Total Pageviews

Monday, October 29, 2012

Panasnya Hujan!



Khamis itu kami bergerak awal pagi ke Seri Iskandar. Tauke bengkel yang membaiki kereta anak sudah menelefon, “siap! Sudah beres!”

Pergi tiada masalah. Lebuh raya masih cantik alirannya.

Waktu pulang, saya memandu di hadapan, suami mengekori saya. Saya menelefonnya, “Di hadapan jalan sudah banjir!”

“Hah! Tidak hujan bagaimana boleh banjir!”

Saya tergelak. Kereta yang sudah membanjiri jalan raya, bukannya air mata langit atau limpahan amarah sungai!

Anak yang bongsu itu sudah mengisi borang untuk menjadi ahli seumur hidup PEN. Makanya, dia kena dibiasa-biasakan bersastera! Jangan asyik membaca dan menulis karya bahasa Inggeris sahaja! Jati diri kena ada! Dan kalau boleh, saya mahu anak-anak mempunyai kemahiran berbahasa Al-Quran juga!

Teruk sekali jem. Rotinya sahaja yang tidak ada!

Zuhur bergerak dari Seri Iskandar dan jam sembilan malam baru kami tiba ke Seremban. Sepupu saya bergerak dari Kuala Lumpur jam delapan malam dan tiba ke Lenggong jam sembilan pagi esoknya!

Malam dalam kepenatan yang amat sangat, saya memasak rendang ayam. Esok Idul Adha yang mulia. Dan saya terus memendam kerinduan mahu menjadi tetamu-Nya!

Pagi Idul Adha, saya sibuk mencetak seratus lagi halaman manuskrip. Tidak sempat! Kami kena bergerak balik ke Perak. Aliran trafik tidak tersekat tetapi kereta sangat banyak di dada lebuh raya. Sampai di kampung, rumah emak tidak berorang. Semuanya sedang berada di rumah kakak sulung di Gerik. Persiapan kenduri anak perempuannya yang muda dua minggu daripada anak bongsu saya, dan bakal pengantin itu masih menuntut di UPSI dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak.

Petang itu juga kami ke Gerik. Mesti pergi walaupun letih sebab setiap kali telefon, emak akan berkata, "kesian kakak. Dia bekerja tidak berhenti".

Hujan sangat lebat. Dalam lebat hujan itu, seorang pensyarah matrix menelefon, bertanyakan mengenai tajuk etiket dan protokol. Dia kena memberi ceramah kepada pelajar IPG Kampus Durian Daun.

“Etiket di pelbagai situasi juga boleh. Sebagai bakal guru, mereka perlu ada ilmu. Soal praktik atau tidak, itu cerita lain. Fahami juga beza antara etiket dan etika. Mungkin akan ditanya!” kata saya. Adik pensyarah yang baik itu sedang dalam misi menghabiskan ijazah sarjananya.

“Kena ada seni berjenaka juga. Laila boleh!” Saya memberikannya semangat. Sesiapa pun akan menjadi berkebolehan jika berani mencabar dan melatih diri.

Majlis perkahwinan anak saudara saya itu berlangsung pada hari raya kedua. Panas terik. Saya memberitahu kakak, kita perlu mengubah kebiasaan jika cuaca ekstrem seperti ini. Majlis kenduri boleh saja ditukar kepada waktu malam. Kasihan melihat tetamu.

Memang akan ada kekangan. Orang payah mahu datang pada waktu malam. Yang naik bas, perkhidmatan bas sudah tiada. Tetapi cuaca malam tidak hangat. Solat pun boleh dilakukan secara berjemaah tanpa banyak menyeka peluh. Bukankah itu lebih cantik dan berkat!

Tradisi masyarakat Melayu yang gemar memasang lagu sekuat-kuatnya itu saya kira mengganggu tetamu yang saling bertanya khabar. Biasanya tuan rumah tidak boleh berbuat apa-apa, sebab kalau ditegur, mungkin akan menyinggung perasaan orang yang dipertanggungjawab dalam soal “memeriahkan” majlis. Lucunya, anak saudara sulung saya yang lelaki dan bertugas di Kedah (kami memanggilnya "Yop Fauzi"), sempat melakukan “rampasan kuasa” dan memasang lagu nasyid dan ceramah UAI!

Entah mengapa, ketika melihat-lihat tetamu menjamu selera, otak saya berjalan jauh ke Myanmar!

Ya Tuhan, saya seperti sedang menyaksikan anak-anak Rohingya yang sedang kelaparan!

Mengambil buku kecil, saya mencatat sesuatu dengan tajuk “Rohingyaku”.

Pulang ke Seremban, saya mencari maklumat di internet.

Dan saya menangis!

Rohingya telah dan sedang dizalimi. Dan kita di sini masih leka berdangdut dan bergangnam style!

Saya terkenang lirik lagu "Selamat Malam Rohingya" oleh kumpulan Sahabat yang didendangkan ketika majlis Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan yang lalu.

“Jangan menangis sahabat, kini Tuhan mengujimu...”

No comments: