Total Pageviews

Saturday, July 28, 2012

Kembara Landasan Ke Utara



Jam delapan pagi, sudah berada di kaunter tiket.

Tercatat di helaian kertas kecil itu, Koc R1, Seat 9A, Jam bertolak 1.49 petang, koc kelas pertama Ekspress Rakyat ke utara.

Dia menghantar ke stesen selepas usai solat Zuhur. Tren terlambat lima belas minit.Jam 2.05 minit kurang lebih, tren usang itu tiba dari Singapura. 

Rupa-rupanya, koc itu seperti kabin penumpang kelas ekonomi pesawat MAS.Cuma tempat duduknya selesa, lapang sekali. Tempat duduknya dua satu. Ertinya kalau penumpang itu solo, maka tempat duduknya solo.

Sepasang warga emas berketurunan Tionghua dari Kota Singa berdiri saja di tempat duduk mereka. Barangkali sudah lenguh dan mahu melihat pemandangan di sepanjang landasan.

Saya mulakan perjalanan dengan surah Yassin. Tiket diperiksa dan sebotol air mineral serta sepotong kek diberikan kepada saya. Saya menyimpannya di dalam beg, mana tahu takut terlupa!

Tidak ramai penumpang dalam koc. Ada juga warga asing yang saya terka daripada raut wajah mereka. Mungkin dari Turki dan Mongolia, ada juga yang berperawakan Eropah.

Jam 3.17 petang, tren tiba di KL Sentral. Peluit yang berbunyi nyaring memang sangat mengesankan.

Pekerja membersihkan cermin tren dari luar. Sampah-sampah juga dikutip di dalam tren.

Jam 3.25 petang, tren bergerak dari KL Sentral. Berhenti sekejap di bangunan lama stesen KTM. Hati saya basah. Perlahan-lahan saya keluarkan sapu tangan dan mengesat sedikit air mata yang jatuh. Stesen penuh nostalgia yang menjadi saksi bagaimana seorang ibu muda bertubuh kecil kurus menggendong bayinya di hadapan tubuh, seorang lagi dipimpin dan sebuah beg besar yang disandang di belakang; menggunakan perkhidmatan tren setiap kali mahu pulang ke kampung halaman. Tubuh kecil yang menjadi penggantungan dua anak dan sebuah beg besar yang hampir menenggelamkan figurnya sendiri.

Tiket disemak sekali lagi. Saya tanyakan mengapa tiada pengumuman dibuat apabila sampai di stesen.

"Nanti kami maklumkan kepada puan kalau sampai ke destinasi" demikian pegawai bertugas memberitahu saya.

Meskipun sangat kantuk tapi saya mahu merenung langit Ramadan yang cerah. Melepasi stesen Batu Gajah, langit Ramadan mula mendung. Semalam saya melihat ramalan cuaca, memang langit Perak dijangka hujan.

Apabila melihat lambang salib besar di sebuah bangunan sekolah, saya tahu saya sudah tiba di Ipoh. Anglo Chinese School Ipoh yang berdiri tegak di sisi landasan.

Jam 6.02 minit petang, tren tiba di Stesen Ipoh.

Tepat 7.05 minit, saya tiba di Kuala Kangsar. Hanya saya seorang penumpang yang turun dan satu-satunya juga yang ada di stesen yang sedang diubahsuai itu.

"Dalam kesesatan yang nyata..." saya menghantar mesej kepada dia. Keadaan stesen benar-benar berubah. Lokasinya berubah sedikit daripada yang asal. Saya langsung gagal mengesan di mana saya berada waktu itu.

Station master datang dan memaklumkan jika mahu berbuka, saya boleh membeli makanan di restoran yang terletak di belakang stesen.

Saya terus menunggu kakak menjemput. Dia dari Ipoh dan sedang mencari jalan menuju ke stesen yang sudah jadi jalan sehala.

Angin petang berpuput lembut. Seorang tua sedang bersenaman di seberang landasan. Beberapa pekerja Bangladesh yang sudah kelihatan berpakaian kemas menunggu iftar, hilir mudik di tebing landasan. Longgokan tanah menimbun di mana-mana dengan kerangka besi yang berceracak.

Beberapa ekor anjing kejar-mengejar berselisih dengan deruan motosikal dan kereta dari seberang landasan.

Saya mengeluarkan botol air mineral, bersedia untuk berbuka. Surau dan tandas mobil ada disediakan. Tiada masalah jika kakak terlewat. Cuma sunyi dan muramnya senja sedikit menggusarkan.

Peluit yang memekik, kenangan pun menjerit. Landasan dan gerabak kereta api yang sudah begitu lama saya tinggalkan, adalah sejarah zaman perit.

Saya memilih kembara di landasan sebab saya alergi dengan bas.

Malam, saya tiba di Lembah Lenggong. Emak dan puteri sulung saya masih di surau, berterawih. Emak terkejut besar waktu saya muncul.

Esok dan hari seterusnya, saya akan menguruskan hal persediaan puteri sulung untuk menyambung ijazah pengajian Bahasa Inggerisnya di sebuah universiti tempatan.

"Pulang pun saya mahu naik tren" saya memaklumkan walaupun katanya dia mahu menjemput saya dengan kereta. Saya perlu pulang sebab temujanji dengan doktor!

Saya mahu meneruskan kembara, bukan dengan cerita sedih tetapi episod gembira. Biarpun gambaran itu masih membayangi tatkala tiba ke bangunan lama stesen KTM, saya mahu melihatnya dengan mata yang lain.

Dengan mata kepuasan seorang ibu yang sudah berjaya melepasi laut dan bukit ujian.

Ibu yang semakin berinsut tua, dengan hati yang sesekali masih muda belia!

Monday, July 23, 2012

Ibadat Tekan Brek




Tazkirah yang menggunakan contoh yang mudah difahami, mudah pula akan menarik ramai gologan muda atau yang kurang ilmu agama seperti saya (saya bukan muda, tapi masih kurang ilmu agama).

Itu faktor penyebab mengapa kuliah UAI begitu digemari golongan muda yang sifat semulajadinya sentiasa ingin tahu.

Saya ada mendengar tazkirah awal pagi yang juga menggunakan pendekatan yang sama. Meskipun tidak selucu isi kuliah UAI, tetapi banyak hal yang disebut merupakan benda-benda yang setiap kali tibanya Ramadan, akan selalu dibicarakan. Ramai yang merungut, benda yang sama sahaja disebut saban tahun sehingga telinga enggan mendengar.

Tetapi cara penyampaian ustaz ini, menyebabkan corong telinga saya terbuka luas.

Puasa hanya sebagai adat, bukan ibadat.

Ramai yang begitu, kata ustaz.

Ramadan ini sepatutnya mendidik jiwa kita untuk mengelakkan pembaziran, tetapi nampaknya kita menggalakkan pem”bazar”an di mana-mana!

Bukan maknanya tidak boleh berniaga tetapi para peniaga jangan hanya berniaga sehingga mengabaikan solat. Perhatikan bazar Ramadan, adakalanya tiada surau mudah alih yang disediakan . Asar selalu hilang sebab waktu-waktu begitulah bazar akan sibuk dengan aktiviti jual beli.

Bukan juga tidak boleh membeli. Teruskan dengan aktiviti jual dan beli tetapi awas jangan sampai membazir.

Jangan sampai kita termasuk dalam golongan yang menjadikan puasa sebagai adat. Kita puasa tetapi tidak solat. Puasa tetapi tidak menutup aurat. Kita memenuhi saf untuk terawih hanya di awal Ramadan. Sebab di hujung-hujung Ramadan, kita sibuk membeli-belah baju raya sehingga tiga puluh pasang, sibuk juga menukar langsir, menukar kereta dan menukar segala yang boleh ditukar.

Kaum perempuan, mungkin boleh dimaafkan jika saf solat terawihnya tidak penuh sebab dalam sebulan mereka ada cuti semester.

Untuk menjadikan puasa kita sebagai ibadat, kita perlu faham puasa itu apa serta faham adab-adab berpuasa.

Kata ustaz, puasa ini ibadat tekan brek, sedangkan ibadat-ibadat lain seperti solat, haji, zakat dan sedekah merupakan ibadat tekan minyak.

Kalau solat, kita kena tekan minyak kereta supaya kita dapat “bergerak ke hadapan”. Kita kena berdiri, rukuk dan sujud. Kalau menunaikan haji, kita kena tawaf dan saie. Kalau zakat, kita kena ambil duit dan mengeluarkan zakat.

Tetapi puasa merupakan ibadat tekan brek kereta. Mengapa?

Tekan brek, kita kena buat apa? Puasa ialah ialah ibadat “tak buat”, ibadat berhenti.

Kita berhenti makan, minum, memaki hamun atau bersama suami atau isteri. Kita menahan diri daripada perkara-perkara tertentu dalam jangkamasa tertentu mengikut kaedah-kaedah yang tertentu.

Alhamdulillah, terima kasih ustaz atas ilmu yang sangat bermanfaat.

Saya mahu menekan brek kereta sekarang sebab waktu imsak sudah tiba.

Saya juga mahu menekan minyak kereta sebab azan subuh sudah kedengaran!

Saturday, July 21, 2012

Selamat ber"serai"!


Set Induksi:

Pak Tam sedang duduk di ruang tamu menonton sinetron “Puteri Yang Ditukar”. Waktu berbuka masih lama, lebih kurang dua jam lagi. Tiba-tiba anaknya, Faiz datang ke ruang tamu.

“Abah, mak nak minta cerai...”

Hah!...Pak Tam sangat terkejut. Hampir terjatuh dia dari kerusi. Apa salahnya sehingga Mak Yam mahu meminta cerai? Takkanlah sebab dia terlupa membeli kurma Yusof Tayyub di kedai runcit Lebai Kay Dan Anak-anak semalam?

Pak Tam memanggil Mak Yam.

“Awak merepek apa bulan-bulan puasa ni Yam? Tiba-tiba pulak nak minta cerai?” tanya Pak Tam tidak puas hati.

“Bila masa pulak saya minta cerai?”

“Tadi si Faiz cakap dengan saya yang awak nak minta cerai!”

Pak Tam lupa bahawa anaknya si Faiz pelat. Itu sebabnya dia memberi anaknya minum air ECPI 1.5 liter sehari dengan harapan anaknya itu akan sembuh.




Kali ini Ibu Bunga Matahari akan memberikan sedikit info berkaitan bahan masakan yang memang sentiasa ada di setiap dapur rumah kita, khususnya sepanjang Ramadan ini.

Kita akan memfokuskan tulisan ini kepada salah satu tumbuhan yang sangat dekat di hati kita iaitu serai makan.

Kalau siapa yang tidak kenal apa itu serai makan, mungkin orang itu makhluk asing yang datang dari Planet Musytari!

Salah satu khasiat serai ialah bahan analgesik dalam minyak serai mampu mengurangkan sakit dan inflamasi. Ia juga mampu melegakan sakit otot, sendi, sakit gigi dan sakit kepala. Juga turut mengurangkan sakit badan yang diakibatkan daripada senaman yang dilakukan secara tiba-tiba.

Kadang-kadang badan kita yang terlalu manja ini terkejut dan melatah apabila kita tiba-tiba melakukan senaman.

Bahan antikemurungan dalam minyak serai boleh merangsang keyakinan, semangat, kekuatan mental dan melawan kemurungan (jangan lupa merawat kemurungan dengan membaca al-Quran juga).

Bahan antimikrob dan antibakteria dalam minyak serai membuatkan ia sesuai digunakan untuk menyekat pertumbuhan mikrob dan bakteria di dalam atau di luar tubuh. Ia dikatakan boleh menyekat jangkitan bakteria di kolon, perut, saluran urinari, luka, sistem pernafasan dan lain-lain lagi.

Bahan galaktogogue dalam minyak serai juga amat baik untuk wanita. Ini adalah kerana bahan tersebut adalah agen yang mampu meningkatkan pembentukan susu dalam payudara. Ia amat sesuai untuk ibu yang sedang menyusui bayi.

Khasiat yang di atas tu khusus untuk ibu-ibu muda, yang sudah sebaya saya dan sudah "luput tarikh" tak payah susah-susah nak fikir.

Serai boleh membantu mengubati sakit demam kuning. Bagi merawat demam kuning, secekak pokok serai direbus dalam bekas mengandungi sebaldi air. Keseluruhan pokok termasuk akar dan daunnya direbus sehingga air rebusan menggelegak. Selepas beransur suam, ia kemudian dijadikan air mandian dan sebaik-baiknya tidak dibilas dengan air biasa. Amalkannya tiga kali sehari iaitu setiap kali waktu mandi sehingga demam kuning benar-benar sembuh.

Walaupun warna "kuning" dianggap warna sensitif di negara kita sekarang ini (selain daripada warna oren dan hijau), tapi sebab yang ada dalam ensaiklopedia perubatan hanyalah penyakit demam kuning; saya tak boleh sesedap rasa menggantikannya dengan demam merah jambu atau demam biru tua!

Mandian air rebusan serai ini juga sangat sesuai untuk ibu-ibu dalam pantang kerana ia boleh menghilangkan bau hamis badan.

Sebenarnya kalau kita yang tidak dalam pantang pun boleh mandi, dengan izin Allah memang badan kita rasa segar. Apalagi jika dimasukkan sekali daun serai wangi. Memang menangis bakteria dibuatnya!

Bahan antipiretik dalam minyak serai dikatakan boleh merawat demam. Bahan karminatif dalam minyak serai dikatakan mampu mengawal masalah angin dalam badan. Ia bukan sahaja mampu mengurangkan angin daripada usus tetapi mampu menghentikan pembentukan angin dengan lebih lanjut.

Untuk yang kuat naik angin, itu sendiri cari ubat!

Kajian juga telah menunjukkan bahawa serai memiliki bahan antibakteria dan antikulat. Dalam perubatan tradisional, serai yang dicampurkan dengan lada hitam boleh merawat masalah haid dan loya.

Serai juga mampu memperbaiki kulit dengan cara mengurangkan jerawat. Ia bertindak menegapkan otot dan tisu. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan tekanan darah. Caranya adalah dengan meminum air serai yang telah direbus. Serai amat terkenal dengan kesan memberi ketenangan yang mampu melegakan insomnia dan tekanan.

Serai juga membantu mengurangkan kolestrol iaitu asid lemak tepu yang terdapat dalam badan menerusi pemakanan. Bagi mengurangkan kolesterol, tiga atau empat batang serai yang telah dibuang akar dan daunnya diracik-racik terlebih dahulu sebelum direbus. Segelas air rebusan itu kemudian diminum perlahan-lahan atau sedikit demi sedikit dua kali sehari iaitu setiap pagi dan petang.

Selalunya, mereka yang mengamalkannya dapat melihat kesan pengurangan kolesterol dalam beberapa minggu. Tetapi pada waktu yang sama pengambilan makanan berkolesterol tinggi perlu dielakkan.

Maknanya tak guna juga amalkan minum air rebusan serai itu kalau tiap-tiap hari kita melantak nasi arab di Senawang atau nasi lemak di restoran Cik Nan di Pekan Lenggong sampai dua tiga pinggan!

Satu kajian yang dilakukan mendapati bahawa setiap 100gm serai yang direbus mengandungi beta karotena, sejenis antioksidan yang dipercayai oleh ahli saintis mampu mencegah kanser. “Citral” ada kunci utama yang memberikan rasa dan bauan seakan lemon di dalam sebahagian jenis herba atau rempah ratus seperti serai.

Hasil daripada penyelidikan mendapati “citral” akan menyebabkan sel-sel kanser ini “membunuh diri sendiri” dengan mengunakan “apoptosis”, sejenis mekanisme yang dikenali sebagai sistem sel mati. Hanya dengan meminum sebanyak satu gram air rendaman serai segar sudah cukup untuk “citral” memaksa sel-sel kanser membunuh diri.

Subhanallah!

Malah, serai juga boleh digunakan sebagai bahan untuk memastikan anjing tidak menyalak secara keterlaluan atau bersikap agresif. Caranya adalah dengan menyemburkan bau serai pada anjing tersebut.

Itu pun kalau ada yang berani pergi dekat anjing yang tengah galak menyalak!

Ada petua tradisional yang mudah dan murah untuk melebatkan rambut anda. Ambil beberapa batang serai dan tumbuk sehingga pecah. Rebus batang serai yang dihancurkan dengan air hingga mendidih. Apabila air rebusan telah sejuk atau suam-suam kuku, sapu sapu hingga rata, pastikan air rebusan serai meresap ke kulit kepala. Biarkan selama lebih kurang dua jam, kemudian bilas dengan air biasa. Amalkan sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Apa pun, kita perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Nasi ulam hidangan berbuka,
Wanginya bau hirisan serai,
Sungguh kasih kepada adinda;
Walau sehari tak sanggup bercerai.

Moralnya: kalau anak tu pelat, jangan suruh dia pergi beritahu ayahnya bahawa ibunya mahu minta serai. Tak pasal-pasal ada yang merajuk dan makan hati.

Jumpa lagi dan selamat ber"serai", bukan ber"cerai"!

Friday, July 20, 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan



Selamat datang wahai Ramadan.

Ramadan yang selalu wangi.

Bulan yang dipenuhi dengan tangisan iblis dan sekutunya.

Wahai Tuhan, ampunilah kami jika amanah-Mu kami mungkiri, janji kepada-Mu kami khianati.

Berikanlah pengakhiran yang baik buat kami, anugerahkanlah keturunan yang soleh dan solehah, jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa mendapat hidayah.

Wahai Tuhan, mudah-mudahan ini bukan Ramadan terakhir kami.


NOTA:

Cara menunaikan solat tarawih bersendirian:-

Barangkali sebab kekangan masa dan tugas, ada antara kita yang tidak dapat ke surau atau masjid untuk berterawih. Juga untuk ibu-ibu yang punya anak-anak yang masih kecil; anda bolehlah menunaikannya secara bersendirian di rumah.

Tiada yang berbeza cuma niat perlu digugurkan perkataan makmum. Setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki (lapan, dua puluh dll).

Bacaan surah juga boleh dibacakan surah-surah yang biasa kita baca saat melaksanakan solat.

Berselawat selepas setiap dua rakaat,tidak wajib dan tidak mencacatkan solat terawih. Amalan berselawat itu hanya dilakukan sebagai selingan antara dua-dua rakaat solat untuk memberi kerehatan.

Jika kita tidak berselawat, kita boleh menggantinya dengan ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, dan sebagainya.

Kita juga harus meneruskan solat tanpa menyelanginya dengan sebarang ibadah yang lain.

Kita boleh menutup solat kita dengan solat witir, tiga atau satu rakaat. Jika satu rakaat, selepas Fatehah, bacalah surah Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-nas.

Selamat beramal. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan Allah atas segala perbuatan dan ketelanjuran kita di muka bumi ini.

Friday, July 13, 2012

Hujan Panas Kehidupan



Hari ini, ada yang datang, bercerita dan menangis.

Aduhai, Allah cipta dunia ini dengan hujan dan panas, bukannya hujan semata-mata.

Menangislah, tapi berpada-pada. Bengkak di mata, bengkak di hati. Takut nanti membawa mati.

Memberi juga jangan terlalu. Menerima tak boleh selalu.

Kadang-kadang menjadi penasihat cinta, kita belajar banyak tentang manusia.

Saya yang kurang ilmu hanya memberi panduan, kalian yang menentukan haluan.

Kalau banyak sangat menoleh ke belakang, mahu tersadung akar di jalanan, paling teruk terus masuk ke lubang.

Bukan maksudnya saya gemar bermain-main dengan kehidupan, tapi hidup jangan terlalu serius, sehingga tiada satu pun yang melucukan.

Hidup kita bukannya lama.

Teringat...

Semalam, seorang pelajar lelaki empat belas tahun, terbaring di aspal panas, berselimut kain putih. Darah melebar di bawah tubuhnya. Orang ramai berkerumun. Saya sangat berharap, mereka tidak “menibai” pemandu lori yang terlibat. Mangsa tidak bertopi keledar, merempuh lori dengan kuat. Lori yang besar dengan motosikal...takkan lori yang remuk!

Jangan jadi seperti orang yang membakar buku sebab dia tak pandai-pandai juga membaca. Bukan salah buku, sebab yang salahnya dia. Siapa suruh belajar membaca buku bahasa Tamil sedangkan dia orang Melayu!

Maaf, sekali lagi saya tidak bermaksud mahu bermain-main dengan kehidupan.

Tapi ujian itu rencam. Ujian susah dan senang. Kaya dan miskin. Pandai dan bodoh. Sihat dan sakit.

Ujian hidup dan mati.

Kasihan pada si emak yang menangisi kematian si anak. Seperti dia yang hilang nyawa, sebab yang hilang itu memang “nyawanya”.

Allah hu Akbar!

Wednesday, July 11, 2012

Amukan Samurai



Kejadian amuk-amukan ala samurai di Putrajaya.

Seorang maut, penyerangnya. Lelaki tanpa baju berbadan sasa.

Mulanya saya tidak begitu peduli, sebab saya memang sudah lama benar tidak menonton berita di saluran utama atau membaca akhbar bercetak. Sebetulnya juga saya sudah letih membaca lambakan kes jenayah yang seperti tidak surut-surut saban hari.

Entah bagaimana, ketika melakukan blog-walking, saya tersinggah ke sebuah blog dalam usaha mencari pusat perubatan berkaitan masalah titanus yang baharu saya hidapi.

Blog ini memaparkan berita berkaitan penyerang. Ada pautan di situ. Rupa-rupanya allahyarham punya sebuah blog juga.

Saya buka blog itu dan membaca keseluruhan tujuh belas entri dengan segala komen-komen daripada pengikut setianya.

Gambar profilnya juga tidak berbaju. Jelas Jayanegara @ Khalil Afandi memang tegap. Usianya setahun tua daripada saya. Melihat laman Facebooknya, dia bekas pelajar MRSM Pengkalan Chepa.

Apabila membaca entri demi entri, saya mengesan sesuatu. Dia bukan sembarangan orang. Dia punya kemahiran berbahasa, memanipulasi ayat, ada unsur sastera juga, berpengetahuan dalam pelbagai bidang termasuk falsafah dan suka membaca.

Saya kira, pemberontakan itu sudah lama bersarang dalam jiwanya yang sudah sedia kacau. Keserabutan dunia dan ketidakadilan menggusarkan dia. Dan ada juga catatan yang melucukan. Dia berkawan dengan semut selama 4 tahun dan akhirnya semut itu maut kerana kecuaiannya.

Dia menulis,

“Ingat tu Dhada, Hambali dan Ali Osman.

Kita bukan berjuang kerana sesuap nasi tapi kita berjuang kerana umat manusia. Maka kekalahan kita bermakna kekalahan umat manusia yang ada harini.

Setelah kita dikalahkan pastinya ketawa besar siDajjal kawan lama ku. Dulu aku kawan dia sekarang dia dah lawan tokeh..... terpaksa kutinggalkan dia bersama Ibliss Tuhan Alam Kegelapan”

Macam membaca buku Harry Potter.

Cuma saya tidak nampak mana-mana tulisannya yang mendakwa bahawa dia Imam Mahdi seperti yang dilaporkan di akhbar perdana. Dia peminat mantan PM Tun Mahathir, mengkritik pemimpin-pemimpin PAS, sultan dan mufti beberapa negeri tertentu.

Memang pening juga membaca tulisannya. “Tinggi” falsafah si Khalil ini. Yang menjadi pengikut setianya hanya dua tiga orang. Daripada gaya penulisan, pengikutnya juga berpendidikan (kemudian barulah saya ketahui wanita yang bersamanya itu, Dhada @ Muhdalena merupakan graduan UIAM).

Sebagai manusia, saya bersimpati. Ajalnya berakhir sebegitu. Entah di mana silapnya sampai begitu nekad melakukan amukan.

Al-fatihah.

Selamatkah Malaysiaku?

Mudah-mudahan aman selalu.

P/S: ada komuniti maya yang mendakwa mungkin ada "sesuatu" di sebalik "sesuatu" sebab...

Entahlah. Hanya Allah sahaja yang tahu,

Monday, July 9, 2012

Hingga Ke Syurga



Hari minggu yang sejuk.

Rahmat Syaaban dan bakal Ramadan.

Setelah beberapa bulan, anak ini kembali berziarah.

“Mahu ceritakan sesuatu. Dan tanya pendapat juga” katanya lewat sistem pesanan ringkas.

Menjenguk di pintu, dia sedikit kaget, “Wah, sudah sedikit kurus!”

Alhamdulillah.

Sesi bercerita bermula. Saya tekun mendengar. Melihat ekspresi wajah dan senyum semanis kurma, memang sahlah dia sedikit-sedikit sudah jatuh cinta.

Oh, ada masalah juga rupanya.

Biasalah. Cinta memang begitu.

Pendapat saya daripada segulung ijazah “pengalaman”.

Satu: perkahwinan bererti kamu perlu mengahwini keluarganya dan kelemahannya. Dia juga perlu berbuat hal yang sama. Perkahwinan bukan hanya perkongsian hati dan diri hingga ke hujung nyawa, tetapi juga hingga ke syurga. Perkahwinan bermakna saling melengkapi kekurangan, memberi dan menerima seadanya.

Dua: ambil waktu untuk bertanya Tuhan. Dia lebih tahu apa yang kita tidak tahu. Kemahuan-Nya lebih baik daripada apa yang kita dan si dia mahu.

Tiga: jangan takut jika ditolak. Ramai manusia yang ditolak beribu kali tapi masih juga mampu bahagia.

Empat: menjadi isteri atau suami perlu ada seni berjenaka. Tidak mengapa jika tidak begitu budiman atau sehebat maharaja lawak. Menjadi sedikit aneh, adalah keistimewaan yang pasti akan selalu diingat oleh pasangan kita.

Lima: betapa ego atau hebatnya lelaki di mata manusia lain, di dalam tubuhnya terkurung seorang anak kecil yang menolak untuk jadi dewasa. Dia mahu dimanjakan sebagaimana kemanjaan yang diperoleh daripada ibunya.

Enam: sama-sama berusaha untuk mendalami agama. Kalau memang sudah sedia “ustaz” atau “al-hafiz”, itu rezeki terpijak. Tapi kita sendiri tidak sepandai mana, syukurlah jika yang datang itu mahu berusaha mencari agama.

Mudah-mudahan dia mengerti. Menjadi isteri atau suami yang baik sahaja tidak cukup. Mesti juga cerdik!

Hidup bukan perjalanan yang mudah.

Tapi tidak juga terlalu susah.

Friday, July 6, 2012

Hujan Pagi dan Kotak Kenangan Atika Atira



Jam 4.30 pagi, hujan pagi Jumaat 16 Syaaban yang mulia.

Piza domino sejuk untuk sahur dengan secawan minuman herba, dua gelas ECPI dan suplimen.

Selalunya selepas subuh dan mengaji, lelap sekejap sementara menanti dhuha. 

Hujan pagi yang cantik dan dingin.

Mata sudah pedih, kepala berpinar tetapi saya tidak juga lelap.

Saya memanjat kerusi. Ada sebuah kotak yang sudah usang di atas almari. Sedikit habuknya saya sapu.

Di atas kotak itu tercatat “Kotak Kenangan” dengan pen merah. Ada sajak yang saya tulis di situ, tetapi sebahagian tulisannya sudah agak kabur.

Membuka kotak itu seperti membuka semula kenangan. Di dalamnya sarat dengan kad-kad buatan sendiri dan juga yang dibeli.  Mereka tahu saya sangat menghargai kad yang dibuat sendiri, lebih tulus dan abadi.

Juga lukisan anak-anak waktu mereka masih kecil. Paling banyak lukisan “Ibu Saya” dengan mercu tanda tahi lalat di batang hidung, di sebalik kaca mata. Sajak-sajak anak, sebuah buku harian yang penuh dengan catatan cinta sedih gembira tulisan saya dan suami, sebuah skrip drama pentas saya bertajuk “Genta Bejat” yang pernah dipentaskan beberapa kali, surat pelajar-pelajar, catatan anak-anak yang membuatkan saya ketawa sendiri, ada kalanya pantas mengalirkan air mata di pipi.

Sekeping kad buatan sendiri dengan tulisan yang hiruk-pikuk, dan lakaran tiga perempuan bergaun seperti sang puteri.

“Ibu, selamat hari jadi. Maafkan kakak, ibu, sebab selalu buat ibu marah. Kakak tak dapat kontrol kemarahan kakak. Akak tak tahu nak kontrol kemarahan kakak macam mana. Terima kasih ibu sebab sanggup menjaga kakak, ibu tetap bersabar. Tahniah! Yang benar, anakmu”

Saya tergelak besar. Sempat lagi dia mengucapkan Tahniah! Kemudian dia menulis dua rangkap syair mengenai jasa ibu. Sedap juga syairnya, rima akhirnya juga betul.

Sekeping lagi kad dengan lakaran beruang, sebelah tangan memegang buku dan sebelah tangan memegang ijazah, “Tahniah kerana mendapat tempat pertama. Akak minta maaf kerana buat salah UUM tadi. Maklumlah buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, kami budak baru belajar, apa salah tolong tunjukkan”

Di kad itu tidak tercatat tarikh tapi saya pasti sekitar tahun 1999, saat mereka menemani saya ke majlis konvokesyen Masters of Science Management di UUM.

Tapi yang buat saya rasa lucu ialah pantun itu. Pandai juga dia memujuk.

Kali terakhir dia menulis dalam bahasa ibunda ialah sekitar tahun 2003 waktu berada di tingkatan satu. Waktu itu dia memenangi tempat ketiga dalam Sayembara Menulis Cerpen Perpaduan peringkat Kebangsaan dengan tajuk “Subha”. Hadiahnya RM1000, dengan sijil dan beberapa naskah buku. Dan selepas itu anak ini lebih selesa menulis dalam bahasa Inggeris.

Sekeping lagi kad buatan sendiri dengan mercu tanda yang mudah untuk diketahui siapa pengirimnya.

Kura-kura!

Ada dua ekor kura-kura. Seekor besar dan seekor kecil. Dengan catatan “ibu dan adik”.

Sedari kecil, itulah tanda mudah untuk mengenali anak ini. Lukisannnya sehingga sekarang dipenuhi kura-kura, seperti anak patung kura-kura pelbagai saiz yang memenuhi ruang katil bujangnya.

“Assalamualaikum. Selamat hari raya puasa kepada ibu yang tersayang. Saya mendoakan ibu sihat sejahtera. Tujuan saya bagi kad raya ni untuk menggembirakan hati ibu, kalau tak bagi ibu mesti merungut sebab ibu tak pernah dapat kad raya.Emmm...tak apalah saya tak larat nak tulis ni. Sekian”

Hahahaha...dia memang pakar dalam bab menggembirakan hati ibunya.

Saya pasti mereka terkejut sebab saya masih menyimpan semua kenangan itu. Mereka tidak pernah tahu ada sebuah kotak lusuh berhabuk yang di dalamnya terisi kisah suka dan duka.

Hujan pagi ini menghujankan hati saya dengan sebuah sajak yang ditulis dengan pensel.

Tulisan seorang anak kecil Tahun Lima dengan bahasanya yang biasa-biasa tetapi ditulis daripada hati. Dan saya menurunkan catatan ini tanpa sebarang pembetulan.

Tajuknya ringkas. “Ibu”.

“Meskipun dirimu letih melayan karenah kami
tetapi di sebalik letih
tersembunyi kasih sayang
kasih sayang yang tidak dapat dihilangkan oleh
sesiapapun
kecuali yang maha esa
walaupun iras wajahmu memaparkan wajah gembira
tapi, aku tahu dalam hatimu penuh seribu kedukaan
daripada pagi sampailah ke malam
tanganmu tidak berhenti bergerak
mencari rezeki, mencari sesuap nasi
bukan mudah menggantikan tempat bapa
yang sudah pergi meninggalkan kami
setengah ibu setengah bapa
itulah tanggungjawab yang dilepaskan oleh bapa
kepada ibu
ibu tiada bandingan
kata-kata ini diucapkan untuk semua ibu di dunia”

25.8.2001
Akak

Wednesday, July 4, 2012

Kalau saya menjadi baju...



Ada senaskah buku pantun yang dihadiahkan oleh penulisnya, Almarhum T. Alias Taib (Tengku Alias Tengku Taib) kepada saya. Saya melihat tarikh catatannya ialah 25 Januari 2001. Beliau mencatat dalam bahasa Inggeris, “Laila, keep on writing. Don't stop'”.

Saya membawa anak-anak yang masih kecil dan saya beritahu mereka, lelaki yang tinggi dan berambut kerinting itu seorang penulis yang sangat terkenal.

Waktu itu kami bertemu di Rumah Gapena. Puisi saya (Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan) antara yang menang dan dipilih untuk diantologikan dalam “Aksara Merdeka”. Puisi itu akan dibacakan oleh wakil-wakil negeri yang bertanding dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan selama lima tahun.

Sebetulnya lima tahun selepas itu, sebuah puisi saya “Taman Merdeka” terpilih sekali lagi dan diantologikan dalam “Jamung Merdeka”.

Tahun 2001 itu, barangkali beliau merupakan panel penilai.

Kami bertemu lagi di Hotel Renaissance Kuala Lumpur tahun itu juga. Sekali lagi saya memenangi hadiah utama kategori puisi. Puisinya juga menang hadiah. Tapi oleh sebab saya bukan jenis orang yang suka menonjol (dan sebetulnya lebih kepada rasa rendah diri) saya segan sekali mahu menyapa. Kami bergambar bersama-sama menteri, tetapi saya tidak se”glamour” pemenang lain yang cantik-cantik pakaian dan anggun penampilan. Dia pun pasti tidak mengingati wajah saya.

Saya kira saya pasti akan bertemunya lagi. Saya peminat puisinya sejak sekolah rendah. Masih segar di ingatan bagaimana saya selalu mengambil buku puisi kakak (yang digunakan sebagai teks untuk SPM tahun sekitar 1970-an) dan muka pertamanya ialah sajak beliau tentang “air yang melompati batu”.

Kalau ayah membawa saya ke lata di hujung kampung, minda kanak-kanak saya selalu melihat “air yang melompati batu” persis yang dipuisikan oleh T.Alias Taib itu.

Impian saya untuk bertemunya sekali lagi tidak kesampaian. Anak jati negeri penyu menangis itu meninggal dunia pada 17 Ogos 2004.

Sekali-sekala saya akan membuka buku yang dihadiahkannya. Ada dua tandatangan di situ.

Satu tandatangan beliau dan satu lagi tandatangan Jins Shamsuddin yang kebetulan hadir. Anak sayalah yang meminta tandatangan beliau di naskah itu sebab anak tidak membawa buku nota (mereka yang masih kecil menjadi perhatian dalam majlis sebab tetamu memikirkan mereka pasangan kembar berlainan jantina. Jenuh saya memberi penjelasan malam itu, terutama apabila melihat wajah si adik yang tidak puas hati apabila disapa “abang”. Memanglah pakaian mereka sama, wajah ada iras yang sama tetapi si adik bukan lelaki meskipun kelihatan seperti lelaki!)

Ada beberapa hal yang dicatat oleh T.Alias Taib yang sependapat dengan saya.

Antaranya ialah, “ di Malaysia, majlis baca puisi hari ini dipenuhi penyanyi dan aktres jelita yang tidak mempunyai pengetahuan latar tentang puisi; jauh sekali pengetahuan tentang kaedah membaca puisi dengan betul. Mereka diundang semata-mata kerana ada nama, besuara lunak dan jelita. Oleh kerana itu mereka gementar, gagap dan sumbang di pentas”

Itulah juga sebabnya saya tidak pernah hadir jika majlis baca puisi dipenuhi artis! Bukan sebab mereka gementar di pentas (sudah biasa di pentas, mustahil mereka akan gementar) tapi saya memang alergik dengan persatuan penulis yang gemar mengundang artis (dan kadang-kadang politikus yang "memualkan") dengan niat “murni” mahu “memasyarakatkan” puisi.

Kalau mahu memasyarakatkan puisi, artis sahajakah yang ada di Malaysia ini?

Komennya lagi,

“Hampir 95% daripada drama di televisyen Malaysia adalah kisah perebutan cinta, minum teh petang, melonggar dan mengetatkan simpul tali leher, berbual di telefon, menari dan mabuk di disko. Selepas 10 atau 15 minit menonton drama Melayu, saya sudah boleh meneka bagaimana cerita itu akan berakhir. Lazimnya, lapan daripada sepuluh tekaan saya tepat”

Catatannya yang menyentak hati saya ialah,

“Ibu adalah pelukis. Pada tangannya terdapat berus, warna dan kertas putih. Masa depan anak-anak bergantung kepada warna yang dibancuhnya; lembut atau garang, cerah atau gelap, sejuk atau panas. Seorang ibu mengambil masa dua puluh satu tahun membesarkan anaknya, si anak hanya memerlukan beberapa minit memusnahkan hidup ibunya”

Dan catatan yang perlu difikirkan dengan mendalam, “Tiada guna membaiki jam pada tukang jam yang memakai jam mati...”

Saya dapat mengesan kepercayaan politik beliau daripada beberapa catatannya.

“Zaman dulu gadis ke bendang,
Zaman ini gadis ke kilang;
Zaman dulu politik juang;
Zaman ini politik wang”

“Orang miskin berhati gundah,
Meski gundah tetapi mulia;
Pemimpin tulen berani melangkah;
Bendul penjara dengan ceria”

Tulisan-tulisannya akan terus saya baca meskipun dia sudah tiada. Pesanannya bahawa “orang yang tidak sanggup kalah tidak akan menang” akan selalu saya ingat.

Pasti selalu saya ingat sebab kalah atau memang adat kehidupan dan kehidupan ini pula tidak punya getah pemadam atau “liquid paper” untuk memadamkan apa-apa yang kalah!

Monday, July 2, 2012

Jintan Hitam Yang Ajaib




Jintan hitam. Habbatussauda.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasullallah S.A.W yang bermaksud, “ tetaplah kamu dengan habbatussauda kerana sesungguhnya baginya terdapat ubat segala penyakit kecuali al-sam (mati)”

Satu hadis yang sangat popular kalau kita rajin mendengar promosi minuman dan makanan kesihatan di corong radio IKIM.

Ramai orang sekarang sudah kembali kepada makanan sunnah. Produk makanan dan minuman sudah punya campuran dengan bahan-bahan ini termasuklah madu, buah delima, minyak zaitun, kurma dan sebagainya.

Sejak disahkan ada sedikit penyakit, saya membeli dua kilogram habbatussauda yang dibawa terus dari Kota Mekah. Insyaallah saya akan memesan sekilogram lagi sebab bekalan habbatussauda itu telah habis.

Saya tidak memasukkan herba ini ke dalam masakan sebaliknya memakannya mentah-mentah. Jika menurut buku perubatan Islam, malahan saranan daripada perawat di Darussyifa, segenggam habbatussauda ini perlu ditumbuk dan dicampur bersama madu, langsung diminum. Jika boleh lakukan beberapa kali dalam sehari.

Tetapi saya alah dengan madu. Kemanisannya boleh “membunuh”. Maka saya memakan herba ini dengan pinang dan sirih. Kalau tiada kedua-duanya, saya makan begitu saja. Walaupun rasanya kurang enak, tapi tidak mengapa.

Hasilnya?

Oh Allah, Dia telah memberikan keajaiban-Nya.

Badan kurang berangin, saya berasa sihat tanpa ada masalah demam. Kalau dulu saya selalu sakit dan lenguh badan, sekarang tidak lagi.

Penyakit saya pun sudah mula beransur pulih meskipun saya perlu berhati-hati. Di bawah pemantauan wajib pakar selama lima tahun, saya perlu bersungguh-sungguh mengawal stres dan pemakanan. Ajaib sekali apabila suntikan yang sepatutnya saya ambil (dan bermakna di”monopouse” secara paksa), akhirnya ditarik balik. Maha Suci Dia yang selalu mendengar.

Segala suplimen dan herba adalah "nasi" yang mengenyangkan saya setiap hari. Emak pun geleng kepala melihat kesungguhan saya menghabiskan berbotol-botol suplimen dan segala ubatan yang memenuhi meja. Maklumlah, saya seorang pekerja dan banyak hutang pula. Anak-anak masih di kampus. Apabila saya diberikan cuti, saya mesti benar-benar memanfaatkan cuti itu untuk berehat, mengubati diri, termasuklah membelanjakan sejumlah besar wang untuk suplimen setiap bulan. Saya tidak mampu bersenaman di padang untuk mengeluarkan peluh. Mengurung diri daripada matahari memang aktiviti yang menjemukan. Tetapi istiqamah saya dengan suplimen dan herba-herba itu pasti membantu saya untuk sihat.

Berbalik kepada si jintan hitam. Pernah anak saya diserang demam waktu cuti semester. Saya memujuknya ke doktor tapi dia enggan. Sebaliknya dia makan habbatussauda dan minum dua botol besar ECPI, dengan izin Allah, demamnya kebah tidak sampai dua hari.

Sekarang, sudah tiada bekalan panadol dalam tas tangan saya.

Saranan saya, amalkan memakan jintan hitam ini dengan istiqamah. Selebihnya tingkatkan doa agar Allah mengeluarkan segala penyakit berbahaya dari dalam tubuh kita, yang mengekang kita daripada beribadah kepada-Nya.

Insyaallah, jintan hitam itu adalah salah satu jalan ikhtiar yang Allah anugerahkan kepada manusia.