Total Pageviews

Friday, March 22, 2013

Bantu Saya Ke Syurga



Ketenangan hidup akan muncul jika hati kita tidak dipenuhi curiga.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam mindanya. Sudah lama saya mengenalinya. Latar hidupnya yang penuh duri barangkali menyebabkan dia jadi begitu.

Saya tidak menyalahkan dia.

Pun tidak menyalahkan dia tatkala dia cuba “memasuki” pemikiran saya. Saya faham dia tidak sengaja berbuat demikian.

Saya mahu sekali katakan kepadanya bahawa jangan mengharapkan kesempurnaan manusia lain jika kita sendiri pun jauh daripada sempurna.

Itulah tujuannya mengapa Allah menganugerahkan suami atau isteri kepada kita. Untuk saling menutupi kekurangan. Untuk saling melengkapi.

Sudah tentu saya mengasihi suami dan anak-anak. Sudah tentu saya arif dengan kelemahan mereka, sebagaimana mereka mengerti kekurangan saya yang banyak itu. Tetapi saya tidak akan sama sekali meninggalkan mereka, kecuali Allah menggerakkan hati saya untuk berbuat demikian.

Anak-anak, suami atau isteri adalah ujian Allah kepada kita. Mereka menjadi hiburan dan sesekali melukai hati kita. Jangan lupa bahawa kita juga sedemikian.

Hidup kena ada perasaan memberi dan menerima. Kena ada matlamat iaitu menuju syurga. Percaturan hidup bukan hanya berakhir di sini. Setiap hari kita sujud kepada-Nya, justeru mengapa membiarkan syaitan terus-terusan menggoda kita?

Apabila kita tidak bahagia dengan jalan yang kita pilih, jangan sesekali membiarkan hati kita dipenuhi kecurigaan tatkala melihat kehidupan orang lain. Bahagia itu subjektif. Bahagia tidak diukur dengan rumah agam, kereta mewah, barangan rumah berjenama, pasangan yang sentiasa ada di sisi atau apa sahaja yang nampak hebat di mata manusia.

Barangkali atas kekurangan-kekurangan yang melingkari hidup saya, menyebabkan dia terfikir bahawa saya kurang bahagia.

Ya Tuhan, saya sangat terkejut dengan tanggapan itu!

Sudah pasti hidup saya ada panas dan hujan. Ada putih dan kelabu. Adakalanya berwarna-warni. Tidak kurang juga yang hitam pekat.

Apalah maknanya hidup jika tiada warna-warni?

Memang saya sedang diuji dengan kesakitan. Tetapi cinta dan kasih sayang semua seperti markah cemerlang di slip peperiksaan. Markah yang sangat cemerlang itu telah berjaya menghilangkan resah kesakitan.

Ada orang tidak pandai mempamerkan sikap ambil berat di hadapan orang banyak. Ada yang mahir menyembunyikan kasih sayang jauh di gua hati. Kita kena memahami hal-hal sebegitu.

Kita tidak boleh menjadi pengarah filem yang mahu semua orang berkelakuan persis yang kita mahu. Tidak boleh begitu. Bagaimana pula jika kita diarah berkelakuan persis yang orang lain mahu?

Susah, bukan?

Maka belajar memahami karektor manusia lain adalah seni.

Cukuplah dengan hanya melihat apa yang ada di keliling kita. Anak-anak yang lahir dari rahim yang sama, samakah kelakuan mereka? Samakah bentuk wajah mereka? Anak saya sebagai contoh. Yang sulung itu kurus, hidungnya mancung sedikit dan matanya sepet. Yang bongsu pula badannya gempal dan wajahnya telah Allah fotostat daripada wajah saya.

Teringat-ingat SMS si sulung, “mengapa orang Cina suka kakak, tapi Melayu tidak suka. Kalau ada undian, Cina mesti undi kakak tapi kalau ramai Melayu, mereka tidak undi kakak...”

Saya tergelak sendirian. Jawab saya, “tanya sama mata kakak!”

Kemudian saya sambung lagi, “bukankah dalam surat lahir ibu, keturunan mak ibu ditulis Cina, sebab itu kakak sepet...”

Kecurigaan melampau akan merosakkan ketenangan hati. Jangan sesekali membiarkan perasaan negatif beraja, sebab air yang ada dalam tubuh kita akan cenderung membangkitkan aura negatif. Akhirnya apa yang kita selalu fikir itu akan menjadi realiti.

Saya cuma mahukan syurga. Maka jangan sesekali mengajak saya ke laluan berbeza meskipun atas nama kasih sayang yang menggunung.

Kekurangan-kekurangan yang ada dalam kehidupan akan menjadi kebiasaan-kebiasaan pula jika kita belajar untuk menerimanya perlahan-lahan.

Mudah-mudahan dia mengerti.

Jika pun saya sudah tiada sesiapa, saya masih punya Dia Yang Maha Tahu.

Hanya Dia yang tahu apa yang ada dalam hati saya. Dan hati semua.

Jadi, tolong bantu saya ke syurga!

No comments: