Total Pageviews

Sunday, November 4, 2012

Syukur: Beza Yang Sama!



Hari itu ulang tahunnya yang ke-60. Hanya ada sepuluh belon, kek vanilla dan hadiah kecil yang murah. Hidangan makan malam hanya masak lemak ikan dengan belimbing buluh.

Dia kepenatan. Mesyuaratnya berlangsung sehingga Maghrib. Kemudian usai solat Isyak, pemandunya datang dan dari pejabat, dia bersama bos menuju ke pulau mutiara. Mereka melakukan penyelidikan jalan dan tahap keselamatan. Juga singgah di Tapah untuk mesyuarat sekali lagi. Tidak sempat balik ke rumah pun sebab keesokan hari dia perlu menguji pemandu baharu ke Pahang.

Kesesakan jalan raya ekoran musim hujan, melambatkan pergerakan. Memang dia sangat penat. Namun mengenangkan majlis kecil yang sentiasa kami sediakan menjelang tarikh ulang tahunnya, dia menghargai juga. Lari balik sekejap mengharungi kesesakan dua jam setengah.

Enam puluh tahun. Kehidupan terlalu banyak telah ditinggalkan. Empat belas tahun perbezaan memang menyukarkan pada permulaan. Dia dari zaman piring hitam dan saya membesar di zaman kaset. Anak saya pula warga zaman CD meskipun masih sempat mengumpul koleksi kaset Backstreet Boys dan Simple Plan. Masih tahu juga kaitan sebatang pensel terhadap kelancaran kaset!

Kami mengumpul impian. Ketepikan semua keinginan dalam masa empat tahun lagi.

“Doakan sahaja Allah berikan kita sihat. Selepas anak-anak selesai pengajian, kita boleh pergi ke mana sahaja yang kita mahu,” dia selalu mengingatkan isterinya yang lupa.

Dia watak yang lucu dan penuh kasih sayang. Kreatif juga. Penuh berazam. Sangat kuat bekerja.

Seperti manusia lain, dia punya kekurangan. Saya pun. Tetapi menerima kekurangan itu lebih penting daripada menerima kelebihan pasangan.

Kita tidak akan bahagia jika orang di sekeliling kita tidak bahagia. Indikator kebahagiaan kita ada pada orang yang paling rapat dengan kita.

Allah mencipta lelaki dan perempuan dengan sepasang anggota, contohnya sepasang mata, sepasang telinga, kaki dan tangan. Namun Allah menciptakan hanya satu hati. Apabila kita bertemu dengan jodoh kita, satu hati akan menjadi dua. Sepasang!

Allah mencipta kasih sayang, mencipta persamaan dan perbezaan. Persamaan akan mewujudkan chemistry. Perbezaan pula ialah untuk menutup kekurangan pasangan. Perempuan biasanya lebih emosional berbanding lelaki yang lebih rasional. Emosional bukan satu kekurangan. Sembilan emosi perempuan akan melengkapkan satu emosi lelaki. Sementara sembilan akal lelaki akan melengkapkan kekurangan satu akal perempuan.

Kita jarang mensyukuri kelebihan, sebaliknya selalu mengeluh akan kekurangan. Kita mengeluh mata kita yang rabun sebelah atau sebelah kaki kita yang pincang, tetapi kita lupa mensyukuri sebelah mata kita yang terang atau kaki kita yang elok.

Saya merungut dengan kebiasaannya yang selalu lupa menolak semula kerusi meja makan selepas makan malam, tetapi saya lupa sepanjang saya tidak sihat, dalam sibuknya,dia tetap menyediakan minuman lemon dan teh hijau setiap pagi dan malam, memandikan saya dan melayani tabiat saya yang cepat jemu.

Begitu juga kita dengan ibu bapa kita. Kita selalu tidak puas hati dengan sikap “ratu leter” dan “maharaja garang” sepanjang kedewasaan kita. Tetapi kita lupa sang ratu dan maharaja itulah yang sanggup berjaga malam sepanjang hidup mereka, bermunajat kepada Allah untuk kesejahteraan kita! Mereka jugalah yang selalu mendahulukan kesukaan-kesukaan kita daripada kesukaan-kesukaan mereka. Mereka membelikan telefon bimbit jenama terbaharu untuk kita, sebaliknya sentiasa berpuas hati biar pun sekadar menjadi pengguna gajet terpakai anak-anak!

Wahai isteri, suami dan anak. Bersyukurlah kita!

No comments: