Total Pageviews

Wednesday, May 22, 2013

Beberapa Perjalanan


Adik and her daddy


Sabtu itu kami menuju kampung. Isnin, puteri bongsu yang kami panggil Adik akan menjalani istiadat konvokesyen.

Adik macam tidak berminat untuk menyarung jubah, memakai mortar board dan naik ke pentas untuk menerima diploma.

Meskipun dia sudah jadi entiti yang berbeza sejak dua puluh satu tahun yang lalu, saya cepat mengerti. Dia anak saya. Saya faham mengapa dia jadi begitu.

Pertama, dia alergik dengan universitinya yang rasis & menerima kemasukan dengan kelulusan minima. Dia sebenarnya sudah menjadi saya dalam tubuh yang berbeza. Mujur semasa istiadat berlangsung, tiada ucapan yang boleh menyebabkan kami termuntah!

Kedua, dia pernah ikut ke istiadat konvokesyen diploma kakaknya di KUIS. Gerai-gerai di pesta konvo KUIS begitu meriah sehingga lenguh kaki kami berjalan.

Gerai di pesta konvonya? “Secoet”!

Istiadat Konvokesyen kakaknya sangat Islamik. Ada bacaan Quran oleh Ustaz Don Daniyal selaku pensyarah di situ, ada doa yang sangat menyentuh kalbu, ada iringan selawat memuji Allah. Tetapi di universiti Adik, waktu rehat diisi dengan nyanyian “live” duet siswa siswi. Lagu Melayu tradisional yang merayu-rayu cinta! Kemudian waktu rehat yang lain (untuk membolehkan pro canselornya duduk meluruskan kaki dan pinggang) diperdengarkan lagu “Anak Kecil Main Api”!

Sejak awal, saya membawa fon telinga. Tujuannya ialah jika ada ucapan yang bertele-tele, saya akan memasang IKIM dan mendengarnya senyap-senyap. Mujur tidak ada!

Tiga empat jam duduk, meletihkan bagi Daddy yang hiper dan saya juga. Bahu sudah berdenyut-denyut dan saya benar-benar letih. Ya, Ahad itu sudah ulang alik mengambil jubah dan raptai. Isnin istiadat berlangsung dan Selasa kena menghantar jubah dengan dendaan lewat. Kami berulang alik dari Bandar Prasejarah Perak Man!

Sebabnya semua hotel dan inap desa sudah penuh!

Saya tidak pernah seletih itu. Dengan orang lain saya boleh menipu tetapi dengan mak, saya surrender. Kata mak, “itulah ibu. Walaupun sudah hilang kudrat, anak punya pasai, dia tak kisah apa pun...”

Sudah pasti mak faham sebab dia lagi hebat daripada saya. Saya ada kereta, ada gaji tetapi mak dulu berkorban sehabis daya tanpa sebarang kemudahan.

Sampai di Seremban, kami berehat sekejap dan bergerak ke UKM. Saya ke kolej kediaman puteri sulung. Suami menunggu di masjid. Jam sebelas malam baru kami bergerak pulang. Suami seronok (baru dia tahu!). Masjid hidup pada waktu malam. Ada tazkirah, nasyid, berselawat dan macam-macam. Para siswa memenuhi masjid sehingga pagi. Apabila cahaya sudah masuk ke dalam hati, masjid-masjid akan jadi tempat yang sangat menenangkan jiwa.

Si sulung yang dipanggil kakak akan ke Bahrain mengikuti Program AIESEC selama sebulan dua minggu. Dia akan menyambut Ramadan di sana dan dijangka pulang sehari menjelang Idulfitri. Persiapan paspot, tiket pesawat dan cenderamata sudah diurus sebelum dia mula sibuk menghadapi musim peperiksaan. Katanya, dia mahu cari debu tayamum dan kompas kiblat. Juga makanan tradisi Malaysia.

Sejujurnya saya sedikit risau. Dia akan sendirian di negara orang. Di sana nanti barulah ada mahasiswa dari negara lain. Tetapi saya yakin kedegilan yang diwarisi daripada ibunya, akan menimbulkan keberanian. Allah akan menjaganya. Allah sentiasa menjaganya.

Berbanding Mexico, saya lebih suka dia ke Bahrain. Setidak-tidaknya kurang sedikit kebimbangan yang berkait dengan halalan toyyiban. Waktu temu duga untuk ke Mexico, dia minta saya ajarkan sedikit perkataan dalam bahasa Sepanyol. Saya ajarkan tetapi untuk ke negara kaktus itu, calon-calonnya mesti menguasai asas bahasa tersebut.

“Mesti ibu tak doakan kakak dapat negara yang kakak nak!” katanya. Dia mahu ke Mesir atau Poland, tetapi tawaran itu terlewat selepas dia bersetuju untuk ke Bahrain.

“Ibu hanya doa begini. Jika tempat itu baik untuk agama kakak, untuk iman kakak, untuk akhirat kakak; mudahkanlah. Jika tidak, ibu serah kepada Allah!”

Saya pesan berkali-kali, jaga Allah, jaga solat, jaga akidah, jaga aurat!

Kita tidak tahu apa yang sebenarnya baik untuk kita. Hanya Dia yang tahu.

Melihat Shiro-chan, saga itu sudah kemek sedikit di sana sini. Biarlah, sehingga dia cekap mengendalikan kereta itu, barulah akan dibaiki. Si kancil adik, si Thumbelina, entah apa khabarnya di Puncak Alam!

Pulang ke Seremban, saya diziarahi pelajar-pelajar yang sudah tamat peperiksaan dan mahu pulang bercuti tiga minggu. Semester depan, mereka akan rasmi menjadi pelajar ijazah sarjana muda pendidikan. Seronok hati saya menerima kunjungan mereka.

“Puan makin kurus. Waktu mula masuk kelas, puan tidaklah sekurus ini...” komen salah seorang daripada mereka.

Saya akan mula menjalani radioterapi minggu hadapan. Permintaan saya untuk dicepatkan rawatan tidak berjaya sebab saya kena menunggu giliran. Maknanya lagi saya kena ada stok penutup mulut dan hidung yang mencukupi. Mulai minggu hadapan, saya akan berulang alik setiap hari ke HUKM.

Perjalanan dengan pemandangan dan pengalaman yang sama bakal bermula.

Saya sudah bersedia untuk bergembira!

No comments: