Total Pageviews

Friday, November 30, 2012

Kongsi Kongsi



Pasangan tua itu berjalan perlahan-lahan. Sebentar, si suami menjadi tongkat kepada isterinya. Sebentar pula, si isteri menjadi tongkat buat suaminya.

Mereka menuju ke sebuah kafe. Memesan nasi sepinggan, sup semangkuk, dua gelas air, sebuah piring dan mangkuk kosong.

Di meja, si suami membahagikan nasi dan sup.

Suami mula menjamah makanan dan isterinya hanya senyum dan memerhati. Penuh sabar dan kasih sayang. Hebatnya, fikirku. Barangkali ini calon isteri syurga!

Aku yang memerhati pula jadi tidak sabar. Rasa simpati mula menyerang. Barangkali pasangan tua itu tidak punya wang yang cukup buat membeli makanan. Makanya, mereka berkongsi makanan. Sedangkan aku baru sahaja mendapat imbuhan daripada jualan buku terbaharu.

Aku bangun dan menghampiri mereka.

“Pak cik dan mak cik. Bolehkah saya memesan satu lagi hidangan untuk kalian? Saya yang belanja...” kataku perlahan.

Mereka senyum. Menolak pelawaanku dengan baik.

Aku bergerak semula ke meja. Tetapi mataku masih melihat mereka. Si suami menyambung semula acara makannya. Sudah tua, maka kunyahannya lambat. Si isteri masih begitu, masih menanti dengan senyum.

Kukira, sup dan nasinya yang berada di hadapannya sudah dingin. Aduh, aku tidak mampu menahan untuk bangun dan kembali menghampiri pasangan ini.

“Pak cik, mak cik. Maafkan saya. Saya kepingin bertanya, mengapa mak cik hanya tersenyum dan menunggu pak cik makan? Mengapa mak cik tidak ikut makan?”

Mak cik itu merenungku.

“Mak cik menunggu gigi yang dipakai pak cik,” jawabnya tenang.

Aku terpana. Mereka bukan sahaja berkongsi sup dan nasi, bahkan mereka juga berkongsi gigi palsu!

Wajar sekali wajah mereka mirip. Menurut orang tua-tua, suami isteri yang serasi dan suka berkongsi, lama kelamaan wajah mereka makin seiras.

......................................................................................

Demikian, perkongsian akan selalu membahagiakan. Allah memberikan udara, matahari dan bulan untuk dikongsi hamba-Nya.

Menjadi manusia yang enggan berkongsi, kita sudah berada dalam ketamakan yang nyata. Apa-apa pun tiada yang kekal, tiada juga yang milik kita.

Barangkali kita tidak sebagus mak cik itu yang sanggup berkongsi gigi palsu suaminya. Tetapi kita masih bisa berkongsi senyum dan tangis pada saat-saat yang diperlukan.

Thursday, November 29, 2012

Moksu Vs Mokyang



Suatu hari, saya menelefon adik ipar bongsu saya. Mereka di kampung menziarahi emak.

Saya sayangi dia sebab kesabarannya mentarbiayah suaminya, yakni adik saya.

“Mokyang sedang buat apa?”

“Sedang menaip puisi,” jawab saya.

Adik ipar saya itu orang Pasir Mas. Cantik, macam mas juga. Tapi bukan cantiknya itu yang penting. Dia sangat sabar. Hatinya selalu putih.

“Pandai mokyang buat benda-benda gitu. Moksu ni tak pandai. Macam mana boleh pandai tulis-tulis mace tu. Ada je idea,” katanya lagi dalam lenggok pantai timur.

Saya biarkan dulu dia bercakap. Laju, sebab mungkin dia bimbang kredit telefon saya habis.

Dia sedang mengembangkan aura negatif dalam dirinya.

Kemudian saya berkata, “moksu sedar tak yang moksu pembuat karipap paling sedap di Klebang Restu, barangkali seantero Ipoh?”

Dia ketawa. Hatinya kesukaan.

“Ya lah,” katanya, “moksu pentingkan kualiti, bukan kuantiti”.

Bagus! Dia sudah mula “terjaga”.

“Moksu tahu tak, kalau mokyang buat karipap, makhluk dari planet asing pun tak sudi makan? Kalau buat kek, akhirnya menjadi kek afrika dan enggan membesar?”

Saya merujuk kepada kek yang hangit dan bantat serta kuih karipap yang langsung tidak menjadi!

“Tapi mokyang pandai menulis...”

Saya menjawab lagi, “betul. Tapi tak pandai buat karipap, kan?”

Adik ipar saya itu kesukaan lagi. Aura positif sedang berkembang.

Saya sudahi perbualan dengan kata-kata bahawa Allah itu sangat adil. Allah memberikan keistimewaan terhadap semua insan dalam bentuk yang berbeda.

Saya pandai menulis sedikit-sedikit, tapi saya tak pandai buat karipap.

Moksu pandai buat karipap yang tersedap di Ipoh walaupun dakwanya dia kurang pandai menulis puisi.

Bukankah sudah seri?

Wednesday, November 28, 2012

Bunga Matahari Di Laman USIM



Ada sedikit kelelahan tetapi kegembiraan telah melemparkannya jauh.

Petang ke kampus Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Ceramah sulung selepas berehat setahun. Bolehkah? Saya menelefon mak, macam biasa.

“Mak yakin Yang boleh! Nanti mak doa,” kata mak.

Yakin! Dan bukan “rasa”.

Di mana mak belajar ilmu psikologi itu? Mak tidak pernah sekolah.

Subhanallah. Mak memang graduan universiti kehidupan.

Di kampus yang cantik itu, saya disambut Puan Nurhazrin dan pasukannya yang muda dan berenergi. Juga anak sulungnya yang bakal ke menengah tahun hadapan.

Anak-anak mahasiswa dalam usia 19 ke 22 tahun yang berada di dewan kuliah itu seperti anak-anak saya.

Waktu kritikal jam dua empat puluh ke jam empat empat puluh. Saya sudah sedia dengan cerita dan petikan animasi.

Tajuk yang diberi ialah “Bagaimana Mengekalkan Pemikiran Positif”. Saya tiada asas kaunseling. Ilmu agama jauh sekali. Tetapi pengalaman adalah kuliah kehidupan. Seperti mak, saya adalah graduan universiti kehidupan daripada fakulti yang sedikit berbeza.

Bercakap melalui pengalaman lebih bermakna dan mudah. Saya melakukan persediaan yang rapi meskipun mudah. Apa yang saya bicarakan akan ditanya Allah kelak.

Sikap positif itu seperti seketul batu yang kita lontar di muka air. Ia akan membentuk lingkaran yang semakin membesar, kemudian hilang. Maka, bajui dan bajainya selalu.

Usai majlis, perbualan di bankuet fakulti menyentuh soal-soal yang saya sebut di kuliah. Ya, tiada apa yang mahu saya sembunyikan. Sudah lama saya berdiam diri menekuni hidup. Kini tiba saat untuk berkongsi (seperti cerita nenek dan datuk yang berkongsi makanan dan gigi palsu!).

Macam biasa juga, saya menelefon suri teladan saya.

“Mak, sudah selesai. Terima kasih atas doa mak. Yang banyak jadikan mak sebagai contoh,” kata saya.

Saya tahu mak terharu. Saya ingin mak gembira. Saya tidak punya wang banyak untuk diberikan kepada mak. Saya hanya mahu mak tahu, saya adalah bayangan mak jika mak berpeluang bersekolah satu ketika dahulu.

Gembiranya menyebarkan kebaikan. Seperti mak yang sedang gembira mengemas rumah sebab ada keluarga empat beranak mahu tumpang bermalam di rumah warisan ayah yang seadanya itu.

Waktu saya lalu di kebun bunga matahari di tepi lebuh raya LEKAS, bunganya sudah kuncup sebab matahari sudah mahu kembali ke peraduan.

Tetapi bunga matahari di hati saya sedang mekar.

Kelopaknya yang kuning keemasan berkembangan dari dewan kuliah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan sehinggalah ke pintu pagar rumah saya di Seremban!

Saturday, November 24, 2012

Cekcokan Yang Tiada Hujung



Sastera tidak dapat menjejak kaki ke bulan!

Sastera hanya mampu memuja-muja bulan dari jauh!

Sastera tidak mampu membangunkan bangunan pencakar langit!

Sastera itu hanya retorika-retorika kosong yang seperti hantu, kakinya tidak menjejak bumi!

Lagi?

“Itu sebabnya bangunan kita bentuknya macam kotak!” kata seorang profesor dengan nada sinis.

“Sebab para pembangunnya tiada sastera!” tambah beliau.

Sedar atau tidak, sejak kecil kita memang sudah belajar sastera.

Mahu tidur, didodoikan emak. Sudah pandai duduk, ada nyanyinya juga sehinggakan badan kecil kita bergoyang-goyang mengikut lantunan suara emak (walaupun kata anak saya, mereka terpaksa pura-pura lena sebab suara ibu “terlebih sedap”).

Sekarang pun saya suka menyanyi, dengan lirik dan irama sendiri. Peduli apa dengan rapsodinya yang entah muncul dari Pluto atau daerah berdebu di Zuhrah!

Sebetulnya apa-apa pun ada timbal balik, ada simbiosisnya. Bukankah Allah itu menciptakan segalanya dengan seimbang?

Itu sebab peranan kita sebagai orang tua sangat penting. Beritahu anak, semua bidang itu penting. Baik sastera, sains atau apa-apa sahaja namanya. Jangan memandang rendah kepada mana-mana bidang. Pekakkan telinga dengan persepsi orang banyak, atau kalau juga mahu dengar, bukakan hanya satu telinga.

Jika banyak sangat mendengar yang negatif, maka kita cenderung ikut negatif. Kecualilah jika kita sudah begitu kebal untuk jadi seperti penapis air yang dapat membezakan klorin dan menerima molekul-molekul yang terjamin menyihatkan.

Nah, hidup bukan untuk memenuhi ruang dengan percekcokan yang tidak habis-habis!

Kadang-kadang menjadi orang sastera ini bagus juga. Melihat pokok yang sudah tidak berdaun itu, selalu mengingatkan bahawa akan tiba saatnya kita pun akan jadi persis demikian.

Maha Suci Dia yang menciptakan langit dan bumi dan segala isi di dalamnya!

Subhanallah!

Friday, November 23, 2012

Memberi Gembira



Alunan zikir berlagu jam enam pagi. Saya bangun dan matikan telefon bimbit.

Jam sembilan tepat, saya sudah ada di ruang parkir kampus. Sekumpulan monyet memenuhi persekitaran kolej kediaman. Comel bayi kecil melekap di perut ibu. Bapanya pula bergerak sendirian, dengan angkuh!

Memang si sulung tidak sihat. Matanya redup. Suara semacam orang berbisik.

Ke fakulti menanyakan surat pengecualian kreditnya yang asyik tertangguh. Rupa-rupanya di mana-mana pun, pengurusan orang kita memang bermasalah.

Saya menghantarnya ke pusat bahasa. Ada tutorial dua jam di sana. Dua jam menunggu, saya ke bank. Pun menunggu lama sebab mesinnya buat hal. Sempat juga ke stesen mengisi minyak. Juga membeli buah delima dan marsmallow macam-macam bentuk untuk kedua-dua puteri.

“Budak-budak memang suka makan ni, puan,” kata gadis penjual.

Budak-budak? Hehe...anak-anak saya sudah tua, nak!

Ke klinik selepas itu. Waktu nombor giliran tiba, saya menahan diri untuk bangun.

“Jangan ikut masuk. Dia sudah dewasa!” hati saya berbisik memujuk-mujuk.

Dia menunggu saya. Tapi saya memberi isyarat supaya dia sahaja yang masuk.

Memang, anak ini mengikut tabiat saya. Saya tidak suka minum ubat batuk. Tapi saya terlupa mahu pesan supaya dia minta ubat batuk pil.

“Kakak tak mahu minum ini,” katanya, memegang botol ubat. Saya diam sahaja. Tidak boleh marah sebab saya pun sama.

Kalau dahulu, ubat pil pun dia susah mahu telan. Setiap kali mahu bagi dia makan ubat, kena tumbuk dahulu, campurkan pil yang sudah jadi serbuk itu dengan sedikit air, baru boleh ditelan. Apabila dia ke sekolah asrama waktu tingkatan empat, saya sedikit susah hati. Ajaibnya, waktu pulang bercuti saya lihat dia sudah boleh telan pil!

“Kawan ejek kakak!” dia menjelaskan.

Saya membawanya mengambil kaca mata di kedai. Kena pimpin tangannya waktu berjalan. Dia kata lantai menari-nari. Baru pakai kaca mata memang begitu.

Gadis-gadis sekarang tidak suka memakai kaca mata secara normal sebab katanya, mengganggu tudung. Jadi, dia memakainya dengan bingkai di luar.

Waktu makan, dia beritahu saya, “nampaknya di meja hujung itu, macam pensyarah kakak masa di KUIS”. Wah, mentang-mentanglah mata sudah terang!

Jam empat dia ada ujian. Saya menunggu lagi dalam gerimis. Sepanjang hari, langit mendung.

Jam enam lima belas minit petang, dia masih mahu berbual. Walhal, katanya kepala sudah berat.

Saya mahu pulang. Saya pegang kepalanya dan membaca ummul-kitab. Saya jemput kuat dan tepuk di sofa kereta.

“Kakak ingat lagi dulu ibu selalu buat begitu,” dia ketawa.

Dulu-dulu, kalau dia sakit kepala, adiknya pun meniru juga. “Adik pun pening!”. Entah tahu atau tidak budak kecil dengan rasa “pening” itu, atau sekadar menyebut!

Saya akan menjampi di kepala, jika kepala yang sakit. Atau di perut jika dakwa mereka, perut yang sakit. Bacakan ummul-kitab, menjemput dan menepuk ke lantai atau apa sahaja objek yang ada berhampiran.

“Sudah OK. Ibu sudah buang sakit itu ke lantai!” kata saya.

Kedua-duanya pun sihat macam sedia kala. Psikologi dan mainannya!

Saya pesan. “Kakak kuat. Sikit saja sakit ini. Esok pagi kakak akan sembuh sepenuhnya dan malamnya boleh hadiri dinner,” kata saya mahu dia faham dengan Hukum Tarikan (Law of Attraction) yang saya bincangkan dengannya sepanjang petang. Dan dia pun melepaskan saya pulang.

Trafik perlahan. Semua orang macam tidak sabar mahu sampai ke rumah.

Sampai sahaja di pintu pagar, suami menelefon.

Usai solat Maghrib, saya dan si bongsu bergerak semula ke Pelabuhan Barat. Sampai di Tol Seafield, kami menunggu. 

Malam itu juga, kami memenuhi keinginan si bongsu yang mahu ke pantai. 

Jam satu pagi, kami masih di PD Waterfront dan menghirup segelas teh tarik.

Untuk hilangkan kantuk, sampai sahaja di lampu trafik yang ada kamera auto,  akan minta si anak, “cepat, buat peace! Nanti ada gambar adik tengah buat peace!”.

Kemudian, main teka-teki.

“Ikan apa yang paling bodoh?”

Ikan kembong. Sudah tahu kembong, masih duduk dalam air!

Ketawa jugalah walaupun mengantuk sungguh!

Tetapi memenuhi kegembiraan anak adalah satu kegembiraan juga namanya. Biar pun badan penat, semuanya menjadi hal-hal biasa, asalkan orang yang dikasihi berasa riang gembira. Esok-esok tatkala anak sudah setua kita, dan kita pun sudah jadi gemulah; ingatan-ingatan itu akan menjentik kenang. Mereka akan mengenang, langsung mudah-mudahan mengirimkan al-Fatehah buat kita.

Melihat laut dalam gelap malam, tidak nampak dengan jelas garisan memanjang di kejauhan. Tetapi buih ombak yang putih, cepat menangkap penglihatan.

Subhanallah. Alhamdulillah.

Monday, November 19, 2012

Pilihan Di Laut Usia



Menatap laut usia
akan lebih banyakkah mutiara
atau sisa logam berkarat
tenggelam di dasarnya yang dalam

Maka
pilihlah!

-18/11/2012-

Sunday, November 18, 2012

Di Gapura Baharu

Meja kerja saya (saya tak pandai bekerja dalam semak!)


Jam tiga pagi masih menongkat mata. Saya mensasarkan tiga hari untuk menulis lebih kurang tujuh puluh puisi kanak-kanak, sehari untuk mengedit dan sehari lagi untuk menaip.

Perlu kerja tanpa berhenti sebab selepas itu saya hanya ada beberapa hari untuk menyiapkan bahan ceramah di sebuah universiti.

Memang dada agak sakit menyucuk-nyucuk. Tetapi tabiat saya, kalau sudah berhenti, memang agak sukar mahu memulakan.

Sebelum ini saya pernah ditawarkan untuk penulisan buku kanak-kanak, tetapi tiada keberanian untuk mencuba. Bagi saya, menulis untuk kanak-kanak jauh lebih sukar daripada menulis untuk bacaan dewasa.

Dan rupa-rupanya sangkaan saya itu sangat benar!

Usai subuh, saya berdoa agar Allah sentiasa memberkati niat dan memberikan saya ilham yang dapat dimanfaatkan untuk generasi cucu cicit saya kelak.

“Mak, saya sedang menulis sesuatu yang baharu sekarang. Adik juga sedang melukis. Mak doakan kami diberikan ilham yang baik. Mudah-mudahan rezeki Allah dapat saya kongsi dengan mak, keluarga dan semuanya,” dalam penat, saya menelefon emak.

Lazimnya begitulah, kalau saya mahu mula menulis. Bukan apa, saya mahu selalu membajui niat. Memang habuan dalam bentuk kewangan itu sangat dibutuhkan, terutama dalam waktu-waktu saya perlu biaya yang banyak untuk pengajian anak-anak di kampus. Doa mak untuk semua tindakan, akan selalu memandu saya ke betul jalan.

“Mak bangun malam nanti, Insya-Allah,” kata mak di hujung talian. Allah selalu ada untuk saya. Mak juga!

Barangkali mak sedang sujud di sejadah tatkala saya terbongkok-bongkok menulis dalam syahdu hujan yang melebat di luar.

Saya telah tiba di gapura yang baharu. Di dalamnya ada mata dan hati comel sedang menunggu. Barangkali pemiliknya adalah cucu cicit saya kelak.

Dalam pedih nyali menatap gambar anak-anak kecil Palestin yang sedang galak dibom tentera Israel, saya terus menulis dan menulis.

Sesekali mata saya merayap ke luar. Ada seekor burung kecil yang sangat suka bermain di garaj rumah. Melompat-lompat atas kereta saya dan anak, kemudian ke pagar, mengembang-ngembangkan sayap comelnya dalam gerimis pagi. Dia mematuk-matuk roti putih yang saya letakkan di celahan pagar. Dia suka menjadikan gril pintu sebagai tandas! Letih mencuci setiap hari, saya gantungkan belon-belon berwarna terang. Belon-belon yang berayun ditiup pawana itu, menyusahkan hati si burung kecil untuk bertenggek dan melepas!

Di belakang, beberapa ekor sudah masuk ke dapur. Mencari sisa nasi di bakul sampah atau lebihan roti di lantai. Makhluk kecil itu berbual riang.

Saya biarkan.

Friday, November 16, 2012

Hanya Dia Yang Tahu

Anak bongsu saya bersama Pak Yusof Gajah dan Mama Gajah


Sedang berada di Hotel Seri Malaysia yang hanya beberapa pelaung dari pondok ibu bunga matahari. Malam ini sehingga Ahad siang, bermula bengkel penulisan dan illustrasi buku kanak-kanak anjuran Perbadanan Kota Buku, PEN dan Gajah-gajah Gallery.

Sejak beberapa hari, saya suami isteri berasa kurang enak badan. Mujur di bengkel ini, puteri bongsu turut menjadi peserta. Telah saya pesan, jika saya tumbang, dalam beg ada buku rawatan dengan GL-nya sekali.

Rasa loya menunda-nunda. Barangkali salah makan atau perubahan cuaca. Sejak hujung tahun 1433 Hijrah itu, cepat benar saya kelelahan. Tetapi cuba untuk tidak dipamerkan waktu jalan-jalan mencari keperluan puteri sulung. Dia tidak boleh bersusah hati kerana lemahnya saya. Perjuangannya yang kedua di medan ilmu baru bermula.

Ya, usia yang memanjat satu demi satu anak tangga akan terkesan juga dengan perubahan. Kehidupan, selagi diberi nyawa oleh Sang Pemiliknya; mesti diteruskan dengan seberapa daya.

Mudah-mudahan Allah mempermudah urusan perbengkelan. Moga Dia memberikan ilham, kekuatan, dan merestui niat saya untuk mula menulis dalam genre yang baharu.

Allah, hanya Dia yang tahu.

Wednesday, November 14, 2012

Dia Telah Datang



Sepanjang hari terakhir Tahun Hijrah itu saya ulang alik dari UKM ke Seremban. Memang letih tetapi ada keperluan yang perlu dilunaskan untuk puteri sulung saya.

Petang hari terakhir itu redup, seperti lazimnya cuaca November.

Malam menjelang tahun baharu 1434 Hijrah, saya banyak berfikir.

Apabila muncul tahun baharu, semakin sedikit baki umur kita. Mudah-mudahan semakin banyak pula amal baik kita.

Kesedihan-kesedihan yang lampau, mudah-mudahan akan bertukar dengan kegembiraan-kegembiraan pada masa akan datang.

Allah telah memilih kita untuk mencicip pengalaman yang pelbagai. Kita perlu mensyukuri peluang yang merupakan satu anugerah. Jadinya, tatkala orang bercakap tentang kesakitan, kita mudah memahami. Tatkala orang bercerita tentang kekecewaan dan patah hati, kita juga sudah sedia maklum.

Bukankah itu satu kelebihan yang Allah beri kepada kita? Subhanallah. Alhamdulillah.

Kehidupan kita bukan seperti muka bumi yang mendatar atau lebuh raya yang lurus semata-mata. Jika kita memandu di lebuh raya yang lurus total, kita akan cenderung untuk memandu laju melebihi had yang dibenarkan. Malahan ada kalanya, mata kita akan rasa mengantuk akibat jemu dengan “kelurusan” itu.

Begitulah dengan jalan kehidupan. Muka buminya ada yang mendatar, ada yang bercerun dan berbukit-bukau. Lebuh raya juga begitu. Ada yang dua lorong, ada yang tiga. Ada selekoh, ada pondok tol. Ada peringatan-peringatan termasuk gambar lembu di tepi-tepinya!

Agamalah penyelamat! Tiada yang lain.

Telah datang hijrahku,
membuka pintu...

Monday, November 12, 2012

Bulan Bergantungan Di Beranda Marry Lou



Bulan-bulan bergantungan. Mengepung beranda dan keliling rumah, menganjur hingga ke sisi jalan raya.

“Malam ini tidak perlu memasang lampu. Rumah emak sudah terang-benderang,” kata Lupert melaporkan kepada adiknya, Lisabeth.

Emak Lupert yang sudah tua, Marry Lou, sangat teruja. Memang Marry Lou sejak muda, sukakan kemeriahan. Sukakan terang-benderang. Sukakan lampu, matahari, bulan dan bintang.

Entah bagaimana pula, pagi itu rumah Marry Lou didatangi sekumpulan tiga puluh lima askar komando yang menjalani latihan berjalan kaki merentas tiga negeri.

“Itu,” tunjuk lelaki yang mengetuai rombongan, “di belakang rumah mak cik, kami lihat ada kandang kambing yang sudah tidak digunakan. Kalau mak cik benarkan, kami mahu cuci dan tumpang bermalam dua tiga hari”.

Mereka berbual-bual. Marry Lou yang peramah menyambut kehadiran anak-anak komando yang perkasa. Askar-askar itu menjerit tatkala Marry Lou menyebut nama anak lelaki bongsunya yang pernah berkhidmat sebagai komando.

“Hei kawan-kawan. Rupa-rupanya Tuhan sedang menunjuk jalan. Ini rumah Lambert. Ini emaknya Lambert. Aduh, kami sangat gembira, mak cik!”

Wajah mereka riang. Kawan mereka si Lambert sudah lama tidak berjumpa. Mereka menghubungi Lambert yang duduknya agak jauh. Lambert berjanji akan cuba pulang walaupun urusannya sangat banyak dan penting. Lambert, lelaki kacak itu sudah menjadi masyarakat bulan. Dia tidak lagi menjelajah belantara, atau menjahit daun-daun untuk menutup bahagian sulit tubuhnya. Dia juga tidak lagi makan monyet yang dibakar atau ular panggang. Lambert sudah berubah tiga ratus enam puluh darjah.

Malam itu, orang-orang bulan pun datang. Hujan juga tetapi Marry Lou berdoa kepada Tuhan agar dalam sejam dua itu, langit tidak tumpah airnya. Mujur Tuhan mendengar. Hujan berhenti. Ramai orang datang, duduk-duduk di kawasan yang telah dibersihkan sejak siang oleh orang yang entah datang dari mana. Hadirin tidak tahu bahawa di sebalik semak itu ada tiga puluh lima askar komando sedang bersembunyi dan melebarkan cuping.

“Hebatnya. Siapa melawan. Ada komando yang berkawal untuk kita,” kata Lupert bangga. Anak sulung Marry Lou itu bekas perisik tetapi sudah lama berhenti kerja dan sudah punya pekerjaan baharu.

Lambert yang balik bertemu kawan-kawannya, terpaksa balik juga lewat pagi. Dia bukan komando lagi dan mesti bekerja keras memandu lori untuk menanggung keluarganya.

Lisabeth tidak mampu pulang. Dia ada urusan. Duduknya juga jauh melangkaui beberapa negeri. Kakaknya, Lulu dan kawan-kawan yang dapat pulang melihat bulan bergantungan.

Perkampungan yang kecil itu, semakin sepi. Sejak tiga hari lalu sejak bulan-bulan bergantungan sekeliling beranda, orang-orang tidak mahu lalu. Askar komando itu pula hanya singgah dua tiga hari sebelum meneruskan perjalanan. Mereka tidak kisahkan cahaya bulan sebab mereka sudah biasa berjalan dalam kegelapan di hutan belantara.

“Orang-orang kampung takut mata mereka silau. Cahaya bulan sangat kuat,” gurau Marry Lou. Orang-orang yang memenuhi beranda ketawa lucu. Bagi mereka, wanita tua itu sangat berani. Ini perkampungan masyarakat matahari. Mereka pemuja tegar matahari. Mereka bencikan bulan, apa lagi bulan-bulan yang bergantungan. Hanya ada sebuah rumah, selain rumah Marry Lou dan anaknya, yang sukakan cahaya bulan.

Seminggu itu orang-orang matahari sangat marah dan kecewa. Namun mereka serba salah juga. Marry Lou dan anaknya Lupert sangat berjasa. Mereka ringan tulang. Mereka juga jenis yang berfikiran terbuka. Para penagih dadah atau budak-budak liar tidak pernah mereka hina. Oleh sebab itu rumah mereka tidak pernah kecurian apa-apa. Budak-budak itu dinasihati baik-baik dan budak-budak itu berjanji akan berubah perlahan-lahan. Tetapi masyarakat jugalah yang membawa mereka kembali ke dunia asal yang hitam. Masyarakat memandang sinis penuh benci, menutup peluang seolah-olah mereka tidak boleh menjejak syurga.

“Kita jangan begitu. Kita tidak tahu hidayah itu akan diberi kepada siapa,” nasihat Marry Lou kepada anak-anaknya.

Semalam Lisabeth menelefon ibunya.

“Bulan-bulan masih bergantungan tetapi hanya di keliling beranda. Emak masih tidak perlukan lampu,” beritahu Marry Lou.

“Orang-orang itu?” tanya Lisabeth.

“Sudah ada yang lalu di hadapan rumah kita. Tetapi tatkala melihat bulan yang bergantungan, mereka memaling wajah. Dan ada seorang yang terbabas sebab memaling wajah itu,” kata Marry Lou, ketawa seperti biasa. Dia seorang yang suka ketawa, itu sebabnya dia selalu sihat.

“Teh dan kopi yang biasa emak letakkan di meja simen depan, tidak terusik. Masyarakat matahari masih merajuk. Tetapi jangkaan emak tidak lama. Mereka mesti rindukan minuman dan makanan yang emak buat,” kata Mary Lou lagi.

“Tidak mengapa. Emak siapkan jawapan kalau mereka bertanya. Itu tanah ayah. Itu juga rumah ayah. Dunia ini Tuhan yang punya. Bukan kita punya, atau masyarakat matahari,” Lisabeth memberi sokongan. Dia semacam nampak emaknya mengangguk di sebelah sana.

Lisabeth tahu ayahnya, Socratus, yang telah lama meninggal dunia itu, juga merestui bulan-bulan yang bergantungan di keliling beranda rumahnya. Socratus dan Marry Lou yang berasal daripada kumpulan matahari, telah lama meninggalkan kumpulannya. Tetapi mereka tidak pernah membenci masyarakat matahari. Tiga menantu lelakinya juga masih berada dalam masyarakat itu.

Selagi bulan-bulan bergantungan di keliling beranda rumah, Marry Lou tidak perlu membayar bil elektrik yang tinggi.

Dia tidak perlukan lampu.

Saturday, November 10, 2012

Misteri Jiran Baharu Mio



Pagi minggu dan hujan sangat lebat.

Mio mengintai di luar. Tidak boleh membuka jendela dan pintu sejak sebulan ini, seperti rumah orang yang cemburu. Ada masalah pencemaran bau yang kadang-kadang sangat kronik. Setiap pagi jika tidak hujan, Mio akan keluar dengan penutup hidung dan mulut, membasuh seluruh halaman depan dengan pencuci lantai yang berbau haruman epal.

Jiran sebelah kanan akan kesukaan kalau dapat menghidu haruman epal yang mampu menenggelamkan bau busuk najis kucing dalam kandang, yang tidak dibersihkan tuannya, jiran baharu rumah sebelah kiri yang misteri! Jiran-jiran yang lain mahu menegur juga tetapi sudah sebulan ini, mereka tidak pernah tahu siapa sebenarnya yang menjadi jiran baharu, atau berapa orang! Jenuh menunggu untuk sekadar bersalaman dan memperkenalkan nama, tetapi gagal. Kalau mereka di luar, jiran baharu itu akan segera masuk. Suara jiran yang suka bercakap menjerit-jerit itu mereka dengar tapi orangnya entah bagaimana. Hanya dua orang budak sahaja yang jadi tukang buang sampah, menutup pintu pagar atau menyidai kain.

“Anak saya menyapa dan mengajak budak itu bermain, tapi katanya, ibu bapa melarang dia bergaul dengan sesiapa. Katanya lagi, keluarganya tidak suka campur dengan orang. Kemudian emaknya panggil. Saya dengar dia dimarahi dengan kuat dan menangis seperti kena pukul. Kasihan budak itu. Jadi, saya beri amaran kepada anak. Jangan menegur lagi, nanti budak itu dipukul emaknya,” jiran sebelah kanan mengadu.

Lewat petang waktu Mio pulang dari Melaka menghadiri konvensyen selama dua hari itu, anak-anak jiran sedang bermain sembunyi-sembunyi. Meriah sekali petang yang redup. Jiran Mio dan suaminya dari rumah sebelah kanan, jiran-jiran yang lain juga sedang duduk memerhati dengan gembira. Kasihan dua budak lelaki dan perempuan anak jiran baharu itu. Mereka mengintai-intai di sebalik kain yang disidai di halaman rumah. Mungkin hati mereka melonjak-lonjak mahu ikut bermain. Tapi apa daya!

Ini kawasan kejiranan yang baik, sebenarnya. Jiran-jiran sibuk dengan kerjaya atau menguruskan anak-anak. Jika berbual pun, hanya berkisar mengenai tanaman yang ditanam, info kesihatan atau hal anak-anak.

Itulah pertama kali dan mungkin yang terakhir, mereka bercakap mengenai keanehan jiran baharu. Itu pun bersebab. Tetamu yang datang merungut, tidak tahu orang ada atau tidak di rumah sebab jendela dan pintu bertutup. Kemudian, masuk sahaja ke halaman, mereka bising lagi sebab menghidu bau tidak enak. Ada jiran yang muntah-muntah, kereta berbau kalau lupa ditutup jendela, dan mahu buka pintu belakang pun, masih ada bau. Sebab kadang-kadang ibu kucing itu dilepaskan, kemudiannya “melepas” pula di halaman belakang, tempat jiran baharu memasak dengan kawah yang besar! Mio paling teruk sebab kandang kucing betul-betul di tepi pagar dan tepi kamar utama yang bilik air terbuka sedikit tingkapnya untuk sistem pengudaraan! Kalau pendingin hawa dibuka, bau terperangkap dan seluruh kamar...(bayangkan saja!).

Anak Mio sudah bising, “Papa, kita pindah semula ke Philahdelphia...”

Tapi jiran sebelah kanan merayu, “janganlah pindah...”

Oleh sebab itu, Mio akan terus bertahan duduk di “gua” seperti orang zaman batu.

Kadang-kadang Mio dan jiran di kanan terpaksa berkomunikasi dengan telefon bimbit meskipun rumah mereka hanya terpisah oleh dinding yang tidak setebal mana.

Misteri keanehan jiran baharu hanya akan terjawab oleh masa!

Thursday, November 8, 2012

Kini dan Dahulu Siri 2



Waktu saya sekolah rendah dahulu, guru Sains akan menerangkan spesis haiwan itu terdiri daripada haiwan maging, haiwan maun dan haiwan maserba.

Mudah untuk mengingat. Maging untuk haiwan yang makan daging, maun untuk haiwan yang makan daun dan maserba untuk haiwan yang makan serba-serbi (daging dan daun). Manusia tergolong dalam kumpulan yang makan serba-serbi itulah!

Siapa kata bahasa Melayu tidak sesuai untuk mengajar subjek Sains?

Sampai sekarang saya masih ingat. Cuma apabila saya terangkan kepada anak, dia tergelak.

"Lucu!" kata dia. Sabar sahajalah.

Sekarang sudah lain. Maging sudah menjadi karnivor, maun disebut herbivor dan maserba disebut omnivor.

Ganas saja bunyinya.

Sudah perangai kita mahu nampak global dan antarabangsa. Nampak intelek agaknya kalau menggunakan perkataan yang dipinjam.

Cuma ada bagusnya juga perubahan-perubahan itu, khususnya pada zaman otak budak-budak kuning berkarat dan sudah tidak suci lagi. Kalau belajar bahasa Melayu, ada ayat aktif dan pasif. Zaman saya menjadi murid, ayat aktif ialah ayat “bangun membuat” dan ayat pasif ialah ayat “bangun kena buat”.

Cuba ajar begitu kepada murid-murid zaman sekarang. Entah apa yang ada dalam kepala otak mereka yang sudah berdebu itu!

Saya sempat belajar Ilmu Alam, Tawarikh, Ilmu Hisab dan Tatanegara. Sekarang sudah jadi Geografi, Sejarah, Matematik dan Sivik.

Waktu di tadika pula, “cawan” masih dieja “chawan”. Apabila mengeja “sekolah”, e pepet itu akan dieja “e tanda”. Watak-watak dalam buku teks biasanya bernama Ali, Ramasamy, Ah Chong, Swee Lan, Kumari dan Salmah. Tiada nama-nama moden yang panjang berjela seperti Irfan Ikhwan Iskandar, Amira Aleya Mastura Salwani, Jacyln Victor atau Lee Chong Wei.

Seorang guru saya, Cikgu Tajuddin (almarhum) gemar memberi kami ujian ejaan. Dia akan meminta kami mengeja berdasarkan apa yang dibacanya daripada buku. Oleh itu, ada perkataan sama yang akan dieja dua kali. Kemudian dia akan meminta kami menukar buku dan menanda ejaan yang betul. Selepas itu semua murid diminta berdiri atas kerusi. Murid yang paling sedikit markahnya akan dipanggil namanya dan akan duduk dahulu. Yang paling akhir ialah murid yang semua ejaannya betul. Maka tersipu-sipulah saya berdiri sendirian. Semua murid diminta bertepuk tangan untuk saya. Kalaulah orang tidak tahu dan nampak saya berdiri sendirian, barangkali mereka fikir saya berbuat salah dan kena denda.

Untuk seorang budak kecil, tepukan tangan dan pujian guru adalah hadiah terbesar untuknya. Kegembiraan seorang budak memberikan pahala kepada guru. Allah telah menjanjikan begitu. Mudah-mudahan Allah meletakkan almarhum cikgu-cikgu saya dalam golongan orang-orang yang dicintai-Nya. Sepanjang kehidupan ini, saya tidak pernah lupa mendoakan mereka. Setahu saya, hanya ada seorang guru sekolah rendah saya yang masih ada. Cikgu Zainabun, guru bahasa Inggeris. Jenuh saya menghafal, “excuse me teacher, may I go out!” setiap kali mahu ke tandas waktu dia sedang mengajar! Kalau cakap Melayu dalam kelasnya, kita seolah-olah jadi halimunan!

Saya berazam mahu menziarahi beliau yang khabarnya sudah menjadi balu. Saya mahu ucapkan terima kasih. Ketegasannya “you must speak english in my class!” menyebabkan saya boleh “survive” apabila tiba-tiba menghadapi kejutan budaya di Methodist Girls School Ipoh pada tahun 1979 itu.

Seronok menjadi murid walaupun guru-guru saya dahulu majoritinya sangat garang. Mahu terkencing rasanya kalau melihat rotan yang dikepit di ketiak. Ibu bapa orang dahulu tidak marah kalau guru-guru rotan anak mereka. Sekali guru merotan, dua tiga kali pula bapa akan merotan kalau berani pulang mengadu-ngadu!

Sekarang? Malas mahu cerita!

Untuk rakan-rakan yang menjadi guru, teruskan usaha anda meskipun cabarannya berganda-ganda. Bukan sahaja daripada murid-murid, ibu bapa atau sistem yang menjadikan anda “tikus makmal”, bahkan juga cabaran meletakkan imej guru itu di tempat selayaknya. Abaikan persepsi bahawa “guru adalah pekerjaan paling senang” seperti yang disebut banyak orang. Tidak perlu bertegang urat dengan orang-orang sebegitu sebab mereka tidak akan mengerti!

Sekali menjadi “cikgu”, anda akan bergelar “cikgu” selamanya!

Wednesday, November 7, 2012

Nyanyi Sunyi



Seorang penulis dan kartunis telah dijemput pulang ke negeri abadi dalam lena tidurnya.

Seorang rakan penulis kemudiannya menulis di laman maya, welcome to the era when one by one of your friends starts to die of natural death.

Dalam usia yang hanya tiga tahun lagi mahu memanjat tangga lima puluh, ngeri kepada “rasa” mati itu selalu menjagakan lena. Kadang-kadang kita bangun terduduk apabila membayangkan gelap lubang sempit tempat kita bakal berada. Meraup wajah dan berdoa, “Ya Rabb, lapangkanlah pusara kami, pusara ibu bapa kami dan orang-orang kesayangan kami dengan cahaya-Mu!”

Kehidupan dan kemelutnya mendidik kita untuk membangunkan jiwa. Benarlah kata-kata, kita selamanya warga akhirat. Apa sahaja yang kita buru di dunia ini hanyalah suatu kesementaraan. Maka perbetulkanlah niat. Semoga niat yang putih akan membawa kita ke jalan yang putih jua.

Jika ada hitam dan kelabu kehidupan lalu, buangkan dia ke dalam tong sampah. Jangan dikitar semula!

Apa yang paling menakutkan saya selaku seorang anak?

Keberangkatan ayah telah menghilangkan separuh jiwa. Bertahun-tahun saya mencari kekuatan untuk mengingatkan diri bahawa ayah telah tiada. Selama dua belas tahun ini, saya tidak pernah lupa mendoakan ayah di dunia sana. Wajah ayah masih di mata. Batuk dan dehem, alunan lagu “Selimut Putih” dan takbirnya, masih di telinga saya. Paling saya ingat, riak wajah ayah dan sipu senyumnya tatkala saya menyebut, “terima kasih sebab garang mengajar saya mengaji. Kalau tidak, sampai tua saya tidak kenal Al-Quran!”

Garangnya ayah dengan rotan di sisi, telah membuka jalan dan peluang kepada saya menyedekahkan bacaan untuknya di dunia sana.

Emak bakal tujuh puluh lima tahun hadapan. Tubuh kecilnya masih kelihatan kuat. Membelek-belek kedut di muka emak, saya masih jelas mengingati wajah muda emak yang cantik bersih. Sehingga sudah setua ini pun, saya masih mengepung-ngepung emak daripada lelaki yang mahu menyuntingnya. Emak yang tidak mahu, bukan saya yang sengaja cari pasal!

Baru-baru ini, waktu mahu berangkat pulang, saya bergurau. “Mak jangan mati dulu. Tunggu Yang cukup duit dan kita pergi ke Mekah sama-sama...”

Emak ketawa macam biasa. “Oh, senanglah kalau kita boleh tulis takdir kita sendiri,” jawab emak.

Waktu saya membaca doa perjalanan, emak pun ikut mengangkat tangan. Melambai-lambainya semakin jauh dan jauh, saya tahu emak sunyi. Sunyi yang tidak seorang pun akan mengerti. Sunyi yang saya sedang dan akan menghadapi. Sunyi yang sakit!

Tetapi demikianlah hukum kehidupan. Anak yang wujud dalam rahim kita, yang makan apa yang kita makan, yang rasa apa yang kita rasa; kita lahirkan dan kita bersamanya sehingga ke suatu saat. Masa dan keadaan akan mengambil dia dari sisi kita. Dia akan punya cinta hati, berkahwin dan membina kehidupan yang lain.

Kita masih di situ. Menanti. Dan sunyi.

Syukurlah, sebab ada sedikit beza.

Anak-anak haiwan apabila sudah pergi, mereka tidak akan kembali ke sisi ibu bapa sepanjang hayat mereka. Paling kasihan, anak-anak penyu yang merangkak-rangkak macam ribuan ulat itu. Baru lahir, terpaksa berdikari di laut luas dan ganas. Itulah pertama dan terakhir kali, ibunya melihat. Kenal pun tidak, sebab banyak sangat!

Tetapi anak manusia, sekali-sekala mereka akan kembali berziarah. Tidak jauh seluang melaut. Apatah lagi kalau yang jenis gembala kerbau.

Kalau kita sudah berbantalkan tanah pun, setahun sekali mereka akan datang juga!

Monday, November 5, 2012

Kini dan Dahulu

(Syarikat Helang Cahaya Publishing yang menawarkan penerbitan, kursus penulisan dll)

Petang Sabtu, saya sampai ke perkarangan Stesen Bas Kuala Kangsar. Naik ke tingkat atas. Saya mengetuk pintu Syarikat Helang Cahaya Publishing yang menawarkan perkhidmatan penerbitan, kursus penulisan dan muzik tradisional.

Kak Noriah Shariff menyambut kedatangan kami. Dia sendirian. Saya menghulurkan manuskrip “Seputih Kapas” setebal 400 halaman.

“Kalau Yang menulis cerita tentang kanser, hantar terus kepada Sri Diah. Karangkraf sedang mencari cerita-cerita yang begitu,” kata wanita berusia enam puluh tahun tetapi masih aktif menguruskan syarikat. Dialah yang membawa saya masuk persatuan penulis (Lembaga Pembangun Sastera Perak) yang kegiatannya berpusat di Kuala Kangsar pada tahun 1984 semasa saya berada di tingkatan enam Clifford School. Waktu itu dia wartawan sambilan. Saya membantunya mendaki bukit teh untuk mencari berita. Sudah dua puluh delapan tahun kami saling mengenali. Kebetulan, anak kami hanya dua dan dua-duanya perempuan. Dua-dua juga sebaya. Ertinya anak sulung saya sama usia dengan puteri sulung Kak Noriah, begitu juga dengan yang bongsu!

Dia sibuk. Saya memahami itu. Langsung saya meminta diri dan bergerak pulang ke kampung.

Emak terperanjat, “kenapa tidak beritahu. Mak hanya masak sayur”.

Tidak mengapa. Saya kurang sihat, bermakna kurang selera. Musim hujan dan panas yang seperti acara lari berganti-ganti, menyebabkan saya selesema dan batuk. Makan apa pun, terasa tawar “hebio”, kata orang Perak.

Isnin saya mahu pulang tetapi selesema dan batuk makin teruk. Ada SMS daripada ketua jabatan, “surat untuk memberikan ceramah di USIM sudah sampai,” katanya. Hati berdoa, janganlah sampai melarat batuk saya ini, bimbang jadi seperti waktu saya memberikan ceramah penulisan dulu.

Emak dan kakak mahu saya ke klinik. Makan ubat batuk yang manis itu? Tidak!

Dalam pening-pening, saya ikut emak ke pasar. Saya beli limau nipis dan kicap, juga penutup mulut dan hidung serta gula-gula ubat batuk.

Sementara menunggu emak menjelajah dari pasar ke kedai, saya mengambil gambar pekan Lenggong. Zaman kecil, kami selalu menyebut daerah kecil prasejarah ini sebagai "The City of Land Gone" atau kadang-kadang kami upgrade untuk kedengaran internasional dan epik menjadi "The Kingdom of Land Gone".

Masuk ke kedai mencari sapu tangan, pekedai Cina itu masih mengenali saya dan menyapa, “long time no see, cikgu! Same as before, no change!” katanya. Saya pun membalas, “bos pun sama, you look young. Kedai pun sudah cantik,” dan saya dapat diskaun lima puluh peratus untuk sepuluh helai sapu tangan!

Asalnya hanya mahu membeli lima helai. Kena puji, saya tambah lagi lima helai. Pekedai itu pula menurunkan harga lima puluh peratus sebab saya kata dia muda. Macam sistem barter pula! Hahaha...

(Dewan Merdeka di tengah pekan)

(Pasar awam: pusat kegiatan ekonomi)

Saya teringat Prakash, pekedai runcit yang membelikan tanaman herba daun belalai gajah, dan memberikannya secara percuma kepada saya. Saya masuk ke kedainya yang berselerak dan sempit.

“Thank you Mr. Prakash, for your sabah snake grass. God bless you!” Dia tersengih. Bangga!

Di dapur, saya perah limau nipis dan bubuh kicap Tamin. Saya minum dua sudu. Mudah-mudahan batuk saya menyusut.

(Untuk mereka yang takut minum ubat batuk!)

Sambil masak, emak bercerita tentang beza rasa menjadi ibu dan nenek, beza menangani anak dan cucu.

“Dulu-dulu, orang tua selalu kata. Nanti awak akan rasa beza apabila awak sudah bercucu. Kalau mahu minta lauk kenduri untuk anak, awak masih ada rasa malu. Tapi awak sanggup minta demi cucu!”

Emak bercerita tentang kisah benar seorang nenek yang pergi kenduri dan teringatkan cucunya yang menunggu di rumah. Dia teringin membawa balik ketulan ais untuk cucunya. Oleh sebab itu, disimpulkan ketulan ais di hujung selendang. Sampai sahaja ke rumah, didapati tiada lagi ketulan ais dalam simpulan selendang. Nenek itu berasa pelik, “tadi ada. Ke mana pula ketulan ais itu tercicir?”. Dia tidak tahu bahawa ketulan ais itu bukan macam kuih karipap, yang tidak mencair!

Sampai begitu sekali kecintaan seorang nenek terhadap cucu!

Itulah cerita orang zaman dahulu sewaktu rumah masih tiada bekalan elektrik dan peti ais. Waktu itu ais dibeli di kedai runcit. Ketulan ais diletakkan dalam peti yang besar dan ditutup dengan habuk kayu untuk mengelakkan ais daripada cepat mencair. Ketulan itu akan digergaji mengikut harga, sama ada lima sen, sepuluh sen atau dua puluh sen.

Saya sempat melalui zaman itu.

Zaman yang kurang segala tetapi udaranya nyaman.

Orang jahat ada tetapi tidak banyak.

Tiada serbuk cuci Boom, pelembut Downy atau pemutih Vanish.

(Sabun cap Kapak! Jimat!)

Yang ada hanyalah sabun cap kapak berwarna hijau atau warna kuning panjang yang perlu dikerat sebelum menyental kain di tepian sungai!

Thursday, November 1, 2012

Taubi



Namanya Muhammad Taubi. Nama itu diberikan oleh almarhum datuk saudara sebelah gemulah ayahnya. Tok Ayah Haji Hassan, orang tua bertubuh rendah, berkulit gelap dan berjalan rengkat sebelah. Otot di buku lalinya seakan tertonjol keluar tatkala dia berjalan. Menurut cerita, dia asalnya sempurna. Saat bermain-main, abangnya terpijak kaki adik yang masih bayi. Orang tua itu alim. Guru mengaji Quran.

Usia Taubi barangkali sekitar tiga puluh delapan. Kulitnya asal cerah, paling cerah antara semua enam beradik. Badan tegap, ototnya kuat sesuai dengan pekerjaannya dahulu, komando yang lasak. Ada lekuk di dagunya seperti lesung pipit. Dia tergolong lelaki berparas baik.

Zaman kanak-kanak, namanya selalu diejek. Waktu itu kawan-kawan punya nama yang enak. Faizal, Fauzi, Firdaus. Abangnya yang sulung Muhammad Ghazali. Kemudian yang tua sekitar tiga tahun daripadanya Muhammad Amin. Sedap dipanggil.

Dia pula, Taubi!

Ibu bapa zaman dahulu, selalu merujuk kepada orang tua yang alim untuk memberikan nama (kecuali nama saya, ada kekecualian). Ibu bapa Taubi pun sama.

“Kenapa Taubi? Letaklah nama yang sedap sedikit,” komen adik beradik yang berangan-angan mahu memberikan nama kepada si bayi.

Kemudian, barulah semuanya tahu. Taubi itu sejenis pohon di jannah. Mengertilah juga mengapa Islam amat menitikberatkan nama dan pengertiannya. Harapan ibu bapa Taubi, biarlah anaknya bernama baik supaya akhirnya si pemilik nama akan menjadi manusia baik.

Indahnya Islam. Sehingga untuk memberi nama pun, umatnya kena memilih yang baik-baik.

Dalam usia yang belum mencapai empat puluh, Taubi telah meninggalkan masa lalu yang kelabu. Dia mahu melihat pohon taubi di jannah. Dia juga mahu membawa semua ahli keluarganya menikmati indah pohon taubi di taman jannah.

Siapa ada di sebalik Taubi? Ibunya. Gemulah ayah. Isterinya. Saudara-saudaranya.

Taubi selalu ada dalam cerpen-cerpen saya sebab namanya unik. Apabila mula menulis manuskrip novel, nama itu juga berwatak bulat dan putih. Sehinggakan ada yang bertanya, Taubi itu siapa?

Bekas mata air? Teman sekolah? Teman kuliah?

Entahlah. Tapi saya menyintai Taubi.

Suami saya yang mukanya macam orang Cina itu tidak cemburu walaupun saya cinta lelaki lain.

Saya sayang dia macam saya sayangkan abangnya, walaupun tiga puluh delapan tahun dahulu saya tidak puas hati.

Kalau dia dan abangnya tidak lahir, tentu saya sudah bergelar anak bongsu!

Hehe...

Riang-riang Yang Riang



Perjalanan ke HUKM dengan komuter, sendirian. Di pertengahan jalan, rasa loya. Barangkali kesan membaca dalam tren. Ada orang tidak boleh membaca waktu kenderaan sedang bergerak. Mungkin sudah berjangkit.

Tren berhenti agak lama juga di separuh jalan. Nampak dua ekor gagak sedang melompat-lompat di landasan yang berbatu kerikil. Mematuk-matuk, kemudian mencangak-cangak awas, saling menyuapi! Laki bini agaknya.

Pemandu teksi, lelaki Cina pertengahan umur, mengeluh tentang panasnya cuaca dan hujan yang tiba-tiba.

"Semua tempat begitu," kata saya sambil kami menampar-nampar nyamuk yang licik menyelinap ke dalam teksi waktu pemandunya membuka sedikit tingkap ketika menunggu penumpang.

Selesai mengambil nombor, terus turun ke kafe. Ada guru muda duduk di hadapan meja. Dari Bentong, Pahang menaiki bas seawal jam tujuh pagi. Rupa-rupanya jam dua petang baru gilirannya mengambil darah. Tidak saya tanya sakitnya apa sebab nampak sihat sejahtera. Baru setahun berkahwin dan suaminya guru di Jempol, lulusan J-Kof IPG Kampus Raja Melewar!

Ada seorang anak kecil juga, duduk di seberang meja, barangkali dalam usia delapan atau sembilan tahun. Perempuan. Dia bertopi. Namun jelas, kepalanya botak. Juga memakai penutup mulut dan hidung. Mungkin dia menjalani kimoterapi di sini. Saya mendengar dia riang menyanyi! Telinga saya tidak dapat mengesan lagu apa yang dinyanyi, tetapi saya kagum sekali. Mudahnya anak kecil menangani kesengsaraan! Ajaibnya kuasa-Mu, Ya Rabb!

Jam 11.45 pagi, saya masuk ke Bilik 2. Tiada lagi doktor dari Iran, tetapi seorang doktor muda, perempuan Melayu. Sesi bertanya-tanya, sesi mengulang-ulang jawab. Saya sebut apa yang profesor di Klinik Surgeri cadangkan. Buat MRI. Mula-mula doktor sudah mahu menempah tarikh, tetapi kemudian tidak jadi.

“Sekejap lagi ada apoinmen dengan klinik audio, kan? Saya akan minta mereka buat ujian audio yang lebih terperinci. Saya akan tambah ubat. Lagi dua bulan, kita tengok bagaimana...”

Saya ke klinik audio. Dibawa masuk ke bilik yang pengap bunyi dan diminta baring. Dicuci hujung dahi dan belakang telinga. Dilekapkan entah apa, macam benda bulat-bulat, tapi rasa dingin.

“Kalau boleh, puan relaks, kosongkan fikiran. Lebih tepat bacaan kalau puan tidur,” dan orang itu meletakkan alat di kedua-dua telinga. Mula-mula di telinga kanan, mengerutup bunyinya. Kemudian di kiri pula. Sesi audio ini lebih kurang 15-20 minit. Mana boleh tidur dengan bunyi macam orang makan mamee yang rangup! Saya kawal minda dengan menyebut nama-Nya.

Selepas itu, saya ke bilik Cik Lim Bee Ying. Dia mencadangkan saya mendengar muzik jika ada gangguan ketika mahu tidur. Kawal kesedihan dan kemarahan.

Saya pernah gunakan kaedah mendengar itu tetapi bukan muzik. Saya memasang radio IKIM sehingga pagi. Dengar orang mengaji, dapat juga pahala!

Dalam teksi sekali lagi. Kali ini pemandunya pak cik Melayu, berkopiah. Dia bercerita tentang tabiat pelupa yang mula datang kepadanya sehingga dimarahi penumpang pagi tadi.

"Mudah-mudahan janganlah saya jadi lupa pada kematian. Takut saya kalau Allah ambil nyawa kita dalam keadaan lupa," dia mentazkirah saya dan dirinya juga. Kami bicara tentang politik semasa.

Waktu menunggu tren untuk balik di stesen BTS, langit meraung. Sampai di Serdang, dia menangis pula. Lebat. Di cermin, tempias hujan seperti beribu ekor berudu yang kepalanya berebut-rebut meluru ke bawah, menyerong ke arah belakang selaras angin yang terhasil daripada kelajuan gerabak.

Gerabak kosong, tidak macam selalu. Budak-budak sekolah ramai ponteng agaknya, menjelang cuti semester mereka yang panjang.

Di Seremban, cuaca tenang tapi buminya basah. Mengelak-elak lopak, saya menuju ke kereta.

Saya sangat riang hari ini seperti seekor cicada yang berbunyi. Dapat pengalaman baharu dan cerita-cerita baharu.Perjalanan gembira awal pagi, Allah memberikan laluan mudah sehingga waktu kembali. Terima kasih Allah!

Hingyaku



"Ibu sedang buat apa?" tanya anak bunga matahari yang kerjanya hanya berlegar dalam rumah kecil sempit ini. Anak bunga matahari yang tidak mahu bekerja dan terseret dalam dunia sastera ibunya! Sepanjang tamat pengajian dan sementara menunggu konvo, dia mengekori saya ke acara-acara sastera!

"Menulis cerpen," kata saya terus mengetuk huruf-huruf di dada komputer tanpa memandangnya.

"Tajuk apa?" Eh, sibuk pula dia. Selalunya tidak rajin dia membaca karya saya. Yang menang itu pun, setelah menang, baru dia membaca.

"Hingyaku!" kata saya tersengih.

Saya tersengih itu sebab tahu dia tidak akan jumpa di kamus mana pun, hatta kamus bahasa Jepun yang ada beberapa naskah dalam biliknya.

Ya, saya sedang menulis cerita yang tajuknya memang begitu.

Hingyaku!