Total Pageviews

Sunday, June 2, 2013

Mengintai Matahari



Ini musim kering. Musim matahari menjadi sedemikian garang, menggigit kulit budak-budak yang degil berlarian. Akhirnya semua senyap. Sudah demam.

Saya dalam kurungan. Cuti RT dua hari. Esok akan kembali berulang alik ke KL. Lima hari seminggu. Penat? Ya.

Subuh-subuh waktu matahari masih tidur, saya keluar mencuci baju yang hanya sehelai dua. Laman hadapan sudah begitu lama tidak bersimbah air. Laman belakang sudah bersih daripada rumput. Saya kena bersembunyi daripada dijumpai matahari. Itu sebab usai solat subuh, kena buat kerja di luar. Lepas itu diam-diam sahaja mengintai matahari di sebalik langsir zirafah dua ekor.

Sabtu itu sendirian lagi. Adik ke Kulai ada kenduri kawan. Suami ada lima kenduri. Perutnya sudah buncit makan nasi kenduri. Dia membuka daun pintu dan matanya buntang.

“Ini yang abang marah...” katanya.

Semuanya sebab tabiat saya yang suka mengubah.

“Sudah sakit, duduk diam-diam. Biarlah rumah mahu lintang-pukang”.

Memang sejak subuh saya asyik memanjat sana sini. Menolak itu ini dengan kekuatan tangan kiri. Lengan kanan saya sengal. Perit.

Memang perangai yang satu ini sukar diubah. Bukan setakat perabot, kerja pun tidak pernah kekal. Dari satu kerjaya ke satu kerjaya, satu sekolah ke satu sekolah. Paling lama pun di kolej sebab mengajar kuliah yang memang bidang saya.

Cuma kali ini saya bertekad, ini institusi terakhir saya sebelum hayat berakhir.

Nasib baik juga saya perempuan. Agaknya kalau lelaki...hehehe...asyik mengubah bini sajalah!

Musim kering saya jadi banduan. Duduk di sel memang membosankan kalau hanya menung-menung. Mahu membaca, entah mengapa sejak akhir-akhir ini mata menjadi berair kalau menatap buku.

Mahu masak, apa yang boleh saya makan? Sesudu dua sudah tiada selera. Saat begitu teringat masakan mak yang enak. Sudah susut benar, komen jiran. Ya, memang sudah susut. Saya tak boleh lagi pakai seluar panjang yang dulu. Sudah longgar. Baju kurung pun banyak yang sudah berhijrah ke almari anak di Puncak Alam.

Kena bikin baju baharu nampaknya.

Mengintai matahari di musim kering memang memijarkan mata. Jauhkan matahari, kata doktor. Jauhkan elemen api. Makanya saya jarang masak atau berada lama di hadapan komputer.

RT prosesnya sebentar. Hanya seputar lima belas minit. Menunggu giliran itu lama. Menanti komuter juga lama. Waktu pergi dihantar suami dan balik saya selesa sendiri. Sebab saya tidak suka menunggu berjam-jam. Lokasi pejabatnya jauh.

Beberapa waktu ini saya akan menjadi banduan. Terus mengintai matahari di sebalik langsir zirafah. Kadang-kadang cahayanya menjalar juga masuk dari celahan jendela.

Badan yang terkurung tetapi hati saya jauh ke sisi anak-anak. Juga ke ribaan mak.

Saya serahkan anak-anak ke dalam dakapan kasih sayang Allah.

Saya terus mengintai matahari.

2 comments:

cahaya iman said...

salam KY, semalam singgah di kedai jahit baju yg KY selalu tempah baju di sebelah kedai ane tu..kata kakak tu KY dh lama tk hantar baju di kedainya sejak pindah ke seremban..

IBU BUNGA MATAHARI said...

Ya Ti. hari tu dah nak hantar tapi tak jadi sebab jem kemasukan ke matrix dan adik pun ada hal di sekolah lama dia. Nantilah bila2 hantar kain kat kakak tu