Total Pageviews

Thursday, February 14, 2013

Bukan Tikus Makmal Lagi


(Si Tampung yang masih bertali pusat)

Rabu subuh, si Tampung lahir. Comelnya dia berdiang. Ibunya dilepaskan untuk mencari rumput ubat. Sesekali si Tampung memanggil dan si ibu dengan rasa curiga, meluru datang menjenguk bayinya.

Rabu itu juga menemani si bongsu mengambil kaca matanya di KK.

"Itu kelas ibu," saya menunjuk ke arah bangunan Clifford School saat melalui jalan di hadapan sekolah.


(Saya seperti "melihat" Bib, Yom Amnah, Yam Hario, Sham, Zam, Rudy, Shaha, Tengku dan kawan-kawan U6A1 1984)

Seperti kakaknya, dia macam orang mabuk berjalan waktu mula-mula mengenakan kaca mata.

Kasihan anak-anak itu, mewarisi kerabunan mata seperti ibunya juga.

Bercuti di rumah opah, menyebabkan badannya makin berisi. Dia sudah ada buku resepi yang mempunyai lakaran comel lukisannya di muka depan. Nampaknya dia sudah boleh ke dapur. Opah boleh berehat sebab sudah ada tukang masak baharu.

Oleh sebab itu, badan opah pun berisi sedikit. Makan ada cucu yang temankan. Dan peliknya, opah memang sangat suka jika melihat badan orang yang gempal.

“Comel betul si anu dan si anu itu. Cantik!”

Kalau ayat itulah yang dituturkan opah, maknanya “si anu” itu memang jenis yang berbadan montel.

Itulah, manusia memang berbeza cita rasa terhadap sesuatu. Makin montel seseorang itu, makin comel dan cantik di mata opah.

Apabila Daddy menelefon supaya si bongsu menjaga badan, dia menjawab, “bukan adik yang kuat makan, opah yang kuat makan. Bukan adik yang gemuk, opah yang gemuk!”

Siapa yang tidak naik berat badannya kalau duduk dengan opah, itu memang kes luar biasa. Si kakak yang tidak suka makan itu pun mengeluh juga berat badannya naik.

Seperti biasa juga bangku simen di laman rumah mak, sentiasa meriah dengan orang yang singgah.

Tapi saya sempat “mencuri” mak dan membacakan sajak yang tersiar di BH Ahad lalu kepada mak. Juga perkhabaran tentang seorang penulis terkenal yang mendapat ilham menulis cerpen setelah membaca sajak itu. Dia menghubungi saya, memberitahu sekali gus meminta izin untuk menggunakan tema sajak saya untuk cerpennya itu. Siap dengan sinopsis cerita.

“Silakan,” kata saya. “Mudah-mudahan Allah memberi manfaat daripada tema krisis sosial yang kita tulis. Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal kebaikan hendaknya. Saya tiada masalah, malahan berbangga dan bersyukur kerana tulisan saya yang kecil itu dapat menarik perhatian tuan...”

Mak faham isi yang tersirat dalam sajak itu. Mak guru falsafah saya. Sudah pasti dia lebih mengerti.

Suami tiba selepas Maghrib. Dia membawa kancil si bongsu yang sudah begitu lama berdiam di Seremban. Kemudian dia akan membawa saya balik ke Seremban.

Sukalah si anak melihat kereta kecilnya semula.

“Tapi tugas adik mesti berkisar terhadap tanggungjawab membawa opah ke klinik atau ke pasar. Jangan merayau-rayau sampai ke KK. Boleh pergi ke rumah maklong di Gerik...” itu pesanan Daddynya yang sedikit merajuk sebab anak itu sudah lama duduk di kampung.

Malam itu jam 12.35 kami bergerak balik. Jam 4.40 pagi kami tiba di rumah. Terlalu letih dan mengantuk. Jam delapan setengah, temu janji di Jabatan Radiologi.

Alhamdulillah, Khamis itu jalan lengang. Orang masih berlibur. Di hospital pun lengang. Tiba tepat jam delapan setengah, saya menanti di luar bilik mamo.

Tidak lama selepas itu, saya dipanggil. Saya berbual dengan doktor dan petugas berkaitan lengangnya jalan sementara mereka menyiapkan alat. Empat kali posisi mamo, saya diarah menunggu untuk ultrasound.

Kemudian, tiba-tiba pintu bilik mamo dibuka.

“Puan, kita buat lagi sekali ya. Sebelah kanan...”

Hati saya berdegup.

“Ada nampak sesuatu?” tanya saya.

Saya tidak mendengar jawapan sebab saya sudah tahu jawapan.

Kembali ke bilik ultrasound, doktor yang masuk bertanya macam-macam. Dia melakukan ultrasound dengan agak lama.

“Beginilah puan. Saya rasa kena buat biopsi juga. Sama ada hari ini atau Selasa depan”.

“Selasa saya kerja. Lagi pun 28 Februari saya ada temu janji dengan Surgery. Buat hari ini boleh?”

Bukan apa. Hari Selasa saya ada kelas pagi. Ada beberapa jam belum berganti, nanti bertambah pula dua jam lagi.

Kata doc, bagus juga buat hari ini sebab pesakit tidak ramai. Keputusan akan dapat dihantar kepada Surgery sebelum tarikh 28 itu.

“Tapi puan kena tunggu sampai habis pesakit hari ini. Sebelum jam sebelas”.

Saya keluar pergi makan kuih dahulu. Selera mati. Terus terang saya risau. Suami temankan saya makan, tidak jadi tidur di kereta.

“Set pemikiran baharu dalam otak. Yang tak takut. Yang dah lalui macam-macam, apalah sangat benda macam ini,” katanya.

Dia memberi motivasi, sebab dia tidak tahu apa kemungkinan yang Doc beritahu saya tadi...hahaha...

Kemudian, saya beritahu dia.

Ada biji kecil di kanan, lebih kurang saiznya macam yang di kiri dahulu. Doc dapat rasa tetapi oleh sebab agak tersembunyi, kena ambil sampel. Sama ada sampel itu mengandungi sel kanser atau tidak, biji itu perlu dibuang. Maknanya akan ada lagi pembedahan di kanan pula.

“Ingat lagi pengalaman biopsi di hospital Pilah?” tanya saya.

Sebenarnya, itu yang sedikit meresahkan saya. Pengalaman dibiopsi “hidup-hidup” oleh doktor-doktor pelatih menyebabkan saya langsung tidak boleh mengangkat tangan kiri selama seminggu.

Saya masih ingat, doktor-doktor itu hanya diawasi oleh doktor baharu yang juga bekas pelajar saya di matrix, bukan doc pakar. Mereka gelabah apabila darah sudah banyak keluar, sedangkan sampel yang diambil hanya mengandungi darah. Rupa-rupanya budak-budak itu menjadikan saya “tikus makmal”, itu pengalaman pertama mereka melakukan biopsi.

Boleh pula ada yang bertanya saya, “nak buat macam mana ni mak cik?”

Aduh, kalau saya tahu, bukan saya yang terbaring di situ, sebaliknya saya yang menjarumi awak!

Apa yang membuatkan saya semakin sakit ialah sebab dipanggil mak cik! Hahaha...

Mengamuk jururawat kanan apabila mengetahui tiada pakar mengawasi. Saya kesakitan sebab jarum dimasukkan empat kali tanpa ubat kebas.

Akhirnya, apabila pakar datang dan mahu melakukannya buat kali kelima, saya beritahu bahawa saya tidak sanggup lagi menahan. Saya memegang dinding untuk berjalan ke farmasi, membawa beg dengan tangan kanan, langsung menelefon anak angkat di matrix yang kemudiannya datang dengan suaminya membawa saya dan kereta saya pulang.

Tetapi pengalaman di HUKM sangat berbeza.

Saya diberikan penerangan bahawa jarum yang digunakan saiznya besar dan akan ada bunyi “pop” waktu “ditembak”.

“Jangan terkejut nanti kalau ada bunyi begitu. Empat kali ya. Sebelum itu kami akan suntik ubat kebas...”

Lega rasanya mendengar ada ubat kebas.

Saya diminta menandatangani akuan biopsi. Ada empat orang doktor di situ.

Betul-betul macam mahu dibedah saja. Saya berpaling ke arah monitor.

Jarum ubat kebas menusuk halus. Kemudian saya dapat rasa ada benda masuk dan memang ada bunyi “pop” seperti senapang mainan kanak-kanak. Kali keempat, saya melihat ke skrin. Nampak bayang-bayang saja, macam ada jarum mencari-cari sesuatu yang kelihatan bertompok.

“Eh, kali ini rasa pedih,” kata saya.

“Memang. Ke dalam sedikit saya masukkan jarum,” doc memberitahu.

Yang lain mengelap darah. Doc meletakkan plaster.

“Hari ini rehatkan tangan kanan. Jangan masak, bawa kereta atau buat kerja. Maghrib baru boleh mandi dan buka plaster. Mungkin akan lebam dan bengkak. Keputusan kami akan hantar ke Surgery. Nanti 28 hb mereka akan beritahu tindakan seterusnya,” pesan doc.

Saya menyalin baju hospital. Sakit sudah menjalar. Kesan ubat kebas sudah habis. Tangan rasa berat.

Suami mendapat surat pelepasan daripada doc. Dia bising-bising, “macam mana nanti mahu beritahu bos. Cuba Yang tengok surat ni, macam abang pula yang sakit. Nanti bos pun keliru, kenapa abang buat pemeriksaan xxx...” saya ketawa lucu, bukan sebab surat itu tetapi gaya dia bercakap. Dia memang pandai meleburkan rasa sakit dan resah saya.

Ada lagi lucunya. Di rumah, dia menjadi “surarumah” sekejap. Dia memasak nasi. Tapi saya sudah dapat mengagak. Jadi, saya melakukan pemeriksaan. Memang sah, plag tidak berpasang, maknanya kalau saya tidak memeriksa, sampai malam pun nasi tidak akan masak!

Saya faham. Dia penat dan mengantuk. Dan risau juga!

Setelah rehat sekejap, masuk Asar baru makan. Nasinya lembik macam nasi Jepun!

Petang itu, walaupun tangan saya masih berat, dia membawa saya meronda ke Pilah. Kami ke rumah lama. Jambu yang ditanamnya berbuah lebat dan manis. Pokok mangga sangat rendang.


Sepanjang jalan pergi balik, mulutnya tak berhenti bercakap.

Itu tanda hatinya risau.

Walaupun dia memang spesis radio, tetapi saya tahu kalau masa-masanya dia risau. Kalau dia banyak bercerita tentang gemulah bapa, bermakna dia cuba melupakan kerisauan.

Ada beberapa hari Februari dan Mac, dia bertugas di Indonesia. Itu keresahan utama, yakni meninggalkan saya yang belum tentu posisinya apa.

Adik beradik saya jauh. Tetapi saya punya jiran yang baik. Rakan-rakan saya pun, kalau saya membuka mulut, mereka akan membantu.

Anak saya yang sulung, asyik menghantar mesej, “kakak tak apa-apa, ibu rehat. Jangan risaukan kakak”. Setulusnya, memang dia yang berada dalam kantung minda saya. Mudah-mudahan Allah memelihara dan meletakkan dia dalam lingkungan manusia yang baik-baik.

Yang bongsu, saya tidak dapat mengagak dia risau atau tidak. Mukanya yang tembam itu selalu riang. Dia sudah penat menjaga saya, biarlah dia menemani opahnya pula.

Kakak saya di Ipoh, adalah tempat saya berkongsi segalanya. “Ambil semua simpanan Nyah. Yang pergi berdoa di Mekah. Pergi! Tinggalkan semua yang menyusahkan hati Yang di sini!”

Adik lelaki bongsu saya, sudah letih bersedih dengan takdir kakaknya. Berkali-kali saya berpesan, “ini ujian Allah, tanda Dia sangat sayang...”

Dan saya terdengar mak berkata, pagi sebelum saya dijemput suami.

“Hebatnya ujian untuk Yang. Kena bela anak, tanggung anak-anak menuntut ilmu, kena beli ubat. Kalau redho, mak dah nampak pintu syurga ternganga menanti Yang di sana...”

Mudah-mudahan saja, mak.

Pandainya mereka di keliling saya, membuatkan hati saya lapang. Malahan seorang rakan sekerja menelefon, ada juga yang menghantar mesej, “jangan fikir apa-apa. Fikir diri sendiri sahaja. Jaga kesihatan, itu yang penting”.

Masya-Allah, hebatnya kehidupan ini. Penuh dengan kasih sayang manusia. Sarat juga dengan kasih sayang Allah.

Mahu apa lagi?

Saya sudah tidak mahu apa-apa. Saya sudah cukup semuanya.

Hanya satu yang belum cukup.

Amalan-amalan baik.

Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa yang telah saya gunungkan sepanjang hidup ini.

Mudah-mudahan saya sentiasa berada di jalan yang betul menuju-Nya!

No comments: