Total Pageviews

Friday, April 12, 2013

KELIRU



“Di dalam perjalanan
pasti menuju persimpangan
tuntas membuat keputusan
kiri atau pun kanan”

Petikan lirik lagu “alas tu bi rabbikum” nyanyian Nordin Haji Jaafar.

Saya sangat suka mendengar lagu ini. Liriknya sangat indah dan bermakna, tentang kejadian awal manusia sehingga saat kita menempuh kehidupan yang bersimpang siur. Iramanya kontemporari, lantunan suara beliau sangat bertenaga, sesuai dengan karier baharu beliau sebagai seorang motivator.

Lirik lagu itu...

Sudah lama saya perasan bahawa saya ada masalah. Mak dan almarhum ayah, malahan adik beradik saya yang lima orang itu tiada masalah. Kenapa saya begitu?

Apabila punya anak, rupa-rupanya si bongsu yang memiliki wajah fotostat saya; turut memfotostat masalah yang sama. Mujur kakaknya tidak!

Peristiwa Satu:

“Yang ni betullah...” dia nampak penat tetapi wajahnya ada bayangan lucu. Dia duduk di sisi. Merenung wajah saya seketika dan menggeleng-geleng.

“Mujur abang teringat sesuatu...” sambungnya lagi.

Saya masih gagal meneka.

“Abang pergi cari Yang di klinik apa entah. Terjenguk sana sini mencari. Orang pula sangat ramai. Nasib baik abang teringat sesuatu...”

Hahahaha...saya sudah tahu!

Saya diturunkan di lobi sementara dia mencari parkir di kawasan parkir hospital yang sesak itu. Saya berkejar ke klinik mahu meletakkan buku kecil rawatan di kaunter. Selesai parkir dia menelefon bertanya di mana saya berada.

“Abang masuk ikut lobi. Terus. Kemudian abang ke kanan. Klinik itu sebelah kanan sebelum tangga bergerak...”

Kanan!

Sebelah kanan kalau tidak silap saya ialah Klinik Ortopedik.

Klinik Surgeri di sebelah kiri.

Nasib baik dia arif kelemahan isterinya.

Saya memang ada sedikit masalah membezakan warna hijau dan biru, malahan ada sindrom “direction blind” juga.

Peristiwa Dua:

“Ibu cakaplah betul-betul. Nak masuk mana ni?”

“Kiri”

“Kiri mana ada jalan, bu!”

Huh! Sekali lagi saya silap. Maka saya menggunakan tangan untuk menunjuk arah. Sudah macam polis trafik jadinya.

Peristiwa Tiga:

“Kak, masuk simpang mana ni?”

“Kak, kanan sebelah sini. Bukan arah situ!”

Wan dan Yan akhirnya faham bahawa kakak setugas mereka ini bermasalah.

Itu sebabnya saya gagal waktu pertama kali mengambil lesen kereta di Petaling Jaya tahun 1992 dahulu.

Puteri bongsu saya ada alternatif lain. Sejak kecil dia menggunakan tahi lalat di tangannya sebagai penunjuk arah. Dia juga memakai cincin di salah satu tangan supaya dia tahu dengan mudah bahawa arah kiri ialah ikut tangan yang ada cincin.

Begitulah. Apabila Allah memberikan kelebihan, maka Dia mengimbanginya dengan kekurangan.

Dalam hidup, kadang-kadang kita rabun arah juga. Bolehkah kita berpatah balik?

Asalkan ada kemahuan, Allah pasti menunjukkan jalan. Kanan atau kiri, demikianlah apa yang selalu berlaku dalam kehidupan.

Jika sudah silap, carilah arah yang betul. Tidak kira menggunakan alternatif apa pun, asalkan arah yang kita pilih itu menuju redho Allah.

No comments: