Total Pageviews

Tuesday, July 23, 2013

Mokhlis Komari: 1966-2013



Petang Isnin, Esna menelefon.

“Saya ada di hospital Pilah. Ziarah ustaz”. Suara Esna agak lain. Rupa-rupanya ustaz sudah masuk hospital minggu lepas.

Ustaz hanya mampu menggerakkan mata. Wajahnya sudah berbeza. Doktor yang merawati pun tidak cam pada mulanya jika tidak meneliti nama pesakit. Doktor itu bekas pelajar kami di matrix pada tahun 2004.

“Semalam ustaz tulis surat wasiat...”

“Pagi tadi ustaz kritikal...”

Sudah petang sangat. Kalau tidak, mahu sahaja saya lari sekejap ke Pilah.

Saya maklumkan bahawa saya akan menziarahi ustaz esok hari. Cepat saya menghubungi seorang lagi sahabat, Encik Wan Ameran. Rupa-rupanya beliau juga baru melepasi rawatan di hospital.

Encik Wan, Ustaz Mokhlis dan saya sebaya. Tetapi mereka membahasakan saya “Kak Yang”. Dua tahun lepas kali terakhir saya jumpa ustaz untuk minum-minum teh tarik bersama beberapa sahabat lain. Waktu itu ustaz masih sihat, tersihat antara kami bertiga.

Ustaz enggan mendapat rawatan doktor sebaliknya giat berubat secara alternatif untuk kanser lidahnya itu. Sikapnya yang suka menyembunyikan penyakit membuatkan ramai sahabat pensyarah yang tidak tahu keadaan sebenar ustaz.

Sebetulnya sudah tiga malam ini saya gagal lena. Ingatan saya, anehnya, menjurus kepada sahabat saya itu. Maka saya penuhi malam Ramadan dengan doa mohon dipermudahkan segalanya buat ustaz, juga buat rakan-rakan lain yang sedang diuji.

Pagi ini, Selasa, saya sedang bersiap-siap untuk turun ke Pilah.

Deringan telefon itu...

“Ibu, ustaz dah tak ada...”

Saya diam tidak dapat bersuara. Duduk di pinggir katil cuba mencari kekuatan. Saya dapat merasakan sememangnya ustaz akan melepaskan kehidupan dunia. Tetapi tidak terfikir perginya sepantas ini.

Terus saya menghubungi Encik Wan, Ustazah Mukarramah dan Kak Zaharilah. Kami bertiga antara yang telah berhijrah ke IPG. Itu antara sahabat yang pernah akrab dengan ustaz.

Saya ke hospital bersama Ustazah Mukarramah. Demi sahabat saya itu, sahabat yang sangat baik dan berbudi; saya kuatkan diri. Allah membantu saya dan saya memandu dengan mudahnya ke Pilah.

Ustaz sedang dimandikan.

Isterinya memeluk saya.

“Ini Kak Yang kan? Ustaz selalu sebut nama Kak Yang. Tapi ustaz tak sempat jumpa Kak Yang. Ustaz suami yang baik, kak”, dia berkata dalam sedu sedan.

Pasti sahaja dia orang yang baik dan sebab itulah Allah telah memilihnya untuk berangkat pada bulan yang penuh barakah.

Doa saya, Ya Allah, perkasakan wanita ini. Dia yang akan menjadi ibu dan ayah buat enam anak yang ditinggalkan.

Di bawah pimpinan Ustazah Mukarramah, kami iringi pemergian ustaz dengan tahlil ringkas.

Pintu ruangan mandi jenazah dibuka dan jenazah ustaz disorong keluar. Saya berada di hadapan, meneliti wajah sahabat saya itu buat kali terakhir.

Memang rautnya berbeza sebab ustaz sangat kurus.

Jenazah ustaz dibawa ke Banting untuk disemadikan.

Selamat jalan sahabat. Selamat berangkat ke sisi-Nya wahai saudaraku.

Tiba-tiba saya merasa kosong. Sahabat saya telah pergi. Dia telah pergi.