Total Pageviews

Saturday, October 6, 2012

Bertamu Ke Ladang Herba YPL Seremban






Cahaya matahari sudah menjalar ke tepi jendela.

Petang semalam sudah memaklumi Tuti mahu minta ditemani ke ladang herba Mister Khoo. Nampaknya ada sedikit masalah. Dia perlu memasak dahulu untuk teman-teman anaknya yang datang ke rumah.

“Tidak mengapa. Selesaikan dulu semua kerja. Kata suami, dekat saja. Nanti kalau sudah selesai kerja, kita pergi,” kata saya. Saya duduk di sofa mengadap komputer, berdepan dengan cabaran mahu mengembangkan cerita kepada dua puluh muka surat lebih kurang.

Usai solat zohor, saya, Tuti dan dua anak kecilnya menuju ke Ladang Herba Yik Pok Ling, Jalan Pantai, Batu 7, Seremban. Jalan kampung menuju Jelebu. Melalui ladang burung ostrich (burung unta) yang berleher dan berkaki panjang itu. Ladangnya dibuka dari jam tujuh pagi hingga jam tujuh malam.

Memang dekat. Barangkali sepuluh minit memandu dengan kelajuan biasa.

Tiada bas di sekitar tempat parkir, tidak seperti kebiasaan jika cuti hujung minggu.

“Itu Mister Khoo...” tunjuk seorang pemuda Cina. Saya menuju ke arah yang ditunjukkan. Lelaki Cina berusia lingkungan enam puluh enam tahun, ramah menyapa. Nampak lebih sihat untuk lelaki seusianya.

Hidup dikelilingi tanaman herba, sudah pasti dia sihat sejahtera.

“Uncle, saya mahu ambil gambar. Nanti mahu letakkan di blog. Saya pun sudah ikut blog uncle,” saya mohon izin.

Tiada masalah. Iklan percuma juga untuk ladang herbanya.

Tujuan saya cukup mudah untuk difahami. Jika ada yang berpenyakit kanser, buah pinggang, suhu badan panas, radang paru-paru, tulang patah atau masalah pundi kencing; mereka boleh sahaja mencari herba ini di Seremban.

Saya membeli sebekas daun belalai gajah dengan harga RM25, dua beg poli anak pokok dengan harga RM10 satu dan minyak herba segar yang dibuat daripada pati serai wangi. Satu beg poli anak pokok itu saya mahu berikan kepada Tuti.

“Ada lebih kurang 400 helai daun dalam bekas ini. Untuk tahap you, makan tiga puluh helai sehari. Buat jus pun boleh campur dengan epal hijau. Buat sayur pun boleh. Atau ulam...” bekas guru kepada MB Negeri Sembilan itu menerangkan.

Pun tiada masalah. Saya petik daun sireh yang subur memanjat pokok yang ditanam Tuti, dan saya letakkan sepuluh helai daun belalai gajah dan sejemput bijian habbatus sauda ke dalam daun sireh tersebut. Saya makan mentah-mentah. Lagi asli dan alami.

Banyak yang ditanya Tuti. Jiran saya itu peminat herba. Dia yang memberikan saya dua kuntum cekur, sekuntum saya makan sebagai ulam dan sekuntum saya tanam di belakang rumah. Ironinya, saya orang kampung tetapi itulah baru pertama kali saya melihat cekur.

Terkenang nyanyian untuk anak-anak saat mereka masih bayi.

“Cak cekur dang gamit, mintak cekur dapat kunyit...”.

Saya mengambil gambar bersama Mister Khoo. Mengambil juga gambar Tuti dengan anak gadis kecilnya, Hasya dan Sherry. Juga gambar pokok terung susu kambing yang berwarna kuning, pokok herba untuk kanser payudara (saya lupa namanya), anak-anak pokok belalai gajah yang bersusun kemas dalam beg poli, serta pokok mahkota dewa.

“Oh, suami saya suka sekali dengan buah mahkota dewa ini, uncle. Dia belikan saya minuman kopi mahkota dewa. Katanya herba ini berasal dari Indonesia. Betul?” tanya saya.

“Ya, dulu orang-orang istana sahaja yang menanam pokok ini. Pokok ajaib, menurut mereka. Apabila istana jatuh, barulah dibenarkan rakyat menanamnya,” terang Mister Khoo.

Tanaman khas untuk warga keraton rupa-rupanya.

Tidak lama kami di ladang Mister Khoo.

Bila-bila ada waktu, saya akan datang lagi bertamu.

Balik ke rumah, saya mengikut Tuti ke sebuah kedai borong untuk membeli plastik aiskrim. Kali ini Tuti membawa tiga anak gadisnya termasuk yang sulung. Era namanya.

Dan bagus juga “pengembaraan” kali ini. Saya tahu nama penuh jiran saya itu. Tuti Maini. Nama yang comel persis orangnya.

Saya juga sudah tahu tempat untuk membeli barang-barang keperluan harian dengan harga yang lebih murah. Barisan kedai yang memanjang berdepan dengan pasar raya Centre Point, dipenuhi peniaga-peniaga kecil dan pelanggan biasa yang membeli barang untuk jualan dan keperluan dapur.

Melewati jam lima, baru kami tiba semula ke rumah.

Hari yang penat tetapi menyeronokkan.

Petang itu, bau asap daripada bakaran daun-daun kering yang dibakar Era, jauh membawa kenangan saya ke waktu silam.

Rindunya kepada bau asap bakaran jerami selepas musim menuai.

Kerinduan yang hanya tinggal diam dalam kotak kenangan.

Jerami sudah tiada, sebab sawah di kampung saya juga sudah tiada.

Rindu yang merayap!

Alangkah!

5 comments:

CIKGU LILY said...

salam puan, maaf atas kesilpan di blog sy (si kelip-kelip). terima kasih krn betulkan. puan mesti dh lama dalam bidang penulisan. minta tnjuk ajar puan. sy budak baru belajar. jemput ke blog saya. suka kiranya kalau puan dapat komen gaya penulisan saya.

http://pikirmemikir.blogspot.com

Ibu Bunga Matahari said...

Haha....tidak mengapa. Saya pun "budak tua" baru belajar juga. Saya suka isi blog cikgu. Selalu kagum dengan orang yang boleh buat blog akademik, sebab saya tak mampu. Saya tergelak juga sebab yang deklamasi puisi itu gadis muda, bukan Ratna Laila yang sudah hampir jadi opah ini. Ada beberapa wakil negeri yang jadi johan dan naib johan mendeklamasikan sajak2 saya dari antologi Aksara Merdeka dan Jamung Merdeka. Mungkin cikgu boleh cari rakamannya di maya utk jadi contoh.

shamiza yusoff said...

aslmualaikum puan...boleh sy tahu alamat penuh taman herba ypl ni

Ibu Bunga Matahari (ratnalaila_shah@yahoo.com.my) said...

TAMAN HERBA YPL - PUSAT PERTANIAN PANTAI
Batu 7, Jalan Jelebu (on the way to Kuala Klawang town in Jelebu)
71770 Seremban. Negeri Sembilan

How to contact me

Hand phone : 012-6773693
Email : ssgfarm@gmail.com

Ibu Bunga Matahari (ratnalaila_shah@yahoo.com.my) said...

itu no telefon pemilik ladang herba. saya copy paste...