Total Pageviews

Wednesday, November 21, 2012

Dalam Hati Ada Pelangi



(Inilah hasilnya)

Pagi itu bersarapan di warung roti canai hadapan kem tentera. Ada ramai muka “terbakar matahari” dan rambut pendek macam dia juga.

Dengan bengkung yang melilit di pinggangnya, dia habiskan juga roti canai sekeping. Saya makan roti canai telor. Entah apa mimpi, pagi ini selera saya ada pula. Hati macam ada pelangi. Satu minggu tidak jumpa dia. Gembira sangat, saya makan banyak.

Dia ponteng sesi fisio dengan doktor.

“Kenapa ponteng?” tanya saya.

Dalam sengih dia menjawab, “rindu!”.

Cinta orang tua-tua...

“Rimas,” dia merungut, merujuk kepada bengkung dengan tali yang bersilang-silang. Cuaca kita panas lembab. Rimas sebab berpeluh.

“Maka, itulah rasanya perempuan yang berpantang. Empat puluh empat hari berbengkung. Panas berganda sebab minuman dan makanan berherba, tahu?” saya tunjuk muka berlagak.

Walhal, saya berbengkung tidak sampai dua puluh hari pun terutama waktu bersalin anak bongsu. Dalam pantang, saya mendukung anak sulung ke sana sini menguruskan kehidupan. Tapi dia tidak tahu saya kelentong sebab masa itu dia tidak muncul lagi dalam hidup saya.

Selepas minum, kami ke ladang herba.

“Eh, ada khinzir!” kami mengintai seekor khinzir yang diletakkan dalam kandang. Khinzir hitam itu sedang makan dengan muncung panjang. Di belakang kandang si khinzir, ada anjing yang peramah. Bising saja, semua mahu ditegur!

Berbual-bual dengan pemilik ladang, mereka mengimbau zaman persekolahan di sebuah daerah yang sama. Beza empat tahun sahaja. Kalau dia di tingkatan satu, pemilik ladang itu berada di tingkatan empat.

Ada pokok “Miang Kambing” atau nama saintifiknya Shorthorned Epimedium. Khasiatnya untuk buah pinggang, kaki tangan kebas, rhematisme, kencing malam dan penambahan sperma.

“Asalkan miang saja, kambing yang dapat nama...” saya rasa lucu tetapi kasihankan nasib kambing yang tidak bersalah! Miang sangatkah binatang bertanduk dan berbau hamis itu?

Membeli benih mahkota dewa, daun belalai gajah, teh uncang belalai gajah campur pecah beling, cukuplah dahulu untuk waktu ini. Singgah di nurseri membeli pasu dan tanah.

Di halaman depan, saya melihat bakat seorang bakal pekebun.

“Tahu apa silap cikgu itu tadi?” katanya merujuk kepada pemilik ladang herba sambil tangannya pantas menuang tanah berwarna merah dan hitam.

Dalam otak saya sudah dapat menjawab.

“Stigma orang Melayu dengan anjing dan khinzir, berbeza. Orang Melayu masih tidak apa dengan anjing sebab selalu nampak. Tapi khinzir lain. Untuk berbisnes dengan Melayu, sepatutnya cikgu itu tidak letakkan kandang khinzir di hadapan ladang. Faham maksud abang?”

Saya faham.

Waktu saya pergi beberapa hari lepas, saya tidak perasan ada makhluk hodoh itu di situ. Tapi makhluk itu tidak bersalah. Bukan dia yang minta dilahirkan sebagai khinzir, bukan? Kalau dia boleh minta, barangkali dimintanya untuk jadi kuda terbang yang kacak atau kucing parsi yang bermuka sombong itu.

Untuk hidangan tengah hari, saya cuba tumiskan daun belalai gajah dengan minyak bunga matahari, bawang putih dan bawang merah. Bagus juga rasanya. Tidaklah enak tetapi masih boleh ditelan.

Inilah rahsia nenek moyang kita. Mereka kekal sihat, tiada penyakit yang aneh-aneh.

Kita pula, setiap hari makan ayam yang disuntik. Sayur yang sudah sebati dengan racun. Makanan yang penuh bahan pengawet.

Sekarang saya lebih selektif dan berkabilan. Beli makanan pun lihat dulu labelnya. Harap-harap pengeluar produk tidak menipu.

Ayuh, kita jadi haiwan maun. Si pemakan daun!

No comments: