Total Pageviews

Wednesday, October 17, 2012

Mencabar Diri!



Usai solat subuh, kami berkereta bersaing-saing ke Seri Iskandar. Saya di depan, suami memandu di belakang. Dia bimbang sebab insomnia masih menemani saya hingga jam tiga setengah pagi.

Selepas segelas milo panas yang pekat, barulah saya dapat lena. Jam lima setengah, saya sudah bangun.

Maksudnya, hanya dua jam saya dapat melelapkan mata.

Sejak akhir-akhir ini memang begitu. Oleh sebab itu saya jarang bermimpi walaupun mimpi yang mini.

Melalui lebuh raya Guthrie, masuk ke laluan Kuala Selangor dan seterusnya, saya menikmati pemandangan indah lautan sawah yang menghijau anak padi. Cuaca cerah.

Rumah sewaan anak sudah kosong. Mak cik dan Pak cik sudah memindahkan barangan mereka ke rumah baharu yang agak jauh.

Selesai mengisi barangan, lukisan dan arca ke dalam dua kereta, kami ke bengkel di Air Tawar untuk meninjau kereta anak. Kasihan kereta comel itu, mukanya sudah habis, yang nampak hanyalah enjinnya. Seminggu lebih baru siap.

“Nanti kereta adik akan bertampung-tampung. Ada warna hitam, coklat dan warna asal. Macam itu...” Suami mengusik anak sambil menuding ke arah sebuah kancil yang bertampung-tampung.

Dan dia percaya.

Sepanjang jalan, dia asyik membayangkan keretanya yang akan nampak cacat bertampung-tampung itu!

Sudah lewat, dan dalam langit kelabu kami meninggalkan Seri Iskandar menuju ke kampung. Singgah sekejap sebab mahu mengambil mesin pencetak puteri sulung yang ditinggalkan di kampung.

Emak gembira dan kami makan dengan berselera walaupun hanya berlaukkan hidangan yang sangat ringkas. Ikan pekasam dan sambal belacan, dihidang dengan kasih sayang.

Menempuh malam gelap dan letih yang menyerang hendap, saya sekali lagi memandu di depan dan suami berada di belakang mengawasi saya yang alah dengan silau lampu kereta dan perjalanan malam. Beberapa kali singgah di hentian untuk menghalau kantuk. Si anak bercerita dengan saya kisah dua puluh empat jam yang dirasakan tidak mencukupi dalam minggu-minggu akhir dia di kampus menyelesaikan tugasan.

Jam tiga setengah pagi kami tiba di rumah.

Kawasan kejiranan sudah sunyi.

Pagi sebelum suami bergerak ke tempat kerja, sempat berbual tentang sesuatu.

“Kalau kita dihina, jangan sebut bahawa kita akan membuktikan kepada orang yang menghina kita, sebaliknya katakan bahawa dengan izin Allah, kita akan membuktikan kepada diri kita sendiri bahawa kita boleh mengatasi hinaan orang itu...” kata saya, teringatkan nasihat saya kepada anak sewaktu berkereta malam tadi.

“Jadi, selama ini abang salah ya?” tanya suami.

Katanya, dulu waktu muda-muda, dia menyukai seorang gadis dan menghantar rombongan merisik. Malangnya, bapa si gadis menyebut, “kalau pegawai besar yang datang merisik, aku akan terima. Kalau setakat kerja begitu, memang aku tak pandang. Lagipun bapanya yang kaya, bukan dia...” dia mengenang-ngenang episod yang pernah membuatnya “frust” menonggeng-nonggeng!

“Sedihnya. Kacak macam abang pun tak dipandangnya?” usik saya.

“Eh, pemuda yang akhirnya menjadi jodoh anaknya itu lagi kacak. Tapi, bapa gadis itu kena tipu sebab kerjanya...” dia ketawa dan menceritakan kepada saya pekerjaan pemuda yang berjaya merebut mata airnya.

“Oleh sebab itu, abang bekerja keras. Abang mahu buktikan kepada yang menghina itu...tapi Yang kata abang sudah silap. Kenapa ya?”

Sebab kalau kita mahu membuktikan kepada orang yang menghina kita, lama kelamaan kita akan merosakkan diri kita sendiri. Buktikan saja kepada diri kita bahawa hinaan orang itu salah sama sekali.

Saya pun pernah dihina kerana memilih menjadi guru di awal kerjaya. Yang menghina saya ialah seorang lelaki dan kekasihnya yang waktu itu menceburi bidang perniagaan sebelum Allah “mengambil” semuanya selepas itu. Tetapi Allah Maha Mengasihi, dengan gaji kecil seorang guru itulah saya berupaya membesarkan anak-anak yang ditinggalkan, juga mampu sedikit sebanyak membalas jasa kedua-dua orang tua dan adik beradik yang memerlukan walaupun jauh daripada kemewahan.

Begitu juga dengan anak yang bongsu itu. Dia dihina sebab memilih untuk ke sebuah universiti yang dianggap sampah walaupun kelulusannya baik. Memang secara peribadi, saya pun tidak begitu senang dengan polisi universiti yang “berniat baik” membuka peluang kepada anak bangsa, dengan kelulusan yang sangat minima. Akhirnya “niat baik” itu membentuk budaya kurang sihat. Budaya malas, kerja di akhir waktu, gemar bersuka ria, tiada daya juang untuk bersaing (yang sinonim pula dengan budaya negatif bangsa).

Namun, saya katakan kepada anak, negara kita tiada jurusan pengajian manga seperti di Universiti of Manga di Jepun. Jurusan yang mirip-mirip hanya ada di universiti yang dipilih anak. Setahu saya, itulah produk terbaik universiti tersebut sejak zaman saya menjadi mahasiswi lagi. Untuk masuk, dia perlu melalui proses temu duga. Jadi, jangan kecewa jika ada yang memandang dengan sebelah mata, apa lagi lelaki yang menghina itu langsung tidak layak bersuara terhadapnya! Orang sama yang pernah menghina saya dulu!

“Adik mesti membuktikan kepada diri bahawa adik boleh berjaya menjadi artis yang hebat. Lihat hasil kerja adik. Arca yang adik buat, memang nampak bagus sekali. Jika pengarca seperti Raja Shahriman menyukainya, adik sebenarnya sudah mula membuktikan sesuatu!”

Sebagai perempuan, dia memang melalui hari-hari sukar di bengkel “welding”. Sarung tangannya sampai berlubang, seluarnya juga. Mata sudah memerlukan kanta mata disebabkan cahaya percikan api, tangannya pernah terbakar sedikit.

Kami berbicara tentang artis-artis yang hebat di Malaysia. Meskipun saya “tangan bangku” tetapi saya mengetahui sedikit latar seni visual di Malaysia. Siapa nama artis dan genre yang dipilih. Sekurang-kurangnya saya tidak ketinggalan apabila anak dan suami membincangkan hal-hal berkaitan.

Membelek-belek arca beg tangan yang diperbuat daripada sudu dan besi itu, saya berseloroh, “walaupun unik, ibu tak larat membawa beg tangan ini untuk ke pasar raya!”

Ada lukisan dan arcanya yang masih disimpan sebagai koleksi jabatan. Pensyarah tidak membenarkan untuk dibawa balik.

Kaedahnya mudah sahaja.

Lemparan batu dan kayu akan melukakan kulit kita. Tetapi jangan sesekali membenarkan lontaran kata-kata hinaan itu melumatkan hati dan mematahkan keinginan menggapai impian.

Allah memberikan kita segala-galanya yang Dia berikan juga kepada orang lain meskipun dalam bentuk yang berbeza.

Jika orang lain itu mempunyai kemahiran berjual beli, kita diberikan bakat oleh Allah dalam bidang seni.

Allah mengasihi kita. Maka, kita perlu menghargai setiap pemberian-Nya.

Buktikan kepada diri kita, tiada yang mustahil dalam kehidupan ini.

Sentiasa melihat, ada matahari yang sedang menunggu untuk keluar dari peraduan dan tersenyum menyimbah cahayanya ke bumi!

No comments: