Total Pageviews

Monday, January 21, 2013

Senyum. Tak Perlu Kata Apa-apa!



Tahun baharu sudah masuk hari ke dua puluh dua.

Ibarat memakai tudung baharu, semangatnya lain macam.

“Tahun ini Yang mahu makan beras perang, bubur nasi dan oat. Juga mahu buat apple crumble oats!”

“Bagus...” dia mengangguk sambil terus menyuap nasi panas ikan pekasam yang berbau semacam itu. Produk kebanggaan lembah kelahiran saya!

Itu sahaja reaksinya? Hanya “bagus”?

Oh, barangkali dia fikir azam saya itu hanya azam yang hangat-hangat tahi ayam (siapalah yang rajin sangat pergi merasai kehangatan tahi ayam yang langsung membawa kepada penciptaan peribahasa tidak senonoh seperti itu...)

Dengan semangat berkobar-kobar, saya menghuraikan hikayat kebaikan beras perang.

Adapun beras itu kaya dengan vitamin B1, B2, B6, zat besi, fosfat, serat dan kalsium.

“Untuk warga midi macam Yang dan meksi macam abang, bagus sekali sebab ia akan mengurangkan kolestrol. Baik juga untuk mengawal darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung. Ia membantu mengurangkan risiko barah kolon sebab dapat mengatasi sembelit...bla...bla...bla...”

Letih betul menghafal fakta.

“Bagus...bagus...”

Nampaknya sudah bertambah dua “bagus”. Ada peningkatan!

“Nanti abang beli beras perang dan oat ya. Dan buah-buahan macam biasa,” pesan saya sambil membayangkan betapa langsingnya saya sepanjang tahun 2013 ini.

“Nanti abang belikan. Tapi mesti makan. Jangan jadi macam yang sudah-sudah. Karot dan tomato jadi arca dalam peti ais. Doc kan suruh makan sayur berwarna terang!”

Err...itu azam tahun lepas! Tahun hospital vacation. Saya makan tomato, karot, brokoli dan lain-lain. Sikit-sikit sajalah. Kambing pun sesekali mesti teringin mahu makan piza!

Lagi pun saya tidak mampu ikut rentak dia, si pemakan sayur dan ulam mentah itu! Itu sebab dia tidak boroi seperti lelaki seusianya.

Apatah lagi waktu dalam rawatan. Memanjang bubur nasi, sayur dan ikan selar rebus. Sebenarnya kadang-kadang saya curi-curi makan ayam. Sekali dua sahaja. Mak buat-buat tak nampak kalau seketul ayam tiba-tiba hilang. Saya sudah terlalu tua untuk dimarah!

Menjelang pagi, waktu menyarungkan stokinnya, saya berazam lagi.

“Tahun ini mahu banyakkan senyum!”

“Azam yang bagus!” katanya tersenyum, membetulkan rompi hitam JM padanan kemeja pilihan saya yang dipakainya pagi itu.

Apabila kita senyum, kawasan anterior otak di sebelah kiri menjadi aktif, yang merupakan tempat emosi positif dirangsang. Sebab itulah, seseorang yang memberi senyuman, sudah pasti memiliki emosi yang positif.

“Tapi mesti the real smile!

“Ada yang tidak real?” tanyanya.

“Ada. Kadang-kadang kita senyum sebab mahu tutup rasa gementar, kejengkelan, penipuan dan sebagainya. Itu namanya fake smile. Macam roti canai palsu tu...”

Roti canai palsu! Bukan “palsu” sebenarnya, tapi “segera”. Roti canai segera!

Saya tidak pernah berazam tetapi mempunyai teman sekamar yang tekad berazam, menyebabkan saya pun mahu meniru.

Cuma bezanya, azam saya hanya mampu bertahan sampai hujung Januari. Itu azam dua tahun lepas. Azam mahu berjoging.

Yang berjaya pun azam tahun lalu, iaitu menghasilkan manuskrip novel kedua. Itu pun mengambil masa setahun! Orang lain setahun boleh menghasilkan beberapa “biji” novel, saya terkial-kial menaip, memotong dan menambah!

Azam tahun ini?

Rasa-rasanya kalau sampai hujung Februari sudah cukup bagus.

“Eh, belum apa-apa sudah ada perancangan begitu? Itu bukan azam namanya!”

Jadilah macam itu pun. Peribahasa ada menyebut, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit” (peribahasa ini saya suka, sebab tidak memasukkan unsur najis muqallazah atau mutawassitah).

Dia ketawa. Sebenarnya sejak malam tadi waktu saya menyebut tentang beras perang itu, saya tahu dia sudah menyimpan ketawa.

Saya tidak marah. Saya senyum sahaja.

Senyum itu bukankah salah satu azam saya juga.

“Itu senyum sorang-sorang, kenapa?” tanyanya sebelum bergerak ke KL.

“Azam tahun baharu ialah senyum sokmo. Jadi, sekarang Yang sedang senyum dengan semut...”

Dia ketawa lagi. Matanya yang sepet itu seperti tidak kelihatan di sebalik kanta.

Dia kembali mengulang ayat kegemarannya.

“Isteri macam ini pun ada...”

Saya masih tersenyum walaupun lambaiannya sudah tidak kelihatan.

Yang pasti, azam saya itu akan membuatkan hatinya ketawa sepanjang hari!

No comments: