Total Pageviews

Tuesday, April 30, 2013

Cerpen Hingyaku



HINGYAKU.

RATNA LAILA BINTI SHAHIDIN


Dia jiranku yang tinggalnya hanya di sebelah rumah. Rumahnya di sebelah kiri rumahku. Masuk bulan kelima aku menjadi warga kampung yang paginya dingin berselimut kabus tebal, putih seakan gula-gula kapas. Masuk bulan kelima jugalah, aku berjiran dengan sebuah keluarga misteri, termasuk dia.

Melihat wajahnya yang selalu muram itu, aku tidak pasti dia tahu atau tidak menggerakkan kedua-dua bibir dan otot pipinya untuk ketawa. Persoalannya, pernahkah dia ketawa sepanjang hidupnya?

Jiranku itu perempuan. Aku juga tidak tahu dia masih perawan atau sudah bergelar balu. “Kau mahu tahu, kenapa Bi? Berkenan? Uh...baik jangan!” usik Mio, teruna tua dari serambi Asia Tenggara juga.

Usianya juga aku tidak tahu. Barangkali aku jiran yang sangat tidak baik. Aku hanya tahu mengintai jiranku itu dari celahan jendela. Mengintai wajah muramnya sepanjang pagi, tengah hari, petang dan malam.

“Hidupnya rancu!” begitu jiranku yang di sebelah kanan memberitahu.

Jika hidup tidak dipenuhi kerancuan, sudah pasti dia tidak muram begitu. Aku kasihan melihat dia. Tinggal bersama beberapa ahli keluarga dalam sebuah rumah agam. Rumah yang sekali ganda besarnya daripada rumah yang aku huni. Tetapi dia kelihatan tidak dipedulikan. Pakaiannya seperti sudah begitu lusuh, sama lusuh dengan pakaian pengemis di pasar harian yang disebabkan faktor jaraknya, hanya mampu kujejak sebulan sekali itu.

Tubuhnya kurus. Melengkung sedikit ketika berjalan. Disamakan dengan pohon pinang yang banyak tumbuh di belakang rumah emakku di Kampong Bor, Semenanjung Malaysia, dia sekurus itulah. Jika batang pinang itu tinggi melidi, memanglah tidak boleh tegak terpacak. Mana mampu urat-urat di dalam batang pinang itu menampung batangnya yang tinggi melidi.

Kata orang, dia buta huruf. Hanya dia seorang sahaja penghuni rumah agam itu yang tidak tahu membaca dan menulis. Dia tidak berkerudung, walaupun kudengar-dengar juga, dia muslim satu-satunya dalam keluarga misteri itu. Rambutnya ikal mayang, terletak cantik sehingga ke tengah belakang. Meskipun bersalut pakaian buruk dan berwajah muram, dia sebenarnya tergolong perempuan yang cantik.

“Kelihatannya kau bukan hanya mahu kenal, tapi lebih daripada itu ya, Bi? Sudahlah. Perempuan itu jangan-jangan tunangan orang. Atau bini orang. Sakit kau nanti, Bi...” Mio, si teruna tua yang hidungnya mancung dan berkulit manggis itu tidak habis-habis dengan amaran.

Semalam ketika berselisih di tepi rumah, hati terpancung jua. Ada bekas luka di dahi perempuan itu. Ada juga darah kering yang menempel di kulitnya yang pucat.

Aku memberanikan diri, bertanya. Kataku, “kenapa dengan dahimu, adik?” Sebenarnya aku tidak tahu dia itu berpangkat adik atau kakak. Bukankah telah kusebutkan bahawa aku tidak tahu berapa usianya? Aku juga tidak tahu namanya. Makanya, kupanggil dia “adik”.

Dia memandangku tegun. Wajahnya kosong. Pandangan matanya juga kosong.

“Dahimu kenapa, dik?” ulangku mengubah sedikit susun ayat.

“Jatuh. Aku jatuh,” katanya. Itulah pertama kali aku mendengar suaranya. Setelah mahu masuk bulan kelima, itulah kali pertama. Halus dan lunak tetapi sangat perlahan. Aku tidak percaya sebab mataku menangkap penipuan di renung matanya. Kemudian mataku menjalar ke tangannya yang terbuka. Ada kesan lebam-lebam juga. Ada parut lama.

Aku tidak sempat bertanya lebih lanjut. Ada dehem kuat dari dalam rumah agam dan perempuan itu lekas beredar. Dia berjalan laju, kemudian separuh berlari dan kelihatan takut-takut.

Penghuni di rumah agam itu jarang bergaul dengan penduduk kampung. Jarang juga hadir jika ada keramaian. Jika datang pun, sekejap sahaja sudah angkat punggung. Barangkali mereka takut dengan resam masyarakat kampung yang suka bertanya.

Suatu hari aku terkejut. Dia datang ke sisi rumah, seakan tahu bahawa pada setiap petang, apabila matahari sudah turun sedikit ke barat, aku akan ada di situ mencabut anak-anak rumput yang mencuri keluar dari tanah.

“Aku tidak jatuh. Aku dipukul,” ujarnya. Nadanya monoton. Tiada turun naik. Aku mendongak. Dia sedang berdiri di hadapanku seperti tugu.

“Siapa yang pukul?”

Matanya melingas. Rambut yang berjuntaian sedikit di dahinya yang telanjang, terbuai-buai. Musim angin sekarang. Walaupun cuaca panas, angin tetap menyerbu datang.

“Bapamu? Ibu? Abang? Siapa?”

Aku jadi tidak sabar.

“Semua. Saudara-saudaraku, pak cik-pakcikku. Semua sekali!”

Huh, semua sekali? Tidak siumankah semua orang yang disebut-sebut itu? Apakah pekerjaan mereka setiap hari hanya pukul-memukul sahaja?

Atau barangkali dia yang kurang siuman?

“Apa yang kau telah buat sampai semua orang tega memukulmu?” tanyaku lagi. Aku pelik sekali. Dia hanya perempuan bertubuh kurus seperti batang pinang, buta huruf pula.

“Rumah dan tanah ini aku punya!” katanya dan cepat-cepat berpergian. Aku makin diamuk keliru. Jika rumah dan tanah itu kepunyaannya, mengapa dia mesti dipukul?

Jika benar dakwaannya, sedang berlaku penderaan hebat di kampung itu. Dengan sedikit rasa kepedulian, aku menemui ketua kampung. Aku ceritakan hal yang terjadi terhadap jiranku itu.

“Saya tiada maklumat lanjut. Hanya itu yang saya tahu”. Dahi sang ketua yang sudah berumur itu berkerut-kerut semacam sangat prihatin. Dan dia berjanji akan melakukan siasatan.

“Saya akan panggil mesyuarat. Mungkin ada seseorang yang tahu,” itu janji sang ketua. Tetapi sudah lebih seminggu tiada apa-apa yang berlaku. Kemudian menjadi sebulan, melarat pula ke setahun. Jika ditanya, jawapannya masih dalam ayat yang sama, “tindakan akan diambil” atau “siasatan masih berjalan”.

Aku sudah bosan. Perempuan yang semacam batang pokok pinang itu semakin melengkung jalannya. Semalam aku dapati langkahnya pincang. Kutanya dia, dia diam sonder jawab dan berlalu. Tetapi hujung matanya ada air yang meluru jatuh. Mulanya setitik, kemudian menjadi seperti air paip. Simpatiku melimpah persis sungai yang menampung lebihan air musim hujan. Kasihan dia.

Orang-orang kampung, malahan jiran yang rumahnya di kanan rumahku langsung tidak peduli. “Ah, jangan jaga tepi kain orang. Dia kena pukul atau tidak, tiada kena mengena dengan kita. Dia dipukul di rumahnya. Itu pun jika benar dia dipukul. Dan yang memukul itu keluarganya juga. Jika mahu benjol dahi kau, kau pergilah tanya!” kata mereka mengejek.

“Lalu, mahu dibiarkan saja?” tanyaku, kesalku menjerit masuk jauh-jauh ke dasar nyali.

Seperti tidak percaya. Ini kampung atau kota raya di Amerika? Enam tahun di Amerika, aku memang tidak pernah mengenal nama jiranku di apartmen sebelah. Aku di kotakku dan mereka di kotak mereka. Tapi ini kampung! Bukankah tradisi membulat muafakat itu asasnya di kampung?

“Kataku, usah campur. Untung apa yang kau dapat jika kau ikut campur hal rumah tangga orang? Tapi kalau berani juga, kami mahu lihat setakat mana kau boleh membantu!”

Kata-kata mereka menyiat jantung hati. Aku seorang pengkaji tumbuhan herba. Aku rela keracunan dalam usahaku mencari manfaat herba.

Sebagai lelaki, aku tercabar!

Aku tidak lagi mengintai-intai melalui celahan jendela. Siang, jika aku ada di rumah, kubukakan daun jendela luas-luas. Aku rajin berlegar-legar di tepi rumah. Aku melebarkan cuping. Aku ingin melakukan sesuatu untuk perempuan sekurus batang pinang itu.

Jika ketua kampung masih asyik menjalankan siasatan yang tiada kesudahan, atau jika jiran di kanan rumahku enggan peduli, aku mahu bertindak sendiri. Lalu suatu pagi pada musim hujan dan angin saling bergantian, aku memberanikan diri menjadi tamu di rumah agam.

Ada empat muka yang sedang mengadapku seorang. Daripada raut wajah, tiada yang dapat meneka bahawa mereka itu kaki pukul memukul.

Aku mengintai-intai. Perempuan sekurus batang pinang itu tidak kelihatan. Suaranya juga tidak kedengaran.

“Aku cuma mahu bertanya,” kataku sedikit lembut.

“Tentang penghuni rumah ini?” tanya seorang lelaki bertubuh segak, macam sudah tahu tujuanku. Lengannya saja sekali hentak, boleh menyebabkan aku koma seminggu. Tapi wajahnya lembut bersahaja. Kontras sekali dengan ruas tubuh miliknya.

“Ya. Aku melihat ada darah di dahinya tempoh hari. Parut-parut luka juga. Dia juga semacam dalam kesakitan. Kalau boleh aku tahu...”

“Dia sakit dan kami menjaganya!” Lelaki yang lain pula memintas. Lelaki yang ini bertubuh kecil tetapi bersuara tegas.

“Kenapa tidak dibawa dia ke hospital di kota. Barangkali di sana lebih baik. Kalau kalian benarkan, aku sudi membawanya,” pintaku dengan doa agar segeralah pertemuan yang canggung itu berakhir. Letih rasanya perlu menjaga bicara dengan begitu berkabilan.

“Kami akan bawa sendiri. Terima kasih,” kata seorang lelaki tua, barangkali pak ciknya. Yang seorang lagi perempuan separuh baya, bertubuh gempal, hanya tersenyum-senyum sinis . Sejak datang, aku memang kurang selesa dengan pandangan mata perempuan gempal itu. Ditenungnya aku atas bawah seperti mesin pengimbas polis.

Aku tidak berani bertanya mengenai siapa pemilik sebenar tanah dan rumah yang mereka diami. Jika aku bertanya, mereka pasti tahu si perempuan itu telah mengadu.

Pertemuan yang sebentar itu berakhir. Dia sakit, dakwa mereka. Memanglah kelihatannya dia sakit. Tetapi orang-orang yang kutemui itu tidak menyebut penyakit apa.

Apa yang aku bimbangkan akhirnya terjadi.

“Itu sebabnya aku kata jangan kau memandai-mandai, Taubi!” jerkah ketua kampung yang jalannya pengkor sebelah itu. Otot buku lalinya seakan tertonjol keluar tatkala dia berjalan hilir mudik di hadapan mukaku. Dia menjegilkan biji mata menentang kedegilanku. Aku hanya membatu. Rasa bersalah menjalar ke segenap urat nadi, menyusup masuk terus ke hati.

“Aku sudah bosan dengan jawapan bapak. Asyik-asyik dalam siasatan. Asyik-asyik jawapan yang sama tapi tindakannya nihil”. Aku mempertahankan diri meskipun aku tahu, sikap defensif seperti itu tidak bermakna apa-apa.

“Aku tidak mahu terburu-buru. Nanti makin parah perempuan itu menerima bahana!” jerkahnya untuk kali yang kedua. Misai tebal dengan beberapa urat uban itu bergerak-gerak. Hatiku memberontak. Sudah lebih setahun kuadukan hal perempuan malang itu, tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Mengapa aku yang dipersalahkan secara total? Aku pulang dengan hati bengkak.

Duduk menghadap cermin kaca jendela yang terkatup, tempias hujan yang menerpa ke cermin kelihatan seperti ribuan kepala berudu yang berebut-rebut meluru ke bawah, kemudian menyerong ke arah belakang selaras dengan kederasan angin yang bertiup. Dalam kabur itu, aku melihat ke arah rumah agam. Semuanya tertutup. Sejak semalam lagi, sebaik sahaja aku melangkah anak tangga terakhir, pintu dan tingkap ditutup rapat.

Aku mendengar tangis melolong selepas itu. Kemudian senyap. Senyapnya membawa hingga ke pagi. Tengah hari. Petang. Dan kerana senyap itulah yang membawa aku ke rumah ketua kampung pada malamnya. Aku boleh sahaja menghubungi pihak berkuasa di pekan dengan bermotosikal sejauh lebih setengah hari perjalanan, atau sehari perjalanan jika musim hujan, tetapi sudah menjadi adat dan adab di kampung yang jauh tersorok di pedalaman itu; segala tindakan mesti sentiasa berada dalam pengetahuan sang ketua. Aduan dibuat tetapi hanya sang ketua yang boleh bertindak. Kuasa monopoli. Apatah lagi, aku bukan penduduk asal di situ.

“Kita pergi menjenguk, mahu?” ajakku. Sekali lagi ketua kampung menjegilkan biji mata. Dia memang sangat marah. Sudahlah orang asing, masih suka menjaga tepi kain orang keliling!

“Tidak payah menyibuk lagi. Barangkali mereka sudah pindah. Itulah akibatnya kalau tidak sabar-sabar. Lain kali dengar cakap aku sebab aku ketua!” jerkahnya kuat demi mengingatkan aku bahawa aku perlu akur kepada peraturan kampung.

Aku diam sahaja, tiada guna bercekcok dengan orang tua yang panas baran itu. Nanti boleh tuli telingaku menerima jerkahan yang bertalu-talu. Lagi pun dia sudah memberi amaran, aku hanya insan di pinggiran, bukan warga asli perkampungan itu!

Hatiku, sejujurnya, tidak enak. Mungkin perempuan sekurus batang pinang sudah lembik ditibai lengan beruas yang tegap itu. Atau sedang terbaring lesu akibat diterajang dari satu kaki ke satu kaki yang lain seperti bola. Aku membayangkan wajahnya yang sudah tiada berair mata, tetapi dipenuhi dengan bengkak dan lebam di mana-mana. Kakinya, tangan, perut, dada...aduh!

Ada benarnya jika bapak ketua kampung menjadi sangat marah. Memandai-mandai aku menemui warga rumah agam itu, dan entah apa yang sedang berlaku kepada perempuan kurus sekeping. Barangkali ketua kampung sedang mengatur gerak perlahan, memasang perangkap yang tidak mungkin mampu dielak. Sepatutnya aku belajar bersabar, biar pun akan memakan masa setahun dua tahun!

Hatiku susah, fikiranku berat seperti sedang menanggung segunung beban. Fokus kerja terganggu. Dalam kantung minda hanya ada perempuan itu. Bimbang sekali akan nasibnya. Entah-entah dia sedang nyawa-nyawa ikan. Atau sudah mati dibelasah tangan dan kaki perkasa. Kemudian ditanam dalam lubang yang disimen. Sama seperti yang biasa aku baca dalam berita kolum jenayah di akhbar perdana dan yang tidak perdana!

Jika demikian yang terjadi, aku yang bertanggungjawab atas matinya perempuan malang itu!

“Tuhan, janganlah!” aku berdoa.

Aneh juga sebab aku mengambil berat akan perempuan itu dan nasibnya. Benarlah kata Mio. Aku memang lelaki aneh.

“Elok kau berhenti kerja, Bi. Jangan lagi masuk ke hutan mencari tumbuhan herba. Kau jadi wartawan sahaja. Atau penyiasat!” usik Mio dengan ketawanya yang sinikal.

Bukan! Aku bukan jenis penyibuk. Tapi perempuan kurus itu telah mengusik hatiku. Apa lagi dia saudaraku. Saudara seagama. Salahkah aku jika aku akhirnya jatuh hati. Daripada simpati, hatiku telah jatuh dengan sebenar-benarnya!

“Sejak bila, Taubi? Kau memang gila!” Mio tiba-tiba menyinga.

“Entah. Aku tidak tahu. Tapi aku kasihi dia,” akhirnya aku membuat pengakuan.

Mio melutut di hadapan mukaku. Dia menampar-nampar pipi seakan mahu menyedarkan aku daripada nyanyuk yang panjang.

“Namanya pun kau tidak tahu, Taubi. Asal-usulnya juga. Kau ini mengapa, Taubi? Sudah tidak siuman? Beginilah, kawan. Kau ambil cuti dan pulang ke tanah airmu. Berehat dahulu dan apabila tenang, kau datang semula,” saran Mio sungguh-sungguh.

Oh, baru aku teringat. Aku tidak tahu namanya. Nama pemilik tubuh kurus kering itu. Mariam? Salmah? Atau Faridah?

Baiklah. Mungkin kali ini aku kena mendengar nasihat si teruna tua Mio. Aku perlu melupakan perempuan itu dan kisahnya yang misteri. Maka aku pun merancang mahu pulang. Tetapi sebaik sahaja aku mahu melangkah pergi, hatiku seperti ditarik-tarik untuk menjenguk rumah agam itu.

Mendekati bahagian dapur rumah bertiang kukuh itu, aku terbau sesuatu yang kurang enak. Hamis dan meloyakan. Bau mayat!

Dadaku sakit. Pasti tekaanku tepat. Perempuan itu!

Kutendang pintu belakang. Daunnya terkuak luas. Bau meloyakan semakin mendekat. Aku hampir termuntah di situ. Kutekup hidung semahu-mahunya. Mata meliar mencari punca. Ah, di situ dia! Ya Allah, dia masih bernyawa!

“Abang...” dia bersuara lemah. Aku meluru ke arahnya. Bau busuk makin menusuk. Aku termuntah.

Di sisinya ada batang kayu yang besar. Dan tidak berapa jauh dari situ, adalah punca yang membuatkan aku termuntah lagi beberapa kali. Mayat-mayat bergelimpangan.

“Apa yang berlaku?” tanyaku sambil mencempungnya keluar ke halaman. Bau busuk menjalar keluar.

“Aku sudah tidak dapat bertahan lagi. Sepanjang hidup, aku dipukul. Mereka juga bunuh ibu bapaku. Mereka merogol kakak dan adik perempuanku sehingga menemui ajal. Mereka mahukan rumah dan tanah ini, tapi malangnya aku tidak mati-mati. Selepas abang datang, aku dapat kekuatan. Sungguh. Aku tidak menipumu. Engkau beri aku kekuatan sebab hanya engkau sahaja yang pernah bertanya khabarku sepanjang hayatku ini. Orang lain tidak pernah peduli. Mereka hanya memandangku sebelah mata. Beberapa hari lepas, aku dipukul lagi. Lebih teruk. Aku hampir mati,” katanya teresak-esak. Suaranya semakin lemah.

“Bagaimana...” aku mencelah, “bagaimana mereka itu mati?”

“Aku meracuni mereka. Tetapi pak cik tidak keracunan, dia menyerangku. Aku pukul pak cik dengan kayu. Aku sudah tidak tahan lagi!”

Aduh, aku bingung! Aku mencari air dan dia minum dengan rakus. Si perempuan itu yang hidupnya tertindas, telah meledak seperti gunung berapi pendam. Dia akhirnya bangun melawan dengan caranya sendiri.

“Aku pembunuh. Serahkan sahaja kepada pihak berkuasa. Aku sudah tidak kisah!” dia menyebut ayat itu satu persatu. Lembut dan syahdu. Aku memandangnya penuh kasih dan kasihan.

“Namaku Rohingya. Namamu?” Dia tersenyum! Pertama kali aku melihat perempuan itu tersenyum.

“Panggil aku Taubi”. Kami saling berkenalan akhirnya.

Dan dia terus tersenyum saat pihak polis mengiringinya ke ambulans. Aku memandangnya sayu. Mio menepuk bahuku.

“Aku tidak akan mati, abang. Rohingya tidak akan mati biarpun tiada siapa yang peduli!”

Sepanjang perjalanan pulang ke tanah air, aku menangis.

Hingyaku!

Monday, April 29, 2013

Haiku



Tangisan langit
membawa kedinginan
jatuh ke bumi

Daun menari
angin tidak berhenti
gemersik nyanyi

Budak berlari
riang bermandi hujan
musim yang basah

#Ibubungamatahari @ Himawari no Okasan

Pernah hujung tahun lepas, belajar menulis Haiku. Dapat menghasilkan beberapa Haiku tetapi untuk puisi kanak-kanak. Entah betul atau tidak, sebab belajar ilmu yang tidak habis.

Melihat hujan yang cantik, langsung kepingin menulis Haiku!

Friday, April 26, 2013

Di Stesen



Di stesen
kepala gerabak saling bertanya khabar
dengan tubuh menjalar
membelah amukan hujan petang
dengan beribu ekor berudu yang menjunam ke bawah cermin
melawan angin

Pintu yang terbuka dan tertutup
dengan muntahan penumpang
mengejar waktu
tanpa peduli
siapa di kanan dan kiri

Di stesen ini
telah kutafsirkan makna
yang jauh
ke dasarnya

Ratna Laila Shahidin @ibubungamatahari
April 2013

Wednesday, April 24, 2013

Perlukah Berubah?



Perlu berubahkah setelah tiba-tiba bergelar datin?

Itu soalan yang pernah ditanya oleh seorang kawan.

Dia seorang yang bergelar datin setelah suaminya dikurniai gelaran dato'. Sudah hampir berbelas tahun dia bergelar datin.

Datin ini seorang guru. Kalau melihat luarannya, dia macam guru yang lain. Waktu sekitar hujung delapan puluhan, jika tidak bertudung, satu hal biasa. Demikianlah datin itu. Rambutnya panjang hingga ke pinggul. Rambut itu diikat kemas. Dia mengajar bahasa Inggeris.

“Kak tak nampak mengapa kita mesti berubah menjadi orang lain. Maksud kak, macam perangai datin yang kita selalu tengok di kaca TV. Tak terfikirkah bahawa masyarakat sedang mengejek kita melalui drama TV?”

Bukan “kita”, kak! Saya bukan datin dan tak mungkin bergelar datin.

Betullah katanya. Maaf, kadang-kadang suami tidak apa-apa, tetapi isteri pula yang lebih-lebih. Suami bina busut tetapi isteri bina gunung! Itu perumpamaan baharu yang saya cipta!

Bagi sesetengah orang, yang bernama datin itu mesti gojes! Di pergelangan tangannya mesti ada gelang emas yang tebal-tebal. Jari jemarinya mesti berhias indah dengan cincin permata. Rantai macam rantai basikal mesti menghiasi baju yang kainnya diimport khas dari luar negara. Kasut juga dibeli dari Harrods. Tas tangan jenama Birkins.

Datin juga mesti berjalan dengan anggun, tidak boleh jalan bersepah. Bercakap pun mesti bahasa Inggeris. Tidak pandai belakang kira, janji ada seketul dua bahasa Inggeris dalam perbualan. Mekap juga kena jaga. Penampilan yang gojes sangat penting, takut-takut nanti ada artis yang mengendap si dato'.

“Penampilan itu memang penting, kalau pun bukan sebab jadi datin,” saya masih ingat kata-katanya.

Datin-datin ini mesti ada ilmu protokol sebab banyak menghadiri majlis melibatkan orang kenamaan. Biasanya mereka akan diberi kursus etiket berpakaian, etiket di meja makan, sehinggalah kepada cara masuk dan keluar kereta, cara berjalan dalam majlis, cara duduk dan berdiri. Etiket ini ala-barat sebab protokol yang diamalkan di negara kita diambil daripada protokol barat. Cuma waktu saya mengajar dahulu, saya menyebut juga bahawa itu hanyalah sekadar ilmu, praktikalnya bergantunglah kepada budi bicara dan budaya kita.

Seorang teman lagi, saya nampak dia di surat khabar; memang penampilan sudah lain. Dahulu dia bertudung labuh dan berjubah. Apabila sudah jadi datin, memang dia sudah bertukar. Barangkali dia pun mengalami tekanan sehingga terpaksa menukar gayanya. Apa boleh buat, kalau sudah demikian definisi kedatinan yang wujud dalam masyarakat kita.

Kawan-kawan pun berebut-rebutlah mahu rapat dengan mak datin. Mana tahu aura kedatinan akan menyinggah pula kepada mereka.

Begitulah cerita dunia.

Bukan semua datin berperangai macam yang kita lihat di TV. Ada datin yang mahu makan pun susah! Duduk di flat dua bilik yang sempit. Pergi ke sana sini dengan bas.

Ada juga datin yang tidak kelihatan macam datin. Pakaiannya biasa-biasa, menghormati orang lain, menjaga tertib percakapan, tahu batasan agama, tidak berlagak, malahan sangat merendah diri.

Tetapi ada juga yang tidak menoleh kalau kita memanggil mereka tanpa pangkal datin. Atau kalau menoleh pun, muka sudah kecut sedikit. Ada juga yang siap mengherdik, “I datin tau! Datin! Sila panggil I dengan gelaran datin!”

Mati esok cubalah herdik malaikat yang datang bertanyakan soalan kubur!

Melihat seorang sultan yang berada di dalam liang kubur untuk membantu mengebumikan salah seorang rakyatnya, cukup mengharukan. Figurnya sangat sederhana, dengan kopiah putih dan baju pagoda.

Alangkah manisnya pemandangan itu.

Tiba-tiba saya berangan-angan mahu menjadi salah seorang rakyat baginda!

Masalahnya, saya tidak suka budu, tempoyak atau yang seumpama dengannya!

Nampaknya, saya akan gagal dalam temu duga pusingan pertama!

Tuesday, April 23, 2013

Mencari Cahaya Illahi Rabbi



Allah tidak melihat di mana kita bermula tetapi Allah melihat penghujung kita.

Ayat itu benar-benar memberikan rasa lega kepada sesiapa yang merasakan dirinya berdosa. Saya selalu membaca ayat ini tatkala hati tiba-tiba diburu rasa sedih.

Menimbun dosa kita kepada Allah, kepada mak, ayah, suami, anak-anak dan kehidupan. Tetapi seperti yang saya katakan, semalam telah berlalu. Esok adalah harapan. Dengan harapan itulah kita cuba mendekati kebaikan, cuba meninggalkan dunia jahiliyah yang kita sendiri memilih untuk berada di dalamnya.

Tengah malam yang sunyi ini, terasa seperti mahu menangis. Entah sempat atau tidak kita menebus segala dosa silam sebelum berangkat ke sisi-Nya. Entah bagaimana keturunan yang kita tinggalkan. Entah apa nasib kita di dunia sana.

Kita membesar dan mendidik anak dengan mengutamakan dunia. Maka dunialah yang mereka kejar. Mahu keputusan akademik yang bagus, mahu pekerjaan yang bagus, mahu semua yang bagus-bagus. Kita berbangga apabila anak kita cemerlang dalam peperiksaan awam. Hebatnya kita menjadi ibu bapa kepada seorang bijaksana.

Ada atau tidak rasa bangga kita tatkala melihat anak yang sangat mematuhi syariat agama? Adakah kita berasa susah hati melihat anak kita selamba sahaja mengabaikan solat, merangkak-rangkak untuk mengaji atau menghafal surah pendek?

Kita telah melepaskan masa lalu dengan sia-sia. Kalau pun ada masalah kewangan sehingga tidak mampu menghantar anak ke sekolah agama swasta, itulah penyesalan saya yang terbesar. Memang anak-anak kita bersolat, tetapi adakalanya tertinggal juga sebab tertidur kepenatan. Memang anak-anak kita boleh mengaji tetapi tidak menghayati. Memang kelihatan menutup aurat tetapi imannya bagaimana?

Mudah-mudahan kita masih ada waktu mencukupi untuk membetulkan kesilapan. Siapa kita di dunia dan apa yang kita lakukan di sini adalah gambaran apa yang bakal kita peroleh di akhirat kelak.

Allah tidak melarang kita untuk menjadi kaya. Allah juga menggalakkan kita menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi. Kitalah yang kena mengawal dan memastikan bahawa apa sahaja yang kita lakukan tidak tersasar daripada landasan.

Masihkah ada cahaya Illahi buat kita?

Masih!

Monday, April 22, 2013

Cuaca Yang Berubah



Sekarang cuaca sudah beralih. Menjelang petang, langit kelabu. Kadang-kadang bumi disimbah hujan.

Cuaca apa pun, setiap minggu saya ke hospital. Tahun ini, suami menghantar dan menunggu hingga selesai. Sudah tentu sukar untuk menghadapi situasi duduk-duduk menunggu untuk orang jenis praktikal sepertinya. Minggu ini anak menemani sebab Daddynya menjalani audit.

Minggu ini simulasi radio. Tatu yang dibuat untuk radio tahun lepas sudah tidak kelihatan. Tatu baharu dititik di kawasan yang akan menerima radiasi. Lenguh juga terbaring tidak boleh bergerak, disorong keluar masuk ke dalam CT Scan untuk mengambil bacaan kawasan untuk radio.

Mengunjungi tempat itu buat kali kedua, bukanlah satu keinginan. Tetapi kebanyakan yang datang itu terpaksa menghadapi kenyataan bahawa apa pun yang berlaku, kemaraan virus itu mesti disekat. Seorang wanita berpakaian santai, memberitahu saya, “tak apalah, kita terima saja. Saya pun kali kedua...”

Orangnya sangat cergas dan masih muda. Melihat dia yang energetik memang menyuntik semangat. Barangkali usianya sekitar 30-an atau awal 40-an.

Mereka yang ada di situ memang kelihatan tidak sakit. Kalau bersama dengan kelompok masyarakat di luar, tiada siapa pun yang tahu bahawa dalam badan mereka ada virus maut yang tidak tidur atau berehat. Saya melihat ini sebagai fenomena “penafian”. Kita cuba menafikan sedaya upaya bahawa ada sesuatu yang sedang mengancam nyawa kita. Maka kita melawannya dengan berlagak biasa atau sedikit luar biasa. Atau juga sebab sudah “terbiasa” diuji dan diuji sampai kadang-kadang terlupa.

Kadang-kadang kita juga tidak mahu simpati orang akan melemahkan semangat juang. Sebab itulah kita cuba menjadi senormal orang lain walaupun selepas itu kita berasa sangat penat. Ada orang yang telah menjalani pembedahan dan semua kalenjar limfanya dibuang, masih berupaya menceburi bidang sukan angkat berat. Saya pun cuba-cuba juga mengangkat lesung batu. Mana tahu esok-esok boleh masuk acara angkat berat!

Virus itu hanyalah penyebab. Mati itu pasti. Hari ini kita mendengar berita kematian orang, esok-esok giliran orang pula.

Ada orang yang segar-bugar petang ini, malam sudah menjadi allahyarham. Ada orang yang terlantar bertahun-tahun, hari ini sudah kembali sihat.

Yang penting ialah usaha dalam lingkungan yang diredhoi Allah. Jangan pergi ke dukun-dukun yang sibuk berjampi serapah dengan asap kemenyan. Boleh mencuba rawatan alternatif, rawatan moden, herba dan merawat dengan ayat al-Quran. Jangan sesekali tertipu, sikit-sikit buatan orang, sikit-sikit tersampuk hantu. Kalau kita suka sangat mengagungkan benda-benda hitam itu, makin sukalah hati mereka untuk merosakkan akidah kita.

Seperti cuaca yang berubah-ubah, begitulah perjalanan hidup kita. Pagi yang cerah tidak menjanjikan cerahnya hingga ke petang. Barangkali guruh akan berdentum di tengah hari. Atau pagi hujan mencurah-curah tetapi tatkala petang, matahari lambat sangat mahu berundur.

Hujan sudah turun di luar. Guruh pun berbunyi sayup-sayup. Sebentar lagi malam akan tiba. Esok adalah harapan. Hari ini sudah berlalu.

Wah, saya masih sempat membaca tulisan tentang Pokok Sukarno di Saudi Arabia!

Saturday, April 20, 2013

Menanti Posmen



Waktu saya remaja, hanya surat pengganti diri. Tiada telefon bimbit, Facebook atau Twitter.

Setiap hari, ada seorang lelaki yang kelibatnya sangat dinanti. Dia datang membawa kegembiraan, jarang sekali membawa kedukaan. Dengan motosikal merahnya, jika dia berhenti di hadapan rumah, bermakna ada surat buat penghuninya.

Alangkah hebatnya tugas seorang posmen. Dia menyambung siraturrahim. Dia menjadi jambatan dua hati.

Di kampung, meskipun tidak bersekolah di sana; posmen memang sangat mengenali nama saya. Apa tidaknya, sudahlah nama saya kedengaran pelik pada zaman-zaman itu, kadang-kadang surat-surat saya terpaksa diikat dengan gelang getah yang tebal. Banyak! Kata mak, ayah sangat curiga. Ayah yang konservatif bimbangkan sesuatu. Mana tahu, anak gadisnya sudah pandai bermain cinta!

“Mak, beritahu ayah, ini bukan surat cinta. Ini surat-surat mahu berkenalan sebab sajak Yang keluar di majalah. Ada juga sebab tulisan Yang keluar di Bujal dan Bambino. Ada alamat di situ. Bukan Yang yang mahu, mereka yang hantar”, saya jelaskan kepada mak.

Orang dulu-dulu, bukan macam anak saya sekarang. Mahu apa-apa, terus sahaja mengadap si bapa. Siap boleh bergurau-gurau lagi atau main sembunyi-sembunyi. Kami dahulu, salurannya ialah mak. Kalau ayah tidak senang hati dengan karenah kami yang liat solat misalnya, ayah akan merungut kepada mak. Mak akan sampaikan kepada kami pula.

Lama-lama ayah pun faham. Paling mengejutkan, ayah membeli mesin taip terpakai yang comel. Jika selalunya saya mengirim karya dengan bertulisan tangan, kini saya sudah boleh menaip dengan lebih kemas. Malangnya, akibat banjir, mesin taip itu hilang entah ke mana. Saya selalu sedih jika mengenang hal ini. Mesin taip pertama saya yang dibeli ayah sebagai tanda sokongan senyapnya terhadap aktiviti penulisan saya!

Saya menulis sejak di sekolah rendah, barangkali sekitar usia sembilan atau sepuluh tahun. Sudah pasti kanak-kanak sezaman dengan saya masih mengingati majalah Bujal dengan kenakalan Bujal dan kesabaran Wak Segan; majalah Bambino, Utusan Kanak-kanak dan beberapa majalah lain. Pelukis yang terkenal pada masa itu ialah Rizalman. Dia juga melukis untuk majalah Salina. Kadang-kadang saya curi-curi juga membaca Salina atau URTV. Ayah melarang keras kami membaca majalah sedemikian, apatah lagi jika membelinya.

Baca sahajalah sebab rumah kami tiada peti televisyen. Kalau pun artis yang saya kenal masa itu hanyalah Ahmad Daud yang popular dengan rancangan “Ahmad Daud Show”.

Saya merindui zaman-zaman posmen menjadi figur yang paling dinanti. Setelah saya masuk universiti, saya belajar bercinta juga, tapi bukanlah cinta macam orang zaman sekarang. Budak itu rakan sekelas saya masa di tingkatan enam. Dia masuk ITM (dan kemudiannya ke US untuk menyambung pengajian). Kalau cuti, saya tunggu suratnya dan dia menunggu surat saya. Hahaha...tapi saya memang jenis yang sangat kekampungan. Walaupun tahu bersastera tetapi surat saya dipenuhi ayat penyata tanpa bunga!

Kalau menjelang hari raya, kad ucapan merupakan pengganti diri. Di asrama, kawan-kawan gemar mengirim kad kepada pemimpin negara, sultan dan artis. Apabila mendapat balasan, satu asrama heboh. Si penerima kad, berjalan macam tak jejak ke bumi. Punyalah seronok sampaikan kad-kad itu lusuh diusung ke sana ke mari.

Saya kurang berminat dengan hal sedemikian, tetapi ikut tumpang seronok.

Di rumah, kad-kad digantung pada ranting kayu. Ayah akan mencari ranting kayu yang cantik, menanamnya dalam bekas yang berisi pasir dan menggantung kad-kad hari raya. Biasanya, kad untuk sayalah yang paling banyak!

Sampai sekarang, ada seorang kenalan zaman kecil saya, akhirnya saya jumpa di laman sosial. Saya tidak pernah lihat gambarnya. Hanya berutus surat sahaja. Cuma setahu saya, dia menulis. Rupa-rupanya sekarang ini dia berada di Dubai. Dia sudah jadi orang yang sangat terkenal dan hebat. Dulu-dulu, suratnya selalu sampai sebulan sekali, bercerita tentang aktiviti penulisan. Saya tidak pasti dia masih ingat saya atau tidak. Tetapi surat-surat zaman kecil itu sudah lenyap.

Kini, semacam ada sesuatu yang hilang. Mahu kata apa-apa, dail sahaja. Mahu luahkan apa-apa, tulis sahaja. Perasaan menjadi sangat murah nilainya. Tiada lagi imej gadis menanti di tangga. Tiada lagi gambaran si pemuda menyimpan surat daripada helaian kertas wangi di bawah bantal.

Semurah harga perasaan, semurah itulah nilai cinta!

Seperti kata bijaksana, teknologi itu seperti pisau. Jika kita gunakan dengan baik, baiklah akhirnya. Dengan pisau, kita dapat makan makanan enak. Pisau digunakan untuk memotong sayur, daging, ayam, makanan laut dan ikan untuk membuat tomyam potek yang enak. Tetapi pisau juga boleh mendatangkan keburukan jika digunakan untuk jalan yang salah. Pisau boleh menyebabkan ada isteri hilang suami, anak hilang bapa jika ia digunakan untuk membunuh.

Kesimpulannya, bukan pisau itu yang salah tetapi orang yang menggunakannya!

Samalah seperti teknologi. Teknologi tidak bersalah. Yang bersalah ialah kita.

Tetapi saya masih merindui perasaan itu.

Perasaan yang tidak mampu dihayati oleh generasi sekarang.

Keterujaan menanti posmen dengan motosikal merahnya.

Kenangan membaca surat yang banyak berikat-ikat itu!

Friday, April 19, 2013

{?????}


Gambar tiada kaitan dengan cerita

“Sedar tak, selama ini kita selalu minta apa-apa kepada makhluk dahulu, sedangkan dalam solat bukan main lagi kita beritahu Allah, hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya kepada-Mu kami minta pertolongan...”

Oh, oh...saya pastilah antara yang disebut itu. Hipokritnya kita!

“Begini,” dia menarik nafas, “kalau kita lihat tudung yang cantik di kedai, kita pun bercakap dalam hati, nanti aku nak minta pada suamilah untuk dapatkan tudung yang cantik itu...”

Itu contoh kecil dan mudah untuk faham.

“Sepatutnya, apa sahaja yang kita mahu, kita minta dengan Allah dahulu. Ya Allah, aku teringin tudung yang cantik itu, aku memohon kepada-Mu Ya Allah. Kemudian, barulah kita beritahu suami kita...”

Aha...begitu rupanya!

“Dan kita selalu juga cakap, si anu itu sebab makan suplimen inilah, penyakitnya sembuh. Sudah sihat dia sekarang, merah-merah pipinya, malahan sudah boleh main boling walaupun ketiaknya dibedah!”

Huhu...kita manusia yang selalu alpa!

Saya selalu dengar mak kata dalam loghat Pattani, “buat sabit ke Allah, orang itu sembuh sebab makan ubat ini...” Maknanya mak mahu menyebut bahawa dengan keizinan Allah maka orang itu sembuh. Kesembuhan itu diperoleh melalui ubat yang ditakdirkan Allah untuk orang itu mengambilnya.

Itu baru betul! Mak memang superb!

Sekarang ini, kalau mahu ke mana-mana, saya sebut dalam hati, “Ya Allah, lapangkanlah jalan raya hari ini. Ya Allah, cerahkanlah cuaca hari ini...”

Saya boleh sahaja menyebut, “Ya Allah, mudah-mudahan jalan raya tidak sesak hari ini, mudah-mudahan cuaca tidak hujan hari ini...”

Maknanya sama sahaja. Tetapi ada perbezaan dari sudut persepsi positifnya. Antara “lapang” dengan “tidak sesak”, antara “cerah” dengan “tidak hujan”.

Itu sebabnya, mak selalu sebut “mak yakin Yang boleh buat...” bukan “mak rasa Yang boleh buat...” pada setiap kali saya menelefonnya tatkala mahu melakukan sesuatu.

Kesimpulannya, pendidikan yang tinggi dalam ilmu dunia tidak bermakna kita lebih bagus. Orang yang tidak sekolah macam mak, orang kampung yang tidak kenal teknologi canggih, seribu kali lebih “canggih” dalam pemikiran dan falsafah hidup.

Sebab itulah juga, mak tidak macam orang kampung lain yang selalu terpesona dengan sehelai kain batik murah dan not lima puluh ringgit yang diberikan setiap lima tahun sekali!

Thursday, April 18, 2013

Lawan Gusti Dengan Mr. T



Apabila “diperintahkan” menelan si Tamoxifen setiap hari sehingga lima tahun, saya mula merayau-rayau di laman maya. Sudah pasti saya mahu tahu kesan sampingannya selain daripada yang dimaklumkan Onkologis.

Bukan tidak percayakan makluman doktor, tetapi kadang-kadang manusia hanya bercakap apa yang mereka fikir kita mahu dengar. Kadang-kadang juga ada yang disembunyi dan hanya merekalah yang tahu sebabnya.

Selain akan menjalani radio sekali lagi Mei atau awal Jun, saya terpaksa menerima hakikat bahawa Mr. T itu akan sedikit mempengaruhi cerita hidup. Saya menelannya dengan meminta bantuan Allah. Mudah-mudahan Allah memberikan keajaiban seperti kanser kali pertama dulu.

Rupa-rupanya radio itu juga ada kesan sampingan. Kebarangkalian untuk terkena paru-paru itu ada. Mudah-mudahan paru-paru saya masih safe and sound!

Terapi hormon digunakan untuk merawat wanita yang kansernya sensitif terhadap hormon estrogen dan progestron. Mr. T akan menyekat sebarang estrogen yang terdapat dalam tubuh daripada melekat pada reseptor estrogen pada sel kanser. Mr. T juga akan melambatkan pertumbuhan tumor dan membunuh sel kanser.

Namun oleh sebab Mr. T itu bukan alami, maka sudah pasti ia mengandungi toksik. Wanita yang mengambil Mr. T boleh mengalami gejala monopaus, darah beku atau kanser endometrium. Saya ingat ada seorang wanita berusia 50-an, wajahnya agak pucat yang saya temui pada tahun lepas di Klinik Onkologi. Dia memberitahu saya, bahawa dia mengalami masalah lain pula iaitu kanser rahim selepas mengambil Mr. T.

Sebagai langkah awal, saya mahu membina “kubu”. Maka saya mula mencari surah-surah yang boleh membantu mengubati penyakit kanser. Saya masih mengamalkan jus buah-buahan campuran empat kali sehari, jus delima dua kali sehari, jus daun belalai gajah, kunyahan daun belalai gajah dan pil biji aprikot B17.

Dua kali seminggu, kami akan shopping buah-buahan. Tomato yang berkilat-kilat, karot yang gemuk-gemuk, si cantik strawberi, kiwi yang bertahi lalat, epal hijau, epal merah, belimbing, limau mandarin dan kadang-kadang jambu batu. Berat pun sudah turun sembilan kilo, satu pencapaian hebat!

Saya kena lawan sebab Mr. T telah menyebabkan saya cepat letih! Asyik mahu tidur saja, mana boleh jadi!

Lucu juga mengenangkan nasihat doktor. “Semasa ambil ubat ini, puan jangan hamil...” Rasa mahu tergelak berguling-guling!

Anak bongsu saya sudah dua puluh satu, Doc! Hari mengundi 5 Mei dan hari jadinya jatuh pada 11 Mei! Hahaha...sebab itulah dia tanya saya, “Apa pasal lahirkan adik lewat enam hari? Langsung adik tak dapat mengundi!” Budak yang bersemangat mahu mengundi seperti ibunya! (Dan dia akan menjadi pemandu peribadi ibu untuk pulang mengundi di P055).

Tatkala merayau-rayau di maya, terjumpa juga kebaikan makan peria katak. Suami selalu belikan peria ini. Kasihan betul, namanya sinonim dengan makhluk hodoh itu. Saya makan juga sedikit-sedikit. Katanya, bagus untuk membunuh sel kanser.

Pesanan Onkologis itu saya ingat. Jangan ambil bahan yang boleh meningkatkan hormon seperti ginseng, akar-akar kayu, bahan yang ada kolegen macam rumpai laut dan sebagainya.

Saya mahu sihat dan cepat kembali menemui guru-guru pelatih itu. Sekarang pun saya rasa sihat tetapi entah mengapa doktor tidak membenarkan saya bekerja. Jangan-jangan ada benda yang mereka sembunyikan...hohoho!

Pagi tadi saya ke ladang herba. Ada sekumpulan orang sedang mendengar taklimat daripada pengurusan ladang. Melihat saya membeli dua bekas daun belalai gajah, pantas wanita Tionghua itu bertanya. “Daun belalai gajah”, jawab saya. Dalam bahasa Cinanya, saya tidak ingat.

Kemudian masa mahu balik, saya jelir lidah kepada anjing hitam yang becok dalam kandangnya. Duduk diam-diam sajalah, semuanya mahu disalak! Kena kanser tekak baru tahu!

Wednesday, April 17, 2013

Jambatan Kenangan



Anak bongsu saya bercerita.

Pensyarahnya, seorang perempuan yang punya anak kecil menceritakan bagaimana dia mengasah bakat anaknya untuk menjadi kreatif.

“Sebenarnya semua yang beliau buat itu sama seperti yang ibu buat masa kakak dan adik kecil-kecil dahulu. Tapi kawan-kawan adik kagum sangat sebab parents mereka tak buat begitu...”

Saya pun sudah ingat-ingat lupa apa yang saya lakukan dengan anak-anak puluhan tahun yang lalu.

“Apa ya yang ibu buat?” tanya saya kelupaan.

Sudah lama, kotak ingatan pun sudah agak berkarat.

Memang saya suka bermain dengan anak-anak. Saya lihat mak saya dulu begitu. Dalam sibuknya menguruskan ayah yang sakit, dalam penatnya mencari nafkah untuk anak-anak, mak masih sempat bermain dengan kami.

Jadi, saya ikut bermain dengan anak. Ikut sama melukis. Atau mencipta lirik daripada lagu Tadika yang baru mereka pelajari.

Ada sebuah lagu mengenai kucing yang kami ubah liriknya. Kakak suka sekali jika saya nyanyikan sebab ia menggambarkan adiknya yang tembam itu.

"Kakak ada adik, pipinya tembam. Bila kakak panggil adik pun datang. Tersangat comelnya, kakak pun sayang..."

Saya masih ingat lirik yang diubah itu sebab sampai sekarang, kadang-kadang saya nyanyikan kepada mereka!

Kadang-kadang saya tekun mendengar mereka bercerita sambil menyusun buku-buku atau apa sahaja sebagai jambatan atau rumah, penuh satu bilik. Bilik mereka itu mahu cari lantai yang kosong pun payah. Semua susunan ada kisahnya yang sambung menyambung.

Saya tidak memarahi mereka atas sebab bilik yang “tidak berlantai” itu. Jika saya sibuk mengemas susunan “jambatan” mereka, bagaimana watak-watak yang ada dalam dunia imaginasi mahu menyeberang sungai? Ibu pun mahu ikut berenang dalam sungai yang cantik tetapi dipenuhi buaya itu!

Barangkali, itulah yang dimaksudkan oleh si adik!

Oleh sebab dalam adik beradik, saya paling suka mendengar cerita; maka mak adalah sasaran utama saya.

“Kadang-kadang mak sangat letih sampai merapu-rapu bercerita. Yang asyik minta lagi dan lagi. Ingat tak?” cerita kakak saya.

Jadi, apabila saya punya anak, maka saya pun suka bercerita. Macam mak, saya akan bercerita dengan gaya dan mimik muka. Sudah tentu mereka akan kesedihan mengenangkan nasib Awang yang merajuk naik ke bulan dengan si Jalak. Pengajarannya, ibu dan bapa jangan hanya pentingkan kerja sampaikan tidak peduli permintaan si Awang yang mahukan pisang.

Oleh sebab saya berpendapatan tetap, saya boleh membelikan buku-buku cerita dalam dua bahasa kepada anak.

Lawatan ke kedai buku dan perpustakaan menjadi perkara wajib dan paling dinanti.

Itu sebabnya sehingga sekarang, kami masih begitu. Membaca menjadi satu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Cuma genre sudah berbeza.

Si sulung cenderung mengumpul koleksi novel berbahasa Inggeris dan saya lihat dia sudah mula membeli komik-komik juga termasuklah komik Islamik! Si adik pasti sahaja peminat manga. Dia hampir jadi otaku! Saya pula sudah beralih minat kepada karya penulis Asia seperti Korea dan Jepun. Meskipun novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris tetapi bahasa itu tidak berupaya menjajah jati diri mereka!

Lain? Saya tidak ingat apa yang saya lakukan...namun saya berharap anak-anak akan meneruskan apa yang saya buat jika ia baik untuk generasi seterusnya.

Dan pastinya saya mahu keturunan yang lebih Islamik. Saya sudah tidak boleh mengembalikan masa lalu anak-anak. Jika boleh, sudah pasti saya mahu budak-budak itu berada di sekolah tahfiz, menghafal kalimah Allah dan meneruskan perjuangan agama.

Masa lalu bukanlah semata-mata satu kesilapan, tetapi penuh dengan pengajaran!

Tuesday, April 16, 2013

Saya Rindu Matahari



Sejak awal tahun, matahari semacam sangat garang. Masuk ke kamar mandi, kena buka air paip dahulu. Biarkan kepanasannya hilang, baru boleh cuci muka atau menggosok gigi.

Khabarnya Kuala Pilah, masuk dalam berita akhbar sebagai kawasan paling panas di Malaysia.

Di kampong pun dengar ceritanya, semua orang duduk-duduk bersembang di bawah pokok sebab rumah yang beratap zink menjadi oven.

Panas di dunia kita sudah tidak mampu tahan. Bagaimanalah agaknya kepanasan api neraka!

Penoreh getah pasti kesukaan. Ini musim ceria buat mereka. Lainlah jika musim tengkujuh.

Saya masih ingat, kalau musim hujan, mak dan ayah tidak turun menoreh. Mereka akan ke bendang. Petang-petang, mak baring sambil bercerita, melawan bunyi bising hujan yang menimpa zink.

Sambil bercerita, kami minum kopi dan lempeng yang keras. Saya sukakan lempeng keras itu. Mak akan menguli tepung dan membiarkan lama sedikit, barulah digoreng tanpa minyak. Sesekali dalam usia dewasa, saya bermanja-manja mahukan lempeng keras. Mak buatkan juga walaupun terpaksa menguli lama.

Lempeng itu rasanya tawar, tetapi kasih sayang mak yang menyebabkan ia menjadi sangat enak.

Musim kering seperti ini, saya jarang sekali keluar rumah. Amat payah saya mahu jumpa matahari. Tetapi saya pasti matahari masih di situ. Dengan garangnya dia melimpahkan cahaya ke merata tempat.

Hari yang cerah menggembirakan ramai orang. Saya juga gembira meskipun terkurung dalam sel yang saya cipta sendiri. Panas di luar memang menyebar ke dalam. Tetapi tidak mengapa sebab kain yang disidai tiada bau hapak. Sekejap sahaja sudah kering.

Esok saya mahu bertemu matahari. Ada beberapa perkara yang saya mahu lakukan demi mencabar diri. Saya mahu mengembara. Menunggang kuda? Kondisi belum membenarkan, jadi saya hanya boleh bermimpi sedang menunggang kuda bersama matahari.

Cuaca panas akan menghitamkan kulit. Tetapi saya merindui matahari yang menjadi stimulus buat saya meneruskan langkah hidup.

Saya rindu matahari.

Monday, April 15, 2013

Macam-macam Ada!



Pagi itu dia mengirim mesej. Mesejnya panjang.

“Saya sakit hati orang cakap-cakap pasal itu lagi. Kalau ikhlas tak apa. Saya tak suka...” . Hati saya tersenyum. Memang anak ini selalu menjadi pembela saya sejak dahulu.

Bukan hanya orang bercerita itu yang buat dia tidak suka. Ada hal lain yang hanya dia sahaja yang memahami.

Dia berhak untuk sakit hati. Sebabnya mudah. Di situ begitu ramai manusia bertopeng. Sesungguhnya saya sangat bersyukur sebab Allah telah “menyelamatkan” saya daripada terus berada dalam “lembah” yang dipenuhi manusia bertopeng itu.

Tetapi dia masih di situ. Ada juga sahabat-sahabat yang berhati baik masih di situ. Saya tidak akan lupakan mereka. Kebaikan-kebaikan mereka selalu mekar di nubari.

Meskipun dia berhak untuk berasa sakit hati tetapi hati yang sakit akan membuatkan kita tidak nampak matahari meskipun sinarnya terik di kepala. Hati yang sakit akan menjadikan daun yang hijau kelihatan layu kecoklatan.

Saya kena ubati hati yang sakit itu. Maka saya berpesan, “wahai anak, lupakan sakit hati dan hidup dengan gembira. Jika mereka masih bercekcokan, khabarkan bahawa orang-orang yang baik memang akan selalu diuji. Allah mahu melangsaikan hutang dosa di dunia supaya ada tempat duduk yang baik di syurga-Nya. Katakan begitu untuk mendiamkan mulut orang yang bertopeng itu...”

Kelihatan tidak begitu bagus pesanan itu, tetapi saya hanya mahu menghiburkan hatinya.

Ya, dan mesej balasannya sudah berlainan. Dia memahami bahawa saya mahu dia melupakan apa yang membuatkan matahari kelabu di matanya.

Begitu juga yang berlaku kepada seorang rakan penyair.

“Kak sedih ni...” katanya.

Rupa-rupanya ada seseorang yang telah mengkhianati niat baiknya. Pertanyaan yang dihulur dengan baik telah dijawab dengan keceluparan daripada seseorang yang lebih muda usia dan pengalaman berkarya.

Saya bersedia dengan lelucon ringan.

“Kak, saya baca sajak yang celupar itu. Bukanlah sodap bona sajaknya hahaha...jelas, dia bukan penyair sebagus kak. Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya. Jangan sampai hati kak dipenuhi kabus. Di sana masih ada matahari. Hidup dengan gembira. Hidup dengan gembira!”

Penyair yang “berasa bagus” berbeza dengan penyair yang memang asli bagus. Itu sebenarnya maksud saya. Kakak itu sudah banyak karyanya dibukukan. Orang yang bagus selalunya jenis harimau yang menyimpan kuku. Diam-diam sahaja, bukan memekik seperti dubuk!

Kemudiannya langsung saya tahu bahawa dia dan saya memiliki persepsi yang sama tentang pertemuan “mesra yang tiba-tiba” seorang pemimpin negara terhadap kumpulan penulis Isnin itu. Saya enggan pergi walaupun beberapa kali saya menerima mesej dan panggilan telefon.

“Kak bukan penyair politik...hahaha...” katanya bercanda.

Dalam dua hari ini, itulah yang berlaku. Macam-macam ada!

Menjelang ketibaan hari pemilihan, saya tidak menonton televisyen atau membuka laman sosial. Saya sudah banyak dosa. Saya tidak mahu menambah dosa saya yang bergunung-gunung itu. Orang sebelah saya pun faham. Meskipun berlainan arah, kami masih sebantal dan makan di pinggan yang sama.

Cuma ada satu perkara yang saya kurang gemar.

Lagu “Mari Mengundi” yang saya dengar sejak masih zaman Bumi Hijau telah diubah rentaknya menjadi rentak yang digemari masa kini.

Saya selalu menutup siaran IKIM jika saya dengar lagu itu.

Rupa-rupanya orang sebelah saya pun setuju.

Sahlah, kami memang sudah tua!

Sunday, April 14, 2013

Sembuhkanlah Dia, Ya Rabb!



Kata Ustaz, ada tiga tahap bagaimana kita menghadapi ujian dalam kehidupan.

Pertama, sabar. Kita rasa susah dan sakit tetapi kita sabar.

Kedua, redho. Saat itu susah pun kita tidak rasa susah. Sakit pun kita tidak rasa sakit.

Ketiga, syukur. Kesusahan dan kesakitan itu menjadi satu nikmat pula kepada kita.

Masya-Allah, demikianlah rupa-rupanya tangga-tangga yang perlu ada dalam hati kita apabila diributi dengan ujian.

Mendengar berita sahabat kita dalam kesakitan merupakan sesuatu yang sangat melukakan.

Saya memanggilnya “Ustaz Handsome”. Dia sahabat baik saya sewaktu menjadi pensyarah di sebuah kolej. Dia lahir sama tahun tetapi sebagaimana yang lain, dia selesa memanggil saya “kakak”. Saya sendiri sangat gembira dan berasa dihargai jika mereka yang sebaya atau yang lebih tua memanggil saya begitu.

Ada tiga tempat yang saya biasa dan pernah dipanggil demikian.

Pertamanya, di universiti pertama saya sekitar awal 1980-an, di kolej itu dan di TMS.

Kenapa saya memanggilnya “Ustaz Handsome”?

Pertamanya, dia bermisai dan misainya kemas. Selebihnya memang dia tergolong lelaki kacak. Orangnya pendiam, tidak gemar meninggi diri.

Saya masih ingat, selepas era reformasi, kami berenam, empat lelaki dan dua perempuan, adalah kumpulan yang mula-mula dihantar untuk “dicuci otak” di Kem Ulu Sepri.

Suatu pagi, saya memanggilnya “Ustaz...kak tak nampak ustaz semalam...”

Semua orang menoleh.

“Ustaz?”

Rupa-rupanya sepanjang berada di kem, dia menyembunyikan identitinya. Memang selama mengenalinya, dia jarang sekali kelihatan berkopiah atau berjubah. Pakaiannya kemas. Dia memang benar-benar berperibadi merendah diri.

Dengan saya, dia suka juga mengeluarkan pendapatnya khususnya berkaitan politik dan isu semasa. Orang pendiam sepertinya tatkala mengeluarkan hujah, memang sangat bernas. Selepas saya berpindah, beberapa kali juga saya dan sahabat-sahabat ini bertemu. Malahan waktu mengetahui saya sakit, dia ada menelefon dan mendoakan kesembuhan.

Itulah sebabnya hati sangat sedih tatkala menerima khabar bahawa Ustaz menderita sakit. Kata anak angkat saya, badannya sudah kurus dan sukar mahu bicara. Bagaimana saya mahu menziarahi sahabat saya itu sedangkan hati saya tidak tega melihat kondisinya?

“Ustaz ambil cuti tanpa gaji. Dia berubat alternatif”, cerita seorang sahabat lagi, juga yang sebaya saya tetapi turut membahasakan saya “kakak”. Sahabat saya ini sedang menyiapkan pengajian doktor falsafahnya dan juga diuji dengan sakit yang sukar dibuktikan dengan ilmu medikal.

“Orang baik-baik, begitulah. Allah sayang dia, Che Wan. Allah sayang dia”, kata saya tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkannya lagi.

Mudah-mudahan Ustaz berada pada tahap syukur. Ustaz menikmati ujian sakit itu dengan doa agar Allah menggantikan ujian-ujian itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Mudah-mudahan Allah juga memberikan kekuatan kepada isteri dan anak-anak Ustaz. Menganugerahkan ketabahan yang berganda kepada mereka sekeluarga.

Saya selalu ingat kebaikan-kebaikan saudara saya itu. Dia antara yang kukuh menyokong saat saya ditindas. Dia antara sahabat yang tidak pernah berpaling ketika saya dibuli dengan teruknya.

Dengan kebaikan-kebaikan itu, moga-moga Allah melorongkan penyembuhan buat Ustaz.

Ustaz pasti sembuh dengan izin Allah.

Bersyukurlah Ustaz. Allah mahu membuang sisa-sisa dosa Ustaz. Dia mahu anugerahi Ustaz dengan syurga-Nya.

Tuesday, April 2, 2013

Berdoalah...



Ustazah yang masih muda dan lemah lembut itu menyebut dengan jelas. Ayat yang berupa peringatan kepada ibu bapa.

“Kita bukan sahaja menjadi pembimbing kepada anak ketika mereka melakukan kebaikan tetapi kita juga perlu membimbing ketika mereka melakukan kesilapan. Mudah-mudahan ketabahan, doa dan kekuatan hati ibu bapa ketika menghadapi kesilapan anak itu menyebabkan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada anak-anak kita...”

Ulasan saya...

Selalu dalam kalangan kita, apabila anak membuat kesilapan dalam kehidupan, kita cenderung untuk sukar memaafkan. Kita marah semarah-marahnya dan langsung tidak mempedulikan.

Cuba duduk diam-diam dan merenung diri. Kita ini sempurnakah? Akhlak kita saat muda dahulu suci murnikah?

Barangkali kesabaran ibu bapa dalam menangani kesilapan yang pernah kita buat dahulu telah menjadikan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita. Daripada jahat kita menjadi baik. Daripada jahil kita menjadi tahu. Kita keluar dari lubang yang kita jatuh ke dalamnya. Kita mulakan hidup baharu dengan menghapuskan jejak-jejak lama.

Kata Allah, sesungguhnya orang-orang yang bertaubat itu amat mulia di sisi-Ku!

Mengapa banduan yang keluar penjara akhirnya kembali semula ke dalam sel? Mengapa bekas penagih yang sudah bertekad mahu membebaskan hatinya daripada ketagihan akhirnya kembali menagih? Mengapa pelacur yang mahu kembali ke dunia bersih akhirnya kembali semula ke lorong kotor?

Mengapa?

Sebab ramai antara kita yang berasakan bahawa kita ini manusia suci. Kita dalam golongan kasta tinggi dan mereka itu tidak layak sama sekali minum daripada gelas yang sama dengan kita.

Bak kata UAI, kalau Allah tidak menutup keaiban kita dan membuka kesemuanya, maka tiada satu pun yang baiknya kita ini.

Bukan maknanya jika anak melakukan kesilapan, kita langsung tidak marah, malahan melompat-lompat kesukaan.

Bukan begitu.

Marah itu perlu. Menegur itu wajib. Mengingatkan itu mesti.

Tetapi bukan langsung tidak peduli. Tidak mengaku anak atau apa sahaja yang setaraf dengannya.

Apa akan jadi jika ada yang mengambil kesempatan? Banyak kes yang berlaku dalam kalangan muslim yang akhirnya murtad disebabkan hal sebegini.

Mubaligh-mubaligh yang berselindung di sebalik pertubuhan tertentu mengambil peluang mendekati anak yang terkontang-kanting ini lalu membantu mereka.

Mula-mula tiada elemen dakwah tetapi ibarat menarik benang dalam tepung, perlahan-lahan jarum disuntik. Apa yang akan kita jawab tatkala ditanya Allah di akhirat kelak?

Kalau anak itu menagih, sudah pasti hati ibu bapa sentiasa dirundung resah. Doa mereka sentiasa mengiringi si anak. Mahu diikat kaki, anak sudah dewasa. Sudah puas dinasihati, masih begitu. Kadang-kadang sampai ke tahap anak itu dipulaukan. Berubahkah dia jika begitu?

Jika ada rezeki, maka dia akan berubah. Tetapi tidak kurang juga yang terluka hati. Apabila berasa jauh hati dengan layanan “kelas ketiga” ibu bapa dan adik beradik, apa akan terjadi?

Ada doa ibu bapa yang puluhan tahun baru dijawab Allah. Wahai ibu bapa, bergembiralah dengan jawapan Allah itu. Itu petanda bahawa Dia masih peduli.

Jika belum, bukan maknanya Dia membenci. Allah merindui rintihan hamba-Nya. Dia mahu hamba-Nya selalu dekat. Bukankah Dia Maha Pengasih?

Siapalah kita untuk menyerah kalah jika baru sahaja belajar berdoa kepada-Nya atas kesilapan yang anak kita lakukan.

Berdoalah. Itu senjata kita. Senjata orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah Yang Maha Mendengar.