Total Pageviews

Wednesday, December 26, 2012

BSCHKTS



Begitu banyak rintangan yang kami telah, sedang dan barangkali akan tempuh.

Adakalanya, kami teroleng-oleng dalam kolek kosong di tengah samudera ganas. Saya yang selalu jatuh. Tetapi tangannya yang kuat memegang saya.

Musim tengkujuh, ombak luar biasa ganas. Angin tidak semilir lagi, taufan menyerang kiri dan kanan. Malah, jerung pun ikut campur dari bawah. Hujan lebat dengan petir dan guruh sabung menyabung dari atas. Saya ada juga jatuh ke dalam air. Nafas sudah bercampur dengan air masin. Dia akan melupakan bahaya, lalu terjun ke laut dan menaikkan semula saya ke kolek.

Begitulah selalunya.

Barangkali sebab hati saya seperti tanah liat. Ada waktu, lembut lembik atau kering merapuh.

Waktu sekolah rendah di kampung, kadang-kadang guru lukisan akan meminta kami membuat mangkuk daripada tanah liat. Kanak-kanak kampung yang miskin tidak punya wang untuk membeli plastisin. Guru mengajar kami cara yang lebih alami. Kami akan ke sungai dan mengambil tanah liat di tebingnya. Kami akan membentuk tanah liat itu seperti mangkuk, menjemur di tengah panas sehingga kering.

Tanah liat, kalau basah bentuknya boleh diubah. Kalau sudah keras pula, silap-silap boleh pecah jika terjatuh.

Dia pasti sahaja letih. Kena selalu awas supaya tanah liatnya tidak berubah-ubah atau tidak pecah.

Kata ulama, Sufyan al-Thawri, “tidak ada yang lebih sukar kufahami selain niatku sendiri kerana ia sering berubah-ubah dalam hatiku”.

Kalaulah orangnya bukan dia, tiada siapa mampu bertahan dengan olengan kolek yang memeningkan. Olengan yang terhasil daripada serangan taufan, hujan, petir dan kilat. Olengan yang digerakkan oleh ganasnya ombak dan jerung.

Semua elemen itu mahu kolek berlubang dan pecah. Lalu kami pun jatuh, tenggelam ke dasar. Jika selamat pun, terpisah jauh ke tanah asal dan saling melupakan.

Mujur ada sesuatu yang tertulis di sisi kolek. Tulisannya besar dan sangat jelas. Ia adalah ungkapan mula, ungkapan rahsia yang akhirnya berada di mana-mana. Tertulis di awan, di pokok dan batu-batu.

Ungkapan itu yang menyebabkan tangannya kuat memegang saya. Dan tangan saya kuat memegang hatinya. Tidak peduli dengan serangan musim payah, olengan sudah tidak lagi menakutkan.

Dengan izin Allah, cinta membuatkan musim kering menjadi begitu indah. Terima kasih wahai Pemilik Cinta, Rabb yang menyucikan hati.

Ungkapan itu akhirnya menjadi istilah, dihafal pelajar-pelajar tuanya dan dicatat dalam buku nota! Dia mengajarnya di dalam kelas!

BSCHKTS!