Total Pageviews

Thursday, January 12, 2012

Letih...




Adakalanya benda-benda remeh pun boleh meletakkan diri kita ke tahap berputus asa.

Apatah lagi jika secara tiba-tiba kita terpaksa berhadapan dengan hal-hal yang lebih besar.

Hujung cuti sekolah yang lalu, seorang kawan saya waktu kuliah penulisan di UM dulu telah kehilangan suami. Saya ketinggalan info yang mendukacitakan itu sebab lama tidak menjenguk laman sosial yang penuh dengan ucapan takziah.

Bayangkan saja bagaimana hatinya boleh menerima takdir yang datang tiba-tiba. Mereka sekeluarga sedang bercuti apabila suaminya terkena serangan jantung dan pergi meninggalkan dia yang terpinga-pinga tidak percaya.

Saya beritahu dia, bahawa saya memang tidak memahami perasaannya sebab saya tidak pernah mengalami pengalaman sedemikian hiba. Tetapi saya memberi jaminan untuk meminjamkan telinga mendengar rintih hatinya.

Dia pasti rasa letih dibayangi kenangan.

Dia juga pasti rasa letih tatkala membayangkan beratnya tanggungjawab terhadap anak-anak yang tidak berbapa. Mujur anak-anaknya sudah remaja.

Seperti melambung duit syiling, kita tidak tahu nasib kita kelak.

Itu antara beberapa perkara yang turut meletihkan beberapa hari ini.

Kadang-kadang ada kata-kata yang berjaya menaikkan semangat untuk kita meneruskan agenda hidup.

Tapi tiba-tiba saja, hal-hal kecil berjaya menyentuh hati kita dan meruntuhkan kembali gunungan semangat itu.

Seperti keadaan air laut yang pasang surut.

Kadang-kadang juga kita cenderung berada pada tempat dan waktu yang salah.

Berasa letih apabila pagi-pagi ke sebuah pusat perubatan yang agak jauh, sudah mendaftar, lama kemudian baru diberitahu, doktor yang mahu ditemui hanya ada pada hari lain. Untuk orang yang sudah pernah berputus asa dengan khidmat hospital kerajaan, letihnya berganda!

Saat berasa letih, cepat-cepat bacakan doa ini berulang-ulang pagi dan petang, siang dan malam...

"Sesungguhnya kita semua dari Allah dan kepada-Nyalah kita kembali. Ya Allah, berilah ganjaran pada musibahku ini dan gantikanlah bagiku yang lebih baik daripadanya".

Insya Allah, graf keletihan akan menurun...

Saturday, January 7, 2012

The Kite Runner


Sejak akhir-akhir ini saya ada masalah tidur. Bukan insomnia pun, hanya sedikit masalah tidur.

Saya banyak berfikir.

Kadang-kadang tentang hal anak-anak. Memang semua ibu begitu. Dulu saya pun merantau juga, duduk di tempat orang, saya dewasa oleh pengalaman. Nah, sekarang giliran mereka pula!

Habis berfikir tentang anak, saya teringat hal kerja pula. Patutlah bos dan senior minta saya menyambung cuti. Kata super senior Puan Hajah Rafeah, musuh utama kanser ialah stres!

Mungkin juga Allah mahu saya bangun dan solat malam.

Selesai menjalankan apa yang Allah suruh, saya menelaah buku Ustaz Sharhan Safie yang dihadiahkan Ustazah Mukarramah. Buku Ubat, Doa dan Penyembuhan. Gembira saya kalau dapat hadiah buku. Nasib baik bukunya kecil, mampu tangan saya memegangnya sambil baring.

Oleh sebab malam tadi mata enggan lena, saya menghabiskan novel Dr. Khaleed Hosseini, bertajuk The Kite Runner. Saya melihat catatan kecil saya di halaman kosong bahagian depan yang tertulis tarikh 12/11/2011. Sudah lama saya beli bersama beberapa naskah lain. Hanya yang ini saya belum sempat baca sepenuhnya. Jam tiga pagi, saya selesai membaca novel 340 muka surat ini.


Aneh, saya tidur bermimpikan ceritanya.

Barangkali imbas kembali ceritanya yang berlatarkan Afghanistan sekitar 1970-an, sebelum dan selepas penjarahan Rusia ke atas bumi Afghan, juga kisah Taliban; amat dekat dengan pembacaan saya sekitar tahun-tahun itu. 1970-an, saya di sekolah rendah dan awal menengah.

Novel pertama Khaleed ini juga telah difilemkan.

Wataknya Amir, seorang anak ahli perniagaan yang membesar bersama Hassan, anak orang gaji, Ali. Ayah Amir yang dipanggil Baba juga membesar bersama Ali yang dianggapnya sebagai ahli keluarga sendiri, meskipun mereka berbeza mazhab. Ali daripada keturunan Hazara, berfahaman Syiah yang kuat pegangan agama. Mereka dihina oleh masyarakat sekitar kerana kaum Hazara dianggap kaum yang jelek.

Banyak sekali konflik yang berlaku menyebabkan air mata saya bercucuran. Saya tidak sukakan Amir dan amat simpati kepada Hassan. Setelah kematian Baba, Hasan dan Ali, barulah Amir tahu bahawa Hasan adalah adiknya daripada perbuatan mungkar bapanya dengan isteri Ali.

Saya bermimpi sekumpulan orang menjeritkan ejekan, "Hazara, Hazara..."

Seperti seorang "Kite Runner", kita juga mesti tahu arah angin yang membawa layang-layang dan di mana dia akan jatuh.

Hidup kita pun macam itu juga. Mudah-mudahan layang-layang kita akan jatuh di tanah yang indah dan bukan di perlimbahan!

Tuesday, January 3, 2012

Pertarungan Untuk Menang


Tertarik betul dengan barisan kata dalam buku Leo The Africa, "ketika Yang Maha Tinggi melemparkan kamu dengan tangan-Nya yang satu, maka tangan-Nya yang lain akan menangkapmu".

Maksudnya, kita tidak perlu takut. Cuma perlu memahami kehidupan ini dengan baik dan siap sedia hadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Allah itu sangat adil. Dia menurunkan hujan yang menutup pintu rezeki penoreh, tetapi Dia juga yang menumbuhkan benih.

Seorang rakan lama menghadapi masalah sel darah merah. Nampak dia gelisah menghadapi ujian baru itu. Saya menulis, "kita mesti bertarung dan menang. Selebihnya hanya Allah yang tahu".

Kalau kita derita, ada orang lain lebih derita; seperti yang saya tonton dalam filem hebat "The Slumdog Millionaire" di TV petang Isnin lepas.

Ada seorang manusia yang masih hidup, saya jadikan contoh. Kekuatan dalamannya seperti banjaran gunung. Dia dihenyak dengan tsunami tuduhan demi tuduhan, dikhianati ribuan pengkhianatan, dipukul, dikeji saban hari sehingga rongga telinga orang yang berfikir sudah tidak mampu menerima, jasadnya dipenjara, dia cuba dimatikan dalam sejarah; meskipun Allah belum mahu mengambil nyawanya.

Kesakitan? Sudah jadi perkara biasa.

Tapi bagaimana dia? Orang itu masih senyum, masih mampu berdiri dengan gagah yang bersisa. Wajah kacaknya tetap terpelihara. Dia dikagumi sebagai figur pejuang di luar sempadan negaranya. Meskipun ada ramai yang menyintai, tetapi imejnya dihitamkan segelap-gelapnya.

Tapi jangan lupa wahai mereka yang sedang menyiksanya, Allah sedang melihat. Dia sedang melihat.

Kita dan dia mesti bertarung. Bangun daripada kesakitan dan ujian yang merebahkan. Sasarannya ialah menang. Selebihnya hanya Dia yang tahu.

Sunday, January 1, 2012

Aura + dan -


Ada seorang kawan yang mengadu cuti hujung minggunya dilalui dengan malas dan lesu.

"Kenapa?" tanya saya.

Dia bercerita. Jumaat petang, isterinya ada pertemuan dengan rakan-rakan di rumah. Ada juga rakannya yang membawa suami bersama.

Sepulangnya dari pejabat tepat jam lima, rakan saya itu melayani tetamu dengan berbual isu-isu biasa.

"Masalahnya, suami kawan isteri saya itu asyik bercerita tentang kehebatan diri sendiri..." kata kawan saya.

"Saya jadi sangat letih. Sikapnya yang terlalu meninggi diri itu membuatkan saya lemas. Akibatnya saya jadi lesu dan malas sepanjang cuti dua hari itu..."

Meninggi diri itu negatif. Aura negatif yang dibawa oleh sikap teman berbualnya itu telah berjaya mengalahkan aura positif rakan saya.

Itu sebab dalam Islam, kita digalakkan berada dalam kelompok yang baik-baik, supaya aura baik itu sentiasa melingkari hidup kita. Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, maka sedikit sebanyak wangiannya akan terpalit kepada diri kita.

Saya percaya selepas ini, Dr. K pasti mencari penjual minyak wangi untuk didampingi!

Ustaz Azhar Idrus Dan 2012


Fajar tahun baru 2012.

Semua orang sibuk menyambut tahun baru Masihi. Mesti ada bunga api, mercun, konsert dan jamuan.

Begitukah?

Mengapa Awal Muharam kadang2 ada orang kita sendiri langsung tak sedar kewujudannya?

Dalam resah, nasib baik terbaca ada 70,000 ummah melaungkan takbir memeriahkan langit Shah Alam menjelang 2012.Sudah pasti sebab fenomena Ustaz Azhar Idrus...

Ustaz berjanggut panjang itu memang lucu dan bersahaja. Dia peminat fotografi. Seorang bekas pejuang. Dia diminati golongan selebriti juga. Ustaz idola anak muda. Cuma loghat ganunya agak pekat, payah mahu faham.

Malam tahun baru, saya baring saja. Bentan perjalanan jauh masih belum hilang. Rimas betul sebab melihat rumah agak semak. Cuba mengangkat sesuatu, tapi penyudahnya saya terpaksa baring lagi sebab sakit menyucuk.

Jika tidak, mesti saya ada di Shah Alam dalam ribuan jemaah untuk mendengar ceramah ustaz. Mudah-mudahan Allah sihatkan saya, saya dapat gunakan kedua2 belah tangan untuk memandu, Allah panjangkan umur saya; supaya saya dapat merasai aura ustaz di majlis-majlis ilmu. Amin.