Total Pageviews

Friday, July 5, 2013

Di Mana Kuci Saya?



Sejak serangan jerebu itu, saya batuk. Selesema sudah hilang tetapi batuk masih ada. Kerongkong gatal macam ada yang menggaru-garu.

Sangat tidak selesa apabila terpaksa berdehem-dehem seakan ada benda yang tersekat di tekak.

Oleh sebab saya sukakan kuaci, saya belikan pek besar kuaci bunga matahari yang disahkan halal oleh Persatuan Muslim Anhui. Kuaci itu saya letakkan tersorok sedikit berhampiran dengan beras Basmathi Kashmir dan sebotol minyak canola & bunga matahari.

“Hah, makan kuci? Batuk-batuk pun makan kuci?” tanya suami dengan mata buntang. Aduh, nampak pulak dia!

Saya bukan salah eja. Memang lelaki itu suka benar mengubah sebutan bahasanya. Mat rempit akan jadi “mat rompit”. Modul akan disebut “medul”. Begitu juga dengan nama orang. Esna menjadi “Asna”. Ikut suka hati dia sahaja mahu sebut.

Kuaci besar itu diambil dan disembunyikan. Jenuh saya cari tetapi gagal jumpa.

“Tunggu sampai baik betul, baru abang keluarkan kuci itu...” katanya waktu saya merayu-rayu setiap hari bertanyakan lokasi persembunyian pek kuaci.

Dakwanya, dia bacakan Surah Al-Falaq waktu sembunyikan kuaci saya.

“Macam mana Yang boleh tak jumpa? Ekor kuci tu boleh nampak dari pintu bilik kakak...”

Geram betul.

Akhirnya saya curi-curi beli pek kecil kuaci dan makan cepat-cepat sebelum dia balik pejabat.

Alamak, memang betullah. Saya kembali batuk. Bertali-temali.

Waktu dia balik, saya sudah tidak larat main sembunyi-sembunyi lagi. Hehehe...dia fikirkan saya sedang menyorok, dicari-carinya saya di sebalik sofa. Walhal saya sedang mengerekot baring dalam selimut sambil menahan batuk.

“Itu sebab jangan melawan suami. Tuhan marah!” katanya setelah saya mengaku curi-curi makan kuaci.

“Tapi Yang makan kuaci, bukannya kuci!”

Melawan lagi!

Kesimpulannya, jangan makan kuaci kalau diserang batuk.

Dan kalau suami larang makan “kuci” jangan cuba-cuba makan juga dengan mengubah sebutannya kepada “kuaci”.

2 comments:

Abdul Jamil said...

OOOO mengumpak abang yeeeee, ok ok nanti abang umpek lah di tompek abang hehe

IBU BUNGA MATAHARI said...

Ikut suka hati je ya. Mengumpat bukan mengumpak...hahaha...dah baco di tompek abang tapi tak ado pun. Sibuk bonalah yo jadi pengurus pasukan bola.