Total Pageviews

Thursday, May 9, 2013

Panggilan Dari Kubur?



Ada orang mati hidup semula!

Percaya tak?

Ini bukan kisah magik pilihan raya dengan ungkapan popular pelawak Sathiya, “sudah tukar ka?"

Bukan!

Lama dahulu, barangkali lima enam tahun begitu, suami pulang dengan muka sedih.

“Baha dah meninggal, Yang”

Saya terkejut. Sakit apa agaknya? Saya membaca Yassin untuk Baha, mendoakan agar rohnya dalam kasih sayang Allah.

Saya tidak ingat dia sakit apa, atau menderita akibat kemalangan. Yang nyata, semua orang kata Baha yang digelar Saddam Hussein itu telah menjadi almarhum!

Kenapa dia digelar Saddam Hussein? Badannya agam dan tegap. Misainya tebal seperti Allahyarham Saddam. Dia juga sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan persahabatan. Pendek kata, dia memang gagah di gelanggang. Kalau mahu nyawa-nyawa ikan, silalah cari pasal dengan si Baha.

Saya hanya pernah bertemunya sekali. Hanya sekali. Tetapi saya seakan sudah lama mengenal lelaki itu sebab suami selalu bercerita tentang kebaikannya.

Teringat guraunya kepada suami, “jangan kau abaikan dia. Kalau kau tak mahu, kau serahkan dia pada aku!”

Amaran atau gurauan, itulah sikap Baha!

Tiba-tiba, Selasa malam yang lepas, saya mendengar suami bersembang dengan seseorang di telefon. Suami berdiri di dapur, barangkali enggan mengganggu saya yang sedang menulis puisi. Namun suaranya yang kuat dan penuh keterujaan mengganggu penumpuan saya.

Saya dengar dia menyebut, “engkau biar betul. Betul ke engkau ni Baha? Engkau bukan telefon aku dari dalam kubur kan? Semua orang kata engkau dah mati, ada yang dakwa hantar jenazah kau ke kubur. Kau Baha Saddam Hussein, dari Rembau? Aku risau ni, aku ke yang tak siuman? Engkau tak telefon aku dari dalam kubur kan? Kalau betul engkau kawan aku, Baha, aku doakan dapat jumpa kau lagi”

Saya menghampiri suami. Berdiri di hadapan mukanya. Meninjau-ninjau dan cuba mencuri dengar.

“Kalau kau betul Baha, kau mesti kenal dengan orang rumah aku. Kau cakap dengan dia...”

Saya melekapkan telefon ke telinga. Memberi salam.

“Encik Baha, saya ni...ingat lagi?”

“Apa pula tak ingatnya....bla bla bla...”

Sahlah dia Baha. Baha masih hidup rupa-rupanya! Saya turut berkongsi kegembiraan suami!

Memang semua orang fikir dia telah tiada. Dia benar-benar memiliki diam yang lama. Sekarang, Baha menjadi pemandu bas ke tanah tinggi.

“Minggu depan abang jumpa Baha. Tentu banyak ceritanya”

Subhanallah, Maha Suci Allah. Dalam lima enam tahun ini, Baha bagi kami sudah tiada. Tetapi entah bagaimana, jika Allah mahu mempertemukan, Dia berkuasa untuk melakukannya.

“Kata Baha, dia simpan nombor telefon abang. Tapi peliknya, nombor ini nombor baharu. Bukan nombor lima enam tahun yang lalu...”

Jadi? Dia memang Baha atau...?

Minggu hadapan, kami akan mendapat jawapannya!

3 comments:

cahaya iman said...

misterinya...huhu

IBU BUNGA MATAHARI said...

tapi memang dia masih hidup. dia menangis membaca catatan kakyang, kata suami.

cahaya iman said...

ye ke..Alhamdulillah..panjang umur dia.. betul tu, sapa2 pun boleh menangis baca tulisan KY.