Total Pageviews

Friday, February 22, 2013

Merpati Itu Terbang Lagi



Saya sendirian lagi. Merpati itu terbang semula, melintasi Laut China Selatan.

Tidak tahu sampai bila dia akan berhenti. Dia mahu terus membantu saya menyirami dan membajai dua tunas yang ditinggalkan.

Semoga Allah menjadikan bantuannya itu sebagai ladang pahalanya di akhirat kelak. Dia memikul tanggungjawab yang sepatutnya berada di atas bahu orang lain.

Terima kasih kepada sang merpati putih. Biar pun di mana dia hinggap, dia tetap berada di hati saya.

Paruhnya menukang awan. Kibar sayapnya tidak patah disapa angin. Dialah merpati putih saya.

********************************************************************************


“Nampak pramugari seksi, pejam mata!” gurau saya. Oleh sebab sudah tahu kebiasaan-kebiasaan saya yang suka menyakat, dia memberikan reaksi tidak bersetuju.

“Mana boleh. Rugi!”

Harap-harap pulangnya nanti tidak demam. Selalunya jika berpergian lama, balik sahaja mesti badannya panas.

Abang sulung saya begitu. Kalau mak lama pergi ke mana-mana, dia yang akan demam, bukan mak yang demam. Sudah tua-tua pun abang masih begitu juga. Dasar anak manja! Hahaha...

“Saya akan jaga diri. Saya akan sihat. Jangan bimbang. Buat kerja baik-baik. Jangan mengorat. Tapi kalau ada yang mengorat, sapu sajalah...”

Mendengar usikan saya itu, dia akan mengulangi ayat kegemarannya, “isteri macam ini pun ada!”


********************************************************************************

Saya memandang ke langit lazuardi. Senja itu berlembayung. Kaki langit yang merah, menyebar warna membentuk lukisan abstrak di kanvas alam luas terbentang.

Unggas-unggas sedang pulang ke sarang. Seakan tahu bahawa siang sudah mahu menutup tirai ceritanya.

Seekor merpati putih di seberang lautan sedang bergelut dengan putaran angin. Dia sedang sibuk melayah di udara, bersama helang dan burung-burung kecil.

Sang merpati putih, terus kibarkan sayapmu dan terbanglah!

No comments: