Total Pageviews

Monday, December 3, 2012

Menghampiri Kesempurnaan


Saya suka lelaki bermisai rapi, tinggi tegap, sedap suaranya tatkala mengaji.

Itu figur ayah. Saya sempat hidup bersama ayah selama lebih kurang tiga puluh empat tahun. Almarhum ayah tinggi tetapi kulitnya gelap. Ayah pendiam. Misainya tebal dan kemas sebab ayah lelaki yang menjaga penampilan. Ayah juga enak suaranya ketika mengaji atau melagukan nasyid dalam bahasa Arab.

Saya impikan figur demikian sebagai suami.

Namun bukan semua yang kita impikan itu kita dapat.

Kita sendiri bukan sempurna. Maka kita tidak layak mahu yang sempurna. Kesempurnaan itu hanya milik Allah.

Suami saya tidak bermisai. Tinggi juga meskipun tidak setinggi ayah. Kulitnya cerah tidak gelap seperti ayah. Suaranya tidak seenak ayah. Tetapi lelaki itu pandai menzahirkan kasih sayangnya (sesuatu yang ayah kurang pandai) dan suka berlucu (kalau ayah berlucu pun jarang menjadi). Perancang kewangan yang baik persis ayah. Juga kreatif seperti ayah. Tetapi lelaki itu gemar bercakap, tidak pendiam seperti ayah.

Saya sukakan ayah sebab ayah sangat bersih dan kemas. Kata mak, dia tidak mampu melawan kekemasan ayah melipat kain baju. Kalau muda-muda dahulu, songkok dipakai senget sedikit. Sudah tua, ayah berkupiah. Putih bersih kupiah ayah. Pakaiannya rapi bergosok. Kukunya sentiasa pendek sehingga ke gigi kulit. Kuku akan dipotong setiap pagi Jumaat. Bilik ayah merupakan kawasan larangan. Ayah tidak suka biliknya kotor. Pernah sekali si Mone masuk ke bilik dan ayah bising memarahi Mone supaya keluar dari biliknya, tapi ayah tidak menghalau ibu kucing itu dengan sungguh-sungguh. Sebabnya Mone pembersih. Kalau buang air, dia akan menyeret buntutnya di tanah sehingga dirasakan bersih. Waktu dia masih kecil, mak akan mencuci buntut Mone dengan sabun selepas Mone membuang air besar. Mone juga tidak makan ikan mentah. Mone kucing yang aneh juga. Waktu hamil, dia gemar makan kulit rambutan.

Bukan ayah atau Mone yang mahu saya kisahkan. Seperti ayah, Mone juga telah lama tiada. Ayah juga tentunya bukan sempurna. Dan hanya mak yang lebih tahu kelemahan suaminya.

Yang mahu saya katakan ialah mengenai menghampiri kesempurnaan. Menurut seorang ustaz, tanda awal suami itu seorang yang baik ialah dia tidak pernah gagal menafkahi keluarganya. Jika kebaikannya melebihi keburukan, maka itu juga tanda dia suami yang baik.

Menghampiri kesempurnaan dalam hidup bersuami isteri ialah sentiasa berlapang dada kepada kekurangan pasangan. Kena ada sifat ihsan. Pesanan ustaz, kita mesti mentaati suami kerana Allah. Suami juga mesti mengasihi isteri kerana Allah. Bukan kerana nafsu, harta atau rupa.

Kata ustaz, yang maksum itu hanyalah Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, janganlah kita asyik mencari kesilapan suami atau isteri sehinggakan kita lupa mensyukuri kebaikan pasangan kita.

Walaupun suami kita tidak bermisai, kita kena mensyukuri hadiah Allah. Meskipun suaranya tidak enak ketika membaca surah, dia tetap ketua keluarga. Menggembirakan hati suami, meskipun untuk hal-hal kecil seperti menyarungkan stokin ke kakinya sebelum ke tempat kerja, akan menyebabkan dia cemerlang dalam menjalankan tugasan sepanjang hari.

Satu perkara juga harus diingat, kita mungkin bukan isteri yang sama dengan ciri-ciri idamannya. Barangkali dia mahu isteri yang kulit putih melepak, hidung mancung seperti paruh burung kenyalang, pandai masak makanan tradisi atau enak suara jika mengaji.

Tetapi oleh sebab dia pun tidak sempurna, maka dia tetap menerima apa yang telah ditakdirkan Allah kepadanya. Maka dapatlah dia isteri yang kulitnya coklat, pendek, hidung pelepah kelapa, tidak pandai masak dan kalau menyanyi, rasa mahu pekak sebelah telinga.

Jika kita sudi menerima kekurangan pasangan melebihi kebagusannya, dan menyedari kebaikan melebihi keburukannya, maka kita sedang menghampiri kesempurnaan.

Namun kita tetap tidak sempurna sebab hanya Allah sahaja yang Maha Sempurna.

No comments: