Total Pageviews

Friday, May 31, 2013

Menadah Nikmat



Saya hanya sempat mendengar separuh daripada ceramah ustaz berketurunan Tionghua itu.

Namun ada sesuatu yang disebutnya menarik hati saya.

Katanya, orang yang beriman jika jari tersepit pun akan mengatakan bahawa dia sedang menerima nikmat daripada Allah.

Sebab sebenarnya kita kena yakin bahawa ada sesuatu yang baik yang akan diberi oleh Allah, maka apa pun yang berlaku kepada kita sekarang, kita merujuknya sebagai satu kenikmatan.

Orang yang kematian isteri sudah tentu hatinya seperti kaca terhempas berkali-kali ke batu, tetapi mana tahu jika satu ketika Allah menjodohkannya dengan seorang wanita yang lebih solehah daripada isteri terdahulu.

Orang yang tertangkap kerana melakukan maksiat bermakna Allah sedang menegur dengan penuh kasih sayang-Nya. Dia mahu memberikan peluang kedua untuk kembali ke jalan-Nya. Mana tahu suatu hari nanti orang itu bisa memberikan peringatan berguna kepada orang lain agar tidak melakukan kesilapan seperti yang telah dilakukannya.

Bukankah orang yang bertaubat itu sangat mulia di sisi Allah?

Jari yang sakit akibat tersepit itu merupakan nikmat pembersihan dosa yang telah kita buat sama ada kita sedar atau tidak.

Ustaz juga mengingatkan agar kita jangan berputus asa dalam membentuk keluarga yang mempunyai roh Islam. Belum terlambat, selagi nyawa masih di badan.

Alhamdulillah. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah mencabut rasa nikmat melakukan maksiat daripada hati-hati kita. Mudah-mudahan kita berasa jijik dengan kemaksiatan seperti jijiknya kita jika masuk ke tandas yang kotor.

Semoga Allah datangkan orang yang soleh dan solehah untuk mendampingi kita.

Berhentilah daripada menyalahkan manusia lain semata-mata tanpa merenung kembali kesilapan kita.

Semoga kita semua berada dalam kerahmatan Allah.

Wednesday, May 29, 2013

The 1st Day Of RT

Hari pertama radioterapi.

Dia menghantar dan menunggu. Anak yang masih berbaki cuti sehari, diminta duduk di rumah untuk menyudahkan tugasan yang dikehendaki pensyarahnya.

Kena simulasi juga lagi sekali sebab mahu pastikan tatu yang dibuat masih jelas atau tidak. Kemudian, lakaran dengan pen marker dibuat sebelum dihantar ke kamar menunggu radioterapi.

Masuk sahaja, mesin sudah lain. Lebih ringkas.

“Ini mesin baharu, mak cik...” kata radioterapis yang masih saya cam mukanya.

Prosesnya macam biasa. Hanya lebih kurang lima belas minit berbanding setengah jam dalam bilik simulasi.

Tidak ramai yang menunggu. Memang betul-betul rezeki. Selesai rawatan, tiba-tiba suami dipanggil pulang ke pejabat, ada audit keselamatan. Saya terpaksa ikut. Memang mata sudah mula kuyu. Selalu begitu, kalau lepas diradiasi.

Saya duduk sahaja dalam kabinnya sewaktu dia diaudit. Teringat anak di rumah. Mesti budak itu sunyi. Mahu tidur, pendingin hawa kabin sangat sejuk.

Esok dan hari-hari seterusnya saya akan berada di HUKM setiap hari

Tuesday, May 28, 2013

Kanser Jangan Datang Lagi!

CARA MENCEGAH KANSER!!

(Petikan artikel ini diambil daripada laman berkaitan kanser)

Kali ini saya akan berbicara mengenai kaedah mencegah kanser melalui pemakanan.

Ini adalah salah satu soalan yang selalu ditanya pesakit terutama yang telah menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi atau radioterapi. Mereka telah sihat tetapi tidak mahu kanser datang kembali (cancer relapse atau cancer recurrence.)

Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh menyeru prinsip “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

Dalam mencegah penyakit kanser, ada tiga faktor yang kita perlu fokus iaitu gaya hidup sihat, diet seimbang dan stres minimum.

Tidak dinafikan, antara punca utama kanser adalah gaya hidup tidak sihat seperti merokok, mengambil minuman keras, tekanan emosi atau stres berterusan manakala faktor utama adalah pemakanan tidak teratur dan seimbang. Ini pendorong kuat kepada kanser membarah di dalam tubuh.

Justeru, dengan mengambil berat kepada tiga faktor ini, insya-Allah kanser dapat dielakkan.

Makanan mengandungi pH alkali tinggi dapat mengelakkan serangan kanser, malah mampu membantu menyembuhkan seseorang yang menghidap kanser. Malangnya, kebanyakan rakyat Malaysia, gemar memilih diet dengan pH berasid.

Apa itu DIET BERAKALI? Diet berakali melibatkan pengambilan minimum makanan seperti daging merah (lembu dan kambing), daging ayam, ikan, makanan laut, makanan berasaskan susu seperti mentega, keju, ais krim; tepung, teh, kopi, makanan segera, minuman soda dan gula.

Kebanyakannya adalah makanan asasi dan kesukaan rakyat Malaysia. Makanan ini meningkatkan kandungan asid dalam badan seseorang.

Diet berakali tinggi adalah makanan berunsur sayur-sayuran dan buah-buahan, biji-bijian, kurma, habatus-sauda, madu, jus buah-buahan, teh hijau dan makanan berunsur soya seperti tempe dan tau fu faa.

Makanan ini meninggalkan alkaline ash atau persekitaran tubuh berakali.

Bagaimana diet beralkali pengaruhi sel kanser? Kajian makmal membuktikan, sel kanser dalam tabung uji lebih cepat membiak dalam persekitaran berasid.

Apabila tahap asid dikurangkan maka didapati ketumbuhan kanser lebih lambat.

Dengan memilih diet yang menjadikan pH di dalam tubuh seseorang lebih berakali, maka potensi untuk kanser tumbuh dan membiak adalah berkurang.

Makanan berakali tinggi menghasilkan persekitaran sukar untuk kanser membiak dan merebak.

Sel kanser tidak boleh membiak dalam persekitaran yang tinggi kandungan oksigen. Apabila kandungan oksigen rendah, ia menggalakkan pembiakan kanser.

Apabila sel tisu dalam badan mempunyai kandungan alkali tinggi, ia berupaya menampung kandungan oksigen tinggi berbanding sel tisu berasid tinggi.

Dengan memastikan kandungan pH alkali di dalam badan tinggi, ia dapat melindungi sel di dalam badan daripada diserang kanser.

Kesimpulannya, semakin tinggi tahap alkali dalam badan, semakin banyak kandungan oksigen dapat ditampung dalam badan, maka semakin nipis peluang sel kanser membiak.

Adalah digalakkan memakan banyak makanan berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan mengandungi kandungan serat tinggi, jus buah-buahan terutama sekali jus lobak merah.

Ini bukan bermakna pesakit kanser tidak boleh mengambil diet berasid tinggi, tetapi dinasihatkan mengurangkan pengambilannya.

Gelora Di Laut Hati Ibu



Tatkala kita mula mahu berputus asa, bacalah ayat-ayat Allah. Nescaya yang putus itu akan bersambung semula.

Tatkala hati bagaikan dilimpahi air sungai kesedihan, maka berzikirlah akan nama-Nya. Nescaya segala kesedihan itu akan surut.

Tatkala jiwa merintih dengan kekecewaan, mengadulah kepada-Nya. Dia akan mendengar rintihan kita dengan telinga-Nya yang terbuka.

Saya kena berani menghadapi apa sahaja yang datang kanan dan kiri. Allah telah memberikan kekuatan dalam lemahnya saya sebagai wanita dan ibu.

Wahai Tuhan Pemilik Jiwa, dakaplah anak-anak saya dalam pelukan-Mu. Jangan Kau tinggalkan mereka pada saat mereka meninggalkan-Mu. Janganlah Kau melupakan mereka pada saat mereka melupakan-Mu.

Monday, May 27, 2013

Batu Belah Batu Bertangkup



Semalam, masa di rumah kenalan anak, saya membaca artikel tentang seorang artis muda lelaki yang sekarang heboh di media punya krisis dengan emaknya. Ada pula campur tangan daripada teman wanitanya yang juga artis suam-suam kuku.

Eh, baca tentang artis la pulak? Sudah berkurun lamanya saya tidak menatap akhbar arus perdana itu. Jadi, saya hanya menatap muka hadapan sisipan bahagian hiburan. Tidak berminat pun, hanya jeling-jeling.

“Budak ini memang biadap...” kata saya merujuk petikan kata-kata budak itu terhadap emaknya.

Ya, walaupun siapa emaknya dan sebanyak mana salah emaknya itu, patutkah budak itu berkata, “ibu dalam dunia ini beribu-ribu. Ibu saya seorang yang begitu. Nak buat macam mana saya dapat ibu macam dia...”

Dan kata-kata yang menghina ibunya itu dibaca orang di seluruk pelosok negara!

Pagi ini, suratan atau kebetulan, di IKIM juga topik yang sama dibincangkan. Bertalu-talulah panggilan telefon dan mesej dibacakan DJ. Topik pagi ini berbunyi, “derhakakah anak yang menuntut ibu bapanya memohon maaf kepadanya”.

Itulah juga yang berlaku kepada Afiq Muiz, artis muda yang menuntut agar ibunya memohon maaf sebab menghantar mesej menyebut dia sebagai anak derhaka, didakwa menuduh teman wanitanya kaki kikis dan mengaibkan keluarga teman wanitanya.

Hmm...bagaimana ya mahu mengulas?

Budak itu juga kata, dia rela mati.

Dia ingat mati itu macam main pondok-pondok?

Sekarang ini budak itu sudah besar, sudah jadi artis, sudah dikenali, sudah rasa hebat!

Dia anak buluh betung, barangkali. Bukan janin yang duduk diam dalam perut ibunya. Bukan bayi yang berdarah-darah yang lahir dari saluran paling kotor daripada tubuh ibunya. Lahir-lahir sahaja, sudah boleh bikin susu sendiri. Pakai lampin sendiri.

Ibu manusia biasa. Kalau namanya manusia, salah silap adalah makanan harian. Memang ada ibu atau bapa yang hatinya diperbuat daripada batu. Yang selalu lupa bahawa anak adalah amanah Allah yang juga akan menjadi penentu nasib kita di akhirat kelak.

Memang ada. Tetapi wajarkah budak itu terus-terusan membalas serangan ibunya di media?

Ibunya kena ampunkan si anak. Kalau tidak, hidupnya nanti sukar, bukan sahaja di dunia tetapi yang penting ialah kedudukannya di sana. Ibunya jangan terus berkeras, mengajilah, istighfar banyak-banyak supaya hati yang diperbuat daripada batu itu jadi lembut sedikit.

Kita pun banyak sangat menderhakai Allah, tapi Dia tetap membuka tangan-Nya untuk mendakap dan mengampuni kita.

Anak itu pula janganlah sombong sangat. Kadang-kadang kita tidak sedar banyak hal yang kita lakukan melukakan hati seorang ibu. Ingatlah, kita dulu duduk dalam perut dia. Diulang...dalam perut dia!

Macam mak selalu kata sebagai penyejuk hati saya (walaupun mak tahu kata-katanya itu tidaklah seratus peratus benar)...”biarlah ibu nak kata apa pun, itu kan anak dia!”

Doakan yang baik-baik sahaja buat ibu kita. Juga doakan yang enak-enak juga buat anak-anak kita. Jangan berputus asa jika anak kita melakukan kesilapan. Ibu bapa kita dahulu pun tidak pernah berputus asa dengan kelakuan kita.

Media pun janganlah jadi lebuh raya maut yang tak ada garisan tengah dan tepi!

Sunday, May 26, 2013

Ketukan Itu...



Ustaz Zul bercerita tentang satu peristiwa dalam LRT.

Tatkala LRT berhenti di satu stesen, seorang bapa masuk bersama dua anak lelakinya yang masih kecil. Bapa itu terus duduk, menyandarkan kepalanya ke belakang dan menutup mata. Dua anak lelakinya dibiarkan berlarian dari satu hujung ke satu hujung, bergumpal, bergantungan di tiang, berlompatan, menarik majalah dan akhbar penumpang lain.

Semua penumpang di koc itu berasa begitu terganggu.

Sedangkan si bapa masih terus duduk bersandar dan memejamkan mata seperti langsung tidak peduli.

Salah seorang penumpang akhirnya membuat keputusan. Daripada membiarkan, lebih baik dia cuba untuk menyelesaikan masalah. Lalu dia bangun dan duduk di tepi si bapa. Diletakkan tangannya atas paha si bapa, ditepuk-tepuk sedikit dan akhirnya bapa itu membuka mata.

“Encik, sebenarnya saya ingin beritahu. Anak-anak encik mengganggu dan kami rasa sangat terganggu...”

Bapa itu tadi dapat melihat dengan jelas, dua anak lelakinya yang sedang bergumpalan di lantai LRT. Dia bangun mahu mendekati anak-anaknya, tetapi kemudian dia berhenti. Dia kembali ke tempat duduk dan menutup wajah dengan kedua-dua belah tangannya, langsung menangis.

Melihatkan kelakuan si bapa, sahabat yang bertanya itu kehairanan.

“Encik, jika encik mahu ceritakan sesuatu kepada saya, ceritakanlah...”

Bapa itu, setelah esakannya reda, mula bercerita:

Jika encik mahu memukul anak-anak saya, silakan. Saya izinkan.

Sebenarnya begini, saya ada seorang isteri yang sangat saya sayangi. Dia selalu mengadu kepalanya sakit. Saya selalu memicit kepalanya. Suatu hari saya mendengar jeritan dari dapur. Saya dapati isteri saya sedang terbaring. Saya membawanya ke hospital. Rupa-rupanya doktor mengesahkan bahawa ada ketumbuhan yang sedang menghimpit otaknya. Itulah punca kesakitan isteri saya.

Dia kemudiannya dimasukkan ke dalam wad yang paling rapi dalam hospital itu. Anak-anak saya tidak dibenarkan bertemu ibu mereka. Ibu dan anak-anak ini tidak pernah berpisah. Apa yang berlaku kepada anak-anak saya? Mereka menjadi murung, enggan berkawan, hanya duduk diam dalam bilik, tidak mahu makan dan tidur malam selalu terbangun menyebut-nyebut nama ibu mereka.

Selama sebulan itu mereka dipisahkan. Isteri saya memohon agar anak-anak dibenarkan bertemunya tetapi doktor tidak membenarkan. Dan semalam adalah hari yang paling menggembirakan saya. Isteri saya mengatakan jika pertemuan itu boleh dibeli dengan wang, keluarkanlah semua wang dalam akaunnya supaya dia dapat bertemu dengan anak-anak. Setelah didesak, akhirnya doktor membenarkan kami bertemu dengan syarat hanya sebentar cuma.

Saya pulang ke rumah dan memberitahu anak-anak saya. Mereka berlompatan kegembiraan dan berlarian di sekeliling rumah, menjeritkan nama ibu mereka. Mereka terlalu gembira. Mereka tidak sabar untuk menunggu ketibaan pagi hari ini.

Akhirnya siang hari ini pun tiba. Kami bangun dengan cepat dan anak-anak saya keriangannya luar biasa. Mereka menarik-narik saya agar segera membawa bertemu ibu mereka.

Waktu saya sedang menutup pintu pagar, telefon berdering. Di hujung sana, ada suara yang menyebut nama saya.

Saya mengiyakan. Apa katanya? “Encik, ini panggilan dari hospital. Kami mahu maklumkan bahawa isteri encik telah meninggal dunia...”

Pada saat saya mendengar berita itu, anak-anak sedang menarik seluar saya dengan permintaan agar segera membawa mereka bertemu ibu.

Bagaimana saya mahu memberitahu mereka bahawa selama sebulan dipisahkan daripada ibu mereka adalah sebagai satu latihan persediaan buat mereka untuk berpisah selama-lamanya.

Encik, jika encik boleh menghentikan kegembiraan anak-anak lelaki saya sekarang dan memberitahu mereka perkara sebenar, saya mohon encik melakukannya.

Sahabat itu terpaku. Berbanding penumpang lain dalam LRT itu, dia melihat anak-anak tersebut dengan pandangan berbeza setelah mengetahui cerita sebenar.

Rupa-rupanya begitu.

Ada orang yang menjadi begitu dan begini disebabkan sesuatu hal yang melingkari kehidupan mereka.

Kita juga.

Namun, jangan dibiarkan perlakuan-perlakuan itu menjadi dominan. Menuding jari kepada keadaan biarlah sebentar, sebagaimana lazimnya kita respon terhadap sesuatu kejadian. Selebihnya kita baiki kerosakan dan kekurangan itu dengan ilmu.

Kita juga sebagai orang yang melihat, perlu memandang dengan hati dan memahami dengan ilmu.

Apabila kita saling mengerti, segala kepedihan perlahan-lahan mengucap pamit. Kita akan berlapang dada untuk memberi dan menerima kemaafan.

Saya mengesat mata. Muzik iringan dan suara ustaz menyebabkan saya teresak.

Ada ketukan kuat di pintu hati saya.

Ketukan yang begitu menginsafkan.

Saturday, May 25, 2013

Menanti Amy



Amy menghubungi saya.

“Kak Yang, saya akan ke Seremban temankan papa. Ada kenduri saudara di sana. Amy mahu jumpa kak sangat-sangat”

Amy Suzaini Mohd Ainuddin, junior saya saat di Jabatan Penulisan Universiti Malaya. Semasa saya di tahun tiga, dia di tahun dua. Dia aktif berkarya. Rasanya seperti saya, dia juga pernah menang dalam HSKU. Karyanya juga termuat dalam KOMSAS tetapi tidak pasti zon mana. Berbanding Amy, saya agak beruntung sebab penerbit yang menerbitkan karya saya dalam KOMSAS melunaskan bayaran walaupun rasanya hanya dua kali. Amy dan rakan-rakan berjuang habis-habisan sebab penerbit yang menerbitkan karya enggan membayar.

Pelik betul. Nasib penulis seperti Amy langsung tidak terbela. Dahulu saya pun pernah mengalaminya. Penerbit terkenal lagi. Tapi saya tidak dibayar.

Saya menunggu Amy, dua anak dan papanya. Tetapi saya tidak tahu lokasi tempat Amy menginap sebab agak jauh dari bandar Seremban. Langsung saya membuat keputusan akan menemui Amy di Terminal waktu dia mahu berangkat pulang ke Negeri Serambi Mekah pada sebelah malamnya. Nasib baik Terminal dekat sahaja dengan kediaman saya.

Dalam bunyi guruh dan gerimis, saya ke Terminal. Doa saya termakbul. Ada parkir yang kosong seperti sengaja dibiarkan untuk saya yang sangat bermasalah memandu pada waktu malam. Saya mencari Amy. Dia di hadapan Dunkin Donut. Saya masih dapat mengecam sebab Amy tidak banyak berubah.

Pelukannya erat. Sangat erat. Sudah lebih dua puluh empat tahun tidak bertemu. Kami berbual cerita yang off record.

Rupa-rupanya papa Amy orang Sungai Rokam, Ipoh. Pernah juga bersekolah di Clifford School KK.

“Tahun 1957. Waktu itu kamu pun belum lahir lagi...”

Kami tergelak. Super-super-super senior saya rupa-rupanya. Mereka perlu pulang juga sebab keesokan hari, papa Amy kena menjalani dialisis.

Melihat dia, saya seperti melihat saya. Saya yang dahulu.

“Jaga diri, jaga papa. Buat apa yang Amy percaya...” pesan saya ketika melepaskannya untuk ke kabin bas dua tingkat itu.

Hati saya menangis.

Dalam gerimis, saya menyeberangi jalan menuju ke kereta yang diparkir.

Gerimis itu bercampur dengan air mata yang menitis!

Friday, May 24, 2013

Mak



Petang murung. Sesekali guruh meraung. Patutlah siangnya panas pijar. Rupa-rupanya langit mahu menangis.

Kalau ikutkan hati, saya mahu pulang. Berada di depan mata mak, hati mak pasti lega.

“Mak kata kalau Yang masuk hospital lagi dan mahu mak pergi, beritahu. Mak asyik duduk menung di luar. Katanya hari ini Yang belum telefon,” saya baca mesej kakak dari Ipoh.

Menyesal pula saya beritahu mak bahawa saya akan menjalani rawatan minggu hadapan. Sekarang, mak sudah mula susah hati.

Malam selepas menerima panggilan dari hospital, saya menelefon mak.

“Mesti buat juga ke? Bukankah Yang dah sihat?”

Bagaimana saya mahu ceritakan ya? Memang saya nampak sudah sihat. Kalau disuruh berlari pun, rasanya saya masih boleh memecut. Tetapi bagaimana saya mahu beritahu bahawa ada sesuatu yang jahat sedang berada dalam tubuh dan perlu dibunuh?

“Biasalah. Dulu pun begitu. Bukan masuk wad. Ulang alik dari rumah. Sebulan, kecuali hari cuti. Prosedur biasa, mak!”

Mak di rumah sendirian, macam saya juga. Sudah tentu macam-macam bermain dalam mindanya jika tiada tetamu teman bercerita.

Bukan tidak mahu ajak mak ke sini. Saya susah hati melihat mak yang tidak betah duduk di rumah yang seperti kepuk padi ini. Mak sudah biasa di rumah kampung yang lapang, dia tidak boleh hanya duduk-duduk meriba tangan. Kadang-kadang saya fikir barangkali mak ada darah Cina. Asyik sahaja bekerja. Tidak penatkah mak?

Bercerita tentang keturunan itu, saya teringat apa yang tertulis di sijil lahir saya. Keturunan Ibu: Chinese.

Akhirnya saya dan mak pergi berjumpa pesuruhjaya sumpah. Tulisan Chinese itu dipotong dan ditulis Malay dengan pen merah.

Saya tidak kisah keturunan apa pun asalkan agama saya Islam. Saya beruntung menjadi Islam baka, ertinya lahir sahaja sudah Islam. Apabila mendengar ceramah, baru saya teringat, para sahabat nabi seperti Saidina Abu Bakar pun tidak dilahirkan sebagai Islam. Tetapi hebatnya mereka itu setelah memeluk Islam sebab nur Islam sudah menjadi sebati dalam diri masing-masing.

“Mak jangan risau banyak-banyak. Yang kan anak mak!”

Harapnya mendung di hati mak segera berlalu. Kalau sudah namanya ibu, dia tidak akan lena tidur sebaik sahaja kita dilahirkan sehinggalah hayatnya berakhir.

Penatnya menjadi mak!

Maka, Oh Allah...kasihanilah mak dan ayah sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kecil. Lapangkanlah kehidupan ayah di barzakh dan tenangkan hati mak di dunia ini. Mereka ibu bapa yang baik, yang mengajar kami akan ketauhidan-Mu, mendidik lidah kami dengan ayat-ayat-Mu, mengenalkan kami dengan keagungan-Mu!

Thursday, May 23, 2013

Mimpikan Bung Karno



Jangan perlecehkan anak-anak muda!

Atau dalam makna kata lain, jangan memperbodohkan mereka.

Memang pengalaman mereka hanya setinggi bukit. Tetapi apa rasanya kalau minda mereka dibodoh-bodohkan oleh kita yang mendabik dada sebab kita sudah dituakan dengan rasa hebat!

Anak muda yang kita tolol-tololkan hari ini, mana tahu suatu hari nanti Allah mengangkat darjat mereka menjadi seseorang!

Kalau kita sudah berjaya dibodohkan dan menjadikan kebodohan itu sebagai anutan, jangan pula kita mahu meneruskan usaha untuk membodohkan orang lain.

Beri peluang kepada anak-anak muda untuk menyatakan pendirian. Bukan memberi peluang sebesar-besarnya kepada mereka untuk terkinja-kinja di konsert atau di pusat hiburan.

Saya mendengar dengan rasa berbaur. Tidak malukah orang yang menulis teks dan membacakan isi khutbah yang sedemikian?

Anak muda yang memenuhi festival hiburan dianggap sebagai belia patriotik dan mereka yang berprinsip disebut sebagai petualang. Come on, man! Soooooooooooo shame! Mucho stupido!

Siang ini saya mahu mimpikan Bung Karno Almarhum.

“Berikan saya sepuluh pemuda...” ayat itu! Ayat itu kembali bernyanyi di telinga.

Anak-anak muda ini persis spring, makin ditekan, makin kuat lantunannya...

Thursday, May 16, 2013

Cinta Itu...Cikgu!



Sejujurnya memang saya lupa.

Saya bercinta selepas mengahwininya secara paksa.

Dia bukan pilihan saya. Langsung tidak terlintas di minda. Saya tidak berminat. Memandang sebelah mata pun tidak.

Tetapi takdir Allah siapalah tahu. Buruk bagi kita tetapi baik bagi-Nya.

Saya terpaksa memilihnya disebabkan desakan keadaan. Meskipun sudah masuk dua puluh tiga tahun, sesekali saya masih tidak percaya.

Ya, masih ada sedikit terkilan sebab saya hanya manusia biasa. Banyak kemahiran saya hilang ketika bersamanya. Saya sudah tidak lancar berbahasa Inggeris seperti sebelumnya. Daya kreatif sedikit terbantut. Minda terbeban dengan hal-hal yang cerewet dan kadang-kadang tidak praktikal.

Namun, duduk diam merenungnya, saya kena bersyukur kerana memilih dia. Dengannya, saya punya anak yang ramai. Anak-anak itu bertebaran di seluruh Malaysia, malahan ada yang sedang bekerja di luar negara. Anak-anak itu ada yang berkulit gelap, kuning langsat atau sawo matang. Itu kata orang. Saya buta warna sebab bagi saya warna kulit mereka adalah sama.

Dengannya juga, saya boleh membahagi waktu agar anak-anak itu diberi perhatian sama rata.

Cinta saya yang lama terpaksa saya lupakan. Tetapi cinta pertama terlalu sukar untuk dibuang begitu sahaja.

Nampaknya anak-anak saya juga tidak meminatinya persis saya. Saya tidak boleh memaksa. Paksaan boleh menyebabkan hati derita.

Meskipun dia bukan cinta sejati saya, tetapi demikianlah suratan takdir yang ditentukan Allah buat saya. Saya gembira tatkala ada anak-anak yang sudah puluhan tahun terpisah, kembali menyapa ibunya. Itulah kebahagian saya.

Sekali bersamanya, sehingga hujung nyawa saya tetap akan bersamanya.

Saban tahun, kami menyambut hari peringatan itu.

Cuma oleh sebab masih terkenang cinta pertama, kadang-kadang saya terlupa.

Mudah-mudahan apa yang saya serahkan kepadanya menjadi amalan baik yang akan membantu saya menuju syurga.

Saya akan berusaha menyintainya sehingga menjadi satu jiwa. Tatkala menyanyi lagu cinta kami saban tahun, ada rasa yang meremangkan bulu roma, air mata seakan mahu menitis. Keazaman tiba-tiba muncul.

Selamat Hari Guru buat guru-guru saya. Tadika Banggol Belimbing, SK Banggol Belimbing, Methodist Girls School, Clifford School, Universiti Malaya, Institut Bahasa, Universiti Utara Malaysia...di situ saya mengenal para pendidik yang berdedikasi, mengajar saya tulis baca, berhujah mencanai minda.

Untuk guru pertama saya, mak yang hebat, dan guru kedua saya yakni almarhum ayah; terima kasih saya ucapkan. Mak mengajar saya banyak perkara yang tidak tertulis dalam buku sehingga saya merangkul bergulung-gulung ijazah dalam universiti kehidupan.

Ramai yang telah menjadi guru saya. 

Pengalaman adalah sekolah hidup.

Terima kasih cikgu!

Dua puluh tiga tahun, saya masih bertahan dalam pelukannya. Jika umur saya masih panjang, lagi dua belas tahun kami akan berjodoh.

Meskipun selepas saya meninggalkannya, saya tetap akan disapa dengan panggilan keramat itu... “cikgu”!

Wednesday, May 15, 2013

Kita Suburi Ladang Ibadah!



“Kalau kita meninggalkan anak isteri kita di padang tandus, apa doa kita? Kita pasti mendoakan agar anak isteri kita dicukupkan makanan, mohon sihat sejahtera dan dilindungi daripada bahaya...” sebut ustazah.

“Tetapi apa yang didoakan oleh Nabi Ibrahim tatkala meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di tengah gurun yang tandus itu? Nabi Allah Ibrahim berdoa dengan doa yang sangat masyhur yakni, Ya Allah, Kau jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan keturunanku juga keturunan yang mendirikan solat...”

Demikianlah, apabila Nabi Ibrahim meletakkan kepentingan solat dalam semua urusannya, hatta ketika mendoakan isteri dan anak yang ditinggalkan itu.

Satu perkara yang dari muda sampai tua kita tidak henti-henti belajar ialah solat.

Dulu-dulu, kuat betul bisikan syaitan. Solat bukan sahaja dilewat-lewatkan, bahkan kadang-kadang ditinggalkan terus. Alasan? Letih, kerja banyak, malas, rancangan TV, asyik membeli-belah, tak sempat!

Sebenarnya, kesimpulan daripada semua alasan itu ialah LALAI!

Waktu kecil, bukan main rajin solat. Masuk usia remaja, sudah mula bermalas-malasan. Kadang-kadang ayah tegur melalui penasihatnya iaitu mak. Adik-adik lelaki lagi teruk. Bukan setakat curi-curi makan waktu bulan puasa, solat pun mereka main curi-curi juga.

Nasib baik Allah masih sayang. Sempat untuk kita berpatah balik, melakukan semakan ibadah dan bertaubat. Nasib baik juga Allah tidak ambil nyawa kita. Bayangkan siksanya hati mak dan ayah disebabkan perangai kita yang malas solat.

Salah mak dengan ayahkah? Mereka sudah cukup memberi tunjuk ajar. Ayah yang garang dan mak yang bertimbang rasa, satu kombinasi pendidikan yang hebat. Mereka ajar mengaji, mengenal al-Quran, ajar solat, ajar buat baik.

Yang salahnya kita. Kita yang telah diajar di sekolah dan rumah tetapi masih lagi patuh kepada arahan syaitan. Tenggelam kita sekejap dalam keseronokan sahabat baik kita si syaitan dan kumpulannya.

Solat itu wajib. Ertinya, kalau kita sakit sekali pun, wajib solat. Sudah menutup aurat dengan sempurna, solatlah walaupun tanpa pakaian “rasmi” muslimah Malaysia dan Nusantara yakni telekung berwarna putih. Jangan beri alasan tidak solat sebab tiada pakaian “rasmi” itu yang seakan “mesti” dipakai muslimah Nusantara. Di negara Arab, benua China dan Eropah, muslimah solat dengan pakaian yang dipakai mereka asalkan memenuhi syarat. Solatlah di mana-mana jika tidak menemui surau atau masjid asalkan tempatnya bersih.

Membudayakan solat di Malaysia? Dengan izin-Nya, pasti akan terjadi. Jangan memandang jengkel jika ada anak-anak muda yang berpakaian jeans koyak atau tidak bertudung, masuk ke masjid untuk bersolat. Jika kita melihat dengan jelingan, mereka akan semakin jauh daripada agama. Barangkali dengan penerimaan kita, hati mereka menjadi lunak terhadap agama. Hidayah Allah tidak mengenal siapa. Semalam mereka bobrok, esok barangkali mereka berubah mulia.

Ingat selalu (kepada diri sendiri juga) bahawa Allah tidak melihat di mana permulaan kita tetapi Dia melihat di mana pengakhiran kita.

Semoga akhir usia kita berada dalam pelukan kasih sayang Allah. Apa yang telah berlalu, biarkan berlalu. Kita isi masa yang masih ada dengan mendekati-Nya. Yang berlalu itu bukan setakat pengalaman, bahkan menjadi pengajaran. Apabila kita mengorak langkah berusaha menjadi baik, akan ada yang mengorek-ngorek kekhilafan kita pada masa lalu. Tidak mengapa. Orang yang mahu berubah baik, memang begitulah ujiannya.

Sekali berbuat silap akan menenggelamkan sepuluh kali berbuat baik. Itu hal biasa. Ayuh, mari kita tebas dosa-dosa silam. Kita suburi ladang hidup dengan amalan-amalan baik.

Bersolatlah sebelum sampai masanya kita terbaring kaku di hadapan sekumpulan orang yang menyolati kita!

Tuesday, May 14, 2013

GEMA SUARA BAHASA DAN SASTERAKU

GEMA SUARA BAHASA DAN SASTERAKU
Ratna Laila binti Shahidin

Bahasa dan sasteraku
janganlah akhirnya ditidurkan di bantal arkib
atau nantinya menjadi melukut di pinggir pinggan
ada atau tiada, tidak melakar makna
kerana bangsa dikenal rupa
dengan manis bahasa dan anggun sasteranya

Tiada salah mengundang tetamu
menjenguk sekadar di jendela dan pintu
atau bersila ampuh di tikar terhampar
cuma janganlah akhirnya
bahasa dan sastera mereka dijunjung
diarak dan dimasyhur dengan semarak obor
sedangkan lilin bahasa dan sasteraku
kian malap di sudut kamar
menunggu semilir angin menerjah di celahan dinding
memadamkan nyala api
memadamkan nyala api

Jangan menangis bahasa dan sasteraku
kerana selagi matahari dan bulan
masih bergantungan di dada langit
cahaya yang meluru turun melalui pelangi
akan terus menegap kuat
pena-pena yang menari
mencoretkan getar rasa
dan derap langkah para pejuangnya

Ayuh, bangun bahasa dan sasteraku!
Laungkan gema membelah gema
kerana kehidupan bukan sekadar melankolia...

(Puisi terkini Ibu dalam antologi Gema Membelah Gema sempena Hari Puisi Nasional 2013)

Monday, May 13, 2013

Semua Milik Dia



Jam sepuluh lima minit pagi. Ada panggilan di skrin telefon.

“Puan apa khabar? Saya ni, Rabiatul. Kami baru selesai, baru keluar dari dewan. Puan, terima kasih banyak-banyak. Semua yang puan ajar, keluar dalam soalan. Kami terfikir, memang puan ke yang buat soalan? Semalam kami memang stres sangat tetapi hari ini semua orang keluar dari dewan dengan senyuman...”

Alhamdulillah. Bukan kepada saya yang kecil ini diucapkan terima kasih. Semuanya didatangkan daripada-Nya. Bukan saya yang buat soalan, barangkali kebetulan dan Allah telah membantu mereka.

Sebenarnya sama ada ketika saya masih mengajar di sekolah, di kolej atau di mana-mana, memang kegemaran saya ialah membuat soalan ramalan. Saya akan membuat latih tubi sehingga pelajar faham. Malahan soalan dengan isu sama, saya pusing-pusingkan sedikit seolah-olah berbentuk lain.

Kalau pelajar yang jenis teliti, mereka akan dapat mengesan hal tersebut. Cuma untuk kumpulan ini, saya tidak sempat melakukannya, saya tinggalkan mereka dengan soalan-soalan ramalan itu. Bergantung kepada diri mereka sendiri untuk membincangkannya. Mujur mereka mampu melakukannya!

Rindunya saya kepada pelajar-pelajar saya itu. Kumpulan yang matang dan sangat bagus!

Sunday, May 12, 2013

Cukuplah Allah Bagiku!



Yus menelefon malam itu, waktu saya sedang menghabiskan bacaan artikel dalam majalah Solusi sambil menanti Isyak.

Esok akan mula peperiksaan, katanya.

Paper ibu Selasa!”

Cepatnya masa berlalu. Mac tujuh saya meninggalkan mereka untuk masuk wad dan menjalani pembedahan untuk yang kesekian kalinya. Mei tiga belas mereka menduduki peperiksaan.

Seperti yang biasa saya lakukan untuk anak-anak kandung saya, bahkan untuk “anak-anak” yang bertaburan di serata tanah air; saya akan melakukannya juga untuk “anak-anak” saya itu. Tidak kira mereka Melayu, Cina atau India, mereka adalah pelajar saya! Dengan doa semoga Allah memudahkan mereka memahami kehendak soalan, melancarkan idea untuk menjawab dan diberikan kesihatan yang baik.

Saya berteleku di sejadah malam itu, lebih lama daripada selalu.

Tuhan sahaja yang tahu betapa kepinginnya saya untuk kembali bekerja. Menunggu panggilan dari hospital sangat meresahkan. Sekarang sudah masuk bulan Rejab. Kemudian Syaaban dan Ramadan. Saya mahu cuba berpuasa. Ubat yang dibekalkan seperti api yang memanaskan badan. Mulut pecah-pecah. Tetapi untuk menunggu semuanya OK, lebih baik saya membuat cubaan dahulu. Saya yakin Allah akan memelihara saya sesuai dengan upaya yang saya ada.

“Puan kena banyak melatih tangan kanan. Kalau tidak, takut jem terus!” doktor memberitahu saya begitu.

Memang saya melatihnya pun. Sesekali saya memandu. Tetapi waktu menghulur tangan untuk melekapkan kad Touch n Go, saya kesakitan. Sakit yang amat sangat seperti bahu mahu tercabut! Menahan air mata, saya tidak berhenti di tepi jalan. Sudah banyak perkara sukar yang telah saya tempuh dalam tempoh empat puluh delapan ini. Saya tidak akan berhenti berjuang hanya untuk melayan kesakitan-kesakitan seperti itu.

Sudah tentu saya tidak akan mengalah. Di rumah, saya memberus bilik air dengan tangan kiri. Aduh, letih memberus, masih begitu-begitu juga. Jadinya, kalau hari itu saya memberus bilik air, saya tidak akan melakukan kerja lain, apalagi memandu.

“Kalau sakit, berhenti. Itu maknanya sudah melebihi keupayaan...” pesan doktor.

Saya mahu menjadi teladan kepada anak-anak. Jangan mengalah dengan kesukaran. Jika waktu kecil, kita tidak pernah berputus asa untuk bangun selepas jatuh, atau ketika mula belajar membutangkan baju; begitulah dengan kehidupan kita.

Saya yakin Allah akan menyihatkan saya semula. Anak-anak memerlukan saya. Begitu juga dengan mak dan keluarga saya, pelajar-pelajar, institusi tempat saya bekerja dan agama saya.

Saya masih mahu menjadikan perjalanan ke hospital sebagai satu pengembaraan yang menggembirakan.

Sewaktu mengisar buah untuk dibuat jus, yakni makanan ruji saya, saya memerhati dengan takjub. Jika Allah mahu “melumatkan” kita seperti buah-buahan itu, Dia Maha Berkuasa untuk melakukannya.

Melihatkan itu saya kengerian. Amalan yang sangat sedikit dan cacat, akhlak yang tidak manis, dosa yang begitu membukit; apakah semuanya bakal “melumatkan” saya di akhirat kelak?

Mudah-mudahan tidak!

Maka berdoalah selalu agar Allah mendatangkan orang yang soleh dan solehah untuk mendampingi kita, juga anak-anak dan keluarga kita.

Kita akan selalu diingatkan tentang syurga dan neraka Allah!

Saturday, May 11, 2013

I'm Crying...Atira Laila, TQ!

Birthday Wishes And Mother's Love


Special Days


So . . . here comes my birthday again . . . I'm 21 this year, and only 6 days late from the General Election 13 . Like always , mom would be the first to feel excited about buying cakes and balloons for the special day . Daddy would sometimes mistaken the actual date of my birthday , so does mom's & other person's birthdays . He's 60 , it's surprising enough if he could remember one's name correctly .


During the entire night of May 10th , after replying friends' and family's wishes on Facebook , I started to day-dream once in a while , and thinking how the hell I didn't realized I'm a grown-up already , I'm an adult teenager! Well , not so 'adult'.


My birthday usually close to Mothers' Day event , and when I was a child , my family used to celebrate both occasions on the same day but of course , with different cakes . I got my own cake with cartoons on it .


When I grew up to be a young teenager , I was still getting gifts and cakes from mom although in that phase I was quite rebellious . Actually until now, I always got into a fight with mom . It ain't no lie I'm a little stubborn , and sometimes I thought mom's opinion is wrong , she never understands my words or my needs . I put all the blames on her .


However , after the fight and the sulking part , my anger would turned into tears . And I would simply fell asleep . Then I would began to memorize my bad behaviors and how stupid I was , not able to think straight and control my emotions . How comes mom never understands my words and my needs when she's the one who always listened to me when I was a baby , the one who didn't manage to take care of herself while busy taking care of me , the one I search the entire house if I need something , the one who would be the first to know if I got As in my exam ; sharing happiness , the only one I turned to when I'm sad or in troubles ?


I still remember my childhood and the past few years' memories clearly . I remember how mom divided her times between her career and children . She always be there for both of us ; me and my sister .


Whenever each of us fell sick at school , she would left her workplace just like that just to make sure we're fine . She spent times to send and pick us up from school , no matter how busy she was . She reads us stories and fairy tales every night before bedtimes and sometimes I would took her place ; telling weird stories I made up . She stayed up all night , accompanying me or my sister finishing our homeworks . Sometimes she would prepared lunch box for me ( and even for my classmates ) when I told her I have extra classes for the big exams . When she had to leave us for a few days , she would put boxes of foods she cooked into the refrigerator so that we won't be starving waiting for her to come home .

As I grew up and make friends , I realized how lucky I am . Although my childhood is a little bit different from other kids ; mom makes it special to me . Other kids at my age typically grew up to be someone who thinks friends are better than family . And I'm not that kind of person .


I stand up nowadays as a young lady who represent a part of my mom , each day I become more like her and I couldn't be prouder . No one could ever imagine how hard I struggle to live without a father's love before Daddy came to my life , but I always forgot , I already had a dad which is actually my mom , who's way more intelligent than most dads . She's strong and a fighter , that is what I'm going to be .


My birthday is not all about me , it's 99% about you , mom . Sometimes you're a magician and most of the times you're a superwoman aka supermom . Thank you for giving birth to me , taking care of me , and all the things you have done for me andddd happy birthday to me ~ !

Posted by Ichigo Layla at 1:06 PM

NOTA: TERIMA KASIH KAKAK ATIKA LAILA YANG MEMBERIKAN "AWARD" (IBU SUDAH GANTUNGKAN DI DINDING) & ADIK ATIRA LAILA ATAS CATATAN INI DI BLOG BELIAU.

Friday, May 10, 2013

Feliz cumpleaños la niña...



Selamat Ulang Tahun Ke-21 (Atira Laila)

Engkau sebenarnya telah didewasakan
oleh ribut dan gelombang
dari pusaran yang tidak kelihatan

Sejak diam di kantung
kau telah mengenal
gigih dan maknanya
sedih dan tafsirnya
hari ini tibalah kau ke lantai dua puluh satu
palingkan wajahmu daripada kabut
yang pernah menghilangkan senyum
di bibir kita

Anak
selamatlah kau menuju dewasa!

Ibu Bunga Matahari @ Ratna Laila Shahidin
Mei Sebelas 2013

Wednesday, May 8, 2013

Say NO To Racism!



Salam buat anak-anak yang sangat ibu kasihi. Ibu tidak tahu entah bila waktunya Dia akan memanggil ibu pulang ke negeri abadi. Makanya, sebelum ibu pergi menemui-Nya, ibu ingin menitipkan pesanan buat kalian.

Ada sesuatu yang sangat mengganggu nyali ibu saat ini. Ada pihak yang sedang memainkan lagu rasis supaya kalian turut terseret membenci bangsa yang lain. Fahaman rasis seperti itu barangkali sesuai pada zaman ayah dan emak ibu atau zaman muda ibu, tetapi tidak sesuai lagi untuk zaman kalian. Zaman dengan ribuan prejudis sudah lama berlalu.

Anak-anakku, kita tidak boleh memilih mahu menjadi bangsa apa. Tuhan telah menentukan bangsa kita. Kalaulah ibu boleh memilih, pasti sahaja ibu memilih bangsa yang ibu kagumi. Tetapi ibu tidak boleh!

Oleh yang demikian, janganlah kalian merasakan bangsa kita ini terlalu hebat sehingga memandang jelek akan bangsa-bangsa yang lain. Mereka juga seperti kita, semuanya telah ditakdirkan!

Ibu sangat kecewa jika ada dalam kalangan kita yang begitu angkuh menyebut, “jika tidak setuju, berambus dari tanah ini sebab tanah ini kami yang punya!”

Nak, tanah ini bukan kita yang punya. Segala isi langit dan bumi bukan milik kita. Kita hanya menumpang di sini buat sementara. Sampai waktunya, kita akan dijemput pergi meninggalkan segala apa yang sangat kita angkuhkan itu.

Agama kita mengajar kita untuk menghormati dan menyantuni bangsa yang lain. Percayalah, jika kita memberikan contoh yang baik sebagaimana Muhammad SAW menyantuni golongan yang tidak bersetuju dengannya, akhirnya mereka akan kembali menghormati kita.

Janganlah kita merungut-rungut, mengapa mereka itu selalu mendapat tempat pertama dalam semua bidang sedangkan kita tertinggal jauh di belakang. Belajarlah mengintrospeksi diri. Jangan hanya tahu menuding jari kepada orang lain. Ibu pernah bertanya mengapa kelas-kelas yang pandai majoriti pelajarnya ialah perempuan? Semakin ramai perempuan dalam sesebuah kelas, bermakna kelas itu kelas terpandai. Perempuan juga mendominasi kampus-kampus universiti. Mengapa begitu? Ibu berpendapat sebabnya ialah manusia apabila berasa dia ditekan dan kurang selamat, dia akan bangkit perlahan-lahan.

Semua bangsa mempunyai ahli yang jahat dan baik. Semua bangsa punya orang yang mulia dan penipu. Oleh yang demikian, janganlah kalian saling memaki hamun antara satu sama lain disebabkan hasutan yang tidak putus-putus daripada pihak yang berkepentingan. Memang, adakalanya kita berasa sangat marah apabila ditipu oleh bangsa yang lain, tetapi jangan lupa kita juga pernah dikhianati oleh bangsa kita sendiri.

Benar anak-anakku, ini tanah yang kita warisi dari nenek moyang. Sebagaimana kita yang sesekali bertandang ke tanah seberang untuk “merasai” jiwa leluhur kita yang berasal dari sana; demikianlah juga mereka. Ini tanah air kita bersama. Mereka tidak akan mengambil ketuanan kita jika kita mempamerkan sikap baik yang diajar agama. Tetapi jika kita saling bercekcokan, curiga mencurigai, membuka hati kita kepada hasutan; apa pun yang kita miliki akan mudah diambil orang, tidak kira daripada bangsa apa sekali pun.

Dengarlah kata-kataku anak, hiduplah dengan harmoni dalam makna sebenar. Bukan hanya bermuka-muka dengan slogan aneka rupa, tetapi isinya kosong. Majukan negara kita dengan pemikiran bijak.

Ingatlah nak, Islam agama perdamaian. Islam anti-rasis! Syurga itu milik hamba Allah yang beriman dan beramal soleh, bukan milik mana-mana bangsa!

Ibu mendoakan kesejahteraan negara kita yang tercinta!

Sunday, May 5, 2013

Allah, Jagalah Hati-Hati Kami!



Kami memandu dengan hati yang riang. Lebuh raya menuju utara dipenuhi kereta.

Ini kali kelima saya mengundi. Dua kali di Lembah Pantai dan tiga kali di Perak.

Anak saya yang bongsu membawa kamera DSLRnya bersama-sama. Banyak yang saya mahu dia rakam sebagai kenangan.

Dia mengiringi saya ke pusat mengundi. Saya mahu dia melihat dengan hati. Sebelum itu saya sudah berpesan, “ini kawasan pedalaman. Suasananya barangkali berbeza. Itu Saluran Satu, saluran mengundi untuk yang berusia lima puluh tahun ke atas. Saluran Dua, untuk mereka yang lebih muda”.

Saya beratur panjang dalam hangat matahari pagi di Saluran Dua. Jari telunjuk saya dicat dengan apa yang didakwa dakwat kekal. Dengan Bismillah, saya memangkah. Dakwat itu tidak kekal. Saya mencucinya dengan sabun. Hilang lesap begitu sahaja.

Kami kemudian meronda di sekitar kawasan parlimen P055, kubu kuat kepada sebuah parti politik.

Seorang penyokongnya bising-bising selepas selesai mengundi.

“Pengundi yang balik mengundi di Kampung A dan Kampung B, malahan di kampung-kampung lain, semuanya dapat wang selepas mengundi. Tapi apabila saya minta kepada ketua kampung di sini, katanya tiada peruntukan...”

“Eh, mintalah,” kata saya, mengacum. “Mana boleh begitu. Sudah ada peruntukan, ke mana pula perginya wang itu?”

Dia tidak puas hati. Rupa-rupanya memang ada peruntukan, tetapi ketua kampung kami hanya memberikan peruntukan balik mengundi kepada mereka yang rapat dengannya sahaja.

“Makyang tak mahu minta?” dia bertanya. Saya tergelak. Cepat pula saya menggeleng. Saya pulang jauh berkilometer bukan kerana wang.

Kami menunggu pengumuman. Terlalu lama dalam sejarah pilihan raya yang saya pernah hadapi, yang keluar di muka TV hanyalah keputusan di Sarawak yakni sebuah negeri yang kemudahan logistiknya ada masalah. Saya membuka internet. Cuba mencari info di maya.

Entah kenapa bekalan elektrik terputus di seluruh kawasan. Mujur ada lampu daripada telefon bimbit. Dua puluh minit kami bergelap.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Kilat dan guruh sabung menyabung. Hujannya sangat lama. Mak sudah mula mengemas, bimbang banjir. Kilatnya lain macam. Guruhnya sangat kuat. Hati saya berdetik. Petaka apakah ini?

Adik saya menelefon dari Ipoh mengkhabarkan berita gembira.

"Petugas dari SUK sudah beri makluman, Alhamdulillah!"

Tetapi hati berdetik. Pengalaman kali pertama "dikenakan" bermain di minda. Apa-apa pun boleh berlaku.

Kemudian dia menelefon lagi, "FRU sudah mengepung pejabat SUK. Wakil xxx ditolak keluar. Tiada siapa di dalam kecuali dua pihak terbabit".

Bukankah betul kata hati saya?

Jam satu pagi, barulah ada pengumuman. Sudah bertukar!

Hujan dan guruh yang menjerit-jerit itu rupa-rupanya memberi makna.

Mak yang hanya diam malam itu, pagi esoknya mula menenangkan hati kami. Mak yang tidak sekolah, orang kampung yang miskin kepingan ijazah tetapi kaya pengalaman, menyiram hati dengan kata-kata.

“Mak mentua mak dulu, sebelum ke Mekah dan meninggal di sana suami isteri, telah berpesan pada mak. Yang penting ialah kemenangan di akhirat. Kita orang kecil, bayangkan para ulama yang bersusah payah sepanjang hidup mereka; bagaimana rasa hati mereka menghadapi segala kegetiran, dizalimi dan dihina. Apa pun yang berlaku dengan izin Allah. Kita tidak tahu apa perancangan Dia. Sebulan, dua bulan, setahun, sepuluh tahun atau beratus tahun, kita tidak tahu...”

Ya, kita tidak tahu.

Pagi itu dalam cuaca yang senyap, saya berdoa. Mudah-mudahan Allah terus memakmurkan negara saya. Tiada lagi politik lucah, indeks jenayah dan rasuah menurun, tiada lagi konsert-konsert yang melalaikan, masjid dipenuhi majlis-majlis ilmu.

Mudah-mudahan ia bukan sekadar impi dan mimpi.

Satu hari nanti...

Sebab hidup kita tidak berakhir di jalan mati.

Ada jalan lain yang bersambung dengannya ke akhirat kelak.

Maka selalulah kita berdoa, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan jadikanlah keturunanku juga orang-orang yang mendirikan solat.

Solat akan menjaga hati. Hati yang baik pasti takut untuk menipu. Hati yang baik akan membenci semua kebatilan.

Rabb, Kau peliharakanlah hati-hati kami!

Saya faham akhirnya bahawa Allah mahu melindungi keselamatan nyawa dan harta benda kami, maka itulah diberikan kekalahan. Jika sebaliknya, entah apa yang akan terjadi!