Jika kita tidak mampu menghentikan terjahan hujan, bergembiralah dengan mandi-manda di dalam lebatnya...bukan bahagia yang menjadikan kita bersyukur tetapi dengan bersyukur menjadikan kita bahagia.
Total Pageviews
Wednesday, April 18, 2012
Lelaki Tua dan Kucing Jalanan
Sudah lama saya mencari lelaki tua itu.
Emak pernah bercerita tentang lelaki ini dan keistimewaannya. Entah bagaimana, hari itu Allah mempertemukan saya dengan dia. Emak menuding ke arah seorang lelaki yang sedang terbongkok-bongkok di hadapan pasar pagi.
"Pak cik, saya minta izin untuk mencatat ya" kata saya sambil mengeluarkan buku nota kecil.
Namanya Mohd Rodhi, berusia sekitar delapan puluh tahun. Isterinya sudah lama meninggal dan dia tinggal bersendirian di Kampung Teluk Batu. Anaknya empat, seorang lelaki dan tiga perempuan. Setiap hari dia akan menanak secupak beras dan merebus sekilo ikan. Makanan tersebut akan disejukkan, digaul dan dimasukkan ke dalam beg plastik.
Seawal jam delapan pagi, lelaki tua itu akan mengayuh basikal usangnya ke pekan Lenggong. Tujuannya hanya satu iaitu memberi makan kucing-kucing jalanan yang terbuang dan merempat di sekitar pekan kecil itu.
"Ada lebih tiga puluh ekor juga di sekitar pekan ini" dia memberitahu.
"Di rumah ada?" tanya saya.
"Ada. Dua ekor memang pak cik bela dalam rumah. Empat lagi hanya duduk di luar" Dia menjawab sambil meletakkan longgokan nasi di atas kertas suratkhabar. Beberapa ekor kucing berwarna kuning emas, belang-belang cicak sedang enak menjamu selera.
"Ini binatang kesayangan nabi..." Saya mendengar dia bersuara.
Saya terkenangkan kisah sahabat nabi, Abu Hurairah.
Saya duduk lama dengan lelaki itu. Orang yang lalu lalang memandang-mandang. Dalam hati berkocak rasa. Masih ada orang semulia ini dalam dunia yang warnanya sudah hitam kelabu ini.
Wajahnya jernih dan nampak muda.
"Pak cik, mesti kucing-kucing ni selalu doakan pak cik sihat!" Dia tersenyum memandang saya.
Memang dia nampak muda. Wajahnya manis.
Balik ke rumah, saya melihat pula sesuatu. Emak sedang menabur nasi di halaman.
"Mahu beri makan burung ciak rumah. Kasihan!" Oh begitu rupanya. Burung-burung kecil itu memang selalu melompat-lompat masuk ke dalam rumah emak, kadang-kadang sampai ke dapur.
Kalau lupa menutup hidangan, memang rezeki burung-burung itulah.
Burung-burung ini, kata emak, berkawan baik dengan kumpulan murai tetapi menjadi musuh pula kepada burung gembala kerbau.
Saya dengar emak meleteri kumpulan burung gembala kerbau yang datang menghalau burung-burung comel itu.
"Mentang-mentanglah saiz awak besar!" leter emak.
Selain gembala kerbau, kucing-kucing yang selalu menumpang di halaman rumah emak juga gemar menghendap-hendap kumpulan burung comel itu.
Tetapi kecil jangan disangka anak. Mereka sangat cekap dan si kucing hanya mampu memandang burung-burung yang sedang "mengetawakannya" dari atas bumbung rumah emak.
Apa yang saya lihat dan alami itu memberitahu saya bahawa rupa-rupanya dunia ini masih punya manusia!
Saturday, April 7, 2012
Mak!
mak,
maafkan jika sampai saat ini
masih aku tidak mampu melapik manis mimpimu
dengan tilam baldu yang lembut halus
aku ingin sekali, mak
menjadi selimut yang menghalau dingin malam
dan menjadi saksi lena tidurmu
meninggalkan bekas derita masa lalu
di hujung kaki tuamu itu
mak,
mendengar cerita mimpimu sebentar tadi
kutahan tebing sebak
katamu, semalam ayah pulang ziarah
dengan wajah manis dan tubuh berisi
aku mengerti mak
itu tandanya kau amat rindu
terlalu rindu...
-ibubungamatahari 7 April 2012-
Friday, April 6, 2012
Hari Sastera Nasional Ke-15
Saya dihubungi Puan Rosmiaty Shaari mengenai undangan ke Hari Sastera Nasional Ke-15 di Melaka. Kak Ros, seorang penulis dan pernah menjadi mentor saya semasa bertugas sebagai editor di Teks Publishing sebaik sahaja saya tamat kertas peperiksaan terakhir untuk ijazah penulisan saya di UM.
Mulanya saya keberatan mahu ikut serta sebab saya cepat letih. Saya berfikir lama. Urus setia memberi jaminan ada bilik penginapan untuk siapa yang menemani saya. Saya menghubungi doktor dan beliau membenarkan dengan pesanan, jaga makan dan minum, juga cukupkan tidur dan wajib ada peneman!
Anak bongsu yang memandu ke Melaka. Dia memang selalu ikut jika ada festival sastera. Kebetulan dia baru sahaja cuti semester. Ramai yang masih cam anak saya tetapi terkejut dengan “tumbesaran”nya. Dia benar-benar menjadi pembantu khususnya untuk mengangkat beg, sekali gus menjadi jururawat saya!
Di ruang parkir, ada yang sibuk mencari sebab sudah melihat nama saya dalam senarai peserta.
Kak Mon dan Abang Aziz, suami isteri daripada sekretariat Gapena sentiasa memastikan saya selesa dan dekat dengan mereka. Terima kasih dan syukur kepada Allah. Mereka yang saya anggap keluarga itu sangat mengambil berat. Mati-mati mereka tidak membenarkan saya dihantar ke penginapan lain.
Malam Khamis 29 Mac, ada tahlil di kediaman Ketua Menteri. Oleh sebab kurang pasti dengan jadual acara dan badan saya yang cepat letih, saya tidak ikut serta.
Esoknya 30 Mac, sebelah pagi merupakan agenda penting untuk seluruh kerabat Gapena. Mesyuarat agung pertubuhan itu untuk kali yang ke-41. Walaupun saya datang atas tiket ahli seumur hidup LEPAS tetapi saya tidak mengundi. Saya hanya berfungsi sebagai pemerhati. Hanya selepas mesyuarat, barulah Ketua 2 LEPAS terkilan tidak meletakkan saya di meja perwakilan menggantikan Datuk Ketua 1 dan isterinya yang terpaksa pulang ke Kuala Kangsar awal pagi Jumaat ekoran kemangkatan anakanda Sultan Perak.
Pensyarah saya saat kuliah di UM dulu dilantik sebagai Ketua 1 Gapena yang baharu. Ada yang memberi komen mengenai ucapan-ucapan di perasmian buka dan tutup, “macam datang ke perhimpunan agung parti xxx...”
Maklumlah, penuh dengan kempen-kempen untuk PRU ke-13!
Peserta kali ini lebih kurang tiga ratus orang termasuk dari Indonesia, Selatan Thailand, Singapura dan Brunei.
Petangnya kami dibawa dengan London Bus untuk ke IPG Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun untuk acara perasmian oleh Ketua Menteri.
Malam, ada aktiviti river cruise menyusuri Sungai Melaka yang pernah saya abadikan dalam sebuah sajak bertajuk “Sungai Melaka” yang disiarkan oleh sebuah akhbar tahun-tahun 1980-an dahulu. Tetapi waktu itu sungainya amat kotor dan berbau. Sangat berbeda dengan situasi malam itu.
Selepas itu kami dibawa ke Taman Rempah untuk acara Santai Puisi. Malangnya saya rasa tidak selesa dengan persembahan tarian dan nyanyian yang saya kira merosakkan sedikit “mood” santai puisi itu. Pendeklamasi yang muda-muda pula gemar menjerit-jerit dengan nada yang entah ditiru dari mana.
“Mengapa tidak baca seperti Pak Samad Said saja. Santai dan ada penghayatan. Tidak perlu suara setinggi itu...” saya merungut-rungut. Rupa-rupanya Puan Mahaya Ketua 1 PEN yang sentiasa ada di sisi, sependapat dengan saya.
Wajah anak saya kebosanan kecuali ketika Pak Mahmud Jelani (PENAMA)yang sangat peramah membacakan sajak dengan gelagat lucu! Lucu itu disebabkan matanya yang kabur tidak dapat membaca dalam cahaya suram! Dan juga asyik tersasul!
31 Mac dipenuhi dengan pembentangan kertas kerja sepanjang pagi dan petang. Memang jelas kelihatan “generation gap” dalam majlis yang seperti itu.
Sebelah malam, ada Kenduri Sastera di Umbai. Tetapi saya kelelahan.
1 April sebelah pagi ada pembentangan inter negara. Masa tidak cukup, ramai yang mengangkat tangan untuk memberi saranan, mengeluh hampa.
Hampir jam dua belas, majlis penutup diadakan.
Saya mengesan ucapan-ucapan di majlis itu seperti ada unsur-unsur yang tidak digemari oleh gemulah Usman Awang. Terlalu politikal. Saya pulang dengan tangisan di hati. Saya terkenang-kenang sajak Usman Awang yang selalu tiada batasan kaum; harmonis dan humanis!
Mungkin sebab saya seorang guru, yang selalu pula tidak rasis!
Namun, segunung puji untuk kepimpinan negeri Melaka yang sangat mesra penulis. Akan dibangunkan perkampungan penulis di negeri itu dalam beberapa waktu lagi. Pembangunan fizikalnya seiring dengan pembangunan budaya dan seni. Cuma pendidikan kerohaniannya, saya tidak tahu sama ada turut dibangunkan atau tidak.
Apa pun, berbual-bual dengan Pak Rejab F.I, Pak Ahmad Sarju, Marsli NO, Dr Zurinah Hassan, Puan Mahaya, Jasni Matlani, Ibu Lily dari Indonesia, Bapak Nik Rakib yang saya anggap “saudara jauh” saya dari wilayah nenek moyang saya, Pattani dan penulis yang lain memberikan saya kegembiraan.
Kegembiraan yang berfungsi sebagai penyembuh, meskipun dua hari selepas itu saya hanya mampu terbaring di katil!
Thursday, April 5, 2012
Esnaliza...bergembiralah!
Anak ini pensyarah sebuah kolej dan sudah berpindah ke Seremban. Jarak rumah memang dekat tetapi kami sangat jarang bertemu. Agak aneh dan sedikit ironis. Jarak sudah dekat tetapi kesibukan menyebabkan yang dekat itu jadi jauh.
Sesekali anak ini akan menghantar mesej. Itu pun boleh dikira dengan jari. Sebab dia enggan mengganggu. Dia mahu saya rehat total.
Semalam, saya menerima mesejnya. Penuh hiba meskipun ayat-ayatnya cuba diriang-riakan.
Puncanya dia dituduh melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya!
Waktu itu saya dan anak bongsu sedang dalam perjalanan ke hospital.
Setelah bertanya-tanya khabar, dia memaklumkan sudah berasa lega setelah dimotivasikan dengan post ibu bunga matahari pada Mei 2011.
Saya langsung teringat, elok juga saya menulis sesuatu kepada anak ini untuk mengembalikan semangatnya yang cuba diruntuhkan oleh tohmahan rakan-rakan.
Saya menulis, " bergembiralah sebab kita masih punya mata untuk menangis dan masih punya hati untuk memahami. Ada orang yang punya mata tetapi dibutakan matanya dengan dunia. Ada hati tetapi dihitamkan dengan dosa. Lupa bahawa di hujung hidup adalah mati. Lupa bahawa dunia ini hanyalah rumah sementara"
Kita perlu akur bahawa kebenaran akan tiba juga dengan sedikit usaha. Tidak mengapa kita ditohmah sebab kita sebenarnya sedang memungut pahala yang diberikan kepada kita oleh mereka yang menuduh.
Saya harap semangatnya segera pulih.
Kadang-kadang kita berasa aneh. Mengapa dalam dunia ini ada manusia yang gemar memijak orang lain untuk meneruskan kelangsungan kerjaya. Wang yang diperoleh daripada gaji yang "memijak" orang itu kemudiannya menjadi darah daging. Untuk apa hal-hal sedemikian kita lakukan, sedangkan ada yang sedang melihat segala perlakuan kita di atas sana.
Dunia politik yang "kebinatang-binatangan" pun wujud dalam alam kerjaya!
Buat Esnaliza, bergembiralah sebab masih punya mata dan air mata!
Monday, April 2, 2012
Hadiah Penyembuh
Hadiah anak ini (Atira Laila) salah satu "healing strategy" yang amat berkesan yang dibuat dalam bentuk persembahan grafik/animasi (tidak dapat disiarkan atas sebab tertentu). Tajuknya "Super Mom" berasaskan apa yang dialami beliau dan kakaknya (yang selalu sakit-sakit) sejak kecil.
Telah datang ribut ujian
menampar jendela hidup
betapa pun berkali-kali dirempuh
ganas dan bersambung-sambungan
kitalah manusia terpilih
limpahan dosa yang mahu dibersih
bergembiralah dengan tamparan musibah
kerana sesekali ketika kita merenung ke rumput
masih ada serangga kecil yang berjuang memaknai hidup
begitulah Dia menegur
dengan penuh cinta kasih
- ibu bunga matahari (Kenduri Sastera, Umbai)
Subscribe to:
Posts (Atom)