Total Pageviews

Tuesday, February 19, 2013

Menjadi Penagih


Isnin itu bahagian belakang kiri sangat sakit. Masuk ke kelas, guru-guru pelatih itu melihat dengan ngeri.

“Muka puan pucat. Beri kami tugasan, puan pergi berehat,” kata mereka, simpati melihat saya yang gagal menyembunyikan kesakitan.

Tidak perlu. Saya mesti berada di kelas. Masuk ke kelas adalah terapi kegembiraan.

Saya cuba mendapatkan khidmat daripada seorang tukang urut Indonesia.

Melihatnya memandu Vios, saya tersengih dalam hati.

Makin tersengih apabila saya mengorek cerita status duo-citizenship yang dimilikinya.

“Mudah sahaja, tambah-tambah sekarang ini. Lagi cepat diluluskan,” katanya.

“Sebab pilihan raya ya?” teka saya.

Dia mengangguk.

Urutan itu tidak mampu melegakan.

Malam itu saya sudah tidak tahan. Jam sebelas, suami membawa saya berjumpa doktor.

Saya diberikan ubat tahan sakit dan sejenis ubat lain.

“Ubat ini kuat. Sama kuat dengan morfin. Dan ada kesan sampingan juga. Jika loya, puan mesti berhenti on the spot. Itu bermakna sistem badan puan tidak boleh menerima ubat ini”.

Memang keesokan harinya, saya “lalok”. Rakan-rakan sejabatan pun ikut susah hati campur lucu melihat saya yang bercakap entah apa biji butirnya. Mata asyik mahu tutup, jalan pun tidak betul. Saya tidak berani ke tandas, bimbang jatuh.

Petang itu, saya termuntah. Banyak sekali. Mulanya saya tidak mahu memaklumkan suami sebab dia ada tugas dan akan bertolak ke Cameron. Tetapi bimbang akan ada kemungkinan-kemungkinan lain, saya menghantar mesej.

Dia mengambil keputusan drastik. Dia balik menemani saya. Sebenarnya hati saya sangat lega apabila dia muncul di muka pintu.

Hati berasa kasihan. Pejabatnya jauh tetapi dia tetap balik demi saya. Kerjanya juga banyak.

Pagi kedua, saya “menagih” hanya setelah berada di pejabat. Kawan-kawan ada untuk mengawasi.

Di rumah, jiran saya yang baik pula mengambil alih. Suami akan membuat salinan kunci untuk diberikan kepada Tuti. Sekurang-kurangnya sepanjang dia bertugas di Bandung, dia tidak begitu bimbang akan kondisi saya.

Ekoran sudah biasa “dilempang” dalam kehidupan, semua yang berlaku menjadi sesuatu yang boleh menjadi jenaka buat saya.

Suami sudah kenal perangai saya yang itu.

“Jangan main-main lagi. Abang tahu sangat. Helah Yang tu dah ada dalam kocek abang tau...”

Puncanya dia suruh saya makan nasi sebab perut sudah kosong. Oleh sebab tiada selera, saya sembunyikan separuh nasi dalam cawan.

Hehe...saya cuma mahu terus sihat. Sekurang-kurangnya kalau saya berlucu, aura sihat itu akan muncul dan mengitari kehidupan saya dan orang sekeliling!

No comments: