Total Pageviews

Friday, March 29, 2013

Más Vale Tarde Que Nunca...



“Kak di KL. Esok ada temu duga untuk dana buku PNM. Dekat dengan National Art Gallery. Yang tahu di mana?”

Sejujurnya saya tidak tahu sebab zaman saya saban minggu membawa anak-anak ke sana, lokasinya bersebelahan Masjid Negara.

Esoknya, Kak Noriah menelefon.

“Kak Nor sudah ditemu duga. Nampaknya daripada lima naskah, manuskripYang saja yang sangkut...”

Saya keliru. Nada suaranya gembira tatkala menyebut perkataan “sangkut”. Setahu saya, kalau “sangkut”, maknanya “tidak lepas”.

“Nampak macam manuskrip Yang sahaja yang lulus. Panel tanyakan siapa Yang. Kak Nor tidak bawa CV Yang, tapi Kak Nor maklumkan bahawa Yang banyak kali menang anugerah”.

Hehe...nampak sangat saya langsung tidak dikenali. Bilis? Barangkali melukut lebih tepat.

Sudah jenis yang suka duduk diam. Menonjol diri pun tidak pandai. Memang wajarlah orang tidak kenal.

Manuskrip itu besar maknanya kepada saya. Saya menghabiskannya semasa sedang melawan virus yang mengganggu sistem badan saya. Terhenti lama, jika saya rasa sihat, saya akan menulis, mengedit dan menambah.

Cuma kali ini, usai pembedahan ketiga, saya ada kekangan. Idea banyak tetapi tangan kanan jika kerap digunakan, sakitnya menjalar ke tempat-tempat yang dibedah.

Jadinya, saya banyak mendengar siaran IKIM, kadang-kadang mencapai 70% siaran. Saya juga banyak membaca majalah yang mendidik rohani, menonton kartun atau cerita dari negara Taiwan dan Hong Kong.

Hati seperti digaru ketagih untuk menulis. Macam si penagih menahan diri mendapatkan bekalan dadah.

Entah apa kenanya pula, saya membeli sebuah Honda lama. Masih cantik dan pacuannya hebat. Honda itu untuk si adik, si putih pula saya mahu kakak memakainya sementara mendapatkan Kenari idamannya. Saya? Kancil si adik pun boleh. Lagi pun saya belum boleh memandu.

Oleh sebab kami membelinya tunai, berlakulah adegan tawar-menawar. Saya menyerahkannya ke tangan “pakar”. Memang dia sehebat Allahyarham ayah.

“Mesralah. Suka saya tengok...” muka tuan punya Honda itu nampak pelik dan teruja.

“Siapa?”

“Kak dengan abanglah. Ketawa sahaja. Usik-mengusik. Lucu,” katanya.

Saya gelak besar. Memanglah begitu. Takkan mahu marah-marah pula?

Saya dalam kereta. Tidak keluar pun. Suami yang berbincang dengannya.

Akhirnya Honda itu pun bertukar tangan.

Menjelang tiga minggu dari tarikh pembedahan, kami ke HUKM dengan Honda itulah.

“Belum ada keputusan. Makmal belum hantar,” beritahu Doktor Haris. Profesor Rohaizak memintanya menghubungi makmal sekali lagi.

Memang keputusan belum ada. Kemudian saya ditanya sama ada mahu atau tidak membuat ujian darah untuk mengesan sama ada terdapat sel genetik kanser.

“Ini penyelidikan UKM. Kalau tiada, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, maka mudah untuk kita memantau anak-anak puan”.

Ya, demi memastikan anak-anak saya selamat, saya rela “membuang” darah sekali lagi.

Yang mengambil darah itu, bekas pelajar saya di Matrikulasi juga.

Akhirnya, saya diminta datang semula seminggu lagi.

Dari HUKM, saya diminta suami untuk mengikutnya ke pejabat. Ada sedikit tugas yang mahu diselesaikan, di samping dua aduan kemalangan yang berlaku di Sabah. Dua jam jugalah saya duduk dalam kereta. Kemudian kami ke Puncak Alam, mengiringi si adik yang mahu balik menjaga saya sebab Jumaat kelas dibatalkan.

Penatnya bukan kepalang. Sakit juga rasanya di bahagian yang masih berplaster.

Macam biasa, adik memang tidak duduk diam. Kakak tidak dapat balik minggu ini. Ada mesyuarat.

Pagi dan malam, saya akan minum jus campuran daun belalai gajah, tomato, lobak merah, kiwi, strawberi, anggur, epal hijau, epal merah, belimbing dan limau mandarin. Saya juga minum jus delima dan menelan pil B17 yang menyebabkan saya kepanasan!

Daun belalai gajah itu saya beli empat bekas, dapat percuma satu! RM100 untuk lima bekas!

Rasanya ikhtiar saya meminum jus itu belum terlambat.

Terkenang kata-kata maestro saya dahulu, Profesor Atilio Vega Alicio...

más vale tarde que nunca!

Better late than never!

No comments: