Total Pageviews

Wednesday, February 20, 2013

Kongsi Dua Rasa




i.

Masuk dan memberi salam, dia terus ke dapur.

Rupa-rupanya dia sudah menghubungi si Tuti minta dicarikan pokok serai wangi dan sireh. Direbusnya daunan itu.

Bau wangi rebusan singgah di hidung.

Dia memandikan saya dengan selawat dan doa.

“Mulakan dari kaki,” dia mengajuk cara saya waktu memandikannya dengan air rebusan beberapa waktu dahulu. Sungguh-sungguh dia mahu memastikan kondisi saya OK sebelum berlepas ke Bandung awal pagi nanti.

Ada timbal balik.

Saya merebus herba dan memandikannya jika dia tidak sihat. Maka dia melakukan hal serupa ketika saya tidak sihat.

Saya melihat mak melakukannya jika almarhum ayah tidak sihat. Ayah juga melakukan demikian.

Kehidupan bukan sahaja untuk berkongsi rasa gembira tetapi juga derita.


ii.

Pagi ini di meja sarapan, saya dan Wan berkongsi cerita. Rupa-rupanya kami pernah bertemu dua puluh satu tahun yang lalu di UM.

Sungguhlah seperti disebut orang, dunia ini kecil.

Pusing-pusing, akhirnya bertemu juga. Orang yang saya pernah kenal, Wan juga pernah kenal.

“Oh, inilah Yang yang selalu disebut oleh Kak Mun. Akaklah orangnya yang selalu datang ke jabatan menggendong bayi dan seorang anak kecil dua puluh satu tahun yang lalu...” Wan sangat teruja.

Ya, sayalah orangnya yang kurus kering itu!

Wan rupa-rupanya super-super junior saya di jabatan penulisan. Dia tahu cerita saya tetapi tidak pernah kenal orangnya. Hanya melihat-lihat dari jauh.

Tuhan akhirnya mempertemukan kami setelah puluhan tahun. Kami berada di jabatan yang sama.

Balik ke pejabat, saya menelefon Kak Mun, menceritakan bagaimana kuasa Allah telah menemukan saya dengan Wan. Saya mengesan kehibaan wanita itu. Wanita yang saya sudah menganggapnya sebagai ibu, tempat saya meladeni takdir saya di kota KL suatu ketika dahulu.


iii.

Pagi-pagi juga ada e-mel yang berkongsi rasa daripada seorang adik pensyarah kolej. Dia menceritakan kisah duka seorang kenalan pensyarah yang sakit.

Orang baik-baik memang sarat dengan ujian. Dia antara manusia pilihan. Menahan sebak, sebab dia adalah sahabat yang akrab di hati. Sifat rendah dirinya menambahkan seri wajah. Saya yakin dia akan pulih. Ramai yang akan mendoakan sebab dia orang baik.

Kehidupan adalah untuk dikongsi. Apabila kita memberi hari ini, barangkali akan ada orang yang mengembalikan pemberian itu satu ketika nanti. Kita tidak tahu akan perjalanan dan selekoh takdir.

Ketabahan adalah ubat ujian.

Alangkah indahnya hidup jika kita tidak bersikap kedekut. Kita kongsi seadanya, tidak terlalu kurang tetapi jangan melebih-lebih.

Terima kasih kepada seluruh kasih sayang yang saya terima. Segalanya akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyebarkan kasih sayang saya untuk semua.

Kasih sayang seperti haruman bunga.

Tidak cantik warna kelopaknya tidak mengapa.

Asalkan baunya menenangkan jiwa.

No comments: