Aleya yang rongak itu. Empat hari yang lalu dia langsung tidak berdaya bercakap dan ketawa.

Aleya sudah pulang. Maka saya pun sedang mencari-cari waktu yang sesuai untuk bergerak balik ke daerah singgah saya...

Tuesday, August 20, 2013

Masih Menunggu Aleya

Hari keempat Aleya di wad.

Semalam apabila mendengar khabar daripada abangcho, hati saya seperti mahu pergi berhadapan dengan pihak hospital.

Sabtu sudah ambil darah dua kali. Pagi dan petang. Ahad ambil lagi. Isnin dua kali juga. Kemudian ada kesilapan doktor. Barangkali sebab ramai doktor housemanship yang memandai-mandai, menyebabkan ada yang kena marah dengan doktor pakar.

Menjerit-jerit si Aleya disebabkan ada doktor yang mengarahkan dikeluarkan wayar salur kencingnya pada sebelah pagi. Rupa-rupanya wayar itu tidak boleh dikeluarkan lagi. Petang itu dimasukkan kembali. Sakit! Kalau tidak, takkan sengaja budak itu menjerit kesakitan sekuat hati.

Janganlah benda-benda yang seperti ini mengembalikan fobia saya terhadap perkhidmatan hospital kerajaan!

Saya sepatutnya sudah balik ke Seremban. Mahu uruskan rumah sewa si bongsu, kereta si sulung, juga urusan pembayaran yuran universiti. Mereka serentak masuk ke tahun dua hujung Ogos atau awal September. Awal September, ada temu janji di hospital sebelum saya kembali ke pejabat. Seorang penulis veteran telah menghubungi bertanyakan sama ada saya pergi atau tidak ke Sarawak untuk Hari Sastera ke-16 awal September nanti. Ada juga yang bertanyakan sama ada editan saya sudah selesai atau tidak.

Sebenarnya minda saya serabut.

Hari Sastera dan temu janji hospital itu tidak penting untuk saya. Kondisi Aleya dan keperluan anak-anak lebih utama.

Kakak mencadangkan agar abang menghubungi sepupu kami yang pernah menjadi Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan untuk memohon bantuan.

“Tidak perlu...” kata saya, “memang kita tidak ada kuasa apa-apa. Tetapi saya berani berhadapan dengan doktor-doktor itu. Kalau mereka buat kesilapan lagi, beritahu saya segera. Saya akan ke sana. Jangan fikir kita orang kampung yang bodoh dapat menerima siri kesilapan mereka dengan segala ketololan. Kita bukan tikus makmal untuk kajian mereka...”

Budak itu baru berusia enam tahun. Dia tidak makan apa-apa selama empat hari ini. Tetapi darahnya diambil banyak kali. Berlaku pula beberapa kesilapan. Memang doktor pun manusia biasa. Tetapi kerjaya mereka berkaitan nyawa manusia. Kesilapan mesti diminimakan sedapat mungkin atau terus nihil.

Saya pernah kena “main” dengan perangai doktor housemanship untuk pembedahan kali ketiga yang lalu. Dia meminta saya mengisi borang dan menandatangani sekeping dokumen. Apabila ditanya, dia menyebut itu prosedur biasa dan cuba menyibukkan diri dengan hal-hal lain. Rupa-rupanya dia mahu mengambil darah sewaktu pembedahan berjalan untuk penyelidikan peribadi. Itu pun saya tahu selepas bertanya kepada doktor housemanship yang lain.

Saya berasa tertipu. Saya adukan hal tersebut kepada doktor pakar yang datang kemudian. Saya katakan saya mahu menukar doktor penyelia sebab sudahlah kasar, sebarang pertanyaan dijawab dengan cara yang kurang pasti.

Rupa-rupanya ada pesakit lain yang mengadukan hal yang sama.

Puaslah doktor itu memujuk saya dengan mengatakan bahawa doktor housemanship itu hanya akan mengambil lebihan darah sewaktu pembedahan. Saya tidak kisah, kalau mahu ambil untuk diminum sekali pun, ambillah...tetapi cakaplah betul-betul.

Memang doktor itu kena tegur dengan pakar.

Nampaknya kes Aleya ini juga kena awas juga. Betullah, mereka pun mahu menyelamatkan nyawa pesakit. Tetapi kalau terlampau ramai yang pandai dan memandai-mandai, ruang untuk berbuat silap boleh berlaku.

Saya masih menunggu khabar Aleya. Mudah-mudahan hari ini atau esok, Aleya dibenarkan balik ke rumah.

Monday, August 19, 2013

Menunggu Aleya

Sabtu itu dari Hospital Gerik, Aleya dipindahkan ke Hospital Taiping.

Saya menghubungi kakak di Ipoh. Dia segera pulang sehabis masa pejabat.

Aleya anak bongsu abangcho, abang sulung saya. Berusia enam tahun, mulutnya bijak dan pandai buat kelakar.

Petang Jumaat itu, dia berlumba basikal. Entah bagaimana basikalnya terlanggar pembahagi jalan dan dia jatuh. Handle basikalnya tertusuk ke bahagian perut.

Malam itu apabila dia masih mengadu sakit dan muntah, Aleya dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong. Akibat tiada hospital di daerah ini, Aleya diperiksa secara manual dan dikatakan tidak mengalami komplikasi apa pun lalu disuruh pulang.

Esoknya Sabtu, kami mencadangkan Aleya menjalani pemeriksaan di Hospital Gerik yang tidak begitu ramai orang berbanding Hospital KK. Sebab Aleya masih menangis kesakitan dan muntah.

Di Gerik, air dimasukkan. Ujian air kencing dan darah dibuat. Separuh perjalanan pulang, mereka diminta berpatah balik ke Gerik. Sementara itu, pihak hospital menghubungi Klinik Lenggong untuk menghantar ambulans. Saat ambulans masuk ke halaman rumah, kakak saya sudah diserang sakit kepala. Kakak saya itu memang sangat mengambil berat akan kesihatan Aleya yang juga menghidapi asma.

Aleya dihantar ke Hospital Taiping. Kebiasaannya mesti ke KK dahulu. Tetapi ini terus ke Taiping. Itu yang sangat membimbangkan kami sebab biasanya kes yang tidak dapat dilakukan di KK akan dihantar ke Taiping dan seterusnya ke Ipoh.

Kami ke Taiping dengan tiga kereta, termasuklah jiran-jiran sekampung yang mahu pergi. Abang melarang saya ikut. Katanya, dia takut saya tidak larat. Tapi saya berdegil.

Di sana, doktor mengerumuni Aleya. Dia disyaki mengalami jangkitan kuman akibat luka dalaman. Wayar dimasukkan ke hidung, di tangan dan juga di saluran kencing.

Kami menunggu lama sehingga jam menghampiri sepuluh malam, barulah Aleya selesai menjalani ujian demi ujian dan dimasukkan ke wad. Itu pun beberapa doktor pakar masih memeriksa. Kami menunggu di luar wad dan bergerak pulang dengan hanya dua buah kereta pada jam sebelas setengah malam dalam hujan.

Wad Aleya berdepan dengan bangunan yang menempatkan kawasan berpagar untuk pesakit mental yang sudah sedikit sihat. Bermacam ragam yang dapat dilihat. Simpati sekali melihat pesakit-pesakit itu. Entah bagaimana rupa latar belakang dan cerita hidup mereka sehingga mereka berakhir di situ.

Keesokan hari, saya dan si bongsu bergerak ke Taiping sekali lagi untuk menghantar pakaian abang. Saya memang sudah berasa tidak sihat. Batuk saya menjadi-jadi. Pinggang sengal. Tetapi mengenangkan abang, kakak ipar dan Aleya yang sakit, saya gagahkan juga. Budak itu kalau saya sakit, dia memang sangat ambil berat. Siap sendukkan nasi dan minta kakaknya gorengkan telur untuk saya.

Aleya sedang tidur kerana dilenakan dengan ubat penahan sakit. Saya menunggu Aleya pula sebab ibunya mahu solat dan meluruskan badan di surau. Keadaan di wad itu memang kurang selesa. Jururawat berbual dengan suara kuat.

“Tak macam hospital ibu...” komen si bongsu.

Hospital ibu? Kayanya ibu kalau sampai ada hospital!

Budak kecil dan wanita dewasa berada dalam satu wad. Khabarnya itu wad surgeri. Mujur Aleya tidak dibedah. Dia mengalami demam. Dua hari itu dia puasa. Tetapi petang waktu saya mahu pamit, dia masih boleh buat aksi lawak.

Kasihan melihat dia terbaring begitu. Wayar untuk saluran kencingnya itu yang saya tidak sanggup lihat.

Budak-budak sekarang memang mulutnya bijak. Sepupu yang sebayanya, anak adik bongsu, Irfan namanya memang rapat dengan Aleya. Dia ikut ke hospital.

Waktu menunggu uminya solat, dia beritahu saya. “Tadi saya nampak mata Kak Mira merah. Kemudian ada air keluar dari mata Kak Mira. Cuba Mak Yang fikir kenapa Kak Mira jadi macam tu?”

Saya pura-pura berfikir dengan keras.

“Irfan fikir kenapa?” tanya saya semula.

“Saya fikir, sebab Aleyalah Kak Mira jadi macam tu...”

Amira ialah kakak yang di atas Aleya, sudah berada di tingkatan satu. Dia sedih sebab ternampak doktor sedang memasukkan saluran ke dalam pundi kencing adiknya. Dia tidak sanggup lihat Aleya menangis kesakitan.

Hari ini hari ketiga Aleya di wad. Saya mungkin tidak dapat menjenguknya sebab badan sudah sedikit lemah.

Tetapi saya akan terus menunggu Aleya di rumah. Mudah-mudahan dia cepat sembuh supaya saya boleh mengusiknya semula, “kalau Aleya jadi zombi atau drakula, Mak Yang sikit pun tak takut...”

Sebabnya, semua gigi depan Aleya tidak ada. Dia rongak!

Friday, August 16, 2013

Syawal Ini

Syawal kesembilan.

Saya mengirim mesej bertanyakan khabar Yati, isterinya Mokhlis. Mendoakannya agar terus dalam rahmat Illahi.

Kemudian, saya menerima mesej balasan.

“Terima kasih kak. Maaf hanya sempat mengenali dalam keadaan begini. Tapi akak memang special di hati arwah. Akak begitu dekat di hati saya kerana arwah selalu cerita pasal akak...tapi semua yang baik-baik...”

Alhamdulillah, kata saya. Orang baik macam sahabat saya itu memang susah untuk dilupakan. Sampai sekarang, payah saya mahu menyebutnya sebagai “allahyarham” sebab dalam memori saya, dia masih ada. Mujur saya sempat menatap wajahnya hari itu. Jika tidak, sampai bila-bila, sukar untuk percaya yang dia sudah tiada.

Dalam dua hari sebelum dijemput pergi, Mokhlis asyik bertanyakan khabar kawan-kawan yang kurang sihat. Dia bertanya melalui tulisan sebab dia sudah tidak boleh bicara. Memang sesekali saya dan Cik Wan Ameran berasa terkilan. Kami tidak sempat bertemu saat beliau masih bernyawa. Sayalah yang paling teruk. Cik Wan banyak kali juga menziarahi sahabat saya itu.

Tetapi kita sebagai insan lemah tidak pernah tahu ketika takdir mahu bersuara.

Kita tidak pernah tahu apa yang ada di sebalik pohon raksasa, atau di dalam belukar tebal.

Ini kan pula esok atau lusa dalam episod hidup kita.

Monday, August 12, 2013

Ipoh dan Cerita

“Mak Yang pernah sekolah di Ipoh?” dia bertanya hairan.

“Ya. Di MGS Jalan Kampar. Tapi tinggal di Asrama Kinta, berhampiran Jalan Gopeng...”

“Tingkatan berapa?”

“Satu hingga lima. Kemudian dapat sambung tingkatan enam ke Anglo Chinese School. Tapi Mak Yang mohon ke Clifford School KK sebab ayah tengah sakit masa itu. Kasihan ayah kena turun naik bas untuk datang ke Ipoh”.

Mukanya masih kaget. Rupa-rupanya selama hari ini adik ipar bongsu itu tidak tahu sejarah pendidikan saya.

Saya di Ipoh, menguruskan hal pertukaran nama kereta kepada nama kakak saya. Kakak dan adik bongsu jiran setaman. Di kampung, rumah mak terlalu ramai orang. Kakak melarikan saya ke Ipoh. Biar otak saya sihat sedikit.

“Mak Yang memang pandai...” katanya.

“Tidak. Cuma keras hati. Keras hati itulah yang menghasilkan kejayaan. Mak Yang sekolah rendah di kampung. Tidak pandai Ilmu Hisab, tidak pandai bahasa Inggeris. Apabila ditawarkan ke sekolah di Ipoh, Mak Yang mengalami kehidupan yang sangat sukar digambarkan. Sekolah itu sekolah orang putih".

"Pernah dapat anugerah?"

"Alhamdulillah, Mak Yang masih pelajar terbaik Peperiksaan Penilaian Darjah Lima, pelajar terbaik aliran sastera SPM, pelajar terbaik STPM Parlimen Chenderoh dan pelajar terbaik Jabatan Penulisan Universiti Malaya...”

Saya memang bukan pelajar pandai. Tidak pernah mengikuti kelas tusyen sebab mahu berjimat. Saya menyalin nota dari buku rujukan kawan-kawan, maklumlah masa itu belum ada mesin fotostat. Saya hanya bergantung sepenuhnya kepada apa yang diajar guru dalam kelas, menghafal nota-nota yang diberi dan apa yang ada dalam buku teks. Nota-nota kecil yang berlipat-lipat dan kumal sentiasa ada dalam kocek baju sekolah. Saya menghafalnya waktu rehat sebab jarang makan atau semasa pertukaran waktu.

Meskipun ada biasiswa, saya tidak boleh boros. Oleh sebab itulah, saya dan beberapa kawan sanggup mengambil risiko berjalan kaki ke sekolah. Kawan-kawan lain naik bas yang dibayar bulanan.

Duduk di asrama tetapi naik bas?

Ya, sebab sekolah dan asrama jauh.

Kulit kami hitam-hitam kena bakar matahari. Kalau musim hujan, memang kebasahan. Kena kejar anjing yang terlepas dari pagar banglo-banglo jutawan Tionghua sudah jadi kelaziman. Mujur tahun-tahun itu tidak banyak orang jahat yang sakit jiwa. Kalau tidak, entahlah apa yang akan jadi dengan anak-anak gadis seperti kami yang saban hari melalui jalan dan lorong sunyi untuk ke sekolah.

Saya tiada wang saku yang banyak. Jika orang lain boleh keluar outing untuk membeli belah, saya tidak boleh berbuat seperti mereka. Uniform sekolah saya hanya sepasang. Pakaian harian pun pemberian orang. Saya kena makan apa yang dihidangkan di dewan asrama meskipun hanya sayur bening yang berulat.

Bagaimana saya lalui kehidupan yang sebegitu payah selama lima tahun?

Sebab saya degil.

Tetapi saya puas. Sebab kejayaan yang saya dapat meskipun tidak sehebat mana adalah daripada keringat yang mengalir laju tatkala saya berjalan pulang balik ke sekolah. Allah telah memberikan saya ibu bapa, abang sulung, kakak-kakak dan guru-guru yang pengorbanan mereka tidak mampu diukur dengan sebarang alatan.

Alhamdulillah. Saya tidak pernah menggunakan kabel untuk masuk ke mana-mana institusi. Allah yang membantu saya. Itu sebabnya saya berkeras untuk melakukan hal yang sama terhadap anak-anak saya. Lakukan sendiri, usaha sendiri, supaya kita jangan mengambil hak yang sepatutnya menjadi milik orang lain. Jika memang itu hak kita, jauh atau dekat, Allah akan mengembalikannya kepada kita.

Memang, kadangkala pada zaman ini, jika tiada kabel, peluang kita akan terlepas ke tangan orang lain. Tidak mengapa. Berkatkah rezeki kita jika kita mengambil tempat yang sepatutnya diberi kepada orang yang lebih memerlukan?

Ingat, ada orang lain yang lebih susah daripada kita. Yang sesusah hidup saya dahulu. Jika dahulu, tempat yang sepatutnya menjadi milik saya, diambil orang lain dengan kekuatan “kabel”, sudah tentu nasib saya sekeluarga tidak berubah.

Hidup kita hanya sementara. Berusaha untuk menjadi manusia yang sering memberi supaya Allah tetap melapangkan hidup kita meskipun di mata orang lain, kita dikelilingi musibah. Apabila hati kita sudah boleh menganggap kesukaran itu sebagai rezeki dan keberuntungan, itulah anugerah Allah yang maha hebat untuk insan sedaif kita.

“Moksu tak tahu pun Mak Yang ada cerita menarik macam itu. Mak Yang tak pernah cerita pun...” dia meminta diri untuk ke pasar dengan janji supaya saya bercerita lagi kisah zaman remaja saya itu.

Tidak ada cerita menarik. Cuma jika anak-anak saudara saya mahu menjadikannya sebagai satu motivasi, mungkin berguna juga. Mereka dan anak-anak saya tidak pernah mengalami kesusahan hidup sebagai pelajar. Apa yang mereka mahu mereka akan dapat, malah boleh demand lagi.

Mereka tidak perlu memikirkan kesusahan ibu bapa mencari nafkah. Salah siapa? Kita sebagai ibu bapa yang telah berbuat silap. Kemewahan akan melemahkan keperibadian tatkala berdepan dengan realiti kehidupan.

Mudah-mudahan kita masih ada getah pemadam untuk menghapuskan contengan di halaman kehidupan.

Friday, August 9, 2013

Sesi Bertemu Ayah

Sepatutnya mengunjungi pusara almarhum ayah pada 29 Ramadan.

Tetapi kami tiba di halaman rumah emak hampir tengah hari 29 Ramadan itu. Kepenatan dan kantuk sebab kawasan rehat dan rawat sesak. Tidak boleh mencari parkir untuk melepaskan lelah.

Tangan kanan mengalami kesakitan luar biasa. Saya lalui hujung Ramadan dan 1 Syawal dengan hanya mengaji di kamar.

Kakak sulung yang sesekali baru dapat berjumpa mengunjungi emak pada satu Syawal. Saya masih berteleku di sejadah tatkala dia masuk ke kamar dan memeluk saya. Dalam tangisan dia menyebut-nyebut, “ya Allah, mengapa adikku jadi kurus macam ini. Kesiannya adik. Kesiannya adik...”

Alamak! Menangislah pulak. Mahu sahaja saya katakan, "kak...saya hanya kurus, hapuskanlah air matamu," tetapi gurauan itu hanya saya pendamkan dalam hati. Dia sedang bersedih, saya pula mahu buat lawak bodoh!

Memang semua yang melihat saya berkata begitu. Oleh sebab kasihan melihat “kekurusan” saya itu, sepanjang waktu saya hanya jadi VVIP.

Syawal kedua barulah saya dapat ke pusara ayah. Itu pun adik lelaki nekad memandu mendaki tanah perkuburan berbukit tinggi itu, padahal saya katakan bahawa saya boleh berjalan ke sana.

Sesi bertemu ayah yang telah berangkat pada Jumaat tiga Mac tahun dua ribu itu, yakni pada bulan Zulkaedah; memang selamanya mengharukan biar pun sudah belasan tahun ayah pamit.

Santalia yang ditanam emak di hujung kepala dan kaki ayah sudah dikemasi anak saudara yang berkunjung lebih awal. Hujung daunan bertaut di tengah pusara seperti menaungi pusara ayah.

Kebanyakan pusara ada yang sudah mendap. Tanah di situ memang begitu. Mujur pusara ayah masih bagus. Pusara ayah sangat sederhana berbanding yang lain. Demikianlah almarhum berpesan, jangan sesekali ditinggikan binaan. Cukuplah dengan susunan bata yang ditanam di tanah guna mengepung tanah. Kemudian letakkan batu gunung sebagai nisan. Batu yang asli dan alami itu akan selalu berzikir kepada Allah. Catatan nama ayah dan tarikh keberangkatannya yang ditulis oleh abang sulung dengan tulisan jawi di atas simen sudah ditutupi tanah.

Melihat sekitar kawasan, banyak sekali penghuni baharu di sekitar ayah.

Ya Allah, lapangkanlah pusara ayah. Tempatkan rohnya bersama golongan yang soleh. Ayah dan mak adalah ibu bapa yang baik. Yang mengajar kami mengenal-Mu sehingga kami dapat membasahi lidah-lidah kami dengan keajaiban ayat-Mu.

Alhamdulillah. Mak pun sudah kelihatan sihat. Syawal dan kehidupan akan lebih bermakna dengan adanya orang tua di sisi kita.

Kesayuan meninggalkan ayah saya bisikkan di hati, kami bakal menyusul ayah nanti. Meskipun entah bila.

Monday, August 5, 2013

Musim Nyaman

Orang sibuk mengheret bagasi di platform. Idulfitri lagi dua hari.

Saya pula sedang termenung-menung di bangku. Hari ini hari bertemu onkologis.

Lucu betul. Pagi-pagi mahu berbaju kurung tetapi malangnya ukuran pinggang yang mengecil menyebabkan kain terlondeh. Seluar panjang pun begitu. Akhirnya takut terlewat, pakai sahaja seluar sukan. Sudah macam mahu pergi berjoging ke hospital.

Orang tidak ramai. Barangkali masing-masing sudah sampai di kampung halaman. Di klinik pun sedikit orang tetapi masa menunggunya tetap dua jam.

Apabila doktor suruh naik ke mesin penimbang, sahlah bahawa berat turun mendadak. Kelmarin ada naik ke mesin itu di pasar raya tetapi saya menuduh mesin tersebut yang rosak!

Patutlah rasa macam kapas...hahaha...

Penurunannya melebihi berat ideal.

Kata doktor, lagi dua bulan mesti jumpa saya semula untuk mengesan masalah penurunan itu. Dia menyuruh saya makan banyak.

Ini kan bulan puasa. Musim hari raya nanti saya makan banyaklah.

Subuh sebelum ke hospital, si bongsu menegur ibunya yang berlekuk di leher. Betullah katanya bahawa saya sudah kurus. Mahu bukti apa lagi kalau kain baju kurung pun asyik jatuh ke lantai.

Sebelum kembali bekerja, kena angkut kain baju ke kedai jahit minta dikecilkan sedikit. Kalau tidak nanti kawan-kawan ingat ada orang-orangan yang datang ke pejabat.

Sunyinya kejiranan ini. Orang-orang sibuk mengisi beg ke dalam kereta.

Esok, budak-budak itu akan memandu untuk pulang ke kampung. Bolehlah ibu jadi bos besar!

Saturday, August 3, 2013

Dari Mata Lain



Ada orang bertanya, bagaimana mahu bersyukur apabila ditimpa musibah?

Pada pendapat saya, banyak sekali yang Allah mahu beritahu kita tatkala kita diuji dengan musibah. Banyak juga yang Dia mahu bantu kita.

Tetapi macam biasalah, kita biasanya tidak nampak. Yang kita tahu hanyalah mengeluh dan berputus asa. Malahan kadang-kadang sampai menyalahkan ketentuan Allah.

Saya bukan mengata orang. Dahulu pun saya begitu juga.

Paling mudah ialah jika orang lain masih alpa dengan kerseronokan dunia, kita yang ditimpa musibah sudah dalam keadaan siap siaga.

Bayangkan orang yang pagi tadi kelihatan sihat sejahtera, sempat lagi ke pawagam menonton filem hindustan, tiba-tiba di pintu pawagam, Allah memanggilnya pulang. Tidak sempat bersolat, tidak sempat mengucap kalimah syahadah, tidak sempat apa-apa pun. Rebah dan meninggal dunia.

Kita yang sudah ditimpa musibah ini, mahu lagi menjenguk tempat-tempat yang seperti itu? Tentu sahaja tidak. Biar rebahnya kita di pintu masjid, bukan di pintu-pintu yang sedemikian. Bukankah kita orang yang beruntung?

Mudah sahaja untuk memahami mengapa kita mesti bersyukur jika dianugerahkan musibah. Benda itu bukan keburukan semata-mata tetapi penuh dengan pengajaran, peringatan dan pertolongan Allah.

Kemudian, jangan kita lupa akan dosa-dosa yang kita buat. Sama ada yang orang nampak atau yang disembunyikan aibnya oleh Allah. Musibah itu menghapuskan segala dosa kita jika kita redho. Tahu apa yang Allah mahu beri? Dia yang bersifat Rahman dan Rahim tidak mahu kita dicampak ke dalam neraka.

Jadi, jangan kecewa atau putus asa dengan musibah apa pun.

Bukan bermakna kita pasrah. Ikhtiar dahulu untuk mengubati penyakit atau bebas daripada kesusahan. Selebihnya barulah kita menyerahkan kepada takdir Illahi.

Kalau kita tidak ikhtiar pun, Allah marah juga. Macam kita merancang untuk balik kampung pada hari perayaan. Kita mahu bergerak usai sahur dengan pemikiran bahawa jalan akan sedikit lapang. Kita telah buat perancangan yang sangat cemerlang pada standard kita sebagai manusia. Tetapi di pertengahan jalan, ada kesesakan luar biasa. Perjalanan yang memakan masa enam jam menjadi enam belas jam. Kita pun berkata-kata, musibah apakah ini?

Mungkin ada sebab Allah adakan kesesakan yang seperti itu. Oleh sebab itu kena ada plan B juga, contohnya, tikar solat dan air. Mana tahu kita masih dalam kesesakan sedangkan Zuhur sudah masuk waktunya. Kita buat dahulu. Nanti pengguna lebuh raya yang lain akan ikut. Bukankah perbuatan itu sangat berpahala?

Ingatlah, bukanlah musibah itu buruk semata-mata. Kita kena melihatnya daripada mata yang lain.

Friday, August 2, 2013

Zaman Edan



Ramadan ini kami seakan lupa ada sebuah peti TV dalam kamar utama.

Mendapat apa-apa berita pun hanya ketika membuka internet dan siaran dua puluh empat jam IKIMfm.

Apa sudah jadi dengan tanah air saya yang tercinta?

Barangan dan perkhidmatan semakin mahal sedangkan nyawa manusia semakin murah.

Guru ditembak, kemudian pengasas sebuah bank, kemudian peniaga emas, kemudian budak lelaki di kebun, kemudian...kemudian...

Saya bingung. Ini Malaysia atau...?

Punca?

Senjata api yang mudah diseludup via sempadan. Bagaimana dengan mudah dapat dibawa masuk? Adakah kawalan keselamatan di sempadan sangat longgar? Ada gejala korupsi?

Mengapa membunuh menjadi pilihan utama? Stres?

Jika mahu menyamun sekadar lima puluh ringgit pun sampai membunuh orang, memang jelas ini zaman edan.

Hinggakan timbul lelucon bahawa baju raya tahun ini perlu ditempah dengan baju kalis peluru.

Kita kena jaga diri kita dan keluarga kita. Siapa-siapa sahaja boleh menjadi mangsa apabila tembakan rambang dilepaskan. Jalan raya atau rumah bukan lagi tempat yang selamat.

Saya rindukan zaman kanak-kanak saya hujung 1960-an dan awal 70-an itu.

Sungguh!

Kehidupan tanpa mewah, tidak kenal telefon bimbit atau laman muka buku, tetapi aman tenteram meredah belukar dan bendang.

Thursday, August 1, 2013

Ramadan Jangan Pergi



Subuh Ramadan dua puluh empat.

Minggu-minggu yang sibuk.

Beberapa hari pulang ke utara menjenguk mak. Tiga malam itu hanya sejam dua kami melelapkan mata. Membawa mak ke klinik, menyediakan bubur nasi, memicit badan mak, memastikan mak makan ubat dengan betul.

Paling kagum dengan kakak dan adik bongsu yang masih sempat pulang meskipun malam sudah begitu larut. Bukan mudah berulang alik ke kampung dalam kepenatan berpuasa dan kerja yang banyak.

Kami tidur di keliling mak termasuklah dia yang pulang agak kemudian.

Memang sangat aneh melihat mak yang terbaring begitu. Beberapa hari itu kami tidak mendengar suara mak mengaji. Mak hanya bangun untuk solat. Makan pun kena dipaksa-paksa. Selebihnya mak hanya mahu mengelakkan saya risau. Mujur saya balik sebab saya adalah poin adik beradik saya untuk menggalakkan mak makan.

Saya kena pulang juga ke Seremban sebab budak yang sulung itu mohon pulang ke tanah air seminggu lebih awal. Sebelum balik ke kampung, saya ke pejabat Emirates Airline untuk membuat pindaan tarikh.

Dia pun pulang. Kulitnya agak terbakar. Dua negara itu telah berjaya menggelapkan sedikit warna kulit.

Sepanjang dua malam, body clock masih belum betul. Malam dia berjaga dan siang tidur. Asyik sahaja bercakap sebab gembira dapat menggunakan bahasa Melayu semula.

Satu hal yang saya pasti, jika kita seorang sahaja muslim dalam komuniti bukan muslim, kita akan cenderung untuk menjaga akhlak kita sebagai muslim, menjaga amalan-amalan agama, mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan cuba mempamerkan kebaikan agama anutan kita.

Saya membaca nota rakan-rakannya. Mereka teruja dengan info agama yang selalu diterangkan oleh budak itu. Juga bagaimana dia berkeras mempertahankan tudung kepalanya walaupun tatkala di kamar, juga pendirian untuk meneruskan puasa dalam aktiviti mencabar, kurang sihat dan dalam kepanasan cuaca dua negara.

Mudah-mudahan itu titik tolak untuk sebuah kematangan dan kecintaan kepada agama yang dianuti sejak dalam rahim ibu.

Minggu ini juga si budak yang bongsu dapat kereta baharu. Spectra yang gedabak itu memang sesuai sekali dengannya. Shiro-chan saya serahkan hak miliknya kepada kakak di Ipoh. Budak yang sulung dalam proses menanti kereta baharu juga selepas Idulfitri.

Setiap hari menelefon mak. Suatu pagi, anak saudara saya menghantar aduan.

“Makyang, opah buat kerja di stor belakang...”

Saya terus menelefon mak. Mak tergelak-gelak. Dia mahu lawan rasa lemahnya. Sempat juga membersihkan stor yang ada bayi ular beberapa ekor.

“Pastikan opah masuk ke rumah sekarang dan rehat,” saya memberi arahan kepada spy saya yang sedang bercuti sementara menunggu konvo dan akan mula bekerja.

Agak malang sebab minggu akhir memburu Lailatul Qadar ini tidak dapat saya isi dengan mak. Saya perlu ke hospital dua hari sebelum Idulfitri.

Beberapa kenalan penulis telah pergi menghadap Illahi termasuklah seorang yang pernah meminta izin menulis cerpen berdasarkan sajak saya “Anak Tanpa Rumah” yang terbit di akhbar BH. Begitulah adat kehidupan, sedangkan dalam waktu sama para penulis tanah air merancang untuk bertemu di Hari Sastera Ke-16 di Sarawak awal September ini.

Saya juga masih gagal melupakan wajah akhir Allahyarham Ustaz Mokhlis, sahabat saya itu. Sementara menunggu teduh, saya tetap mendoakan agar Allah menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Semalam terbaca juga cerita seorang bilal di Surau Mujahidin Bangi yang meninggal dalam sujud tatkala sedang berjemaah solat Zuhur. Subhanallah. Beruntungnya dia. Petang Khamis, malam-malam akhir Ramadan dan ketika sedang sujud.

Masya-Allah, dia antara insan terpilih.

Subuh ke dua puluh empat sudah datang. Lagi beberapa hari Ramadan akan pergi. Alangkah baiknya jika dia tidak pamit.

Tetapi seperti kita, Ramadan akan pergi juga.

Meskipun kita merayu-rayu, jangan tinggalkan kami wahai Ramadan.