Total Pageviews

Wednesday, August 29, 2012

Hidup dan Nasi Ulam



Saya mendapat satu analogi baharu tentang kehidupan daripada seseorang yang saya menganggapnya sebagai anak.

Anak itu menulis kepada saya.

“Hidup ini macam nasi ulam. Memakannya sangat enak tetapi penyediaannya cukup rumit...”

Memang dia penggemar nasi ulam yang dibuat emak. Kalau dia datang bertamu, dia akan mengekori emak mencari empat puluh empat jenis daun segar di sekeliling rumah untuk dihiris halus sebagai campuran bahan nasi ulam.

Emak gemar menghidangkan anak cucunya dengan nasi ulam, barangkali untuk mengenang almarhum ayah yang gemarkan makanan itu.

Kadang-kadang saya kasihan juga melihat emak tekun menyediakan bahan. Kalau ada anak ini, dia gemar sekali membantu.

Idulfitri yang lalu, emak berkali-kali menjemput dia datang. Tujuannya supaya sekali lagi emak dapat menyediakan nasi ulam buatnya.

Ya...penyediaan untuk melangsungkan hidup itu memang rumit.

Seperti menyediakan nasi ulam yang enak dan berkhasiat.

Seperti juga kita membesar dan mendidik anak-anak.

Ada yang mati-matian tidak bersetuju dengan cara orang lain mendidik anak.

Kadang-kadang saya berasa mahu menegur orang-orang yang begitu celupar ini.

Anak-anak yang masih kecil memang tiada masalah. Kita dulu pun begitu. Tapi apabila anak-anak sudah dewasa, semua ibu bapa pasti akan diuji dengan karenah anak.

Ingat kita dulu baik sangat?

Jangan harap!

Sebab tidak tahan dengan karenah kitalah, ada ibu bapa yang diserang penyakit darah tinggi, malahan sekali gus mereka menjadi mahir berleter!

Kalau yang celupar itu punya anak-anak yang sudah dewasa tidak mengapa. Ini yang belum sampai delapan tahun bergelar ibu bapa, begitu lancang mengkritik. Masalahnya lagi, kritikan itu pula dibuat di belakang kita!

Menjadi lebih teruk lagi, kritikan itu hasil daripada kepercayaan terhadap hasutan mereka yang jenis tidak meneruskan tarbiah Ramadan yang mulia! Maknanya hanyalah khabar yang tidak berpijak di bumi nyata.

Ziarah lebaran bukan untuk bermaaf-maafan, sebaliknya membuka aib orang lain, mengadu domba dan membuat cerita.

Ramadan dan Syawal sewajarnya menjadikan jiwa kita terdidik.

Mengkritik biarlah berpada-pada. Benda yang sekecil biji saga diperbesar-besarkan sehingga menjadi sebuah Proton Saga!

Memang kita akui, banyak sekali kesilapan yang berlaku ketika proses pendidikan itu berjalan. Ada ibu atau bapa terpaksa membesar dan mendidik anak mereka bersendirian kerana kematian salah seorang pasangan. Sudah pasti produk yang terhasil daripada sebelah tangan tidak sesempurna produk daripada kedua-dua belah tangan.

Pun begitu, kita tidak sepatutnya menjadikan itu sebagai alasan.

Juga kadang-kadang, produk buatan kedua-dua tangan lebih teruk daripada yang dihasilkan dengan tangan sebelah!

Adalah lebih baik jika mereka yang baharu menjadi ibu dan bapa itu, melihat pendidikan anak itu daripada perspektif positif. Jika buruk jadikan teladan, jika baik jadi ikutan.

Menghentam secara semberono, tanpa menghalusi dan cuba memahami cara orang lain mendidik anak, bukanlah satu perkara terpuji sebab dibimbangi, suatu hari nanti anda pula akan diuji!

Anak-anak anda masih kecil. Tunggulah, masanya akan tiba juga.

Seperti kita saat remaja dahulu, mereka juga akan perlahan-lahan menjadi matang. Mana ada manusia yang tiba-tiba sahaja menjadi matang tanpa melalui proses kedewasaan.

Selalu saya mengingatkan untuk diri saya juga, sebuah kata-kata klise iaitu “hidup ini umpama roda”.

Hari ini tangan anda mungkin megah berada di atas stereng mobil mewah tetapi tidak mustahil esok lusa tangan yang sama mungkin berada di bawah tayar pula!

Jangan hanya memikirkan keenakan nasi ulam.

Fikirkan juga kesulitan penyediaan bahan-bahannya!

Tuesday, August 28, 2012

Emak dan Pesanan!



Ahad itu, anak bongsu akan pulang ke kampus. Cuti idulfitrinya sudah habis.

Waktu menunggu Zohor, saya mendengar emak berpesan-pesan kepada anak.

“Ingat...” katanya. “Jangan lupa bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung...”

Belajar ini, menurut emak; ibarat menebang hutan banat dengan parang bodoh (tumpul). Kita kena berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil. Bayangkan kalau kita mahu menebang rotan manau menggunakan parang bodoh, bukankah segenap kudrat kita kumpulkan demi memastikan rotan yang liat itu terputus?

“Jangan nampak orang berak besar, kita juga mahu berak besar!”

Er...tak ada bidalan lainkah emak?

Emak berpesan-pesan lagi. Kali ini menyangkut hal harta benda pula.

Kata emak, jangan kita tamakkan harta orang. Sebab kita tidak akan kekal dan harta itu juga tidak akan kekal. Kita ini menumpang sahaja sementara hidup. Emak siap memberikan contoh-contoh peristiwa yang berlaku di kampung untuk jadi teladan.

“Emak, saya langsung tak ada peluang bercakap sebab mak saja yang asyik bercakap dari tadi...” saya menyampuk mahu berlucu.

Emak ketawa menutup mulut.

“Tak apalah. Mana tahu ini mungkin kata-kata mak yang terakhir...”

Saya terkedu. Janganlah! Jerit hati saya. Kuat sekali jeritan itu memekak di minda. Bunyinya semacam bergaung-gaung!

Emak menyambung kata.

“Kadang-kadang kita lihat dengan mata kasar, tapi tidak dengan mata hati...”

“Maksud mak?” tanya saya.

“Orang yang kelihatan mewah, keretanya besar, cakapnya juga besar, tidak semesti hatinya gembira. Orang yang kita lihat macam tak punya apa-apa, sebenarnya hanya Allah yang tahu rasa hati mereka...”

Oh, macam pendapat saya saja.

Sama.

“Macam Yang. Nampak tak punya apa-apa. Tapi mak tahu hati Yang bahagia...”

Hehe...saya tersengih-sengih. Emak sedang membodek saya. Hidung saya yang sudah kembang macam buah jambu merah itu semakin mengembang.

Tapi sebenarnya...

Tidak juga, mak. Sebab saya pun manusia biasa. Kadang-kadang bila angin pus-pus datang, pandai mengamuk juga.

Tetapi mengamuk pun sekejap sajalah. Tak sampai satu minit!

“Entahnya. Ibu tu kalau berdebat, pandai mulakan. Tapi lepas tu tersengih-sengih biarkan orang yang dilawan bercakap tu bergaduh sorang-sorang. Pelik betul!”

Eh eh, si anak menyampuk. 

Pesanan emak itu saya catatkan dalam diam. Kata-kata orang tua adalah emas segunung. Sebab mereka sudah banyak berjalan dan menempuh pengalaman. Saya baru mahu menjenguk empat puluh tujuh sedangkan emak sudah menghampiri tujuh puluh lima.

Kalau pengalaman saya itu ibarat busut, emak pula sudah seperti Gunung Kinabalu.

“Adik?”

“Adik pula macam timbunan tanah yang dikais-kais oleh Mail Lambung selepas dia qadho hajat!”

“Ibuuuuuuuuuuuuuu...!!!!!!!!!”

Mail Lambung itu nama seekor anak kucing yang diberikan oleh puteri sulung saya.

Sebelum terjadi apa-apa, saya cepat berlari masuk ke bilik dan menutup pintu!

Monday, August 27, 2012

Takdir Itu Bersuara Lagi



Saya pernah menganggapnya sifu.

Meskipun saya meminati seni lukisan, tetapi saya memang “tangan bangku”. Saya langsung tidak pandai melukis. Masalahnya, apabila pihak pengurusan mengetahui saya orang seni, mereka menganggap yang saya pandai melukis. Mujur ada sifu saya itu (selain suami dan anak). Dia banyak membantu saya melaksanakan tugas, malahan memberi keyakinan untuk saya beraksi pandai tentang perspektif, roda warna, titik lenyap, horizon atau cara melukis bentuk binatang dan manusia.

Menariknya, kami berkongsi tarikh lahir, menjadikan beberapa perkara seakan ada persamaan. Antaranya minat kami kepada seni meskipun dalam bidang yang sangat berbeza.

Sikap kami terhadap kerja dan kehidupan pun serupa. Jenis yang cepat risau sehingga kadangkala mampu mengganggu lena.

Ahad itu saya menerima mesejnya.

Sesuatu yang pahit telah menimpanya pada saat semua manusia sedang bergembira.

1 Syawal, ibunya telah dijemput pergi.

“Kak tidak beraya tahun ini...” tulisnya.

Mesti dia sangat sedih. Kata orang, hilang bapa masih tidak mengapa. Tapi kalau hilang emak, seperti dunia ini turut kehilangan warna.

Saya yang pernah kehilangan ayah dua belas tahun lalu, pada ketika saya sedang bergelut dengan masalah hidup pula; memahami perasaan dan rasa hilang itu, yang payah digambarkan dengan kata-kata.

Apabila kematian menjemput ibunya, dia membuka blog saya.

“Kak teringatkan beberapa kata Yang di blog dan itu memberi kekuatan kepada kak. Terima kasih!”

Moga Allah menempatkan almarhumah ibu Kak Aznah dalam golongan orang-orang pilihan-Nya.

Hari ini Syawal kesembilan sifu saya itu sudah tidak punya ibu.

Saya ingin sekali berkata kepadanya, untuk diri saya juga.

Dalam kehidupan, kadang-kadang kita memang tiada pilihan.

Meskipun kita ingin ibu atau ayah kita, anak atau suami kita, hidup bersama-sama sehingga kita menyempurnakan impian-impian kita terhadap mereka; hakikatnya kita tiada pilihan jika takdir telah bersuara.

Sekarang, kita yang berduka sebab mereka yang pergi.

Suatu waktu nanti, ada manusia lain yang berduka sebab giliran kita pula yang pergi.

Apa yang boleh kita lakukan ialah terus-terusan memujuk hati.

Dengan doa yang tidak berhenti agar Allah memberi kita kekuatan dan mereka yang pergi itu sentiasa hidup dengan tenang di taman-taman firdausi.

Kita doakan saja agar kebaikan yang mereka lakukan semasa hayat mereka di dunia yang sementara ini mampu membantu kesejahteraan mereka di dunia sana.

Dunia yang sangat berbeda meskipun kita dengan mereka berada dalam jarak yang tidak jauh.

Dilihat dengan mata kasar, jasad mereka hanya beberapa hasta di bawah bumi. Kita pula berada di atasnya.

Tetapi dunia kita dan mereka sudah amat berbeda.

Hidup yang kadangkala tiada pilihan ini, bukan seperti kepala kereta api yang melingkar seperti ular apabila melalui landasan yang sedikit berselekoh. Sama ada dia laju menjalari landasan atau tiba-tiba menjadi “the hiccup train” seperti tren yang pernah saya naiki, dia akan tetap tiba ke destinasi meskipun lewat dua puluh satu minit daripada jadual perjalanan.

Hidup tidak begitu.

Kalau boleh saya juga mahu memberikan kehidupan yang sempurna buat anak-anak saya. Tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok hari. Mungkin saya akan kehilangan mereka atau mereka yang akan kehilangan saya.

Maka, kita hanya mampu berdoa agar Allah memberikan pengakhiran yang baik buat semua.

Saya suka mengulangnya bahawa...

Kita mampu mentadbir tapi Dia yang mentakdir!

Friday, August 24, 2012

Tetamu Subahat



Syawal keenam di kampung halaman.

Seperti biasa, rumah emak tidak pernah sunyi dengan tetamu sama ada yang biasa atau yang tidak biasa. Mereka akan makan-makan dan berbual-bual di beranda simen yang terbuka menerima sapaan angin.

Adik beradik sudah mula bergerak pulang. Tinggal saya dan adik lelaki bongsu yang masih berbaki cuti.

Cuma ada sesuatu yang kurang enak.

Tidak enak, sebenarnya. Sangat tidak enak.

Ada kalangan tetamu itu yang datang sebelum Maghrib dan masih berada di situ sehingga azan Isyak berkumandang.

Tiada tuan rumah bersama sebab kami yang berada di rumah emak dan juga yang berada di rumah abang, bersolat Maghrib langsung mengaji atau duduk-duduk menanti Isyak.

Anak-anak saudara saya yang usianya sepuluh dan sebelas, bekas penuntut PASTI, sibuk berbisik di telinga saya dengan muka keliru.

“Yang di luar itu tidak solat ke Mak Yang?”

Saya tidak tahu mahu menjawab apa. Sebab yang di luar itu lelaki, takkan mereka itu tidak solat sebab datang bulan pula?

Dan bukannya muda belia, sudah tua-tua. Ada juga yang sudah bercucu.

“Kita pun menanggung dosa subahat…” komen anak saudara saya berusia sepuluh tahun.

Saya meminta pandangan mereka bagaimana cara terbaik agar tetamu “subahat” itu boleh diajak solat.

Ada yang mencadangkan diletakkan sejadah di luar. Ada juga yang mengusulkan dipamerkan poster yang mengajak orang bersolat.

“Ah, kalau selamba saja ajak, tak boleh ke?” Tanya anak saudara saya yang agak agresif sikapnya.

Susah juga kalau menjadi tuan rumah kepada tetamu yang seperti ini.

Saya bimbang kalau hal tersebut akan jadi kebiasaan. Dan tuan rumah akan terus-terusan menanggung dosa sebab menerima tetamu yang tidak berasa malu kepada Allah, tidak malu juga kepada manusia.

Wednesday, August 22, 2012

Di Universiti Kehidupan



Dalam hidup, banyak perkara yang terjadi tidak seperti yang kita jangka.

Kadang-kadang tanpa disangka, hidup kita yang semanis kurma tiba-tiba bertukar menjadi sepahit pucuk betik.

Pahit atau tidak, apabila sudah ada dalam mulut, kita terpaksa juga menelannya.

Menziarahi pelajar saya yang berusia tiga puluh dua tahun itu dan melihat bagaimana kuatnya dia menghadapi sebuah kehilangan, benar-benar mengajar saya sesuatu.

Allah telah mengambil si suami di Jumaat Ramadan yang mulia. Anak-anak sekecil lima, tiga tahun dan empat bulan seakan memahami hati si ibu yang pastinya masih dalam "mimpi".

Ungkapan "syukur, rezeki saya agaknya, anak-anak seakan terlalu memahami..." saya kira merupakan antara elemen-elemen penting dalam membina kekuatan hati.

Melihat wajahnya yang tenang, saya tahu dia yang pernah menjadi murid saya di kelas enam belas tahun lalu, bakal kembali menjadi murid saya dalam universiti kehidupan.

"Barangkali dalam usia saya, ibu menghadapinya dulu..." dia meneka. Saya menggeleng.

"Tidak. Lebih awal. Dan panjang sekali masanya untuk kembali bangkit!" kata saya.

"Tapi kami langsung tak perasan yang ibu ada masalah besar. Langsung tak perasan!" dia menyambung.

Sebab di kelas, saya ibu guru yang ceria.

Meskipun kehilangan, situasi kami berbeda.

Suaminya pergi sebab Allah memintanya kembali.

Saya? Tidak perlu mengenang apa-apa.

Mencium dahinya di akhir pertemuan, saya tahu dia menangis.

Tetapi saya datang berziarah, bukan untuk melihat dia bersedih. Saya datang untuk menyuntiknya semangat juang.

Dia cepat menyeka mata. Mendukung anak kecilnya yang bertubuh agam, dan menghantar saya ke tangga.

Melihatnya begitu, saya yakin dia mampu melukis peta hidupnya.

Dia akan kembali belajar di universiti kehidupan sehingga berjaya ke pentas untuk menerima segulung ijazah!

Monday, August 20, 2012

Lebaran Masih Bermakna



Petang berakhirnya Ramadan, hati menjadi sayu.

Sepatutnya sudah berjanji dengan adik mahu menziarahi pusara ayah. Tetapi masing-masing sudah kelelahan.

Esoknya fajar Syawal menjelma. Di pusara ayah, pohon santalia yang ditanam emak sudah merendang. Ayah berjiran dengan guru sekolah agama rakyat saya di sebelah kiri dan di kiri pusara guru saya itu terletaknya pusara pakcik saya, yakni suami adik ayah.

Tidak berapa jauh dari situ, terletak pula pusara anak saudara lelaki saya yang meninggal dalam usia baru mahu mencapai delapan belas tahun.

Emak, anak-anak dan cucu-cucu mengelilingi pusara, menghadiahkan bacaan untuk ayah.

Cuaca Syawal yang cerah, dan saya… juga adik yang bongsu seakan keberatan mahu meninggalkan ayah di rumah yang sudah dihuni sejak 3 Mac 2000.

Meskipun perpisahan kami sudah berjarak dua belas tahun, masih ada sesuatu yang mengikat hati kami. Rindu sekali dengan suara ayah. Rindu yang sebanyak mana pun, tak mungkin dapat mengembalikan ayah ke sisi.

Sebab ayah milik Dia.

Kami juga.

Kita.

Semuanya Dia punya.

Waktu mahu pulang, saya menoleh ke belakang. Ayah masih di situ.

Menuruni laluan berbukit, saya mengesat mata yang basah.

Melihat emak yang kurang sihat menjelang Syawal, saya menjadi begitu takut.

Tuhan, saya merayu. Jangan ambil ibu saya.

Memicit kaki emak, saya menangis di dalam hati. Kaki yang sudah kendur kulitnya, yang tinggal tulang temulang itulah yang setiap hari mencari sesuap nasi untuk kami.

Kini kaki yang sama masih cergas bergerak. Dia sentiasa memastikan setiap anaknya gembira merasai keberkatan air tangan tuanya.

Syawal yang penuh riang ria akan lebih bermakna jika kita masih punya orang tua.

Mujur emak masih ada.

Dan Syawal tahun ini masih bermakna buat kami!

Wednesday, August 15, 2012

...And they lived happily ever after...



Saya tahu dia sudah jatuh cinta.

Cara dia bercerita, mata yang bersinar-sinar dan tahap manisnya senyuman itu.

Dia meminta pandangan. Saya pun bukan pandai tetapi dengan usia yang lima belas tahun melebihi usianya dan banyak jatuh bangun dalam meniti batas hidup, saya memberikan beberapa cadangan.

Dia seakan berpuas hati.

Tetapi kemudian setelah beberapa minggu, dia memberitahu sesuatu.

Saya memahami. Kalau saya di tempatnya pun, saya pasti memilih apa yang dia pilih.

“Takkan saya boleh meninggalkan emak yang telah tiga puluh tahun lebih hidup dengan saya untuk bersama lelaki yang baru beberapa bulan saya kenal hati budinya...”

Oh, dia memang anak solehah.

Masalahnya rumit. Dia telah memiliki sebuah rumah. Dia tinggal bersama emaknya di situ. Saya yang menemani dia waktu membeli rumah tersebut sebab katanya dia mahu membahagiakan si emak dengan memberikannya kehidupan di rumah yang lebih selesa.

Tetapi ini bukan soal rumah. Ada hal lain yang lebih berat.

Emaknya sudah tua. Uzur sekali sehinggakan mahu ke surau pun perlu dihantar dengan kereta. Adik beradik lain ada tetapi hanya berpendapatan biasa, dengan masalah-masalah yang biasa dan luar biasa.

Lelaki itu mahu dia berpindah jauh ke sebuah negeri dan mesti hanya dia, bukan bersama si emak. Muktamad. Titik. Tiada kompromi.

Saya memberi usul. Mungkin masih ada jalan. Ikut pindah dan buka sedikit ruang perbincangan supaya dapat membawa si emak bersama. Atau ada alternatif lain. Lelaki itu yang pindah kerja sebab dia pun belum membeli hartanah. Atau kalau nekad, duduk saja berasingan beberapa tahun dengan setiap seorang berulang alik dari negeri itu ke negeri yang lagi satu.

Nampaknya memang dia melalui jalan mati.

Masih tiada kompromi.

Dan dia juga sangat jelas dengan keputusannya walaupun saya tahu hatinya remuk seperti dihempap lori berpuluh-puluh tan.

Allah akan menggantikan putus cintanya itu dengan keberkatan hidup.

Tiada apa yang lebih berharga di dunia ini melainkan insan yang telah bersusah payah melahir dan membesarkan kita.

Menggadaikan masa depan demi sebuah pengorbanan?

Bukan!

Lebih baik menggadaikan masa depan daripada menyerahkan hidup kepada sesuatu yang selalu menutup ruang komunikasi.

Ada masa depankah kalau semua urusan langsung tiada tolak ansur?

Kebahagiaan itu subjektif. Oleh sebab itu kita boleh menjawab dalam ayat yang berbeza tetapi masih dalam skema jawapan yang boleh diterima.

Orang melihat susahnya hidup kita, tetapi tahukah mereka bagaimana hati kita yang berbunga-bunga sebab Allah telah memberikan kita pasangan yang sudi menerima kelemahan berbanding kelebihan kita?

Sepuluh tahun ini saya hidup dalam taman yang penuh bunga matahari. Sebab itulah saya selalu gembira meskipun kerap menerima serangan serangga perosak dan tangan yang gatal mahu mencabut akar pokok.

Saya mengharapkan dia juga gembira dengan keputusan yang amat berat itu. Cintanya kepada seorang ibu melebihi cintanya kepada si arjuna yang begitu memikat hati.

Doa saya Allah akan memberikannya arjuna lain yang turut mencintai wanita tua itu, si ibu yang telah melahirkan seorang anak yang sebaik dia.

Langsung mereka akan hidup bahagia selama-lamanya.

Tuesday, August 14, 2012

Bulatan Takdir



“Jadi, mak...kalau hidup kita ini memang telah ditakdirkan begitu dan begini sejak sebelum kita lahir, buat apa kita berusaha lagi?” tanya saya dalam kedunguan seorang budak kecil yang berusia awal sekolah rendah.

Emak memang tercabar dengan soalan itu. Apatah lagi, dia tidak pernah bersekolah. Sekolahnya hanya berdasarkan pengalaman dan pengamatan terhadap kehidupan.

Emak kemudian mengambil ranting. Melukis bulatan di tanah.

“Ini takdir si anu” emak menunjukkan bulatan itu.

“Setiap hari dia berdoa agar Allah sentiasa melindungi dia. Bukan setakat berdoa tapi dia juga amat mementingkan keselamatan. Dia akan menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tiada kenderaan yang lalu saat mahu melintas. Dia memastikan juga motosikalnya sentiasa berkeadaan baik...” emak berhenti mengambil nafas. Barangkali mencari perkataan yang sesuai untuk memahamkan saya.

“Takdir tercatat bahawa dia akan meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya. Memang dia meninggal di jalan raya tetapi keadaannya barangkali tidak seteruk kemalangan yang kamu nampak hari itu. Doa dan usahanya dimakbulkan Allah...” terang emak.

Jadi, itukah sebabnya kita diminta terus berdoa dan berusaha, bukan menyerah kepada takdir semata-mata?

Otak kecil saya memahami analogi emak.

Mungkin penerangan emak tidak setepat isi ceramah para ustaz dan ustazah. Tetapi cukuplah sekadar untuk memahamkan seorang anak kecil yang terus-terusan bertanya.

Pesan emak, apabila sudah besar nanti carilah jawapannya dengan merujuk para agamawan dan kitab agama. Jangan bergantung kepada jawapan emak!

Saya memahami maksud emak itu.

Terutama apabila saya berdepan dengan takdir yang merempuh dan memaksa saya berusaha gigih mempertahankan kehidupan yang sedang saya lalui.

Memang, apabila kita diusik musibah, kita terduduk sekejap. Kita menangis dan menangis. Kita menyoal dan menyoal. Kita menyalahkan kesilapan diri. Kita menyalahkan orang lain. Di keliling kita penuh dengan aura negatif, hitam dan kelabu.

Tidak ada orang yang bersorak dan melompat kegembiraan apabila diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tiada juga yang ketawa terbahak-bahak apabila patah riuk dilanggar kereta.

Saya tulis “orang yang tersayang”.

Kalau orang yang “menjahati” kita tiba-tiba hilang, kita menangis juga tapi dalam hati berdondang sayang. Hati kita bukannya putih melepak. Ada juga titik hitamnya tertempek di situ.

Ada yang bersorak riang kalau tiba-tiba kereta kesayangan yang baru kita beli kena lenyek dengan struktur tiang konkrit yang tergelincir dari treler macam yang berlaku baru-baru ini?

Ada?

Kalau ada, memang dalam otaknya ada urat yang sudah putus!

Tapi biasanya kita tidak terduduk dengan begitu lama. Akan ada keberanian yang memaksa kita bangun.

Anak kecil yang mahu disuapkan nasi, kalau kita pula terus duduk-duduk menangis, siapa mahu berikan kita wang?

Kita pun bangun untuk berusaha supaya kita tidak terus berada di tengah bulatan takdir. Sekurang-kurangnya setelah gigih berusaha, kita mampu berada betul-betul di tepi garisan akhir. Kita mampu menyekolahkan anak-anak sehingga ke pusat pengajian tinggi. Kita mampu mengajarnya solat dan amalan-amalan agama. Kita mampu memberikan nilai-nilai baik dalam kehidupan. Mampu juga memiliki sebuah rumah kecil dan kereta.

Compang-camping di sana sini, itu perkara biasa. Mana ada manusia yang serba sempurna?

Kata orang, hidup ini satu perjuangan.

Tapi apa isi perjuangan kita, yang akan menentukan di mana duduknya kita di dunia yang lagi satu.

Friday, August 10, 2012

Ketika Takdir Bercerita!



Petang Jumaat 21 Ramadan, saya duduk-duduk menanti Asar.

Ada mesej yang masuk.

Saya membacanya, cuba untuk percaya.

“Ibu, berita sedih...suami saya hanya dipinjamkan kat saya enam tahun sahaja. Arwah yang berusia 43 tahun selamat dikebumikan pagi tadi. Ibu doakan saya kuat!”

Demi Allah, saya amat terkejut!

Saya cepat membalas mesejnya.

“Fidah, kalaulah ibu mampu untuk datang ke sisimu. Untunglah dia, Jumaat Ramadan ini. Kuatkan hatimu ya nak. Ibu akan datang mencarimu Syawal nanti!”

Hanya itu yang saya mampu sebab mata saya kabur. Pipi saya kehujanan!

Sebetulnya, waktu saya pulang ke kampung untuk urusan anak baru-baru ini, dia ada menghubungi saya. Mahu sangat ketemu ibu gurunya. Saya pula tidak berkereta. Jadi, saya memberitahunya supaya dia sekeluarga datang ke rumah emak Syawal nanti.

Semalam, saya tiba-tiba teringatkan dia. Saya fikir Syawal ini pasti dapat bertemu dia, suami dan tiga anak kecilnya. Jadi, saya membuka laman sosialnya, mencari-cari wajah suami dan anak-anak di folder foto. Maha Suci Allah yang menggerakkan hati saya!

Tapi Allah ada perancangan yang lain. Allah telah menjemput suami yang tidak sempat berkenalan dengan ibu gurunya ini.

Anak yang kecil barangkali baru berusia beberapa bulan. Saya tahu ini antara saat paling sukar untuk dia dan anak-anak. Tapi saya pasti dia mampu menempuhnya sebab dia seorang perempuan!

Saya pernah menulis tentang pelajar berwajah manis ini. Dia antara pelajar yang tidak pernah didenda menulis lima belas kali untuk setiap ejaan yang salah. Sekarang dia menjadi guru bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Lembah Lenggong.

Cuma katanya, setiap kali waktu saya, paling dia gementar ialah kesukaan saya yang mahu pelajar berani bercakap di hadapan kelas. Saya bekas pelajar komunikasi yang mempraktikkan ilmu “komunikasih”, bercakaplah sebab saya bukan guru yang gemar marah-marah!

Saya akan mencarinya Syawal nanti. Bukan lagi dia yang akan mengunjungi saya!

Seminggu lebih kurang, akan tiba idulfitri. Saya mula memikirkan bagaimana dia mahu menguruskan perasaan anak-anak yang belum begitu mengerti ke mana ayahnya pergi tiba-tiba, daripada ada kepada tiada.

Ya Tuhan, berikan dia kekuatan.

Ini ujian yang sesiapa pun tidak mampu untuk menempuhnya.

Tetapi kita berada di dunia realiti. Suka atau tidak, takdir Allah pasti tiba.

Pasti Allah punya sebab mengapa Dia mahu mengambil haknya.

Puan Rafidah Osman! Kerana kamu seorang perempuan, kamu pasti mampu berdepan dengan ujian!

Wednesday, August 8, 2012

Cucu Penunggu?



Pernah dengar orang Melayu selalu berkata begini, “eh, jangan ambil gambar bertiga! Tak baik!”

Kalau kita bertanya mengapa, jawapannya memang tidak masuk akal.

Nanti salah seorang akan mati...

Jawapan saya amat mudah jika berhadapan dengan situasi sebegini. Semua orang akan mati, bukan yang seorang itu sahaja. Tiga-tiga pun akan mati, cuma tidak tahu bila!

Waskita dengan hal-hal yang boleh menjejaskan akidah kita selaku umat Islam yang berpegang dengan kalimah tauhid.

Sama juga kalau kita berjalan-jalan di hutan belukar atau melalui kawasan perkuburan. Siap minta izin tok nenek, anak cucu mahu tumpang lalu!

Tok nenek mana? Penunggu? Hantu?

Tak pasal-pasal kita mengaku jadi anak cucu penunggu.

Agaknya makhluk halus yang ada di hutan belukar itu pun tergolek-golek menggelakkan kedunguan kita.

Kata Allah dalam surah Al-Baqarah 2:257, “Allah ialah pelindung orang beriman, yang mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)”.

Jika dahulu kita masih jahil sehingga tidak mampu tidur malam akibat tersilap mengambil gambar bertiga; sekarang apabila kita tahu semuanya itu satu kesalahan; maka menjadi kewajipan untuk kita mengingatkan diri kita dan orang lain juga.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam halakah muslim Melayu yang hanya takutkan Allah, bukan penunggu hutan belukar atau hantu di kuburan.

Tuesday, August 7, 2012

Allah Sedang Peduli!



Mengapa kalau kita mahu berubah menjadi lebih baik dan mendekati agama, ujiannya menjenguk bertimpa-timpa?

Selalu kita dengar, dan kadang-kadang mengalaminya juga.

Waktu itulah kekuatan iman kita diuji. Kalau kita lemah maka kita akan mempersoalkan kasih sayang Allah. Kita sebenarnya semakin mendekati kekufuran.

Tapi kalau kita kuat, maka kita akan menganggapnya sebagai satu siri ujian kerana Allah masih peduli. Keredhoaan kita itu menjanjikan sesuatu yang sangat hebat di kemudian hari.

Lelaki itu sedang diuji. Dia kehilangan pekerjaan. Idulfitri sudah semakin dekat. Wang tabungan sudah tidak berbaki. Anak-anaknya yang ramai itu perlu diisi perutnya. Isterinya suri rumah yang jika bukan di bulan puasa, berniaga kuih-muih untuk sarapan.

Ujian Allah menyapa lagi.

Balik dari masjid, seseorang yang cemerkap membuka pintu kereta tanpa menoleh ke belakang. Dia tersungkur di jalanan, muka, rusuk, kaki dan tangannya luka. Motosikalnya rosak. Mahu melaporkan kepada polis, si cemerkap ketakutan. Tetapi tidak membayar apa pun. Akhirnya rakan-rakan semasjid membantu membawanya ke klinik untuk mendapatkan suntikan.

Dia mengirim mesejnya, “malam tadi Allah bayar tunai untuk dosa-dosa yang lalu...”

Sebelum itu pun dia banyak diuji. Adakalanya dia hampir kalah juga.

Baru-baru ini dia memberitahu, dua hari dia solat dengan tidak sepenuh hati. Malahan lebih teruk, ada dua waktu dia langsung tidak buat. Dia meratapi nasib malang yang datang seperti hujan musim tengkujuh itu.

Jam enam petang dia terjaga dari tidur. Waktu itu, sekilas di matanya tergambar api yang sedang membakar. Sudah pasti dia ketakutan. Saat melintasi bilik mahu mandi dan mengambil wuduk, dia terlihat isterinya sedang mengangkat tangan berdoa di sejadah. Rupa-rupanya si isteri sedang mengadu kepada Allah.

Saya mencatat, “itu maknanya Allah sangat menyayangi adik. Dia mahu menegurmu. Ujian-Nya sangat kecil tapi adik sudah mengeluh-ngeluh seperti dunia mahu kiamat. Jangan sesekali tinggalkan solat sebab di situlah peluang kita untuk memohon rahmat-Nya dengan hati yang bulat”

Saya kerap nampak lelaki ini menangis di sejadah. Saya memeluk-meluk, mengusap-usap kepalanya yang sudah tidak pernah kosong dengan kupiah. Sudah pasti dia sangat sedih, orang lain menjalani hidup dengan mudah, sedangkan dia kerap benar diuji pada saat dia benar-benar mahu berubah.

“Allah mahu mendengar rayuan kita. Dia merindui suara hati hamba-Nya. Adik diuji sedikit tetapi dianugerahi dengan banyak. Isterinya yang baik, anak yang baik-baik juga. Adik-beradik yang sangat mengambil berat. Rakan-rakan yang tidak akan berpaling. Udara yang adik sedut. Kaki dan tangan. Juga otak...” Saya menulis kepadanya.

Saya seperti yang lain, kurang pandai bercakap. Dalam enam beradik itu, yang mewarisi keramahan emak cuma kakak-kakak saya. Empat lagi, tiga lelaki dan saya yang perempuan memang betul-betul anak ayah!

“Redholah adik. Hidup kita tidak akan berhenti untuk diuji. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh demi mendapat markah yang cemerlang. Jika pun tidak di sini, sijilnya pasti ada di sana...”

Kepada isterinya, saya mengirim kata, “ bersyukurlah hanya luka, bukan hilang anggota. Bersyukurlah hanya tiada wang, bukan hilang iman”

Saya teringat betapa ada pendedahan media tentang usaha sebuah pertubuhan agama lain yang berjaya menjinakkan hati umat Islam dengan bantuan kewangan dan meminjamkan telinga untuk mendengar rintihan.

Demikianlah jika ikatan persaudaraan umat kita menjadi lemah. Demikianlah juga jika pihak berkuasa agama kita melupai tanggungjawab mereka menyantuni saudara-saudara seagama yang sedang menderita.

Mudah-mudahan iman kita akan terus terpelihara.

Iman kita terus tinggi seperti layang-layang di langit.

Jika pun mahu jatuh, akan ada kekuatan angin menolaknya ke atas semula!

Monday, August 6, 2012

"Kota Metropolitan" Lenggong!



Emak sudah bergerak ke perhentian bas. Mahu mengejutkan abang, emak melarang. Malam tadi selepas terawih, abang mengorek kubur untuk pengebumian yang mungkin berlangsung jam empat pagi. Itu kerja amal yang abang lakukan sejak menetap di kampung.

Memikirkan emak akan kepenatan jika ada yang mengusik, saya cepat menukar baju. Latah emak OK saja kalau tiada yang galak mengusik.

Dengan muka saya yang serius menjadi pengawal peribadi emak, pasti tiada siapa yang berani mati mahu mengusik-usik emak. Kalau ada yang berani, siap sedialah menerima jegilan mata saya. Silap-silap saya pun boleh berubah tiga ratus enam puluh darjah menjadi singa juga!

Bukan sekali dua emak tertinggal ikan, ayam dan barang-barang dapur kalau pergi sendirian. Balik ke rumah, emak akan tertidur kelesuan sedangkan emak bukan jenis orang yang tahu duduk diam.

Rupa-rupanya peristiwa sepasukan polis mengejar kumpulan penagih dadah dengan pistol di tangan beberapa tahun yang lalu, benar-benar telah memberikan emak penyakit.

Mahu mengejar penagih yang sudah lalok itu pun mestikah dengan pistol terhunus? Makin menambahkan alergik saya terhadap penjawat awam yang satu ini!

Saya berlari-lari anak ke perhentian bas. Emak masih ada di situ. Perlahan-lahan saya duduk di belakang, mendengar emak sedang berzikir sambil matanya memandang ke hujung jalan raya.

“Bas memang lambat. Kata kolek bas (konduktor bas), syarikat rugi banyak. Orang sekarang lebih selesa pergi dengan kereta. Itu sebab syarikat kurangkan kekerapan mengambil penumpang” emak menjelaskan.

Memang rugi pun sebab kami akhirnya naik kereta sapu yang sudah tua dan berbunyi keriuk-keriak!

Di pasar, tiada siapa yang berani mengusik. Muka saya garang saja mengiringi emak.

Sementara menunggu emak membeli ayam yang baru disembelih (saya ngeri melihatnya), saya duduk di bangku simen memerhati sekeliling.

Pekan ini pembangunannya tidak berpusat. Oleh sebab lebuh raya tidak melalui pekan, jam seakan bergerak lambat di sini.

“Hospital akan dibina juga. Memang sesuailah sebab dekat dengan kubur. Kubur Melayu, Cina dan India...” saya teringat emak berlucu.

Bangunan jabatan pendaftarannya jauh dari pekan. Tandasnya betul-betul di tepi jirat Cina. Terbantut keinginan saya mahu menggunakan tandas!

Pasarnya terbahagi dua. Ada pasar sayur dan ikan. Di tingkat atas, ada kedai jahit, kedai gunting rambut dan beberapa kedai lagi. Saya memang menjadi pelanggan tetap kedai gunting rambut di situ. Cuma baru-baru ini, saya keberatan sebab ada pelanggan lelaki. Tukang guntingnya sudah tahu gaya rambut ala tomboi saya itu!

Di luar pasar, ada yang menjual petai yang gemuk-gemuk, ikan pekasam yang merupakan produk utama Lembah Lenggong, kopi buatan sendiri, ikan kering dan bermacam-macam lagi.

Sebuah gerai menjual makanan ringan milik seorang peniaga Cina masih kekal di depan kedai runcit Syarikat Berjaya kepunyaan peniaga India yang pandai bercakap loghat Lenggong. Dialah yang bersusah payah membeli sejenis pokok herba dan menghantarnya ke rumah emak untuk ubat penyakit saya.

Di barisan kedai runcit, ada sebuah kedai motosikal, saya membeli motorbasikal emak di situ. Di situ juga terletaknya pejabat sebuah parti politik yang sedang mekar pengaruhnya dalam kalangan generasi muda dan golongan ilmuan di bandar prasejarah itu.

Surau dua tingkat yang usang masih juga di situ. Di hadapannya terletak Dewan Merdeka. Saya pernah mementaskan drama bertajuk Genta Bejat di dewan itu. Di sekitar kawasan yang sempit ini, diadakan pasar sehari yang popular dengan gelaran Pekan Sabtu.

Di sana sini, jelas terdengar loghat penduduk setempat. Seperti almarhum ayah (dan emak juga meskipun emak bukan penduduk tempatan), mereka berbahasa Melayu loghat Pattani. Kalau anda ke lembah ini, “tembok” bukan sahaja bermakna binaan batu yang memagari bangunan, tetapi juga membawa maksud “jalan raya”.

Institusi perbankan hanya ada tiga. Bank Malayan (Mayban), BSN dan Bank Agro.

Bazar Ramadan juga sudah berubah lokasi ke sebuah petempatan baharu dengan nama Dataran Lenggong.

Dahulu pada zaman 60-an dan awal 70-an, pekan ini ada sebuah pawagam buruk yang ada pepijat lagi! Filem yang ditayangkan sudah pastilah filem P.Ramlee dan Hindustan. Televisyen merupakan sesuatu yang jauh di awan. Oleh sebab itu, jika hari raya, orang-orang kampung akan menaiki bas ke pekan untuk menonton wayang. Tetapi berada dalam keluarga yang agak terkawal, kami memang tidak berpeluang menonton wayang.

Cuma baru-baru ini kakak menceritakan sesuatu yang agak lucu. Rupa-rupanya dia pernah membawa saya menyelinap masuk ke pawagam di pagi hari raya dan duduk bersila betul-betul di hadapan skrin sehingga terkejut-kejut dibuatnya apabila Rajesh Khana berkelahi berdusyum-dusyum sebab berebutkan si Hema Malini!

Saya tidak ingat langsung, barangkali sebab masih sangat kecil.

Nakal sungguh kakak saya. Katanya dia sangat teringin mahu menonton wayang. Saya pula jenis yang suka mengekori dia ke mana sahaja dia pergi. Beza umur kami cuma tiga tahun. Dia memegang tangan saya erat-erat, menaiki bas yang sesak sehingga ada yang berdiri di tangga. Otaknya memang ligat, dibawanya saya menyusup ke bahagian belakang bas. Apabila sampai di pekan, semua orang pun turun dan konduktor bas tidak sempat mengambil tambang. Kalau diminta pun memang dia langsung tidak berduit.

Di pawagam pula, dia menyelinap di celahan orang ramai. Maklumlah badan kami bersaiz kecil.

Stesen bas dahulunya di bawah pokok beringin yang sangat besar. Ada juga gerai ABC. Kalau difikirkan memang tidak sanggup. Masakan tidak, kami langsung tidak memahami soal halal haram, selamba sahaja makan ABC yang dikepal-kepal dengan tangan peniaga Tionghua, tangan yang sama menyentuh binatang yang diharamkan kita memakannya!

Ada beberapa peniaga Cina yang memang sudah lama menjalin persahabatan dengan almarhum ayah, datuk dan moyang saya. Malahan saat ayah meninggal dunia, mereka tidak dapat menahan sedih. Waktu keluarga kami dilanda kesusahan tahun-tahun 70-an dahulu, peniaga-peniaga ini selalu menghulurkan bantuan. Itulah yang dikatakan, budi dibalas budi. Datuk dan moyang saya pernah menyelamatkan mereka ketika tragedi 13 Mei 1969.

Saya kira, jika kita menunjukkan contoh nilai Islam yang baik kepada mereka, tidak akan berlaku salah faham atas nama rasis atau apa saja yang berkaitan dengannya.

Selesai membeli barang dapur, kami menaiki bas di “Lenggong Central”. Red & Yellow Omnibus yang masih begitu sejak kali terakhir saya menaikinya puluhan tahun yang lalu.

Saya melihat ada kalendar kuda, beberapa poster motosikal berkuasa tinggi dan gambar artis baharu yang ditampal di depan bas berhampiran pemandu. Kalau dahulu, sudah pasti ada poster MGR yang berjambul dan seniwati Saloma dengan kebaya ketatnya.

Meskipun ada bakul sampah yang diikat di tiang, masih wujud sampah seperti tiket dan straw minuman di lantai bas. Locengnya juga sudah senget-senget.

Harga tiket ke kampung saya, RM1 seorang. Kali akhir saya membayar tambang, kalau tak silap saya berharga sekitar lima puluh sen! Tiket itu saya simpan dalam dompet buat kenangan. Entah bila lagi saya berpeluang menaiki Red & Yellow Omnibus yang banyak mengajar saya makna kehidupan itu.

Juga menyebabkan saya sedikit kesakitan! Telinga pun sakit juga mendengar leteran emak sebab saya degil mahu mengikutnya ke pekan.

Sepanjang jalan, tiada lagi jajaran sawah padi. Yang ada hanyalah rumah-rumah lama atau yang baharu dibina. Bendera-bendera parti politik berkibaran di sepanjang jalan kampung yang sempit.

Masa terus berjalan tetapi lembah kesayangan saya masih begini, megah berbangga dengan pengikhtirafan UNESCO, sedangkan nasib warga terus terpinggir.

Jika dahulu, pekan Lenggong jauh lebih “maju” daripada pekan Gerik, situasi sekarang sudah terbalik. Gerik sudah ada pasar raya, juga restoran makanan segera. Ada hospital, pejabat Tabung Haji, kolej komuniti dan kemudahan-kemudahan lain.

Pada saya, kemajuan itu perlu tetapi tidak bermakna memberi lesen besar untuk menarah bukit yang memagari lembah ini sehingga mengakibatkan banjir besar beberapa tahun lalu. Ladang teh yang sudah jadi “mantan” itu entah siapa yang sedang mengusahakannya. Siap dengan pengawal dan anjing besar yang akan memamah tulang-temulang siapa yang berani hampir. Ada juga sesekali saya melihat kelibat “orang putih” dengan rambut comot yang turun dari bukit membeli barangan harian.

Apa pun, saya mencintai lembah ini.

Mencintai keunikan loghatnya yang selalu mengingatkan saya bahawa masih wujud pertalian darah dengan masyarakat Pattani di kepala Semenanjung.

Meskipun tiada lagi sawah yang melatari pandangan, dingin malamnya begitu menggigit. Air gunung yang memenuhi kolah besar emak mampu membuatkan orang-orang kota mandi ala-ala P.Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapuk!