Jika kita tidak mampu menghentikan terjahan hujan, bergembiralah dengan mandi-manda di dalam lebatnya...bukan bahagia yang menjadikan kita bersyukur tetapi dengan bersyukur menjadikan kita bahagia.
Total Pageviews
Saturday, July 27, 2013
Menjenguk Mak
Menuju utara.
Si Atira Laila yang memandu.
“Panas ni. Tak payah balik. Jangan risaukan mak. Nyah ada”. SMS itu saya baca.
“Nak balik jugak...”
Kalau anak yang sakit, macam mana tak larat pun, mak akan usaha sedaya upaya. Jadi, saya kena begitu juga. Dengan Bismillah, saya nekad untuk melakukan perjalanan jauh.
Sebelum Ramadan lagi mak kurang sihat. Tetapi sehari dua ini mak jadi lemah. Di telefon, suara mak lesu.
Saya kena lari balik sekejap.
Memang aneh melihat mak terbaring di tilam. Hati saya rusuh.
Kakak yang bekerja di Ipoh ada di kampung. Malam itu adik yang baru tamat syif, juga turut bergerak balik ke kampung.
Mak hanya makan bubur nasi. Jari tangan mak bengkak. Badan jadi lesu. Sudah ke klinik, sudah dibelikan ubat macam-macam.
Kami tidur berkeliling mak. Memicit tangan dan kaki mak yang sudah berkedut dan kurus.
“Mak sudah tua. Selera makan tak ada. Memang jadi tak laratlah. Biasalah tu...” begitu kata mak.
Tapi memang aneh melihat mak terbaring. Sebab mak selamanya wanita perkasa yang biasanya tidak mudah mengalah dengan musibah apa pun.
Saya pun buat lawak.
“Hai jin hantu syaitan yang dikenali. Keluarlah kau. Jangan gigit ibuku. Kalau kau tak keluar, aku gigit kau pulak. Nyah kau dari bumi Malaysia ni...”
Mak tergelak mendengar “jampi serapah” saya.
Semoga “syurga” saya dan adik-beradik saya itu kembali kuat dan sihat.
Allah, makbulkanlah!
Wednesday, July 24, 2013
Hujan Masih Turun
Hujan tengah hari Rabu.
Hujan juga masih turun di hati saya.
Dan di hati isteri, anak-anak, kaum keluarga dan sahabat handai yang ditinggalkan.
Orang baik. Perginya ditangisi.
Malam tadi ustaz terbaring sendirian di liang lahad. Berpisahlah dia dengan dunia yang sementara. Dengan anak isteri yang mengasihi. Dengan sahabat handai yang masih dikurung rasa tidak percaya.
Allah meminjamkan empat puluh tujuh tahun sebelum mengambil hak-Nya kembali. Dia telah tiada. Dia telah pergi. Itulah realiti.
Daripada tiada kepada ada. Daripada ada kepada tiada. Itu petanda kita insan yang lemah, yang diciptakan oleh pemilik kita nan abadi.
Ramadan empat belas. Kami kehilangan sahabat yang sangat baik. Yang selalu low-profile. Yang tidak berpaling saat kami dikhianati. Yang selalu menghulurkan tangannya untuk membantu. Yang diamnya lebih banyak daripada bersuara.
Kata-kata semangatnya kepada saya lima tahun yang lalu...
“Tak apa, kak. Orang baik memang selalu diuji. Allah tahu kekuatan kak. Itu sebab Dia beri ujian demi ujian untuk kak...” Dia memujuk. Tapi saya bukan orang baik, ustaz!
Dan saat dia sakit, saya mengirim mesej. Mengulang semula kata-katanya. Saya yakin Allah memberikan ujian demi menganugerahkan syurga. Dan yang mahu menjadi penghuni syurga ada kelasnya yang tersendiri yakni bersih daripada segala dosa meskipun sedikit. Maka sebab itulah diberikan kesakitan sebab rasa sakit itulah yang akan menghapuskan dosa jika kita redho.
Cantik percaturan Allah. Dia masuk ke hospital iaitu sesuatu yang agak mustahil untuk ustaz sebab dia alergik dengan hospital. Hospital itu di Pilah. Tatkala dia dijemput pergi, mudah untuk rakan-rakan di Pilah dan Seremban ziarah. Kediamannya di Bahau agak jauh. Perginya pada jam 10.40 pagi dan pengurusan jenazah berjalan dengan lancar. Sebelum Zuhur, kenderaan jenazah meluncur ke Banting, kampung asal ustaz untuk disemadikan.
Seperti kata isterinya, “tak apalah Allah nak ambil ustaz. Kesian dia. Tak sanggup biar ustaz terus begitu...”
Doa saya, Allah berikanlah kekuatan berganda kepada wanita bertubuh kecil itu.
Apabila Allah mengambil, Dia pasti akan memberi. Sebab Dia Maha Adil dan penuh kasih sayang.
Kita tidak tahu sama ada Ramadan ini Ramadan terakhir kita bersama orang-orang tersayang. Sama seperti kita tidak menyangka bahawa Ramadan dan Syawal tahun lalu adalah Ramadan dan Syawal terakhir ustaz.
Tambahkan amalan kita, bersegera dalam berbuat kebaikan. Padamkan api dendam, penuhi hati dengan cinta Ilahi.
Sebab kita tidak tahu bilakah tibanya giliran kita...
Petang ini, Encik Wan menelefon. Mengkhabarkan bahawa semalam dari HUKM, dia terus ke Banting. Sebelum Asar, jenazah ustaz dikebumikan.
"Tinggal kita berdua saja, Cik Wan. Ustaz yang paling akhir sakit tapi dia yang pergi dulu..." kata saya menahan hujan.
Encik Wan yang baik, sahabat seperjuangan allahyarham ustaz dan saya. Dia mengaku masih kebingungan sebab rancangnya Jumaat ini mahu menjenguk ustaz di hospital.
Dia hilang seorang teman baik. Saya juga.
Tuesday, July 23, 2013
Mokhlis Komari: 1966-2013
Petang Isnin, Esna menelefon.
“Saya ada di hospital Pilah. Ziarah ustaz”. Suara Esna agak lain. Rupa-rupanya ustaz sudah masuk hospital minggu lepas.
Ustaz hanya mampu menggerakkan mata. Wajahnya sudah berbeza. Doktor yang merawati pun tidak cam pada mulanya jika tidak meneliti nama pesakit. Doktor itu bekas pelajar kami di matrix pada tahun 2004.
“Semalam ustaz tulis surat wasiat...”
“Pagi tadi ustaz kritikal...”
Sudah petang sangat. Kalau tidak, mahu sahaja saya lari sekejap ke Pilah.
Saya maklumkan bahawa saya akan menziarahi ustaz esok hari. Cepat saya menghubungi seorang lagi sahabat, Encik Wan Ameran. Rupa-rupanya beliau juga baru melepasi rawatan di hospital.
Encik Wan, Ustaz Mokhlis dan saya sebaya. Tetapi mereka membahasakan saya “Kak Yang”. Dua tahun lepas kali terakhir saya jumpa ustaz untuk minum-minum teh tarik bersama beberapa sahabat lain. Waktu itu ustaz masih sihat, tersihat antara kami bertiga.
Ustaz enggan mendapat rawatan doktor sebaliknya giat berubat secara alternatif untuk kanser lidahnya itu. Sikapnya yang suka menyembunyikan penyakit membuatkan ramai sahabat pensyarah yang tidak tahu keadaan sebenar ustaz.
Sebetulnya sudah tiga malam ini saya gagal lena. Ingatan saya, anehnya, menjurus kepada sahabat saya itu. Maka saya penuhi malam Ramadan dengan doa mohon dipermudahkan segalanya buat ustaz, juga buat rakan-rakan lain yang sedang diuji.
Pagi ini, Selasa, saya sedang bersiap-siap untuk turun ke Pilah.
Deringan telefon itu...
“Ibu, ustaz dah tak ada...”
Saya diam tidak dapat bersuara. Duduk di pinggir katil cuba mencari kekuatan. Saya dapat merasakan sememangnya ustaz akan melepaskan kehidupan dunia. Tetapi tidak terfikir perginya sepantas ini.
Terus saya menghubungi Encik Wan, Ustazah Mukarramah dan Kak Zaharilah. Kami bertiga antara yang telah berhijrah ke IPG. Itu antara sahabat yang pernah akrab dengan ustaz.
Saya ke hospital bersama Ustazah Mukarramah. Demi sahabat saya itu, sahabat yang sangat baik dan berbudi; saya kuatkan diri. Allah membantu saya dan saya memandu dengan mudahnya ke Pilah.
Ustaz sedang dimandikan.
Isterinya memeluk saya.
“Ini Kak Yang kan? Ustaz selalu sebut nama Kak Yang. Tapi ustaz tak sempat jumpa Kak Yang. Ustaz suami yang baik, kak”, dia berkata dalam sedu sedan.
Pasti sahaja dia orang yang baik dan sebab itulah Allah telah memilihnya untuk berangkat pada bulan yang penuh barakah.
Doa saya, Ya Allah, perkasakan wanita ini. Dia yang akan menjadi ibu dan ayah buat enam anak yang ditinggalkan.
Di bawah pimpinan Ustazah Mukarramah, kami iringi pemergian ustaz dengan tahlil ringkas.
Pintu ruangan mandi jenazah dibuka dan jenazah ustaz disorong keluar. Saya berada di hadapan, meneliti wajah sahabat saya itu buat kali terakhir.
Memang rautnya berbeza sebab ustaz sangat kurus.
Jenazah ustaz dibawa ke Banting untuk disemadikan.
Selamat jalan sahabat. Selamat berangkat ke sisi-Nya wahai saudaraku.
Tiba-tiba saya merasa kosong. Sahabat saya telah pergi. Dia telah pergi.
Monday, July 22, 2013
Budak Itu...
Beberapa hari yang lepas budak itu menghantar mesej.
“Mandi di Laut Mati”.
Tengah terapung-apunglah agaknya, dia sempat menulis mesej kepada ibu.
Itu antara keinginan saya juga. Berada terapung-apung dan tidak tenggelam di laut yang kemasinannya hanya Allah yang tahu.
“Pedih gila kalau ada kulit yang luka. Mata pun pedih kena air”
Esoknya setelah seminggu di Jordan, dia kembali ke Bahrain. Di Dubai waktu transit, mujur seorang rakan dari China mengingatkan dia untuk sahur.
Seharian saya rasa lain macam. Budak itu tidak sihatkah?
“Kakak batuk kuat. Mata panas dan tekak perit.”
Saya sudah agak.
“Jangan keluar sendirian. Ajak kawan beli ubat batuk atau lemon. Minum air banyak. Kalau kena makan ubat, buka puasa...”
Saya mula risau. Teringat waktu dia diserang gejala yang sama hinggakan terpaksa ditahan di wad kecemasan.
Akhirnya, “kakak sudah ke hospital. Mungkin kakak dapat balik lebih awal ke Malaysia...”
Hati saya garing. Dia sendirian di tempat orang. Dan kurang sihat!
Doa ibu paling mujarab, apa lagi di bulan semulia ini.
Mudah-mudahan Allah sihatkan dia semula.
Dia hanya batuk...saya memujuk hati.
Sunday, July 21, 2013
Bicara Takdir
Tragedi itu berulang lagi.
Guru juga.
Dalam tergesa-gesa mahu menghadiri mesyuarat, si ibu terlupa anak kecilnya yang sedang tidur di kerusi belakang Myvi.
Beberapa jam kemudian, tatkala kembali ke kereta, didapati anak perempuan berusia tiga tahun itu sudah tidak bernyawa akibat kelemasan.
Kereta itu diparkir di kawasan yang tidak berbumbung. Sudah pasti keterikan matahari menjalar masuk bahangnya ke dalam kereta yang bertutup rapat.
Kenapa guru? Ramai orang bertanya begitu. Apakah insiden sebegini menunjukkan betapa tekanan yang dihadapi para guru sudah sampai ke tahap nazak?
Ada seorang rakan penulis yang juga guru bercerita. Ada seseorang yang setiap kali berucap akan bertegas menyebut bahawa, “kerja nombor satu. Keluarga nombor seterusnya. Utamakan kerja!”
“Siapa?” ada yang bertanya.
“Bos dalam pagar sekolah!”
Di maya berlaku perdebatan terbuka. Ada yang menyalahkan kelalaian si ibu, menyalahkan pentadbiran sekolah dan si pembuat dasar.
Tapi paling mengecewakan tatkala ramai yang mahu ibu itu dihukum dengan hukuman yang berat. Dan sangat memeranjatkan apabila yang menyarankan itu termasuklah seorang tokoh. Individu ini sangat diketahui oleh sebahagian kaum penulis, sangat kuat melobi sehingga akhirnya dinobatkan sebagai SN beberapa tahun yang lalu. Seorang tokoh boleh memberi pendapat dengan hujah dangkal dan keanak-anakan?
Ini pendapat peribadi saya atas kapasiti seorang pendidik dan ibu.
Ibu itu telah menerima hukuman untuk sepanjang hayatnya. Malahan jika iman tidak kukuh, dia boleh sahaja menjadi tidak siuman. Tragedi itu seperti torehan pisau tajam yang sentiasa melukai hatinya.
Mana mungkin seorang ibu dengan segala kesengajaan mahu membunuh anak yang pernah berada dalam rahimnya kecualilah dia gila atau berada di bawah pengaruh sesuatu.
Kerja itu ibadah. Anak itu amanah. Kedua-duanya sama penting.
Bagi saya pula, jika sampai membahayakan anak, saya sanggup mengangkut anak-anak ke pejabat biar pun telinga tuli dengan umpatan orang. Itu yang saya lakukan dahulu. Tiada siapa yang boleh menjaga anak saya ketika saya menyambung pengajian sarjana. Saya bawa budak itu dan dudukkan dia di kelas sebelah dengan doa agar Allah menjaganya sepanjang tiga jam kuliah. Sekejap-sekejap saya akan keluar menjenguk biar pun barangkali sedikit mengganggu kelas.
Orang hanya boleh mengata tetapi jika berlaku sesuatu kepada anak-anak kita, ibu juga yang akan disalahkan.
Memang si ibu itu tidak sepatutnya sebegitu lalai. Namun saya pasti kotak fikirnya berkecamuk dengan urusan kerja yang mesti disegerakan sehingga terlupa bahawa anak masih berada dalam kereta.
Tragedi itu sudah berlaku. Anak comel itu pun sedang menuju syurga Illahi.
Menangis air mata darah sekali pun dia tidak akan hidup semula.
Jangan bebankan kedukaan dan kekesalan si ibu dengan memberi saranan yang macam sampah. Demi rasa kemanusiaan dan persaudaraan, kita sepatutnya mendoakan dengan mengambil keberkatan Ramadan ini agar Allah memberikan ketabahan dan kekuatan kepada si ibu itu.
Saya lebih setuju jika si pembuat dasar mengkaji semula beban tugas guru. Mereka bukan robot yang boleh diasak dengan pelbagai tugas.
Robot pun ada ketikanya akan rosak juga.
Kehidupan kita seperti ramalan cuaca. Esok dijangka panas terik tetapi kuasa Allah mampu menurunkan hujan lebat.
Siapa kita untuk menahan tatkala takdir sudah berbicara!
Saturday, July 20, 2013
Masih Mampu Mengenang
Ramadan sebelas.
Alhamdulillah. Sekali pun kami belum ke baram (bazar Ramadan). Menu berbuka hanya yang biasa-biasa. Sama seperti hari-hari sebelum Ramadan.
Kata mak, Ramadan hanya ada sebulan ini sahaja. Kena rebut betul-betul pahalanya. Kena kuatkan diri walaupun rasa kurang larat. Biarlah bulan ini berbeza daripada bulan-bulan yang biasa. Kalau tidak, rugi sahaja kita menghabiskan sebulan Ramadan ini jika masih sama seperti bulan-bulan lain.
“Pagi ini kami sudah khatam Quran di masjid”, kata mak.
Suara mak macam letih waktu saya menelefon. Kudrat sudah habis untuk membesarkan anak-anak. Tetapi semangat mak masih macam dahulu.
Ramadan kali ini terasa dingin dan redup. Perasaan saya sahajakah?
Zaman ayah muda-muda, ada satu permainan dalam bulan puasa yang dipanggil “menghantar”. Ayah selalu mengkisahkan kepada kami mengenai permainan ini dan kenakalan beliau serta kawan-kawannya. Kami hanya mampu membayangkan sahaja sebab pada zaman saya, permainan itu sudah pupus.
Pada zaman saya menjadi kanak-kanak pula, kemeriahan Ramadan ialah pada panjut tempurung yang dibuat ayah. Juga buluh panjang yang ayah tebuk beberapa lubang dan diisi dengan minyak tanah serta dibuatkan sumbu.
“Panjut? Apa itu?” tanya anak. Kasihan dia. Generasinya akan jadi seperti saya, hanya dapat membayang-bayangkan sahaja.
Seperti generasi anak-anaknya nanti yang hanya dapat membayang-bayangkan bagaimana rupa kad hari raya yang menjadi penyambung ikatan kasih sayang.
Masa telah mengubah segala-galanya. Keadaan sudah menjadi tidak sama lagi seperti sebelumnya. Hari ini kita yang terkial-kial mendepani kepesatan teknologi, esok-esok giliran anak-anak kita pula merasai benda yang sama.
Yang tinggal pada kita hanya nostalgia.
Mujur kita masih mampu untuk mengenang.
Wednesday, July 17, 2013
Merisik Khabar
Terima kasih Dr. K sebab bertanyakan khabar saya.
Mesej pesanan ringkas dan panggilan telefon rakan-rakan selalu meriangkan nyali. Sebab saya tahu saya masih diingati meskipun tidak dirindui.
Saya sedang mengedit tulisan sepanjang enam ratus lapan puluh muka surat tatkala Dr. K menghubungi. Sudah seminggu tetapi masih belum siap. Hanya setengah jam saya boleh duduk mengedit. Selepas itu kena baring.
Doa saya semoga saya sempat juga menghabiskan pengeditan sebelum Aidilfitri supaya penerbit tidak tertunggu-tunggu dan proses penerbitan tertangguh lama. Barangkali inilah sumber rezeki yang ditunjukkan Allah kepada saya dalam usaha saya mengumpul dana untuk tujuan perubatan.
Duduk berkurung bukanlah satu pilihan bijak tetapi untuk sesetengah kondisi, ia adalah perlu. Untuk beberapa waktu, saya langsung tidak bertemu muka dengan jiran. Gua ini adalah dunia saya. Mudah-mudahan Tuti memahami, saya tidak boleh keluar rumah dalam keadaan yang “tidak bertamadun” hahahaha...
Sunyi tatkala si adik masih tidur walaupun matahari ada di langit. Selepas dia bangun atau ketika Daddynya balik, sunyi pun minggir. Mereka berdua buat lawak jenaka sebab ibu kena ada hiburan juga.
Kalau ikutkan hati, saya mahu menghidupkan Ramadan dengan mak. Tetapi janji saya pada mak terpaksa dibatalkan. Pertama, sebab kondisi saya yang “tidak bertamadun” itu. Kedua, perjalanan jauh dan panas matahari akan menyebabkan gangguan terhadap “sistem yang tidak bertamadun”. Ketiga, saya kena menunggu si Atika Laila pulang ke Malaysia sehari sebelum Aidilfitri.
Maka, duduklah saya di rumah kecil. Menelefon mak setiap hari dan si Atika Laila sekali seminggu.
Mak qiamulail di masjid, ada tadarus juga. Walaupun kurang sihat, mak nekad mengisi Ramadan. “Umur mak sudah tujuh puluh lima...” demikian mak berkata dan saya mengerti maksudnya. Sangat mengerti. Dan hati saya kecut memikirkan kata-kata mak.
Semalam menelefon Atika Laila, “kakak di Jordan sekarang. Kakak seorang sahaja muslim. Waktu kawan-kawan makan tengah hari, kakak tunggu di luar restoran. Kakak sihat tapi letih sedikit. Kelmarin di hotel, kakak tak terjaga untuk sahur. Tapi kakak masih puasa. Kawan-kawan non-muslim kagum...”
Saya mendengar antara jelas dengan tidak. Alhamdulillah.
“Kakak musafir,” kata saya. “Kalau kakak benar-benar tidak berdaya, kakak bukalah. Nanti pastikan ganti semula dengan segera...”
Kena ada kekuatan tatkala berada dalam kelompok yang bukan muslim. Kita kena menjadi ikan di laut lepas yang tetap tawar dalam kemasinan air.
Ada sekali dia bersahur biskut sahaja sebab malam itu rakan-rakan berparti mabuk-mabukan di dapur. “Tidak boleh masak,” katanya. Mungkin dapur sudah hanyir dengan bau arak.
Bagus juga dia berkelana seperti itu. Dalam keterpaksaan dan jauh daripada ibu, dia kena masuk ke dapur juga, iaitu satu perkara yang dia kurang suka.
Kita boleh lakukan jika keadaan memaksa. Tiada yang mustahil selagi Allah mengkehendaki.
Moga Allah memelihara iman dan akidah kita, memelihara maruah dan kehormatan kita, memelihara aurat dan solat kita.
Semuanya akan berakhir dengan kesudahan yang baik. Waktunya akan tiba juga. Insya-Allah.
Tuesday, July 16, 2013
Say No To Ayam
Heboh ayam naik harga.
Tiba-tiba sang ayam jadi macam artis popular yang ditangkap sebab tidak berpuasa.
Semua orang bising-bising sebab menjelang musim perayaan, tiba-tiba ayam naik harga.
Saya tumpang bersimpati mendengar dan membaca keluhan-keluhan itu sebab saya bukan pemakan ayam. Dan saya juga tidak boleh makan ayam.
Maknanya, saya tidak terancam langsung dengan kenaikan harga ayam.
Tetapi kasihan kepada keluarga yang anak ramai dan semuanya sukakan ayam. Jenuh juga si bapa dan ibu memikirkan alternatif lain supaya anak-anak itu mampu melupakan keghairahan mereka terhadap ayam.
Ayam yang gemuk gedempul di pasar itu bukanlah sumber makanan yang baik untuk kita. Untuk menggemukkannya, dia dicucuk dengan sejenis bahan kimia yang boleh mempercepat tumbesaran. Paling baik kalau kita makan ayam kampung.
Apa-apa pun, ayam kampung tetap pilihan terbaik!
Jawapan menteri mengundang kemarahan.
Kata Pak Menteri (dan saya pernah beberapa kali mengacara majlis yang beliau adalah VVIP), ayam naik harga, jangan makan ayam. Makan daging! Boikot ayam!
Uh! Jawapan itu agak kurang cerdik. Sekarang, semua barang telah naik harga. Kalau harga pakaian naik, maka jangan pakai baju. Pakai daun!
Itu antara yang ditulis oranglah. Saya hanya menulisnya kembali.
Sebab macam yang saya kata, saya bukan pemakan ayam. Suami pun tidak makan ayam kecuali kaki ayam yang berkaki ayam. Budak-budak itu pun sekarang sudah jarang makan ayam sejak ibunya sakit.
Kalau tidak, hari-hari menunya ialah ayam.
Sekarang, ayam-ayam boleh demand. Mereka menjadi sumber makanan yang menjadi sebutan.
Mengenangkan ayam dan keluhan, saya terbayangkan para pejuang di medan. Juga masyarakat miskin di negara-negara sekitar.
Ada mereka peduli dengan kenaikan harga ayam?
Monday, July 15, 2013
Penulis Jutawan
Dulu-dulu, orang kata kalau mahu kaya jangan jadi penulis.
Sebuah sajak pada zaman 80-an dibayar RM10 oleh suratkhabar arus perdana. Kalau akhbar nyamuk, langsung tiada bayaran.
Sekarang jumlahnya sudah naik sedikit. RM50.
Saya tidak dapat menahan kerterujaan tatkala terserempak dengan novelis jutawan, Pak Abdul Latip Talib. Novelis kelahiran Rembau yang menjadi kaya dengan menulis novel sejarah.
Saya mahu mengutip pasport Atira Laila siang itu. Di muka pintu Jabatan Imigresen, saya tiba-tiba ternampak wajah yang amat dikenali.
“Pak Latip!” sapa saya.
Dia mendepani saya.
“Siapa ya?” tanyanya mesra. Kulitnya agak cerah berbanding foto-foto yang saya nampak di laman sosial.
Saya sangat pasti dia tidak kenal saya. Penulis bilis sedang berdepan dengan jerung raksasa!
Saya memperkenalkan diri. “Tapi saya tidak sehebat bapak!”
Ya, zaman ini menulis boleh jadi jutawan. Pak Latip adalah antara contohnya. Daripada hasil jualan novel, dia mengembara ke negara-negara di mana tokoh negara tersebut bakal dijadikan watak novel sejarahnya. Dia membuat kajian sebelum menulis.
Dia mengingatkan saya kepada Pak Shahnon Ahmad, Pak Samad Said, Allahyarham Azizi Haji Abdullah, Pak Abdullah Hussain, malahan penulis zaman baharu yakni seperti Saudara Faizal Tehrani. Apabila membaca novel mereka, kita banyak sekali mendapat ilmu baharu sama ada dari sudut pertanian, hukum-hakam agama, sejarah dan sebagainya.
Sangat sukar untuk menemui novel-novel para sasterawan negara sekarang ini. Mereka tenggelam dalam kebanjiran novel pop yang judulnya sahaja boleh membuatkan saya mual. Belum lagi membacanya!
Novel pop itu diangkat pula menjadi siri TV. Ada yang bagus tetapi ada juga yang mempamerkan contoh yang kurang elok untuk anak-anak kita menonton.
Kalau seorang itu ada disiplin dan kesungguhan, dia akan berhasil. Ramai kawan saya yang telah berhenti kerja dan menjadi penulis sepenuh masa.
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Cuma kadang-kadang, jalan sudah terbentang tetapi kita yang masih bertangguh-tangguh.
Salah siapa?
Sunday, July 14, 2013
Menikmati Ramadan
Betapa besarnya bertemu nikmat Ramadan.
Ada orang yang meninggal dunia sebelum bertemu Ramadan. Ada orang yang tidak boleh berpuasa sebab terlantar sakit. Tetapi kita telah diberi peluang untuk menikmati Ramadan dengan usia dan kesihatan yang memungkinkan kita menghiasi sepertiga malam dengan memuji Allah SWT.
Awal pagi saya ke mesin deposit untuk mengirim Dinar Bahrain yang diminta. Atika Laila ada program susulan ke Jordan dan Turki selama seminggu sebelum kembali ke Bahrain. Di muka pasar raya itu orang sudah ramai membeli barangan basah dan kering. Saya melihat wajah-wajah yang masam. Saya cuba menjual senyum meskipun tidak laku.
Bagaimana mungkin kita menikmati pagi Ramadan dengan wajah masam?
Orang mula membeli baju dan kelengkapan berhari raya. Tetapi tahun ini kami tidak begitu. Sebenarnya sejak anak-anak sudah dewasa, keghairahan untuk membeli persiapan hari raya sudah amat berkurangan. Pakai sahaja apa yang ada. Makan sekadar yang termampu. Budak-budak itu pun sudah tidak merengek mahukan baju raya. Belanja pengajian bukan sedikit. Itu sangat mereka insafi.
Maha Suci Allah yang memberikan peluang hebat kepada kita untuk menikmati Ramadan dan keberkatannya. Menonton suasana malam Ramadan di bumi Mekah mampu menitiskan air mata. Betapa malam diisi dengan kemeriahan ibadah. Keinginan untuk menjadi tetamu Allah membuak-buak.
Teringat cerita mak dan kerinduannya untuk kembali mengisi Ramadan di bumi Mekah. Dengan izin-Nya, mudah-mudahan suatu ketika nanti Allah akan memanggil kita ke sana.
Rebutlah nikmat Ramadan yang tidak terhingga ini.
Kurangkan kekerapan mengunjungi bazar Ramadan sehingga berlakunya pembaziran. Mujahidin kita di Syria, saudara-saudara kita di Mesir, iftar dan sahur dengan makanan sekadar ada. Mereka yang merindui syahid, tidak pernah memikirkan soal makanan enak.
Madrasah Ramadan tersedia buat kita untuk sebulan.
Bersegeralah untuk menyantuninya sebaik mungkin!
Saturday, July 6, 2013
Dia Tidak Jumpa Ramadan
Malam tadi Kak Yam mengirim mesej, mengkhabarkan berita kematian isteri kepada Tuan Haji Masnan. Mak cik itu? Dia yang mengurut saya sambil memberikan petua dan nasihat. Meminta saya bersabar dengan ujian Allah.
Rupa-rupanya dia tidak sempat berjumpa Ramadan tahun ini. Dia kelihatan sangat sihat waktu saya ke rumahnya untuk berurut awal tahun sebelum saya dioperasi. Takdir Allah, dia yang dijemput ke pangkuan Allah terlebih dahulu.
Tentu anak-anak, menantu dan suaminya akan berasa begitu kehilangan. Ramadan dan Syawal tanpa ibu dan isteri.
Saya pernah tertarik dengan kaedah kenduri perkahwinan yang dijalankan pasangan itu. Mereka lari daripada kebiasaan. Jamuan perkahwinan anak mereka dibuat pada waktu pagi berkonsepkan sarapan. Meskipun namanya sarapan, tetapi bagi masyarakat Asia, sarapan pasti dimulakan dengan hidangan yang berat juga.
Majlis itu tidak bingit dengan lagu-lagu yang boleh menenggelamkan isi perbualan. Yang menyambut tetamu pula ialah pasangan pengantin, bukan ibu bapa.
Bagusnya konsep ini. Pertamanya, tetamu boleh datang dengan perut kosong untuk bersarapan. Kedua, cuaca pasti sahaja masih tidak panas terik. Ketiga, tanpa muzik yang berdentum-dentum, tetamu boleh berbual dengan selesa. Keempat, tetamu akan mengenali pasangan pengantin, dan ibu bapa masih boleh beramah tamah dengan para tetamu dan kenalan. Kelima dan yang paling utama ialah tuan rumah, pengantin dan orang yang berdatangan boleh pulang untuk bersolat Zuhur tanpa sebarang alasan.
Menarik, bukan?
Saya sendiri tidak selesa dengan majlis yang dibuat dalam tengah hari terik sambil menahan telinga mendengar lagu yang kuat. Tetamu berpeluh, pengantin pun berpeluh. Dengan solekan tebal, kemudian sibuk melayani tetamu, ada kalanya solat ditinggalkan. Betapalah beratnya pundak tuan rumah untuk menanggung dosa anak menantu dan para tetamu yang terabai solatnya.
Mudah-mudahan mak cik itu dalam rahmat Allah. Hari ini kita melihat dia yang pergi. Giliran kita belum tahu.
Hari ini juga cubaan untuk berpuasa ganti. Saya berdoa agar diberikan kekuatan. Lagi empat hari akan bertemu Ramadan yang mulia. Memang sepanjang hari saya terbaring sahaja. Saya menelan ubat siap-siap, minum air sebanyak-banyak yang mampu.
Tengah hari itu, Kak Noriah menelefon.
“Kak sedang tolong buat sinopsis. Menitik air mata kak membaca manuskrip Yang. Kak mahu cadangkan kepada kawan kak supaya manuskrip ini diangkat ke layar...”
Hehe...saya memang tidak suka buat sinopsis. Itu kelemahan saya. Manuskrip saya selalu ditolak sebab saya tidak suka menulis sinopsis. Dalam proses pemilihan, editor mana ada banyak masa untuk membaca keseluruhan cerita.
Kata-kata kakak itu memberikan saya motivasi untuk mencuba nasib dalam genre novel sekali lagi walaupun tangan kanan saya ini selalu kesakitan. Bisanya kadang-kadang mampu menitikkan air mata.
Menulis apa pun kena berhati-hati. Jangan sampai tulisan kita memberikan kita dosa. Saya tetap dengan pendirian dan tidak akan mengubah prinsip saya. Penggunaan bahasa yang betul (dan saya mencontohi gaya penulisan Almarhum Azizi Haji Abdullah, sifu saya) juga tidak mempertaruhkan seksualiti demi meraih minat pembaca remaja.
Itu sebab tatkala diminta mengubah gaya bahasa kepada “bahasa terkini remaja” oleh penerbit yang sangat terkenal dengan novel pop, saya menolak. Biar manuskrip saya jadi basi. Biar manuskrip itu diterbitkan oleh penerbit yang tidak dikenali, asalkan jangan meminta saya mengubah kepada gaya bahasa “sistem pesanan ringkas”!
Hujung minggu ini saya sendirian. Punya banyak waktu untuk mengetuk dada komputer. Budak yang di Puncak Alam sedang sibuk untuk assesment akhir pada hari Isnin. Tidur dan jaga sudah tidak ketahuan.
Budak yang di Manama, kerap menghantar mesej tetapi masanya agak tidak sepadan. Lima jam perbezaan waktu antara negara itu dan Malaysia. Katanya, mereka dibawa ke pantai. Semua orang seksi meksi dan dia diminta buka tudung.
“Apabila kakak kata tak boleh, kakak kena explain sebabnya...” Semua orang mengerumuninya dan bertanya.
Tahniah, kata saya. Ingat, kakak mewakili agama kita. Itu yang penting.
Esok Ahad dia ada dua pembentangan. Satu tentang leadership dan satu lagi tentang Malaysia. Ada dua peserta berketurunan Tionghua Malaysia dari UPM, tetapi salah seorang daripadanya asyik bercakap dalam bahasa ibunda.
“Terus terang sahajalah. Katakan, tolong hormati rakan senegara dan bicaralah dalam bahasa Inggeris!” saran saya.
Anak saya dua-dua itu tidak becok. Pasti sukar untuk mereka menghadapi situasi semacam itu. Macam saya juga, sukarnya kalau kena berterus terang. Tetapi kena belajar juga. Kalau tidak, diri sendiri yang susah.
Memang ada kalanya orang tidak suka terima. Tapi saya melihat mereka hidup dengan tenang sebab tidak menyimpan keluhan dalam hati. Muka pun tidak keruh. Muka itu cerminan hati, bukan?
Setiap hari kita doakanlah semoga kita sentiasa berasa cukup dengan apa yang diberikan Allah kepada kita. Dia memang sangat mendengar segala keluhan dan kedukaan dalam hati. Sepantas itu dilorongkannya jalan untuk membantu kita keluar daripada kesukaran hidup.
Alhamdulillah.
Friday, July 5, 2013
Rebah Yang Tidak Kalah
Laporan ini diterjemahkan oleh Al-Fadhil Ustaz Nazmi Abdul Karim:
1. Dr.Muhammad Morsi,walaupun beliau ialah seorang Presiden, beliau hanya berada di Istana Presiden untuk kerja-kerja pengurusan negara dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Selepas itu, beliau akan balik ke rumah sewa beliau untuk berehat dan rumah sewa itu dibayar sewanya sendiri oleh beliau. Tedapat 10 orang wakil dari Ikhwanul Muslimin yang membantu beliau setiap hari dalam pengurusan negara dan mereka ini tidak meminta walau satu sen gaji.
2. Beliau menghafal Al-Quran secara keseluruhannya.
3. Beliau ialah seorang jurutera (metallurgy engineering) salah satu bidang dari bidang pembuatan (manufactruing engineering).
4. Beliau, isteri beliau, 5 anak mereka, dan 3 cucu mereka, semuanya adalah Hafiz/Hafizah Quran.
5. Salah seorang anak beliau,berkhidmat sebagai doktor di Arab Saudi. Kerajaan Saudi telah memanggil beliau dan meminta beliau untuk berhenti sebagai doktor kerana beliau ialah anak seorang presiden Mesir dan negara yang besar. Jawapan anak beliau ialah: "Bapaku ialah Presiden Mesir dan itu amanahnya. Aku hanya anak kepada seorang bapa dan aku akan berkhidmat sebagaimana orang awam yang lain dalam mencari rezeki."
6. Waktu solat Jumaat, Dr.Muhammad Morsi datang awal satu jam dari solat Jumaat dan beliau berada di saf paling depan sekali dan membaca Surah Al-Kahfi dan tidak ada sebarang pengawal atau protokol untuk membezakan beliau dengan rakyat.
7. Apabila beliau melakukan kerja-kerja lawatan,perjumpaan dan urusan negara, beliau menggunakan kereta beliau sendiri untuk ke sana.
8. Beliau ke-mana-mana tidak mempunyai sebarang protokal ataupun pengawal peribadi untuk melindungi beliau.
Setelah membaca peribadi beliau, maka tidak hairanlah Israel dan sekutunya termasuk pemerintah Saudi Arabia amat gembira dengan penggulingan kuasa ini... namun yang amat mendukacitakan media TV Malaysia (TV3) turut menggelar beliau sebagai diktator....
Jumaat terakhir Syaaban.
Hati saya yang kotor berdebu ini banyak sekali menerima didikan daripada para ustaz ustazah di radio IKIM (walaupun khabarnya ada yang sudah di"stapler").
Kata mereka, sebaik-baik amalan adalah mendoakan saudara-saudara kita yang sedang “dibuli” oleh golongan Islam yang anti-Islam dengan bantuan tangan-tangan ghaib zionis dan Amerika di belakangnya.
Sejujurnya saya berasa amat dukacita dan bersusah hati menghadapi realiti yang berlaku di Mesir. Paling mendukacitakan tatkala ada pemerintah-pemerintah negara Islam yang menzahirkan sokongan terhadap penggulingan presiden yang dipilih melalui pilihan raya yang sah tanpa penipuan itu.
Saudi Arabia...pada zaman Nabi, tiada raja. Dari mana datangnya raja Saudi Arabia? Itu yang dipersoal oleh rakan-rakan di maya. Saya membaca jawapannya tetapi tidak mahu komen apa-apa.
Golongan sekular yakni Islam liberal (sebenarnya tiada istilah liberal atau ekstrim dalam Islam), sentiasa menjadikan dunia ini sebagai tuhan. Mereka akan melakukan apa sahaja, menghalalkan pembunuhan (seperti yang berlaku di Syria) demi kuasa.
Dan sudah pasti di belakang mereka, berdiri gagah perancang kepada kehancuran.
Apa yang mahu mereka tegakkan ialah sebuah negara yang mengangguk kepada unsur-unsur liberalisasi, jika pemerintahnya Islam pun haruslah dasarnya bersifat sekularisme.
Kenapa mereka begitu gerun dengan pembinaan sebuah negara Islam sebenar dan diterajui oleh pemerintah yang benar-benar bertaqwa kepada Allah?
Yang nyata, mereka akan menyekat kemaraan itu dengan bersungguh-sungguh.
Mana-mana negara pun, jangan harap untuk menjadi sebuah negara Islam sebab anda akan diserang dari segenap penjuru, luar dan dalam. Bukan sahaja oleh golongan bukan Islam bahkan oleh orang-orang yang mengaku Islam, pewaris kemunafikan Abdullah bin Ubai.
Di laman maya, sejak semalam, dipenuhi dengan luahan kesedihan, doa dan kemarahan daripada rakyat banyak, para ustaz ustazah, para ilmuan dan ulamak. Termasuklah kemarahan kepada stesen TV tempatan yang...
Saya rasa mahu bakar sahaja peti empat segi itu!
Thursday, July 4, 2013
Dia Pasti Menang
Beberapa hari lalu teringatkan budak itu.
Seperti mahu hubungi suaminya, mahu bertanya khabar si isteri.
Tetapi kemudian saya terfikir, barangkali Khamis ini, dia ada temu janji di Klinik Surgeri.
Memanglah. Allah itu selalu mendengar bisikan hati.
Akhirnya saya jumpa juga si Faiz. Dia ditemani suami dan anak gadisnya. Saya datang awal, jadi dapat giliran ke tiga belas. Dia agak lewat.
Rindunya akan budak itu. Saya lihatnya badannya masih gempal macam dulu. Berbeza dengan saya yang asyik mengalami penurunan berat badan.
Membelek-belek tangannya, saya berlucu. “Tengok, kulit kita sudah jadi tua. Berkedut-kedut...”. Sebenarnya bukan berkedut, tapi kulit jadi kering sebab kesan kimo, radio dan ubat hormon.
Dia akan menjalani pembedahan dan beberapa bulan selepas sembuh, menghadapi radioterapi pula. Dia bertanyakan saya di mana letaknya unit rawatan radioterapi.
“Di tingkat atas, kan?” katanya.
Bukan. Itu Klinik Radioterapi dan Onkologi. Unit Perancangan dan Rawatan Radioterapi berada di aras basement, aras bawah tanah!
“Mentang-mentanglah penyakit kita begini, mereka awal-awal lagi letakkan kita di bawah tanah...hahaha...” Dia ikut ketawa mendengar gurauan saya.
Oleh sebab badannya masih macam dulu, kalau tidak perhatikan betul-betul perubahan kulit; dia bukan seperti orang sakit. Macam saya jugalah!
Bukankah dia protege saya! Hehehe...
Seronok bertemu dengan adik itu. Orangnya berwatak baik, rajin dan mengambil berat. Sepanjang tempoh dia bercuti, tentu kawan-kawan rasa lain macam. Dia pensyarah cemerlang. Bukan mudah untuk mencapai tahap itu.
Saya selalu doakan dia. Dia antara yang ada dalam senarai nama yang saya sebut dengan jelas usai solat. Usianya masih muda. Anak-anak masih perlukan seorang ibu yang sihat. Saya yakin dia akan menang dalam pertarungan melawan tentera yang tidak kelihatan itu.
Dia menghantar saya ke lobi. Memegang-megang tangan saya.
Saya pulang dengan hati riang.
Alangkah indahnya persahabatan.
Wednesday, July 3, 2013
Hari Bagus
Minggu-minggu terakhir radioterapi, dia menghantar ke hospital tapi balik sendiri. Jam tujuh pagi, saya sudah memasuki lobi. Hari ini saya menjadi orang pertama yang berjaya meletakkan kad ke dalam kotak giliran.
Minggu-minggu terakhir ini juga, saya mengalami satu hal luar biasa. Saya yang jarang sekali lena dalam kenderaan, tertidur juga sepanjang satu jam lima belas minit perjalanan tren. Nasib baik tidak terlepas ke Senawang atau ke Sungai Gadut.
Cuma tak seronoknya waktu pulang itu, koc untuk wanita selalu dicerobohi lelaki sama ada warga asing atau tempatan. Sangat tidak selesa mahu bertiduran.
Agaknya mereka kepingin mahu jadi wanita. Dapat duduk dalam koc khas untuk wanita pun jadilah.
Hari ini saya menelefon si sulung. Awal pagi di sana, sudah tengah hari di sini.
Suaranya perlahan.
“Kawan-kawan kakak biasanya bangun tidur lewat. Kakak seorang bangun awal, solat dan cuci kain...”
Oh, patutlah bersuara perlahan, takut mengganggu rupa-rupanya.
Dan dia beritahu juga, rakannya dari Turki itu malam tadi mabuk-mabuk minum arak parti hari jadi. Aduhai...
Dia bertanyakan pandangan saya tentang apa yang akan dibentangkannya kepada pelajar-pelajar universiti nanti. Gilirannya akan tiba hujung minggu ini.
“Kakak nak guna contoh Nabi daripada aspek leadership. Kakak terfikir yang Nabi terima pandangan hamba foreigner tu dengan maksud bahawa Nabi sangat open meskipun baginda seorang pemimpin...”
Wah, sudah tentu saya setuju! Saya sebut tentang bagaimana baginda menerima usul Salman Al-Farisi yang bukan orang tempatan untuk membina parit dalam Perang Khandaq.
Si bongsu pula menghantar mesej. Pensyarahnya sangat suka akan installation dengan magazine yang dibuatnya.
“Pensyarah mahu ambil untuk buat koleksi fakulti tapi adik cakap kat dia adik nak bawa balik nak tunjuk kat ibu. Nanti adik bawa balik minggu depan. Berbaloi adik tak tidur dua hari...”
Err...comelnya beri alasan macam tu...hahaha. Pensyarah pun kasihan agaknya sebab budak itu mahu tunjuk kepada ibu.
Hari ini Allah berikan yang bagus-bagus.
Mudah-mudahan cuaca hati akan selalu cerah.
Semoga Allah terangkan hati kita semua dalam melaksanakan semua tugasan yang diberi.
Obsesi
Ini baru betul-betul tengok bola!
Obsesi: sesuatu yang sentiasa mengganggu dan menghantui seseorang atau keadaan terlalu memikirkan sesuatu.
Ada orang yang sangat obses dengan artis atau pimpinan tertentu.
Saya pernah jumpa orang yang obses dengan botol-botol minyak wangi atau batuan aneh.
Dia juga dalam obsesi.
Ada dua perkara yang dia obses.
Kerja dan bola.
Orang yang workoholic sebenarnya menurut sesetengah pandangan, bukanlah jenis work smart tetapi work hard.
Ada beza yang sangat besar di situ.
Pandangan peribadi saya ialah tiada salahnya jika kita kuat bekerja tetapi bukan menjadi work slave. Menjadi abdi kepada pekerjaan kita sehingga berlaku pengabaian terhadap sesuatu yang lain.
Sedangkan kehidupan bukan semata-mata berputar dalam roundabout yang sama.
Saya teringat kata-kata seorang senior terhadap suaminya yang obses dengan persatuan, “kalau nanti dia sakit, saya mahu membuat senarai giliran AJK persatuan xxx untuk menjaganya di hospital...”
Kakak itu telah puluhan tahun menjadi manusia paling sabar di dunia. Tetapi akhirnya gunung berapi pendam itu menyembur keluar laharnya yang panas menyala-nyala.
Semua orang ada obsesi. Saya pun begitu. Budak-budak dua orang itu pun sama. Seorang budak itu asyik bising-bising minta diletakkan figura Harry Potter dalam bagasi. Sudah dua puluh tiga tetapi masih sukakan apa sahaja berkaitan sentuhan magis JK Rowling. Budak yang dua puluh satu itu pula obses dengan manga.
Bagi saya, itu semua kesementaraan. Apabila usia bertambah, obsesi akan berubah. Secara automatis, jurusannya akan lebih kepada hal-hal ukhrawi.
Tuesday, July 2, 2013
Nota Sekilas
Budak yang di Puncak Alam itu tidak tidur selama dua hari.
Ada assesment, dua pada minggu ini dan satu lagi minggu hadapan.
Rakan serumahnya sangat risau kalau-kalau budak itu pitam. Dia bercerita tentang typo, installation dan entah apa-apa istilahnya lagi. Saya buat-buat faham. Tidak faham sebenarnya walaupun dia memberikan contoh tangga tempat meletak buku di Pesta Buku Bologna, Itali.
Dia sedang redesign buku Alllahyarham Agus Salim, suaminya Kak Mahaya.
Sayalah tukang jadi orang tengah antara dia dengan Kak Mahaya. Malu pula dengan Auntie Mahaya walhal dia ahli PEN seumur hidup dan rajin dibawa Auntie Mahaya ke mana-mana.
Budak itu minggu hadapan akan tamat pengajian tahun pertamanya melalui “laluan ekspres”. Semester depan, dua budak itu serentak akan masuk ke tahun kedua pengajian.
Mak cik banker kena bertahan lagi dua tahun ya!
Budak yang lagi seorang dua hari senyap tanpa e-mel. Persidangan sudah bermula dan dia pasti sibuk.
E-mel sebelumnya, dia menceritakan hanya dia seorang yang bertudung di villa. Banyaklah soalan cepumas yang dia kena jawab. Tapi dia sudah sedia.
“Kalau kakak jawab guna perumpamaan gula-gula dan pembalutnya, boleh tak ibu?” dia pernah bertanya saya.
Rupa-rupanya dia dapat analogi itu daripada laman sosial FB.
Rakan sekamarnya dari Jerman, UK dan Turki. Yang Turki itu muslim tapi...
Saya beritahunya, kakak kena jaga agama. Itu paling atas. Duduklah di gurun terpanas di dunia atau kutub mana sekali pun, apa yang Allah suruh itu kita kena ikut tanpa kompromi.
Saya ingatkannya tentang Mustafa Kamal Ataturk, pengasas Turki moden yang sangat anti Al-Quran. Bagaimana Ataturk ini diserang penyakit kepanasan melampau sehingga tubuhnya ditidurkan atas ketulan-ketulan ais. Mayatnya tidak diterima bumi hingga sekarang. Dia tidak mengakui kekuasaan Allah sedangkan dunia ini dan isinya adalah milik Allah. Dan saya sebut juga, bagaimana pemimpin seperti itu terpaksa memikul dosa beberapa generasi rakyatnya yang sudah sebati dengan faham sekularisme yang dibawa beliau.
Begitu juga dengan kita. Jika kita menyebarkan ajaran yang silap dan tidak cepat membetulkannya, kita pun akan turut menanggung beban dosa para pendukung ilmu yang kita bawa.
Orang yang membuat fitnah melampau...sehinggakan sebahagian besar manusia lain sangat taksub mempercayai, disebarkan dari generasi ke generasi; bagaimana tokoh seperti ini mampu menanggung sejumlah besar dosa yang akan mengekorinya meskipun sudah bergelar jenazah nanti.
Mudah-mudahan kita pun cepat tersedar tatkala tersasar.
Monday, July 1, 2013
Membeli Masa
Dia tidak mahu menjual masanya.
Saya tidak punya banyak wang. Simpanan hanya sekadar sisa di celahan gigi orang-orang kaya. Tetapi saya berdegil mahu membeli masanya.
Dia menolak.
Sudah tentu saya kecewa. Amat kecewa. Pipi menjadi sungai. Dari air yang menakung di bukit, ia mengalir laju. Di luar, langit menjadi hitam. Seperti yang saya selalu katakan, seperti kulit perempuan Negro yang berkerudung hitam. Hitam pekat.
Entah mengapa, dia begitu kedekut untuk menjual masanya.
Sedangkan sudah begitu banyak masanya disimpan dalam gudang. Namun dia masih mahu memburu masa.
Katanya, masa itu emas.
Dan emas itu bukan milik saya.
Selamanya...
Subscribe to:
Posts (Atom)