Total Pageviews

Thursday, March 22, 2012

Usia Itu Angka


Bekas pelajar saya, sekarang seorang guru di sekolah menengah daerah kelahiran saya bertanyakan Mac 20 yang lalu itu, "usia ibu genap berapa?"

Saya menjawab tulus. Empat puluh enam tepat!

Katanya dia hanya mahu menguji ketelusan saya. Lalu saya membalas, umur itu angka, tanda ketuaan pengalaman, tanda untuk ke pangkal jika tersasar.

"Cuma Fidah, jangan jadi tua sebelum usia..." saya mengingatkan.

Saya masih ingat pelajar ini meskipun wajahnya agak samar-samar. Dia antara pelajar yang barangkali tidak pernah didenda menulis pembetulan ejaan sebanyak lima belas kali setiap satu kesalahan.

Sebab itu dia akhirnya menjadi guru Bahasa Melayu sekarang ini! Dengan gelar Puan Rafidah Osman!

Dia juga yang mengaku, saat saya masuk ke kelas, dia tidak takutkan saya tetapi takutkan kesukaan saya yang gemar meminta pelajar bercakap di hadapan kelas. Kesukaan yang akhirnya membawa saya mengajar public speaking di kolej.

Saya bangga dengan pelajar ini. Sama bangganya saya dengan semua pelajar saya yang sekarang ini berada di merata dunia tetapi masih kekal menghubungi sekali sekala. Itu lebih penting daripada menjadi manusia hebat di silara tetapi melupakan akar.

Bicara tentang usia, ada yang begitu menyimpan rahsia. Itu hak peribadi. Namun, penambahan usia bermakna semakin dekat kita ke pusara. Itu hakikatnya.

Perasan atau tidak, jika kita dipuji kerana wajah yang nampak muda berbanding usia, bukan main lagi kita gembira. Mahu melompat-lompat rasanya. Tetapi awas! Jangan terlalu riak sebab peredaran masa akan menggantikan licin pipi kita dengan kedutan. Tua bukan untuk ditakuti, tetapi penuh dengan peringatan-peringatan.

Menjadi tua bermakna kita semakin bijak menangani masalah. Masalah pula datang bertimpa. Dahulu, emak ayah kita sibuk memikirkan masalah kita sehingga kena serangan darah tinggi. Sekarang, padan muka kita! Giliran kita pula yang terpaksa memikirkan masalah anak sehingga insomnia!

Apa pun, selamat datang angka-angka!

Saya bersyukur Allah menjadikan saya penganut agama-Nya. Saya gembira sebab emak (dan ayah) yang melahirkan saya. Saya bahagia meskipun lahir dalam kemiskinan harta benda. Saya berterima kasih pada derita hidup masa lalu.

Sebab semua keperitan itu memberikan saya kemahiran menyelesaikan masalah dan ketahanan menghadapi musibah pada hari ini!

Terima kasih Allah kerana usia ini.

Saturday, March 17, 2012

Seekor Manusia...dan Adik Dirang


Benua Afrika, yang berkeluasan kira-kira 30.2 juta kilometer persegi merupakan benua terbesar di dunia selepas Asia. Di syurga haiwan ini, cheetah dengan larian sepantas 120 kilometer per jam memburu gazel, impala dan haiwan-haiwan lain.

Cheetah memburu dan membunuh haiwan lain untuk survival. Untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia haiwan yang tiada kanun.

Bukan sebab dendam atau apa-apa!

Memburu dan membunuh itu adalah kitaran hidup seekor haiwan karnivor.

Tetapi sekarang ini, manusia sudah menjadi haiwan di dalam dunia manusia itu sendiri!

Yang terkini ialah kes Adik Dirang yang dibunuh dan dibakar.

Untuk survival? Bukan!

Barangkali kerana dendam. Tetapi apa dosa anak sekecil itu sehingga diperlakukan sedemikian kejam?

Kita berasa sakit hati dan marah. Kita sudah berasa tidak selamat. Seperti yang pernah saya tuliskan dahulu, inilah harga yang terpaksa kita bayar!

Ibu bapa yang punya anak kecil semakin tertekan. Sentiasa cemas dan curiga. Bila-bila masa sahaja jiran setaman mungkin akan menjadi seorang pembunuh kejam.

Untuk mereka yang seusia saya, kita pasti mula bernostalgia. Zaman kanak-kanak kita yang tiada bahaya. Kita bebas berlarian, memanjat pokok, meredah belukar, ke sungai, mengharung selut untuk mengisi keriangan zaman kanak-kanak.

Ibu bapa waktu itu sangat sibuk mencari sesuap nasi. Ke kebun getah sepanjang pagi, menyambung kerja di bendang sepanjang petang. Dan kita terus bermain dengan bebasnya tanpa memikirkan ada orang yang mahu menculik, mencabul atau membunuh!

Inilah harga kemajuan yang terpaksa kita bayar. Dunia hari ini yang kalut dan merimaskan. Manusia sudah jadi lebih teruk daripada haiwan. Haiwan membunuh untuk hidup, sedangkan manusia membunuh untuk kepuasan nafsu amarah. Akhirnya kepuasan itu akan berakhir juga di penjara!

Itu balasan kanun dunia. Di akhirat esok, hukuman Allah pasti menanti!

Adik Dirang yang suci dosa itu pasti dijanjikan syurga. Dia sudah aman di sana.

Yang belum aman ialah kita di sini.

Sunday, March 4, 2012

Harap Tidak Berjumpa Lagi!


22 Februari ada panggilan daripada hospital. Dr Hiong di talian. Dia pembantu kepada doktor pakar yang merawat saya. Dia memberitahu saya bahawa entah bagaimana ada kekosongan OT pada awal minggu hadapan. Dia mencadangkan agar tarikh masuk wad pada 8 Mac itu dipercepat kepada 27 Februari. Dijadualkan 28 Februari saya akan dibedah untuk kali kedua.

Bermakna lagi 5 hari?

Saya menghubungi Dr Hiong yang memberikan nombor telefon bimbitnya. Maka dengan keputusan itu saya bergerak pulang ke Seremban.

Pasti Allah sahaja yang tahu mengapa tiba-tiba sahaja OT yang penuh dengan tempahan itu dikosongkan untuk saya!

Kami membeli ubat-ubatan. Juga bahan bacaan. Komik kesukaan saya Ikhtiar Hidup Di Benua Afrika Jilid 1, buku Buya Hamka Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck untuk ulang baca, Readers Digest Februari dengan paparan wajah Michelle Obama di muka depan, mini Al-Mathurat, surah Yassin...dan kami pun bersedia untuk berangkat ke hospital.

Isnin itu jam sepuluh saya selesai mendaftar dan naik ke aras 5. Biliknya selesa dan lapang. Sejuk pendingin hawa cepat mengusik kulit saya. Bilik airnya bersih dan luas.

Dia mengucap syukur berkali-kali sebab mudah untuk saya solat dan ke bilik air. Sangat privasi. Namun, peraturan yang biasa perlu dipatuhi. Suami atau sesiapa sahaja yang bernama lelaki tidak dibenarkan menemani. 

Sebetulnya, bilik saya itu di luarnya wad wanita. Wanita pula resamnya banyak yang sulit dan perlu dijaga auratnya. Barangkali itulah sebabnya lelaki tidak diizinkan menemani.

Doktor dan jururawat silih berganti mengambil info, mengambil tekanan darah, memeriksa jantung malahan mengambil darah. Doktor-doktor pelatih pun sama naik turut menyibuk.

Menjelang petang, tiba-tiba ada khabar yang kurang enak. Esok saya tidak jadi masuk OT. Dibawa ke hari Rabu. Aduhai, jawabnya lama lagilah saya akan berada di wad.

Doktor pelatih pula sepanjang dua hari itu berbelas orang yang datang menemuramah saya. Soalan-soalan yang diberi memang sama sahaja menyebabkan akhirnya saya memberitahu, mereka tidak perlu bertanya sebab saya sendiri yang akan memberi info. Mereka meminta pula untuk memeriksa. Masuk hari kedua saya tidak mengizinkan lagi. Sebab malamnya saya tidak dapat lena menahan perit kerana "kepandaian" mereka membuat pemeriksaan.

Bukan tidak bersyukur, tetapi saya langsung tidak punya selera menjamah makanan yang disediakan. Membuka penutup tray dan menghidu baunya pun menyebabkan saya loya. Perut saya asyik berbunyi. Saya mengirim mesej kepada rakan saya, seorang pensyarah senior, "ada dua perkara memualkan di tempat seperti ini. Makanannya dan doktor pelatih".

Tabiat saya yang sentiasa mahu bilik lapang, memang sedikit "merimaskan" jururawat. Mereka memberitahu, tidak perlu untuk melipat pakaian hospital yang telah saya ganti baharu, tidak perlu juga bersusah payah mahu membuang sampah sebab dalam sehari tiga empat kali petugas akan masuk memeriksa sampah, mengemop lantai bilik dan mencuci bilik air.

"Saya kerja tukang sapu, dah biasa..." saya menyamar dengan muka selamba.

Ingat mereka percaya? Jururawat ketawa sambil menuding ke meja.

"Pandai tukang sapu baca majalah orang putih? Tabik spring dengan puan..." Hahahaha.

Itulah. Manusia biasa seperti kita selalu menanggapi status manusia lain dengan persepsi sebegitu. Di mata Tuhan, barangkali lebih mulia orang yang memungut sampah daripada mereka yang hanya tahu membuang sampah! Apalagi jika yang kerjanya memungut sampah itu ikhlas dalam tugas, istiqamah dalam ibadah, redho dengan musibah.

Hari kedua itu, tepat jam 12 malam saya diberikan pil tidur dan mula berpuasa.

Tibalah hari pembedahan.

Awal pagi, pasukan doktor yang akan melakukan pembedahan datang menerangkan prosedur. Selepas itu sepasukan doktor pakar "to-be" pula datang dengan wajah yang pucat-pucat kesemuanya. Manakan tidak, barangkali mereka dalam sesi praktikal. Profesor mereka ada bersama. Ada seorang diarah memeriksa lymph node saya. Kasihan betul, asyik kena marah di depan pesakit. Ingat mudah mahu jadi pakar dan diberi gaji lumayan?

Jam 7.30 pagi, saya disorong ke Unit Radiologi. Saya katakan kepada jururawat, sebenarnya saya mampu berjalan. Tapi seronok juga sesekali kena sorong. Saya mahu mengusik jururawat comel berwajah muram itu. Saya menyanyi-nyanyi lagu nasyid Selimut Putih. Nampaknya usikan saya berkesan. Dia menegur minta saya menyanyi lagu yang lebih riang dan tidak menakutkannya. Lalu saya mendendangkan lagu 70-an "hari ini kau datang riang..." Walaupun sumbang, namun nyanyian saya mampu juga membuatkan dia ketawa. Bukan mudah ya. Maklumlah, mahu menukar siaran IKIMfm di frekuensi 102.7 ke Sinarfm di frekuensi 96.9!

Sampai di Unit radiologi, di luar bilik, tertera tulisan "You Are Entering Radiation Hazard Zone". Tulisan beramaran berwarna merah dan bersaiz besar.

Saya dibawa masuk ke sebuah bilik kecil yang "semak" dengan peralatan. Doktornya bertubuh kecil, sedikit botak, memakai kaca mata dan masih muda, barangkali sekitar 30-an. Dr Shahril rupa-rupanya bekas pelajar Pusat Matrikulasi UKM Kuala Pilah tahun 1996. Dia menyebut nama beberapa pensyarahnya yang saya kenal.

Minda nakal saya berfikir-fikir. Masih muda tapi sudah botak? Kasihan radiologis, hari-hari berdepan dengan radiasi. Agaknya sebab itukah kepalanya jadi botak?

Personalitinya lembut dan merendah diri. Dia menerangkan tatacara rawatan dengan gaya comel.

"Dibandingkan dengan jarum yang dimasukkan untuk mengambil darah atau memasukkan air, suntikan radioaktif ini hanya di bawah kulit. Tetapi saya terpaksa berterus terang. Oleh sebab suntikan ini akan dibuat di kawasan kulit yang sangat sensitif, iaitu di bawah nipple, memang akan rasa sangat sakit"

"Tanpa bius? Ada kesan tak?" tanya saya.

"Ya, tanpa bius. Lagipun bahan radioaktif ini sikit sahaja. Bukan macam di Lynas tu..." dia bercanda.

"Bahan ini akan masuk dan mengesan lymph node bagi memudahkan surgeon melakukan pembedahan nanti. Lagi satu, biasanya pesakit akan menjerit. Empat suntikan ya kak. Kalau kak mahu menjerit, jangan malu. Kami sudah biasa" Doktor Syahril menerangkan, memberi penekanan terhadap perkataan "empat suntikan". Gayanya yang kelembut-lembutan memang sedikit melegakan, malah saya terhibur!

"OK, kak pandang ke lain. Jangan tengok. Baca selawat ya kak..."

Ya ampun! Memang sangat sakit.

Saya membaca Bismillahhillazi...tanpa henti.

Saya mengingati semula kata-kata emak. Waktu itu saya bertanya emak, kenapa emak tidak gentar menaiki extreme roller coaster dalam usia emas. Kata-kata yang sama terluah tatkala saya ketakutan menahan gayat semasa menaiki kereta kabel bersama emak di Genting. Kata emak, jangan takut dengan apa yang kita hadapi di dunia sebab di akhirat esok, macam-macam lagi yang ada.

Waktu sebegitulah minda saya sibuk mengingat ungkapan, " a mother is she who can take the place of all others, but whose place no one else can take..."

"Sudah selesai"

Allah Hu Akbar!

Pembantu doktor, seorang perempuan memandang saya kaget. Kemudian dia menoleh ke arah doktor.

"Doc perasan tak? Inilah pertama kali pesakit tidak menjerit semasa suntikan..."

"Ya lah kak. Kakak pesakit pertama yang langsung tidak bersuara..."

Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Terima kasih emak. Teringat dua pusar yang berada di atas kepala saya!

Kemudian saya dibaringkan ke dalam satu alat seperti terowong. Dipasangkan tali pinggang di pergelangan kaki, paha, pinggang dan tangan. Tangan saya diletakkan dalam posisi ke atas melepasi kepala.

"Proses ini akan memakan masa. Untuk elakkan lenguh, dua kali kita akan berhenti. Selepas itu lama ya kak. Dalam setengah jam"

Saya sempat berjenaka.

"Nampaknya sayalah angkasawan wanita pertama Malaysia" Doktor tergelak. Agaknya dia pelik menghadapi pesakit yang masih mahu bermain-main dengan bahaya.

Saya tidak mahu memejam mata. Naluri ingin tahu saya mendesak mahu melihat apa yang ada di dalam bekas yang mengelilingi saya. Gerakannya perlahan, sesekali berhenti, sesekali pula begitu mendekat sehingga hampir menyentuh muka. Nasib baik hidung saya spesis Melayu asli. Kalau mancung seperti Amitabh Bachan, mahu penyek dibuatnya!

Selepas proses menjadi angkasawan yang melenguhkan itu, saya dibawa ke bilik ultrasound. Saya juga dapati ada sejenis alat yang mengeluarkan bunyi yang nyaring jika dapat mengesan lymph node di bawah ketiak. Semakin ketara lymph node itu, semakin nyaring bunyinya, siap dengan bacaan yang boleh dilihat di skrin.

Jam 10.30 pagi jururawat datang mengambil saya. Dia memberitahu, badan saya yang penuh radiasi sangat berbahaya kepada wanita hamil, bayi dan kanak-kanak. Malahan, jika tubuh orang dewasa yang tidak tahan pun, jika mendekat akan menjadi lemah.

Memasuki wad semula, dia memberi amaran kepada jururawat yang hamil agar menjauh. Saya dimasukkan ke bilik sendirian. Diam-diam menunggu untuk dibawa ke OT.

Jam sebelas suku, saya dipakaikan pakaian untuk ke OT. Memang aurat tidak terjaga sebab pakaian itu hanya baju nipis putih yang diikat dengan tali-tali di belakang, tanpa kain, tanpa pakaian dalam.

Saya juga diberikan pil penenang. Patutlah rasa berjiwa Hang Tuah, rupa-rupanya sudah di bawah pengaruh pil! Ingatkan saya memang berani, rupa-rupanya palsu semata-mata!

Di OT, saya berpindah katil. Disuntik ubat bius dan dicekupkan dengan alatan persis mangkuk itu. Saya tertidur.

Jam 2.45 petang, pembedahan selesai. Jam 3 petang saya dimasukkan ke wad semula. Berpinar-pinar sahaja pandangan, tekak pun sakit. Saya terus minum air ECPI berbotol-botol. Lapar dan haus sekali.

Sebotol air yang sudah hampir habis isinya tergantung di sisi kanan. Jarumnya yang menghubungkan wayar lutsinar ke botol tertanam pedih di tangan kanan.

Sepupu-sepupu saya datang melawat. Kehadiran mereka menyukakan hati.

Menelefon emak di kampung, paling menggusarkan. Emak yang selama ini saya kagumi, menangis! Rupa-rupanya pemilik hati yang kuat itu tidak sanggup membayangkan kesakitan yang saya deritai. Saya kuat-kuatkan suara, ketawa-ketawa; tetapi tembok kukuh ketabahan seorang ibu runtuh juga kerana membayangkan derita anak!

Malam, saya terkejut apabila mendapati kencing saya bertukar warna kepada turqois pekat! Saya fikirkan itu warna bahan pencuci tandas yang biasa digantungkan dalam tangki. Esoknya saya dimaklumkan itu kesan suntikan radioaktif.

Itu pun sebab saya yang bertanya.

Doktor perempuan yang berada dalam pasukan pembedahan yang memberitahu saya keesokan harinya.

Katanya saya tentu masih ingat dia yang berpakaian hijau dari atas ke bawah dengan penutup kepala seperti wanita zaman Robin Hood. Dia ada memberikan beberapa info selepas sesi pembedahan selesai.

Hahaha...memang sahlah dia bercakap seorang. Siapa suruh memberi info waktu saya masih dalam pengaruh bius? Tambahan lagi, saya langsung tidak ingat siapa yang memakai sut hijau macam increadible hulk itu!

Pembedahan saya kecil sahaja tetapi yang sakitnya sebab kesan suntikan radioaktif. Kemudian ubat penahan sakit yang diberi menyebabkan perut saya kesakitan dan tidak dapat tidur lena. Ulu hati saya pedih, saya sukar bernafas. Tubuh rasa berbahang walaupun hakikatnya saya kedinginan.

Akhirnya saya membuat keputusan sendiri. Saya tidak akan makan ubat kalau akibatnya menyakitkan! Timbul satu masalah lain. Perut saya kembung. Mahu meniarap atau mengiring pasti tidak boleh. Luka masih berbalut. Saya terus memakan suplimen 4Life, habbatussauda dan minyak zaitun dengan tambahan pati ikan haruan ginseng Polliney.

Empat hari di wad, jam sepuluh malam, saya mengucapkan terima kasih dan salam pamit kepada barisan jururawat yang bertugas.

Biasanya kita mahu bertemu kembali saat mahu mengucap pamit. Tetapi saya enggan begitu.

Lalu, saya pun mengungkapkan segunung terima kasih dengan harapan bahawa...

"Kita tidak akan berjumpa lagi!"