Total Pageviews

Friday, January 18, 2013

Pujukan Memilih

(Foto tiada kaitan dengan isi cerita. Burung ini saya temui sudah mati beberapa minggu lalu di hadapan rumah. Ada lelucon daripada anak jiran juga. Barangkali burung kecil ini keracunan "bau")

Dulu saya suka menyanyi walaupun suara langsung tidak enak.

Saya akan merakam dalam telefon bimbit dan menghantarnya kepada emak, suami, anak dan anak saudara. Terpaksalah mereka menahan telinga!

Waktu itu saya tinggal di rumah yang sangat privasi. Jiran tidak mungkin dapat mendengar saya menyanyi sebab jarak tanah keliling rumah ke pagar jiran memang jauh. Meskipun kejiranan kawasan bukit itu sunyi, tetapi binaan dindingnya tidak memungkinkan suara menerobos keluar dan menyakitkan telinga orang lain.

Kalau sekarang ini saya buat perangai lama, memang ada yang masuk hospital sebab muntah-muntah mendengar suara saya yang “sedap” itu.

Di sini, bercakap pun kena perlahan-lahan. Kadang-kadang mendengar jiran baharu ketawa mengilai menonton rancangan komedi tengah malam, agak menakutkan juga.

Seminggu ini saya akan jadi bisu sepulangnya dari pejabat. Rakan sebilik saya ada mesyuarat dan pembentangan modul di sebuah hotel di kota Kuala Lumpur.

Dia agak susah hati tatkala mendapat e-mel memaklumkan tentang lokasi mesyuarat. Sudah lama meninggalkan kota itu, kesibukannya memang merimaskan. Apabila dia minta dilakukan di bandar-bandar yang lebih tenang, bos memberi alasan tidak boleh sebab melibatkan bos-bos luar negara.

Apa kaitan lokasi mesyuarat dengan orang luar negara?

“Mahu tunjuk apa di kawasan BB itu? Di negara mereka pun berlambak. Yang tidak ada hanya mak dan bapak”.

Itu rungutan suami saya.

Oh, lelaki yang riang dan lucu itu sedang merungut!

Beginilah, kata saya.

Negara ini agama rasminya Islam, tetapi bukan negara Islam dalam definisi sebenar. Sebab itu tiada beza keadaan dalam negara kita dengan negara bos-bos itu. Saya tahu mukadimah saya itu boleh menyebabkan dia marah. Maklumlah, kami ada sedikit perbezaan political view.

Kita diberi pilihan untuk melihat masalah itu sebagai masalah.

Kita juga boleh pilih untuk melihat masalah itu dengan pandangan yang “lain”.

Saya telah berpindah ke rumah yang sangat kecil. Mahu keluar dan masuk rumah, kena keluar dan menutup pagar secara manual, bukan lagi memicit punat hijau dari dalam kereta atau rumah. Saya tidak boleh menyanyi. Saya kena bercakap dengan suara perlahan sebab berkongsi dinding dengan jiran. Saya perlu lebih menjaga kebersihan hadapan dan belakang rumah supaya tidak mengganggu pandangan jiran. Hati kena sabar sebab kadang-kadang kita diuji dengan jiran yang tidak prihatin.

Ada masalah?

Memang ada, masa mula-mula. Kita tidak dapat tidur lena sebab tiba-tiba terdengar macam pintu pagar kita dibuka dan bunyi kereta masuk. Sebenarnya jiran membuka pintu pagarnya. Atau kita ingatkan ada tetamu memberi salam, rupa-rupanya tetamu itu datang ke rumah sebelah. Kadang-kadang, terdengar pula anak jiran berkelahi dan menangis dan suara menengking-nengking. Juga bau yang tidak enak hingga menyebabkan kita kembali menjadi Perak Man zaman paleolitik 300,000 tahun dahulu (rangka si Manusia Perak itu terbaring diam di muzium kampung saya). Atau kita rasa takut ada ular atau serangga bisa yang menjenguk di pintu rumah ekoran laman sempit belakang rumah sebelah yang dipenuhi sampah sarap dan rumput meliar.

Masalah bukan masalah lagi jika sudah jadi kebiasaan. Untuk menjadi biasa, bukan bermakna kita OK sahaja dengan sampah sarap yang mungkin menjadi sarang ular, tetapi kita mengatasinya dengan cara menutup pagar antara rumah dengan kepingan kadbod. Jika ada pun binatang bisa, akan “menyusahkan” sedikit untuk merayap ke daerah kita. Pandangan mata kita yang “cerewet” pun akan tertutup.

Selesai.

Duduk di rumah seperti ini melatih kita untuk bercakap dengan nada sopan. Kemudian kita pun boleh bersosialisasi dengan orang setaman. Melatih hati supaya sabar. Malahan menyedarkan kita bahawa kita memang bukan dilahirkan untuk menjadi penyanyi persis Opick.

Allah Maha Tahu. Cantik sekali strategic management Allah. Duduk di rumah kecil bagus untuk OKU (meminjam istilah Dr K). Mengemasnya mudah. Jarak ke tempat kerja dekat. Untuk ke hospital juga tiada masalah, stesen komuternya dekat. Hebatnya Dia!

Lama-lama kita sudah tidak hairan apabila mendengar pintu pagar dibuka. Akibatnya pun ada! Suami pelik tiada yang menjawab salam dan membuka pintu untuk menyambutnya balik kerja! Dia fikirkan kita mahu mengejutkannya macam biasa dengan bersembunyi di balik pintu...hahaha.

Sama juga apabila dipanggil mesyuarat ke tempat yang serimas KL itu. Semua orang pasti merungut. Tiada yang keriangan apabila kena pergi ke tempat yang sinonim dengan jem yang tidak disapu atas roti. Saya pun begitu kalau ada acara sastera di situ. Lebih banyak yang saya tolak daripada memaksa diri untuk pergi.

Tetapi itu jika boleh ditolak. Kalau memang sudah namanya mesti, kita tiada pilihan melainkan pergi juga. Bergeraklah lebih awal. Parkir di hotel diam-diam selama seminggu. Untuk solat Jumaat, ambil teksi. Menginap di hotel di tengah BB yang di kelilingnya dipenuhi segala “ibu”, tidak memberi kesan kepada iman. Sektor swasta, saya tahu bagaimana kaedah kerjanya. Jam satu pagi, kadang-kadang masih di meja mesyuarat. Jika ada acara karaoke, tidak perlu ikut. Melainkan jika boling sebab itu acara kesukaannya.

Seorang jurulatih menelefon. “Saya mahu sekamar dengan cikgu,” katanya kepada suami.

Selesai.

Mengapa? Sebab jurulatih itu orang baik. Dia tidak mahu sekamar dengan orang lain yang barangkali akan mempengaruhinya untuk ikut berhibur.

Wajah lelaki itu kembali cerah. Nampak lebih kacak, maklumlah nanti seminggu tidak nampak mukanya!

Kita diberi pilihan dan kita boleh memilih.

Walaupun kita berasa sukar dan sedikit menyusahkan, kita jangan berhenti memujuk hati.

Jika esok pun masih sukar, pujuk lagi.

Kalau kita sendiri tidak boleh memujuk, mintalah orang lain yang pujuk.

Kadang-kadang kita bijak memujuk orang, tetapi tidak mahir memujuk hati sendiri.

Saling pujuk memujuk akan membawa kita ke syurga.

Bagaimana?

“Akan datang seorang ahli syurga ke majlis kita sekejap sahaja lagi,” kata Nabi.

Sahabat sangat teruja. Kemudian si polan itu pun datang. Sahabat ingin tahu apakah amalan si polan ini sehingga Nabi menyebutnya sebagai calon ahli syurga.

“Tuan, saya ingin menjadi tetamumu selama tiga hari,” kata sahabat. Si polan itu pun memegang tangan sahabat dan menjemputnya dengan suka hati.

Tiga hari itu, sahabat dilayan dengan sepenuh hati. Makan minum dan haknya sebagai tetamu dijaga.

Selepas tiga hari, sahabat pun kembali menemui Nabi.

“Wahai Nabi, mengapa engkau mengatakan yang si polan itu ahli syurga sedangkan saya melihat amalannya tidak kurang daripada apa yang biasa saya lakukan, kecuali saya tidak tahu apa yang berlaku dalam kamar tatkala dia masuk tidur...”

“Kamu pergilah tanya si polan itu...” saran Nabi.

Sahabat pun kembali ke rumah si polan. Dia memaklumkan bahawa Nabi telah menyebut si polan sebagai calon syurga dan apakah amalan-amalan yang dilakukannya sehingga mendapat pengikhtirafan sedemikian.

Si polan itu, yang memang dasarnya orang baik, berasa begitu malu apabila mengetahui Nabi menyebutnya sebagai ahli syurga. Tiada rasa riak di hatinya.

“Tuan,” katanya, “semua amalan yang aku lakukan, tuan telah melihatnya, kecuali ketika aku masuk ke kamar tidur. Sebenarnya, sebelum tidur, aku memohon agar Allah mengampunkan semua doa manusia bermula daripada orang yang dekat denganku. Kataku, jika ayah dan ibuku berada dalam keadaan tersiksa di dalam kubur, ampunkanlah mereka sebab mereka ayah dan ibu yang baik. Mereka telah mendidik, memelihara dan memberikan aku makan. Aku ada isteri, ya Allah. Jika isteriku melakukan kesalahan, anggaplah dia melakukannya dengan tidak sengaja, meskipun kadang-kadang aku berasa sakit hati dengan perbuatannya sebab dia isteri yang baik. Aku ada anak, ya Allah. Ampunilah anak-anakku meskipun perlakuan mereka ada kalanya sangat melukai hatiku, ampuni mereka sebab mereka anak yang baik. Dan kesilapan mereka itu adalah sebahagian daripada balasan atas dosa-dosaku...”

Begitulah yang perlu kita lakukan. Memohon Allah mengampunkan dosa semua orang, adik beradik, para sahabat, guru-guru, mereka yang pernah berbuat baik kepada kita, pelajar-pelajar kita, para jiran, musuh-musuh kita, muslimin dan muslimat sekaliannya.

Memohon keampunan itu berkait dengan pujukan.

Mudah untuk kita memohon Allah mengampuni musuh atau mereka yang pernah melukai?

Tidak! Saya tahu sebab saya jenis yang sukar melupakan. Itu kelemahan saya!

Berusaha untuk memujuk hati supaya ada ruang buat kita bermuhasabah. Kemudian, kita bukakan jendela hati dengan memohon sungguh-sungguh agar Allah mengampunkan segala dosa kita, keluarga dan orang sekeliling kita.

Dengan keberhasilan pujukan itu, maka mudah-mudahan ada ruang juga buat kita di syurga.

Mudah-mudahan kita dapat menyaksikan pohon Taubi di jannah, dapat menikmati keenakan susu yang mengalir dan tidak kering-kering di sungainya!

No comments: