Total Pageviews

Thursday, February 28, 2013

Dan Sekali Lagi...



Banyak juga kerusi yang kosong. Barangkali orang sudah semakin sihat. Usai mendaftar, saya merayau-rayau, membeli majalah dan roti.

Kembali ke klinik, saya membaca akhbar. Ada tajuk menarik “The Return Of Ghandi's”, iaitu mengenali kemunculan cicit Jawaharlal Nehru dalam arena politik India. Tetapi mengapa tidak ditulis “The Return Of Nehru's”? Oh, ada sebab rupa-rupanya, begitu fikir saya selepas selesai membaca artikel berkenaan.

Ada seorang wanita menyorong kerusi roda suaminya. Ada juga seorang lelaki separuh baya. Loghat perbualan mereka menarik perhatian saya. Saya menyimpan akhbar dan menelinga.

Orang Pahang atau Perak?

Tetapi kemudian, ada sesuatu yang menyebabkan saya membuat kesimpulan. Orang Perak dan barangkali dari daerah kelahiran saya!

“Kawan gembira ramai tapi kalau kawan susah, teriaklah kita sorang-sorang...”

Bagi orang-orang dari daerah saya, “teriak (teghiak)” bermaksud menangis. Bukan memekik atau berteriak dalam definisi asal.

Jika masyarakat Perak dari Daerah Kuala Kangsar, sebutannya jadi “teghoyak”. Maknanya “menangis” juga.

Kemudian datang sepasang orang muda. Sekali lagi saya menelinga. Mereka menyebut nama daerah kelahiran saya.

Saya mencuit dan bertanya, “dari Lenggong?”

“Ya, mereka dari Lenggong. Dari Kubang...Kampung Kubang...”

“Kubang Jambu?” tanya saya.

Si wanita muda menoleh tatkala saya menyebut nama kampungnya.

Saya dapat mengecam sesuatu.

“Dulu SMDA?” tanya saya lagi. Saya memang jenis yang tidak mudah lupa wajah orang.

Dia meneliti muka saya. Lama. Kemudian...”Ibuuuuuuuuu!”

Sahlah pelajar saya dalam tahun-tahun 1996-1999. Hanya kumpulan mereka yang memanggil saya begitu, meniru-niru panggilan anak saya.

Sejujurnya saya sudah lupa namanya. Tetapi seingat saya, pelajar ini aktif dalam Kelab Drama yang saya tubuhkan di sekolah itu. Drama kami memenangi tempat kedua di peringkat Negeri Perak.

Dia memeluk saya. Sudah lama dia mencari saya. Dia sudah punya dua anak dan dalam tempoh berpantang di rumah ibu mertuanya di Senawang.

“Ini ibu. Cikgu BM saya yang.....(tidak dapat saya menulisnya sebab hidung saya mengembang-ngembang kena puji...segala puji untuk Allah yang memiliki jiwa)” dia memperkenalkan saya kepada suaminya.

Budak itu makin cantik. Rupa-rupanya dia ada masalah kegagalan saraf kepala. Dia ada menyebut istilah medikal itu tapi saya sudah lupa.

Tidak boleh berbual lama, tetapi dia berjanji mahu mencari dinding sosial saya.

Di kamar doktor, keputusan biopsi dua minggu lepas mengesahkan bahawa saya perlu dibedah untuk kali yang seterusnya. Kanser itu sudah melompat ke kanan. Hiperactive betul.

Doktor pakar datang. “Eh, macam kenal?” Saya tersengih. Memanglah dia kenal sebab dialah “tukang hiris” saya dulu.

Dia melakukan scan sekali lagi.

Setelah selesai, saya melihat mukanya.

“Janganlah buat muka macam tu, doc. Susah hati benar nampaknya. Menakutkan...” saya ketawa. Doktor yang seorang lagi ikut ketawa.

“Bukan. Tengah cari tarikh. Tak boleh biar lama. Jumaat depan ya!”

Saya tanya dia, adakah saya akan melalui proses yang sama seperti pembedahan yang lalu, terutama yang akan menyebabkan kencing saya bertukar warna kepada turqois?

Dia mengangguk.

“Aduh, doc. Sakit suntikan radioaktif tu...” kata saya.

“Kalau tak mahu, buang semua. Mahu?”

Saya rasa lucu melihat dia seakan “mengugut” saya. Ingat comel sangatkah ugut-ugut begitu?

Kemudian saya ke bahagian pengambilan darah untuk tujuan rayuan saya terhadap “urusan” tertentu. Lebam sendi lengan saya. Rasa berat saja.

Balik ke Seremban, saya menghubungi mak. Mula-mula buka cerita lawak. Kemudian barulah ceritakan yang seminggu lagi saya akan masuk wad dan esoknya akan menjalani pembedahan.

“Lagi? Hari tu kan dah hiris. Ni kena hiris lagi?”

Saya pun meneruskan lawak bodoh saya. Saya tahu mak mesti gelisah.

Saya hanya ada beberapa hari sahaja lagi untuk menyelesaikan urusan pejabat dan anak-anak. Selepas itu, biarkan saja takdir yang bercerita.

Akhirnya saya berkata, “mak, Yang kan anak mak. Jadi, jangan risaukan Yang. Anak mak mesti sekuat maknya...”

Ya, jika anugerah-anugerah kesakitan ini untuk meringankan siksaan saya di akhirat kelak dan juga sebagai penebus segala dosa yang saya lakukan sepanjang usia; saya hanya mengharapkan Allah juga menganugerahkan rasa tenang dan redho di hati saya, hati mak, keluarga dan rakan taulan.

Apa lagi yang kita boleh lakukan?