Total Pageviews

Friday, February 8, 2013

Tentang Carlos



Petang Jumaat itu, sementara menunggu suami pulang, saya duduk di meja makan. Saya mendengar ceramah seorang ustaz di radio.

Sudah sampai di pertengahan cerita. Tetapi saya tetap dapat memahaminya.

Ceritanya tentang si Carlos. Dia pemuda gagah, bertatu, samseng dan segala-gala yang sewaktu dengannya.

Suatu hari si Carlos bermimpi. Ada cahaya jauh di langit dan suara menyeru namanya.

“Wahai Carlos, jika kamu ikhlas mahu mencari kebenaran, jadilah seorang muslim!”

Carlos terjaga. Tetapi dia kemudian menganggap itu hanyalah mimpi yang sekadar mimpi.

Beberapa hari kemudian, dia bermimpi lagi. Kali ini cahayanya lebih terang dan dekat. Suara yang menyeru namanya juga lebih kuat.

“Wahai Carlos, jika kamu ikhlas mahu mencari kebenaran, jadilah seorang muslim!”

Oleh sebab kuatnya suara itu, Carlos terjaga daripada tidurnya. Badannya menggigil dan dibasahi keringat.

Dia berasa sangat pelik dengan mimpinya itu, langsung bertemu dengan seorang kawan. Kawannya mencadangkan agar dia ke masjid untuk menemui imam.

Dia menceritakan tentang mimpinya kepada imam.

Imam bertanya apakah sebabnya dia nekad untuk ke masjid dan bertemu dengannya.

Kata Carlos, “jika saya menunggu lama, entah bagaimana lagi saya akan bermimpi malam ini...”

Carlos mahu memeluk Islam. Diajarkannya mengucap dua kalimah syahadah. Sukar sekali lidah Carlos mahu melafazkan kalimah itu. Tetapi tatkala imam menyebut pengertian kalimah tersebut, Carlos dapat mengucapkannya dengan baik.

Seperti saudara-saudara kita yang usai mengucap kalimah tauhid, Carlos juga demikian. Dia sangat terharu. Hatinya amat tenang. Tenang yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kemudian, azan Isyak berkumandang. Imam mengajak Carlos bersolat.

“Dalam Islam, ada solat. Solat itu adalah tonggak Islam...” kata imam.

Melihat Carlos terpinga-pinga, imam berkata lagi, “tidak mengapa. Ikut saja perbuatan saya”.

Carlos pun berdiri di belakang imam. Dia mengikut segala perlakuan imam. Amat janggal sekali tingkah lakunya. Namun, menurut mereka yang melihat, masuk sahaja ke rakaat ketiga dan keempat, Carlos seperti sangat mahir bersolat seperti dia sudah lama menjadi muslim.

Imam memberi salam. Solat sudah selesai, tetapi Carlos masih sujud. Lama kemudian, imam membisikkan, “Carlos, solat kita sudah selesai”.

Fikir imam, barangkali si Carlos ini tidak perasan bahawa solat sudah selesai.

Melihatkan pemuda itu masih sujud, imam berbisik lagi perkara yang sama. Kali ini imam menyentuh badan Carlos.

Tiba-tiba, badan pemuda itu rebah.

Carlos telah meninggal dalam sujudnya.

Pemuda yang baru sahaja mengucap kalimah tauhid sebelum azan Isyak, kemudian mengikuti segala perlakuan solat imam, akhirnya menjadi manusia pilihan Allah.

Allah yang memilih dan hanya Dia yang tahu, sebab Dialah pemilik hati si Carlos.

Cerita Carlos membuatkan saya berfikir jauh.

Itu sebab kita jangan sesekali menghina manusia yang barangkali belum bertudung seperti kita. Atau yang seluarnya seperti daun palma yang carik seribu. Tiada manusia jahat yang tiada masa depan, dan tiada manusia baik yang tiada masa lalu.

Ustaz sebak tatkala berada di hujung cerita. Saya tahu ustaz menangis.

Saya mengesat air mata yang menakung. Tangis ustaz sudah berjangkit.

Beruntungnya si Carlos. Perginya dia dalam keadaan yang sangat mulia. Seperti bayi tanpa dosa. Alangkah bertuahnya dia.

“Eh, kenapa ni?”

Tiba-tiba ada suara menyapa. Entah bila dia muncul di muka pintu.

Saya meletakkan jari telunjuk di bibir. Kemudian saya menunjuk-nunjuk ke arah radio.

“Oh, diam. Tak boleh cakap ya...” bisiknya sambil berjalan berjingkit-jingkit ke dapur.

Kacau betul.

Baru mahu bermelankolia, dia selalu jadi cameo!

Carlos! Carlos! Berbahagialah dia di sana...

Dia menjenguk dari dapur dengan mata curiga.

“Siapa???”

Hehehe...

No comments: