Total Pageviews

Tuesday, March 5, 2013

Bon Voyage Por Mi



Ada rakan sejabatan baru pulang bercuti di Jepun bersama keluarga. Cuaca sangat dingin di sana, mencecah 4 darjah Celsius.

Pasti seronok dapat bercuti di negara empat musim. Mesti berbeza dengan negara beberapa musim macam kita.

Beberapa musim?

Kita ada musim tengkujuh, musim banjir, musim panas, musim kenduri kahwin, musim bersunat, musim durian, musim pilihan raya.

Musim pilihan raya saya suka walaupun banyak juga yang saya tidak suka. Musim-musim beginilah, wakil rakyat rajin menjenguk kampung. Jalan-jalan baharu dibina. Minta apa sahaja, boleh dapat. Berpuluh-puluh tahun begitulah adatnya tatkala musim itu menjelang.

Jambatan runtuh di kampong saya, entah apa khabarnya.

Tetapi menurut abang, masih begitu juga setelah hampir setahun.

“Jangan susah,” kata abang, “esok lusa tentu dapat jambatan baharu...” meledak ketawa bekas perisik yang amat mahir sepak terajang dunia yang pernah menyeretnya untuk patuh kepada arahan pihak tertentu.

Saya jarang bercuti sejak anak-anak ke universiti. Kalau ada yang bertanya, seronok atau tidak pergi bercuti, jawapan saya mudah.

“Saya ini kalau ke Pilah pun seronok, inikan pula jika ke Philadelphia...”

Itu sebab kalau menyandang back-pack dan berlakon macam pengembara kereta api pun saya gembira juga.

Yang penting, ke mana kita pergi, kena berdoa awal-awal supaya selalu dianugerahkan kegembiraan oleh Allah.

Itu pesan saya kepada anak yang sedang teruja untuk memohon student exchange programme ke negara luar.

Lusa saya akan “melancong” dengan gembira.

Perancangan saya ialah, bagasi saya akan dibawa oleh suami ke pejabatnya. Dia terpaksa bertugas juga sehingga jam dua.

Saya akan mengembara dengan komuter ke destinasi. Kemudian, saya akan mendaftar sendiri dan masuk ke “bilik hotel”.

Usai tugas, suami akan datang menjenguk. Itu pun barangkali sekejap sahaja, sebab itu “bilik hotel” khas untuk wanita dan lelaki dilarang masuk, kecuali jika dia rela memakai tudung dan berlipstik!

Suami saya jenis yang berani tetapi berhadapan dengan apa yang akan berlaku lagi kepada sesi "percutian" saya dalam beberapa hari ini, saya dapat mengesan kelopak ketakutannya.

Saya kata, “bersyukur sebab Allah tidak memberikan ujian sakit kepada saya masa anak-anak masih kecil dan saya sendirian. Allah masih mengasihani saya. Dia berikan saya ujian waktu anak-anak sudah dewasa dan waktu saya sudah ada abang”.

Cuba fikirkan sejenak. Memang patut benar saya bersyukur.

“Abang tak dapat bayangkan kesakitan yang akan Yang tanggung,” katanya. Matanya berair.

Saya ketawa. Betul, saya akan sakit dan lemah. Tetapi itulah yang mesti saya harungi. Itu realiti. Bukan mimpi.

Apa yang mak selalu sebut kembali menerjah minda saya. Ingat, jangan takut dengan apa yang ada di dunia sebab di akhirat nanti, macam-macam lagi yang ada!

“Relaks la Bro...” saya menepuk bahunya.

Jika perjalanan hidup saya masih panjang, saya mahu semua orang tahu, betapa beruntungnya saya dipilih Allah untuk menjadi muslim. Saya akan sentiasa memberitahu itu dalam tulisan-tulisan saya. Orang muslim sentiasa bersyukur dengan ketentuan Illahi.

Dan saya juga mahu semua orang tahu betapa untungnya saya, mempunyai insan-insan yang sentiasa mengambil berat akan keberadaan saya.

Maka, saya akan melancong dengan gembira sekali lagi. Bon Voyage!

1 comment:

ngasobahseliman said...

I will miss you...I wish to know you. Meanwhile...take care. My du'a Allah will be with you all the way and I will hear from you again. Kak Ngasobah.