Total Pageviews

Thursday, February 28, 2013

Dan Sekali Lagi...



Banyak juga kerusi yang kosong. Barangkali orang sudah semakin sihat. Usai mendaftar, saya merayau-rayau, membeli majalah dan roti.

Kembali ke klinik, saya membaca akhbar. Ada tajuk menarik “The Return Of Ghandi's”, iaitu mengenali kemunculan cicit Jawaharlal Nehru dalam arena politik India. Tetapi mengapa tidak ditulis “The Return Of Nehru's”? Oh, ada sebab rupa-rupanya, begitu fikir saya selepas selesai membaca artikel berkenaan.

Ada seorang wanita menyorong kerusi roda suaminya. Ada juga seorang lelaki separuh baya. Loghat perbualan mereka menarik perhatian saya. Saya menyimpan akhbar dan menelinga.

Orang Pahang atau Perak?

Tetapi kemudian, ada sesuatu yang menyebabkan saya membuat kesimpulan. Orang Perak dan barangkali dari daerah kelahiran saya!

“Kawan gembira ramai tapi kalau kawan susah, teriaklah kita sorang-sorang...”

Bagi orang-orang dari daerah saya, “teriak (teghiak)” bermaksud menangis. Bukan memekik atau berteriak dalam definisi asal.

Jika masyarakat Perak dari Daerah Kuala Kangsar, sebutannya jadi “teghoyak”. Maknanya “menangis” juga.

Kemudian datang sepasang orang muda. Sekali lagi saya menelinga. Mereka menyebut nama daerah kelahiran saya.

Saya mencuit dan bertanya, “dari Lenggong?”

“Ya, mereka dari Lenggong. Dari Kubang...Kampung Kubang...”

“Kubang Jambu?” tanya saya.

Si wanita muda menoleh tatkala saya menyebut nama kampungnya.

Saya dapat mengecam sesuatu.

“Dulu SMDA?” tanya saya lagi. Saya memang jenis yang tidak mudah lupa wajah orang.

Dia meneliti muka saya. Lama. Kemudian...”Ibuuuuuuuuu!”

Sahlah pelajar saya dalam tahun-tahun 1996-1999. Hanya kumpulan mereka yang memanggil saya begitu, meniru-niru panggilan anak saya.

Sejujurnya saya sudah lupa namanya. Tetapi seingat saya, pelajar ini aktif dalam Kelab Drama yang saya tubuhkan di sekolah itu. Drama kami memenangi tempat kedua di peringkat Negeri Perak.

Dia memeluk saya. Sudah lama dia mencari saya. Dia sudah punya dua anak dan dalam tempoh berpantang di rumah ibu mertuanya di Senawang.

“Ini ibu. Cikgu BM saya yang.....(tidak dapat saya menulisnya sebab hidung saya mengembang-ngembang kena puji...segala puji untuk Allah yang memiliki jiwa)” dia memperkenalkan saya kepada suaminya.

Budak itu makin cantik. Rupa-rupanya dia ada masalah kegagalan saraf kepala. Dia ada menyebut istilah medikal itu tapi saya sudah lupa.

Tidak boleh berbual lama, tetapi dia berjanji mahu mencari dinding sosial saya.

Di kamar doktor, keputusan biopsi dua minggu lepas mengesahkan bahawa saya perlu dibedah untuk kali yang seterusnya. Kanser itu sudah melompat ke kanan. Hiperactive betul.

Doktor pakar datang. “Eh, macam kenal?” Saya tersengih. Memanglah dia kenal sebab dialah “tukang hiris” saya dulu.

Dia melakukan scan sekali lagi.

Setelah selesai, saya melihat mukanya.

“Janganlah buat muka macam tu, doc. Susah hati benar nampaknya. Menakutkan...” saya ketawa. Doktor yang seorang lagi ikut ketawa.

“Bukan. Tengah cari tarikh. Tak boleh biar lama. Jumaat depan ya!”

Saya tanya dia, adakah saya akan melalui proses yang sama seperti pembedahan yang lalu, terutama yang akan menyebabkan kencing saya bertukar warna kepada turqois?

Dia mengangguk.

“Aduh, doc. Sakit suntikan radioaktif tu...” kata saya.

“Kalau tak mahu, buang semua. Mahu?”

Saya rasa lucu melihat dia seakan “mengugut” saya. Ingat comel sangatkah ugut-ugut begitu?

Kemudian saya ke bahagian pengambilan darah untuk tujuan rayuan saya terhadap “urusan” tertentu. Lebam sendi lengan saya. Rasa berat saja.

Balik ke Seremban, saya menghubungi mak. Mula-mula buka cerita lawak. Kemudian barulah ceritakan yang seminggu lagi saya akan masuk wad dan esoknya akan menjalani pembedahan.

“Lagi? Hari tu kan dah hiris. Ni kena hiris lagi?”

Saya pun meneruskan lawak bodoh saya. Saya tahu mak mesti gelisah.

Saya hanya ada beberapa hari sahaja lagi untuk menyelesaikan urusan pejabat dan anak-anak. Selepas itu, biarkan saja takdir yang bercerita.

Akhirnya saya berkata, “mak, Yang kan anak mak. Jadi, jangan risaukan Yang. Anak mak mesti sekuat maknya...”

Ya, jika anugerah-anugerah kesakitan ini untuk meringankan siksaan saya di akhirat kelak dan juga sebagai penebus segala dosa yang saya lakukan sepanjang usia; saya hanya mengharapkan Allah juga menganugerahkan rasa tenang dan redho di hati saya, hati mak, keluarga dan rakan taulan.

Apa lagi yang kita boleh lakukan?

Wednesday, February 27, 2013

"Syurga" Yang Kecil



“Kata ustazah, syurga di bawah telapak kaki ibu. Kami nak tengok syurga kami, boleh?” itu kata anak-anak saya sekembalinya mereka dari tadika belasan tahun lalu.

Saya angkat kaki dan mereka merenung telapak kaki saya. Muka masing-masing berkerut.

“Kenapa syurga kita kecik?. Ketot je...” mereka saling berpandangan, mengerutkan dahi, ada riak sedih.

Mahu ketawa tidak boleh. Mereka sedang bersedih sebab hanya mendapat “syurga” kecil, sekecil kasut saiz lima.

Ambil masa juga untuk menerangkan maksud “syurga di bawah telapak kaki ibu” itu. Akhirnya mereka faham perlahan-lahan.

Tetapi, biasalah. Dalam menempuh perjalanan menuju dewasa, banyak kali “syurga” itu dilukai. Macam kita juga dulu.

Namun, apa yang lebih penting ialah keberanian untuk memohon keampunan. Allah menyukai orang yang sanggup memohon dan memberi keampunan.

Dan yang paling utama ialah, jika kita bertaubat dan taubat itu diterima Allah, rupa-rupanya kitalah hamba yang sangat disayangi-Nya biar pun di mata manusia kita amat jelek.

Begitulah atur cara hidup. Allah memberi kita peluang berkali-kali supaya akhirnya kita menuju syurga-Nya. Rugilah kita jika peluang itu tidak dihargai.

Untuk anak-anak kecil, jangan kecewa jika mendapati “syurga” kalian kecil dan ketot. Yang penting ialah berusaha sehabis daya untuk meletakkan diri anak-anak ke dalam "syurga" itu.

Insya-Allah, Dia sedang mendengar!

Tuesday, February 26, 2013

Alpa dan Lupa



Kadang-kadang teguran kecil mengejutkan kealpaan.

Saya bukanlah kuat akar ke-Melayuannya. Tetapi sebagai anak kampung, ciri-ciri kekampungan menjadi kebanggaan saya. Justeru, saya bangga sekali tatkala menyebut bahawa saya anak kampung yang membesar dengan udara bersih dan hidup serba payah.

Namun, ada waktunya kita alpa.

Bukan salah tuntutan keadaan, tetapi kealpaan itu berpunca daripada diri sendiri.

Dua belas tahun genap, saya memang tinggal sepenuhnya di kampung. Gembira mengharungi lumpur bendang dan sesekali kulit tertusuk duri saat bersembunyi di belukar.

Waktu berkubang bersama-sama kerbau di bendang, agaknya kerbau itu pun mendoakan agar kanak-kanak yang berlarian ke sana ke mari di medan peperangan lumpur itu segera membesar agar tidak lagi mengganggu ketenteraman waktu rehatnya daripada tugas membajak.

Waktu beredar. Saya ke asrama selama tujuh tahun. Kemudian ke universiti. Langsung menetap di kota metropolitan.

Saya sibuk dengan kerja, anak-anak dan bergelut dengan seribu macam masalah hidup.

Cuba membesar dan mendidik anak sebaiknya, saya alpa dengan sesuatu.

*********************************************************************************************************

Ketika sedang menunggu bihun sup saya siap, saya melihat ke dinding.

Lukisannya amat menarik. Sepasang merpati sedang bertenggek dalam sangkar terbuka. Tidak boleh juga dikatakan sangkar sebab tiada jejaring apa pun. Hanya bekas bulat yang disangkutkan di tepi jendela.

Anehnya, jendela itu terbuka sedikit. Cukup untuk merpati sepasang ini untuk terbang ke langit luas. Ada jalan kecil yang bersih dari arah luar tingkap. Ada juga rumput-rumput dan pokok-pokok di sekitar. Langitnya nampak jelas. Kepulan awan bertaburan di dada langit.

Ada semacam tafsiran yang bermain dalam benak. Merpati sepasang itu dan jendela yang sedikit terbuka!

Restoran itu menyediakan pelantar untuk makan. Sebuah keluarga dengan anak seorang, perempuan, sekitar usia empat tahun sedang bersila mengadap hidangan yang diletakkan atas meja bonsai, yakni meja yang kakinya amat pendek.

Saya duduk di meja biasa.

Melihat anak kecil bertudung itu sangat membahagiakan. Dia sedang terkial-kial menyuap dengan sudu dan garfu.

Sudu dan garfu!

*********************************************************************************************************

Kejadian itu berlaku lama dahulu. Anak-anak saya berada di awal persekolahan rendah.

“Opah, mereka anak orang kaya ya?” tulus pertanyaan itu. Pertanyaan daripada seorang anak kecil. Anak saudara saya dari JB yang belum pun masuk tadika. Barangkali dia menganggap bahawa orang kaya memang caranya begitu.

Saya berhenti menyuap. Kealpaan saya sedang dikejutkan!

Kami sedang makan dengan adat kampungan, yakni duduk bersila atas tikar mengkuang. Semua sedang menjamu selera dengan menggunakan tangan, kecuali dua orang. Anak-anak saya!

Anak-anak saya bersila di lantai, makan nasi dengan sudu dan garfu. Makan tanpa kekok.

Pertanyaan kecil itu memberikan perubahan besar kepada saya selepas itu.

Barulah saya sedar, selama sembilan tahun usia si sulung, dan tujuh tahun usia si adik; saya tidak sedar bahawa selama tempoh itulah mereka makan menggunakan sudu dan garfu.

Selesai masak, saya akan meletakkan makanan di meja dengan sudu dan garfu di kanan kiri pinggan. Begitulah yang berlaku bertahun-tahun.

Mereka tidak menggunakan tangan untuk makan. Bukan adat Melayu yang saya fikirkan, tetapi adat kampungan yang telah saya lupakan.

Tidak menjadi dosa jika makan dengan sudu, garfu, chopstik atau apa sahaja. Tetapi oleh sebab saya orang kampung dan terdidik dengan kebiasaan masyarakat di mana saya membesar; sepatutnya saya tidak jadi demikian.

Bagaimana saya boleh terlupa? Saya pun kehabisan akal untuk mencari puncanya.

Pertanyaan daripada si kecil itu membuatkan saya kembali ke akar.

Saya mula membiasakan anak-anak itu makan dengan tangan. Oleh sebab sifat kanak-kanak yang cepat belajar, mereka dapat melakukannya dengan baik.

Tiada salahnya makan dengan sudu dan garfu, tetapi saya anak kampung. Meskipun anak-anak saya lahir di kota metropolitan, tetapi akarnya tetap di kampung.

Kalaulah bukan pertanyaan anak kecil itu, mungkin sukar untuk saya mengubah kebiasaan anak-anak jika mereka telah meningkat remaja.

*********************************************************************************************************

Mata saya masih menatap merpati putih sepasang yang sedang bertenggek di sangkar terbuka. Mereka selesa di situ.

Sangkar bulat dan jendela yang daunnya terbuka.

Mereka boleh sahaja membebaskan diri.

Sangkar terbuka.

Jendela juga terbuka.

Di luar, alam sedang mendepangkan tangan.

Tapi kenapa...?

Sunday, February 24, 2013

Kata Yang Diam



Selepas Isyak, saya tidur dan tidur. Bangun hanya untuk menutup suis pendingin hawa yang ternyata dinginnya makin menegangkan urat-urat di bahagian kiri belakang.

Hujung minggu langit mendung. Bunyi guruh sayup menjauh. Anak mengirim pesanan, “ada program Beauty With Brains hari ini, kalau larat dan ada lapang, ibu datanglah”. Itulah antara program yang kami buatkan skrip pengacaraan majlisnya bersama-sama.

Boleh datang, tapi tidak boleh berlama-lama duduk di kerusi. Ketegangan urat belakang sangat menyakitkan.

Memikirkan bahawa hujung minggu yang akan datang, saya akan berada di Program Jejak Budaya Kampung Lonek selama tiga hari, hati berbelah bahagi.

Akhirnya selepas Zohor, saya memandu ke kampus. Memang ramai gadis dan wanita rupawan di majlis itu. Ada forum juga. Memang cantik tetapi ada sesuatu yang kurang pada jelitawan-jelitawan itu. Kemahiran komunikasi!

"Banyaknya plastik," kata saya. Anak saya faham. "Mahu buat sajak, ibu?" tanyanya.

Mujur juga pergi, anak itu perlukan bantuan saya untuk bercakap dengan seseorang.

Rakannya sebaya si adik. Dua puluh satu tahun usianya. Budak itu ada masalah kesihatan yang berkait dengan penyakit saya. Masalahnya dia tidak mahu melakukan operasi seperti saranan doktor.

Bagaimana mahu bercakap dengannya jika baru seayat dua matanya sudah berair?

Kasihan betul.

Saya mahu beritahunya apa yang menjadi azimat saya. Kata-kata yang disebut mak setiap kali saya menghadapi kesukaran. Kata mak, “jangan takut dengan apa yang ada di dunia. Di akhirat nanti, macam-macam lagi yang ada!”

Kata-kata azimat itu akan saya perturunkan kepada anak-anak saya. Untuk peringatan, saya lekatkan stiker “awas, akhirat di hadapan!” di cermin belakang kereta.

Saya faham ketakutan-ketakutan yang bersarang di hatinya. Dia masih muda. Episod hidupnya belum banyak bersiri.

Tetapi penyakit zaman moden ini tidak mengenal usia muda atau tua. Mereka (?) sangat berdaya maju dan proaktif.

Oleh sebab itu, kita pun kena menentang habis-habisan juga.

Saya juga mahu katakan kepada gadis itu, jika dia risau, maknya lagi risau. Alasan bahawa “takut mak susah hati” sudah tidak relevan lagi.

Mak akan susah hati juga walaupun hanya benda-benda kecil yang menimpa kita. Contohnya, waktu anak SMS beritahu kafe tutup dan dia sangat lapar. Mahu pesan piza, kena kumpulkan enam orang yang lapar sebab harganya seratus lebih. Saya yang tidak lena tidur. Tidak berhenti berdoa dan akhirnya turut tidak makan malam juga.

Memang perangai mak-mak begitu. Saya mahu tanya dia, ada atau tidak mak yang melompat-lompat gembira jika dapat tahu anaknya demam? Atau ada atau tidak mak yang buat kenduri kesyukuran selepas dapat khabar anaknya mengidap kanser?

Kalau ada mak yang begitu, memang dia bakal menghuni Wad dua belas Hospital Universiti Malaya, atau ke kampus Hospital Tanjung Rambutan.

Saya mahu beritahunya macam-macam. Tetapi semua itu hanya menjadi keinginan-keinginan.

Dia bertanya saya, “mak cik sihat?”

Saya senyum. “Sihat. Sakit-sakit itu biasa. Badan sudah lama. Tapi kita kena yakin dengan keajaiban yang Allah beri. Doa mak, doa suami, doa orang-orang yang mengasihi kita; semuanya Allah dengar. Itu sebab mak cik yang sepatutnya menjalani kimo, tiba-tiba diberi keajaiban dan hanya perlu radio...”

Tatkala melihat air matanya bergenang, saya mengalih cerita.

Air matanya...

Itulah sebabnya saya tidak jadi mahu memberitahunya macam-macam.

“Dia menangis, ibu...” anak mengirim mesej setelah saya tiba di rumah.

Alamak, apa yang telah saya buat! Rasanya, saya sudah berlakon dengan ceria walaupun terpaksa menahan sakit sepanjang perbualan kami itu.

Malam itu, saya tidak lena. Gelisah betul. Pertama, belakang sangat sakit. Kedua, saya mengenang gadis itu.

Entah zikir yang ke berapa ratus, saya lena sekejap. Tetapi belum apa-apa, loceng pagi berbunyi. Suara anak jiran yang menangis kuat, menendang cuping.

Pagi ini saya berdoa, semoga Allah melapangkan jalan untuknya.

Thursday, February 21, 2013

Surat Daripada Boy



Assalamualaikum ibu, ibu sihat? Saya minta maaf lama rasanya tak tanya khabar ibu, mudah-mudahan Allah kurniakan ibu kesihatan, kebaikan dan ketenangan. Sibuk dengan rutin harian, takut rasanya bila fikir Allah. Sibukkan hidup dengan urusan dunia, sama-samalah kita niatkan 'urusan dunia' kita Lillahi ta'ala. Semoga menjadi ibadah.

Seronok baca blog ibu,banyak kisahnya, sedih, terharu kadangkala boleh menakung air mata. Saya selalu cakap pada dua anak lelaki saya, lelaki jangan menangis tapi saya sendiri selalu tewas dengan emosi. Banyak pengajaran daripada tulisan ibu, yang mampu saya katakan "Ya Allah berilah guru aku ini kebaikan-kebaikan yang banyak di dunia dan kebaikan-kebaikan di akhirat".

Ibu, saya selalu balik Lenggong paling kurang sebulan sekali, pagi sampai petang balik-jarak 87 km saja. Sampai saja Lenggong pusing pasar pagi Sabtu (tak singgah pun) sekadar tengok dari dalam kereta, entah apa yang dilihat tak tahu, tapi semacam ada ketenangan melihat semua tu pada saya dan Norihan, waktu petang bawa kereta melalui jalan sempit di belakang pejabat pos Lenggong, tunjuk pada anak2 jalan yang saya lalui untuk ke sekolah sampai jumpa asrama perempuan SMDA terus ke pagar depan sekolah, berhenti sekejap tunjukkan pada anak2 "itu kelas mama dan itu kelas daddy dan ada seorang cikgu yang daddy panggil ibu”. Anak2 dah hafal skrip tu, isteri diam senyum sebab saya pasti dia bersama saya ke zaman lalu.

Setua mana pun kita zaman remaja paling seronok diingati, alhamdulillah senakal-nakal saya zaman sekolah takde dosa2 besar yang dibuat yang boleh menghantui saya, sekali pun saya tak pernah terlibat dengan bahan2 terlarang(kecuali rokok dah lama berhenti) walaupun ada kawan2 terlibat. Saya pernah bersumpah ketika tu bersama Ahmad Zuraimi kalau kami terlibat benda2 tu kami dipanah petir hahaha, bagus juga buat macam tu, selamat dari pengaruh tak baik rakan sebaya. Segala puji bagi Allah yang memelihara saya ketika itu.

Ibu, teringat zaman sekolah, ibu pernah ditanya sebutan 'universiti' - 'universiti' atau 'yuniversiti', ibu jawab kita sebut 'ubi kayu' atau 'yubi kayu'. Sampai hari ini saya ingat. Saya akan ajar isteri setiapkali dia sebut perkataan 'yuniversiti', tapi dah banyak kali ajar pun dia masih lupa.

Ibu, maaf ambil masa ibu untuk baca tulisan saya ni, semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita dan orang2 yang kita sayangi.


Namanya Azrul Zain. Dia pelajar saya enam belas tahun yang lalu. Saya mengajarnya di tingkatan empat dan lima. Namun, saya tidak sempat menghantar Boy dan rakan-rakannya ke pintu dewan peperiksaan sebab saya kembali menyambung pengajian. Surat-surat bertulisan tangan Boy dan rakan-rakannya masih saya simpan. Surat-surat itu membakar semangat saya.

Pelajar ini, seperti kebanyakan pelajar lain sudah berjaya dalam kehidupan. Kejayaan itu bukan bermakna mereka harus memiliki kereta besar, rumah agam atau jawatan tinggi melangit. Kepada saya, kejayaan hidup terpenting ialah bagaimana mereka menanggapi kehidupan, kemudian meletakkan akhirat sebagai matlamat masa hadapan.

Merekalah antara insan-insan yang saya doakan sebelum tidur dan sepanjang perjalanan saya ke pejabat setiap pagi.

Boy, Rafidah dan pelajar-pelajar ini adalah kebanggaan saya. Mereka bukan bekas pelajar tetapi mereka adalah pelajar saya. Dan mereka tetap akan menjadi pelajar saya sehingga hayat saya berakhir.

Friday, February 15, 2013

Menyusuri Jalan Kenangan



Bukan semua yang kita mahu akan kita dapat dan bukan semua yang kita dapat itu ialah apa yang kita mahu.

Sama sahaja maknanya.

Itu yang selalu berlaku kepada kita dalam apa juga aspek hidup.

Kadang-kadang setelah berusaha bersungguh-sungguh, memang kita akan dapat juga apa yang kita mahu.

Sejak sekolah rendah, saya mahu menjadi mahasiswi Universiti Malaya jurusan penulisan kreatif. Itu yang saya selalu petakan dalam minda. Tiada impian lain, hanya itu.

Dalam kad sulit (saya tidak pasti sekarang masih ada atau tidak kad itu di sekolah), cita-cita saya juga tidak pernah berubah, hanya kedudukan sahaja yang berubah.

Maksudnya, jika dalam Darjah Tiga (sekarang disebut Tahun 3) inspektor polis berada di tempat pertama, diikuti pensyarah dan wartawan; pada tahun berikutnya wartawan berada di tempat pertama diikuti pensyarah dan inspektor polis. Itu sahaja tiga profesion yang saya mahu jadi.

Alhamdulillah, semua yang saya mahu itu saya dapat.

Saya berjaya ke Universiti Malaya tetapi di surat tawaran tertulis Pengajian Sejarah. Saya kecewa. Memang keputusan subjek Sejarah STPM saya bagus. Saya pun minat subjek Parameswara itu.

Untuk tahun-tahun 1980-an, yang hanya ada lima buah universiti, dan mendapat tawaran dari universiti tertua di Lembah Pantai adalah sesuatu yang dikira bertuah. Saringan pengambilannya ketat, hanya yang melepasi markah tertentu sahaja ditawar masuk.

Saya pergi juga walaupun kecewa. Masuk sekali sahaja ke dalam kuliah Pengajian Sejarah, saya tahu tempat saya bukan di situ. Saya tidak mendengar apa-apa meskipun Profesor Khoo Kay Kim adalah antara idola saya.

Akhirnya saya nekad, saya ke pejabat Rancangan Penulisan Kreatif & Deskriptif atau RPKD (kemudian bertukar kepada Jabatan Penulisan Kreatif & Deskriptif, seterusnya bertukar lagi namanya kepada Jabatan Pengajian Media).

Saya tunggu ketua jabatannya berjam-jam, dari pagi hingga ke petang. Waktu itulah hati berkembangan dapat melihat penulis-penulis tersohor di depan mata. Wajah-wajah yang saya hanya kenal melalui Majalah Dewan Sastera dan buku-buku.

Esoknya saya datang lagi, jumpa Profesor Hashim Awang. Dia mengerti kesungguhan saya. Tetapi dia mahu bukti bahawa saya menulis. Maka tengah hari itu saya berjalan kaki balik ke kolej kediaman kelima (paling jauh) dalam terik matahari untuk mengambil semua karya saya dan berpatah balik ke pejabatnya.

Dia berpuas hati. Maka dengan rasminya saya diterima masuk ke RPKD. Di situlah saya menemui pensyarah-pensyarah kesayangan saya, Dr Anis Amida Abd Hamid (Kak Anis) yang comel, Allahyarham Abdullah Tahir (Pak Lah), Prof Abu Bakar Hamid, Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, Zaharan Razak, Allahyarham Pak Dharmawijaya dan ramai lagi. Kami sangat rapat. Dan oleh sebab mereka orang sastera asli, dalam kelas atau di luar, mereka membahasakan diri mereka dengan panggilan “kak” atau “pak”, tiada pangkat atau gelar yang membezakan kedudukan. Cuma kami yang kena tahu diri, tahu menghormati pensyarah-pensyarah yang juga penulis-penulis hebat itu.

Pada tahun pertama, bilangan kami agak ramai tetapi masuk tahun kedua, ramai yang tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi. Maksudnya, jika memang tiada bakat menulis sudah pasti tekanan akan bertambah.

Maka, di tahun kedua itu, kami hanya berbaki lebih kurang dua puluh orang.

Daripada RPKD, hanya saya seorang lulus peperiksaan pengecualian dan dikecualikan daripada mengambil bahasa Inggeris. Terima kasih kepada dua buah sekolah yang memberikan latar belakang bahasa itu kepada saya iaitu MGS Ipoh dan Clifford School KK.

Oleh sebab itu saya kena mengambil subjek bahasa antarabangsa. Pergi ke pusat bahasa Jepun, Perancis dan Arab, semuanya penuh. Yang kosong hanyalah bahasa Rusia, Sepanyol dan beberapa bahasa lagi. Saya mengambil bahasa Sepanyol, satu-satunya siswi Melayu yang terkontang-kanting dalam kelas yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris. Alhamdulillah, saya mendapat A dalam subjek itu sama ada dalam peperiksaan lisan dan bertulis, setelah puas membetulkan cuping untuk memahami loghat maestro yang berbunyi tagalog dan americano.

Mengambil subjek kewartawanan, ada kenangan tersendiri. Peperiksaan berlaku di bilik tertutup. Sebabnya kami kena menaip jawapan. Bukan dengan komputer tetapi mesin taip. Komputer tidak wujud lagi pada waktu itu. Menggerutup bunyinya apabila semuanya mula menaip.

Kami perlu juga ke lapangan. Saya ditugaskan membuat skrip untuk dokumentari. Waktu itu bangunan tertinggi di KL ialah bangunan Dayabumi. Kami ke situ untuk pengambaran, juga ke Perak dan Selangor.

Di UM, saya adalah Setiausaha 1 Ikatan Sasterawan UM (ISUM). Tidak tahu sama ada ISUM masih wujud atau tidak sekarang. Saya juga aktif dalam PEMARAK iaitu persatuan anak negeri kelahiran saya. Saya juga bertugas di Biro Penerbitan PMUM, yang ketika itu berada di bawah pengaruh ABIM.

Meskipun speakers corner sudah tiada ekoran AUKU, politik masih segar di kampus di bawah pimpinan The Jogging Professor, Prof Diraja Ungku Aziz . Saya masih ingat, TG Haji Hadi (waktu itu beliau masih muda) dijemput hadir di DTC. Saya berfahaman United Malay National Organisation ketika itu, tetapi saya hadir juga. Saya peminat Saudara Anwar (sebab kebijaksanaan berpidato di samping kekacakan wajahnya), dan beliau waktu itu berjaya dipujuk oleh Tun M untuk masuk kerajaan.

Saya melihat ketokohan TG Haji Hadi meskipun dipenuhi prejudis sebab itulah yang ditanam dalam jiwa saya puluhan tahun melalui akhbar dan media elektronik.

Peristiwa Memali dan amukan Prebet Adam berlaku dalam tahun-tahun sekitar dan selepas saya graduasi. Juga peristiwa seorang peguam berketurunan Tionghua yang dipenjarakan sebab membela nasib gadis bawah umur Melayu yang dirogol seorang ketua menteri.

Semua tragedi itu sangat melukakan hati agama, bangsa dan negara. Cerita sebenar tersembunyi puluhan tahun sehingga akhirnya sampah yang berada di bawah permaidani, disapu keluar kebenarannya oleh kecanggihan teknologi maya.

Universiti Malaya, sesuatu yang sangat menyuntik nostalgia ialah bunyi dentingan alarm berlagu yang akan kedengaran dari menara DTC setiap jam. Tidak tahu sama ada lagu itu masih ada atau tidak sekarang. Pohonan hijau yang mengitari tasik sudah tidak seperti dulu. Tasiknya juga sudah keras kaku, bangunan di mana-mana, kampus itu sudah kehilangan udara sejuknya.

Kata-kata Prof Diraja Ungku Aziz, “universiti yang ada tasik akan melahirkan graduan hebat...” hanya tinggal kenangan. Selepas itu, perlahan-lahan universiti tertua tersebut kehilangan auranya.

Saya tidak mahu menjadi guru, tetapi kemelesetan ekonomi sangat mendesak. Saya juga sudah mabuk-mabuk. Beberapa kali suami (ketika itu) menyebut, “abang tidak sanggup lihat kamu bersesak-sesak mengejar menteri untuk ditemu bual. Semalam di TV, keadaan kamu juga begitu...”

Maka berakhirlah riwayat pendek kerjaya kewartawanan saya. Sekurang-kurangnya, tercapai juga impian yang tertulis di kad sulit sekolah rendah saya itu.

Dengan tangisan, saya mengambil diploma pendidikan KPLI batch kedua di Institut Bahasa. Saya mahu mengambil pengajian bahasa Inggeris tetapi tiada kursus bahasa Inggeris yang ditawarkan. Hanya ada bahasa Melayu dengan pensyarahnya yang kelihatan ragu-ragu di kelas. Maklumlah kelulusan pensyarah dengan pelajar setaraf, malahan ada pelajar yang sudah ada master degree sedangkan pensyarahnya masih bachelor.

Saya belajar dengan sedih. Saya cemerlang untuk kertas yang ada ciri-ciri komunikasi. Dengan perut memboyot, saya lulus dan dihantar mengajar jauh di sebuah sekolah perempuan di Setapak. Namanya sahaja setapak, tetapi bertapak-tapak!

Tujuh tahun kemudian saya mengambil sarjana. Waktu mengisi borang, tertulis di situ Human Resource Management tetapi waktu temu duga saya diberitahu bahawa jurusannya ialah Science Management yang dipenuhi dengan subjek perniagaan, statistik, accounting, manegerial economics, finance dan seumpama dengannya. Sekali lagi saya hanya cemerlang dalam subjek berkaitan komunikasi, yang lain kepujian. Sekali lagi juga saya kena membetulkan cuping untuk memahami kuliah pensyarah dalam bahasa Inggeris dialek Lubnan, India dan Filipina.

Sebenarnya, tiada siapa pun tahu yang saya mendapat tawaran ke sebuah universiti di UK dalam bidang yang sama pada tahun itu. Sehinggalah pada tahun lepas, saya memberitahunya kepada anak sulung. Terbeliak mata sepetnya itu. "Kenapa ibu tak terima, kalau tidak kakak dapat duduk luar negara..." Hahaha, manalah dia dapat faham tempoh-tempoh sukar yang sedang saya hadapi ketika itu. Kalau saya pergi, maknanya saya kena tinggalkan mereka di Malaysia. Biasiswa yang diberi pasti tidak cukup. Siapa pula yang akan jaga mereka yang masih kecil di negara orang kalau saya berdegil mahu membawa? Meskipun saya menangis tatkala menolak tawaran tersebut tetapi saya tidak pernah kesal sebab memilih anak-anak saya! Malahan saya terlupa bahawa saya pernah mendapat tawaran itu kalau saya tidak terjumpa surat yang sudah berlipat dalam kotak lama!

Ia mengajar saya bahawa bukan semua yang kita mahu kita akan dapat.

Sebelas tahun menjadi guru, saya sempat menyarung seragam polis selama dua tahun. Saya menjadi inspector cadet. Satu lagi impian dalam kad sulit saya termakbul walaupun hanya sebagai inspektor “palsu”!

Satu hari, saya keputusan wang. Saya tidak sempat balik untuk menyalin pakaian seragam itu. Lama saya menunggu dalam kereta sehingga saya yakin tiada lagi orang beratur di mesin ATM. Cepat-cepat saya keluar, tetapi malangnya ketika sedang dalam proses transaksi, ada seorang pak cik berdiri di belakang saya.

“Puan bertugas di balai mana?” tanyanya ramah.

Err...saya terkedu. Tersengih-sengih saya di situ, agaknya dia tidak nampak lambang kadet polis di atas bahu saya. Yang dia nampak hanyalah “paku” tanda saya seorang inspektor!

Dia juga tidak perasan barangkali, mana ada inspektor polis yang sependek saya!

Selepas kejadian itu, jika saya berpakaian seragam, saya akan membawa sesalinan pakaian biasa dalam kereta. Selesai waktu sekolah, saya akan menyalin baju.

Sebelas tahun juga saya menjadi pensyarah. Satu lagi cita-cita di kad sulit saya tercapai meskipun asalnya saya mahu menjadi pensyarah universiti.

Alhamdulillah.

Saya tidak menyesal menjadi seorang guru walaupun ketika mengambil diploma pendidikan, saya melaluinya dengan tangisan.

Bukan semua yang saya mahu saya akan dapat. Tetapi Allah telah memakbulkan banyak keinginan saya. Berbanding dengan apa yang saya tidak dapat, banyak yang saya telah dapat.

Menjadi guru telah memanusiakan saya. Meskipun sekarang, akan masuk dua belas tahun saya bergelar pensyarah, tempoh sebelas tahun menjadi guru lebih kuat pengaruhnya terhadap kehidupan.

Saya masih menggelar diri saya guru. Jika ada yang bertanya, saya mengatakan saya seorang guru. Di kampung, tidak ramai yang tahu saya sudah lama tidak mengajar di sekolah. Saudara mara saya juga tidak tahu. Walaupun kerjaya itu telah bercalar teruk, saya tahu masih ada yang benar-benar berusaha mengesat cermin yang sudah dikotori sebilangan kecil guru.

Hanya Allah yang tahu mengapa saya ditakdirkan menjadi guru. Saya mengajar orang, dan saya mengajar diri saya sendiri.

Saya telah mengalami perasaan terharu tatkala pelajar-pelajar membawa anak isteri mencari saya dan mengatakan, “nak, inilah cikgu papa. Cikgu yang sangat sabar melayan kenakalan papa”. Saya tersedu ketika seorang lelaki berkupiah berdiri di hadapan saya dan menyebut “jika Allah tidak menghantar ibu ke sekolah saya, sudah tentu saya seorang yang tidak berguna ketika ini...”

Atau ketika membaca mesej, “saya hanya mahu khabarkan berita gembira sahaja kepada ibu pada tahun 2013 ini. Berita satu, saya telah beli rumah, insya-Allah 2015 siap!” Ini mesej terbaharu hari ini daripada wanita berusia 33 tahun yang hatinya sangat tabah membesarkan tiga anak. Pelajar ini yang saya selalu ceritakan dalam tulisan saya. Cikgu Rafidah!

Mereka selamanya menjadi ilham dan penguat semangat saya tatkala berhadapan dengan hujan panas kehidupan. Mereka selalu membuatkan saya tersenyum sendirian.

Menjadi guru melatih kita untuk mengawal diri sebab kita akan menjadi contoh kepada pelajar. Bukan mudah untuk mengawal diri. Sesekali kita terbabas juga.

Saya tiada pengalaman mengajar sekolah rendah. Hanya setahun setengah berpengalaman mengajar kelas menengah rendah, selebihnya kelas tingkatan empat, lima dan enam.

Tentu menarik sekali jika berpeluang mengajar pelajar-pelajar cilik di sekolah rendah. Inilah yang bakal dilalui guru-guru pelatih saya. Alangkah besarnya pahala jika kita berjaya memanusiakan budak-budak itu. Allah biasanya akan membalas dengan menjadikan anak-anak kita juga cemerlang akademik dan sahsiahnya.

Apabila anak kecewa sebab apa yang tertulis dalam permohonan berbeza dengan pengajian yang dia ikuti, ingin sekali saya katakan apa yang saya sebut di awal tulisan.

Dia mahu mengambil pengajian kesusasteraan Inggeris dan ada subjek terjemahan. Dalam permohonan, ada tertulis begitu. Tetapi entah di mana silapnya, universiti sudah menutup pengajian tersebut dan dia ditawarkan pengajian bahasa Inggeris yang subjeknya termasuklah linguistik.

Terus terang, waktu mengambil ijazah pertama, saya juga alergik dengan subjek linguistik.

Saya memahami kekecewaannya ketika terpaksa mengambil subjek itu. Saya pernah mengalaminya dahulu.

Terlalu kecewa sehingga tiada satu pun yang masuk ke dalam kepala walaupun pensyarah sangat terkenal di universiti. Tentu mereka yang sezaman dengan saya mengenali pensyarah berdarah raja yang ada hari-harinya akan mengenakan jubah besar berwarna merah dan mendakwa dia adalah pewaris sebenar istana Perak.

Semalam lewat pagi dia menghantar mesej. Sudah pasti dia sangat terkilan. Lagi beberapa point sahaja sudah boleh mencapai 4.0. Kebetulan dia stres sebab ada program besar di kampus dan dia ditugaskan di bahagian protokol. Beberapa waktu ini dia memang meminta bantuan saya menunjuk ajar hal-hal berkaitan pengurusan protokol dan pengacaraan itu.

Kepada saya, gred itu sangat cemerlang dalam keadaan dia yang terpaksa mengambil subjek yang bukan kegemarannya.

Si bongsu pun begitu. Permohonan penerapan untuk jurusan grafiknya gagal. Dia kena merayu. Atau memohon ke universiti tempatan lain dalam pengajian bahasa Inggeris. Saya belum mampu menghantarnya ke Jepun untuk jurusan manga yang disukainya. Sama seperti saya belum mampu menghantar kakaknya ke luar negara dalam jurusan yang dia suka.

Masih jauh perjalanan mereka. Ada yang akan mereka dapat dan ada yang akan tidak. Mereka dilahirkan sebagai anak saya yang tidak punya wang berjuta, kecuali jika saya memilih untuk menetap di Indonesia...hehe

Kalau apa yang kita mahu itu kita pasti dapat, tidak adalah perjuangan dalam hidup. Hanya Allah yang tahu sebabnya kita dapat dan sebabnya kita gagal dapat.

Saya pernah bercerita kepada mak, bagaimana Allah mengatur kehidupan saya. Dengan menjadi pendidik, saya punya waktu membesarkan anak-anak sendirian. Saya angkut anak-anak kecil saya ke mana sahaja saya pergi. Alangkah anehnya, saya tiada simpanan dan gaji kecil, tetapi waktu itu sentiasa ada jalan terbentang di hadapan kami.

Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik buat kita. Nampak menyeksakan tetapi kemudian jika kita perhatikan dalam-dalam, ada sesuatu yang manis buat kita.

Cemerlang di dunia ini tiada masalah. Tetapi kena juga cemerlang dalam persediaan menuju akhirat.

Kaya di dunia pun tiada masalah. Dengan kekayaan, kita mampu membantu orang susah. Tetapi kita kena pastikan kita tidak muflis di akhirat.

Hidup kena gembira. Lihat hujan dan panas dengan hati riang. Sambil mensyukuri masih lagi kita hidup hari ini.

Waktu saya keluh kesah untuk dibiopsi itu, saya masih ingat seseorang yang berpakaian sut pesakit. Lelaki Cina itu sedang menghirup sup. Di kepala, leher dan bahunya ada besi pendukung. Mungkin dia kemalangan. Tetapi dia masih menikmati sup walaupun orang memandangnya seperti makhluk asing yang baru mendarat dari Planet Musytari.

Sudah tentu sukar untuk dia baring, berpaling, hatta mahu ke tandas. Tapi dia menerimanya dengan baik. Kalau tidak, sudah tentu dia tidak turun ke kafe sendirian dengan besi-besi yang berpalang-palang itu demi menghirup keenakan sup!

Nah, apalah sangat dengan urat saraf saya yang sengal waktu bangun tidur pagi tadi. Dah tua pun, masih salah tidur lagi!

Kalau ada uban pun jangan mengeluh. Uban tanda kedewasaan. Maknanya kena gandakan ibadah. Kena tinggalkan semua yang melalaikan perlahan-lahan (Rafidah...ayuh kita bertanding siapa yang cepat putih rambutnya. Mahu?)

Hehehe...ingat selalu, bukan semua yang kita mahu kita dapat. Rambut kita tidak akan hitam selama-lamanya walaupun itu yang kita mahu!

Tuesday, February 12, 2013

Hujan Rindu


Hujan petang Selasa.

Cantik. Hujan yang melebat itu menangguhkan pergerakan. Beberapa orang berteduh di bawah payung dan makan-makan di meja simen mak. Ada kuetiau goreng dan kacang-kacangan.

Hujan-hujan begini, enak sekali menghirup kopi.

Saya sudah boleh bangun. Sejak sampai di rumah mak, saya hanya baring. Sangat letih dan lemah sehingga terhoyong-hayang menuju ke bilik air untuk wuduk.

Makan pun sehingga si bongsu membawa sepinggan nasi ke dalam bilik. Biasanya saya tetap berlakon OK di hadapan mak, tapi kali ini memang tidak mampu lagi. Saya benar-benar letih.

Begini rupanya rasa letih setelah menggunakan tenaga maksimum seminggu ini.

Terjaga jam lima pagi, saya mengucap syukur. Alhamdulillah. Allah masih memberi peluang untuk meneruskan cerita hari ini. Letih saya bukan letih yang penghabisan!

Di rumah mak, memang tiada “ketenangan”. Orang singgah bersilih ganti. Mahu berbual hal-hal peribadi dengan mak pun tidak boleh. Sekejap-sekejap ada yang bertamu. Apa lagi sejak jambatan berdekatan rumah mak runtuh, jalan di hadapan rumah mak sudah jadi jalan utama.

Kereta dan motosikal lalu lalang untuk melalui jambatan yang satu lagi. Bingit. Malah berbahaya!

PRU ke-13 sudah begitu dekat tetapi jambatan penting yang menghubungkan kampung masih belum dibaiki.

Mahu tunggu menang lagi barangkali. Kubu kuat, kalau dibiarkan sehingga lima tahun lagi pun jambatan itu, dijamin menang juga! Minda sudah diset!

Hujan petang melarat hingga ke malam.

Bunyi hujan yang jatuh di zink, berirama.

Mendengar bunyi itu, saya teringatkan ayah. Jika hujan lebat begini, suara ayah berselawat terdengar jelas dari dalam biliknya.

Kemudian, ayah mendendangkan nasyid kegemarannya“Selimut Putih”. Akhirnya ayah merasai juga selimut putih itu.

Saya rindui ayah. Merindui saat ayah membuka kisah salasilah keturunan kami dan keberanian nenek moyang.

Merindui abang, kakak-kakak dan adik-adik lelaki saya yang melingkar di sekeliling mak tatkala musim hujan, mendengar cerita dongeng dahulu kala dan pengajarannya.

Suara mak mengaji sambil menunggu Isyak, menyelinap masuk ke cuping. Hujan sesekali menenggelamkan suara mak.

Dan saya masih di luar, tidak jemu menatap hujan.

Monday, February 11, 2013

Jangan Pernah Menyerah



Isnin pagi lebuh raya masih dipenuhi kereta. Sesak yang berjalan. Bukan sesak yang berhenti.

Saya menuju ke utara. Tidak boleh lama sebab Khamis pagi saya perlu melakukan mamogram sekali lagi.

Perjalanan itu sangat menenangkan. Melihat apa sahaja, kelihatan cantik di mata saya. Seperti saat saya melihat warna merah di kaki langit semalam. “Itu lembayung,” saya beritahu anak dan dia cepat mengambil foto.

Ditemani lagu album terbaharu Opick, qasidah dan selawat daripada album Al-Habib Syeikh bin Abdul Qadir As-Sagaf dan CD ceramah UAI, saya memandu dengan gembira.

Malam tadi jam sebelas lebih baru tiba di rumah. Saya menghantar anak ke kampus dan membekalkan juga laksa utara dan keropok lekor untuk dia dan kawan-kawannya makan sebelum mesyuarat. Kafe tutup sedangkan mereka ada program. Pelik betul.

Saya berasa penat, tetapi hati gembira dan tenang sekali. Rupa-rupanya begitulah perasaan hati mak ketika memasak untuk bekal saya saat sekolah berasrama dahulu.

Untuk gembira dan tenang, tidak perlu hal-hal yang besar dan hebat. Kadang-kadang melihat ada bunga yang keluar daripada rekahan simen atau tanah pun sudah cukup meriangkan hati.

Apabila usia sudah melepasi beberapa takah, jiwa kita akan lebih tenang tatkala berdepan dengan musibah. Tidak lagi gopoh. Kita sudah boleh bertenang, perlahan-lahan berfikir, menimbang baik dan buruk, memahami situasi, tidak lagi cuba untuk lari, malahan dengan segenap keyakinan, kita serahkan segalanya kepada ketentuan Allah.

Masa telah mengubah diri kita.

Pengalaman dan cerita hidup telah membangunkan peribadi.

Yang penting ialah jangan pernah menyerah.

Perjuangan akan seluruhnya gagal jika kita hanya tahu memalingkan muka dan berlalu.

Ya, kita jangan pernah menyerah jika mahu kesudahan yang indah.

Sunday, February 10, 2013

Menamatkan Mogok


Akhirnya setelah sekian lama tidak menulis di akhbar arus perdana, saya menamatkan mogok itu.

Tetapi bukan bermakna saya mengalah kepada prinsip.

Pernah saya mahu mengucapkan salam selamat tinggal kepada dunia kepuisian. Tetapi tidak lama.

Entahlah...

Wednesday, February 6, 2013

Hitam Ke Putih



Semalam, saya tahu dia berkata benar.

“Sudah ada sepuluh helai rambut putih. Mengaku saja sudah tua...” katanya sambil dia meneliti helaian-helaian di kepala saya.

Saya sukakan rambut-rambut yang sudah putih itu walaupun itu bermakna saya memang sudah semakin tua.

Saya melihat uban itu sebagai satu kejadian yang sangat ajaib.

Daripada hitam menjadi putih. Simbolik sekali dengan fitrah manusia. Muda yang penuh dosa dan tua yang kembali ke jalan Allah.

Memang ada keterangan kejadiannya dari sudut ilmu Sains yakni berlaku proses perubahan kadar melanin.

Uban terjadi apabila ada gangguan pada sintesis protein di bahagian kulit kepala. Di bawah kulit ada satu sel yang dinamakan sel melanocyte yang berfungsi untuk menghasilkan pigmen melanin.

Abu Hurairah meriwayatkan, "janganlah mencabut uban kerana uban adalah cahaya pada hari kiamat nanti. Siapa saja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai , maka dengan uban itu akan dicatat baginya satu kebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan satu kesalahan, juga dengannya akan ditinggikan satu darjat".

Kata orang, jangan mencabut uban sebab nanti uban-uban itu akan tumbuh dengan jumlah yang banyak.

Tetapi saya fikir bukan begitu. Jika kita tidak cabut pun, uban-uban itu akan tumbuh juga.

Ia akan menjadi cahaya di hari kiamat jika pemilik uban itu mencintai Allah.

Ada yang bertanya, "bagaimana dengan fenomena orang sekarang yang muda-muda lagi sudah beruban? Boleh atau tidak mereka mencabut uban-uban penyakit itu atau mewarnakannya?"

Saya tidak tahu bagaimana mahu menjawab.

Tapi saya terus memerhati sehelai rambut putih yang berada di telapak tangan.

Sehelai rambut yang saya desak dia untuk mencabutnya.

Saya ingin menatap putih selepas hitam itu.

Dengan takjubnya saya menyebut "Maha Suci Allah!"

Tuesday, February 5, 2013

Jangan Khianati Agamamu...



Teringat isi perbualan seorang saudara baharu di radio.

“Saya tidak Islam di tangan orang Melayu. Saya juga tidak Islam di Malaysia. Saya Islam di tangan seorang Amerika dan di Amerika, sebuah negara yang sangat memusuhi Islam. Orang Islam di Malaysia khususnya Melayu, tidak membantu dakwah sebab mereka tidak mempamerkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam...”

Bukan dia seorang yang berkata begitu. Dalam rancangan yang memaparkan kegigihan saudara baharu mencari hidayah Allah, juga ketabahan mereka menjalani kehidupan dengan pandangan serong masyarakat, ramai yang dengan berani dan sedihnya mengungkapkan kata-kata serupa.

Kata-kata itu adalah benar dan kebenaran itu menusuk hati kita yang Islam baka.

Kita telah mengkhianati amanah Allah.

Sebab ada antara kita tanpa rasa bersalah (atau bangga?) menceritakan kemaksiatan kita itu kepada orang bukan Islam. Kononnya untuk meminta pandangan atau nasihat atas dasar amalan terbuka masyarakat tersebut.

Apa impak negatifnya?

Kalau setakat mencemarkan diri kita sebagai Melayu, tidak memberi makna apa-apa. Melayu tidak akan memberikan kita “perlindungan” di alam kubur nanti.

Tetapi kita telah mencemarkan agama. Apa pandangan kawan kita yang bukan Islam, yang jelas sangat anti-Islam itu terhadap ajaran agama kita?

Apakah kita sedang melebarkan lorong untuk mereka mengeji agama kita?

Alangkah baiknya, selepas menyedari kesilapan, kita berbicara dengan orang seagama, atau yang lebih berautoriti.

Pelajaran yang paling baik dan mudah diingat ialah apabila kita belajar daripada kesilapan.

Dan masih saya ingat kata-kata saudara baharu itu, “kejilah diri dan peribadi saya. Tapi jangan sesekali mengeji agama baharu saya...”

Air mata saya luruh.

Saudara kita itu telah benar-benar diberikan cahaya.

Kita yang memang sudah dilahirkan dengan cahaya pun masih teraba-raba dalam kesesatan yang nyata!

Monday, February 4, 2013

Penjara



Bukan semua yang bernama penjara itu adalah penjara.

Kadang-kadang penjara membawa banyak kebaikan dalam memelihara tingkah laku kita yang menjadi penghuninya.

Tembok penjara dengan segala jenis peraturan nampak merimaskan. Namun, kadangkala yang merimaskan itulah akhirnya menjadi penyelamat.

Benar, apabila sekian lama terpenjara, kita akan cenderung terbabas dengan kebebasan yang tiba-tiba. Berada di luar tembok, kita melihat sejauh saujana. Langit dan awan bukan lagi batasan. Gunung dan banjaran hanyalah fatamorgana.

Jika kita melihat sesuatu tanpa batasan pun bahaya juga. Apa lagi jika ada yang menarik tangan kita perlahan-lahan menuju ke jalan sesat. Pertahanan peribadi juga jenis yang mudah rapuh. Atau seperti layang-layang. Angin utara yang bertiup, ke utaralah melayangnya. Jika ke lembah, ke situlah layang-layang terdampar.

Semua orang ada hitam dalam putihnya. Cuma jangan sampai yang hitam itu menutupi putih. Allah sentiasa membuka tangan-Nya untuk memeluk. Sekali kita berbuat salah, jangan ulangi lagi. Hidup bukan dicipta untuk melakar salah berkali-kali.

Tiada secarik pun daging kita akan luruh jika kita mengaku salah. Sebaliknya, orang yang berani mengaku kesilapan, sangat disayangi Allah. Orang yang bertaubat, dialah paling hebat di sisi-Nya.

Penjara bukan dibina untuk semua orang yang berbuat jahat. Ramai orang baik yang telah dan sedang dipenjara. Jangan disalahkan penjara dan temboknya. Tetapi lihatlah diri dan hati kita.

Apabila berbuat dosa, jangan menyeret pula dosa yang lain. Cukuplah sekali jatuh ke dalam lubang. Esok-esok kita akan lebih berhati-hati.

Ingatlah, Allah sentiasa melihat kita.

Betapa pun bertimbun dosa kita, Dia akan sentiasa membuka peluang buat kita untuk ke syurga.

Tinggalkan segala daki dosa kita di belakang. Masa depan kita berada di sana, di dunia yang abadi. Persiapkan diri kita dengan bekalan yang sudah banyak kita cicirkan sepanjang menjalani hidup ini.

Saturday, February 2, 2013

ANAK TANPA RUMAH



ANAK TANPA RUMAH

dia tidak melihat pintu
kerna rumah-rumah yang dilewati
baginya hanya sebuah binaan
yang penuh kebencian

dia terlalu banyak menoleh
sehingga kaki kerap tersadung akar menjalar
yang timbul di muka tanah
tatkala tersungkur
dia tidak memarahi kelalaian
tetapi menuding jauh

tidak mengapa
sebab masa dan deret peristiwa
akan memaknakan hidup
menjadikannya manusia yang lebih faham
pencak silat dalam gelanggang

anak tanpa rumah
masih ada yang menyintaimu
Dia yang sentiasa dekat
akan menukarkan kebencian
lalu saat itulah
akan kau ketemu pintu
rumah-rumah
yang sentiasa ternganga buatmu.

-ibubungamatahari-
1.40 petang
2 Februari 2013
JPM