Total Pageviews

Saturday, June 29, 2013

Seperti gagahnya gunung


Ada cerita lucu juga hari ini.

“Nyah pergi pekan sekejap. Bila balik, mak hilang. Sebelum tu mak ada je kat dalam rumah. Rupa-rupanya mak dalam semak cari ulam. Nyah panggil-panggil, baru keluar. Siap bawa parang lagi tu...” beritahu kakak saya.

Hahaha...buas betul, kata saya. Kalau dalam pemahaman orang sebelah utara, buas bermaksud tidak boleh duduk diam atau hiper.

“Macam mana spy buat kerja? Spy pun makan rasuah ke?” saya berlucu.

Jawapan kakak lagi kelakar. Rupa-rupanya spy pun ikut opah masuk semak juga! Join the game!

Hmm...khabarnya sebelah tangan sudah OK sedikit. Tetapi itu tidak bermakna mak boleh masuk belukar. Macam-macam ada di situ. Duri, daun dan getah pokok yang gatal sensitif untuk kulit tangan mak yang sedang sakit itu.

Tapi nak buat macam mana, memang mak jenis yang bukan manja-manjaan.

Apabila mengenangkan itu, saya melihat situasi terbalik. Dulu waktu kakak masih kecil, dia sangat lasak macam budak lelaki. Mana belukar yang dia tidak redah dan mana pokok yang dia tidak pernah panjat. Pantang mak sibuk dengan urusan rumahtangga atau menyusui adik, kakak akan hilang dalam hutan belukar dan bukit mencari buah-buahan.

Jenuh mak mencari, barulah kakak keluar ke tanah lapang.

Sekarang, mak pula yang masuk ke dalam semak mencari ulam. Dan kakak yang sibuk mencari dengan risaunya. Hahaha...bukankah sudah terbalik?

Saya jauh berfikir, mesti mak berasa sangat dikasihi dan diambil berat oleh anaknya itu. Saya kira takdir mak sangat baik berbanding rakan-rakan seusia mak di kampung. Ada dalam kalangan mereka yang diabaikan secara sengaja atau tidak oleh anak-anak. Tidak sengaja bermaksud anak ambil berat tetapi kekangan tugas dan tuntutan kehidupan menyebabkan ibu bapa sedikit terabai.

Mak ada enam anak. Tiga lelaki dan tiga perempuan. Tidak masuk anak yang begitu ramai menjadi allahyarham dan allahyarhamah; yang sedang menunggu mak dan ayah di jannah. Kesemua anak dikenali jiwanya dengan begitu baik oleh mak. Abang akan demam kalau mak berpergian lebih seminggu! Sudah lima puluh empat tahun tetapi masih begitu-begitu. Masih demam!

Kakak sulung pula, selalu mendapat perhatian yang lebih daripada mak. Anak sulunglah katakan. Kalau dia sakit di kejauhan, mak pun akan rasa lain macam. Dia tidak pernah berahsia dengan mak. Dan mak menyimpan rahsia anaknya seperti menyimpan kalung mutiara dalam peti besi.

Kakak yang di atas saya, yang bekerja di Ipoh itu; hanya dia seorang yang berani menegur jika dirasakan mak berbuat salah. Tetapi dialah juga seorang anak yang sangat mengambil berat akan keadaan mak. Tanpa mengira bagaimana, dia akan memastikan mak sentiasa OK.

Adik-adik lelaki saya, kalau sudah balik ke kampung, mulalah liat untuk balik bekerja. Macam-macam alasan diberi. Kasihan isteri masing-masing terutama ipar yang bongsu. Penat dia melayan kerenah suaminya yang sudah macam dimagnetkan itu.

Dan yang paling serupa dengan mak ialah saya. Kependekan, raut muka, hidung, awet muda (hahahaha)...cuma tidak serajin, seramah dan sesihat mak. Kulit pun warnanya saya dapat daripada ayah.

Tidak perlu ujian DNA. Saya memang resemble to her. Walaupun dulu saya pelik, mengapa nama saya seorang yang berbeza. Fudziah, Muhammad Ghazali, Faridah, Ratna Laila, Muhammad Amin dan Muhammad Taubi.

Bukankah pelik, tiba-tiba ada seketul nama yang aneh di situ? Lebih aneh jika saya tidak bertungkus lumus pada tahun 1984, memendekkan nama saya yang asalnya panjang berjela.

Saya gembira mak sudah sedikit sihat. Mak sangat kuat semangat. Saya mahu mewarisi kekuatan semangat mak.

Itu sebab tatkala menerima sms, “hidung kakak berdarah”...saya mula-mula gagal tidur. Malam di Malaysia tetapi masih petang di negara tersebut. Kemudian saya memujuk hati. Cuaca panas agaknya.

Esoknya saya terima e-mel, “darah beku. Mungkin sebab cuaca di luar panas dan di villa sangat sejuk...Kakak sudah beri wang dan pasport kepada manager untuk visa dan kad sim. Sudah dua hari tetapi belum dapat...”

Saya kuatkan semangat. Saya menulis, “ibu bimbang tetapi ibu yakin kakak akan sentiasa sihat. Kakak akan biasa dengan perubahan cuaca. Apa-apa pun ingat pesanan ibu. Minta bantuan Allah sebelum kita minta bantuan orang. Doakan saja semoga urusan cepat dan pasport itu dikembalikan dengan segera. Itu nyawa kakak di tempat orang...”

Mudah-mudahan anak-anak itu mewarisi kekuatan semangat opahnya juga.

Opah yang sentiasa ceria dan buat hidup orang lain selalu gembira.

Friday, June 28, 2013

Entah Di Mana Kita


Sejak seminggu saya gandakan doa supaya mak sihat.

Kakak saya bekerja di Ipoh. Dia beritahu, “tiada siapa pun perasan mak sakit. Mak tidak cakap dengan siapa-siapa...”

Kakak pulang bawa mak ke klinik, dapatkan suntikan dan ubat.

Saya tak dapat bayangkan. Tetapi dengar cerita, kedua-dua tangan mak luka dan jari-jemari sakit. Pecah-pecah begitu. Doktor tidak benarkan lagi mak buat kerja di luar rumah, mencuci pinggan atau kain.

Mahu pegang sudu pun payah. Sakit sangat.

Kakak yang sangat sibuk itu ulang alik dari Ipoh ke kampung. Jauh. Tapi itulah orang kata, bagus ada anak perempuan sebab anak perempuan lebih ambil berat akan keadaan ibu bapa berbanding anak lelaki.

Dia beli sayur banyak. Potongkan siap-siap. Bawang pun potong. Nanti kalau mak tinggal sendiri, cuma masukkan saja ke dalam periuk dan rebus.

Dia belikan suplimen tambahan.

Ada seorang anak saudara lelaki duduk dengan mak. Sudah pesan, sebelum berpergian, cuci pinggan mangkuk dan kain baju opah. Sapu lantai dan kemas rumah. Mujur dia tergolong rajin.

Allah mahu mak rehat. Bukan pandai duduk diam langsung. Pagi-pagi sudah sibuk menebas di luar. Berhenti mandi dan dhuha, kemudian bekerja lagi. Robot pun rasanya mengaku kalah dengan wanita berusia tujuh puluh lima tahun itu.

Tiada siapa pun tahu mak sakit. Tetamu yang berdatangan pun tidak perasan. Geram betul.

Mahu pulang jenguk mak, tidak boleh lagi. Masih ada baki rawatan. Selepas itu dua minggu kena rehat untuk pulih. Nantilah, kalau ada siapa-siapa dapat hantar, saya mahu lari juga ke kampung.

Tiap-tiap hari mesti telefon mak. Bimbang mak buat kerja sebab terlupa. Kakak kata jangan risau, sebab dia sudah ada spy. Anak saudara yang masih tadika itu akan selalu mengintip sama ada opah ada buat kerja atau rehat...hehe.

Kalau kita sakit, cepat sahaja mak bertindak. Mak seakan lupakan keberadaan dirinya sebab seratus peratus perhatiannya adalah terhadap anak yang sakit.

Tapi kalau mak yang sakit?

Entah di mana kita...

Thursday, June 27, 2013

Overdose!



Overdose!

Barangkali begitu yang terjadi. Ubat batuk yang mak selalu jadi “duta”nya, ubat batuk cap kelapa laut Afrika, saya minum tidak ikut aturan.

Beberapa malam tidur tanpa pendingin hawa atau kipas.

Sebetulnya sudah tidak tahan berjaga sepanjang malam, batuk dan batuk. Sudah bergelen air suam diminum tetapi masih begitu.

Mujur cuaca sedikit sihat selepas hujan lebat. Jerebu masih ada di langit tetapi tidak begitu berkuasa lagi! Saya tidak lagi berninja ulang alik Seremban-Cheras.

Selepas balik hospital, mandi dan solat, terus tidur tidak sedarkan diri. Kalau terjaga pun macam orang mabuk. Rumah sudah jadi macam...aduh!

Hari ini ada sesuatu yang kurang menyenangkan. Saya terlena sekejap dalam komuter. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan sekumpulan perempuan yang duduk di sisi dan di hadapan saya.

Mereka bicara dengan suara yang sangat kuat. Bergelak ketawa, bercakap tentang sesuatu yang tidak bermoral, seolah-olah gerabak itu kepunyaan mereka.

Kumpulan perempuan lima orang ini bukan warga Malaysia. Mereka orang seberang. Pakaian seksi dengan cerita-cerita yang seksi juga.

Agaknya orang-orang lain dalam gerabak pun berasa kurang enak. Kita yang warganegara ini macam tikus pondan sahaja.

Rupa-rupanya, itulah sebahagian hakikat yang berlaku di negara kita.

Dan saya faham, mereka bukan mewakili nilai negara asal mereka yang jelas bersopan.

Saya punya kawan-kawan dari seberang. Malahan, anak-anak angkat mak beberapa orang memang dari seberang.

Selalu kena ingat, kita bukan sahaja mewakili diri kita tatkala berada di negara asing. Kita juga mewakili keluarga, agama dan negara kita. Orang boleh cepat meletakkan kita dalam kategori apa jika berkelakuan seperti itu.

Dalam keadaan overdose itu, saya menerima sms si anak, topup RM100 sudah habis dalam masa dua hari.

“Kakak sudah berikan duit kepada manager kakak untuk belikan nombor sini...”

Ya lah, jenuh ibu dibuatnya kalau berterusan begitu.

Katanya, kerja sangat banyak sedangkan liputan wifi lemah.

Negara kaya pun begitu?

Dua-dua anak itu sedang menyiapkan tugasan mereka dengan biaya yang berganda. Itu satu cabaran buat banker marhaen seperti ibu!

Apa pun, kita kena hadapinya juga. Tanggungjawab tetap tanggungjawab. Jangan susahkan hati mereka dengan kekangan kewangan.

Mudah-mudahan Allah membukakan pintu rezeki tidak kira dalam bentuk apa sekali pun. Jika jauh, dekatkanlah, jika haram sucikanlah...

Dan...

“Berita baik. Manuskrip Yang, kawan Kak Nor setuju untuk terbitkan. Tolong hantar resume lengkap termasuk anugerah yang pernah dimenangi. Biodata yang Yang bagi tu tak lengkap”.

Alhamdulillah!

Dia yang selalu mendengar dengan sifat pengasih dan penyayang-Nya!

Wednesday, June 26, 2013

Jerebu Di Hati


Selasa pagi saya baring di sofa hospital. Lesu sangat. Tekak sakit. Hidung berair. Kebanyakan yang ada di situ begitu. Jerebu yang menguasai udara telah menyebabkan orang jadi lemah.

Janganlah demam. Jika demam, rawatan kena dihentikan untuk sementara. Masa akan jadi lebih panjang.

Petang itu, teringat mesej anak sulung. “Kakak teringin nak makan nasi lemak original. Bukan ayam goreng, yang telur rebus sama ikan bilis. Tapi tak tahu di mana yang sedap...”

Dia tidak meminta. Hanya beritahu.

Tapi kalau sudah namanya ibu, benda itulah yang asyik bercakap dalam minda.

Saya cari beras herba poni taj mahal. Cari santan, timun dan bilis. Saya buatkan juga. Esok pagi dia mahu berangkat. Petang nanti lepas asar, saya akan hantar nasi lemak original yang dia mahu.

Kebetulan bagasi lamanya terkoyak sedikit. Memang kena beli baharu. Saya gagahkan juga mencari bagasi yang elok dan tahan. Setelah itu saya hantarkan nasi lemak ke kamarnya. Dia makan dengan berselera.

Sampai di rumah, badan sudah lembik. Malam langsung gagal tidur. Batuk berterusan. Hujan yang turun diharapkan dapat mendiamkan jerebu. Jam empat pagi saya bangun. Bersiap-siap untuk ke Bangi.

Ada dua kawan baiknya yang ikut ke KLIA.

Saya melihat dia pergi.

Sebelum itu, saya sudah berpesan. Apa-apa pun, minta dengan Allah dahulu.

Saya minta dia bercakap dengan opah dan adik di talian.

Dia sudah dewasa. Ke sana pun hanya dua bulan. Bukan bertahun-tahun.

Cuma sebab dia perempuan dan sendirian pula...

Apa pun, saya kena belajar melepaskan tali layang-layang itu!

Selepas melihat dia masuk ke laluan antarabangsa, saya ke surau. Saya menyerahkan dia kepada Allah.

Dia akan transit di Dubai beberapa jam sebelum berlepas ke Manama, Bahrain.

“Mesti ibu nangis...” usik si adik.

Tidak. Ibu tidak menangis.

Sebab air mata ibu sudah tumpah ke dalam.

Monday, June 24, 2013

Laman Kelabu



Tekak dan hidung sudah rasa lain macam. Perit.

Membuka pintu belakang untuk mencuci baju, terkejut melihat di luar kelabu. Udara berbau asap.

Hari kita sedang sakit. Bulan sakit, matahari sakit.

Kena menjadi ninja juga nampaknya.

Musim kelabu begini berlaku saban tahun. Bilik gerakan jerebu dibuka. Arahan-arahan dikeluarkan. Topeng-topeng penutup hidung menjadi seperti emas. Tiada lagi stok di farmasi.

Teringat Yan, entah bagaimana keadaan adik pensyarah itu menghadapi musim kelabu seperti ini.

“Yan demam dah dua hari. Dada sesak...” dia membalas mesej saya.

Dengan budak-budak dua orang itu, saya sibuk menghantar pesanan. Pakai penutup hidung. Jangan keluar beraktiviti di luar. Minum air banyak.

Kampus mereka di atas bukit. Bacaan IPU di kawasan kampus mereka sudah melepasi tahap bahaya.

Memang benar lapan syarikat yang bertanggungjawab terhadap pembakaran terbuka itu pelaburnya adalah dari Malaysia. Tetapi ladang itu letaknya di sana. Negara itu punya undang-undang untuk menghukum siapa sahaja yang melakukan kesalahan, apatah lagi kesalahan itu menyusahkan rakyat negara jiran.

Kesihatan...mana boleh dijual beli!

“Kecualilah berlakunya korupsi. Maka, pihak berautoriti di sana menutup sebelah mana atau melambat-lambatkan tindakan. Kalau sekali dua tidak mengapa, ini berlaku setiap tahun...” itu pandangan pemandu teksi keturunan Tionghua yang hanya bicara dalam bahasa Inggeris.

Saya sangat bersetuju.

Tidak kira siapa, tindakan mesti diambil. Ini berkait dengan nyawa orang.

Saya berninja dari Seremban ke Cheras pergi balik. Itu pun hidung dan tekak masih terasa lain macam. Jalan sedikit lengang sebab budak-budak sekolah di KL dan Selangor diarah menyambung cuti.

Dulu-dulu, kabus bererti sihat.

Sekarang, jerebu bererti mudarat.

Sunday, June 23, 2013

Persis Bulan


Sabtu itu mengangkut barang-barang termasuk makanan dalam tin ke UKM. Budak itu ada kertas peperiksaan Selasa. Pagi Rabu, terus sahaja ke KLIA dari kampus.

Waktu sampai di kamarnya, dia masih tidur. Telekung berselerak di sejadah. Agaknya lepas subuh, terus tidur semula.

“Kakak siapkan proposal malam tadi. Kakak mengantuk...” katanya antara dengar dengan tidak.

Saya mengusik-usik tangannya, minta bangun juga.

“Baiklah. Ibu letakkan semua barang dalam Shiro. Nanti kakak ambil ya. Duit pun. Lepas letak, ibu balik...”

Mata sepetnya terbuka. Hehehe...taktik menjadi!

Selepas makan dan membeli beg untuk dibawa ke kabin, saya ajaknya bertemu si adik. Malam tadi, adik memberitahu, dia tidak dapat menemani saya menghantar kakak ke KLIA sebab tiba-tiba ada pertukaran tarikh assesment. Budak itu pelajar penerapan ijazah daripada diploma, jadi terus masuk ke semester dua tahun pertama. Tiada peperiksaan, hanya assesment. Sekarang musim peperiksaan hujung semester.

Tiba-tiba saya melihat jarum di meter kereta mencanak naik ke tahap maksimum.

Saya terus berhenti di kawasan lapang.

Saya menelefon dia.

“Jangan panik. Hubungi pomen. Mungkin paip bocor...”

Mujur ada seorang pomen yang lalu dan dia terus membawa kereta ke bengkel.

Si kakak menelefon kawan minta tolong menjemputnya di situ. Dia ke kampus mengambil Shiro.

Saya tinggalkan Si Adudu di bengkel. 

Dia membelikan adiknya donut yang bermacam perasa. Ada bahulu comel juga. Sepanjang beberapa jam bersama si adik, saya berterima kasih kepada Allah. Budak-budak itu bergurauan sepanjang waktu walaupun dalam masa sama, ada berita dari kampung yang opah kurang sihat.

“Ibu nak pinjam Tambelina, ambillah...” kata adik.

Bukan. Saya tak perlukan kereta. Saya hanya mahu mereka jumpa. Ramadan tahun ini, kami tidak berpeluang berpuasa bersama kakak.

Waktu pulang, asar sudah betul-betul di hujung. Kakak solat di R&R Dengkil. Tidak mengapa jika bengkel tutup dan saya tidak sempat ambil kereta. Solat itu lebih utama. Saya boleh ambil tren ke Seremban jika ditakdirkan tidak sempat.

Kakak menuding ke langit. Ada bulan yang sangat purnama. Bulan penuh. Kalau ikut cerita dongeng, serigala jadian akan bertukar rupa tatkala bulan purnama. Hantu-hantu pun bergentayangan. Tapi musim-musim jerebu ini, hantu pun malas mahu keluar. Silap-silap, boleh mati kali kedua...hehehe.

Sudah lewat tiba ke rumah. Saya kepenatan tahap maksimum. Tetapi Alhamdulillah, semua rasa sedih, bimbang dan rusuh; hilang begitu sahaja.

Sukma saya bercahaya persis bulan penuh yang seketul di dada langit.

Saya harap budak-budak itu masih ingat pesanan ibunya. Kalau ada masalah apa pun, minta tolong dengan Allah dahulu. Bercakap dengan Dia, akui kesilapan dan minta diberikan jalan. Selepas itu, barulah minta tolong dengan manusia. Dia juga yang menggerakkan hati manusia untuk membantu. Jangan takut sebab ini bumi Dia. Pergilah ke mana-mana pun, ini bumi Dia. Carilah pengalaman asalkan iman dijaga.

"Kalau opah yang tidak sekolah, orang kampung, sudah tua pula; boleh sampai ke merata negara; apatah lagi kita yang boleh berbahasa asing, berpelajaran tinggi dan masih muda..." demikian saya berkata, sebenarnya cuba memujuk hati sendiri juga.

Bulan yang bergantung di dada langit itu seakan memberikan kegembiraan yang tidak terkira. Di mana sahaja, kita sedang menatap bulan yang sama.

Saturday, June 22, 2013

Menanti Hujan



TERKINI: MUAR & LEDANG DIISYTIHARKAN DARURAT. SEREMBAN MENCAPAI BACAAN IPU 104. LAPAN SYARIKAT AKAN DIDAKWA DI MAHKAMAH INDONESIA (PELABURNYA ADALAH KAPITALIS MALAYSIA!)

20 Jun - Situasi jerebu di negara ini semakin buruk hari ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di enam kawasan mencatat bacaan melebihi 100 terutama di Muar, Johor yang berada pada tahap berbahaya dengan bacaan 383.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan menyebut, Muar diikuti dengan Kota Tinggi yang berada pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 232 manakala Pasir Gudang, Larkin, Bandar Raya Melaka dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing dengan bacaan 199, 181, 137 dan 119.

Menurut kementerian, situasi jerebu tersebut dijangka berterusan sehingga September depan ekoran keadaan udara yang masih dipengaruhi pencemaran merentasi sempadan, selain musim monsun barat daya yang sedang dialami negara ketika ini.
"Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Pakar Meteorologi ASEAN (ASMC) semalam menunjukkan pergerakan asap jerebu tebal dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa pencemaran jerebu ke kawasan Pantai Barat dan merentasi ke kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Laporan ASMC juga menunjukkan bilangan titik panas (hotspot) masih tinggi di Sumatera, Indonesia semalam iaitu 173 berbanding 187 titik panas kelmarin. Kebanyakan kawasan titik panas (hotspot) adalah tertumpu di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas kementerian, bilangan titik panas yang dikesan di Malaysia semalam adalah sebanyak 83 iaitu satu di Selangor, Melaka, Terengganu dan Sabah, dua (Pahang), enam (Kelantan) dan 70 (Sarawak).

Dalam pada itu, jelas kenyataan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memaklumkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu selaras dengan 'tahap amaran 3A' dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Jawatankuasa itu, katanya, akan bertindak di dua kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dan berbahaya iaitu Kota Tinggi dan Muar.

Kenyataan itu berkata, mereka yang disabit kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

"Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727," katanya.

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abd. Hafiz Abd. Samad berkata, keadaan jerebu di negeri ini kembali buruk selepas menunjukkan tanda-tanda penurunan dengan mencatat IPU tahap sederhana di bawah bacaan 100 pada Isnin dan Selasa lalu.

"Justeru, JAS negeri meminta mana-mana pihak dan individu untuk mengurangkan aktiviti luar rumah," katanya.
Jelas Abd. Hafiz, bacaan IPU di negeri ini mula naik pada malam tadi setelah jerebu ini dibawa oleh angin pada tengah malam sehingga pagi ini.

"Lebih memburukkan keadaan, ramalan kaji cuaca menunjukkan negeri ini mungkin tidak akan menerima hujan selama lima hari bermula semalam sehingga Ahad.

"Ekoran itu, keadaan jerebu di negeri ini mungkin sukar untuk dikurangkan kerana hujan merupakan faktor penting untuk menghilangkan jerebu selain angin.

"Keadaan jerebu ini bergantung kepada keadaan cuaca serta angin dan masih belum boleh ditentukan bila ia akan pulih sepenuhnya," katanya lagi.

Beliau memberitahu, pihak JAS negeri sentiasa memantau titik panas yang menjadi punca keadaan jerebu di negara ini yang direkodkan di Sumatera Tengah, Indonesia.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Nah, itu berita tentang “Pesta Jerebu” yang diraikan saban tahun.

Di langit Singapura, beberapa kawanan burung sesak nafas dan jatuh ke tanah.

Dan semua orang menanti rahmat hujan. Hanya kekuasaan Allah yang dapat mengurangkan kemeriahan pesta yang berjaya mengaburi pandangan dan menambahkan jumlah pesakit di hospital.

Jerebu itu belum menjalar teruk ke Seremban. Tetapi tidak mustahil dia akan bertamu sebab angin ada di mana-mana dan hujan belum turun. Pembakaran masih terus berlaku. Tindakan masih nihil sedangkan itulah fenomena yang berlaku setiap tahun.

Jiran mesti disantuni. Jika jerebu itu hanya berlegar di sekitar ruang udara mereka sahaja tidak mengapa. Tetapi dia sudah melibatkan negara-negara jiran yang “tidak berdosa”.

Sekarang, sekolah terpaksa ditutup. Pelajaran anak-anak terganggu. Hospital siap siaga dengan katil tambahan. Bukankah itu menyusahkan manusia lain?

Dahulu waktu anak-anak masih sekolah, saya menyimpan bekalan penutup hidung yang sangat banyak. Semua farmasi saya kunjungi. Tatkala tiba musim jerebu berpesta, anak-anak itu sudah jadi macam ninja.

“Dalam kelas adik, hanya adik dengan anak pengetua sahaja yang pakai mask,” adu anak saya.

Biarlah. Mereka kebal.

Memang tidak selesa. Cuaca panas, muka berpeluh dan kita kena pakai benda yang menutup sebahagian muka. Tetapi mahu buat bagaimana lagi. Udara sedang menyebarkan penyakit.

Kadang-kadang terfikir juga, orang yang berniqab tiada masalah. Mereka memang sudah sedia bertutup. Datanglah jerebu sekelabu mana pun, mereka selamba sahaja.

Saya memang sepatutnya memakai mask sepanjang rawatan, tetapi oleh sebab rimas, saya jarang pakai. Namun, jika jerebu itu sudah sampai ke Seremban dan sekitar Cheras, saya kena pakai juga nampaknya.

Semua orang menanti hujan.

Seperti pungguk yang rindukan bulan!

Thursday, June 20, 2013

Dari Perut Teksi



Khamis itu naik teksi seorang pak cik yang mukanya macam Cina. Dia merungut, ada orang naik teksinya cakap, “apek, lu bawa gua pergi sana Bandar Tun Razak...”

Saya beritahunya, memang saya pun ingat dia bukan Islam. Itu sebab saya tidak bagi salam waktu masuk ke perut teksi.

“Ada keturunan Cina ke?” tanya saya.

Menurutnya, ada tapi sangat jauh. Dia mendakwa, susur galur keturunannya bermula daripada Puteri Hang Li Po dan Sultan Melaka.

“Tapi saya tak mahu nak bangga-bangga. Buat apa. Bukan dapat apa pun. Kalau ikutkan pakaian kuning diraja, masih ada dalam simpanan saya. Daulat saya masih ada. Malahan saya boleh bicara dengan Puteri Gunung Ledang dan Raden Mas Ayu...”

Err...saya tengah naik teksi atau kuda semberani ni, pak cik?

Bukan mahu main-main, saya tahu Allah mencipta alam yang tidak kelihatan dengan makhluk yang tidak kelihatan juga di mata kasar manusia macam kita.

“Raden itu kan orang Jawa. Totok lagi. Pak cik faham dia cakap apa?” tanya saya.

Katanya, bukan bicara dengan mulut tapi hati. Nasib baik dia tidak cakap mereka berhubung via FB atau twitter!

Muka pak cik itu memang nampak bersih.

Kemudian, dia menceritakan sesuatu yang agak sensitif. Rupa-rupanya dia mengubat orang tetapi sejak kematian seseorang yang dipanggilnya “ibu”, dia sudah tidak mahu mengubat lagi.

“Pak cik sebut nama siapa tadi? Datuk Dr Nur Laili? Yayasan Nury?” tanya saya cepat.

“Ya. Dia meninggal tahun lepas. Saya ubatkan dia, dengan izin Allah, sampai boleh berjalan. Tapi Datin Seri xxx, perempuan celaka itu, gunakan bomoh Indonesia untuk hapuskan ibu. Saya sendiri lepas ibu meninggal, bengkak xxx...”

Dia macam marah. Tapi saya tidak berminat dengan cerita pasal Datin Seri xxx itu sebab saya duduk lama di Pilah dan sudah biasa dengar cerita tentang wanita itu. Saya lebih tertarik kepada kisah Datuk Dr Nur Laili.

Saya tidak menyangka beliau telah meninggal dunia. Beberapa hari yang lepas, saya ada menulis di blog ini tentang seorang doktor yang melihat perbezaan layanan ibu bapa yang membawa anak kecil ke kliniknya, berbanding layanan anak-anak yang membawa ibu bapa yang uzur. Saya peminat artikel beliau. Malahan saat menjadi wartawan, beliau antara beberapa figur yang sempat saya temu ramah.

Doktor itu ialah Allahyarhamah Datuk Dr Nur Laili.

Pak cik teksi itu bercerita macam-macam rahsia. Off record. Tidak boleh saya catatkan di sini.

Aduh, pagi-pagi sudah bergosip la pulak. Terpaksa layanlah juga sebab dia sesekali kelihatan sedih bercampur marah. Saya hanya mendengar sahaja sebab takut mahu memberi pendapat. Kalau tak betul nanti, jenuh saya mahu menjawab di akhirat.

Khamis ini selesai. Jumaat bermula radioterapi tambahan lapan kali. Persediaan rawatannya pun mudah. Cuma agak menakutkan apabila alat bercorong itu terlalu dekat dengan tempat yang mahu diradiasi.

Huh...tidak sabar mahu menamatkan pengembaraan ke unit yang terletak di aras bawah tanah itu!

Tuesday, June 18, 2013

Sudah Ada Cahaya



Hari semalam ada seorang anak gadis Tionghua yang terkepit pintu komuter. Saya tidak perasan apa yang berlaku sebab sibuk melihat ke luar jendela. Tetapi jeritannya kuat. Dia berjaya melepasi pintu automatik itu tetapi jelas tergambar kesakitan di wajahnya. Kepalanya disandarkan ke dinding, cuba menahan air mata. Dia menggosok-gosok lengan yang kemerah-merahan. Ya lah, dia gadis Tionghua. Sudah pasti kulitnya putih dan nampak jelas kesan merah itu. Saya melihat dari jauh, sangat simpati. Tidak tahu mahu bantu bagaimana. Hanya berdoa sahaja agar dia tidak begitu sakit lagi.

Apabila benda-benda macam ini berlaku, saya segera teringat anak. Kena pesan kepada mereka, kalau pintu tren sudah mahu tutup, jangan cuba-cuba juga menyelit seperti aksi Jackie Chan atau Fong Sai Yuk.

Sudah dua hari saya ikut laluan baharu menuju ke unit radioterapi. Agak tersorok juga. Sunyi! Maklumlah unit itu berada di aras bawah tanah.

“Ibu sudah jumpa laluan rahsia. Ibu dengan beg pengembaraan ibu tidak perlu lagi menunggu lif yang terlambat di dunia itu. Pengembaraan yang hebat!” saya SMS anak, mahu menghiburkan hatinya. Dia puasa hari ini. Dan kelewatan menunggu kawannya untuk ke kelas.

“Pengembaraan apanya...kat hospital tu aje...” hehehe...mematahkan semangat Enid Blyton ibu sahajalah budak itu. Baru mahu berangan menjadi lima penyiasat.

Saya pesan kepada anak. Fikir diri sendiri dahulu, baru fikir tentang orang lain. Beri waktu tertentu, kalau lambat tanpa alasan munasabah, angkat kaki sahajalah.

“Adik bukan pemandu teksi!”

Harap budak itu mengerti, kereta itu untuk kemudahannya melakukan tugasan di luar.

Hari ini ibu sudah dapat semula bunga mataharinya. Saya kembali gembira meskipun berasa begitu letih.

Namun, tatkala tiba ke pagar rumah, saya terdengar dengan jelas, suara bayi menangis. Kuat.

Kemudian ada jerkahan, “lantak kau lah nak melalak. Aku nak masak!” juga sangat jelas singgah ke cuping telinga.

Aduh, bayi siapakah itu?

Yang jelas, bukan Tuti. Jiran saya yang baik itu tidak punya bayi.

Saya teringat anak-anak saat mereka bayi. Saya menghantar mereka ke rumah orang untuk dijaga. Waktu pulang, saya lihat anak-anak itu sudah cantik berpakaian. Saya tidak tahu apa-apa, sehinggalah allahyarham ayah yang berkunjung ke Kuala Lumpur memberitahu sesuatu.

Ayah sangat pendiam dan tidak gemar bercekcok. Tetapi penemuan spot checknya mendapati, anak sulung saya dibiarkan “berlemuih” bermain dalam longkang yang kotor, sementara si kecil sedang menggelupur, sebahagian kepala dan leher sudah terlentok di luar buaian.

“Kalau ayah terlambat nampak, sudah arwah budak itu!”

Bukan sekali. Mak juga pernah terserempak dengan hal-hal kurang menyenangkan.

Sejak itu, ayah dan mak susah hati dengan hal jagaan cucu-cucunya. Mereka mahu saya menghantar anak-anak ke kampung yang jauh di utara. Saya memang tidak mengerti waktu itu tetapi sekarang saya memahami rusuh hati seorang nenek dan datuk.

Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah sesekali buat pemeriksaan mengejut.

Itu cadangan saya sahaja. Terpulanglah.

Saya sudah tiada bayi!

Monday, June 17, 2013

Dalam Terik Mentari, Saya Kehujanan



Aspal terasa tinggi rendah. Pandangan berpinar-pinar. Saya memperlahankan langkah. Mahu rebahkah saya kali ini?

Di hadapan, ada mak cik Indonesia yang menjual kuih dan nasi lemak. Di tepinya ada petugas-petugas RELA. Tidak apalah kalau saya rebah, ada yang sukarela membantu!

Berdiri sebentar di tepi tiang, teksi masih jauh. Stesen itu sejak beberapa tahun lepas, asyik tidak siap. Teksi menunggu jauh dan apabila sampai ke perutnya, sudah tercungap-cungap.

Akhirnya saya sampai juga. Balik ke rumah, segera mandi dan solat. Merangkak naik ke katil untuk baring. Tidak larat mengisar buah macam selalu. Telefon saya tutup. Pintu belakang tidak berkunci, mudah untuk si Tuti menerjah kalau jadi apa-apa kepada saya.

Saya SMS anak bongsu. “Macam lagu Awie, bernafas dalam lumpur...” itu rasanya. Dada sesak. Ingat juga apa yang disebut profesor, memang kadang-kadang begitulah kesannya.

Mengucap berkali-kali. Manalah tahu...hahaha.

Entah apa kenanya, pendekar ibu bunga matahari tiba-tiba kehilangan aura. Mega mendung di mana-mana. Sungguh! Kadang-kadang dalam teriknya matahari, anehnya kita kehujanan.

Esoknya rutin biasa. Saya lawan semua rasa yang menggigit hati.

Teksi yang dipandu lelaki India itu tiba-tiba senyap enjinnya. Barangkali baterinya sudah habis. Jalan sedang sesak. Kasihan dia. Dia sendirian menolak teksi ke tepi.

Saya mahu menghulurkan tambang tetapi dia enggan menerima. “Tak payah, kak. Kak tunggu teksi lain di sana...” dia menuding.

Mukanya risaukan keadaan teksi. Saya tanyakan tambang pun, dia masih enggan terima. Baiknya hati dia. Dan saya diburu kesal sehingga hari ini. Apalah salahnya kalau saya letakkan saja beberapa keping not di tempat duduk hadapan teksi itu? Agaknya suasana kelam kabut dengan kesesakan jalan raya menyebabkan semua benda tidak terlintas di minda. Saya hanya mampu mendoakan agar pemandu teksi yang baik itu diberikan rezeki berlipat ganda serta disihatkan ahli keluarganya.

Saya pernah naik teksi seorang pak cik Melayu dari KTM ke rumah. Sibuk dia bercerita tentang erti patriotisme dan parti politik bangsanya. Tetapi apabila menghulur tambang yang biasa dicaj, dia meminta lebih!

Bukan mahu berkira tetapi kurang selari dengan kehebatannya bercerita!

Dari jendela komuter, saya melihat jajaran pokok petai belalang yang tumbuh meliar. Saya berkata kepada hati, teduhkanlah semua rasa yang sedang menghangat. Petai belalang itu menggamit nostalgia. Dan nostalgia akan segera membangkitkan semua semangat yang hilang (saya akan bercerita tentang kenangan petai belalang ini satu waktu nanti).

Moga dalam terik mentari itu, saya tidak lagi kehujanan!

Saturday, June 15, 2013

Dia air kelapa


Oleh sebab susah sangat mahu cari dinar negara itu, dalam letih dan tidak larat, saya ke KLIA ditemani si bongsu. Dia boleh buat tugasan photo-shoot di sana sementara saya mencari dinar.

Tiga tempat, saya gagal. Mujur di kaunter keempat, stok terakhir dinar itu ada.

“Hanya ini saja yang ada. Memang susah nak cari. Ini pun sebab orang dari sana yang datang sini dan mahu tukar”, kata orang di kaunter.

Saya fikir kalau tidak ada juga, saya mahu tukar semuanya dengan USD sahaja.

100 DB = RM 900.

Lima keping not 20 DB saya simpan. Lega. Saya tak mahu susah hati lagi.

Malam dan pagi sebelum pergi saya berdoa agar Allah memudahkan kerja saya. Sebab orang di kaunter menyarankan saya pergi ke Jalan Masjid India di KL. Oh, Tuhan! Saya tidak sanggup untuk menyebutnya, apa lagi mahu pergi ke sana dalam terik panas matahari dan kesesakan!

Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Terima kasih.

Sepanjang minggu lepas, saya asyik susah hati. Dada sakit. Otak serabut. Banyak hal kena fikir. Tentang cuti. Tentang kerja. Tentang anak. Wang. Rawatan. Banyak!

Kata ustaz ustazah, puncanya sebab kita belum betul-betul menjaga ketauhidan kita kepada Allah. Kalau kita jaga Allah, Dia akan jaga kita. Kita menyebut nama-Nya biarlah bersekali dengan hati.

Ya Rabb, ceteknya iman saya. Agaknya sampai ke buku lali pun tidak. Sepanjang waktu itu, saya membuka ruang hati kepada iblis untuk masuk bertandang. Siap bercuti seminggu lagi dalam kamar hati saya!

Orang kata, anak itu anugerah Allah untuk jadi penyejuk jiwa. Jumpa budak itu dan berloyar buruk dengannya; dia sampai menyebut, “tak nampak pun ibu susah hati?”

“Pernah nampak ibu susah hati?” tanya saya pula. Sengaja.

Dia pernah, barangkali. Lihat saya menangis pun pernah. Tetapi saya menangis bukan sebab sakit. Saya tidak pernah sekali pun menitiskan air mata disebabkan penyakit saya ini. Selepas sedar dan disorong keluar dari bilik pembedahan pun, saya masih boleh ketawa dan bergurauan.

Hanya dia yang mengerti sebab mata ibunya merah.

Kemudian, saya hantar dia balik ke kampus. Katanya, ada group discussion selepas Isyak. Tetapi sebentar-sebentar dia SMS. Tidak jadi, katanya. Ada kawan-kawan yang penat lepas keluar outing.

Saya berpesan kepadanya semasa di surau, “adik kena rajin tolong kemaskan telekung, sejadah dan kitab-kitab di surau ini. Kasihan mak cik tukang bersih tu. Memang mereka ada gaji tapi apa salahnya kita bantu mereka...” dia angguk sambil membantu saya melipat telekung. Botol-botol air mineral yang sudah kosong dikumpulkan ke satu sudut.

Saya ingat pesan ustaz, belajarlah mewakafkan sesuatu yang kekal. Kecil pun tidak mengapa, asalkan ia menjadi kelaziman.

Ada telekung yang sudah koyak dan uzur. Pesanan saya kepadanya, kalau ada lebihan telekung adik yang masih baik (sebab dia belum punya wang sendiri), adik letakkan di surau. Jangan tinggalkan solat. Sebab malaikat akan ambil batu api neraka dan layur di hadapan muka ibu bapa dengan kata-kata, “inilah hadiah daripada anak-anakmu sebab mereka tidak melaksanakan solat Subuh tadi...”

Ngerinya!

Saya juga beritahu dia, ada seorang tokoh pernah bercerita. Dia selalu terharu apabila melihat ibu bapa yang datang membawa anak mereka yang sakit ke kliniknya. Anak itu meragam, merengek dan menangis tetapi si ibu dengan sabar dan penuh kasih sayang terus memujuk, mencium dan membelai si anak. Tetapi dia menjadi sedih tatkala melihat si anak yang datang membawa bapa atau ibu ke kliniknya. "Jalan cepatlah sikit, lambat sangat!" itu antara kata-kata yang terkeluar daripada mulut si anak.

"Adik pun pernah dengar masa temankan ibu ke hospital. Ibu dah masuk jumpa doktor masa tu. Ada tiga orang anak yang asyik mengeluh siapa yang kena tunggu bapanya sebab masing-masing ada urusan penting di pejabat. Muka bapa tu sedih je. Dah la depan adik lak tu mereka bising-bising. Agak-agaklah..."

Ingat, kata ustaz. Jika di bulan Syaaban ini kita ada dosa dengan ibu bapa kita, cepat-cepat kita mohon keampunan. Sebabnya bagaimana kita mahu menemui Ramadan jika kita masih punya dosa terhadap kedua-duanya.

Harap tazkirah ringkas saya sambil buat lawak bodoh itu lekat di hatinya. Itulah sahaja yang dapat saya tinggalkan sebab saya tidak punya harta benda lain yang boleh diwarisi mereka.

Perjalanan pulang sambil mendengar ustaz mengaji, sangat melegakan.

Anak itu memang jadi air kelapa yang dingin dan enak saat matahari sedang tegak di atas kepala!

Thursday, June 13, 2013

Tambahan Lapan Kali


Hari kedua belas. Lebih tepat...kali yang kedua belas.

Hari ini hari terakhir untuk Kak Jamaiyah (atau Jamaliah?), saya lupa ejaan namanya. Rasa sedih pula. Sudah berminggu kami sama-sama menunggu pintu unit itu dibuka, esok saya tak jumpa kakak itu lagi. Rawatannya sudah selesai. Dia selalu jadi orang pertama, juara segala juara. Orangnya kecil kurus, lembut dan suka ketawa.

Uncle yang selalu ditemani isterinya pun sudah habis rawatan. Uncle itu kurang pandai berbahasa Melayu, selalu speaking sahaja. Isterinya sudah pencen, rasanya berjawatan juga sebab komunikasinya bagus. Hari itu, uncle mengadu kaca mata hitam yang dibeli di London dan bernilai RM5 ribu dicuri orang sedangkan keretanya diparkir di tempat khas.

Itulah yang akan terjadi dengan masyarakat merdeka yang tidak bebas. Masyarakat yang ada agama tetapi tidak bertuhan. Tidak amanah langsung.

Radioterapis di bilik rawatan memberitahu saya, “kena pergi ke bilik simulasi selepas ini sebab mahu buat tatu semula. Kena tambah lagi rawatan...”

Dah agak dah.

Masuk ke bilik simulasi, ada dua radioterapis yang biasa dan sangat peramah. Doktor datang. Doktor pun lembut amat. Sejuk hati mak cik!

Mereka mula “melukis” dengan pen marker. Mengukur dengan pembaris. Macam nak lukis pelan rumah pula. Rupa-rupanya, lapan kali tambahan itu untuk sekitar parut pembedahan, yakni fokus kepada tempat “makhluk halus” itu dikesan. Lebih kurang sebesar tapak tangan orang dewasa.

Tiga tatu dibuat. Oleh sebab sudah “biasa” tidaklah rasa sakit mana pun, macam kena gigit semut api yang baru tumbuh gigi susu.

Saya menghitung. Jika ditolak Jumaat yakni hari mesin diservis, tolak Sabtu Ahad, juga ditolak “cuti” menghantar anak ke lapangan terbang, tolak cuti awal Ramadan...hmmm...barangkali sekitar minggu pertama Ramadan, baru selesai rawatan. Lepas itu kuarantin lagi dua minggu. Lamanya. Bila boleh masuk kerja kalau begitu?

Masaklah saya ulang alik ke sana. Paling seronok, parkir di KTM banyak yang kosong sebab awal pagi. Sudah boleh hafal muka orang yang sama menunggu tren. Malahan ada pemandu teksi yang sudah cam saya.

“Kakak ke yang nak balik Seremban?”

Saya mengiyakan.

“Kalau kak sebut Tasik Selatan dengan jelas, kemudian sebut lagi, bukan Salak Selatan ya...saya dah tahu memang kak lah orangnya hahaha...” pemandu itu ketawa. Ramah dan baik. Allah mendengar doa saya. Setiap pagi saya mendoakan agar ditemukan dengan orang yang baik-baik, pemandu teksi yang bertimbang rasa, jururawat yang selalu senyum dan semua yang baik-baik belaka. Alhamdulillah.

“Saya sudah jumpa dua pesakit kanser setakat ini yang selalu naik teksi saya. Memang perangai macam kak lah. Gelak saja. Happy selalu...”

Ya lah dik, takkan nak menangis pulak. Orang tua kalau menangis, letih nak tengok. Buruk.

“Dah nak jadi, nak buat macam mana. Ini yang jenis makan tak tentu hala macam kak, tak heran sangat. Itu...ada yang jaga makan, jaga perasaan, hidup senang, pun kena juga. Penyakit sekarang sudah berdaya maju. Kuman zaman siber!”

Dia memperlahankan radio. Sebab ada juruhebah dalam teksi dia, radio tidak berfungsi lagi.

Tidak mengapalah kalau mahu ditambah lagi pun. Mereka lebih tahu sebabnya. Selesai nanti, kumpul-kumpullah wang beribu-ribu untuk membeli suplimen yang barangkali dapat membantu menyekat kuman itu daripada bersukaria ikut suka hati dia.

Pokok dek kau lah dokto!

Wednesday, June 12, 2013

Palestina...Yang Tak Terucap


Tidak pernah saya teresak-esak mendengar cerita tentang Israk Mikraj sebelum ini. Tapi hari itu saya menangis.

Palestina. Kaitannya amat rapat dengan perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit dalam peristiwa yang ajaib itu.

Usrah Nurani memang hebat dalam menyentuh nurani insan.

Sukarelawan itu memberitahu beberapa peristiwa yang mengagumkan, sekali gus mampu menitikkan air mata.

Suasana di Mesir yakni sempadan untuk masuk ke Palestina, adalah berbeza. Mesir negara merdeka tetapi minda rakyatnya tidak. Saat memasuki Palestina, suasana jadi kontra. Ironis. Tiada seorang pun peminta sedekah, kanak-kanak tidak berebut makanan meskipun kelaparan.

Sukarelawan itu melawat keluarga seorang asy-syahid. Dia berasa pelik sebab kelihatannya bukan seperti majlis yang murung. Anak-anak asy-syahid ini sedang riang bermain dengan kawan-kawannya seakan tidak mempedulikan keadaan keluarga yang baru kehilangan seorang tonggak keluarga.

Dia bertanya kepada anak itu, sekadar mahu menguji, “ di mana bapamu, wahai anak?”

Anak kecil yang dididik dengan iman itu menjawab dengan suara lantang dan bangga, “demi Allah, ayahku syahid dan sedang menuju ke Jannah. Aku pun akan membesar dan bermimpi untuk syahid sepertinya!”

Tatkala melawat hospital, ada anak kecil yang mata sebelahnya sudah tiada akibat terkena serpihan letupan. Apabila ditanya bagaimana perasaannya, si anak menjawab, “ aku telah mewakafkan sebelah mataku kepada Allah. Nak atau tak nak aku mesti menjadi syahid sebab sebelah mataku sedang menungguku di syurga dan kami akan bersatu semula!”

Ada seorang isteri yang ditinggalkan suami. Sudahlah begitu, matanya rosak sebelah dan dia terpaksa berkerusi roda sepanjang hayatnya. Dia menyebut, “apa aku risau? Quran di tanganku, Allah di hatiku, Rasul dalam mimpiku...”

Orang Palestina daripada keturunan mulia. Pertolongan Allah telah sampai yakni mereka memiliki jiwa dan keimanan yang sangat kuat. Sesuatu yang tidak mampu dikalahkan oleh rejim Zionis. Mereka tidak hairan dengan kematian, malahan sentiasa bersedia untuk syahid. Itulah kemenangan yang dijanjikan Allah.

Sukarelawan itu terus bercerita. Seorang ibu telah kematian suami. Suaminya syahid, empat anak lelakinya juga syahid. Tetapi dia berkata, “aku mahu kahwin lagi supaya dapat lahirkan anak lelaki yang akan berjuang dan mati syahid”

Janji Allah, asy-syahid darahnya tidak beku, sebaliknya mengalir seperti ketika hidupnya. Darah mereka juga berbau wangi.

Sukarelawan yang juga seorang doktor perubatan telah melakukan pembedahan ke atas seeorang anak kecil tetapi gagal diselamatkan. Sebaik sahaja anak itu meninggal, doktor ini terbau satu bauan yang pelik. Apabila disuarakan persoalan itu, jururawat kanan tersenyum, “inilah bau syurga...” kata jururawat tersebut yang sudah biasa dengan situasi sebegitu.

Anak itu berpesan kepada ibunya dua minggu sebelum dia meninggal supaya dikebumikan di sebelah ayah dan datuknya yang juga syahid. Sedang mereka mengorek tanah berpasir itu dengan cangkul, bilah cangkul terkena sesuatu. Rupa-rupanya terkena sedikit ke tubuh almarhum ayah si anak. Doktor itu melihat sendiri bagaimana mengalir darah segar daripada jasad si ayah yang telah meninggal pada tahun 1999.

Demikian cebisan kisah di Palestina. Tempat di mana kiblat pertama umat Islam.

Sedang kita di sini, menutup kedua-dua telinga untuk mendengar ayat Allah. Peringatan untuk diri saya sendiri yang selalu alpa.

Anak-anak kita, menjadi anak muda yang lalai dengan dunia. Kita yang didik mereka begitu.

Alangkah malunya kita dengan kekuatan iman anak-anak kecil, remaja, pemuda dan pemudi Palestina yang mencintai akhirat melebihi segala-galanya.

Marilah kita mendoakan saudara-saudara kita di Palestina. Semoga Allah memberikan kekuatan yang berterusan dan memberi kemenangan kepada mereka di dunia dan akhirat. Mereka sedang dijajah dan kita masih gembira dengan segala produk (film, fiesta, fashion, fun...) tajaan para pendukung zionis itu.

Selamat berjuang saudara-saudaraku!

Tuesday, June 11, 2013

CHAIYOK IBU!!!


200 USD = RM624. Oklah sebab matawang Pak Cik Obama itu mudah dicari. Tetapi sudah letih ke money changer, apabila mahukan Dinar Bahrain, mereka menggeleng. Dari Bangi ke Seremban, saya keluar masuk ke premis money changer.

Hari-hari yang memenatkan. Dengan kelelahan mengunjungi hospital setiap hari, anak itu perlu dibantu juga biarpun kelihatannya dia sudah sangat pandai berdikari.

Masuk kali kesembilan. Pecah di mulut sudah berkurangan, tetapi ulser di lidah sangat mengganggu untuk makan atau bicara. Tuti memberikan ubat sapu untuk diletak di ulser. Tapi saya memang geli kalau terasa ada ubat dalam mulut. Tetapi memikirkan dia yang begitu baik dan bersungguh-sungguh, saya cuba jugalah. Tidak berani minum banyak air semasa pergi balik hospital. Sampai di rumah, bergelen air diminum. Akhirnya jadi penat juga hilir mudik ke tandas.

“Saya kena tambah lagi tiga belas hari. Sepatutnya sudah habis semalam...” kata seorang mak cik yang menghadapi kanser di kulit kepala.

“Buek yo lah, kan...” dia asal Seri Menanti, suaminya juga.

Selalu dapat giliran kedua, kali ini saya jatuh ke kedudukan kelima dalam carta. Ada tambahan orang. Selesai rawatan dan jika tidak bertemu doktor, saya bergegas dengan lajunya mencari teksi. Tidak makan atau minum. Matlamat saya ialah mahu mengejar tren ke Seremban.

Hari ini saya ditanya macam biasa, “mahu balik mana, kak?”

Saya pun berbual-bual jugalah sekadar berbasa-basi. Tapi saya dapat kesan sesuatu.

“Encik orang Perak ya?” tanya saya.

Eh, dia teruja. Dia melihat saya dari dalam cermin di atas kepalanya.

“Mana tahu saya orang Perak?”

“Saya pun Perak juga”. Saya tidak memberitahu bahawa saya dapat mengesan dialek Hulu Perak daripada percakapannya.

“Perak mana?”

“Lenggong!”

Wah, dia lagi teruja!

“Lenggong kampung mana?”

Saya menyebut nama kampung saya.

“Saya Lenggong juga. Kampung Luat!” Dia gembira menyebut kampung asalnya itu. Langsung dia menyebut nama Tok Kote; orang itu saya kenal namanya tetapi sudah arwah. Mukanya saya tak ingat tapi nama itu memang popular.

“Saya sekolah di Dato Ahmad. Mungkin kakak junior saya,” katanya tetap membahasakan saya “kakak”. Dia kata umurnya lima puluh. Barangkali dia rakan sekelas kakak saya sebab kakak saya pun sekolah di situ dan umurnya lima puluh. Tapi lupa saya mahu beritahu dia sama ada dia kenal atau tidak kakak saya, si tahi lalat di dagu itu.

“Saya hanya sekolah rendah di Lenggong, menengah saya di tempat lain” saya menjelaskan.

Seronoknya jumpa orang kampung.

Tapi tak seronoknya ialah saya lupa tanya namanya.

Gembira saya terbawa-bawa ke stesen. Apabila gembira, saya suka diam memerhati. Nampak seorang lelaki separuh baya barangkali berketurunan Tionghua, kepalanya botak, aras ketinggian sebagaimana resamnya lelaki Asia (pendek), pakaiannya kemas, membawa kot di tangan kiri sementara tangan yang lagi menolak bagasi. Nampak ketokohan lelaki itu.

Kemudian, saya nampak sebarisan orang yang duduk di patform seberang duduk mengadap ke sebelah yang sepatutnya bukan laluan untuk ke KL. Kenapa begitu? Oh, rupa-rupanya mereka membelakangi matahari. Comelnya imej semua orang mengelak matahari, macam kita dulu apabila ditanya guru dalam kelas.

Dalam minggu ini ada keajaiban juga. Sepanjang dua tahun ulang alik ke hospital, baru dua kali naik teksi yang pemandunya dengar radio IKIM. Isnin dan Rabu dalam minggu yang sama. Jadi, sempatlah dengar kuiz dan motivasi pagi. Benar-benar minggu yang dirahmati. Jika tidak, asyiklah pening kepala otak mendengar lagu merayu-rayu Klasikfm, Sinarfm atau yang seumpama dengannya.

Minggu ini juga saya berdoa banyak-banyak supaya lif yang paling lambat di dunia itu tidak membuatkan saya membuang masa menunggu sampai lenguh kaki. Ya Rabbi, Allah mendengar doa saya walaupun untuk benda yang seremeh itu.

Waktu menunggu-nunggu, ada tren Ekspres Rakyat dari Kota Singa lalu (ingat lagu M. Nasir dan kumpulan Kembara?). Kasihannya tren yang sudah tua itu. Kepalanya buruk. Kulit pun sudah compang-camping. Mengapa tidak dicat dindingnya? Teringat anak saudara saya yang berada di tadika, dia menghantar saya naik tren di KK dengan abahnya; sampai saja tren itu terus dia berkata spontan, “buruknya kereta api Mak Yang!” Hahaha...

Walaupun buruk, saya suka naik tren ini. Macam ada sesuatu yang begitu epik. Macam perjalanan ke masa lalu...time-tunnel.

Hari ini saya mahu buat cubaan penyamaran belakang. Bagaimana? Saya tidak suka pakai seluar. Seluar akan menampakkan saya lagi ketot. Jadi, saya pakai “baju hospital” yang saya beli sejak tahun lepas. Baju kain kapas lima helai itu saya guna selama lima hari untuk rawatan radioterapi tahun 2012. Tahun ini berguna semula. Saya bawa beg sandang warna oren. Pakai kasut plastik ala budak-budak zaman sekarang yang harganya sepuluh ringgit. Saya berdiri dekat budak universiti yang barangkali mahu turun di Stesen Serdang atau UKM.

“Adik, kalau ke Seremban naik tren ini ke?” ada orang bertanya waktu tren sudah sampai dengan bingitnya.

Saya menoleh. “Err...adik...kak...naik yang ini ke?” orang itu tergamam. Hahaha...kesian dia. Dari belakang mungkin dia ingat saya muda lagi, sekali sudah toleh...kantoi! Mak cik rupanya...

Petang ini juga pejabat telefon. Cuti sudah banyak kalau dikira dari tahun lepas. Barangkali akan kena potong gaji. Tak apalah, bukan saya minta mahu sakit. Potong pun potonglah, sudah namanya kuli.

Lama saya tidak menulis. Sebabnya saya sangat penat. Penat berfikir, penat menghadapi perjalanan yang sama setiap hari, penat dengan segala macam tanggungjawab yang kadang-kadang hampir tidak tertanggung.

Ya, itulah kehidupan.

Sebelum kematian menjemput untuk kita hadir ke sisi-Nya.

Namun tatkala melihat ada perempuan cantik yang kakinya bergalang besi, berjalan dengan langkah tidak tersusun, saya bersyukur dengan apa yang saya nikmati. Saya masih ada sepasang kaki sihat. Saya berjalan dengan laju (orang pendek memang suka berjalan laju sebab kaki tak sepanjang orang tinggi), melepasi orang-orang yang berjalan dengan lemah menuju ke pusat rawatan masing-masing.

Tatkala melihat dengan simpati, seorang yang masih muda tetapi terbaring lesu di katil; saya bersyukur sebab Allah memberikan saya umur yang banyak dalam sihat, berbanding umur yang sangat sedikit dengan sakit. Saya masih boleh bergelak ketawa dan kadang-kadang memberikan motivasi kepada kehidupan orang lain. Saya masih boleh makan dengan normal dan bukan melalui tiub.

Apa lagi yang saya mahu? Apa lagi yang saya keluhkan?

Apabila hati susah, segera kita ingat bahawa semua hal keduniaan bakal kita tinggalkan. Semua itu tidak berguna lagi kecuali tiga perkara. Saya nekad untuk memperkasa tiga perkara itu walau apa pun yang terjadi!

Chaiyok!

Saturday, June 8, 2013

Takdir Si Tempayan



Apakah yang lebih manis daripada kenangan zaman kanak-kanak?

Zaman bebas masalah. Zaman tidak peduli dengan karenah politik dan birokrasi. Zaman tidak kisah jika hanya berseluar pendek memanjat pokok rambutan masam.

Itu zaman manis. Meskipun hidup payah tetapi semuanya indah.

Hujan di luar sangat lebat. Dari cucur atap rumah Tuti, air hujan menerjuninya dengan deras. Bunyinya sangat enak. Air itu terjun ke dalam tempayan.

Tempayan.

Ia mengingatkan saya kepada takungan air itu. Tempayan di letakkan di sisi tangga dengan batok yakni gayung yang diperbuat daripada tempurung. Daripadanyalah terhasil peribahasa “melepaskan batok di tangga”. Selesai mencuci kaki, kita mendaki tangga dan melepaskan sahaja batok itu tanpa meletakkan ia ke tempat yang telah dikhaskan.

Orang zaman dahulu, kena cuci kaki dulu sebelum naik ke rumah. Sebabnya jalan penuh lumpur, kadang-kadang kena redah lorong kecil yang ada pacat atau duri. Kaki jadi kotor dan comot. Kadang-kadang ayah letakkan ikan puyu dalam tempayan, gunanya untuk menangkap bayi nyamuk, si jentik-jentik.

Sebab cerita ikan dalam tempayanlah menyebabkan saya tidak makan ikan keli, haruan atau yang seumpama dengannya.

Orang selalu tanya bagaimana saya boleh berkarya? Mak atau ayah orang sasterakah?

Mak tidak pernah masuk sekolah rasmi. Itu tradisi orang dulu-dulu. Pantang anak perempuan dihantar ke sekolah. Anak perempuan tempatnya di dapur.

Hanya di dapur. Noktah!

Saya berhasil menulis sebab mak. Sedikit-sedikit sebab ayah. Mak mesti bercerita sebelum tidur. Kata kakak, kadang-kadang mak sangat penat selagi saya belum lelap. Saya akan minta mak bercerita, lepas satu, satu. Jika kehabisan idea, mak akan mereka cerita. Ayah pun bercerita juga tetapi oleh sebab ayah bersekolah, cerita ayah selalu berkisar tentang sejarah atau susur galur keturunan kami.

Cerita mak tentang ular yang diletakkan dalam tempayan di sisi tangga dengan tujuan membunuh tuan rumah; memberi kesan kepada saya sehingga sekarang. Akhirnya oleh sebab tuan rumah suka membaca Bismillah, ular itu bertukar menjadi ikan haruan. Itulah asal usul ikan haruan, kata mak.

Jadi, apabila melihat ikan haruan, keli, atau sembilang; saya teringat...huhu...saya tidak sanggup!

Sudah belajar tinggi-tinggi pun, saya akur bahawa teknik mak bercerita sangat hebat. Kalau tidak, mengapa sampai sekarang, sudah setua ini, saya masih tidak boleh menjamah ikan itu.

Saya pernah lihat sebiji tempayan dalam salah sebuah bilik air di rumah mak. “Jangan buang,” kata saya. “Nilai seninya sangat tinggi!”

Kalau musim hujan, tempayan zaman kanak-kanak saya persis tempayan di laman rumah Tuti. Airnya bersembur-sembur keluar menghasilkan bunyi semanis kenangan. Tempayan juga ada di selang (pelantar yang dibuat daripada buluh atau batang pinang). Selang ini digunakan untuk membasuh pinggan atau jika kecemasan mahu kencing pada waktu malam.

Saya juga masih tidak lupa bagaimana tapak tangan bergalur merah sebab mengangkut air dari sungai demi memenuhkan tempayan. Penatnya bukan main sebab kena memanjat tebing sungai, selepas itu kena memanjat tangga dengan penuh hati-hati.

Air sungai itu dimasak untuk minum. Air itu juga digunakan untuk mencuci baju dan pinggan mangkuk. Malahan kadang-kadang saya tolong mak mencuci tangga yang dikotori najis ayam. Ayam itu mesti ingat tangga itu tandasnya. Masalah betul!

Macam yang dicakapkan oleh Cik Listen Listen, binatang pun ada masalah!

Kami kanak-kanak kampung peduli apa jika minum air yang tidak dimasak. Sudah penat bermain, buka paip di tepi jalan dan menadah mulut di situ. Kadang-kadang air paip putus, kami suka menghisap paip air sehingga airnya keluar sedikit. Kata kawan saya, jangan buat begitu, nanti keluar lintah.

Entah betul atau tidak dakwaan kawan saya itu.

Tempayan juga tempat mak meletak beras. Beras itu diambil daripada bekalan kepok yakni kepungan kayu tempat menyimpan padi. Ditumbuk-tumbuk dengan lesung kaki, ditampi dan terhasillah beras yang asli. Tidak dibubuh ubat macam sekarang. Nasi berbau wangi, beras hasil penat lelah mak ayah. Saya dan adik beradik lain pun tolong juga. Tolong menyibuk. Selebihnya bermain lumpur atau menangkap ikan karin (ikan laga) yang sarangnya dikesan melalui buih.

Meskipun saya anak kampung, tetapi ketakutan pada lintah tetap ada. Geli betul melihat si moluska itu melekap enak di kulit kita.

Mujur ada air dalam tempayan untuk mencuci darah yang terhasil daripada sedutan makhluk itu.

Musim hujan begini, nostalgia datang seperti tayangan filem.

Kini, tempayan sudah jadi sebahagian aksesori dalam rumah orang kaya-kaya.

Itulah takdir si tempayan.

Dahulu duduknya di dapur, selang dan sisi tangga.

Sekarang, duduknya di banglo-banglo mewah.

Friday, June 7, 2013

One Day Off



Kejiranan sunyi. Mereka pulang ke kampung mengisi waktu-waktu akhir cuti sekolah.

Sejak beberapa hari dalam minggu ini, bumi kehujanan menjelang petang dan malam. Bagus. Bil api tidak akan naik sebab pendingin hawa.

Dalam hujan itu kami keluar makan. Melanggar pantang lagilah nampaknya.

Semalam, radioterapis memberitahu, “kak tak perlu datang esok. Mesin on service. Jumpa lagi Isnin”.

OK.

Kuman cuti tiga hari.

Sebelum azan subuh, sebab sudah biasa. Suasana sangat sunyi, tenang dan dingin.

Pagi ini saya ke Tabung Haji menguruskan cek takaful siswa anak bongsu. Untuk yang sulung, bayarannya sudah tamat tatkala usianya mencapai dua puluh dua pada tahun lepas. Kemudian membeli stok buah epal hijau dan oren , mengisi minyak dan kad touch n go, membeli sayur di kedai runcit dan segera balik ke rumah sebelum matahari terik.

Hari ini perut asyik lapar dan mata mengantuk. Tuti dan keluarga sudah tiada. Agaknya dalam perjalanan ke Segamat. Sunyilah saya sehingga Ahad ini.

Esok saya akan ke UKM menjenguk si sulung. Khabarnya penutup tayar kereta yang tertanggal sedikit sudah hilang. Saya fikir ada orang mencungkil dan mengambilnya tetapi saya tidak mahu menakutkan dia. Saya mahu membawanya membeli makanan segera yang mudah untuk dia masak sebab ini pertama kali dia akan bersahur dan berbuka puasa di sebuah negara asing yang jauh.

Sekarang hujung semester untuk masuk ke tahun dua. Musim peperiksaan dan menghantar tugasan akhir untuk kedua-dua anak. Selalunya si bongsu rajin benar menelefon, tetapi sekarang senyap sahaja. Dia sedang bertungkus lumus menyiapkan projek akhir.

Selalu saya katakan. Itulah nilai ijazah. Jika mudah sahaja untuk mendapatkannya, ia sudah tiada nilai. Memang kerja pelajar ialah menyiapkan tugasan. Itu tugas hakiki.

Melihat gambar mak sedang membuat nasi ulam dan kerabu yang dimuatnaik oleh adik lelaki, menyebabkan saya semakin lapar. Dengarnya anak menantu dan cucu mak mahu berkumpul makan-makan masakan opah. Wah, geramnya!

“Yang tak boleh balik lah kan? Lambat lagi dapat balik?” tanya mak di corong telefon.

“Lambat lagi. Kena habiskan rawatan. Kena tunggu kakak berangkat dulu. Lepas itu kalau sihat, balik sekejap jenguk mak tapi tak dapat lama. Ada temu janji dengan doktor...” kata saya dalam takut-takut untuk berjanji. Saya tidak bercakap banyak sebab menahan pedih mulut yang pecah-pecah kepanasan akibat radiasi dan pil Tamoxifen!

Sudah ada bunyi gemuruh di kejauhan. Nampaknya hari ini hujan akan turun lagi. Suburlah bunga dan herba yang ditanam Tuti. Alhamdulillah, hujan yang cantik akan turun sebentar lagi.

Duduk sendirian, saya akui...mak, saya sunyi!

Thursday, June 6, 2013

7th Day of RT...The Journey



Hari ini Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) bermesyuarat agung di KK. Buat pertama kalinya saya gagal hadir.

LEPAS dekat di hati saya. Persatuan penulis ini yang tertua di Malaysia, lebih tua daripada badan induknya iaitu GAPENA.

Meskipun duduk jauh, saya akan cuba sedaya upaya untuk balik ke KK dan menghadiri mesyuarat. Saya anak Perak, jadi saya tidak berasa terpinggir berada dalam persatuan di negeri saya sendiri.

Cuma kali ini saya menghubungi setiausaha dan AJK, memohon maaf sebab saya masih dalam tempoh rawatan.

Hari ini hari ketujuh. Minggu ini saya tiba lebih awal dan menjadi orang kedua menerima rawatan. Sebabnya suami yang menghantar sebelum bergerak ke pejabatnya. Cuti sekolah dan jalan lengang jika awal pagi.

Waktu balik, saya baru perasan, tren hanya ada kepala. Dua kepala macam kartun yang ada kepala kucing dan anjing itu. Tiada ekor. Hanya kepala.

Pertama kalinya juga saya tertidur sekejap dalam gerabak. Keletihan maksima setelah berulang alik setiap hari.

Tetapi macam yang saya katakan kepada pemandu teksi yang peramah itu, “banyak yang saya belajar dalam beberapa tahun ini...”

Ada seorang pemandu teksi berketurunan Punjabi enggan menerima apabila saya kata, “keep the change, sir”.

“No,” katanya, “I cannot accept. You're sick. Almost everyday you come here and it's mean money. I'm pray for your health”

Dan dia berkeras mengembalikan baki tambang. Bukan maksudnya saya banyak wang tetapi agak leceh untuk pemandu teksi mahu mencari duit pecah dalam kondisi sesak seperti itu.

Hati saya berkata, mudah-mudahan rezekinya murah dan dia terus sihat untuk mengemudi teksinya.

Itulah iktibarnya. Kita tidak boleh memilih mahu menjadi bangsa apa. Semuanya telah ditentukan. Dalam sesuatu bangsa itu, ada orang jahat dan orang baik.

Jadi, janganlah terlalu taksub dengan bangsa sendiri sehingga memandang jelek akan bangsa yang lain.

Tuesday, June 4, 2013

Sarcastic Stories



I have 3 sarcastic stories to share.

My shorty sis in-law keep asking me, “going to HUKM everyday by what ha?”
Me: “Kalau tiket flight habis, sometimes i'm going by sampan...”
I'm travel everyday to HUKM from Seremban.

My anak drive a long way to Kulai to attend her friend's wedding. Then, she text me, “Geram betul. Aduyai, ada Lamboghini lak lalu sebelah adik...”
Me: “Fortunately it's Lambo. Kalau basikal lalu laju sebelah adik, lagi teruk!”
My anak car is Kancil 660cc
Her kancil name is Tambelina @ Tamtam.

My another anak drive my white saga, name Shiro-chan.
Mula-mula bawa Shiro, dia pandu dengan sangat perlahan.
Suddenly, one guy with his bycyle pass-by and keep smiling all the way.

Monday, June 3, 2013

4th Day Of RT



The 4th day of RT.

Malam ini macam ada yang mengganggu. Saya sebentar-sebentar terjaga. Budak-budak itu ada masalahkah?

Jam lima tiga puluh enam terjaga lagi.

Tepat enam dua puluh, saya meredah dingin subuh. Dua puluh minit selepas itu saya sudah ada dalam gerabak. Orang mahu berpergian ke pejabat.

Entah mengapa, saat tiba di Stesen Serdang, tren diam lama, hampir setengah jam juga. Pengumuman dibuat, ada masalah teknikal dari pusat Tren KL Sentral. Orang sudah ramai berdiri, gerabak sesak.

Saya lewat tiba ke hospital. Kena naik ke aras satu dan kemudian menunggu lif yang paling lambat di dunia untuk membawa saya ke unit rawatan. Satu-satunya lif untuk turun ke unit itu terletak berdekatan Radioteraphy Day Care Centre.

Masuk ke dalam kamar rawatan pun macam ada masalah. Lama mereka membetulkan posisi tubuh. Selepas itu bertemu doktor. Berat turun lagi dua kilo.

“Kenapa tak buat kimo?”

Eh, doktor ini biar betul. Kenapa tanya saya?

Menaiki teksi untuk ke stesen, banyak yang saya belajar tentang manusia.

Ada satu ketika seorang pemandu teksi yang rapat dengan kepimpinan parti yang menang, membocorkan banyak rahsia. Haha...saya pun sesekali pandai berlakon juga! Saya kira orang itu dari sayap pemuda. Tapi biarlah ceritanya menjadi rahsia!

Matahari yang garing tidak membenarkan saya singgah di mana-mana. Hanya membayar bil melalui serahan tingkap dan membeli ketupat mini buat bekalan anak ke Bahrain. Berdikit-dikit saya membeli sebab kudrat sudah nihil.

Masuk ke penjara, saya berasa lega.

Penjara ini dunia saya!