Jika kita tidak mampu menghentikan terjahan hujan, bergembiralah dengan mandi-manda di dalam lebatnya...bukan bahagia yang menjadikan kita bersyukur tetapi dengan bersyukur menjadikan kita bahagia.
Total Pageviews
Friday, May 25, 2012
Pakej Hidup
Saya membeli sebuah lagi buku tulisan seorang profesor Indonesia. Namanya Prof. Dr. H. M. Amin Syukur. Tajuk buku itu Zikir Penyembuh Kanser.
Sepanjang bercuti ini, ada satu aktiviti yang tidak mampu untuk saya hindari. Lawatan ke toko buku! Sehinggakan sudah puluhan naskah saya beli menjadikan tiada lagi ruang simpanan.
Makanya, buku-buku dan majalah itu saya susun di meja. Daripada ensaiklopedia sampailah ke majalah islami. Juga komik-komik sains dari Korea!
Ada sesuatu yang sangat menarik yang saya baca di bahagian kata pengantar.
Tulisnya, "ketika kita dilahirkan, bersama-sama kita ada pakej yang menemani perjalanan kehidupan kita. Pakej itu terdiri daripada dua hal yang berlawanan. Ada senang ada susah. Ada suka ada duka. Ada tawa ada tangis. Pakej ini akan mengiringi kita sejak lahir hingga saat kita meninggal dunia. Suka atau tidak, kita kena menerimanya..."
Ya, kita kena menerimanya sebagai asam garam kehidupan.
Itu sebabnya Allah mencipta siang dan malam, langit dan bumi, lelaki dan perempuan, juga syurga dan neraka.
Semua yang ada di hadapan muka kita itu, tujuannya supaya kita berfikir dan menyedari kekerdilan kita di sisi-Nya.
Mana ada orang di dunia ini yang hidupnya hanya dipenuhi suka? Bahkan mereka yang tinggal di istana yang berselimutkan kemewahan pun ada saat dukanya. Kita melihat golongan ini terbang ke luar negara seperti balik kampung sahaja. Membeli belah barangan mewah di Harrods seperti membeli sayur di pasar malam.
Tetapi apakah mereka tidak punya masalah? Pasti ada!
Cuma barangkali ada sedikit beda.
Kita selalu bermasalah sebab tidak punya wang. Gaji selalu saja tidak mencukupi. Sedang wang bagi mereka bukanlah satu masalah besar. Mungkin masalah mereka ialah bagaimana mahu membeli kuasa dengan wang, sebab ada kalanya wang tidak laku untuk membeli jiwa insan miskin yang dipenuhi iman.
Hati...bersyukurlah! Tidak kira siang atau malam, gelap atau pun terang. Itulah kehidupan.
Tuesday, May 22, 2012
Mesin Yang Bercuti
Sepatutnya hari ini hari ke-10 menjalani rawatan.
Tapi jam sembilan tiga puluh lima pagi ada panggilan. Sewaktu buru-buru keluar dari bilik air, panggilan sudah di hujung. Melihat di skrin, panggilan itu dari hospital. Saya menekan nombor dan bertanyakan kepada operator yang menyambut, panggilan itu dari klinik yang mana satu. Maklumlah hospital itu punya banyak klinik dan saya berurusan dengan tiga buah klinik, dengan doktor yang berbeza pula.
Sudah dapat mengagak tujuan panggilan. Mesin rosak!
"Kalau esok tiada panggilan sehingga jam sepuluh pagi, kak datanglah macam biasa" suara lelaki di hujung talian.
OK. Harap-harap jangan lama mesin itu mogok. Kalau mesin mogok, kuman-kuman gembira ria menyambut hari raya!
Sudah sembilan kali saya terbaring di atas pelantar yang muat-muat badan saya. Petugas dan doktor membetul-betulkan kedudukan badan saya supaya selaras dengan mesin. Setelah selesai menyelaraskan ukuran, lampu dibuka. Petugas dan doktor segera beredar dari situ. Tinggal saya keseorangan mendiamkan diri, kaku tidak bergerak selama masa rawatan yang pendek itu. Kemudian, ada lampu kecil di siling bilik tiba-tiba berwarna merah, seiring dengan bunyi nyaring yang entah keluar dari mana. Bunyi dan lampu itu padam dan berhenti serentak. Kemudian, perlahan-lahan ada peralatan berbentuk bulat bergerak dari arah kiri mesin, melalui dada dan berhenti di sisi kanan. Sekali lagi lampu merah menyala dan bunyi nyaring memenuhi ruang bilik. Saya menjeling dengan ekor mata. Nampak seperti ada dua bahagian dalam mesin itu yang terbuka dan perlahan-lahan tertutup.
Sesi rawatan pun selesai. Saya turun dari pelantar mesin, masuk ke sudut tempat bersalin pakaian dan memakai baju saya semula.
Ada seorang kakak berusia lebih kurang lima puluh tujuh tahun, penghidap kanser tahap empat. Namanya Kayah (kalau di imigresen, pegawainya selalu meleluconkan namanya sebagai "The Rich People). Dia sudah menjalani kimoterapi sebanyak enam kali. Setelah selesai, dia perlu menjalani radioterapi pula. Kukunya jadi hitam, kulit jadi kering.
"Rambut baru nak tumbuh ni," katanya ketawa. Saya ikut ketawa.
"Tak apa, kak. Sukarelawan tu kata nanti rambut kak akan tumbuh cantik semula" Saya memujuk.
"Kalau beruban, cantik ke?"
"Cantiklah. Macam orang putih!" Dia ketawa lagi mendengar usikan saya.
Untuk yang muda-muda, tenaga masih kuat untuk melawan penyakit. Kasihan melihat mereka yang sudah berusia.
Ada sesuatu yang melucukan juga apabila saya bertanya anak, "adik perasan tak penyakit ibu ini bahaya?" Dia mengangguk.
Saya bertanya lagi, "ibu nampak macam orang sakit tak?"
Dia pantas menjawab, "tak!"
Sebab?
"Ibu kan pelik sikit. Suka main-main dengan kehidupan, mahu cuba benda-benda mustahil, semuanya melucukan bagi ibu!"
Aha! Rupa-rupanya saya begitu pada persepsi anak.
Dia menambah, "picit butang lif hospital pun mahu cuba dengan hidung. Nasib baik tak boleh sebab hidung Melayu!"
Oh...
Friday, May 18, 2012
Ramai Lelaki Buta Huruf
"Rupa-rupanya ramai lelaki yang buta huruf dan buta hati"
Kenyataan ini pasti mengundang rasa marah lelaki, tetapi tunggu dulu!
Saya ditemani anak ke hospital setiap hari menaiki komuter dan LRT. Komuter memang menyediakan dua gerabak tengah yang dikhaskan untuk wanita. Ertinya hanya untuk wanita. Lelaki tidak dibenarkan masuk untuk mengelakkan sebarang gangguan.
Tetapi daripada pemerhatian, lelaki selalu masuk ke koc itu kecuali jika ada polis bertugas yang berdiri dalam koc atau petugas komuter yang meronda dari koc ke koc.
Kita masih boleh menerima jika lelaki tua yang tidak perasan bahawa itu adalah koc untuk wanita. Maklumlah mereka sudah tua, mata pun kurang jelas. Masalahnya yang masuk itu lelaki muda, sama ada warga tempatan atau warga asing (kecuali warga asing Afrika atau Eropah). Sudah jelas tertulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, di dalam dan luar bahawa koc itu hanya untuk wanita. Tetapi mereka tetap buat tak tahu.
Yang saya katakan buta huruf dan buta hati itu sebabnya begini. Sudahlah tidak faham tulisan besar koc untuk wanita, tidak endahkan pengumuman supaya lelaki yang berada dalam koc untuk segera beredar ke koc lain; ada juga yang selamba duduk tanpa memberi tempat kepada golongan wanita yang berdiri dalam koc.
Lelakikah itu?
Anak saya memang sangat tidak puas hati, malahan dia sempat mengambil gambar situasi yang tersebut.
Lagi satu, saya perasan bahawa tiada lelaki buta atau lelaki Orang Kelainan Upaya yang tersesat masuk ke koc wanita!
Mata mereka buta, tetapi mereka tidak pernah berada dalam kesesatan yang nyata!
Bukannya apa. Peraturan itu bertujuan untuk melindungi wanita daripada pandangan tajam lelaki, khususnya warga Bangladesh dan Indonesia yang matanya tajam-tajam belaka.
Yang wanita pula satu hal. Pakaian tak pernah cukup kain. Nampak apa yang tak sepatutnya nampak.
Dua-dua pun salah.
Yang satu buta huruf dan yang satu lagi buta malu!
Friday, May 11, 2012
Jumaat itu dan ulang tahunmu!
Hari Jumaat 11 Mei 2012.
7.50 pagi genap umur puteri bongsuku dua puluh tahun.
Dulu-dulu dia pernah merungut, mengapa saya lahirkan dia pada tarikh 11 Mei itu. Tak boleh diawal atau dianjak sedikit, demikian dia bertanya saya. Mulanya saya kurang faham. Rupa-rupanya tarikh itu adalah sama dengan tarikh ulang tahun sebuah parti politik. Memang dia anak yang lucu. Tarikh lahir pun boleh jadi bahan lelucon.
Jumaat ini hari ketiga saya menjalani rawatan radioterapi. Mujur anak itu masih cuti semester yang panjang. Jumaat yang sepatutnya meraikan ulang tahunnya, dia pula setia menemani saya ulang alik ke hospital. Musim hujan lebat lewat petang menyebabkan kesesakan dan melambatkan. Cuaca pijar panas tengah hari pula menyebabkan kepala sakit waktu kami mengejar komuter ke hospital.
Alhamdulillah, saya belum menerima sebarang kesan rawatan seperti loya, perubahan kulit, kepanasan melampau dan sebagainya. Cuma sedikit rasa perit dan kepenatan. Tetapi menjelang pagi, saya cergas semula.
Bahagian kiri tempat difokuskan rawatan itu tidak boleh terkena sabun, deodoran atau bahan lain. Saya yang sudah biasa hidup dengan wangian, memang agak sukar menerima keadaan berbau seperti itu. Puas memujuk diri agar dapat menahan diri menerima keadaan sedemikian sehingga rawatan tamat, barangkali sekitar hujung Mei atau awal Jun.
Tempat rawatannya memang terasing. Lif yang khas membawa ke pusat rawatan itu mengingatkan saya kepada misteri bilik tersembunyi yang selalu saya baca waktu zaman kanak-kanak. Kisah yang selalu ada dalam buku Enid Blyton, Lima penyiasat! Lif itu lambat gerakannya dan panas juga.
Melihat pesakit-pesakit yang datang, ada yang cergas seperti saya, ada juga yang terbaring di katil, tercungap-cungap menahan sakit. Pada hari kedua, apabila melihatkan layanan jururawat dan doktor terhadap seorang pesakit muda yang kelihatan begitu kepayahan, hati saya menangis. Anak saya merungut-rungut kesal.
Namun begitu, layanan petugas dan barangkali doktor pelatih di bilik rawatan dan simulasi sangat baik. Anak-anak muda yang manis wajah dan lembut bicara, begitu sabar merawat.
Perjalanan dengan komuter dan LRT, memberikan saya peluang memikirkan makna hidup. Melihat gerabaknya yang sering bergantian isi, kadang-kadang kosong dan kadang-kadang begitu sesak dengan manusia; saya melihat warna-warni hidup. Saya memerhati gelagat manusia yang begitu rencam.
Untuk anak, selamat ulang tahun! Terima kasih sebab sanggup kelelahan menemani saat duka ibu. Mudah-mudahan Allah melihat baktimu ini, dan mempermudahkan laluanmu di dunia sini dan sana!
Friday, May 4, 2012
Haji Secawan
Namanya Haji Sakawi bin Haji Toy. Masyarakat kampung menyebut namanya sebagai Haji Zi Kampung Bukit. Tapi emak memanggilnya Haji Secawan.
Oleh sebab panggilan itu sangat unik, maka ramai orang pun ikut memanggilnya Haji Secawan. Nama Haji Secawan itu lebih popular daripada nama asalnya.
Haji Secawan barangkali berusia sekitar 50-an. Dia bukan berasal dari kampung atau daerah kelahiran saya. Haji Secawan merupakan bekas tentera yang berasal dari Parit, Perak. Perkahwinannya dengan gadis paling cantik di kampung saya membawanya terus bermastautin di kampung. Pak Haji Secawan punya dua anak lelaki. Yang sulung, seingat saya bernama Syamil, seusia puteri sulung saya.
Haji Secawan gemar bergurau. Suaranya juga serak-serak basah. Barangkali kalau dia menukar kerjayanya kepada penyanyi, tentu albumnya laris di pasaran.
Setiap petang, dia akan mengembala kawanan lembunya yang gemuk belaka. Sementara menunggu lembu-lembunya bergerak pulang ke kandang, Haji Secawan akan duduk di meja bulat di halaman rumah emak.
"Mahu kopi?" tanya emak atau abang.
“Boleh! Mai secawan!” demikian dia selalu berteriak berlucu-lucu, meniru aksi iklan TV.
Emak, kakak ipar atau anak saya yang sudah biasa dengan rutin Haji Secawan akan menyediakan seteko kopi pada setiap petang. Haji Secawan hanya minum secawan, bukan bercawan-cawan! Sebab itulah dia digelar Haji Secawan.
Kadang-kadang orang lain yang lalu lalang akan tumpang sekaki minum kopi.
Haji Secawan ringan tulang. Kalau ada kenduri-kendara, dia mudah membantu. Malahan, kenduri akan sunyi kalau dia tidak ada. Masakan gulai kambing air tangan Haji Secawan dikatakan orang memang enak sekali. Saya bukan penggemar masakan kambing, jadi saya kurang pasti sama ada dakwaan orang kampung itu benar atau pun tidak.
“Mahu bawa mak ke sana ke? Jangan lama ya. Susah kami nak makan minum kalau mak tak ada!” Haji Secawan bergurau dengan saya. Maklumlah ada khabar angin bahawa saya akan membawa emak ke Seremban untuk menjaga saya sepanjang rawatan radioterapi selama dua puluh hari itu.
Kalau dia atau yang lain terasa mahu makan sesuatu, mereka akan menyebut dan emak akan sedaya upaya memasak. Air tangan orang tua, mestilah rasanya enak walaupun ringkas. Maka, beramai-ramailah mereka menjamu selera di pelantar simen depan rumah atau di meja bulat di halaman. Itulah nilai kekeluargaan masyarakat desa.
Dia juga rajin mencarikan sireh dan pinang keluang yang lemak rasanya untuk saya. Saya mengamalkan makan bijian habbatus sauda mentah yang dibawa pulang dari kota Mekah. Memakannya begitu sahaja sudah tentu terasa kurang sedap dan payau di tekak. Saya memakannya bersama sireh dan pinang. Kalau saya pulang berehat di kampung, Haji Secawan berusaha mencari berplastik-plastik sireh dan sekarung pinang keluang untuk saya.
Bagi Haji Secawan, dunianya adalah di kampung saya. Orang baik, ke mana pun pergi, orang akan suka. Dia dan emak orang merantau. Persis nasihat Sudirman kepada anak rantau dalam lagunya, “pandai-pandailah membawa diri”. Demikianlah yang dilakukan Haji Secawan.
Melihatkan Haji Secawan, saya pun belajar untuk pandai membawa diri juga. Maklumlah, sebahagian besar usia saya habis di tempat orang.
Entah bila saya akan terus menjadi seluang yang melaut, melawan keinginan yang mendesak-desak mahu menetap ke tanah kelahiran. Tanah asal yang banjaran gunungnya selalu bersembunyi di sebalik kabus pagi. Udara desa yang segar dan manis!
Subscribe to:
Posts (Atom)