Total Pageviews

Friday, December 21, 2012

Ayuh!



Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok, mahu pun sebentar lagi. Esok adalah misteri. Sama macam saya merancang mahu cuti panjang sedikit di kampung sebab suami hanya ada selepas Krismas, tetapi tiba-tiba kena tukar jadual pula.

Sekejap lagi saya akan menyusur lebuh raya untuk perjalanan satu jam jika tiada kebanjiran kereta. Mahu jumpa anak saya untuk hari jadinya yang terlewat (belated birthday). Saya di Perak, waktu tarikh hari jadinya itu. Kemudian tergesa-gesa balik sebab ada mesyuarat pensyarah.

Buku-buku telah saya beli, sebuah buku agama soal jawab dengan Ustaz Azhar Idrus yang kacak berdiri di tepi pokok. Dua buah lagi buku bahasa Inggeris. Sebuah komik lakaran paling jujur dan sebuah buku pengurusan kewangan.

Itu hadiah hari lahir anak saya yang ke-22. Dia lahir tengah Disember, tergelincir sedikit daripada tarikh yang betul-betul tengah. Untung juga orang yang lahir bulan dua belas itu. Lambat tua. Semalam lepas mesyuarat pun, ada pensyarah-pensyarah yang lahir pada bulan-bulan tengkujuh itu memotong kek. Kami kena menyanyi lagi dengan iringan muzik. Rasa macam kanak-kanak, bagus juga sekali-sekala berasa comel.

Sekarang baru masuk minggu belajar. Peperiksaan akan berlangsung awal Januari. Sudah tentu malam menjadi siang dan siang menjadi malam. Tidak tentu hala. Begitulah waktu saya jadi mahasiswa dua puluh enam tahun dahulu, kemudian lima belas tahun dahulu juga sekali lagi, malahan lagi teruk daripada yang mula-mula.

Mana ada hidup yang mudah. Jadi, kena bersyukur banyak-banyak. Kadang-kadang lupa, tetapi kena dengar rancangan agama di radio selalu. Ustaz ustazah di radio akan ingatkan kita. Di TV payah sedikit. Banyak sangat rancangan yang buat otak jadi semak. Berita pun malas mahu tengok. Malu kepada hati mahu tengok berita. Dosa saja yang banyak. Hati sudahlah banyak hitam, takut jadi makin hitam.

Dengan Bismillah, saya mahu bergerak sekarang. Harap-harap lebuh raya tidak semak dengan kereta yang mahu pulang sebab cuti perayaan.


2 comments:

aqmahoocyunkqamo said...

hahaha.....kalau mereka sedang giat berperang..bersengkang mata menelaah buku2..saya pula sedang sibuk mengaji muka buku..aduh....semester baharu sudah tiba..ayuh jom ke maktab semula..!!

Ibu Bunga Matahari (ratnalaila_shah@yahoo.com.my) said...

ayuh!