Total Pageviews

Thursday, January 31, 2013

E-mel Bob



Assalamualaikum...

Yang,

Saya meluangkan sedikit masa malam ini untuk menengok-nengok apa yang
ada dalam dunia siber. Lalu saya terjumpa blog Ibu Bunga Matahari yang
saya percaya dikendalikan oleh Yang.

Semoga ketika ini Yang dan keluarga terus dikurniakan Allah kesihatan
yang baik, rezeki yang melimpah dan memperoleh kebahagiaan hidup di
dunia yang sementara ini.

Tahniah daripada saya kepada Yang kerana terus aktif menulis dan
berfikir. Yang tidak seperti saya yang telah agak berkarat
penulisannya kerana sudah sekian lama lebih banyak bercakap daripada
mengasah minda melalui penulisan, seperti juga kebanyakan teman lama
Jabatan Penulisan kita yang suara mulut mereka kini lebih lunak, lebih
nyaring daripada suara hati.

Kadang-kadang saya ada juga berhubung dengan teman-teman lama kita,
antaranya Norazah Aziz (yang telah bersara daripada syarikatnya),
sebahagian besarnya kerana ingin mengingatkan kisah-kisah lepas,
sedikit sekali untuk merancang berjumpa pada masa depan. Mungkin elok
juga kalau kita dan teman-teman lama dapat bertemu untuk mempertautkan
kembali silatulrahim yang telah hilang dibawa arus usia.

Salam daripada saya kepada Yang dan jika bertemu teman-teman lama,
sampaikan juga salam saya kepada mereka. Sudah lebih 26 tahun kita
bertemu di Universiti Malaya (pada tahun 1986), dan saat-saat itu amat
menyeronokkan kerana ia merupakan tahun-tahun ketika kita semua belum
begitu mengenali harta kekayaan, pangkat, ketamakan manusia,
kesedihan, kekalahan dan segala tipu muslihat dunia.

Zaman itu, iaitu masa-masa ketika kita dan teman-teman di Jabatan
Penulisan masih muda, putih dan segar, akan sentiasa saya kenang dan
selitkan dalam ingatan.

Teruskan menulis dalam blog Ibu Bunga Matahari, teruskan luahkan suara hati.

BAHAROM MAHUSIN
16 Disember 2012


Saya membaca e-mel Bob dengan rasa gembira. Dia antara teman sekuliah yang berjaya dalam dunia persuratkhabaran, sesuai dengan ilmu yang kami pelajari di bangku kuliah universiti tertua itu.

Ramai juga yang berjaya menjadi penulis skrip drama dan novel sepenuh masa, menjadikan dunia penulisan sebagai kerjaya.

Dan ramai juga yang akhirnya menjadi seperti saya. Berada di kelas atau bilik kuliah, mengajar manusia sambil mengajar diri sendiri.

Apa pun yang telah kita tempuhi, itulah bab-bab dalam sebuah novel kehidupan.

Wednesday, January 30, 2013

Menangguhkan Kebenaran



Ada ketikanya kita terpaksa menangguhkan kebenaran atas sebab-sebab tertentu.

Alangkah baiknya jika semua orang dapat mengerti sebab-sebab penangguhan kebenaran itu.

Keaiban orang perlu dijaga rapi. Jika kita mahu orang menyelimutkan keaiban kita, maka demikianlah juga kita mesti memelihara keaiban orang.

Ada sebab mengapa sesuatu itu terjadi. Puas kita mengelak daripada pertembungan takdir tetapi akhirnya takdir itu bersuara juga.

Kadang-kadang kita terpaksa berdiam sebab sekali kita bersuara, maka segalanya akan terbuka. Selapis demi selapis, kait mengait, tiada mula dan hujungnya.

Ada kalanya kita menyelamatkan orang yang hampir mati lemas akibat ditolak oleh seseorang yang lain ke dalam sungai hidup. Kita memeliharanya dengan baik dan hidup berlangsung dengan baik-baik juga.

Tiba-tiba, orang yang menolak itu tampil. Dia mahu orang yang ditolaknya itu memafkannya, langsung mahu menjaganya kembali. Disenaraikan ribuan alasan dengan rintihan mohon belas kasihan.

Oleh sebab kita memiliki hati dan kita juga memahami bahawa dunia dan isinya bukanlah milik kita, pintu pun kita buka. Kita hamparkan tikar muafakat dengan doa jika itu boleh ditakrifkan sebagai kebaikan, maka kebaikanlah yang akan menanti kita di hujungnya.

Jika kita melapangkan dada, ketenangan akan bertamu.

Apakah yang lebih berharga daripada rasa tenang itu?

Tiada.

Jika sekali lagi kita memahami bahawa dunia dan isinya hanya pinjaman semata-mata.

Tuesday, January 29, 2013

Dia Yang Mendengar



Alhamdulillah.

Pagi hari kita mendoakan agar beberapa aspek pekerjaan kita dipermudahkan Allah.

Begitu juga dengan pekerjaan kawan-kawan dan ahli keluarga kita.

Kita juga berdoa agar Allah melindungi anak-anak kita.

“Daku serahkan anak-anakku dalam peliharaan-Mu Ya Rabb. Lindungilah mereka dan halangi mereka jika mereka cenderung ke jalan yang boleh memesongkan hati. Halangi mereka jika jalan itu menemukan mereka dengan orang-orang yang berniat jahat...”

Percayalah bahawa Allah sangat mendengar.

Dicerdaskan minda dan dicergaskan fizikal agar kita mampu menumpukan perhatian, lantas menyelesaikan beberapa bahagian daripada tugas kita.

Dilorongkan laluan terhadap segala permintaan dengan sifat-Nya yang berbelas kasihan. Kadang-kadang sebagai ibu, kita tidak tahu mengapa hati begitu rusuh mengingati anak, seakan-akan ada sesuatu. Kita tidak tahu sebab kita bukan Tuhan. Namun Dia sedang memberitahu sesuatu. Kita menyerahkan anak kita kepada-Nya dan Dia "menegur" peri laku anak kita itu kerana Dia mengasihani kita dan mahu si anak lekas berpaling daripada hasutan nafsu.

Dia memiliki sifat sama'. Dia mendengar permintaan kita, memenuhi rayuan kita, meskipun kadangkala memakan masa yang lama.

Masa yang lama itu tidak bermakna Dia enggan peduli, tetapi Dia mahu hati kita akrab dengan-Nya.

Tatkala diberikan hal yang baik, maka Dia telah mendengar permintaan kita. Tatkala diberikan ujian tidak baik, Dia mahu kita redha dan melihatnya sebagai sesuatu yang punya seribu hikmah yang berada dalam lingkungan atau pun yang terselindung.

Sesiapa yang mahukan flash Holy Quran yang boleh diselak-selak dengan tetikus, saya boleh e-melkan agar kita dapat membacanya jika stres dengan tugas-tugas di pejabat. Sudah lama saya memilikinya, dan menjadi sesuatu yang menggembirakan jika saya dapat berkongsi dengan orang lain.

Mudah-mudahan selalu ada cahaya-Nya buat kita.

Monday, January 28, 2013

Sampahkah Kita?




Dunia ini sampah.

Kenyataan yang sarkastik!

Sangat!

Tetapi ironinya, sampah itulah yang kita sibukkan setiap hari.

Sehingga menimbun, tidak cukup dalam beg, kita sumbatkan dalam kocek, memenuhi kotak minda, mengawal setiap pergerakan dan denyut nadi, menimbulkan sengketa, pembunuhan, kedengkian dan segala!

Sampah itu meraja!

Akhirnya, kita jadi penyembah sampah.

Kita berebut sampah, kita berkelahi kerana sampah, kita bergelumang dengan sampah, bermimpikan sampah, berbangga dengan sampah dan...

Dan kita akhirnya menjadi sebahagian daripada sampah!

Wah, wah, wah! Celoparnya!

Kesampahan kita itu telah menjadi sebati. Memasuki saraf, menjalar-jalar dan mendarah daging. Kita hidup gembira dalam timbunan sampah. Semakin menimbun sampah, semakin kita disanjung, malahan dijunjung!

Sampah telah menjadi raja sejak sekian lama. Sejak zaman gemulah nenek moyang. Sejak zaman Cleopatra, atau lebih awal dari itu.

Kitalah pemburu sampah. Itu tajuk sajak terbaharu!

Itu pun jika ada akhbar yang mahu menyiarkan sajak sampah!

Kita tidak boleh memandang jijik akan sampah. Sampah itu adalah sebahagian daripada kita.

Seminggu lepas, tiba-tiba saya mendapat mesej.

Dia mengadu, “mesyuarat panas. Semua kena maki hamun dengan bos. Sudah tua masing-masing tapi kena hamun dengan bos yang lebih muda. Cakap betul pun salah, cakap salah pun salah. Tidak cakap salah, bercakap pun salah. Semua salah dan tiada yang betul...”

Kasihannya!

Dia antara juru latih kanan dalam kategori emas. Ada yang lebih tua sedikit daripadanya. Majoriti dalam lingkungan usia lima puluh ke atas. Bos-bos pula lulusan kejuruteraan atau biokimia luar negara. Kaya ilmu tetapi miskin pengalaman di lapangan.

Teori tidak membantu kita untuk memahami jika kita tidak ikut turun ke lapangan. Itu pendapat saya.

Saya membalas. Sekadar untuk memotivasi, langsung mahu hatinya lega sedikit.

“Jika kita kejar dunia, dunia kejar kita balik. Sebab dunia itu sampah yang punya enjin turbo berkuasa tinggi dan kita sedang memburu sampah. Lubangkan telinga supaya apa yang tidak perlu didengar dapat masuk melalui cuping, terus keluar ke cuping sebelah lagi. Abaikan, sebab kalau abang sakit, mereka tidak akan merawat abang. Kemudian anggap saja abang sedang bekerja dengan itik. Bukankah kita tidak tahu kalau itik-itik itu sedang memarahi kita sebab kita tidak tahu bahasa itik?”

Saya tahu dia masih mengenang itik-itik kesayangan dan ladangnya yang sudah ditutup itu.

Rupa-rupanya, mesej itu ditunjukkannya kepada bos yang sedang marah-marah.

Mesej yang berbau sampah itu, telah menyedarkan bos bahawa dia sedang me”nyampah”kan dirinya dan “menyampah”kan juru latih kanan yang sudah tua-tua itu.

Waktu makan, bos bertanya, “cikgu berkecil hati dengan saya?”

“Saya dan yang lain-lain sudah tua, bos. Bukan budak-budak lagi!”

Bos yang arrogant itu akhirnya menjadi lembut selepas itu.

Dia barangkali marah dengan isteri cikgu yang menggelarkannya bos itik dalam masyarakat itik.

Mungkin hatinya kepingin mahu jumpa perempuan yang telah meng”itik”kannya!

Ya, siapa yang macam-macam dengan orang yang dekat dengan hati saya; mak, anak-anak, suami, kakak, abang, adik...mereka pun akan saya “sampahkan” dengan najis itik!

Pengajarannya...janganlah mahu Listen! Listen! Listen! sangat!

Sunday, January 27, 2013

...and that has made all the difference!



THE ROAD NOT TAKEN

Two roads diverged in a yellow wood
and sorry I could not travel both
and be one traveler, long I stood
and looked down one as far as I could
to where it bent in the undergrowth;
then took the others, as just as fair
and having perhaps the better claim
because it was grassy and wanted wear
though as for that the passing there
had worn them really about the same
and both that morning equally lay
in leaves no step had trodden black
oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads onto way
I doubted if I should ever come back
I shall be telling this with a sigh
somewhere ages and ages hence;
two roads diverged in a wood, and I
I took the one less traveled by
and that has made all the difference.

-Robert Frost-

*********

POHON CEMARA

pohon cemara
mati menanti
angin utara
di pinggir kali
angin utara
di hujung hari.

Gagak tua
menanti mati
pohon cemara
di pinggir kali
pohon cemara
di hujung jari.

-Latiff Mohidin-

Entah mengapa ingatan mendadak terhadap sajak Pohon Cemara yang telah dilagukan itu. Saat remaja saya pernah mendengar ia didendangkan. Lagunya enak.

Ada sesuatu yang menyedihkan juga tatkala mengulang baca sajak The Road Not Taken dan Pohon Cemara ini. Kedua-duanya seperti saling berkait meskipun barangkali ceritanya punya banyak beda.

Kadang-kadang sebagaimana resamnya manusia biasa, kita cenderung memilih jalan yang biasa dan terlihat mudah untuk dilalui. Jalan yang sudah punya denai dengan dasarnya yang lapang, petanda jalan itu sudah amat biasa dilalui orang.

Jarang sekali kita mahu memilih keluarbiasaan sebab yang luar biasa itu aneh dan penuh dengan ketidaktentuan.

Namun, yang luar biasa itulah sebenarnya menerbitkan kelainan.

Itu cerita di hutan pinus musim kering.

Keberanian-keberanian menghadapi babak hidup adalah kisah luar biasa juga.

Saya mahu berkongsi satu cerita daripada kiriman mesej seorang pelajar saya di tahun-tahun 1990-an itu. Pelajar yang telah menjadi guru, punya anak tiga dan sudah kematian suami. Selalu saya kisahkan tentang ibu muda ini. Dia pelajar saya dalam universiti kehidupan. Sebagai timbal balik, saya sedang mempelajari sesuatu daripadanya.

Saya mahu meminjam ketabahan yang dia miliki.

Dia seperti pohon pinus di musim kering. Cuba untuk terus hidup gembira dengan telatah anak-anak kecilnya.

Jam enam lima puluh sembilan petang Ahad, saya membaca tulisannya.

“Kakak menangis di luar rumah. Puncanya, anak perempuan kedua saya mengeluarkan serangga yang dikumpul kakak dalam botol mineral. Kakak gemar sekali mengumpul serangga, malahan katak juga dalam botol yang tidak ditutup rapat, supaya serangga atau binatang itu dapat bernafas. Saya menanya anak perempuan kedua saya alasannya. Katanya, dia lepaskan serangga itu sebab kakak sudah tangkap semua anak serangga. Malam nanti pasti ibunya sedih. Kakak membalas, katanya masa kakak tangkap tadi, kakak tangkap ibunya sekali...”

Saya ketawa membaca mesejnya itu.

“Ibu, saya kasihan mahu menyakat kakak, kenapa tidak tangkap abahnya juga?” dia menyambung mesej.

Tulis saya, “ibu fikir mungkin dia akan jawab, abahnya belum balik kerja”. Saya mahu dia ketawa.

Hatinya yang menangis, siapa tahu?

Telah terbentang jalan di hadapannya. Jalan untuk terus merintih atau bangkit meneruskan perjalanan.

Ramai yang kalah dengan tragedi. Memilih untuk terus menangis. Sebab kebanyakan orang begitu.

Jarang yang mahu bangkit, kemudian jatuh, bangkit lagi, jatuh, bangkit, jatuh lagi, dan terus bangkit. Jika ada yang bangkit pun, hati masih berteriak, menangis dan menangis.

Jika membaca Pohon Cemara itu hati menjadi pilu, bayangkan keindahan bentuknya yang memuncung langit supaya hati kembali riang.

Kita berhak memilih. Kita boleh memilih.

Tanyalah hati.

Lebarkan kuping.

Dia akan membisikkan jawapan.

Saturday, January 26, 2013

Mak-mak



“Tak apalah. Sabar itu sudah menjadi makanan ruji saya. Air mata menjadi minuman saya. Tetapi saya ada suplimen penguat diri. Doa dan rasa syukur!”

Saya melihat dia. Dia persis muka cermin yang melantun imejan yang sama.

Pasrah dan sabar itu berbeda. Pasrah bukan sabar. Pasrah bermakna "lantaklah, malas mahu fikir!". Sabar itu kematangan dalam meyakini ada hikmah dalam setiap kejadian.

Malam tadi lewat sekali saya lena. Saya habiskan novel Please Look After Mom tulisan novelis Korea, Kyung-Sook-Shin.

You will never think of your mother the same way after you read this book...tercatat demikian di kulit belakang buku itu.

Benarlah sebab selepas itu saya duduk berfikir tentang mak. Sejauh mana saya kenal mak? Atau apakah anak-anak yang pernah menginap di kantung saya itu benar-benar mengenal siapa ibunya?

Seperti saya pernah bertanya juga, sejauh mana saya kenal Allah dan Rasulallah SAW tatkala saya begitu sensitif jika Tuhan dan Nabi saya dipermainkan?

Ada kaitan dialog mula-mula itu dengan ayat-ayat di bawahnya.

Kita selalu mengakui cinta kita kepada mak.

Mak dan ayah yang kita hidup dengan mereka begitu lama, rupa-rupanya barangkali hanya separuh sahaja yang kita tahu tentang mereka.

Tahu atau tidak kita ini, derita yang bersarang dalam rongga hati mak?

Sedar atau tidak bahawa makanan ruji mak bukan nasi tetapi sabar? Minuman harian mak bukan kopi tetapi air mata?

Jika mampu mak menakung air matanya yang luruh dari langit derita, entah sebesar kolam mana.

Mak yang semakin hari semakin menuju penghujung jalan, dia yang dengan cepatnya berlari tatkala mendengar kita jatuh tersungkur dengan luka di tangan dan kaki.

Dalam kudratnya yang telah dipindahkan separuh kepada kita, mak masih begitu biar pun kita telah cukup dewasa.

Ranjau yang menanti di setiap lorong perjalanan hidup mak ada saatnya membuatkan mak kalah. Tetapi jangan melihat kalah itu sebagai lemah. Mak tidak pernah lemah di hadapan kita. Dia adalah pelakon yang hebat!

“Mak tak susah hati. Tak sedih. Mak sihat. Mak baru lepas makan. Mak OK. Mak tak risau sikit pun...”

Itu dialog rutin dalam drama hidup yang dibintangi mak. Mak gelak-gelak seolah-olah mak memang super. Mak cergas ke sana sini seolah-olah tiada penyakit apa pun yang bersarang dalam darah dagingnya.

Sehingga semua orang lupa bahawa mak masih bertarung dengan maut.

Hakikatnya mak tidaklah sebagus itu.

Sebab mak manusia biasa. Mak hanya jadi kuat untuk jaga hati anak. Mak sembunyikan lemah sebab mahu jadi teladan. Supaya dia tetap akan dikenang sebagai mak yang hebat, yang putih dan tiada hitam. Walaupun mak juga punya sisi hitam, tetapi mak hanya mahu diingati dengan sisi yang putih bersih.

Mak senyum sahaja walaupun mak dibenci dan dihina anak kandungnya sendiri. Mak masih boleh ketawa dan menyanyi-nyanyi. Sukma yang mendengar berasa riang.

“Hidup mesti diteruskan!” kata mak selalu.

Tetapi hari-hari hati mak terluka.

Kadang-kadang kita tak nampak yang dekat tetapi selalu menghargai yang jauh. Kita tak pernah ucap terima kasih kepada mak tetapi beria-ia terbongkok-bongkok berterima kasih kepada orang lain yang hanya sekali dua memberi kepada kita. Kita jaja cerita kebaikan orang itu dan kita langsung melupakan apa yang selalu siap siaga untuk kita.

Dalam hati, kita mengharapkan agar mak orang itu menjadi mak kita. Sebab kita melihat mak orang itu maha sempurna.

Kita mendakwa mak tidak memahami gelora jiwa. Mak membuatkan hidup kita menjadi tidak tentu hala. Mak merosakkan apa yang kita miliki. Mak tidak adil. Mak kuat berleter. Mak garang. Mak mengjengkelkan. Mak sangat memalukan. Mak itu dan ini.

Sehingga tiada satu pun yang baiknya mak itu. Nihil.

Barangkali betul mak tidak sebaik mak idaman kita. Tetapi perasan atau tidak, tiada mak yang sanggup menukar anaknya walau seburuk mana pun dengan anak orang lain yang jauh lebih comel.

Kalau ada, itu perempuan yang kurang siuman.

Masih ingat kata-kata mak saya, “kalau anak orang itu putih melepak macam kapas pun, mak tak akan tukarkan dengan anak mak yang hitam itu...”

Setelah mak hilang seperti Park So-nyo dalam novel itu, barulah semua orang tahu mengenang mak.

Rupa-rupanya semua mak kengerian berhadapan dengan masa.

Masa akan perlahan-lahan mengambil anak-anak daripada mak.

Yang berbaki kepadanya hanyalah kenangan.

Dengan sesekali dia menyelak album lama melihat wajah anak-anak yang riang.

Sesekali juga dia membuka kotak berhabuk dan mencium baju dan topi kecil yang masih kekal dalam simpanan.

Baju-baju itu menjadi sapu tangan untuk mengelap air mata yang tumpah. Mak tidak pernah dahaga sebab itulah minuman mak setiap hari sejak anak itu lahir sehingga saat mak menutup matanya.

Untuk kita yang masih ada mak, jangan keterlaluan menghina mak.

Suatu saat nanti, ketika tiada lagi mak di sisi, kita akan mencari-cari bayangan mak.

Bayangkan juga jika anak yang kita kandung sembilan bulan itu, anak yang kita pertaruhkan nyawa kita buatnya; suatu waktu nanti menghina kita.

Apakah rasanya?

Saat itu, kita akan menjadi seperti mak-mak di luar sana.

Sabar menjadi sepinggan nasi dan air mata menjadi segelas minuman.

Biarlah sepinggan sabar dan segelas air mata itu kita bayar dengan memohon keampunan.

Jika pernah kita berbuat dosa terhadap mak, kembalilah ke sisinya.

Seburuk-buruk perangai kita, mak tidak pernah meninggalkan kita.

Seluka-luka hati mak, keampunan dengan cepat akan membuatkan mak kembali muda.

Percayalah, mak tidak perlukan segunung intan untuk membeli hatinya.

Sebab seperti yang selalu saya katakan, marah mak hanya di mulut dan tak pernah sampai ke hati!

Friday, January 25, 2013

Kampung Bayi



Kalau melihat bayi, kita akan cenderung untuk mengagah. Ketawa bayi tanpa gigi itu nampak comel.

Ironinya, kalau orang tua tiada gigi yang ketawa, nampak lucu!

Dulu-dulu, saya akan memegang bayi itu dan menyebut, “ala tayang-tayang, tusuk-tusuk, tanja-tanja...” Budak itu pun ketawa, mungkin kalau otak kecilnya boleh berfikir, dia pun lucu juga. Sudah tua pun pelat lagi mak cik ini!

Saya bermaksud begini, “ala sayang-sayang, busuk-busuk, manja-manja...”

Ada orang menegur, jangan bercakap pelat dengan kanak-kanak, supaya nanti kanak-kanak itu dapat berbahasa dengan baik.

Alhamdulillah, anak-anak saya waktu kecil, tiada yang pelat. Kalau ada pun, hanya kekreatifan mereka mengubah perkataan.

Tok Wan menjadi Tok An. Swimming pool menjadi smiming pool. Suratkhabar lama menjadi suratkama-kama. Skirt menjadi suket.

Mereka tahu sebutan itu salah sebab semua sepupu menyebut Tok Wan. Tapi mereka suka menyebut lain sedikit.

Mula-mula membawa mereka duduk di kampung, saya masih ingat ketakutan mereka kepada semua benda. Si kakak menjerit-jerit apabila masuk ke dalam sungai.

“Ada ulat gigit kaki kakak!” dia menangis ketakutan dengan dua kakinya melingkar di kaki saya dan tangannya kuat memeluk leher.

Bukan ulat, tapi pasir sungai yang halus itu masuk ke celah-celah jari kakinya.

Nampak ayam jantan, mereka menangis juga. Malam-malam, mata dipejam rapat-rapat sebab sunyi di kampung membawa bunyi cengkerik dan unggas yang riuh rendah di luar.

Tetapi sekarang, hati saya tersenyum.

Anak-anak saya sudah dewasa. Kampung bagi mereka, lambang kehidupan manis. Mujur saya sempat membawa mereka duduk di kampung meskipun hanya selama tiga tahun.

Saya mahu mereka melihat kampung dari sudut pandangan berbeza.

Seperti bayi yang nampak comel meskipun tanpa giginya.

Biar pun kampung seperti sifatnya kampung, tiada kemudahan seperti yang ada di bandar; ia tetap memberikan kita udara comel.

Ya, kampung saya sekarang tidak seperti apa yang saya diami empat puluh tujuh tahun lalu. Waktu itu kampung saya ibarat gadis sunti yang suci.

Sungainya, jeram, hutan belukar, sawah padi, parit jernih, pokok buah-buahan, denai kecil, lampu gasolin, surat khabar jawi, motor vespa, songkok senget ayah dengan kemeja sterika arang yang berat, jambul seketul di hujung dahi jejaka kacak, sanggul tinggi cucur keria padanan kebaya bandung, sanggul tinggi aniki grondo padanan baju payung dan baju kota baru, kaca mata hitam emak yang seperti bentuk topeng batman, radiogram, wayang pacak, tv hitam putih, ais kepal...

Nostalgia itu, nostalgia itu memanggil saya.

Dan saya melihat seorang anak kecil dalam kerusi rotan comel yang diikat di palang basikal, gembira menghirup udara petang bersama si ayah tinggi tegap yang sentiasa kemas dandanan dan pakaiannya.

Itulah saya!

Anak yang rindu. Dengan bayangan ayah yang Mac ini sudah tiga belas tahun kembali ke sisi-Nya.

Bagi saya, ke mana pun pernah dan akan saya jelajahi, kampung tetap bayi comel biar pun tidak secomel dahulu. Itulah yang saya mahu sentiasa ada di hati anak-anak.

Perubahan perkara normal. Kampung dan nilai-nilai di dalamnya sudah sedikit berubah.

Mahu mengagah bayi pun sudah lain kaedahnya.

Kita mesti menggunakan bahasa yang betul.

Contohnya, “saya akan memuji kamu sebagai bayi yang comel. Tetapi kamu mesti membesar dengan sihat dan kuat sebab kamu adalah generasi yang bakal memimpin negara kita kelak...”

Bayi itu pasti ketawa juga.

Tidak percaya?

Cubalah!

Sebab dia peduli apa dengan bahasa kita itu. Yang penting ialah mimik muka kita dan dua bibir yang bergerak-gerak.

Macam badut!

Wednesday, January 23, 2013

Ibu Kembar Tak Seiras



Jam empat pagi Selasa.

Terbangun dengan rasa sakit yang amat sangat di bahagian belakang sebelah kiri.

Sendirian selama seminggu ini memang Allah mahu menguji. Maka saya menyebut namanya berulang kali.

Ada sedikit ketakutan yang tiba-tiba hinggap di minda. Beginilah rasanya jika Allah mahu memanggil kita pulang ketika kita tiada siapa-siapa di sisi.

Kesakitan saraf itu memang selalu ada selepas beberapa waktu ini. Simptom biasa.

Tidak mengapa, saya masih ada Dia.

Dalam waktu menunggu fajar pagi itu, peritnya tidak mampu melenakan saya kembali. Saya hanya baring dan bertahan.

Jam sembilan saya mencari rumah tukang urut. Jika dia dapat melegakan sedikit sahaja pun sudah memadai sementara saya mendapatkan pemeriksaan perubatan.

Mujur tukang urut ini jenis yang banyak membaca dan memiliki ilmu perubatan juga. Dia memahami sebab almarhumah adiknya mempunyai simptom yang sama. Minyak yang digunakannya ialah minyak zaitun! Mahal.

She's english speaking type. The first impression is...well, she's educated!” bisik saya.

Saya berada dalam “minda tertawan” seperti yang ditulis oleh atuk Profesor Abdullah Hassan! Minda yang memandang tinggi terhadap sesuatu yang datangnya daripada masyarakat penjajah dan penjarah!

Sangat memalukan! Saya mengutuk diri sendiri.

Proses urutan memakan masa yang lama sebab saya turut mendengar “ceramah” kesihatan dan info keagamaan. Rupa-rupanya semua tukang urut jenis yang suka bercerita. Dan saya pula jenis yang mahu lekas selesai sebab ada beberapa tugasan yang sedang menanti!

Kemudian buru-buru ke kelas. Lewat. Pembentangan sedang berjalan. Masih sempat juga menyampuk dan memberi pandangan. Kelas diteruskan dengan sesi soal jawab.

Saya memberikan kaedah paling mudah untuk mereka mengingati beberapa perkara.

Contohnya, perkataan agent berasal daripada bahasa Inggeris dengan dua makna berbeza meskipun bentuk visualnya sama. Apabila bahasa Melayu meminjam perkataan ini, berlaku beberapa perubahan. Ertinya, ejaan lain, sebutan lain, untuk makna yang lain.

Bagaimana mahu mengingat?

Ibu yang sama melahirkan anak kembar tidak seiras!

“Cepat lukis di ruang kosong muka surat buku. Ibu yang sama melahirkan anak kembar tidak seiras. Lukislah anak itu, satu bulat dan satu bujur! Atau bentuk apa saja yang mudah diingat” kata saya.

Agent sebagai ibu daripada keturunan asing, apabila mahu dikahwinkan dengan bahasa Melayu, maka dia perlu menyesuaikan diri. Setelah berlaku penyesuaian, si ibu ini melahirkan dua anak kembar yang kelihatan sama tetapi sebenarnya tidak serupa.

Agent dalam bahasa Inggeris memiliki ejaan sama dengan makna berbeza.

Apabila berasimilasi dengan bahasa Melayu, maka perkataan itu menjadi dua perkara yang mempunyai makna yang sama seperti ibu asalnya, namun berubah bentuk ejaan dan sebutan.

Melihat pelajar mengangguk dan melukis, saya gembira. Saya ajarkan lagi beberapa kaedah mudah yang macam lawak bodoh tetapi berkesan untuk ingatan jangka panjang.

Menjelang petang, saya sudah OK. Apatah lagi dengan kerenah rakan-rakan yang menghiburkan. Mereka sangat rajin tetapi otak juga perlu rehat. Ada yang hilir mudik menggayakan tudung baharu. Peragawati profesional pun mesti menangis kalau tengok! Ada yang diam sahaja kemudian tiba-tiba bertukar watak menjadi riuh rendah. Puncanya, “gendang gendut tali kecapi. Kenyang perut senang hati...”

Kegembiraan berada di mana-mana.

Meskipun berada dalam kawasan “perumahan” yang semakin membesar populasinya, ditambah pula dengan tugas yang bersilih ganti; kegembiraan akan ada ketika kita membukakan hati untuk menghargai.

Dan jika dahulu saya cuma ada satu “adik” dan satu lagi yang sepatutnya “adik”., tahun ini “adik” sudah membentuk kata ganda penuh “adik-adik”. Saya sudah punya tujuh “adik” yang memanggil saya “kakak” dan masih satu yang sepatutnya “adik”.

Saya sudah kaya “adik”.

Saya sukakan “adik-adik” terutama yang perempuan sebab saya tiada adik perempuan.

Semoga adik-adik ini dapat mengembalikan kegembiraan hati saya seperti adik-adik di dua institusi terdahulu.

Chaiyok!

Monday, January 21, 2013

Senyum. Tak Perlu Kata Apa-apa!



Tahun baharu sudah masuk hari ke dua puluh dua.

Ibarat memakai tudung baharu, semangatnya lain macam.

“Tahun ini Yang mahu makan beras perang, bubur nasi dan oat. Juga mahu buat apple crumble oats!”

“Bagus...” dia mengangguk sambil terus menyuap nasi panas ikan pekasam yang berbau semacam itu. Produk kebanggaan lembah kelahiran saya!

Itu sahaja reaksinya? Hanya “bagus”?

Oh, barangkali dia fikir azam saya itu hanya azam yang hangat-hangat tahi ayam (siapalah yang rajin sangat pergi merasai kehangatan tahi ayam yang langsung membawa kepada penciptaan peribahasa tidak senonoh seperti itu...)

Dengan semangat berkobar-kobar, saya menghuraikan hikayat kebaikan beras perang.

Adapun beras itu kaya dengan vitamin B1, B2, B6, zat besi, fosfat, serat dan kalsium.

“Untuk warga midi macam Yang dan meksi macam abang, bagus sekali sebab ia akan mengurangkan kolestrol. Baik juga untuk mengawal darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung. Ia membantu mengurangkan risiko barah kolon sebab dapat mengatasi sembelit...bla...bla...bla...”

Letih betul menghafal fakta.

“Bagus...bagus...”

Nampaknya sudah bertambah dua “bagus”. Ada peningkatan!

“Nanti abang beli beras perang dan oat ya. Dan buah-buahan macam biasa,” pesan saya sambil membayangkan betapa langsingnya saya sepanjang tahun 2013 ini.

“Nanti abang belikan. Tapi mesti makan. Jangan jadi macam yang sudah-sudah. Karot dan tomato jadi arca dalam peti ais. Doc kan suruh makan sayur berwarna terang!”

Err...itu azam tahun lepas! Tahun hospital vacation. Saya makan tomato, karot, brokoli dan lain-lain. Sikit-sikit sajalah. Kambing pun sesekali mesti teringin mahu makan piza!

Lagi pun saya tidak mampu ikut rentak dia, si pemakan sayur dan ulam mentah itu! Itu sebab dia tidak boroi seperti lelaki seusianya.

Apatah lagi waktu dalam rawatan. Memanjang bubur nasi, sayur dan ikan selar rebus. Sebenarnya kadang-kadang saya curi-curi makan ayam. Sekali dua sahaja. Mak buat-buat tak nampak kalau seketul ayam tiba-tiba hilang. Saya sudah terlalu tua untuk dimarah!

Menjelang pagi, waktu menyarungkan stokinnya, saya berazam lagi.

“Tahun ini mahu banyakkan senyum!”

“Azam yang bagus!” katanya tersenyum, membetulkan rompi hitam JM padanan kemeja pilihan saya yang dipakainya pagi itu.

Apabila kita senyum, kawasan anterior otak di sebelah kiri menjadi aktif, yang merupakan tempat emosi positif dirangsang. Sebab itulah, seseorang yang memberi senyuman, sudah pasti memiliki emosi yang positif.

“Tapi mesti the real smile!

“Ada yang tidak real?” tanyanya.

“Ada. Kadang-kadang kita senyum sebab mahu tutup rasa gementar, kejengkelan, penipuan dan sebagainya. Itu namanya fake smile. Macam roti canai palsu tu...”

Roti canai palsu! Bukan “palsu” sebenarnya, tapi “segera”. Roti canai segera!

Saya tidak pernah berazam tetapi mempunyai teman sekamar yang tekad berazam, menyebabkan saya pun mahu meniru.

Cuma bezanya, azam saya hanya mampu bertahan sampai hujung Januari. Itu azam dua tahun lepas. Azam mahu berjoging.

Yang berjaya pun azam tahun lalu, iaitu menghasilkan manuskrip novel kedua. Itu pun mengambil masa setahun! Orang lain setahun boleh menghasilkan beberapa “biji” novel, saya terkial-kial menaip, memotong dan menambah!

Azam tahun ini?

Rasa-rasanya kalau sampai hujung Februari sudah cukup bagus.

“Eh, belum apa-apa sudah ada perancangan begitu? Itu bukan azam namanya!”

Jadilah macam itu pun. Peribahasa ada menyebut, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit” (peribahasa ini saya suka, sebab tidak memasukkan unsur najis muqallazah atau mutawassitah).

Dia ketawa. Sebenarnya sejak malam tadi waktu saya menyebut tentang beras perang itu, saya tahu dia sudah menyimpan ketawa.

Saya tidak marah. Saya senyum sahaja.

Senyum itu bukankah salah satu azam saya juga.

“Itu senyum sorang-sorang, kenapa?” tanyanya sebelum bergerak ke KL.

“Azam tahun baharu ialah senyum sokmo. Jadi, sekarang Yang sedang senyum dengan semut...”

Dia ketawa lagi. Matanya yang sepet itu seperti tidak kelihatan di sebalik kanta.

Dia kembali mengulang ayat kegemarannya.

“Isteri macam ini pun ada...”

Saya masih tersenyum walaupun lambaiannya sudah tidak kelihatan.

Yang pasti, azam saya itu akan membuatkan hatinya ketawa sepanjang hari!

Friday, January 18, 2013

Pujukan Memilih

(Foto tiada kaitan dengan isi cerita. Burung ini saya temui sudah mati beberapa minggu lalu di hadapan rumah. Ada lelucon daripada anak jiran juga. Barangkali burung kecil ini keracunan "bau")

Dulu saya suka menyanyi walaupun suara langsung tidak enak.

Saya akan merakam dalam telefon bimbit dan menghantarnya kepada emak, suami, anak dan anak saudara. Terpaksalah mereka menahan telinga!

Waktu itu saya tinggal di rumah yang sangat privasi. Jiran tidak mungkin dapat mendengar saya menyanyi sebab jarak tanah keliling rumah ke pagar jiran memang jauh. Meskipun kejiranan kawasan bukit itu sunyi, tetapi binaan dindingnya tidak memungkinkan suara menerobos keluar dan menyakitkan telinga orang lain.

Kalau sekarang ini saya buat perangai lama, memang ada yang masuk hospital sebab muntah-muntah mendengar suara saya yang “sedap” itu.

Di sini, bercakap pun kena perlahan-lahan. Kadang-kadang mendengar jiran baharu ketawa mengilai menonton rancangan komedi tengah malam, agak menakutkan juga.

Seminggu ini saya akan jadi bisu sepulangnya dari pejabat. Rakan sebilik saya ada mesyuarat dan pembentangan modul di sebuah hotel di kota Kuala Lumpur.

Dia agak susah hati tatkala mendapat e-mel memaklumkan tentang lokasi mesyuarat. Sudah lama meninggalkan kota itu, kesibukannya memang merimaskan. Apabila dia minta dilakukan di bandar-bandar yang lebih tenang, bos memberi alasan tidak boleh sebab melibatkan bos-bos luar negara.

Apa kaitan lokasi mesyuarat dengan orang luar negara?

“Mahu tunjuk apa di kawasan BB itu? Di negara mereka pun berlambak. Yang tidak ada hanya mak dan bapak”.

Itu rungutan suami saya.

Oh, lelaki yang riang dan lucu itu sedang merungut!

Beginilah, kata saya.

Negara ini agama rasminya Islam, tetapi bukan negara Islam dalam definisi sebenar. Sebab itu tiada beza keadaan dalam negara kita dengan negara bos-bos itu. Saya tahu mukadimah saya itu boleh menyebabkan dia marah. Maklumlah, kami ada sedikit perbezaan political view.

Kita diberi pilihan untuk melihat masalah itu sebagai masalah.

Kita juga boleh pilih untuk melihat masalah itu dengan pandangan yang “lain”.

Saya telah berpindah ke rumah yang sangat kecil. Mahu keluar dan masuk rumah, kena keluar dan menutup pagar secara manual, bukan lagi memicit punat hijau dari dalam kereta atau rumah. Saya tidak boleh menyanyi. Saya kena bercakap dengan suara perlahan sebab berkongsi dinding dengan jiran. Saya perlu lebih menjaga kebersihan hadapan dan belakang rumah supaya tidak mengganggu pandangan jiran. Hati kena sabar sebab kadang-kadang kita diuji dengan jiran yang tidak prihatin.

Ada masalah?

Memang ada, masa mula-mula. Kita tidak dapat tidur lena sebab tiba-tiba terdengar macam pintu pagar kita dibuka dan bunyi kereta masuk. Sebenarnya jiran membuka pintu pagarnya. Atau kita ingatkan ada tetamu memberi salam, rupa-rupanya tetamu itu datang ke rumah sebelah. Kadang-kadang, terdengar pula anak jiran berkelahi dan menangis dan suara menengking-nengking. Juga bau yang tidak enak hingga menyebabkan kita kembali menjadi Perak Man zaman paleolitik 300,000 tahun dahulu (rangka si Manusia Perak itu terbaring diam di muzium kampung saya). Atau kita rasa takut ada ular atau serangga bisa yang menjenguk di pintu rumah ekoran laman sempit belakang rumah sebelah yang dipenuhi sampah sarap dan rumput meliar.

Masalah bukan masalah lagi jika sudah jadi kebiasaan. Untuk menjadi biasa, bukan bermakna kita OK sahaja dengan sampah sarap yang mungkin menjadi sarang ular, tetapi kita mengatasinya dengan cara menutup pagar antara rumah dengan kepingan kadbod. Jika ada pun binatang bisa, akan “menyusahkan” sedikit untuk merayap ke daerah kita. Pandangan mata kita yang “cerewet” pun akan tertutup.

Selesai.

Duduk di rumah seperti ini melatih kita untuk bercakap dengan nada sopan. Kemudian kita pun boleh bersosialisasi dengan orang setaman. Melatih hati supaya sabar. Malahan menyedarkan kita bahawa kita memang bukan dilahirkan untuk menjadi penyanyi persis Opick.

Allah Maha Tahu. Cantik sekali strategic management Allah. Duduk di rumah kecil bagus untuk OKU (meminjam istilah Dr K). Mengemasnya mudah. Jarak ke tempat kerja dekat. Untuk ke hospital juga tiada masalah, stesen komuternya dekat. Hebatnya Dia!

Lama-lama kita sudah tidak hairan apabila mendengar pintu pagar dibuka. Akibatnya pun ada! Suami pelik tiada yang menjawab salam dan membuka pintu untuk menyambutnya balik kerja! Dia fikirkan kita mahu mengejutkannya macam biasa dengan bersembunyi di balik pintu...hahaha.

Sama juga apabila dipanggil mesyuarat ke tempat yang serimas KL itu. Semua orang pasti merungut. Tiada yang keriangan apabila kena pergi ke tempat yang sinonim dengan jem yang tidak disapu atas roti. Saya pun begitu kalau ada acara sastera di situ. Lebih banyak yang saya tolak daripada memaksa diri untuk pergi.

Tetapi itu jika boleh ditolak. Kalau memang sudah namanya mesti, kita tiada pilihan melainkan pergi juga. Bergeraklah lebih awal. Parkir di hotel diam-diam selama seminggu. Untuk solat Jumaat, ambil teksi. Menginap di hotel di tengah BB yang di kelilingnya dipenuhi segala “ibu”, tidak memberi kesan kepada iman. Sektor swasta, saya tahu bagaimana kaedah kerjanya. Jam satu pagi, kadang-kadang masih di meja mesyuarat. Jika ada acara karaoke, tidak perlu ikut. Melainkan jika boling sebab itu acara kesukaannya.

Seorang jurulatih menelefon. “Saya mahu sekamar dengan cikgu,” katanya kepada suami.

Selesai.

Mengapa? Sebab jurulatih itu orang baik. Dia tidak mahu sekamar dengan orang lain yang barangkali akan mempengaruhinya untuk ikut berhibur.

Wajah lelaki itu kembali cerah. Nampak lebih kacak, maklumlah nanti seminggu tidak nampak mukanya!

Kita diberi pilihan dan kita boleh memilih.

Walaupun kita berasa sukar dan sedikit menyusahkan, kita jangan berhenti memujuk hati.

Jika esok pun masih sukar, pujuk lagi.

Kalau kita sendiri tidak boleh memujuk, mintalah orang lain yang pujuk.

Kadang-kadang kita bijak memujuk orang, tetapi tidak mahir memujuk hati sendiri.

Saling pujuk memujuk akan membawa kita ke syurga.

Bagaimana?

“Akan datang seorang ahli syurga ke majlis kita sekejap sahaja lagi,” kata Nabi.

Sahabat sangat teruja. Kemudian si polan itu pun datang. Sahabat ingin tahu apakah amalan si polan ini sehingga Nabi menyebutnya sebagai calon ahli syurga.

“Tuan, saya ingin menjadi tetamumu selama tiga hari,” kata sahabat. Si polan itu pun memegang tangan sahabat dan menjemputnya dengan suka hati.

Tiga hari itu, sahabat dilayan dengan sepenuh hati. Makan minum dan haknya sebagai tetamu dijaga.

Selepas tiga hari, sahabat pun kembali menemui Nabi.

“Wahai Nabi, mengapa engkau mengatakan yang si polan itu ahli syurga sedangkan saya melihat amalannya tidak kurang daripada apa yang biasa saya lakukan, kecuali saya tidak tahu apa yang berlaku dalam kamar tatkala dia masuk tidur...”

“Kamu pergilah tanya si polan itu...” saran Nabi.

Sahabat pun kembali ke rumah si polan. Dia memaklumkan bahawa Nabi telah menyebut si polan sebagai calon syurga dan apakah amalan-amalan yang dilakukannya sehingga mendapat pengikhtirafan sedemikian.

Si polan itu, yang memang dasarnya orang baik, berasa begitu malu apabila mengetahui Nabi menyebutnya sebagai ahli syurga. Tiada rasa riak di hatinya.

“Tuan,” katanya, “semua amalan yang aku lakukan, tuan telah melihatnya, kecuali ketika aku masuk ke kamar tidur. Sebenarnya, sebelum tidur, aku memohon agar Allah mengampunkan semua doa manusia bermula daripada orang yang dekat denganku. Kataku, jika ayah dan ibuku berada dalam keadaan tersiksa di dalam kubur, ampunkanlah mereka sebab mereka ayah dan ibu yang baik. Mereka telah mendidik, memelihara dan memberikan aku makan. Aku ada isteri, ya Allah. Jika isteriku melakukan kesalahan, anggaplah dia melakukannya dengan tidak sengaja, meskipun kadang-kadang aku berasa sakit hati dengan perbuatannya sebab dia isteri yang baik. Aku ada anak, ya Allah. Ampunilah anak-anakku meskipun perlakuan mereka ada kalanya sangat melukai hatiku, ampuni mereka sebab mereka anak yang baik. Dan kesilapan mereka itu adalah sebahagian daripada balasan atas dosa-dosaku...”

Begitulah yang perlu kita lakukan. Memohon Allah mengampunkan dosa semua orang, adik beradik, para sahabat, guru-guru, mereka yang pernah berbuat baik kepada kita, pelajar-pelajar kita, para jiran, musuh-musuh kita, muslimin dan muslimat sekaliannya.

Memohon keampunan itu berkait dengan pujukan.

Mudah untuk kita memohon Allah mengampuni musuh atau mereka yang pernah melukai?

Tidak! Saya tahu sebab saya jenis yang sukar melupakan. Itu kelemahan saya!

Berusaha untuk memujuk hati supaya ada ruang buat kita bermuhasabah. Kemudian, kita bukakan jendela hati dengan memohon sungguh-sungguh agar Allah mengampunkan segala dosa kita, keluarga dan orang sekeliling kita.

Dengan keberhasilan pujukan itu, maka mudah-mudahan ada ruang juga buat kita di syurga.

Mudah-mudahan kita dapat menyaksikan pohon Taubi di jannah, dapat menikmati keenakan susu yang mengalir dan tidak kering-kering di sungainya!

Wednesday, January 16, 2013

Metamorfosis Sang Rama-rama.




Esok hari jadi mak versi satu. 17 Januari. Tujuh puluh lima.

Hari jadi mak versi dua jatuh pada bulan September.

Saya sangat penat hari ini. Tetapi ingatan saya meluru kepada mak. Kepada anak-anak.

Sebelum Maghrib, saya menelefon mak.

Mak sedang merumput di halaman. Saya beritahu mak bahawa saya ada kelas malam.

Kuliah ganti berakhir sebelum jam sepuluh malam. Kasihan untuk pelajar wanita yang akan memandu balik dalam jangka masa sejam perjalanan. Mereka juga tiada rehat sejak jam 7.30 pagi sehingga jam 7 malam. Tapi semangat mereka bagus. Tiada yang ponteng.

Melihat mereka begitu, sebenarnya melihat situasi sama lima belas tahun yang lalu. Anak bongsu saya menjadi pelajar “sarjana” termuda, duduk melukis dan membaca sepanjang kuliah tiga jam. Anak sulung saya di kampung. Kasihan dia. Sehingga sekarang (ketika iman melayang-layang) saya masih sesekali menyalahkan diri sebab meninggalkannya setahun itu. Pensyarah saya bagus, saya tidak memberitahu yang saya ada masalah. Tetapi pengalaman mereka membantu untuk melihat masalah yang tersembunyi.

Saya menelefon mak selepas kelas. Memberitahunya bahawa saya sedang bernostalgia.

“Itu bagusnya jika kita pernah susah,” kata mak. Kemudian talian terputus. Menelefon semula, kata mak, mak belum pandai-pandai menggunakan telefon baharu skrin sentuh itu.

Tak apa, mak.

Dahulu, mak sabar sahaja walaupun berkali-kali kami gagal memasukkan butang ke dalam lubang baju. Mak terus ajar dan ajar tanpa jemu. Mak tidak marah. Kalau saya minta mak bercerita sebelum tidur, mak sabar sahaja melayan sehingga kehabisan modal. Terpaksalah mak mereka-reka cerita sebab desakan saya. Ayah juga begitu, tetapi ayah bijak sebab selalu pura-pura berdengkur.

Mak juga hanya ketawa tatkala kami asyik gagal mengikat tali kasut dengan betul. Atau ketika kami berdegil mahu makan sendiri dengan sudu. Nasi bersepah membulat di lantai mengikut ukuran pinggan. Kadang-kadang sudu itu terpelanting jauh.

Mak tidak marah. Tetapi sabar melatih sehingga kami menjadi pandai.

Apalah sangat dengan ketidakpandaian mak menggunakan teknologi. Kami yang berpelajaran ini pun terkial-kial bertarung dengan gergasi teknologi yang semakin hari semakin canggih.

Saya sendiri tiada telefon skrin sentuh. Masih memakai telefon bimbit yang anak hadiahkan. Murah pun tak apa, asalkan saya dapat mendengar suara mak dengan jelas!

Ada ibu-ibu yang berasa rugi sebab tiada anak lelaki.

Mereka akan mengatakan begini, “untunglah awak sebab ada anak lelaki. Saya semuanya anak perempuan”.

Puncanya? Anak perempuan akan cenderung kepada ayahnya. Anak lelaki akan cenderung kepada ibu. Tetapi saya tidak gentar dengan kecenderungan-kecenderungan itu, biarpun saya kelihatan seperti titik kecil di atas peta dunia. Ada atau tiada, tidak memberi banyak makna kepada peta.

Suatu hari nanti ketika mereka memasuki suatu daerah usia, atau setelah melalui pengalaman melahirkan dan merasai sendiri perasaan menjadi ibu...ketika itulah!

Seperti apa yang berlaku kepada saya dan mak. Juga pernah berlaku kepada mak dan tok.

Bulatan bermula dari titik. Tetapi ketika garisannya menjadi bulat, ia sudah tiada titik mula dan akhir. Ia akan membentuk kitaran. Seperti proses metamorfosis sang rama-rama.

Itulah yang berlaku kepada kitaran hidup kita.

Monday, January 14, 2013

Burung Belatuk



Kali ini saya akan cuba mengulang semula apa inti pati yang ustaz sebut dalam tajuk tazkirah “Burung Belatuk”.

Menurut ustaz, burung belatuk merupakan sejenis burung yang mempunyai dua sikap yang boleh dijadikan teladan.

Pertama, perancangan.

Kedua, ketekunan yakni fokus.

Burung ini akan terbang mencari pokok yang sesuai untuk menjadi kediaman. Apabila sudah menjumpai pokok yang sesuai, dia akan mula mengetuk sehingga berlubang untuk dijadikan sarang. Kadangkala memakan masa sehingga setengah bulan.

Kalau di kampung dahulu, ketukan burung ini bergema pada malam yang sunyi. Kata orang tua-tua, seperti bunyi ketukan paku di keranda.

Ustaz mengaitkannya dengan perancangan dalam rumah tangga. Perancangan itu bukan sahaja dari segi kewangan atau percutian, tetapi juga merancang kebahagiaan.

Kalau sukar, jangan susah hati. Halangan itu tujuannya untuk mendekatkan hati kita kepada Allah.

“Kalau kamu tidak ceria, buat-buat ceria. Supaya akhirnya betul-betul ceria...” ustaz menyebut ungkapan yang pernah disebut oleh seorang ilmuan.

Dalam Al-Quran, Surah Yusof dinyatakan Allah sebagai surah yang mengandungi sebaik-baik kisah, sebab di dalamnya berisi “perancangan”.

Di dalamnya, ada cerita Raja Mesir yang mimpikan 7 ekor lembu kurus memakan 7 ekor lembu gemuk, 7 tangkai gandum yang subur dan 7 tangkai gandum yang gersang.

Maka tatkala Nabi Yusof yang menjadi banduan ketika itu diminta mentafsirkan mimpi, baginda menyebut mengenai 7 tahun kemakmuran diikuti oleh 7 tahun kemelesetan.

Perancangan pun dibuat. Gudang-gudang dibina dengan banyak. Gandum-gandum dituai dan disimpan dalam gudang dengan anggaran yang boleh bertahan sehingga 7 tahun.

Itulah perancangan sebenar, bukannya dengan menabur wang atas nama istilah apa pun, sehingga hutang menimbun.

Ada orang bertanya, bagaimana cara mahu merancang agar kita mampu masuk syurga.

Baca Surah Al-Mulk sekurang-kurangnya seminggu sekali sebab ia adalah peneman kita dalam kubur.

Kemudian, banyakkan qurban untuk tunggangan kita di Padang Mahsyar.

Ikhlaskan bersedekah sehinggakan tangan kiri pun tidak mengetahui yang tangan sebelah lagi telah bersedekah, untuk mendapat perlindungan Arasy Allah.

Istiqamah dalam qiamulail, tinggalkan maksiat yang kita mampu, selesaikan hak manusia lain supaya kita tidak bankrap di Padang Mahsyar nanti.

Banyakkan solat sunat dengan doa agar Allah menetapkan langkah kita di atas titian sirat. Santuni anak yatim (bukan yang bapanya nama Yatim, kecuali memang anak yatim), banyakkan wakaf jika mampu.

Ada seorang isteri yang hiba mengajukan soalan tentang ujian yang dihadapinya.

Kata ustaz, jika orang tidak bertanggungjawab, isteri satu pun dia tidak akan bertanggungjawab.

Jika orang itu jenis yang bertanggungjawab, ada satu atau lebih isteri pun dia akan bertanggungjawab.

(Saya mengangguk di dalam hati...so true, ustaz!)

Tanggungjawab itu tabiat.

Isteri itu diminta koreksi dirinya. Ada atau tidak tabiatnya yang menyumbang sebab, si suami jadi liar dan liar.

Tapi ada juga lelaki yang memang liar dan liar semula jadi, ustaz berlucu.

Tazkirah kali ini memberikan saya pengetahuan baharu.

Rupa-rupanya orang Melayu jenis yang kuat puasa dan suka buat kenduri. Tetapi liat solat.

Orang Pakistan dan India pula kuat solat sehingga orang Arab pun tidak mampu lawan. Tetapi mereka tidak begitu larat berpuasa.

Orang Arab pula suka membaca Quran tidak kira di mana.

Pesanan akhir ustaz ialah jika kita tidak boleh mengubah orang lain, kita ubahlah diri kita dahulu.

Yang penting ialah perancangan dan fokus.

Macam burung belatuk.

Allah jadikan flora dan fauna, kejadian malam dan siang, untuk kita ambil iktibar.

Jika nanti saya pulang ke kampung, dan mendengar ketuka burung belatuk, saya akan segera ingat pesanan ustaz.

Rancang dan fokus!

Sunday, January 13, 2013

Sekangkang Kera Gergasi



ADA-MU (NAJWA LATIF)

Merenung ke luar jendela
Melihat kebesaran-Nya
Mensyukuri segala nikmat
Yang dikurniakan di dunia
Kau berikanku kekuatan
Tuk berpegang pada jalan
Walau penuh dengan cabaran
Kutahu ku ada-Mu Tuhan
Kerna Kau yang satu
Yang setia bersamaku
Di kala kujatuh kubangkit kerna-Mu
Kutahu ku ada-Mu di sisi ku selalu
Bantulah hamba-Mu mencari keredhaan-Mu
Ku tahu ku ada-Mu
Ku ada-Mu selalu
Kerna Kau yang satu
Yang setia bersama ku
Di kala kujatuh kubangkit kerna-Mu
Ku tahu ku ada-Mu di sisi ku selalu
Bantulah hamba-Mu mencari keredhaan-Mu
Ku tahu ku ada-Mu

Pagi hari minggu, di luar matahari tiada. Daun pokok palma yang carik bergoyang. Angin pagi menyebabkannya menari-nari. Burung kecil yang sudah kehilangan “tandas” gril tempat dia selalu bertenggek, mengubah tempat. Dia bertenggek pula di atas rod yang saya letakkan tumbuhan “janggut hantu”. Suami meletakkan replika burung berwarna emas, guna untuk menghalau burung kecil daripada membuang najisnya di situ. Tetapi strategi tidak menjadi. Burung itu cerdik. Tidak apalah, petang nanti akan mencuci lantai laman depan, jika bau daripada kandang kucing jiran “misteri” tidak mengganggu. Sudah seminggu lantai garaj tidak dicuci, ekoran bau yang sangat kuat.

Mungkin kena cari rumah lain juga jika pengerusi blok tidak mengambil tindakan atas aduan jiran-jiran pemilik tetap kediaman. Saya penyewa, bila-bila masa sahaja saya boleh cari rumah lain.

Sunyi seperti ini, saya mendengar radio. Carta nasyid pagi ini memberi kemenangan kepada kumpulan Destiny. Lagu si comel Najwa Latif pun ada tempat, barangkali tempat kedua atau ketiga. Lirik dan susunan lagunya cantik. Memang budak itu hebat. Seperti ibunya juga, yang pernah saya jumpa pada Hari Sastera di Melaka tahun lepas. Wajah mereka sama, tidak sukar untuk meneka yang mana satu ibunya daripada kumpulan penulis Johor itu.

Di radio, sirah kekasih Allah itu menjelma dalam lagu nasyid dan dendangan selawat. Lelaki yang kulitnya cerah kemerah-merahan itu sabarnya tiada tandingan, tutur kata menjadi teladan. Ada satu kenyataan juruhebah yang menyebut, “kita kata kita mencintai Rasulallah, tetapi apakah kita mengikut segala ajaran baginda?”

Dush! Terasa merah pipi sebelah kiri. Kita kaya retorik, tetapi realitinya, kita masih jauh daripada segala apa yang kita kata.

Mencuci dan mengemas rumah sekangkang kera ini rupa-rupanya tidak mudah lagi buat saya. Ia sudah jadi kera gergasi dan saya menjadi kecil seperti awang kenit yang diceritakan mak sebelum saya tidur kecil-kecil dahulu.

Sepuluh kali saya berhenti rehat, kerja masih belum selesai. Rumput-rumput kecil mengintai keluar daripada rekahan simen di bahagian belakang, menyebabkan saya mencangkung di situ berjam-jam. Hendak menggunakan alat apa pun tidak boleh, hanya mencabutnya dengan tangan. Ketiak kiri saya yang dibedah itu sudah mula sengal.

Kena cari ajinomoto juga nampaknya. Bancuh dengan air dan menyiramnya jika hari tidak hujan. Sekurang-kurangnya rumput itu mengambil masa yang sedikit lama sebelum tumbuh semula.

Tidak apalah jika sehingga tengah malam saya mencuci rumah sekangkang kera gergasi ini. Saya sendirian hari ini.

Waktu azan Zuhur berkumandang, tiba-tiba matahari menyimbah cahayanya le lantai aspal jalan di hadapan rumah. Tuti sedang menyidai kain yang banyak. Memang kerja mencuci kain untuknya tidak mengira waktu. Anaknya kecil dan ramai.

Saya membuka pintu hadapan.

Dia menoleh.

“Kak jangan keluar! Sudah sampai masuk ke dalam rumah!” katanya sambil menutup hidung. Dia jiran yang baik, selalu bimbang jika saya kembali tidak sihat berhadapan dengan kondisi kurang menyenangkan itu.

Saya tersengih faham.

Pintu ditutup. Menyendal lubang di kaki pintu dengan sehelai kain. Bau pandan yang saya letakkan dalam rumah, membantu ruang menjadi wangi.

Untuk ke sekian kalinya, saya kembali duduk bertapa dalam gua.

Meneruskan kerja mencuci rumah sambil mendengar cerita kekasih Allah yang sabarnya tiada bandingan!

Baru menghidu bau busuk najis kucing kami sudah bising.

Nabi kita dilempar najis manusia pun masih boleh tersenyum!

Saturday, January 12, 2013

Ubah Rutin



Ada ketikanya, kita tidak boleh melupakan tabiat.

Ada dua perkara yang saya sukar untuk mengubahnya meskipun ketika dalam proses penyembuhan.

Pertama, kesukaan memandu.

Dan kedua, tabiat mengubah perabot.

Kesukaan pertama itu, kena kurangkan sedikit apabila otot kaki kesakitan jika memandu atau duduk lama. Saya tidak mengikuti fisioterapi yang dijadualkan sebab tidak mahu kekerapan ke HUKM akan menjejaskan tugas. Tongkat yang anak belikan saat wisata di tanah tinggi, saya letakkan dalam kereta. Barangkali ia berguna juga nanti.

Tabiat yang kedua itu?

Saya sukakan lapang. Kereta lapang, meja kerja lapang, halaman rumah lapang, jika boleh dalam rumah pun mahu lapang. Cara berpakaian juga, tidak suka beropol sana sini. Saya alergik dengan aksesori.

Kehidupan yang praktikal, langgas dan mudah!

Ketika anak belum punya kereta, dia meminjam kereta saya untuk digunakan selama empat bulan. Dia perasan riak muka saya tatkala melihat ada patung mainan dan alas leher dalam kereta. Cepat dia menyimpan. Dia kenal ibunya.

Tabiat mengubah kedudukan perabot memang tidak boleh saya kurangkan sebab lekas jemu.

Suami sudah angkat tangan, mengalah. Bukan dia tidak suka, tetapi kondisi saya tidak begitu mengizinkan.

Ketika ditanya bagaimana saya mengubah kedudukan perabot, jawapan saya mengundang kontroversi. Dia memberitahu mak. Emak pun angkat tangan juga, mengalah!

Kata saya, “saya ubah bukan dengan tangan, tapi dengan kaki...”

Kalau pun sakit-sakit selepas itu, saya diam saja. Buat muka segar dan sihat.

Mendengar tazkirah Ustaz Abdullah Al-Amin, dengan tajuk Mengubah Rutin, beliau menyebut “berubah memang susah, tetapi mengubah rutin akan membantu kita untuk perubahan yang lebih besar”.

Oleh sebab bulan kelahiran Rasullallah sudah menjelang, semua penceramah cenderung bercerita tentang baginda. Rumah tangga baginda berwarna-warni sebab baginda sekali sekala akan mengubah rutin, cara berpakaian, cara pergaulan, cara gurauan dan sebagainya.

Ustaz menyebut, pitching suara juga perlu diubah dalam komunikasi dengan suami atau isteri. Jika kita mahu meminta pasangan kita membelikan sesuatu, gunakan pitching 1-5. Jangan gunakan pitching 9.

“Nanti permintaan tersebut akan jadi perintah!” Ustaz ketawa. Saya ikut ketawa.

Cuma ada satu kelemahan jika kerap benar mengubah perabot.

Nanti kaki perabot akan patah.

Solusi saya mudah. Jika sudah patah, baiki.

Jika baiki pun masih patah, buang sahaja.

Rumah jadi lapang. Hati pun lapang.

“Habis, kalau orang?” tanya suami. Saya faham maksudnya.

Orang bukan perabot...

Kalau mahu masuk neraka, buanglah!

Hahahaha...

Friday, January 11, 2013

Ayuh Menjadi Anak Baik



“Mak tidak faham saya. Saya sukakan benda lain tetapi mak beri saya benda lain!”

Saya diam. Memandangnya sambil berfikir.

Budak itu masih dianggap muda pada zaman ini, tetapi bukan pada zaman saya dahulu. Waktu saya sebayanya, telah banyak kesusahan hidup yang saya telah tempuh. Kesusahan mematangkan, menjadikan kita cepat sedar akan kenyataan hidup.

“Awak tidak puas hati dengan mak awak?” tanya saya dengan aplikasi asertif, sesuatu yang saya pernah ajar semasa berada di matrix dahulu.

“Ya. Banyak sekali yang saya tidak puas hati. Mak banyak campur tangan dalam hidup saya. Saya benci mak. Saya mahu bunuh dia sebab saya benci untuk lihat mukanya. Saya mahu lari jauh daripadanya sebab saya bencikan perempuan tua itu! Biar padan mukanya!”

Astagfirullah. Saya menelan air mata yang bercucuran ke dalam hati.

Hati saya pedih. Seperti ada sesuatu yang mengetuk perasaan dan ingatan. Keras dan menghancurkan!

Kalaulah emaknya mendengar sekarang ini, saya sangat pasti dia akan rebah dan barangkali menjadi jenazah.

Saya sendiri berasa seakan mahu pitam!

Saya kenal wanita yang disebut sebagai “perempuan tua” itu.

Wanita yang berjuang untuk melangsaikan timbunan hutang bekas suami, wanita itu juga yang sepanjang usia hanya tahu menyebut “anak, anak dan anak” demi menyara anak tunggalnya, gadis yang bermulut celupar itu!

Kesalahannya hanyalah satu. Dia terlalu mengasihi anaknya!

Atas dasar rasa kasih dan kasihan itu, dia melindungi. Perlindungan itu ditafsirkan sebagai campur tangan, menyekat kebebasan, tidak memahami kemahuan dan segala tuduhan yang mampu menutup pintu syurga seorang anak!

Wanita itu yang saya tahu, menjaga dua bayi sehingga jam lima. Usai tugas, bergegas pula bekerja di pasar raya sehingga tengah malam. Hari minggu, awal pagi sudah berada di pasar basah membantu kenalan berniaga. Kata orang tua-tua, tidak sempat kering air di hujung baju!

Ya, dia memang tidak punya masa senggang untuk duduk dan mendengar keluh kesah anak. Jika dia berehat lama, bermakna dia akan kehilangan sebahagian sumber rezeki untuk biaya anak di universiti.

Pernah sekali, ibu itu sanggup mengayuh basikal semata-mata untuk menghantar botol air masak ke sekolah. Anaknya tertinggal botol air tersebut. Paling menyedihkan, tindakan ibu itu dianggap memalukan! Anaknya enggan bertegur dengannya selama beberapa hari!

Dan sekarang, saya sedang mendengar cercaan daripada anak yang lahir dari rahim ibu itu!

“Orang yang ada emak, mahu bunuh emaknya. Orang yang tak punya emak, sanggup mencari-cari siapa yang sudi menjadikannya anak!”

Dia menjeling saya. Marah!

Tidak perlu aplikasi kaunseling dengan anak yang semacam itu. Kita pun pernah melukai hati emak, tetapi tidak sampai separah itu. Hati saya dalam ketuhar! Hilang semua teori, yang tinggal hanyalah api!

“Tahu apa masalah awak? Tak bersyukur!” Mukanya bertambah masam. Dia seakan mahu membunuh saya pula!

Saya mahu dia tahu, hidup ini bukan berada di bawah jajahan takluknya. Dia mahu bunuh ibunya? Bunuhlah! Barangkali di dunia dia boleh lepas dengan cara berlakon menjadi tidak siuman dan dihantar ke hospital sakit jiwa.

Tapi dia ada ubat untuk “kehidupan abadi”?

Semua orang akan mati. Oleh sebab tiada orang mati yang hidup semula untuk bercerita kisah siksaan di dalam kubur, maka cerita-cerita yang disebut oleh Allah itu dipandang sepi.

Anak itu bercelaru. Memang anak daripada keluarga pincang, cenderung pincang juga. Kebanyakannya begitu. Tetapi dia bukan muda lagi. Sudah mahasiswi dan tinggal satu semester dia akan menamatkan pengajian. Waktu saya pada usianya, saya sudah punya seorang anak!

Hilang ingatankah dia akan semua bakti emaknya itu? Dia fikir emaknya serba sempurna. Dia lupa bahawa emaknya itu adalah manusia!

Menjadi kemarahannya tatkala ibunya itu memberikan hadiah hari lahir yang tidak disukai. Maka dia bising-bising, rakan-rakan menokok tambah, menuang minyak ke dalam api! Menumpang dosa untuk tempahan tiket ke neraka!

Katanya, dia enggan melihat wajah emaknya lagi. Silakan, kata saya. Palingkan wajah kamu. Lari jauh-jauh sampai ke benua yang kamu agungkan.

Tetapi satu perkara kamu kena ingat. Bayang dosa akan terus mengejar kamu. Kamu tidak akan tenang meskipun kamu menjadi manusia terkaya di dunia.

Kenapa?

Sebab satu keberkatan sudah tiada.

Jika anak itu masih remaja, saya memahami. Jiwa remaja penuh dengan siri pemberontakan.

Jika saya tidak melihat kepayahan dan kesungguhan ibunya membesarkan dia, saya juga barangkali akan akur dengan protesnya itu.

Paling melukakan tatkala saya ketemu si ibu.

Wajahnya lebih tua daripada usia. Lembut dia menyebut, “tidak lama lagi anak saya akan tamat belajar. Dia anak yang baik. Mudah-mudahan Allah akan bantu dia...”

Sedaya upaya ibu itu cuba melindungi keburukan sikap si anak.

Sehabis daya, ibu itu menelan pahit makian dengan terus mengharap kebaikan buat permata hati.

Ya, jika kita ini jenis yang tidak pernah jumpa perkataan “syukur” dalam kamus, kalau dapat ibu bapa yang bagaimana pun, tetaplah kita tidak bersyukur juga!

Saya sangat berharap anak itu dapat menemui seseorang.

Seseorang yang pernah menderhakai ibunya. Dia sukses dalam kerjaya, naik dari satu aras ke satu aras tanpa halangan apa-apa. Tetapi entah apa silapnya, sesuatu yang aneh berlaku. Dan apabila tewas dengan sederetan kesukaran yang tiba-tiba, dia kembali ke kampung demi memohon keampunan.

Apa yang dilihatnya?

Hanya dua nisan yang kaku dan dingin. Fahamlah dia, doa ibunya yang telah terhenti, dan itu yang menyebabkannya dia jatuh. Keberkatan dalam hidup, yakni doa ibu telah tiada. Ibunya telah mati.

Maka dia cuba mengorek tanah kuburan ibunya dengan tangan sendiri. Meraung seperti guruh di langit.

Orang itu berakhir dengan hilai tawa. Barangkali hantu pun menggigil mendengar hilai tawa yang dahsyat, yang berganti-ganti dengan tangisan memohon ampun.

Memang yang melihat, penuh simpati.

Tetapi yang pasti, si ibu tidak akan kembali.

Bersyukurlah wahai diri. Hidup lawannya mati. Muda lawannya tua. Kuat kawannya lemah. Sihat lawannya sakit.

Hari ini kita melukai hati seorang emak, esok lusa pembalasan Allah pasti akan tiba.

Semua kita pernah berdosa dengan emak. Ada yang telah terampun, ada juga yang telah dibalas Allah di dunia. Tidak mengapa, sebab api neraka itu berganda-ganda sakitnya daripada kesakitan yang kita rasa di dunia.

Adakalanya tubuh emak menjadi kurus dan matanya kabur akibat dilukai dengan tingkah dan kata kita. Saya pun dulu begitu, melukai hati mak dengan sikap degil dan keras kepala. Akhirnya, saat susah, mak juga yang saya cari.

Mohonlah keampunan sementara mak masih ada. Mak kita bukan sempurna. Mak pun seperti kita juga, punya dosa dan titik hitam dalam kehidupan.

Allah tidak melihat permulaan kita, tetapi Dia melihat pengakhiran kita!

Maka, bersegeralah membuat kebaikan kepada orang tua kita!

Thursday, January 10, 2013

Sehelai Putih Itu...



Semester ini saya mengajar pelajar kursus persediaan major bahasa Melayu, berusia sekitar dua puluh tiga hingga tiga puluh lima.

Ada yang sedang dua minggu dalam pantang bersalin, ada yang hamil lima bulan, majoriti sudah berkahwin dan punya anak.

Oleh sebab mereka bekas guru, mereka sangat mudah diurus. Bekas-bekas guru itu sedang berada dalam semester akhir sebelum menjadi pelajar ijazah secara rasmi.

Ada kumpulan pelajar major bahasa Melayu yang pernah saya ajar, sekarang berada dalam semester tiga kursus ijazah. Mereka kumpulan yang saya suka. Aktif, memiliki semangat berpasukan yang baik dan sangat mesra. Mereka pelajar yang “segar” dari sekolah, bukan bekas guru atau graduan universiti.

Semua pensyarah sukakan kumpulan ini.

Keriangan anak-anak muda itu menjadikan bunga-bunga pun kembang dalam hati.

Tahun baharu ini Allah memberikan cahaya yang baharu juga.

Saya menjadi lebih bersemangat meskipun kadang-kadang saya terpinga-pinga, sebab cepat lupa. Kadang-kadang saya tercungap-cungap keletihan selepas memanjat tangga.

Tetapi melihat rakan-rakan sejabatan yang memahami dan wajah pelajar yang ceria, semangat kembali tumbuh, malahan menjalar-jalar ke dahan dan ranting.

Sudah semakin tua...pagi ini di cermin, saya melihat sesuatu.

Ada sehelai rambut putih yang sangat ketara dalam kumpulan rambut hitam keperang-perangan yang terjuntai di dahi itu.

Itu bakal jadi “cahaya” di dunia sana, kata ustaz.

Itu satu amaran dan peringatan, kata saya. Supaya mengubah tabiat hitam kepada putih.

Mudah-mudahan dilapangkan kehidupan kita di dunia daripada serabut, mudah-mudahan dilapangkan juga perjalanan kita menuju Allah.

Pagi ini, hidung saya yang sedia kembang semakin kembang, tatkala seorang rakan baharu menyebut, “saya fikir puan baru berusia awal 40-an...”

Rakan baharu itu terkejut sebab saya kata sudah beberapa tahun saya dan suami kembali menjadi pengantin baharu, ekoran anak-anak sudah menjadi mahasiswa.

Moga Allah menyelamatkan saya daripada rasa riak yang mengetuk-ngetuk pintu hati dengan kuat.

Astagfirullah...astagfirullah. Pagi Jumaat ini saya kalah dengan bisikan syaitan!

Tuesday, January 8, 2013

Kepadatan Penduduk di xxx

("Banglo" yang asyik berubah)

Sahabat saya, Encik Wikipedia telah menyenaraikan negara dan wilayah tanggungan mengikut kepadatan penduduk dalam unit penduduk/km² seperti berikut:

Monaco iaitu sebuah kerajaan yang masih beraja, menduduki carta teratas, memiliki kepadatan penduduk berjumlah 6,464, 750,000 orang di atas keluasan 134,682,000 km persegi. Jiran di kaki kita, Encik Temasik seluas 704.0 km persegi dengan penduduknya berjumlah 4483,900 orang. Ada sebuah negara yang saya tidak pernah dengar namanya, Vanuatu memiliki keluasan 12,189 dengan penduduknya 211,367 orang.

Ada sebuah zon di jantung daerah yang mempunyai kepadatan penduduk juga.

"Banglo" kami selalu berubah-ubah. Ada yang asalnya banglo masyarakat pertengahan menjadi banglo perumahan mewah. Kemudian tiba-tiba pemiliknya "jatuh miskin". Duduk di "flat" satu bilik yang lantainya bertampung-tampung.

Ada juga kawan saya si pemilik banglo yang asyik berubah lokasi seperti ada "jin lampu Aladdin atau Aladdina" yang mengangkat banglo ke penjuru barat dan timur. Pagi pintunya ke utara, menjelang petang sudah ke selatan pula. Esok? Belum tentu.

Penempatan masyarakat kami telah mengalami kepadatan penduduk ekoran penghijrahan beramai-ramai awal tahun ini.

Tidak mengapa. Penduduknya tinggi kemanusiaan seperti si Multatuli. Kena tukar banglo pun tetap gembira!

Sunday, January 6, 2013

Nyah Si "Mesin Pengimbas"

Nyah dan saya

Dia berbintang Capricon. Kambing gurun yang bertanduk kukuh dan kelihatan sangat gagah.

Hari ini ulang tahunnya yang ke-50. Lazimnya, kami akan mencatat di telefon bimbit dan tepat jam dua belas tengah malam, mesej ucap selamat akan dilayangkan.

Oleh sebab kondisi saya yang masih tidak bermaya biarpun cuti dua hari hujung minggu, saya mengirim mesej lebih awal. Saya bimbang tertidur tepat jam dua belas itu.

Dia membalas, “terima kasih banyak-banyak hahaha... Yang orang pertama. Tadi Nyah cakap dalam hati. Siapa sayang Nyah, orang itu akan ucap dahulu. Yang rupa-rupanya. Yang rehat banyak-banyak. Dah lama tak kerja, perlahan-lahanlah...”

“Nyah” dan Yang” itu panggilan kekeluargaan masyarakat Perak. Dalam keluarga saya, “aku”, “kau”, “hang” dan seumpama dengannya adalah sesuatu yang forbidden dan kasar. Makanya, setua mana pun, anda hanya akan mendengar kami enam beradik menyebut nama kekeluargaan antara satu sama lain tatkala berkomunikasi.

Dia pulang ke kampung sekejap, membelikan hadiah telefon bimbit baharu untuk mak sempena ulang tahunnya itu. Mak yang lahirkan anak, maka setiap kali ulang tahun anak, siapa yang berhak terima hadiah? Mak dan ayah! Bukan sebaliknya!

Patutlah setiap kali saya telefon, ada nada dering tetapi selalu terputus. Mak masih kekok menggunakan telefon baharu “skrin sentuh” yang diinginkannya. Telefon yang boleh simpan lagu nasyid Iwan, ayat Quran, lagu R. Azmi dan M. Daud Kilau!

Lucu tatkala mengenangkan rupa mak yang asyik terkejut ketika kami memberitahu umur kami setiap kali tibanya tahun baharu. Mak tidak pernah sedar bahawa anak mak sudah tua-tua belaka!

Memang resam semua mak begitu. Kalau namanya seorang ibu, memang masih fikir anak-anaknya bayi yang terkurung dalam tubuh orang dewasa!

Dulu saya tidak tahu. Sekarang, apabila menjadi ibu kepada gadis berusia dua puluh tiga dan dua puluh satu, barulah saya tahu. Itu pun selepas menerima teguran daripada suami dan anak-anak. Tetapi kesedaran saya tidak lama sebab selepas itu saya kembali lupa!

Buah hati mak yang masih hidup, yakni kakak sulung saya, tahun ini usianya lima puluh sembilan. Yang paling bongsu pula sudah masuk tiga puluh sembilan. Cucu sulung mak barangkali tiga puluh enam. Cicit sulung pula sudah naik darjah lima atau enam. Emak sendiri sudah tujuh puluh lima. Saat seperti itu mak selalu mengenang gemulah ayah. Ayah pergi pada usia Nabi. Ayah paling ingat tahun lahir anak-anak termasuk separuh lagi yang telah meninggal dunia. Ayah mencatat dengan kapur di dinding rumah. Saya masih ingat tulisan jawi ayah yang cantik itu.

Januari ini ramai yang menyambut ulangtahun dalam keluarga. Suaminya Nyah, sehari selepas tarikh ulang tahun Nyah. Abangcho (abang sulung = abang besar = abang besor = abangcho mengikut loghat Perak), dan mak juga. Tapi mak tidak aci. Tarikh hari jadinya ada dua. Dalam surat lahir lain, dalam kad pengenalan lain. Itu pun entah betul atau tidak tarikhnya. Ayah juga begitu. Ayah lahir lebih awal tetapi beberapa tahun kemudian barulah datuk mendaftarkan kelahiran ayah.

Membaca novel penulis Korea, Kyung-Sook Shin yang bertajuk “Please Look After Mom”, saya dapati fenomena ini berlaku di mana-mana negara.

Kyung menulis, “everyone did that , back in the day. Because many children didn't survive their first three months, people raised them for a few years before making it official...”

Nyah adalah kakak saya. Tabiatnya yang melindungi saya telah saya tulis di bawah tajuk “Kakak Itu Payung”. Dia memang kambing gurun yang gagah. Jenis yang berani menyatakan isi hati. Seperti mak, kakak awet muda. Kulitnya mengikut kulit ayah, gelap sedikit daripada saya. Pendeknya? Macam saya juga. Sejak kecil, tubuhnya berisi. Ada dua tahi lalat di dagu. Manis! Bayi dan kanak-kanak selalu kalah dengannya. Dia sangat disukai!

Wajahnya iras saya. Suami saya selalu berlucu, “bahaya betul. Takut tersilap isteri!”.

Dia aneh.

Membawanya berjalan sangat menyiksakan. Sebab dia sangat cerewet. Kata mak, “sangat melampau”. Saya pernah membawanya bercuti. Dia lebih rela makan biskut daripada makan di kedai yang apabila “diimbas” tidak memenuhi kriteria “kebersihan” kedai atau pelayannya! Saya tidak boleh tulis apa yang menyebabkan “gagal” sebab kadang-kadang isunya sangat peribadi. Tapi betul juga, kalau sudah tahu berniaga makanan, bau badan, kebersihan kuku, hidung, mata, gigi kenalah jaga. Saya makan sahaja kalau sudah lapar, meskipun selepas itu terpaksa mencari sireh dan daun pokok beka bagi menghilangkan loya.

Membawanya ke Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor, dia sanggup sehari suntuk tidak makan sebab tiba-tiba ternampak “sesuatu”. Akhirnya saya pun sama walaupun dia mahu menemani makan. Kami hanya menogok air mineral sampai kembung!

Saya juga cerewet apabila tiba bab kebersihan. Sebab saya bukan jenis berkongsi minum daripada botol atau makan daripada sudu yang sama. Dalam beg saya memang ada sudu yang saya bawa ke mana-mana. Nampaknya ada pewaris. Anak bongsu saya begitu!

Tetapi saya tidaklah secerewet kakak! Mahu tidur di katil hotel pun dia periksa dahulu. Dia akan melapik kain untuk alas tidur (saya pun sama) dan tidak akan berselimut dengan selimut hotel itu.

Dia memang mesin pengimbas yang cemerlang. Sangat cemerlang sampai kadang-kadang meletihkan!

Kalau pergi kenduri, abangcho akan selalu kata, “kalau kita lihat Nyah makan, maknanya perut kita semua akan selamat...”

Dia anak yang mengambil berat. Apa sahaja yang mak mahu makan, dia akan belikan meskipun harganya RM1000 sebiji!

“Kasihan mak. Dulu, mak sanggup berlapar sebab mahu beri kita makan. Mak padamkan segala keinginan sebab kita,” katanya.

Walaupun dia seorang yang berani berterus terang, dia jugalah manusia yang paling memahami. Pelajarannya tidak setinggi saya, tetapi anak-anak saya lebih selesa bercerita dengannya sebab ilmu kaunselingnya lebih menjadi!

Selalu dia mengulang-ulang, “sesiapa yang menyakiti hati adik Nyah, maka dia sedang menyakiti hati Nyah!”

Maka dia akan berdepan dengan orang itu tidak kira siapa pun!

Termasuk seorang tua yang gemar sekali mengusik untuk melarikan saya waktu kecil dahulu. Dengan suaranya yang kuat, wajah garang, dia akan berdiri seperti perisai di hadapan saya yang ketakutan. Tangannya didepangkan. Saat itu dia seperti lupa tubuhnya hanyalah separas lutut orang tua bertubuh agam yang sangat ditakuti kanak-kanak seantero kampung. Kanak-kanak lain sudah cabut lari, menyorok di mana sahaja yang termampu, hanya dia yang berani berhadapan dengan orang tua yang mahu “mencuri” adiknya yang lembik macam obor-obor itu.

Saya hanya mahu dia tahu, di mana juga saya berada, imejnya yang seperti payung itu sentiasa ada di atas kepala saya. Melindungi saya daripada terik matahari dan lebatnya hujan.

Saya beruntung menjadi adiknya.

Saya tidak kisah walaupun dia sangat cerewet dengan kebersihan makanan.

Yang aneh itulah menjadikannya seorang yang unik.

Selamat ulang tahun kelahiran, Nyah.

Semoga Allah memberkati perjalanan hidup Nyah, suami dan anak tunggalnya sampai ke syurga.

Friday, January 4, 2013

Rehat Sebentar

Nasib baik ada novel dan CD ini...

Saya letih.

Benar-benar letih. Letih bergayut di mata, telinga, tangan, kaki dan minda.

Walaupun degil, akhirnya tatkala tiba di rumah, saya terbaring lesu. Memaksa diri untuk bangun mandi dan solat, Ya Allah, ampuni saya.

Untuk pengunjung tetap kebun ibu bunga matahari, maaf jika dalam sewaktu-waktu ini, tiada kelopak bunga yang mekar meskipun banyak cerita sedang berlegar di minda.

Saya letih.

Wednesday, January 2, 2013

Tatkala Menunggu Giliran



Hari pertama di pejabat, saya memandang ke dua buah meja yang sudah bertukar penghuni.

Mereka sudah tiada di situ!

Seorang sudah pencen dan seorang sudah bertukar ke institusi lain.

Alangkah lainnya!

Saya teringat penumpang gerabak yang saling bergantian tatkala pintu automatiknya terbuka di setiap stesen.

Sudah pasti mereka yang datang dan pergi itu tidak serupa sebab mereka orang yang berbeda.

Perjalanan hidup menuntut perubahan. Seperti saat saya menuruni tangga hari pertama itu. Ia menjadi sukar tidak seperti saat saya mendakinya. Aneh bukan? Jika dahulu, menuruninya lebih mudah, tetapi tidak lagi sekarang.

Di gerabak hidup, perubahan sentiasa terjadi.

Ada yang pergi dan kemudian bakal kembali sekali-sekala.

Ada juga yang pergi dan selepas itu kita tidak akan lagi ketemu.

Berubah atau tidak, kita tidak boleh kalah.

Tidak boleh mengalah dengan rasa kehilangan.

Tidak boleh mengalah dengan kesakitan.

Lama-kelamaan semuanya akan menjadi biasa.

Malu dengan cerita Nabi Allah Ayub tatkala diminta oleh isterinya agar memohon kepada Allah agar disembuhkan daripada penyakitnya kerana dia seorang nabi dan hamba yang soleh. Kata baginda, “Allah telah memberikan aku usia yang panjang dengan kesihatan yang sangat baik. Allah hanya menguji aku dengan sakit dalam tempoh yang sangat pendek. Tidakkah aku berasa malu dengan-Nya dan mensyukuri tempoh sihat yang panjang itu?”

Esok saya akan ke hospital lagi. Dan pastinya saya dapat melihat pintu gerabak yang terbuka apabila tiba di stesen. Saya juga akan menyaksikan penumpang yang saling bergantian masuk dan keluar.

Di stesen ke-10, tatkala pintu gerabak terbuka, giliran saya untuk keluar!

Di pintu gerabak hidup, entah bila giliran kita!