Total Pageviews

Sunday, December 23, 2012

Lapan Yang Tergelincir



Empat belas Disember lalu, tepat jam tiga empat puluh delapan minit, saya dalam perjalanan ke pulau untuk acara puisi. Waktu dalam perjalanan itu saya mendapat mesej daripada pelajar yang sekarang ini sudah pun menjadi guru.

Tulisnya (dengan ayat yang telah saya betulkan), "Semalam saya lukis sesikat pisang untuk anak sulung. Pisang itu huduh. Dia bertanya, pisang apa ini ibu? Saya kata pisang kaki sebab mirip kaki. Hari ini buat Matematik. Jawapan dia nombor lapan, tapi nombor lapan kakak (anaknya itu) kelihatan mengiring. Dia terus bagi alasan, nombor lapan ini tergelincir, ibu..."

Anak yang menghiburkan! Itu reaksi saya. Pandai anak kecil yang belum sekolah itu menyukakan hati ibunya. Seperti dia tahu, ayahnya sudah kembali ke dakapan tanah. Yang ada padanya hanya ibu muda itu dan dua adik yang masih begitu kecil.

Selalu saya mendengar ibu-ibu berkata, "kalaulah anak-anak saya terus kecil dan tidak membesar hanya untuk melukakan hati ibunya!". Selalu saya dengar itu. Selalu.

Jika benar sekali pun, jangan sesekali mengeluh, apa lagi menyebut "kalau". Biarlah anak membesar dan belajar daripada setiap detik jatuh bangun yang dilaluinya. Memang kita selalu merindui saat anak-anak kita masih dalam dukungan, dalam agahan dan dalam pelukan. Tetapi benih mana pun akan tumbuh perlahan-lahan menjadi pokok. Masa menjadi benih, kita siram dia selalu. Tatkala sudah menjadi pokok, kadangkala tangan sudah tidak mampu memeluk. Waktu membesar itu, memang ada hati yang akan terluka. Hatinya atau hati kita. Kadang-kadang sukma sampai berdarah-darah, bungkus pakaian dan lari!

Wahai anak, mahu lari ke mana? Ini bumi Tuhan. Dia telah meletakkanmu di dalam kantung ibumu selama sembilan bulan. Percayalah, saat orang lain mencerca sama ada di hadapan atau di belakangmu, saat semua orang enggan memaling kepadamu walaupun sebentar; di situ akan ada ibumu. Dia akan setia membuka tangannya untuk mendakapmu berkali-kali, biar pun berkali-kali juga engkau menghiris hatinya dengan pisau belati!

Demikianlah kasih sayang perempuan yang akan menjadi tua dan tua. Bayangkan pula kasih sayang Allah kepada kita.

Mesej daripada pelajar saya itu adalah kisah kecil yang memberi makna. Mudah-mudahan dia berbahagia dengan tiga anak kecil, anak yang lahir daripada cinta!

Saturday, December 22, 2012

Motokar Udara?



Asyik ketawa saya dalam kereta. Agaknya kalau ada yang nampak, mesti menyangka ada urat yang putus di kepala. Ustaz Amin yang suaranya serak basah seperti suara seorang ustaz lain yang saya suka, asyik buat lawak di radio dalam tajuk “Watak Muslimah Solehah”. Comel sahaja apabila dia ketawa.

Sabtu itu saya memandu dengan lancar. Tetapi di seberang, lebuh raya menuju ke selatan berensot-ensot macam kura-kura sakit. Yang sedikit laju hanya motosikal. Saya bayangkan seperti berudu beroda yang menyelit-nyelit antara kereta dan lori.

Tiba-tiba teringat lakaran dalam majalah MGS Ipoh waktu saya bersekolah di sana dari tahun 1979-1983. Tidak teringat majalah sekolah yang tahun bila. Ada imaginasi pelajar yang melukis perbezaan antara tahun itu dengan tahun 2000. Ada robot guru, bangunan sekolah pun macam yang ada dalam filem sains fiksyen, ada kenderaan yang memenuhi ruang angkasa.

Kalaulah sekarang ini jadi seperti imaginasi pelajar itu, maka saya percaya, orang yang sedang berada di bawah ini makin tidak selamat. Serpihan-serpihan kenderaan yang berlanggaran akan luruh dari ruang angkasa. Puncanya, tiada garisan yang membezakan laluan, tiada lampu isyarat atau AES yang pancarannya macam kilat. Mat rempit mesti suka memecut juga walaupun di angkasa!

Di bulatan menuju kampus, radio memainkan lagu “Siapakah Yang Tak Pernah Menangis” karya Allahyarham Zubir Ali. Liriknya bermakna. Suara Zubir lunak mendendangkan “siapakah yang tak pernah menangis, di hujung tawa”. Sayu. Dia mengingatkan pendengar tentang kematian yang dia telah pun mengalaminya.

Saya mahu menambah, “siapa yang tidak pernah ketawa di hujung tangis?”

Allah itu adilnya meliputi semua benda. Kita pernah menangis sebab gagal. Tetapi gagal adalah kejayaan yang tertunda. Akhirnya kita ketawa juga. Begitulah sebaliknya.

Saya jumpa anak dan bawanya makan. Memang perut Siam. Asyik-asyik mahu makanan yang sama dari kecil sampai besar. Seliparnya juga asyik putus, naik turun tangga musim hujan.



Ada banyak monyet kecil besar yang datang hampir dengan kereta. Lapar barangkali. Bapa monyet mukanya bengis. Saya suruh anak cepat masuk ke bangunan kediaman. Monyet-monyet itu berani masuk hingga ke dalam bilik mencari makanan. Kasihan juga tetapi populasinya berkembang maju, tiada perancangan keluarga.

Monyet pun masuk universiti. Tidak takut orang. Orang yang takut dengan kumpulannya yang ramai dan lincah itu.

Memandu pulang, saya masuk kumpulan kura-kura sakit. Nasib baik ada beli CD Ustaz Azhar Idrus. Hilang kantuk saya, ikut ketawa dengan lelucon sinikalnya.

Akhirnya saya sampai juga ke rumah, dengan kesakitan luar biasa dari pinggang sampai ke kaki. Rasa mahu bertongkat sahaja!

Waktu itulah, saya terfikir...alangkah baiknya kalau kesesakan lebuh raya itu dapat diatasi dengan mencipta kenderaan di udara!

Mengarut. Tetapi tidak mustahil juga!

Monday, December 17, 2012

Lantai Dua Puluh Dua



(Dedikasi untuk puteriku Atika Laila)

Kau telah tiba ke lantai dua puluh dua
di perut Disember

Anak,
doaku menuju langit
dengan ucap
selamat datang ke dunia dewasa
yang rumit dan penuh teka

Gumpalan-gumpalan awan kelabu itu
segeralah menjauh ditiup angin
dan matahari dengan jaluran emas
bakal singgah di pohon hidup kita
yang telah begitu kering
dengan daunnya yang pernah merapuh

Lantai dua puluh dua di perut Disember
selamat ulang tahun...

Lenggong
18 Disember 2012

Sunday, December 16, 2012

Pangkor dan Kenangan Pertemuan!

Wakil dari Filifina, Roslan Madun, DS Pah, Siti Zaleha M. Hashim

“Anak kau berapa, Jep?” tanya saya.

“Seekor. Kau berapa ekor?” dia kembali bertanya.

“Dua,” saya ketawa.

“Kau nampak je aku, kan?”

“Habis, kepala kau ada sinar kan?” Dia memandang-mandang ke atas seolah-olah mencari “sinar” itu. Dia mengerti lelucon saya.

Saya maksudkan rambutnya yang “ala profesor” (dan memang dia seorang profesor di Fakulti Sastera Universiti Brunei Darussalam). Dia juga penerima SEA Write Award 2012.

Kalau orang mendengar, mereka akan kata kami “kurang bahasa”. Tetapi tatkala bertemu kawan-kawan saat usia muda sekitar awal 20-an itu dan menjadi mahasiswa jurusan yang “gila-gila”, kita seolah-olah melalui “mesin waktu” membawa kita kembali ke masa lalu.

Saya kembali bertemu teman sekuliah saya itu di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 3 pada tarikh 15-17 Disember 2012.

Kemudian, esoknya ada acara perasmian festival. Saya tahu esok ada seseorang yang perlu saya ketemu meskipun hati sangat berat. Sudah beberapa kali dia bertanya khabar saya melalui orang. Sudah beberapa kali juga dia mahu bertemu.

Saya nampak dia dengan jelas sebab saya berada di barisan kedua di belakang sofa VIP. Dia sudah gempal sedikit, penampilan masih sederhana, dengan pakaian dan solekan sederhana. Cuma barangkali gaya tudungnya sudah berbeda daripada 26 tahun yang lalu.

Usai acara, saya tidak jadi mahu jumpa. Tetapi kakak yang menemani saya, mengingatkan saya betapa pentingnya nilai persahabatan. Saya berpatah balik. Menuju ke depan dan menyalaminya. Mulanya dia tidak perasan.

“Pah,” saya menyapa. Matanya menekuni saya dan mukanya tiba-tiba menjadi lain.

“Yang!” dia separuh menjerit, menarik saya ke hadapan sehingga mahu tersungkur sedikit. Dia memeluk saya.

Dia memegang erat tangan saya dan memberitahu berulang kali kepada suaminya, dan tetamu lain, “kawan lama saya, kawan lama saya!”

Akhirnya, saya diheret ke sana ke mari untuk bergambar. Berkali-kali saya mohon diri sebab memahami kesibukannya melayan permintaan orang itu dan orang ini.

Dia tidak membenarkan. “Yang, nanti. Tunggu!”

Barangkali dia pun mengerti sahabat lamanya ini mahu menjadikan “pagar takdir” itu untuk menjarakkan diri. Saya pernah berjanji kepada diri bahawa saya akan menghubunginya selepas dia menjadi sebahagian daripada orang biasa. Ertinya, selepas suaminya tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar!

Dalam sibuk-sibuk acara bergambar dan permintaan “Datin Seri, mahu itu dan ini...” kami sempat mencuri tanya dan jawab. Saya tahu anaknya tiga perempuan tetapi yang saya ingat hanyalah anak sulungnya sebab anak itu lahir saat dia masih mahasiswi. Sempat juga dia menyebut, “Pah cerita-cerita juga pasal xxx. Dahsyat dia, semua isteri dan bekas isterinya alumni RPKD...” kami meledak ketawa. Lucu! Sebenarnya saya mengetawakan diri saya juga sebab sayalah bekas isteri sulung kawan kami xxx itu!

Matanya bergenang air tatkala dia bercerita, “waktu acara merdeka di Ipoh tahun 2008, Pah teruja dengar nama Yang disebut. Tetapi Pah sedih sangat apabila yang baca puisi Yang itu bukan Yang, tapi orang lain. Pah menangis masa itu...”saya lihat matanya merah dan berair. Melihatkan itu, saya sedar, kedudukan tidak berjaya mengubah sikapnya. Benarlah, dia masih “Pah” saya yang dahulu!

Saya bangga dengannya. Sungguh! Melihatnya yang serba sederhana menimbulkan rasa kagum saya. Memang dia “ikan yang hidup di air masin”!

Saya berat mulut membahasakan dirinya “Datin Seri” walaupun sepatutnya begitu, apa lagi di tengah orang banyak. Saya pernah mengajar protokol, maka waktu orang tidak perasan, kami hanya ber”Pah” dan ber”Yang”.

Banyak yang mahu dia cerita dan banyak juga yang saya mahu cerita. Tetapi saya dan dia memahami keterbatasan waktunya. Dia meminta nombor telefon saya. Tetapi saya faham jika dia tidak menelefon.

Seperti yang selalu saya katakan, masa dan keadaan boleh mengambil sebahagian daripada diri kita. Masa akan menjadikan kulit muka kita sedikit berkedut atau punya seurat dua putih di kepala. Keadaan juga akan mengubah persepsi, prinsip dan kepercayaan hidup tetapi persahabatan itu nilainya persis bumbung yang teguh berada di atas kepala kita, dan lantainya yang rata.

Kita akan melupakan perbedaan tatkala diusik kenangan sebab kita seakan berada di bawah bumbung yang sama dan bersila di lantai rata.

Balik ke rumah, tiba-tiba saya mendapat e-mail daripada seorang lagi teman sekuliah. Namanya Baharom Mahusin. Saya memanggilnya Bob. Dulu dia kecil comel, anak kelahiran Pahang. Saya selalu menunjuk gambarnya dan bercerita kepada anak. Gambar itu diambil saat dia menziarahi saya dan anak-anak di rumah sewaan flat tiga bilik di Kuala Lumpur. Dia antara rakan yang prihatin dulunya. Kemudian dia menjawat jawatan penting di sebuah syarikat akhbar perdana. Kesibukan dan kemelut hidup memisahkan saya dan rakan-rakan.

Dia membaca blog ini dan percaya bahawa saya yang mengendalikannya. Ajaibnya kuasa Allah. Baru malam tadi saya menyebut namanya dan pagi ini saya sedang membaca e-mail Bob.

Waktu mahu pulang, pulau diserbu hujan. Orang sangat ramai di jeti. Rakan-rakan masih punya acara puisi. Tetapi saya perlu pulang.

Melihat hujan yang cantik, saya mula berpuisi,

“titik-titik hujan yang jatuh ke lantai laut, adalah seperti titik-titik cerita yang tersungkur di lantai hidup!”

Pangkor...dalam kenangan pertemuan!

Thursday, December 13, 2012

Mengutip Cerita



Perjalanan ke hospital ini entah kali yang ke berapa.

Sepuluh stesen dengan pintu yang terkuak dan tertutup, orang bergegas masuk dan keluar. Saya kembali mengembara mengutip cerita dengan ABB (alat bantu berjalan). Sekaki payung berwarna merah jambu!

Dalam komuter, di belakang saya, ada seorang gadis manis berkerudung. Dia berbual di telefon. Mula-mula seperti orang bercinta. Kemudian berkelahi. Dialognya kuat. Saya nampak gadis di sebelahnya gelisah. Orang lain pura-pura tidak mendengar. Senyum-senyum tapi memandang ke lain.

Habislah segala perkataan dalam kamus yang menggambarkan “bodoh” keluar dari mulutnya. Memang menakjubkan!. Dari stesen pertama sehingga saya sampai ke stesen sepuluh, dia masih berbual. Sekejap bercinta sekejap berkelahi!

Kali kedua saya menaiki teksi yang pemandunya wanita. Kali ini lebih berusia dan kecil molek orangnya. Barangkali muda sedikit daripada saya.

“Orang Pasir Mas,” dia memberitahu setelah saya bertanya asal Kelantan dari daerah mana. Cepat dapat meneka daripada cara dia bertutur.

Jam 6.30 pagi dia mula mencari penumpang. Jam 10 balik ke rumah. Selepas Asar hingga jam sebelas malam, dia bertugas.

“Takut juga. Tapi tawakal sajalah...” katanya. Hati saya kekaguman. Wanita berani!

Di hospital, ada acara tapi tidak sempat melihat acara apa. Ada banyak patung sekerat dada yang dibaringkan di lantai. Nampak juga meja-meja untuk mendaftar acara derma darah, pemberian vitamin, pemeriksaan ibu hamil dan sebagainya.

Di Klinik Onkologi, orang tidak ramai macam selalu. Majoriti berketurunan Tionghua, barangkali sekitar 60 peratus. Selebihnya Melayu dan hanya ada seorang dua berwajah India.

Teringat kata-kata dia.

“Ada kajian dibuat mengapa masyarakat India jarang kena kanser. Sebab rempah-ratus yang mereka letak dalam kari”.

Mungkin benar.

Waktu sesi radioterapi dahulu pun majoriti berketurunan Tionghua juga. Adakah disebabkan kesukaan mereka makan mee kuning atau apa?

Seorang lelaki yang berikat rambutnya dan berkaca mata gelap, tertidur di kerusi. Dia berdengkur kuat. Isterinya membiarkan.

Tatkala pulang dan menyusuri lorong beratap zink, ada seorang lelaki, muda juga, kakinya ada; memakai kopiah sedang menadah songkok di tepi lorong itu.

Saya tidak gemar dengan situasi ini. Berkopiah dan mengemis! Lelaki muda itu sebangsa dan seagama dengan saya. Dan yang lalu lalang sambil melihatnya sedang menadah itu, siapa?

Begitu juga bagaimana saya rasa “semacam” apabila ada anak-anak muda berkopiah dan bertudung mundar-mandir di tepi bank setiap kali hari gaji. Ya Allah, lemahnya bangsaku! Meminta-minta itu bukan satu usaha!

Kutipan cerita daripada pengembaraan kali ini tidak begitu menarik. Namun ada sesuatu yang saya pelajari.

Pertama, kawal nada suara ketika berbual di telefon, apa lagi dalam kenderaan awam. Kasihan telinga penumpang lain. Lagi pun bukan semua orang pandai berlakon dengan berpura-pura tuli!

Kedua, Allah menghamparkan bumi ini dengan rezeki. Siapa yang rajin, tidak kira jantina, dia akan mendapat bahagiannya seperti si pemandu teksi itu.

Ketiga, perempuan memang spesis yang rajin!

Keempat, kurangkan makan mee kuning! Banyakkan makan rempah-ratus.

Kelima, jangan pakai kopiah waktu mengemis. Pakai topeng ultraman supaya orang tidak tahu anda bangsa dan agama apa!

Hmmm...

Wednesday, December 12, 2012

Menjadi Tanah

Kadangkala kita diuji dengan “kesakitan” mental yang membawa kepada “kesakitan” fizikal.

Mulanya kita mungkin berfikir yang kita sendirian. Tetapi kemudian, kita sedar, kita ada Allah sebagai peneman.

Kita memilih untuk “menikmati” rasa sesak dada dan lesu sekujur tubuh.

Maka, kita pun bertarung. Dengan cara bangun melakukan tugasan biasa. Kita bangkit untuk memberikan motivasi kepada kawan yang memerlukan, sebab dalam masa yang sama, kita sedang memberikan nasihat kepada diri sendiri.

Apabila kita memilih untuk “menikmati”, Allah akan memberikan kita pilihan itu.

Allah sedang menegur kita melalui “teguran” orang lain.

Teguran yang dipenuhi aura negatif, hitam dan kelabu.

Langsung kita teringat kisah kotoran yang dilemparkan ke tanah. Apakah tanah menolaknya? Apakah balasan tanah? Apakah tanah kembali melemparkan kotoran itu kepada orang-orang yang melemparkannya dengan rasa tidak bersyukur itu?

Dan awalnya kita kalah sebab kita membiarkan aura negatif itu melemahkan kekuatan yang kita bina dengan segala susah payah.

Mujur Allah tidak mematikan kita ketika itu.

Mungkin kita lupa. Sebenarnya sudah lama kita menjadi seperti tanah.

Apabila tanah memilih untuk melihat kotoran yang dilemparkan itu sebagai baja, maka daripada baja itu benih dalam pelukannya akan tumbur subur menyebarkan haruman bunga dan manis buah, juga rimbunan daun yang menjadi teduhan.

Saturday, December 8, 2012

Dakapan Tanah



Ada ketika-ketikanya, ketika merenung tanah, hati berasa simpati.

Menjadi tanah yang duduknya di bawah, kita selalu lupa.

Tanah dilemparkan kotoran, dengan najis yang busuk. Kemudian setelah sekian lama, daripada kotoran itu muncul tumbuhan yang semakin membesar dan tinggi. Jika tumbuhan itu berbunga, kelopaknya cantik dan wangi. Jika ia adalah pokok, dahannya yang kuat menampung rimbunan daun yang menjadi rumah unggas dan teduhan orang. Jika ia berbuah, buahnya manis dan memberi manfaat.

Kita selalu melupakan baiknya tanah.

Sekali berlaku gempa, tanah akan terbongkah, pecah, membentuk lubang maut yang menelan nyawa dan bangunan.

Maka, gempa yang hanya sekali itu akan selalu mengingatkan kita kepada “kejahatan” tanah, langsung melupakan seribu “kebaikan” yang telah dilakukannya.

Di mana-mana pun, sekali berbuat jahat akan menenggelamkan ribuan kali perbuatan baik. Realiti memang begitu. Kita pun begitu.

Berbudi kepada tanah, balasannya adalah kehidupan.

Namun kerana ia adalah tanah yang duduknya di bawah telapak kaki, kita selalu alpa akan keberadaan diri.

Sedangkan kita berasal dari situ dan bakal pulang ke situ.

Suatu waktu nanti, tanah itu akan mendakap kita.

Thursday, December 6, 2012

Murai Also Can Remember!



Hari ini cerah. Luar biasa sedikit untuk cuaca Disember.

Cuaca hati saya juga cerah.

Nampaknya usaha saya dan anak menggantungkan kain cadar Garfield (kain itu saya borong banyak untuk cadar, sarung bantal, selimut dan langsir bilik anak-anak waktu mereka masih kecil), telah berjaya memperdayakan si burung kecil.

Cadar itu kami gantung di gril pintu hadapan. Tujuannya supaya burung kecil ekor panjang itu tidak lagi menjadikan kisi itu sebagai tandas.

“Nanti dia akan keliru. Cari-cari tandasnya yang hilang. Otak burung kecil. Nanti pasti dia lupa,” saya optimis.

Saya tidak bercadang mahu pasang lama-lama. Aneh dilihat orang yang lalu-lalang. Entah ritual apa sampai menggantung cadar Gerfield itu di kisi pintu.

Setelah seminggu, saya mengagak burung kecil itu telah melupakan tandasnya dan mencari tandas lain. Maka saya memasukkan cadar ke dalam mesin basuh.

Wah, pagi ini saya dengar dia bernyanyi riang. Berbual-bual lagi bersahut-sahutan atas dahan pokok bunga di rumah si Tuti. Tuti pula sudah pulang ke kampungnya di Segamat, dan lima hari saya akan kesunyian tanpa suara anak-anaknya yang riang bergurauan.

“Tahu apa nama burung ekor panjang itu? Murai belukar atau kadang-kadang dipanggil murai tahi,” sampuk dia yang sedang sibuk mencatat idea modulnya di kertas. 

Hah! Patutlah berlambak tahinya di kisi pintu. Saya pernah bertanya Tuti, burung kecil itu seekor sahaja, tetapi mengapa tahinya begitu banyak. Setiap pagi, saya kena mencuci najisnya yang banyak itu. Langsung saya teringat iklan di TV (pemuda dilimpahi najis burung yang banyak dan saya sangat geli melihat iklan tersebut).

Nampaknya si burung itu sudah ternampak tandasnya semula. Itu sebab dia sangat riang. Aduh, barangkali rutin setiap pagi saya akan berulang lagi.

Kejiranan yang sunyi ini bagus juga jika ada suara burung yang bernyanyi. Tidak apalah jika terpaksa terbongkok pagi-pagi mencuci najisnya. Balasannya ialah suara murai yang entah bersembang apa. Burung kecil itu sangat riang. Tiada masalah, terbang dan melompat-lompat di pagar.

Sekejap lagi dia akan kesukaan. Kami akan ke Pelabuhan Barat mengambil kereta anak bongsu . Si burung kecil bebas sebab tiada orang yang akan keluar masuk dan mengganggu ketenteramannya untuk “melepas”.

Selamat tinggal si burung kecil.

Dia mengajar saya sesuatu.

Elephant Can Remember.

Begitu juga dengan makhluk yang kecil comel itu!

Wednesday, December 5, 2012

Pengembaraan Dengan Mak Cik Jiran!

(Era, Haziq dan Hasha)

(Haziq dengan persembahan istimewa)

(Tuti dan anak-anaknya)

Ketika berjalan-jalan, saya suka melihat gelagat anak-anak kecil.

Saya sebenarnya melihat sesuatu melalui gelagat anak-anak kecil itu. Ada kupakan-kupakan kenangan yang berepisod.

Hari ini berjalan-jalan dengan jiran, Tuti Maini dan empat anaknya dalam usia sebelas hingga tiga tahun.

Anak-anak itu lucu, sesekali histeris kerana perkelahian kecil. Tetapi tidak lama. Mereka kembali ketawa setelah mengomel sekejap.

Tuti kerisauan. Dia bimbang saya rimas.

Jangan gusar, kata saya. Anak saya dulu pun kecil sebelum menjadi besar. Memang cuma dua dan perempuan pula, tetapi saya juga punya anak-anak saudara lelaki perempuan. Anak-anak kecil memang aneh, sesekali menjadikan kita lucu, sesekali membuatkan kita geram.

Saya terpijak najis binatang dan akibatnya saya kemuntahan dalam bilik air sebuah pusat beli belah.

Semua anak itu bekerjasama mencari air buat basuhan alas kaki kereta yang kotor sedikit.

Terpijak najis binatang itu sedikit membuatkan saya kurang enak. Tetapi tidaklah begitu lama.

Saya kepenatan, tapi melihat gelagat anak-anak kecil itu saya buang rasa penat ke dalam longkang.

Kanak-kanak, dengan hati yang putih akan rasa gembira meskipun hanya main sembunyi-sembunyi di sebalik rak atau pakaian yang bergantungan.

Saya rindu. Sudah begitu lama, zaman kecil anak-anak saya berlalu. Mereka tidak lagi bermain di celahan baju yang bergantungan, atau menyorok di bilik persalinan.

Tetapi mereka membeli baju yang bergantungan dan bergaya-gayaan di depan cermin di bilik persalinan. Tukang bayarnya masih orang yang sama. Dulu, kini dan entah sampai bila.

Anak-anak yang bakal mencapai dua puluh tiga dan dua puluh satu itu, sudah punya ruang sendiri. Mereka masih memimpin tangan saya. Jari mereka sudah membesar tetapi genggaman sama erat.

Aneh. Mengapa saya berasa ada sesuatu yang hilang?

Anak Tuti yang kecil, membuang kulit gula-gula di lantai jalan.

Saya kata, “orang hebat tidak akan buang kulit gula-gula merata-rata”.

Dia mengutip. Saya tepuk tangan. Kakak-kakak dan abangnya pun ikut bertepuk tangan. Solidariti yang baik.

“Bagus ada kanak-kanak seperti Sherry. Hebat betul. Orang bagus sahaja yang tidak buang sampah di jalan”. Dan selepas itu dia tidak membuang lagi kulit gula-gula. Ada plastik khas dalam kereta mamanya.

Melihat itu pun, saya rindu. Saya teringat gelagat anak-anak saya tatkala mereka masih kanak-kanak.

Mereka marah apabila melihat ada sampah melayang-layang, dibuang oleh para pemandu dan penumpang kenderaan. Biar sampah ada dalam kereta, sampai di rumah atau tempat membuang sampah, baru dibuang. Jika sedang berjalan, masukkan sahaja ke dalam poket, ada pilihan juga iaitu beg tangan ibu yang seperti bagasi Doraemon.

Saya tidak tahu apakah ketika zaman dewasa ini, mereka ada melakukan tabiat seperti yang mereka marah satu ketika dahulu.

Kadang-kadang kita berubah melalui masa dan persekitaran. Balik sahaja, mak berfikir-fikir, anak siapa ini? Rupanya pun sudah berbeda.

“Jangan beli kuih itu. Tahun lepas punya, tidak laku, dijual semula dengan harga murah. Masa kakak tengok dulu, harganya mahal,” bisik anak sulung Tuti bersungguh-sungguh.

Oh, saya buat muka terperanjat.

“Nasib baik Kak Era beritahu. Mak Cik tak tahu. Begitu rupanya”.

Dia gembira. Dia telah berbuat jasa iaitu memberitahu mak cik jirannya satu rahsia!

Sesi berjalan-jalan itu berakhir dengan dingin aiskrim. Mereka ucapkan terima kasih bergilir-gilir.

Sepanjang perjalanan balik, mereka berebut-rebut bercerita tentang “pengembaraan” yang mereka lalui.

Hari ini mereka pulang dengan rasa hebat.

Sebab banyak yang telah mereka beritahu kepada mak cik jiran ini termasuk beberapa “rahsia” besar!

Sunday, December 2, 2012

Hati Bukan Tempat Simpanan Barang



Sempat menonton sebuah filem kepolisian Hong Kong. Sunshine Cops. Ada ungkapan menarik ketika babak seorang ibu memujuk anaknya yang sedang “direhatkan” ekoran kesilapan ketika bertugas.

“Jangan simpan dalam hati. Hati bukan tempat menyimpan barang,” demikian kata si ibu yang saya baca di bahagian sari kata.

Comelnya ayat itu.

Hati bukan tempat simpanan barang. Hati untuk cinta. Cinta yang berbunga-bunga. Harum dan cantik. Hanya itu yang perlu ditempatkan di hati.

Betulkah?

Tapi di dunia realiti, bukan itu yang terjadi. Hati menjadi berat dengan pelbagai “barang” sehinggakan sendat akibat ketidakcukupan ruang.

Rentetan daripada itu, hati menjadi patah. Hancur luluhlah hati yang kecil tetapi telah dipenuhi dengan segala jenis barang, yang perlu dan tidak perlu.

Bukan mudah mahu membuang barang-barang dalam stor hati. Kena ada saringan, meletakkan senarai sangat berguna, berguna, agak berguna, kurang berguna dan juga tidak berguna!

Kena nekad untuk membuang. Jika tidak hati akan merana. Sukar buatnya untuk bernafas dengan selesa. Beri ruang kepada hati. Mudah-mudahan yang tinggal itu hanyalah yang sangat berguna dan berguna.

Kepada pemilik hati, dengarkanlah sekali lagi ayat ibu kepada anaknya, “jangan simpan dalam hati. Hati bukan tempat menyimpan barang”.

Saturday, December 1, 2012

Tanya Yang Tertunda



Jam tiga sembilan minit pagi, ada mesej.

“Tak boleh tidur”.

Anak ini mengadu masih batuk-batukan. Perutnya sudah sakit akibat batuk. Bagaimana mahu hilang batuk itu jika ubat batuk dia takut untuk minum?

Nampaknya dia memberi isyarat supaya ibunya datang lagi. Rasanya belum sampai seminggu saya datang membawanya ke doktor.

Kasihan betul. Akhirnya saya memandu juga ke kampus. “Sekejap saja, ibu kurang sedap badan,” kata saya.

Pergi terus mencari ubat-ubatan, membeli keperluan-keperluannya, saya menemuinya di kampus.

Dia duduk di bendul tempat duduk pemandu. Meletakkan kepalanya di pangkuan saya. Kaki saya kedua-dua belah berada di luar kereta. Aduh, nampaknya seperti biasa, pertemuan itu kelihatannya bakal jadi panjang dan hampir Maghrib barangkali baru dapat pulang ke rumah.

Gerimis turun. Kemudian perlahan-lahan melebat.

“Masuk ke kereta, nanti kakak kehujanan. Ibu orang kampung, tidak takut dengan hujan. Kami orang-orang yang dilahirkan dengan kekuatan jasmani dan rohani,” kata saya.

Dia pun masuk. Duduk di sebelah pemandu. Kemudian, saya teringat. Baik saya membeli beberapa botol air jenama Anugerah dan sedikit lagi bekalan makanan untuknya.

Saya terus menghidupkan enjin dan bergerak ke pasar raya.

Sampai di parkir tempat biasa saya meletakkan kereta, saya bingung. Dia sedang bicara dengan opahnya di telefon. Usai bicara, saya bertanya, “mana kasut ibu, kak?”

Hehe...barangkali kasut jenama buaya saya itu sedang tersusun cantik di laman kampus tempat saya berbual dengannya sebelum gerimis.

Kami kelucuan. Mujur ada kasut lain. Masalahnya kasut itu sudah lama tidak dipakai sebab tumitnya tinggi. Saya sedang melazimi diri untuk tidak lagi menyarung kasut bertumit tinggi demi kesihatan otot kaki yang sudah empat puluh tujuh tahun menampung berat badan saya.

Pakai jugalah. Dan si anak memimpin saya. Dia memegang tangan kiri, sementara tangan saya yang lagi satu memegang sekaki payung sebagai tongkat.

Pengajarannya ialah, sediakan sandal atau kasut lain saat mahu berpergian...dan pakai kasut tatkala memandu!

Macam biasa juga, tatkala mahu pulang, jalan macet. Kenderaan seperti seekor kura-kura yang cedera. Ada yang berani mati, mencelah tiba-tiba.

Jam delapan setengah malam baru tiba di rumah. Tidak mengapalah, yang penting anak itu tidak berasa terabai dan punya wang cukup buat biaya pengajian.

Sambil mendengar siaran IKIM, saya terkenang.

Ada seorang bapa yang sudah enam puluh. Empat puluh tahun daripada kehidupan enam puluhnya itu “dikorbankan” untuk anak-anak, sehingga dia tiada satu apa pun harta dunia yang boleh menjadi jaminan usia tua. Bapa ini cuma punya sebuah kereta kecil yang barangkali tiada nilai langsung dalam pasaran. Dia memberikan pendidikan terbaik, kereta, rumah, tanah, menguruskan majlis walimah, malahan segala-galanya buat anak-anak. Apakah dia tidak mahu melakukan sesuatu untuk dirinya sendiri? Orang banyak melihatnya dengan mata sebelah sebab dia tidak “kelihatan” mewah.

Melihatnya, sebagai manusia biasa, saya ada sedikit kesal. Kadangkala berubah menjadi secubit amarah.

Lalu saya bertanya, mengapa?

Ada pula seorang bapa yang tidak punya kepedulian. Jawatannya hebat, orang-orang di sisinya juga hebat-hebat. Orang banyak melihat dengan mata besar sebab “kehebatan”, malahan “kemewahannya”. Anaknya tujuh, barangkali sudah mahu masuk delapan; daripada beberapa ibu yang ditinggalkan saat jemu menjenguk. Anak-anaknya hanya dikenal melalui nama, tidak lebih daripada itu. Anak-anak daripada beberapa ibu ini tidak saling mengenal. Bapanya juga barangkali tidak ingat tarikh lahir si anak. Tidak arif juga apakah kegemaran-kegemaran anak, juga kebencian-kebencian mereka. Wangnya? Dihabiskan berjalan ke serata dunia mencari akar diri, sedangkan akar yang berada dekat, tidak dicari. Dihabiskan dengan membeli kereta besar jenama luar negara. Tapi katanya, “anakku, kalaulah kalian tahu ayah sangat mengasihimu...ayah sedang berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu, supaya tanah ini tetap milik Melayu!”

Percayakah? Barangkali benar, tetapi ada kalangan anaknya yang memaling muka dan senyum, sebab masih mahu bersantun.

Retorika palsu persis yang selalu dijerit-pekik dalam sebuah dewan perhimpunan saban tahun.

Saya ingin berkata, “tanah ini milik Allah!” Tapi saya tidak mampu ikut campur dalam kemelut rasa si anak. Dia entiti yang berbeza. Saya tidak memahami jerit sukma anak itu sebab saya anak yang punya bapa.

Melihat lelaki itu, sebagai manusia biasa, saya dijentik kesal. Kadangkala berubah menjadi secubit amarah.

Lalu saya kembali bertanya, mengapa?

Saya tidak punya jawapan. Seperti saya tidak boleh menjawab, mengapa saya meninggalkan kasut sepasang di lantai aspal.

Meskipun ditinggalkan dalam hujan, kebasahan dan tidak mungkin ketemu lagi, saya masih mengenal kasut sepasang itu. Masih tahu harganya, jenama, warna, reka bentuk, saiz dan dari kedai yang mana.

Apa pun, kita selalu bertanya, mengapa? Mengapa?

Itu menunjukkan kelemahan kita sebagai manusia. Nah, berhenti bertanya. Biarkan luncai terjun dengan labu-labunya. Luncai moden yang siap siaga dengan ilmu bernafas di dasar sungai.

Hanya Dia yang tahu. Dia yang memiliki jiwa!