Total Pageviews

Saturday, March 30, 2013

"Allah Yang Beri"


"Iman, epal ini Allah yang bagi"

Pagi Ahad, ada rancangan usrah yang sambut menyambut.

Ustaz sedang teresak-esak. Siaran yang pada mulanya senyap sahaja, kemudian dilatari muzik sayu dan menginsafkan. Pandai penerbit mengambil peluang.

Ustaz sedang menceritakan bagaimana Baginda Nabi SAW mendidik anak-anak Baginda mengutamakan Allah dalam kehidupan.

Apabila Baginda bersama sahabat bernama Imran menziarahi Fatimah di rumahnya yang kecil, anaknya bersuara, “wahai bapa, Ali tiada di rumah sebab sedang berperang ke jalan Allah. Saya tidak ada sesuatu yang boleh menutup aurat dengan sempurna. Oleh sebab itu, hanya bapa sahaja yang boleh masuk ke dalam rumah...”

Baginda berasa sedih lalu melemparkan serban yang dipakai baginda ke dalam rumah. Maka, bolehlah Fatimah menutup auratnya.

Para sahabat dan alim ulama yang terdidik dengan akhlak Baginda, sentiasa berpesan kepada anak-anak mereka, “nak, jika nanti selepas bapa meninggal dunia, jika kamu susah, mintalah pertolongan kepada Allah,” sebab mereka tidak meninggalkan harta dunia yang boleh melalaikan. Mereka meninggalkan iman dan akidah yang sekukuh gunung di kalbu anak-anak.

Baginda mendidik bahawa segala apa yang kita ada diberi oleh Allah. Saran ustaz, didiklah anak-anak (atau kalau saya: cucu...), untuk meminta semuanya daripada Allah.

“Ummi, Iman mahu susu...”

“Susu ini siapa yang beri? Allah yang beri”

Minta anak itu mengulang ayat “Allah yang beri” supaya akhirnya menjadi kebiasaan.

Teringat juga cerita bagaimana siksaan ke atas ibu bapa kita dihentikan tatkala kita menyebut “Bismillah” sebelum makan. Hanya dengan kalimah itu sahaja. Bayangkan jika kita tidak pernah mengajar anak-anak dengan ayat-ayat Allah.

Selalu saya dengar dalam masyarakat kita, ibu bapa cenderung menyebut, “lega betul. Selesai sudah tanggungjawab kami sebab anak-anak sudah menikah...”

Sebenarnya dalam Islam, tanggungjawab kita sebagai ibu bapa tidak pernah berhenti sehinggalah kita menutup mata.

Saya menangis sendiri. Alangkah ceteknya ilmu mendidik anak yang saya ada. Saya kagum dengan pendekatan ibu ilmuan Hasan Basri untuk mengekang keinginan mengumpat.

“Wahai anak, kalau kamu rasa mahu mengumpat, umpatlah mak sebab mak akan dapat pahala daripada umpatan kamu”.

Teringat saya status-status laman sosial yang kadang-kadang dipenuhi dengan caci maki dan fitnah. Nampaknya, sudah berjayalah misi musuh agama. Jika dulu misi 5F, sekarang saya tambah menjadi 6F.

Apa itu 5F? Fiesta (Fun), Film, Fashion, Food dan Faith. Saya tambah 1F: Facebook (jika digunakan dengan kecenderungan ke sudut negatif).

Musuh-musuh agama kita juga berjaya mengembangkan misi 4S. Apa itu 4S? Itulah yang sedang mengitari kehidupan masyarakat kita. Sing, Sex, Sport dan Smoke!

Peringatan untuk diri: bukanlah namanya keburukan jika hujungnya syurga. Bukanlah namanya kebaikan jika hujungnya neraka.

Seperti pesanan seorang penceramah, jika hati kita serabut dengan pelbagai masalah dunia; ingatkan mati. Masa kita menghadapi mati, kita sudah tidak peduli suami atau isteri kita mahu diambil orang, kita sudah tidak ambil pusing rumah dan kereta kita yang lebih murah daripada kereta jiran, kita sudah tidak peduli dengan persepsi orang terhadap kita, kemegahan, puji-pujian dan gelaran-gelaran hebat di pangkal nama.

Mudah-mudahan Allah memelihara hati kita seiring dengan doa dan zikir kita dalam solat. Janganlah menjadi sebaliknya. Kita rajin solat, melakukan amalan-amalan sunat dan wajib; tetapi di luar solat; kita mempersoalkan jodoh yang ditentukan Allah, kita membanding beza kemewahan luaran anak menantu kita, kita menjadi munafik, di hadapan bercakap yang baik-baik tetapi di belakang penuh dengan sangkaan-sangkaan buruk yang akhirnya menjadi doa.

Ya Allah, peliharakanlah hati-hati kami yang selalu alpa. Peliharakanlah hati-hati kami yang selalu berdosa...

Sunday, March 24, 2013

Hanya Dia Yang Tahu


Seperti pemuda mengintai cinta

Hujung minggu, budak-budak berdua itu balik.

Berdentam-dentum bunyi lesung batu. Apabila saya mencadangkan si kakak menggunakan pengisar, dia menjawab, “tak mahu. Kakak nak main tumbuk-tumbuk!”

Masalahnya, perut ibu sudah berbunyi-bunyi, nak!

Saya memintanya menggoreng bihun putih. Si adik masak asam ikan.


Bihun putih si kakak


Masak asam si adik

Saya kasihankan si adik. Banyak tugasan yang diberi pensyarah dan dia pula sejak tiba di rumah, langsung tidak berehat.

Hari jadi saya sudah berlalu tiga hari. Kedua-duanya memberikan saya buku-buku. Sudah tentu macam mendapat emas sekarung. Walaupun belum mampu membaca sebab ada buku-buku yang berat, saya menyusunnya di meja. Saya melihat buku-buku itu seperti pemuda mengintai gadis pujaan. Ada antologi cerita pendek penulis Jepun versi bahasa Inggeris, komik Islamik pelukis Indonesia, komik-komik komikus majalah Gempak (daripada kakak), komik Eori yang comel, buku-buku motivasi Islamik (daripada adik).

Dia pula memberikan saya rangkaian barangan wangian jenama kegemaran saya “Women On Earth” dan dompet jenama yang sama. Barangkali dia kasihan melihat saya masih menggunakan dompet pemberiannya sebelas tahun yang lalu. Dompet itu sudah sangat uzur tetapi saya enggan membuangnya.

Nampaknya masing-masing sudah arif apa yang saya dambakan. Pertama, buku dan kedua, wangian.

Jujurnya, saya bersyukur melihat budak-budak ini ada di depan mata. Cuma berasa belas sebab mereka mahasiswi yang sepatutnya berada di kampus, bukannya menjaga ibu di rumah.

“Kalau kakak adik ikhlas menjaga ibu, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Mungkin keputusan yang baik, kawan-kawan yang baik, kesihatan, kemudahan, atau hati yang tenang,” saya menyebut.

Masing-masing sudah basah kain dan baju. Bersungguh-sungguh benar memasak dan membuat kerja rumah. Kemudian mereka ke pasar raya membeli barang yang mahu mereka masak.

Adik yang memandu. Dia sudah arif dengan jalan setelah saya tidak lagi boleh memandu. Bagus juga ujian sakit ini. Anak itu nekad sekali memandu.

Selalu saya berpesan, sesat di jalanan hal yang sangat biasa. Jangan panik lebih-lebih. Berhenti di tempat selamat dan tenangkan diri. Kemudian berpatah balik ke laluan asal. Mulakan dari tempat di mana kita tahu.

Dalam pemanduan, yang penting ialah lampu isyarat kereta, papan tanda, mercu tanda, jangan gopoh, jangan panik. Saya kerap tersesat, berpusing-pusing lama sehingga akhirnya menemui jalan yang betul.

Tengah hari Ahad selepas Zuhur, mereka bergerak pulang. Saya membacakan doa perjalanan dan doa biasa yang saya bacakan waktu zaman mereka sekolah dahulu. Pesanan saya beribu-ribu. Memastikan tas tangan mereka tidak kelihatan oleh “pencopet” dari luar kereta, memastikan juga tali pinggang keselamatan telah dipakai dengan betul, barulah saya izinkan mereka bergerak.

Melihat kereta hilang dari pandangan, saya mengangkat tangan dan berdoa, “Ya Rabb, peliharalah perjalanan kedua-dua anak itu sehingga ke destinasi. Peliharalah kenderaan mereka dan orang-orang di dalamnya. Peliharalah juga pengguna-pengguna jalan raya yang lain...”

Mengunci pagar, saya berdiri lama.

Betulkah itu budak-budak yang saya heret ke sana sini menaiki bas mini di tengah jantung Kuala Lumpur satu ketika dahulu?

Betulkah itu budak-budak yang kadang-kadang hanya mampu saya suapkan lauk telor goreng dengan nasi putih tatkala wang di dompet hanya berbaki sehelai dua?

Betulkah?

Dahulu saya yang menyediakan makanan buat mereka. Sekarang, mereka sedang melakukannya untuk saya.

Hanya Allah yang tahu apa yang sedang berkocak dalam nubari saya.

Sebab Dia pemilik jiwa. Hanya Dia yang memakbulkan doa.

Hanya Dia.

Wednesday, March 20, 2013

Apabila Mak Menangis...



Saya tidak berani menghubungi emak.

Sudah dua hari saya hanya menyampaikan pesan sama ada melalui kakak di Ipoh, kakak ipar di kampong atau melalui anak bongsu saya.

“Beritahu mak, Yang sudah makan nasi, minum jus delima, minum jus buah campur daun herba, sudah makan ubat, sudah mandi”.

Menjelang tengah hari, saya berpesan lagi, “cakap dengan mak, 20 Mac ini Yang sudah tua, sudah empat puluh tujuh. Maknanya Yang sudah tempuh macam-macam kesusahan dalam hidup. Oleh sebab itu, mak jangan risau lebih-lebih. Beritahu juga, Yang kan anak mak!”

Kemudian tatkala tibanya petang, “Yang sudah minum petang. Beritahu mak. Ada jiran yang datang sapu sampah, cuci kain dan pinggan...”

Sebenarnya saya boleh lakukan semua kerja itu dengan tangan kiri. Tangan kanan saya pun sudah mula pulih. Tetapi saya tidak boleh terlalu menggunakannya selagi luka masih berbalut.

Mendengar suara mak yang begitu, saya jadi terlalu takut untuk menelefon.

Sungguh! Saya tidak berani!

Sudah dua kali saya menelefon dan mak menangis.

Apabila mak yang suka ketawa dan riang itu menangis...

Mak wanita yang kuat. Saya pernah abadikan kekuatan jiwa mak dalam sajak panjang “Namanya Mariam” dalam antologi Ratib 1000 Syair. Sajak itu juga dideklamasikan secara langsung melalui RTM dalam usaha mendapatkan pengikhtirafan Rekod Guinness Malaysia untuk deklamasi tanpa henti beberapa tahun yang lalu.

Tetapi apabila mak menangis...

Hati saya luruh dan saya ketakutan. Tidak mengapa jika orang lain menangis meraung-raung sampai ke langit Afrika dan mematikan zirafah dan dubuk akibat terkejut, atau meraung-raung sehinggakan ketulan ais di Antartika mencair. Tetapi sedu-sedan mak, sangat mengerikan!

Kami balik ke kampong tetapi tiba-tiba ada urusan mustahak melibatkan dokumen transkrip anak yang perlu diambilnya di kampus lama di Perak. Juga urusan pemeriksaan perubatan. Ada juga beberapa hal lagi. Perancangan berubah. Dengan anak yang memandu, saya di sebelah menunjuk jalan.

Anak itu barangkali akan mewarisi “kekuatan” ibu dan opahnya. Sejak jam 6.30 pagi sehingga menjelang jam 2 pagi, dia tidak berhenti-henti menguruskan segala hal berkaitan kemasukan ke kampus baharu, memandu ke sana sini, dan dalam masa yang sama menguruskan hal ibunya.

Mak terkedu. Mak tidak tahu perancangan yang tiba-tiba berubah itu. Sengaja kami tidak memberitahu. Saya rasa bersalah juga sebab mematikan keriangan mak yang mahu menjaga saya di kampong.

“Nanti Yang balik lagi hari mengundi...” jerit saya dari dalam kereta. Waktu itu mak masih boleh senyum walaupun saya nampak mak asyik berpaling meraup muka.

Sudah tentu hati mak rusuh. Baru seminggu saya keluar dari bilik pembedahan. Tetapi sudah melakukan perjalanan jauh beberapa hari ulang alik tanpa rehat yang cukup. Memang terasa sedikit bentan, tetapi hati saya tidak akan tenang jika membiarkan si anak melakukan semunya sendirian. Saya tahu mak memahami, tetapi sudah namanya seorang emak...

Anak memberitahu, “opah masih menangis. Adik pun tak tahu nak cakap apa...”

Itu puncanya saya tidak berani menghubungi mak. Mak yang selalu kuat sudah menangis. Mak sudah tujuh puluh lima. Mampukah mak bertahan dengan keberangkalian-keberangkalian anak yang pernah berada dalam rahimnya akan mendahuluinya ke negeri abadi?

Mak mesti membayangkan kesukaran-kesukaran yang saya hadapi apabila tiada sesiapa yang menemani saya. Bagaimana mahu masak sedangkan saya tidak boleh dekat dengan api, bagaimana mahu potong sayur dengan tangan kiri, bagaimana mahu kisar jus, bagaimana itu dan ini. Mak risau saya jatuh dalam bilik air, mak gusar kalau-kalau saya berdegil mahu menyapu dan mengemas rumah; atau memandu; sebagaimana perangai saya yang biasa.

“Kalau adik cuti hujung minggu, adik balik uruskan ibu. Sudah pun belikan pengisar yang lebih ringan. Adik sudah cakap begitu, tetapi opah masih sebek (tersedu). Opah meme (penangis), patutlah anak-anak opah pun meme,” lapor anak.

Anak-anak mak memang penangis, cepat berasa kasihan antara satu sama lain. Sebelum itu, abang sulung saya sudah menangis mengenangkan nasib adiknya yang lembek macam agar-agar ini. Adik-adik lelaki saya terutama yang bongsu itu pun sama, walhal ketiga-tiga mereka adalah tentera dan bekas tentera. Bukan tentera biasa pula tu...hahaha.

Yang perempuan pula, sayalah juara menangis sedunia. Apa tidaknya, tengok anjing kaki kudung sebelah pun, sedihnya bukan kepalang. Rasa mahu pergi suapkan makanan!

Kakak pula memang spesis ganas sejak kecil. Dialah pelindung saya, abang dan adik-adik kalau kami dibuli. Lokasi kegemarannya kecil-kecil dahulu ialah di atas pokok, meredah hutan atau menyamar jadi kerbau di bendang. Tetapi dalam hatinya penuh taman, khususnya apabila melihat adik yang selalu dilindunginya tiba-tiba terpaksa berperang dengan virus yang tidak mampu untuk dia menentangnya; sebagaimana dia melakukannya ketika ada budak-budak nakal menyakiti saya dahulu.

“Kalaulah kuman itu Nyah boleh tumbuk, memang dah lama kuman tu Nyah lanyak!” katanya dan kami ketawa-ketawa sepanjang jalan pulang ke kampong, terutama tatkala dia menceritakan kelasakannya semasa masih anak-anak.

Hari ini saya beranikan diri menelefon. Itu pun selepas kakak ipar memberitahu mak sudah tidak menangis.

Mak di klinik. Suaranya lemah. Saya tidak bercakap lama sebab radar telinga saya mengesan bahawa kepiluan hati mak belum berakhir.

Nampaknya dialog lucu yang mahu saya katakan kepada mak tidak menjadi.

Saya SMS kakak. “Kata kepada mak, kalau mak tak menangis lagi, nanti Yang bagi hadiah. Hadiah istimewa...”

Macamlah mak budak-budak kecil!

Oleh sebab mak yang lahirkan saya, menjelang ulang tahun kelahiran, sayalah yang kena bagi hadiah untuk mak. Bukan mak yang bagi hadiah kepada saya. Mak yang susah payah melahirkan saya yang keluar dengan kaki dahulu, bukan dalam kedudukan yang normal. Saya seperti “menendang dunia”, menyebabkan mak sendiri nyaris berdepan dengan maut.

Kata orang kampong, saya yang lahir songsang boleh ubatkan orang. Hahaha...entah teori mana pula yang mereka pakai. Ubatkan dengan panadol, bolehlah!

Saya masih berdoa agar mak tidak mendung atau gerimis. Susah mahu “menyidai kain” kalau mak terus begitu. Saya akan pulang juga. Tunggu pemandu-pemandu saya yang sangat sibuk itu menghantar saya ke sisi mak. Supaya akhirnya mak akan jadi matahari.

Saya pun tidak akan menjadi bunga matahari jika mak masih bersedih.

Sebab ketakutan akan mengetuk pintu hati tatkala mak menangis.

Dia ibu yang periang dan suka ketawa. Dia juga seorang yang sangat positif.

Tetapi apabila dia menangis...

Saya tidak nampak ada matahari atau bulan yang bergantungan di langit!

Tuesday, March 19, 2013

INFO UNTUK PESAKIT KANSER!



SUMBER: LAMAN " HIDUP TANPA KANSER"

1. Gula tebu/prai- perlu ganti dgn gula Stevia, gula merupakan makanan/sumber tenaga utama kepada sel2 kanser, kanser makin cepat merebak/membesar jika masih mengambil gula

2. Sebarang jenis produk susu/produk yang menagndungi susu - susu juga menjadi makanan/sumber tenaga kepada sel2 kanser yang akan merangsang pertumbuhan & perkembangan sel2 kanser

3. Sebarang jenis produk gamat/produk2 yang mengandungi gamat- kerana gamat merangsang pertumbuhan sel, ini akan menyebabkan pertumbuhan sel2 kanser makin cepat, kanser mudah merebak

4. Sebarang jenis produk kolagen/produk2 yang mengandungi kolagen- kerana kolagen merangsang & membantu dalam pertumbuhan/pembahagian sel, ini menyebabkan sel2 kanser mudah membiak & merebak

5. Daging merah/lembu/kambng/rusa- kerana daging merah mengandungi Ferum (zat besi ) yang tinggi yang mana zat besi adalah bahan asas utama dalam pertumbuhan/pembiakan sel2 termasuk sel2 kanser. Pengambilan daging merah akan membantu sel2 kanser membahagi/membiak/bertumbuh/merebak dgn cepat

6. Satu lagi produk yang dilarang untuk pesakit kanser adalah 4Life/Transfer Factor - kerana menyebabkan kanser semakin merebak & bertambah teruk(berdasarkan daripada pengalaman pesakit2 kanser sendiri)

7. Tidak boleh makan ikan bersisik seperti kerisi, terbuk, siakap, gelama, tilapia, ikan darat. Selain dari tu, ikan2 lain boleh makan terutama salmon & tuna sbb tinggi kandungan omega 3 yang mana bagus utk cegah kanser

8. Tidak boleh makan seafood seperti udang, kerang, ketam, sotong

9. Tidak boleh makan buahan bergetah seperti nangka, cempedak, sukun. TETAPI semua buah2an lain bagus untuk diamalkan terutama boleh buat jus sebab semua buah2an ada kandungan B17, cuma yang berbeza kandungannya tinggi @ rendah. Bagus amal makan semua buah2an

10. Minuman berkafein seperti kopi & nescafe tidak boleh minum. Teh boleh minum, jika nak manis tambah gula stevia. Milo boleh minum tapi jangan tambah gula/susu.

11. Yang terbaik adalah gantikan beras biasa dengan beras perang

DIHARAP SEMUA PESAKIT2 KANSER @ WARIS/SAUDARA KEPADA PESAKIT KANSER AGAR DAPAT MENGIKUT PANTANG2 DI ATAS KERANA DAPAT MELAMBATKAN/MEMBANTUT PERTUMBUHAN SEL2 KANSER/TUMOR/KETUMBUHAN. PERLU DISIPLIN & USAHA YANG LEBIH UNTUK BERIKHTIAR DALAM MEMBANTU MERAWAT KANSER. INSYA-ALLAH DENGAN SEGALA USAHA KITA MUDAHAN2 DENGAN IZIN ALLAH DAPAT MERAWAT/MENYEMBUHKAN KANSER YANG DIHIDAPI.


NOTA: IBM hanya menyalin info daripada sumber internet. Barangkali berguna...

Saturday, March 16, 2013

Cerita Panjang IBM



Pagi 7 Mac. Khamis.

Kami bergerak ke HUKM. Mendaftar di kaunter, saya dimaklumkan katil tiada kosong.

“Tak apalah, saya merayau dulu,” saya tinggalkan beg dan menuju ke Klinik Surgeri untuk mengambil dokumen daripada Jururawat Kamelia. Surat keizinan dan pengesahan doktor pakar untuk rayuan menjadi tetamu Allah.

Saya ke kedai fotostat. Kemudian mengepos semua dokumen berkaitan. Membeli beberapa botol air mineral juga.

Teringat hari ini Si Ef ada temu janji di Klinik Surgeri. Suaminya sedang mencari parkir.

“Ef turun dulu. Kak Yang tunggu di tangga lobi,” usul saya. Saya bawanya ke klinik dan tunjukkan cara daftar. Selepas itu saya tunjukkan juga laluan ke kafe dan kedai. Dalam pada itu kaunter menelefon, katil sudah ada.

Saya tinggalkan Ef, mengambil beg dan surat masuk wad, naik ke aras lima. Katil hujung. Tiada lagi bilik seorang macam dulu. Selepas menyalin seragam hospital, saya berbual dengan mak cik sebelah.

Doktor housemanship datang untuk memasukkan jarum, juga mengambil darah. Caranya agak kasar dan gopoh. Darah banyak keluar. Selepas itu, ramailah doktor pelatih yang datang. Saya pura-pura tidur. Dari celah penutup mata warna kelabu itu saya nampak mereka mundar-mandir.

Saya kantoi juga beberapa kali. Layan jugalah, tak sampai hati. Tapi mereka tergelak apabila saya menyebut satu persatu info yang mereka mahu tahu, sebelum sempat mereka bertanya.

“Sudah biasa ya, mak cik...” kata mereka. Sia-sia sahaja nampaknya mereka belajar Dinamika Kemahiran di kolej matrikulasi. Kemahiran komunikasi lemah.

Doktor lelaki Tionghua yang memasukkan jarum ke tangan saya itu ditanya profesornya, mengapa dimasukkan di kanan sedangkan bahagian yang mahu dibedah juga adalah kanan. Dia kena marah di depan saya.

“Sudah cuba di kiri tetapi tidak boleh!” dia menipu untuk menyelamatkan diri.

Terus terang, perasaan saya sudah lain macam. Saya tidak suka doktor itu menipu.

Dengan baju hospital dan jarum tertanam di tangan, saya turun ke aras bawah. Saya cari Ef. Rupanya dia dalam kamar rawatan. Saya masuk. Suaminya berdiri gelisah. Ef sedang baring, menunggu doktor lain untuk memeriksa sekali lagi.

Saya merayau ke kedai, membeli makanan. Saya tidak boleh “masuk” dengan makanan hospital.

Akhirnya saya naik ke wad. Saya kena pindah ke bahagian lain. Apa lagi, seronoklah saya duduk atas katil yang ditolak dua jururawat. Menjerit-jerit jururawat lain, bimbang saya jatuh sebab ditolak agak laju. Pesakit lain ketawa kelucuan melihat saya duduk bersila atas katil yang ditolak, tersengih-sengih. Sekali sekala “merempit” apa salahnya!

Lokasi baharu lapang. Mudah untuk solat, dekat dengan tandas. Ada dinding yang memisahkan dengan katil sebelah.

Malam itu, bekas pelajar yang sekarang berada di tingkatan lima menelefon. Menyatakan resahnya sebab ada khabar angin Malaysia akan diserang dengan lebih hebat di Sabah. Saya tergelak.

“Askar kita terlatih. Mereka pun pasti suka dapat pengalaman berperang. Eh, cikgu di wad ni Taput. Tak dapat cakap lama-lama...”

Dia terkejut. Budak itu namanya Fais, tapi saya memanggilnya Taput sebab kawan-kawannya memanggil begitu. Seminggu lepas dia mengadu ketidakyakinannya sebab disuruh melakonkan watak utama di pentas. Jenuh juga saya memberi nasihat berdasarkan pengalaman saya dalam bidang lakonan pentas itu.

Kotak mesej dipenuhi doa guru-guru pelatih, rakan-rakan sekerja, rakan-rakan penulis dan keluarga. Jam sepuluh malam, Kak Tumerah, pengarah IPG Melaka; dan suaminya datang. Suaminya masih teringat-ingat peristiwa dia pergi ke pekan Lenggong tahun lepas, mengambil anak-anak saya dan sepupu mereka, dengan bersandarkan muka “fotostat” anak bongsu saya!

Mak, adik bongsu, anak bongsu dan sepupu saya tiba jam enam petang. Melihat saya yang cergas, mak baru boleh makan. Mereka bermalam di rumah sepupu saya yakni anak susuan mak. Takjubnya saya sebab si anak bongsu saya mampu memandu di KL mengekori kereta Pak Cu beliau.

Jam dua belas saya diberi ubat tidur. Jam dua pagi saya mula puasa. Sebelum itu saya diberi taklimat oleh pakar bius.

Jam lima pagi, jururawat mengambil tekanan darah dan ujian jantung. Tiada masalah. Jam delapan, saya berjalan kaki dengan doktor ke aras bawah, ke unit nuklear yang sudah direnovasi, berbeza dengan keadaan pusat itu tahun lepas.

Di situ memang sejuk amat. Rupanya mesin di situ memang kena cuaca dingin. Manja betul. Mesin puteri lilin.

“Dr Shahril mana?” tanya saya apabila melihat radiologis lain yang datang.

“Dia sambung belajar di Kelantan,” jawab Dr Sarah. Kami menunggu lama. Sebatian radioaktif yang akan disuntik hidup-hidup 4 kali di bawah puting kanan itu rupa-rupanya ada tempoh tertentu sebelum digunakan.

“Macam kenal. Saya jumpa puan tahun lepas masa radioterapi, betul?” kata doktor yang lain.

Allah, sekali lagi saya mengalami suntikan yang amat menyakitkan itu. Saya berdoa agar saya mampu menahan atau Allah mengurangkan kesakitan. Maut nanti entah bagaimana sakitnya, apalah sangat dengan tusukan jarum itu.

Selepas diplaster, saya kena melakukan gerakan tertentu supaya sebatian itu bergerak lancar ke bahagian kalenjar limfa. Kemudian saya dibaringkan dalam terowong CT Scan. Tangan diletakkan dalam keadaan surrender. Lama betul berada dalam terowong tersebut.

Selepas itu, saya menjalani ujian mengesan kalenjar limfa dengan alat yang berbunyi nyaring. Radiologis dapat mengesan tiga kalenjar limfa yang besar dan dua kecil. Kelima-lima kalenjar itu akan dibuang bersama dengan ketulan. maknanya ada dua tempat yang akan "dihiris" nanti.

Saya dikuarantin kerana dibimbangi radiasi di tubuh saya akan memberi kesan kepada orang lain. Amat membosankan sendirian dalam bilik yang sangat sejuk. Saya kena berada dalam jarak 2 meter daripada orang lain supaya mereka tidak menerima bahang radiasi.

Tidak berapa lama kemudian doktor datang mengambil saya. Dia sempat membawa saya berjalan-jalan ke bilik pembedahan yang mempunyai pintu automatik. Seronok betul bermain dengan pintu “berhantu”. Apabila saya menjulurkan kaki, pintu itu terbuka. Kalau saya menyembunyikan kaki, pintu itu akan tertutup dengan sendirinya. Orang lain pelik-pelik mengapa pintu itu terbuka dan tertutup walaupun orang tiada. Mereka tidak tahu itu angkara saya!

Balik ke wad, jururawat sudah sibuk memanggil untuk turun ke bilik OT. Saya menyalin pakaian pembedahan dan baring di katil khas. Jam 1 petang, saya disorong ke aras bawah. Di OT, saya ditanya beberapa soalan untuk memastikan bahawa saya pesakit yang betul.

5 jam 15 minit saya ditidurkan dalam OT. Jam 6.30 saya kembali ke wad. Mak, anak, suami, anak saudara dan sepupu masuk ke wad.

“Mana Pak Cu?” tanya saya. Rupa-rupanya kata anak saya, bekas komando itu sedang menangis di luar. Agaknya dia tidak sanggup melihat kakaknya terbaring lesu. Malam itu, mak menemani saya. Saya tidak boleh bergerak kerana tangan sebelah kanan tidak boleh diangkat dan tangan kiri dimasukkan air.

Jam 5 pagi, jururawat mengambil tekanan darah beberapa kali. Tekanan darah saya rendah. Patutlah saya kepeningan dan terhoyong-hayang. Saya tidak solat 4 waktu. Subuh itu saya solat duduk. Sempat juga saya membantu seorang wanita India yang mahu muntah. Dia lagi kasihan. Tiada yang meneman sebab suaminya kena menjaga anak-anak yang masih kecil.

Sepupu-sepupu yang rapat dengan saya datang bersama keluarga mereka. Anak sulung saya dan kawannya juga datang. Saya bersiap-siap untuk balik ke rumah. Menjelang petang, saya dibenarkan balik walaupun kepala masih berpinar-pinar. Agaknya, doktor pun rimas melihat mak cik yang asyik hilang dari katil. Dengan botol air dan jarum yang tertanam di tangan, saya berjalan-jalan melakukan sesi lawatan sosial, hahaha...

Anak saya ikut balik ke rumah. Kami singgah di farmasi membeli ubat sebab tiada ubat itu di HUKM.

Ahad petang, adik bongsu menghantar anak sulung saya ke UKM dan dia terus pulang ke Ipoh.

Kali ini, agak teruk kondisi saya berbanding dua pembedahan sebelum ini. Maka, mak dan anak bongsu melakukan semuanya untuk saya. Termasuklah menaip untuk blog ini.

Puan Hajah Mahaya Yasin dan anaknya menziarahi saya. Dia memberitahu hibanya hati tatkala membaca status yang ditulis oleh penulis Puan Rosmiaty Shaari di laman sosial mengenai saya. Selepas itu, seorang demi seorang rakan sejabatan bertamu.

Tiba-tiba si bongsu mendapat tawaran menyambung pengajian di Puncak Alam. Saya menemaninya menguruskan yuran dan segala macam urusan. Mujur ada pensyarah senior seperti Kak Amanah dan Kak Yam yang membantu.

Tetapi akibatnya, saya bentan. Jumaat itu, saya tidak dapat lena. Esoknya Sabtu, Daddy mengangkut barangan adik ke kolej kediaman. Mujur ada kakak saya dan kawannya yang sampai dengan bas awal pagi Sabtu. Mereka menggantikan saya mengangkut barangan adik ke kediaman.

Saya dipaksa balik ke kampong seminggu. Beratnya hati mahu balik, sebab walaupun tiada apa yang boleh saya buat, kehadiran saya yang “dekat” dengan anak-anak; sekurang-kurangnya memberikan mereka kekuatan dan kelegaan. Ke UKM sejam dari rumah dan ke Puncak Alam dua jam. Meskipun adik sudah tawar hati mahu ke universiti tersebut (dia mahu ke USM) tetapi dia masuk melalui program penerapan untuk ijazah, bererti hanya dua tahun setengah. Dia akan tamat pengajian serentak dengan si kakak. Demi meringankan “beban” ibu, mereka pun belajar berkorban juga akhirnya.

Bukan saya elergik sangat dengan universiti berkenaan, tetapi dasarnya itu... Pelajar yang kurang cemerlang pun boleh masuk dengan kabel-kabel politik. Akibatnya tempat untuk pelajar lain sudah diambil orang.

Kampusnya panas kontang seperti gurun dan agak besar tapi miskin papan tanda penunjuk arah. Berpusing-pusing si adik memandu. Daddynya lagi lucu, konfiden saja membelok ke Puncak Perdana. Daripada kami yang mengekori dia, akhirnya dia yang tertinggal di belakang.

Adik dapat duduk di kolej kediaman tetapi kena bayar sebab asalnya kolej itu untuk pelajar diploma sahaja. Ertinya adik kena tinggalkan Mini-Atiranya di rumah. Tak apalah, sebab kata adik, konsep kediaman sama macam apartmen kakaknya semasa buat diploma di KUIS dahulu, walaupun tidak semewah apartmen si kakak.

Sedihnya sebab saya tidak dapat uruskan kemasukannya dengan kondisi saya ini. Dia yang ke sana ke mari memandu. Jururawat terbaik saya itu telah melambai pergi dengan membawa Babam si kura-kura kecilnya. Saya tahu dia sedih. Kakaknya akan cuba gantikan dia cuti hujung minggu jika tidak sibuk.  Lucunya juga, si kakak mengadu letih “bergaduh” dengan monyet-monyet yang mencuri masuk ke biliknya di kampus.

Ya, banyak yang tiba-tiba berlaku serentak dalam seminggu ini tanpa diduga. Tiada istilah masa yang salah. Bagi saya, itulah rahmat ujian. Rahmat untuk si anak belajar berdikari. Supaya saya sedar bahawa mereka telah dewasa dan bersedia untuk saya “melepaskan” tangan yang selama ini menggenggam kuat tangan mereka.

Terima kasih untuk mesej, panggilan, doa dan ziarah yang tidak putus-putus daripada sebelum hingga selepas operasi. Daripada pelajar-pelajar, rakan-rakan, penulis-penulis, senior-senior, jiran-jiran, adik beradik, dan semuanya yang tidak mampu saya sebutkan seorang demi seorang. Allah sahaja yang akan membalas kebaikan anda semua.

Luka saya kali ini agak sukar sembuh. Pedihnya menguji.

Tetapi saya yakin, Allah pasti menyembuhkan luka sebesar mana pun, dengan kasih cinta-Nya.

NOTA: kredit kepada Atira Laila yang menjadi juru taip ibu. Selamat belajar di gurun puncak segala alam! Ibu bangga sekali denganmu!

Sunday, March 10, 2013

SELAMAT JALAN, KOGULAN...



Petang 6 Mac.

Tiba2 hati mahu meninjau cerita di laman sosial. Buka sekejaplah, mahu tahu kisah di Lahad Datu.

Kemudian terlihat gambar yang dipos seorang teman. Gambar kemalangan pelajar. Ada satu dua komen.

Saya pun menulis, “kenapa dengan Kogulan?”.

Malam itu, saat makan malam saya masih teringatkan Kogulan. Diakah? Terus menelefon teman lama.

“Ya, kak. Memang dia. Dia bawa motor bapanya. Mati di situ juga”.

Kogulan selalu berbasikal ke sekolah. Dia di tingkatan lima sekarang. Lama dia tidak sekolah. Hari ini dia datang untuk bertemu malaikat maut. Khabarnya, dia hanya tidur dalam kelas.

Hati saya sedih. Dia bukan budak nakal. Dia cuma tidak tahu membaca. Saya pernah membimbingnya belajar ABC, semasa dia di tingkatan satu. Waktu-waktu itu ibunya meninggal dunia. Kogulan tinggal bersama bapa, kakak dan seorang adik.

Mahu hadiahkan Al-Fatehah, Kogulan bukan Islam. Mahu ziarah, saya akan masuk wad esok. Saya hanya mampu mengenang.

Kalau nampak Kogulan dan empat rakannya bosan, saya akan belanja mereka di kantin. Sambil mendengar cerita mereka yang lucu dan sedih. Saya pernah menulis tentang Kogulan sekitar Jun 2011 di blog ini.

Ketika saya kembali ziarah bekas bos dan kawan-kawan, saya dengar suara dia menjerit dari aras tiga.

“Cikgu!” dia berteriak. Saya melambai. Kemudian sekelip mata, dia sudah ada di sisi.

“Cikgu, kenapa cikgu pergi. Baliklah sini. Saya sudah pandai baca. Sudah pandai tulis nama...”

Dia masih ingat pesan saya rupanya. Sebelum pergi, saya hadiahkan dia buku untuk pelajar tadika. Kata saya, “mesti tahu tulis nama dan alamat. Nanti Kogulan mudah dapat kerja. Kalau sesat, senang. Nanti dah dewasa, ada awek, macam mana nak SMS kalau tak tahu baca...”

“Cikgu, dia sudah ada awek. Budak Melayu TKS. Betul cikgu...” usik kawannya. Kogulan malu-malu, mereka berkejaran di sekeliling saya.

“Dia mahu anak kulit putih, cikgu!” jerit kawannya lagi yang juga berketurunan India. Semua pelajar buta huruf saya itu berketurunan India.

“Dio bongak, cikgu. Mana saya ada awek!” kata Kogulan.

Saya ke sekolah itu hanya singgah, tidak lama. Dia di tingkatan satu kelas corot waktu saya datang, bila dia mahu naik tingkatan tiga, saya berpindah. Budaknya bersaiz kecil kurus. Saya mengajarnya seni lukis. Walaupun kelas itu bilangannya mencapai 46 murid yang semuanya lelaki, saya mengambil risiko membawa mereka melukis di padang. Setiap kelompok ada ketua. Kogulan tak pandai melukis tetapi kadang-kadang saya memberinya markah yang tinggi. Melihat dia kesukaan, hati saya gembira. Saya menyediakan hadiah kecil jika ada yang memperoleh markah tinggi.

Kogulan anak orang susah. Bapanya buruh. Kakak dan adiknya juga bukan pelajar pandai. Dia tiada ibu. Kogulan buta huruf, tetapi dia bukan tergolong nakal.

Bagi seorang guru, kami buta warna kulit. Saya tiada impian besar terhadap Kogulan, saya cuma berharap dia dapat hidup sebagai warga yang baik.

Tetapi Kogulan telah tiada. Dia pergi dahulu dalam usia tujuh belas. Dia mendahului ibu gurunya.

Tahun lepas, waktu menziarahi sekolah itu, dia beritahu saya, “cikgu, nanti balik sini ya, ajar saya lukisan. Nanti saya belanja cikgu KFC”.

Saya hanya angguk sambil menyentuh kepalanya. Tidak sampai hati mahu mengatakan bahawa saya tidak akan kembali mengajar di situ meskipun saya sangat merindui teman-teman lama.

Selamat jalan, Kogulan. Selamat jalan.

Wednesday, March 6, 2013

Adios!



Ada lima ibu yang berhak mendapat penghormatan anak dan Allah memerintahkan ketaatan anak terhadap lima ibu ini.

Lima ibu itu ialah ibu kandung, ibu mentua, ibu tiri, ibu susuan dan ibu angkat (yang memelihara anak sejak kecil).

Sudah pasti ibu kandung berada pada carta teratas. Blood Is Thicker Than Water: The family bond is closer than anything else.

Mengapa begitu?

Sebabnya sangat mudah untuk difahami. Bayangkan ada manusia, yang namanya wanita, yang disinonimkan pula dengan konotasi “lemah” membawa manusia lain dalam perutnya selama sembilan bulan lebih!

Lagi tiga bulan lebih sahaja, untuk mencapai tempoh setahun!

Bukankah itu sesuatu yang ajaib?

Tatkala Allah meniupkan roh ke dalam rahim si ibu, waktu itulah si ibu mengalami alahan yang sangat teruk atas sebab proses kemasukan satu jiwa itu.

Bukan sahaja alahan, bermacam-macam perangai pelik yang kadang-kadang membuatkan orang keliling pening kepala.

Setelah hilang alahan, dan perut sudah semakin membuncit, si ibu mula mengalami kepayahan lain. Tidurnya sukar lena, mahu beralih ke kiri kanan pun payah, apatah lagi jika teringin mahu meniarap! Jangan mimpi!

Badannya pijar, barangkali ada yang mengalami kaki bengkak, muka yang tiba-tiba menjadi “gemuk” dan sembab, berjalan pun sudah macam itik pulang petang.

Apabila tiba saat melahirkan, satu hal lagi. Ada suami yang pitam dua tiga kali, macamlah dia pula yang kena meneran!

Tetapi semua kesakitan dan kepayahan itu sirna serta merta.

Jemari comel dan wajah berkedut bayi yang baru keluar menghirup udara dunia yang sudah tercemar itu, telah melenyapkan segenap kesakitan.

Mula-mula barangkali keliru juga. Kalau saya dulu, tiba-tiba berasa malu sendiri mahu menggelar diri sebagai ibu. Rasa macam yang keluar itu berpangkat adik sahaja. Oleh sebab itu, anak sulung saya, saya memanggilnya “adik” sehinggalah si bongsu pula muncul dua tahun selepas itu.

Begitulah, kuasa Allah Yang Maha Besar.

Setelah bertahun-tahun, sekali lagi kita bertanya, “bila pula anak saya ini membesar? Saya langsung tidak perasan!”

Daripada meniarap. Anak itu merangkak, kemudian berlari laju dan makin laju.

Kemudian daripada “merapu-rapu” mengeja ikut suka hati dia, anak itu sudah boleh membaca buku dan akhbar.

Kemudian lagi tiba-tiba pula sudah jadi mahasiswi.

Aduh! Saya tidak dapat membayangkan pula akhirnya saya kena melepaskan anak untuk menjadi suri orang. Dan lagi, sukar saya bayangkan mereka pula akan melalui proses yang sama seperti ibunya.

Tuhan, mudah-mudahan Kau permudahkan kehidupan anak di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan Kau ampuni segala kekhilafan kami dan mereka. Mudah-mudahan kami dan mereka masih punya waktu untuk kembali ke fitrah, melalui lorong yang Kau redhoi.

Barangkali ini tulisan terakhir atau kedua terakhir sebelum saya memulakan “percutian”. Saya mohon kemaafan jika ada isi tulisan yang menjentik nurani. Jika yang baik itu ilhamnya datang daripada Sang Pencipta yang memegang roh saya. Jika buruk, itu adalah daripada kekurangan ilmu yang saya miliki.

Doakan agar segala urusan “percutian” saya lancar dan dalam rahmat Illahi. Doakan juga saya akan kembali dengan kelopak bunga matahari yang menguning emas di perkebunan.

Saya mendoakan keampunan Allah buat semua yang membaca tulisan saya.

Pesanan saya ialah: hidup mesti gembira sebab ia akan menerbitkan rasa syukur kepada Yang Maha Kuasa.

Doakan selalu, jika inilah petanda bahawa Dia berbelas kasihan mengurangkan siksaan kita di alam akhirat, juga sebagai penghapus sebahagian kecil dosa kita terhadap-Nya; jadikanlah hati-hati kita redho dan tenang sentiasa.

Saya akan kembali ke kebun bunga matahari jika saya gagal menahan ketagihan untuk menulis! Dengan izin-Nya, saya akan merakamkan perjalanan "percutian" saya itu untuk tatapan pembaca.

Adios!

Sunday, March 3, 2013

Rak "Laku Keras"



Saya membawa anak membeli barangan keperluannya untuk kegunaan dalam tempoh yang agak lama. Katanya, nanti dia cuba naik tren untuk pulang menjenguk.

“Kalau sibuk, tak payah ziarah ibu. Ibu faham. Ibu pasti sihat. Kakak jaga diri, jaga makan, jaga solat,” pesan saya.

Kemudian, dia mengajak saya ke toko buku. Sementara itu saya ke surau untuk Zuhur. Mencarinya di toko itu kemudiannya, saya dapati dia sedang bersila di lantai berhadapan rak yang bertulis Classic, dengan buku yang murah-murah. Tebal tapi harganya sebuah RM9.90. Antaranya ialah karya Sherlock Holmes.

“Ibu ambillah buku. Kakak belanja hari jadi”.

Wah, seronoknya! Saya ke bahagian karya penulis Asia. Lama di situ, tidak banyak pilihan. Akhirnya saya mengambil buku Blind Willow, Sleeping Woman karya Haruki Murakami dengan harga RM33.90.

Sekarang saya sudah berbeza. Saya sukakan buku-buku orang Asia. Lebih dekat dan mudah difahami budayanya.

Cuma jika dilihat, kebanyakan penulis muslim kelahiran Pakistan atau India, sangat gemar menulis sesuatu yang memberi gambaran buruk terhadap Islam. Kalau memang penulis bukan muslim dari US dan sebagainya, itu memang dalam jangkaan kita. Mereka menyebarkan fahaman anti-Islam melalui penulisan.

Kami lama betul di toko buku itu. Kemudian kami ke toko buku lain. Dan saya terlihat sesuatu. Tertulis di rak itu “Laku Keras”. Saya mencuit seorang jurujual.

“Dik, itu terjemahan untuk bestseller kan? Mana ambil? Daripada bahasa Indonesia atau Google Translate?

Adik itu melihat tudingan saya.

“Itu orang atasan yang buat. Semua toko buku kami memang ditulis begitu...”

Saya tidak pasti betul atau tidak “Laku Keras” tetapi saya tidak begitu berkenan. Kenapa tidak ditulis “Karya Terlaris”?

Sabar sahajalah.

Di rumah, saya membuka halaman depan buku tulisan Haruki Murakami. Tercatat di situ, “To the strongest woman l know, Ibu, Happy Birthday!...Love, akak”.

Hari jadi saya lambat lagi, tetapi terima kasih daun keladi...

Saya diberi juga dua komik. Satu tertulis, “untuk ibu yang loyar buruk hoho...happy birthday” dan satu lagi, “untuk ibu yang pendek” dengan lukisan orang lidi yang mengucapkan dialog “saya makcik pendek”.

Saya tergelak sendirian.

Tetapi gelak saya mati tatkala mendengar penyewa sebelah yang berbadan agam itu berteriak-teriak sinis memarahi jiran-jiran yang “mengada-ngada” mengadu geli dengan najis kucing-kucingnya yang membuang di garaj rumah.

Habis, kucing-kucing itu “menandas” di bawah kereta, kencing di depan pintu...merungutlah jiran-jiran tersebut sebab terpaksa melakukan kerja-kerja mencuci najis setiap hari.

Saya rasa lucu. Kasihan dia berleter seorang. Waktu jiran-jiran ada di luar, dia berleter dalam rumah. Apabila jiran-jiran sudah masuk, dia berleter di luar.

Garaj saya setakat ini belum dicemari walaupun rumah hanya di sebelah. Puncanya saya membeli berbotol-botol serbuk klorin dan menuangnya di sekeliling. Cuma di kawasan pagar dan longkang memang berlonggok najis. Kalau buka pintu, memang boleh pitam.

Tidak apalah, lama-lama nanti dia diamlah. Mana larat mahu berleter 24 jam.

Saturday, March 2, 2013

Mengoca Nostalgia







Guru-guru pelatih itu nampak letih tetapi saya menghidu keriangan kembali ke zaman kanak-kanak yang sedang mereka lalui.

Saya paling suka acara mengoca ikan di parit tepi sawah. Masing-masing sudah persis kerbau, namun kegembiraan memperoleh tangkapan dengan tangan sendiri mengatasi segala-galanya.

Meskipun ikan itu bukan asli berasal dari perparitan tersebut (malahan dibeli daripada pengusaha ternakan ikan), acara tersebut tetap menjadi kesukaan saya. Kalaulah saya tidak tertinggal beg berisi pakaian lebih, sudah pasti saya ikut mandi lumpur bersama mereka.

Saya ulang alik memandu ke Lonek. Bukan tidak mahu menginap tetapi ada sesuatu yang berlaku menyebabkan saya agak kelam kabut. Jadi, usai acara malam, saya memandu balik, jam 1 pagi saya baru tiba di halaman rumah.

Memang cantik benar perkampungan itu, sebab ia adalah the well-planned traditional village. Sudah pasti yang benar-benar aslinya tidak ada. Kenapa saya katakan begitu? Tiada pacat atau lintah yang mengintai betis kita.

Kepingin sekali saya membawa anak-anak melihat sawah khususnya saat padi menguning emas. Sesuatu yang sangat dekat dengan saya tetapi tidak dapat diimaginasikan oleh anak-anak. Apa lagi tatkala musim menuai. Jerami yang kering apabila dibakar menghasilkan panorama yang cukup indah, asapnya kelabu menjulang langit. Waktu inilah semua orang bermain layang-layang. Halaman langit dipenuhi pelbagai corak layang-layang yang terbang bersama burung.

Di kampung pada zaman-zaman awal 70-an, semua permainan bermusim. Waktu musim gasing, habis semua dahan pokok “hilang”. Kemudian berganti dengan musim senapang peluru terung “ceweng” (mengikut sebutan orang kampung saya. Begitulah kreatifnya anak-anak kampung mencipta permainan.

Saya juga kepingin membawa anak melihat lesung kaki, satu alat menumbuk padi yang selalu menjadi permainan kesukaan saya jika musim menumbuk padi. Jika mak menekan hujung lesung, saya akan berdiri di hadapan mak. Jongkang-jongkit rasanya.

Kadang-kadang apabila bukan musim menuai, lesung kaki itu menjadi "bas" dengan pemandu, tukang tiket dan penumpang kecil. "Bas" yang statik tetapi dengan sedikit imaginasi, "bas" itu kadang-kadang boleh sampai ke Stesen Bas KK atau Puduraya.

Kemajuan telah membunuh semua yang bersifat tradisi itu. Sudah pasti ada yang terkorban untuk mendapatkan sesuatu yang lain, sebab tidak semua yang kita mahu, dapat kita kekalkan.

Syukur kepada Allah atas anugerah kenangan ini.

Penduduk Kg Lonek yang berbudi pasti sentiasa ada dalam ingatan.

Friday, March 1, 2013

Berlari Ke Langit



Lima hari.

Lima hari ini saya perlu aktif menguruskan semua hal berkaitan dua anak, penyewa yang asyik menelefon atas urusan penyewaan rumah yang jauh di KK, urusan kerja dan kelas; juga hal-hal lain yang berkaitan.

Lucu tatkala memikirkan perangai saya yang agak aneh.

Kalau mahu pulang ke kampung atau ke mana-mana, saya akan pastikan langsir telah siap dicuci, lantai dimop, kamar mandi diberus, kereta dicuci, segalanya kemas dan bersih.

“Seperti mahu sambut hari raya...” selalu saya dengar komen begitu.

Rasanya semua perempuan macam itu.

Cuma kali ini saya kena lebih teliti. Selepas itu, saya pasti tidak boleh melakukan banyak perkara. Kamar mandi mungkin akan sedikit berlumut, lantai juga barangkali ada habuk. Saya akan kehilangan kekuatan tangan kanan, sedangkan tangan kiri sudah terhad kekuatannya. Jika dahulu, tiga hari selepas dibedah, saya masih boleh memandu dengan tangan sebelah, kali ini mungkin agak sukar. Jika dulu juga, saya mematuk-matuk huruf di komputer dengan jemari tangan kanan, sekali ini terpaksa belajar menjadi kidal.

Tidak mengapa. Saya melihat tiada yang mustahil dengan bantuan Allah.

Lihat sahaja mereka yang kelainan upaya. Mereka boleh melakukan sesuatu yang kita fikir mustahil untuk dilakukan.

Makan dengan kaki? Melukis dengan kaki? Sedangkan saya yang sempurna ini kalau melukis gajah, akan jadi seperti kambing dari planet yang jauh di angkasa lepas. 

Sejak pertengahan 2011, saya tidak lagi boleh selasak biasa. Cuma kadang-kadang, saya lakukan juga. Sudah sangat biasa berdikari, saya tidak suka menunggu. Maka, saya akan memandu jauh, atau berulang alik menguruskan sesuatu dengan senarai yang memenuhi kertas A4.

Dari Lonek, saya akan mencuri masa untuk ke UKM. Urusan yuran pengajian, stok makanan, barang-barang harian, wang saku dan segala urusan berkaitan akan saya uruskan sedaya boleh. Jika tengah malam baru selesai pun tengah malamlah. Janji hati saya rasa senang sebab sebahagian hal anak telah selesai.

Dan si bongsu, khabarnya akan masuk kembali menyambung ijazah jika ada rezeki pada tarikh-tarikh saya di hospital. Hati saya tidak begitu rusuh sebab lazimnya dia disukai golongan mak cik-mak cik; tidak tahulah sebab debabnya dia atau mukanya yang berbelas kasihan itu...

Urusan kerja juga rasanya tiada masalah. Rakan-rakan sangat berbudi. Bersyukurnya saya sebab Allah memberikan hati yang sangat murni kepada rakan-rakan sejabatan. Mereka terlalu baik dan memahami. Mudah-mudahan Allah memberi kelapangan hidup kepada mereka dunia dan akhirat.

Tidak perlu duduk bermenung-menung meratapi nasib. Ini bukan zaman yang penuh melankolia. Bersyukur sebab masih boleh makan dengan gembira. Bergembiralah sebab pembedahan berjalan tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar. Bersyukur sebab anak-anak kita sihat dan pandai.

Banyak yang Allah bagi berbanding apa yang kita minta.

Kasih sayang yang begitu melimpah itu adalah nikmat yang tidak terhingga.

Kesakitan seperti getah pemadam yang boleh menghapus dosa.

Juga seperti cecair pemadam yang meninggalkan kesan putih tanda jiwa yang bersih!

Jadi...bergembiralah untuk hari yang sedang berada di hadapan muka kita!

Ayuh, mari kita berlari ke langit!